REDHA ALLAH KEPADA SAHABAT YANG BERBAI\’AH DI HUDAIBIYAH, MEREKA AKAN DAPAT GHANIMAH DARI KHAIBAR & KEMENANGAN DI TEMPAT LAIN.
Full video : https://youtu.be/qut5qWjpUNM
MUQADDIMAH :
- Dalam siri ini diceritakan bahawa Allah redha kepada sahabat yang telah berbai\’ah bersama Rasulullah s.a.w di bawah pokok di Hudaibiyah.
- Allah beri mereka ketenangan, tidak mengamuk dan resah walaupun dihalang dari memasuki Makkah pada tahun itu kerana itu adalah ketetapan dari Allah s.w.t.
- Tetapi jangan sedih dan dukacita, Allah janjikan juga dalam ayat ini bahawa mereka Akan Dapat Ghanimah harta rampasan yang banyak dari pembukaan Kota Khaibar kepunyaan si yahudi pula.
Kerana ayat inilah golongan munafiqin dan mereka yang lemah iman yang tak ikut dalam Hudaibiyah itu mahu ikut ke Khaibar, kerana mahu mendapat sama harta itu!
Serta dalam masa yang akan datang, banyak lagi pembukaan dan kemenangan di tempat lain selepas dari ini.
4.Munasabah ayat- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t ceritakan tentang hal keadaan golongan yang tak ikut bersama Rasulullah s.a.w dalam musafir ke Makkah yang tertahan di Hudaibiyah.
Maka dalam ayat ini Allah s.w.t sebut pula sifat orang mukmin yang ikhlas dalam perjalanan bersama Rasulullah s.a.w serta mereka melakukan perjanjian taat setia untuk tidak lari!
Allah s.w.t juga ceritakan tentang keadaan mereka yang tidak ikut serta itu datang mengadu dengan pelbagai alasan yang dibuat-buat.
Semua ini Allah s.w.t ceritakan kepada Rasulullah s.a.w sebelum mereka datang berjumpa Baginda lagi!
- Perjanjian taat setia itu adalah untuk membela Sayyidina Usman yang dikatakan telah dibunuh oleh kaum Quraisy di Makkah, lalu mereka bersumpah untuk tidak lari dalam perjuangan bersama Rasulullah s.a.w.
AYAT 18- {DEMI SESUNGGUHNYA! ALLAH REDA AKAN ORANG-ORANG YANG BERIMAN, KETIKA MEREKA MEMBERIKAN PENGAKUAN TAAT SETIA KEPADAMU (WAHAI MUHAMMAD) DI BAWAH NAUNGAN POHON (YANG TERMAKLUM DI HUDAIBIYAH); MAKA (DENGAN ITU) TERNYATA APA YANG SEDIA DIKETAHUINYA TENTANG (KEBENARAN IMAN DAN TAAT SETIA) YANG ADA DALAM HATI MEREKA, LALU IA MENURUNKAN SEMANGAT TENANG TENTERAM KEPADA MEREKA, DAN MEMBALAS MEREKA DENGAN KEMENANGAN YANG DEKAT MASA DATANGNYA;} (AL-FATH 48:18)
- Yakni Allah s.w.t redha kepada semua sahabat yang telah ikat setia- bai\’ah (بيعة) dengan Nabi s.a.w di bawah pokok di Hudaibiyah, bahawa mereka akan lawan Quraisy dan tidak akan lari dari pertempuran.
- Beberapa hadis tentang kisah Bai\’ah ini:
i- Dari Jabir bin Abdullah r.a: \”Bilangan kami pada hari peperangan Hudaibiyah ada 1400 orang, kami berjanji ikat setia dengan Rasulullah s.a.w. Umar al-Khattab memegang tangan Rasulullah s.a.w di bawah pokok, iaitu pokok Samurah. Kami bersumpah ikat setia tidak akan lari sehingga selesai, kami bukan ikat setia untuk mati.\” [HR Muslim].
