View Categories

SURAH AL-FATH : AYAT 4-7

\"\"

ALLAH TURUNKAN KETENANGAN BUAT MUKMIN, KESAN SULH HUDAIBIYAH KEPADA MUKMIN, MUNAFIQ DAN MUSYRIKIN & TENTERA ALLAH S.W.T.

Full video : https://youtu.be/L4hJxRCd9gA

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini kita masih lagi dalam isu tentang Perjanjian Hudaibiyah.
  2. Dalam ayat-ayat ini Allah s.w.t nyatakan bahawa Allah yang menurunkan ketenangan dalam hati umat Islam. Hatta mereka tenang dan tidak mengamuk, tidak resah menunggu pertolongan Allah s.w.t, yang Allah jamin.
  3. Allah juga peringatkan bahawa Dia ada tentera di langit dan di bumi, boleh saja dihancurkan musuh-musuh Islam dalam sekelip mata, tetapi Allah juga mahu beri pahala kepada orang beriman, untuk berjuang dan bersabar dalam menghadapi tentangan musuh-musuh Islam.
  4. Kemudian Allah nyatakan kesan dari Sulh Hudaibiyah kepada golongan mukmin, golongan munafiq dan kaum kafir musyrikin.
  5. Munasabah ayat: Dalam ayat yang lepas Allah s.w.t sudah nyatakan bahawa Dia akan beri pertolongan kepada Rasulullah s.a.w. melalui 5 perkara.

Maka dalam ayat ini dinyatakan apakah bantuan & pertolongan yang akan diberikan itu.
i- pertolongan pertama adalah memberi ketenangan dalam dalam hati para mukmin sehingga mereka redha dan tenang dengan apa yang berlaku, Tidak mengamuk dan marah, menerima apa yang berlaku dan ketentuan Allah s.w.t.

AYAT 4- {(TUHAN YANG MEMBUKA JALAN KEMENANGAN ITU) DIA LAH YANG MENURUNKAN SEMANGAT TENANG TENTERAM KE DALAM HATI ORANG-ORANG YANG BERIMAN (SEMASA MEREKA MERADANG TERHADAP ANGKARA MUSUH) SUPAYA MEREKA BERTAMBAH IMAN DAN YAKIN BESERTA DENGAN IMAN DAN KEYAKINAN MEREKA YANG SEDIA ADA; PADA HAL ALLAH MENGUASAI TENTERA LANGIT DAN BUMI (UNTUK MENOLONG MEREKA); DAN ALLAH ADALAH MAHA MENGETAHUI, LAGI MAHA BIJAKSANA.} (AL-FATH 48:4)

  1. Allah yang menurunkan kemenangan itu, Dia-lah juga yang menurunkan ketenangan hati (السَّكِينَةَ) dalam hati orang mukmin apabila mereka sakit hati dan meradang akibat angkara jahat musuh iaitu musyrikin Makkah.
  2. Antara angkara musuh itu ialah perbuatan mereka menghalang Rasulullah s.a.w dan para sahabatnya dari memasuki Makkah. Kedatangan mereka adalah untuk mengerjakan umrah di Makkah dengan berihram dan membawa hadyu (binatang korban).
  3. Kisah yang membawa kepada perjanjian Hudaibiyah dan Bai\’ah Ridhwan ini telah diceritakan dalam siri yang lepas dan boleh dibaca dalam buku Makkah; Kelebihan & Sejarah.
    http://www.dartaibah.com/…
  4. Hadis dari al-Bara\’ bin Azib r.a, katanya:
    \”Ada seorang lelaki membaca surah al-Kahfi dan disisinya seekor kuda yang diikat dengan dua utas tali, kemudian dia nampak awan menaunginya, dan awan itu juga menaungi kudanya, tetapi kudanya lari daripada lindungan awan itu. Keesokannya lelaki itu pergi berjumpa dengan Nabi S.A.W lalu menceritakan apa yang telah berlaku kepadanya\”,

Baginda pun bersabda: \”Perkara yang berlaku kepada engkau itu adalah al-Sakinah (ketenangan dan rahmat yang disertai dengan para malaikat) yang turun untuk mendengar bacaan ayat-ayat al-Qur\’an\”. [HR al-Bukhari dan Muslim].

