PUJIAN BAGI ALLAH, KENALI 4 SIFAT-NYA YANG AGUNG & MOHON JALAN YANG LURUS.
Full video : https://youtu.be/qpqqBdH3GrU?si=CtydUU36GvxyDSLa
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah, syukur kepada Allah s.w.t kerana pada pagi ini, Isnin 18 Safar 1445H bersamaan 4hb September 2023 kita dapat sambung pengajian Kuliah tafsir bagi Surah Al-Fatihah- سورة الفاتحة.
- Semoga Allah s.w.t qabulkan amalan kita, buka dan cerahkan hati kita untuk menerima panduan & hidayat dari Al-Quran ini yang dapat membawa kita syurga-Nya.
- Surah Al-Fatihah – سورة الفاتحة adalah surah yang pertama dalam tertib susunan Al-Quran, surah yang pertama dalam juz yang pertama kerana itu dinamakan surah Al-Fatihah (Pembuka). Mengandungi 7 ayat yang pendek.
- Semoga Allah s.w.t beri kita pertolongan & hidayah untuk memahami Kitab-Nya yang mulia ini dari awal sehingga akhirnya, dengan penuh semangat serta istiqomah untuk belajar bersama dalam majlis ilmu samada di alam nyata atau alam maya.
Mudah-mudahan Allah s.w.t ubah gaya hidup kita ke arah yang lebih baik, yang diredhai Allah s.w.t.
Dengan penuh keikhlasan kita hanya menyembah Allah & hanya kepada Allah kita minta pertolongan.
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ
AYAT 1- {DENGAN NAMA ALLAH, YANG MAHA PEMURAH, LAGI MAHA MENGASIHANI.} (AL-FATIHAH 1:1)
- Ayat pertama ini adalah Basmalah.
i- tentang hukum Bismillah ini kita telah bincangkan dalam siri yang lepas samada ia adalah satu ayat dari Al-Fatihah seperti yang kita amalkan di sini di mana ia tertulis dalam mushaf & diberi no.1 untuk surah ini.
Atau bukan dari Al-Fatihah, ada khilaf ulama’ tentangnya.
ii- ia juga dibaca dalam solat & luar solat.
- Cuma ada khilaf pula dalam solat nak baca kuat atau perlahan.
- Tentang Basmalah ini juga maksudnya:
i- Allah (اللهِ) adalah lafzul-Jalalah (لفظ الجلالة) lafaz nama Allah yang mulia.
ii- Allah s.w.t bersifat kasihan belas pemurah (الرَّحْمٰنِ) kepada semua makhluk-Nya manusia atau haiwan, yang beriman atau tidak.
iii- kemudian Allah juga bersifat amat mengasihani (الرَّحِيْمِ) khas kepada hamba-Nya yang beriman!
Orang bukan Islam dapat satu saja iaitu (الرَّحْمٰنِ) kerana mereka derhaka kepada Allah s.w.t manakala orang beriman dapat kedua-duanya (الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ).
AYAT 2- {SEGALA PUJI TERTENTU BAGI ALLAH, TUHAN YANG MEMELIHARA DAN MENTADBIRKAN SEKALIAN ALAM} (AL-FATIHAH 1:2)
- Segala puji { ٱلْحَمْدُ} yang tertentu hanya bagi Allah s.w.t. Maha Suci Allah s.w.t, tidak ada yang berhak yang menerima pujian yang mutlak ini kecuali Allah s.w.t sahaja. Ia adalah Pujian yang berterusan & tidak putus.
- Kita puji kerana kita cinta & sayang Allah s.w.t serta mengagungkan Allah s.w.t.
- Pujian itu ialah cara atau keadaan yang menzahirkan segala sifat yang baik & sempurna bagi yang dipuji seperti sifat kecantikan, kebesaran, kekuasaan & keagungan.
Kerana semua ini hanya Allah s.w.t yang memiliki segala sifat yang sempurna & agung ini; maka hanya Allah s.w.t yang berhak menerima segala pujian itu sebagaimana Dia juga berhak memuji ke atas Zat-Nya sendiri selayaknya.
- Kita dilarang untuk memuji sesama manusia di depan serta jangan melampaui dalam pujian.