ii- Dari Ma\’qil bin Yasar r.a: \”Kamu akan tengok kami berada di bawah pokok pada hari Hudaibiyah dan Rasulullah s.a.w berbai\’ah ikat setia bersama setiap seorang dari para sahabat, dan aku memegang hujung dahan pokok itu dari mengnai kepala Rasulullah s.a.w. jumlah kami adalah seramai 14 ratus (1400) orang. Kami kami bukan ikat setia untuk mati, tetapi bersumpah ikat setia tidak akan lari.\” [HR Muslim].
iii- Dari Jabir bin Abdullah r.a, bahawa telah mengkhabarkan kepadanya Ummu Mubasysyir r.a yang mendengar Rasulullah s.a.w menceritakan kepada isterinya UM Hafsah r.a, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
\”Tidak akan masuk neraka insya\’ Allah, dari kalangan sahabat yang berbaiah ikat setia bersamaku di bawah pokok di Hudaibiyah.\”
Dia pun menjawab: Bahkan, benar yang Rasulullah.
Kemudian UM Hafsah pun teringat kepada satu ayat dalam al-Quran ini dan membacanya:
{Dan tiada seorangpun di antara kamu melainkan akan sampai kepadanya (titian/neraka); (yang demikian) adalah satu perkara yang mesti (berlaku) yang telah ditetapkan oleh Tuhanmu.} (Maryam 19:71)
Yakni Allah telah berjanji bahawa setiap orang akan melalui Titian Sirat ini, bagaimana akan terlepas?
Rasulullah s.a.w menjawab: Benar sekali, setiap manusia akan melalui titian Sirat itu, tetapi lihat kepada ayat seterusnya juga:
{Kemudian Kami akan selamatkan orang-orang yang bertaqwa, dan kami akan biarkan orang-orang yang zalim (dengan kekufurannya dan maksiatnya) tinggal berlutut di dalam neraka itu.} (Maryam 19:72) [HR Muslim].
Yakni memang betul semua orang akan melaluinya, tetapi dengan kehendak Allah s.w.t sesiapa saja boleh melepasi dan melintasinya dengan sekelip mata seperti para rasul, anbiya\’ serta para solihin.
Manakala yang akan mendapat balasan buruk akan terlekat dan jatuh ke situ.
- Jelas dalam hadis ini Rasulullah s.a.w beritahu bahawa para sahabat itu tidak akan masuk neraka, tetapi malangnya puak Syi\’ah tetap mengutuk dan memaki para sahabat!
Kerana itu jangan bertoleransi dan memuji puak mereka, jelas kejahatan dan kesesatan mereka! - Allah puji lagi mereka dengan mengatakan bahawa hati para sahabat itu benar, mereka telah menunaikan janji dan taat kepada Allah dan Rasul-Nya s.a.w. Yakni Allah s.w.t zahirkan kebenaran iman dan taat setia yang ada dalam hati mereka,
- Kemudian Allah s.w.t menurunkan semangat tenang tenteram kepada mereka, ketenangan dalam hati mereka tidak memberontak.
Mereka tetap teguh berpegang pada agama dan bertambah keyakinan dengan apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w! - Lalu Allah janjikan kepada mereka bahawa Dia akan membalas kepada mereka dengan kemenangan yang dekat pada masa datang.
- Kata ulama\’ tafsir yakni mereka akan pergi menawan Kota Khaibar kepunyaan Yahudi di luar bandar Madinah sebaik mereka kembali dari Hudaibiyah.
Ada juga yang kata Pembukaan Kota Makkah. - Ibnu Kathir rhm. kata kesimpulannya: (فَتْحًا قَرِيبًا) Termasuk belaka semuanya, bermula dari perjanjian Hudaibiyah, kemudian pembukaan Khaibar serta Pembukaan Makkah juga.
- Selepas perjanjian damai di Hudaibiyah inilah dalam tempoh 10 tahun, yang menyebabkan Rasulullah s.a.w ada ruang dan peluang untuk berinteraksi dengan pemimpin dunia luar dan berdakwah kepada pemimpin dari kalangan Quraisy juga.