  1. Maksudnya ketenangan (السَّكِينَةَ) itu ialah rasa aman dan tenang dalam hati.
  2. Allah turunkan ketenangan itu kerana; supaya orang yang beriman itu makin bertambah dan mantap iman mereka serta yakin dengan pertolongan dari Allah s.w.t akan datang.
  3. Kemudian Allah perkenalkan sifat & kuasa-Nya:
    i- Dia mempunyai tentera di langit dan bumi seperti malaikat, jin, manusia dan lain-lain.

ii- kemudian Allah s.w.t akan ambil tindakan ke atas siapa yang dikehendaki-Nya.
Allah beri tempoh itu bukan kerana Dia lupa tetapi sebagai beri peluang & tempoh.

iii- sifat Allah yang azali adalah Allah Maha Mengetahui, tiada apa yang tersembunyi dari ilmu-Nya, lagi Maha Bijaksana yang sempurna, penuh hikmah & adil iaitu meletakkan sesuatu yang sesuai pada tempatnya.

AYAT 5- {(ALLAH MELAKUKAN YANG DEMIKIAN) SUPAYA IA MEMASUKKAN ORANG-ORANG YANG BERIMAN – LELAKI DAN PEREMPUAN – KE DALAM SYURGA YANG MENGALIR DI BAWAHNYA BEBERAPA SUNGAI; DENGAN KEADAAN KEKAL MEREKA DI DALAMNYA, SERTA MENGHAPUSKAN DOSA-DOSA MEREKA; DAN ADALAH YANG DEMIKIAN ITU PADA SISI ALLAH MERUPAKAN KEJAYAAN YANG BESAR (UNTUK MEREKA);} (AL-FATH 48:5)

  1. Pertolongan kedua yang Allah beri adalah dengan memasukkan orang-orang yang beriman – lelaki dan perempuan – ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; dengan keadaan kekal mereka di dalamnya.
  2. Kemudian Allah hapuskan dosa-dosa mereka, ini adalah satu anugerah yang amat besar.
  3. Semua ini mereka tenang & sabar dalam menghadapi ujian dan cabaran itu, serta akur dengan perintah Allah dan Rasulullah s.a.w.
  4. Ini semua di sisi Allah merupakan kejayaan yang besar untuk mereka yang mendapat anugerah ini:
    i- ketenangan
    ii- masuk syurga
    iii- diampunkan dosa-dosa mereka.

Ya Allah jadikanlah kami golongan yang layak mendapat semua anugerah-Mu yang amat besar ini!

AYAT 6- {DAN SUPAYA IA MENYEKSA ORANG-ORANG MUNAFIK – LELAKI DAN PEREMPUAN, DAN ORANG-ORANG MUSYRIK – LELAKI DAN PEREMPUAN, YANG MENYANGKA TERHADAP ALLAH DENGAN SANGKAAN YANG BURUK (BAHAWA IA AKAN MENGECEWAKAN RASULNYA). ATAS MEREKALAH TERTIMPANYA BALA BENCANA YANG DIBAWA OLEH PEREDARAN ZAMAN; DAN (SELAIN ITU) ALLAH MURKAI MEREKA DAN MELAKNATKAN MEREKA SERTA MENYEDIAKAN UNTUK MEREKA NERAKA JAHANNAM; SEDANG NERAKA JAHANNAM ITU ADALAH SEBURUK-BURUK TEMPAT KEMBALI.} (AL-FAT-H 48:6)

  1. Dalam ayat ini Allah s.w.t sebut dengan jelas agar tiada kekeliruan tentang:
    i- orang-orang munafik – lelaki dan perempuan.
    ii- dan orang-orang musyrik – lelaki dan perempuan.
  2. Mereka ini menyangka terhadap Allah dengan sangkaan yang buruk bahawa Dia tidak akan menolong dan akan mengecewakan Rasul-Nya.
  3. Kata ulama\’: Sebab yang melayakkan mereka mendapat azab ini ialah kerana mereka bersangka buruk dengan Allah s.w.t, sangkaan yang tidak layak bagi Allah:
    i- mereka menyangka Allah tidak akan menolong Rasulullah s.a.w,

ii- Allah akan biarkan Rasulullah s.a.w untuk dibunuh oleh mereka kaum Quraisy.

iii- Allah s.w.t tidak akan beri kemenangan kepada hamba-hamba-Nya yang beriman untuk mengalahkan kafir musuhnya.

  1. Firman Allah s.w.t juga: {sedang segolongan yang lain yang hanya mementingkan diri sendiri, menyangka terhadap Allah dengan sangkaan yang tidak benar, seperti sangkaan orang-orang jahiliyah.} (A-li\’Imraan 3:154),
  2. Maka kerana sangkaan buruk itu, mereka ini akan:
    i- ditimpa bala bencana mengikut peredaran zaman. Iaitu pusingan azab dan kecelakan musibah yang akan menimpa mereka di atas dunia ini.
    *Pusingan awal dan pertama bala ke atas mereka ialah dengan matinya Abu Jahal dan 70 orang pemuka Quraisy lain di Badar.

ii- Allah s.w.t akan murka kepada mereka.

iii- mereka akan dilaknat iaitu jauh dari rahmat Allah s.w.t

iv- serta akan disediakan bagi mereka neraka Jahannam! Itulah seburuk-buruk tempat kembali!!! Na\’uzubillah.