Rasulullah s.a.w telah melarangnya dengan mengatakan kamu telah mematahkan leher saudar kamu dengan pujian kamu itu!
Kerana ia boleh membawa penyakit hati & merosakkan serta mencelarukan fikirannya.
Apatah lagi jika pujian hanya luaran saja, untuk mengampu, membodek dan seumpamanya.
Sabda Rasulullah s.a.w:
Jika kamu melihat seseorang yang terlalu suka memuji maka lemparkanlah pasir di hadapan muka mereka. [HR Muslim 5323].
- Segala puji { ٱلْحَمْد} bagi Allah {لِلَّهِ} yang bersifat dengan sifat Ketuhanan; hanya Allah yang berhak dipuja & disembah (المعبود).
Orang lain tiada hak untuk dipuja atau dipuji apatah lagi disembah!
- Allah perkenalkan dirinya kepada kita sebagai Tuan (سيد) Pemilik (مالك) alam ini { رَبِّ ٱلْعَـٰلَمِينَ}.
Inilah sifat Allah yang termasuk dalam Tauhid Rububiyyah- kita Esakan Allah s.w.t dalam bab Ketuanannya, sebagai Pemilik & Pentadbir alam ini!
Semua jenis makhluk pada setiap masa & zaman berada di bawah milik & tadbiran Allah s.w.t.
- Dihuraikan dengan firman Allah s.w.t ini juga ketika Nabi Musa a.s berdebat dengan Firaun:
{Firaun berkata (dengan sombongnya): “Dan apa dia Tuhan sekalian alam itu?”
Nabi Musa menjawab. “Dia lah yang memiliki dan mentadbirkan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya, kalaulah kamu mahu mendapat keyakinan dengan berdalil maka inilah jalannya”.
Firaun berkata kepada orang-orang yang ada di sekelilingnya: “Tidakkah kamu dengar (apa yang dikatakan olehnya)?”
Nabi Musa menegaskan lagi: “Dia lah Tuhan yang memiliki dan memelihara kamu dan Tuhan datuk nenek kamu yang telah lalu.”
Firaun berkata (kepada orang-orangnya): “Sebenarnya Rasul yang diutuskan kepada kamu ini, sungguh gila?”
Nabi Musa (menerangkan lagi tentang keesaan Allah dan kekuasaanNya dengan) berkata:
“Dia lah yang memiliki dan menguasai timur dan barat serta segala yang ada di antara keduanya; kalau kamu orang-orang yang berakal tentulah memahamiNya!”} (Asy-Syu’araa’ 26: 23-28)
Ayat-ayat ini adalah penjelasan oleh Nabi Musa a.s kepada Firaun yang cuba mengenal Tuhan.
Tetapi Firaun tetapi ingkar & tidak mahu beriman kerana takut hilang kekuasaan & jawatan.
Inilah punca besar kerosakan manusia pada sepanjang zaman!
AYAT 3- {YANG MAHA PEMURAH, LAGI MAHA MENGASIHANI.} (AL-FATIHAH 1:3)
- Tuhan yang Maha Pemurah (الرَّحْمٰنِ), lagi Maha Mengasihani (الرَّحِيْمِ).
- Munasabah ayat:
i- dalam dua ayat sebelum ini Allah s.w.t perkenalkan Zat-Nya dengan sifat Ketuanan-Nya, sebagai Tuhan Pencipta & Pemilik sekelian Alam yang amat hebat ini!
Semua perkara atas dunia ini di bawah kekuasaan & pemilikan Allah s.w.t. apabila mendengar penjelasan ini mungkin akan tergambar dalam kepala kita bahawa Allah s.w.t yang Maha berkuasa itu adalah yang (Jabbar) iaitu Maha Ganas, Kuat, & Garang.
ii- maka Allah nyatakan bahawa Dia juga Tuhan yang bersifat dengan penuh dengan rahmat (الرَّحْمٰنِ) & kasihan-belas (الرَّحْمٰنِ)
Iaitu kamu manusia jangan bimbang & takut jika kamu tersalah langkah terjebak dalam dosa maksiat, kembalilah bertaubat kepada Allah
Ini supaya orang yang bersalah tidak putus harapan & orang yang kuat jangan rasa besar!