Antaranya seperti Khalid bin al-Walid, panglima perang terkenal Quraisy yang telah memeluk Islam dan bersama tentera Islam dalam Pembukaan Kota Makkah. Sedangkan semasa Hudaibiyah sebelum itu, dia yang menyekat Rasulullah s.a.w daripada memasuki Makkah!
Ya Allah yang membolak-balikkan hati manusia, teguhkanlah hati kami atas agama-Mu!
- Kesimpulannya kurniaan Allah s.w.t kepada mereka dalam ayat ini adalah:
i- keredhaan Allah s.w.t. (رَضِيَ اللَّهُ)
ii- Allah zahirkan apa yang ada dalam hati mereka. (فَعَلِمَ مَا فِي قُلُوبِهِمْ)
iii- ketenangan dalam hati serta tidak memberontak. (فَأَنْزَلَ السَّكِينَةَ)
iv- Pembukaan dan kemenangan yang dekat. (فَتْحًا قَرِيبًا)
v- banyaknya harta rampasan perang yang mereka akan dapat dari yahudi Khaibar. (وَمَغَانِمَ كَثِيرَةً)
AYAT 19- {DAN JUGA DENGAN BANYAK HARTA RAMPASAN PERANG, YANG MEREKA AKAN DAPAT MENGAMBILNYA. DAN (INGATLAH), ALLAH ADALAH MAHA KUASA, LAGI MAHA BIJAKSANA.} (AL-FATH 48:19)
- Harta rampasan yang banyak yang akan mereka dapat itu terdiri daripada pelbagai jenis seperti: Haiwan ternakan, alat senjata dan peralatan, kebun-kebun yang luas dan pelbagai jenis harta serta tawanan perang yang banyak.
- Mendapat harta yang banyak daripada yahudi Khaibar, ini janji yang khusus Allah jadikan untuk mereka yang hadir dalam perjanjian Hudaibiyah dan ikatan taat setia (bai\’ah) bersama Rasulullah s.a.w.
- Antara tawanan perang itu termasuklah Safiyyah binti Huyai bin Akhtab r.a- anak ketua yahudi Khaibar yang akhirnya diperisterikan oleh Rasulullah s.a.w dan menjadi salah seorang Ummul-Mukminin yang mulia.
- Dan ingatlah, Allah adalah Maha kuasa, tiada kuasa lain yang boleh menyekat-Nya, serta Allah s.w.t Maha Bijaksana dalam pentadbiran dan susun-atur-Nya.
AYAT 20- {(SEBAGAI MEMULIAKAN ORANG-ORANG YANG MEMBERI PENGAKUAN TAAT SETIANYA DI HUDAIBIYAH, TUHAN MENUJUKAN FIRMANNYA KEPADA MEREKA): ALLAH MENJANJIKAN KEPADA KAMU HARTA RAMPASAN YANG BANYAK YANG KAMU AKAN MENGAMBILNYA, LALU IA MENYEGERAKAN UNTUK KAMU HARTA RAMPASAN PERANG INI, SERTA IA TELAH MENAHAN TANGAN MANUSIA (PIHAK MUSUH DI SITU) DARIPADA MENYERANG KAMU; (ALLAH MELAKUKAN YANG DEMIKIAN SUPAYA KAMU BEROLEH MANFAAT) DAN SUPAYA MENJADI TANDA (YANG MEMBUKTIKAN KEBENARAN JANJINYA) BAGI ORANG-ORANG YANG BERIMAN, DAN JUGA SUPAYA IA MENAMBAHKAN KAMU HIDAYAH KE JALAN YANG LURUS.} (AL-FATH 48:20)
- Allah s.w.t muliakan lagi mereka dengan menjanjikan bahawa mereka akan dapat harta yang banyak dan pembukaan yang akan datang selepas pembukaan Khaibar itu.
Seperti pembukaan Kota Makkah pada tahun seterusnya, pengepungan kaum Hawazin di Hunain, serta banyak lagi selepas itu pada masa pemerintahan para Khulafa\’ur Rasyidin pula. - Allah s.w.t juga akan menahan tangan manusia pihak musuh di situ daripada menyerang Rasulullah s.a.w dan kaum muslimin.