AYAT 7- {DAN ALLAH MENGUASAI TENTERA LANGIT DAN BUMI (UNTUK MENYEKSA ORANG-ORANG YANG DERHAKA); DAN ALLAH ADALAH MAHA KUASA, LAGI MAHA BIJAKSANA.} (AL-FATH 48:7)

  1. Allah s.w.t mempunya tentera-Nya di langit dan di bumi. Segala makhluk termasuk air & angin adalah tentera yang dikuasai oleh Allah s.w.t selain manusia, malaikat & jin.
  2. Allah s.w.t itu bersifat dengan:
    i- yang Maha gagah perkasa (عَزِيزًا), tiada yang boleh menyekat kekuasaan-Nya.

ii- dalam masa yang sama Allah s.w.t itu juga Maha Bijaksana (حَكِيمًا) dalam mengurus dan mentadbir dunia serta segala makhluk ciptaan-Nya.

  1. Kita wajib bersukur atas nikmat Islam & Iman, suka menuntut ilmu & mencintai Sunnah Nabi s.a.w.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 4- {(Tuhan yang membuka jalan kemenangan itu) Dia lah yang menurunkan semangat tenang tenteram ke dalam hati orang-orang yang beriman}- Allah yang menurunkan ketenangan (السَّكِينَةَ) kepada orang yang beriman. Ketenagan ini jika datang dari Allah s.w.t, banyak benda yang kita akan dapat. Kita mahukan ketenangan dalam kehidupan beragama terutamanya!

Kata para ulama\’ Islam ada 6 tempat Allah sebut perkataan Sakinah (السَّكِينَةَ) dalam al-Quran:
Firman Allah s.w.t:
i- {Yang mengandungi (sesuatu yang memberi) ketenteraman jiwa (السَّكِينَةَ) dari Tuhan kamu,} [Al-Baqarah: 248].

ii- {Kemudian Allah menurunkan semangat tenang tenteram (السَّكِينَةَ) kepada RasulNya dan kepada orang-orang yang beriman, dan Allah menurunkan tentera yang kamu tidak melihatnya.} (At-Taubah 9:26)

iii- {ketika ia berkata kepada sahabatnya: \”Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita\”. Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram (السَّكِينَةَ) kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya.} (At-Taubah 9:40)

iv- {(Tuhan yang membuka jalan kemenangan itu) Dia lah yang menurunkan semangat tenang tenteram (السَّكِينَةَ) ke dalam hati orang-orang yang beriman} [Al-Fath: 4]

v- {Demi sesungguhnya! Allah reda akan orang-orang yang beriman, ketika mereka memberikan pengakuan taat setia kepadamu (wahai Muhammad) di bawah naungan pohon (yang termaklum di Hudaibiyah); maka (dengan itu) ternyata apa yang sedia diketahuiNya tentang (kebenaran iman dan taat setia) yang ada dalam hati mereka, lalu Ia menurunkan semangat tenang tenteram (السَّكِينَةَ) kepada mereka, dan membalas mereka dengan kemenangan yang dekat masa datangnya;} (Al-Fath 48:18)

vi- {Lalu Allah menurunkan semangat tenang tenteram (السَّكِينَةَ) kepada Rasul-Nya dan kepada orang-orang yang beriman (sehingga tercapailah perdamaian),} (Al-Fath 48:26)

Menurut kajian para ulama\’ ini berdasarkan pengalaman & amalan mereka, ini bukan hadis Nabi s.a.w:
i- Ahmad bin Abdul Halim, Ibnu Taimiyyah rhm. yang sentiasa diuji dan ditohmah dengan pebagai fitnah & tuduhan, katanya: \”Apabila bersangatan ujian dan tekanan atas diriku, (selain membaca zikir-zikir yang diajar Nabi s.a.w), maka aku baca ayat-ayat (السَّكِينَةَ) ini, alhamdulillah aku menjadi tenang seolah tiada apa yang berlaku terhadap diriku.\”

ii- Ibnu Qayyim rhm. berkata dia juga membaca ayat-ayat (السَّكِينَةَ) apabila ada kerunsingan dan terasa kesannya.

iii- Ini termasuk dalam usaha dan ikhtiar berubat dengan al-Quran, usaha bagi orang yang kemurungan dan mengadapi tekanan hidup, insya\’ Allah. Al-Quran sebagai penawar untuk roh & fizikal.