- Kata al-Mawardi maksudnya firman Allah s.w.t ini adalah menahan:
i- tangan yahudi Khaibar.
ii- Quraisy dari Makkah.
iii- Bani Asad & bani Ghatafan yang datang untuk memberi bantuan kepada Khaibar tetapi mereka turut tewas! - Yakni apabila Rasulullah s.a.w meninggalkan Madinah tiada yang menyerangnya, Quraisy juga tidak menyerang mereka di Hudaibiyah, hanya menyekat sahaja, begitu juga para yahudi Khaibar lari meninggalkan kota dan harta mereka tanpa melawan Rasulullah s.a.w dan kaum muslimin! Juga apabila Rasulullah s.a.w ke Makkah selepas itu tiada perlawanan dan pertempuran besar.
- Semua ini Allah jadikan sebagai tanda keagungan dan kekuasaan Allah s.w.t serta membukti kebenaran Rasulullah s.a.w bagi orang yang beriman. Menjadikan makin mantap & teguh iman mereka!
- Allah s.w.t juga menjamin bahawa Dia akan menambahkan bagi mereka hidayah ke jalan yang lurus. Ayat ini menjadi dalil bahawa semua sahabat Rasulullah s.a.w yang ikhlas berjuang dan membuat ikat setia ini tiada seorang pun yang murtad atau lari daripada perjuangan agama Islam.
AYAT 21- {DAN ADA LAGI HARTA RAMPASAN LAIN YANG KAMU BELUM DAPAT MENGUASAINYA, (TETAPI) ALLAH TELAH MEMELIHARA HARTA ITU DENGAN KEKUASAANNYA (UNTUK KAMU MENDAPATNYA); DAN (INGATLAH), ALLAH ADALAH MAHA KUASA ATAS TIAP-TIAP SESUATU.} (AL-FATH 48:21)
- Allah juga menyatakan khabar gembira kepada para sahabat bahawa mereka akan membuka banyak lagi kota dan memenangi banyak lagi harta selepas ini. Allah s.w.t akan memelihara dan menjaganya untuk mereka kuasai selepas ini apabila sampai masanya.
- Ulama\’ memberi beberapa pendapat tentang negara manakah itu:
i- ada kata kota Makkah, kerana selepas Hudaibiyah.
ii- Parsi & Rom yang akan jatuh.
iii- Hawazin di Hunain selepas Pembukaan Makkah. - Kata Ibnu Kathir rhm.: Ia adalah semua pembukaan negeri & harta rampasan yang didapati oleh orang Islam sehingga ke hari Kiamat itulah yang dijanjikan oleh Allah Azza wa Jalla.
- Kata Ibnu Asyur rhm. pula, ayat ini ialah isyarat kepada tiga kategori ghanimah iaitu:
i- yang dekat iaitu menawan Khaibar.
ii- yang jauh itu adalah Hunain selepas Pembukaan Makkah. Harta rampasan Hawazin yang banyak yang tidak pernah terfikir oleh kaum muslimin sebelum ini!
Ini kerana ketua Hawazin bawa semua harta dan ahli keluarga mereka untuk keluar berlawan dengan tentera Islam. Jadi apabila mereka kalah dan lari semuanya ditinggalkan dan menjadi milik tentera Islam!
iii- harta yang akan didapati selepas Rasulullah s.a.w., iaitu pada zaman Khalifah Umar sehingga dapat dipakaikan gelang kepunyaan Kisra Parsi kepada Suraqah bin Malik r.a.
5. Allah s.w.t tutup ayat ini dengan mengingatkan bahawa Allah adalah Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu.
AYAT 22- {DAN SEKIRANYA ORANG-ORANG KAFIR (DARI PENDUDUK MAKKAH) ITU MEMERANGI KAMU (DI HUDAIBIYAH), TENTULAH MEREKA AKAN BERPALING MELARIKAN DIRI DENGAN KEKALAHAN; KEMUDIAN MEREKA TIDAK AKAN BEROLEH SESIAPAPUN YANG MENJADI PELINDUNG ATAU MEMBERIKAN PERTOLONGAN.} (AL-FATH 48:22)
- Sekiranya puak kafir Quraisy itu menyerang Rasulullah s.a.w dan kaum muslimin pada hari Hudaibiyah itu, pasti mereka akan kalah dan melarikan diri dan tiada siapa yang akan menjadi pelindung & memberi pertolongan kepada mereka!
- Tetapi mereka (Quraisy) sudah dapat menjangkakannya lalu mereka mengambil pendekatan untuk mengadakan perjanjian damai daripada berperang yang akan membawa kekalahan kepada mereka!
- Timbul persoalan pula; Kenapa mereka berjanji untuk tidak akan lari?
Ini kerana semasa dalam peperangan Uhud sebelum itu ramai kaum muslimin yang gugur syahid sehingga 70 orang.
Ini adalah kerana ada sebahagian dari tentera Islam yang lari beredar meninggalkan tapak yang telah ditetapkan oleh Rasulullah s.a.w. Andaikata mereka tetap mengikut perintah tidak lari pasti mereka akan menang, kerana tentera Islam telah menag pada awal peperangan itu.
AYAT 23- {(KEKALAHAN ORANG-ORANG YANG MENENTANG RASUL ALLAH SUDAH TETAP MENURUT) \”SUNNATULLAH\” (PERATURAN ALLAH) YANG TELAH BERLAKU SEMENJAK DAHULU LAGI; DAN ENGKAU TIDAK AKAN MENDAPATI SEBARANG PERUBAHAN BAGI CARA DAN PERATURAN ALLAH ITU.} (AL-FATH 48:23)
- Allah tetapkan bahawa kekalahan akan menjadi milik mereka yang menentang Allah & Rasul-Nya, serta bantuan Allah akan jauh dari mereka.
- Begitulah \”Sunnatullah\”, iaitu ketetapan bagi peraturan Allah s.w.t, sesiapa yang kufur kepada Allah & menentang Rasul Allah, membuat maksiat dan kemungkaran, Allah s.w.t akan turunkan bala dan ujian kepada mereka.
- Kamu tidak akan dapati wahai Muhammad s.a.w dan umat Muhammad, tidak akan siapa yang dapat mengubah atau menentang \”Sunnatullah\” ini, ketetapan yang Allah buat bagi setiap perkara.
- Maka jagalah diri kita masing-masing serta pihak pemimpin yang berkuasa tolong jalankan amanah dan kuasa mereka untuk mencegah maksiat dan kemungkaran dalam negara kita agar kita semua selamat dari bala dan ujian Allah s.w.t!
Jangan tunggu bala lebih besar daripada Covid datang! Sudah lupa tentang ujian sebelum ini, sudah mula menganjurkan konsert dan maksiat yang bukan sedikit.
PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :
- Ayat 18- {Demi sesungguhnya! Allah reda akan orang-orang yang beriman, ketika mereka memberikan pengakuan taat setia kepadamu (wahai Muhammad)}- al-Quran telah bersaksi bahawa Allah s.w.t telah redha kepada para sahabat ini dan Allah s.w.t juga memuji mereka iaitu para sahabat Nabi r.anhum yang telah melakukan ikat setia dengan Rasulullah s.a.w di bawah pokok.
Maka kata ulama\’ ahli Sunnah dengan ayat ini telah sabit akan kemuliaan dan keadilan para sahabat itu dengan apa yang disebut oleh Allah s.w.t, hatta keihlasan dalam hati mereka pun Allah zahirkan.
Kata Imam al-Hafiz Ibnu Hajar rhm.: Telah sepakat para ulama\’ ahli Sunnah bahawa semua sahabat itu dianggap adil dan baik, manakala yang menyalahi peraturan ini adalah pandangan yang ganjil yang dipelopori oleh puak Syiah seperti ar-Rafidhah.
Mereka mengutuk para sahabat besar seperti Abu Bakar, Umar, Usman, Abu Hurairah, UM Aisyah r.anhum dan lain-lain, inilah kejahatan para Syiah yang tidak dapat kita terima, walaupun mulut mereka senyum cuba mengaburi dan menipu kita!