  1. Ayat 4- {(Tuhan yang membuka jalan kemenangan itu) Dia lah yang menurunkan semangat tenang tenteram ke dalam hati orang-orang yang beriman}- jelas di sini Allah sebut Dia turunkan (أَنْزَلَ) ketenangan ke dalam hati orang mukmin
    Ini berbeza dengan perkataan campak (وَقَذَفَ) – iaitu Allah campakkan ke dalam hati puak kafir perasaan takut sehingga mereka bertempiaran lari mengundur diri sebagaimana dalam perang Ahzab.

Firman Allah s.w.t: {(وَقَذَفَ فِي قُلُوبِهِمُ الرُّعْبَ)- Setelah dicampakkan ke dalam hati mereka dengan perasaan gerun. (Lalu mereka diadili dan dijatuhkan (hukuman);} (Al-Ahzaab 33:26)

Terdapat perbezaan dalam firman Allah s.w.t ini:
i- bila kata Allah turunkan (أَنْزَلَ) itu ia akan teguh serta lekat dalam hati tidak bergoyah dan berubah lagi dengan apa yang berlaku,

ii- manakala apabila sesuatu dicampak (وَقَذَفَ) ia akan bergoyanng dan habis bergetar segala benda. Hati puak kafir bergetar dan bergoyang sehingga tidak teguh.

  1. Ayat 4- {(Tuhan yang membuka jalan kemenangan itu) Dia lah yang menurunkan semangat tenang tenteram ke dalam hati orang-orang yang beriman}- ulama\’ kata ketenangan itu ialah apabila hati tenang, maka ia akan terzahir atas anggota yang lain.
    Ketenangan yang Allah kurniakan kepada para nabi pastilah lebih tinggi darjatnya daripada orang mukmin lain, seperti:
    i- Nabi Ibrahim a..s apabila mahu dicampak ke dalam api.

ii- Nabi Musa a.s apabila berdepan dan terkepung oleh Firaun.

iii- Nabi Muhammad s.a.w ketika berada dalam gua bersama sahabatnya apabila dikejar oleh Quraisy.

iv- Allah s.w.t bagi ketenangan kepada para pengikut rasul pula mengikut tahap keimanan mereka.

  1. Ayat 5- {(Allah melakukan yang demikian) supaya ia memasukkan orang-orang yang beriman – lelaki dan perempuan – ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; dengan keadaan kekal mereka di dalamnya, serta menghapuskan dosa-dosa mereka;}- persoalan; kenapa Allah sebut masuk syurga dulu baru diampunkan dosa? Sedangkan orang berdosa tidak boleh masuk syurga?

Jawapan:
i- Allah hapuskan dosa dan beri pengampunan itu apabila seseorang itu layak ke syurga maka Allah berinya keampunan & hapuskanlah dosanya.

ii- huruf wa (dan) di sini bukan menunjukkan tertib turutan perbuatan, masuk syurga kemudian diampunkan dosa, tetapi hanya tertib dari segi sebutan sahaja.

iii- maksud masuk syurga di sini ialah mereka yang masuk syurga dengan cara khas bagi darjat yang tinggi seperti para mujahid yang berjihad di jalan Allah, tetamu khas atau VIP.

iv- dinyatakan masuk syurga dulu supaya kita orang yang beriman ini cepat-cepat memohon keampunan dari Allah Azza wa Jalla untuk melayakkan kita masuk syurga.

  1. Ayat 6- {Dan supaya Ia menyeksa orang-orang munafik – lelaki dan perempuan, dan orang-orang musyrik – lelaki dan perempuan,}- laknat kemurkaan bagi orang yang syirik yang bersangka buruk kepada Allah s.w.t!

Allah s.w.t azab mereka ini dengan tiga keadaan:
i- pusingan yang jahat dengan bala yang besar.
ii- Allah s.w.t murka
iii- Allah laknat
iv- Allah sediakan neraka.

Kata ulama\’, Allah tidak kumpul azab dan janji siksaan ke atas seseorang yang banyak ini sebagaimana Allah s.w.t kumpulkan ke atas orang yang syirik kepada Allah s.w.t.

Jika dia bersangka buruk kepada Allah s.w.t dia akan jadi syirik, jika orang yang bersangka baik dia akan jadi orang mukmin!

Orang yang bersangka buruk kepada Allah s.w.t dipanggil sebagai sangkaan jahiliyyah iaitu orang yang jahil, orang yang bodoh, sangkaan yang tidak baik kepada Allah! Mereka adalah kafir dan pakej azabnya bertindan-tindan, na\’uzubillah.

Kita minta perlindungan dari Allah s.w.t dari ditinggalkan tanpa bimbingan petunjuk dan hidayah dari-Nya.

Powered by BetterDocs