- Ayat 20- {Allah menjanjikan kepada kamu harta rampasan yang banyak yang kamu akan mengambilnya,}- ayat ini tentang harta dan ghanimah hanyalah isyarat kepada muqaddimah nikmat yang Allah berikan kepada mereka di atas dunia ini! Kebahagiaan dan nikmat yang terbesar pastilah di Akhirat kelak, darjat yang tinggi dan syurga yang menanti mereka!
Syariah Islam izinkan untuk kaum muslimin memilikinya bukan seperti umat terdahulu yang diharamkan darinya. Inilah beza umat Islam dengan umat yang terdahulu. - Ayat 20- {dan juga supaya Ia menambahkan kamu hidayah ke jalan yang lurus.}- kata ulama\’ ini adalah salah satu tanda mukjizat kenabian Rasulullah s.a.w, bahawa Allah menjamin bawa tiada seorangpun sahabat yang ikat setia dengan Rasulullah s.a.w pada hari itu yang akan lari atau berpaling tadah. Khas untuk mereka yang ada di Hudaibiyah, Allah berkata kepada mereka: {memberi hidayah kepada kamu- وَيَهْدِيَكُمْ}- yakni khas, hanya golongan ini yang ada kelebihan ini.
Kata ulama\’ tafsir: Banyak ayat-ayat yang jelas dalam surah al-Fath ini daripada tanda-tanda benarnya dakwah Nabi s.a.w, Allah s.w.t menyatakan banyak cerita dan berita yang akan berlaku pada masa depan!
- Ayat 23- {(Ketetapan\”Sunnatullah\” (peraturan Allah) yang telah berlaku semenjak dahulu lagi;}- yakni Allah s.w.t telah buat ketetapan bahawa Dia akan membantu hamba-Nya yang beriman untuk mengalahkan musuh mereka dan orang kafir.
Tetapi dengan syarat mereka itu teguh menjaga SOP iman, taat kepada Allah, taat kepada Rasulullah, berjuang menegakkan Islam, yakni jika kamu menolong agama Allah, Allah akan menolong kamu dan menegakkan tapak kamu! Tetapi jika kamu lemah, lari dari landasan & tak ikut peraturan maka pastilah kamu akan tewas! Inilah ketetapan Allah yang kita kena yakin.
- Ayat 23- {dan engkau tidak akan mendapati sebarang perubahan bagi cara dan peraturan Allah itu.}- ayat ini menjadi dalil kepada hikmah kebijaksanaan Allah s.w.t. Allah s.w.t akan membalas mengikut apa yang kamu buat. Bagaimana keadaan kamu begitulah balasan yang kamu akan dapat.
Jika kamu teguh berjuang Allah s.w.t akan beri pertolongan & kemenangan, jika kamu lari dan berpaling pastilah Allah s.w.t juga akan membiar dan meninggalkan kamu tanpa pertolongannya.
Begitu juga kita sebagai rakyat, hendaklah menjadi rakyat yang baik dan amanah barulah Allah s.w.t akan hantar kepada kita pemimpin yang baik dan amanah juga!
Jika kita tidak banyak ibadat kepada Allah s.w.t, lemah iman, maka Allah s.w.t akan hantar pemimpin yang begitu juga. Begitulah peraturan yang Allah s.w.t buat, tidak akan boleh ditukar dan diubah lagi!
Para ulama\’ buat contoh semasa pemerintahan Khalifah Umar bin Abdul Aziz yang warok & soleh, rakyatnya juga sibuk dengan ibadat & al-Quran, saling bertanya sudah berapa banyak hafaz & baca al-Quran.
Berbeza dengan pemerintah sebelumnya yang sukakan wanita & harta, maka rakyatnya juga akan sibuk dengan wanita & harta.
Ya Allah bantulah kami untuk terus istiqomah dalam berjuang menegakkan agama-Mu, menghidupkan Sunnah Rasulullah s.a.w, membasmi syirik dan khurafat, maksiat & bid\’ah dalam masyarakat!