- Susunan ayat ini juga menunjukkan bahawa Allah s.w.t tidak berhajat kepada seluruh manusia.
Jika kamu tidak menyembah Allah, tidak kurang kedudukan & kekuasaan Allah s.w.t, tetapi kamu yang akan kerugian dunia akhirat kerana tidak beriman dan taat.
- Dari segi makna: dua sifat (الرَّحْمٰنِ) & (الرَّحْمٰنِ)
ini diambil dari kalimah rahmat (الرحمة):
i- untuk menunjukkan bahawa Allah s.w.t itu sangat Pemurah, sangat Pengasihani, sangat luas rahmat & limpah kurnia-Nya kepada seluruh makhluk.
- Tetapi ada perbezaan antara dua sifat ini iaitu:
i- Rahman (الرَّحْمٰنِ)- pemurah kepada seluruh makhluk, seperti mendapat rezeki atas dunia ini.
ii- Rahim (الرَّحِيْمِ)- Kasih-sayang yang khas untuk hamba-Nya yang beriman!
Manakala yang tidak beriman tetap akan dicampakkan ke dalam neraka!
- Firman Allah s.w.t:
{Dia lah yang memberi rahmat kepada kamu, dan malaikatNya pula (berdoa bagi kamu) untuk mengeluarkan kamu dari gelap-gelita (kufur dan maksiat) kepada cahaya yang terang-benderang (iman dari taat); dan adalah Ia sentiasa Melimpah-limpah rahmat-Nya kepada orang-orang yang beriman (di dunia dan di akhirat).} (Al-Ahzaab 33:43)
- Ya Allah jadikanlah kami orang yang mendapat rahmat & kasih-sayangMu di dunia & akhirat.
AYAT 4- {YANG MENGUASAI PEMERINTAHAN HARI PEMBALASAN (HARI AKHIRAT).} (AL-FATIHAH 1:4)
- Allah nyatakan sifat-Nya, pemilik hari pembalasan iaitu hari akhirat.
- Munasabah ayat:
i- setelah Allah menyifatkan Zat & diri-Nya dengan dua sifat Rahmat & Pemurah ini- menyebabkan orang-orang terlalu mengharapkan rahmat & keampunan-Nya dan mengambil mudah, kenapa buat begini?
Tak amengapa Allah s.w.t Maha Pengampun, Allah Maha Pemurah, Maha kasih sayang dan seumpamanya; maka Allah bagi brake, had peringatan.
ii- maka Allah bagi peringatan dengan nyatakan sifat-Nya sebagai pemilik & penguasa Hari Pembalasan.
Yakni ingatlah di hadapanmu ada syurga ada neraka, ada pembalasan baik & buruk!
Maka berhati-hatilah dalam bertindak dan buat sesuatu, kita fikir kepada masa depan, ingat akan hari pembalasan & hari perhitungan bagi segala amalan ini!
- Ada dua bacaan untuk perkataan {مَـٰلِكِ} ini:
i- ada huruf alif (ا) selepas huruh mim (م) panjang sedikit bacaannya {مَـاٰلِكِ} maknanya Allah s.w.t yang berkuasa dari segi perbuatan.
ii- tanpa huruf alif {مَـٰلِكِ} Allah s.w.t yang berkuasa ke atasnya dengan perkataan & arahan.
Yakni kesimpulannya semua ini di bawah kekuasaan Allah s.w.t samada dari segi perbuatan & perintah arahan!
- Apabila kita ingat akan hari Pembalasan kelak kita akan beringat & berhati-hati dalam perbuatan & tindak-tanduk kita, sama seperti atas dunia ini apabila ada audit kita pun beringat dan berhati-hati!
- Dijelaskan dengan firman Allah s.w.t ini:
i- {(Hari itu ialah) hari seseorang tidak dapat memberikan pertolongan sedikitpun kepada orang lain, dan segala urusan pada hari itu tertentu bagi Allah.} (Al-Infitaar 82:19)
ii- {Iaitu hari mereka keluar (dari kubur masing-masing) dengan jelas nyata; tidak akan tersembunyi kepada Allah sesuatupun dari hal keadaan mereka. (Pada saat itu Allah berfirman): “Siapakah yang menguasai kerajaan pada hari ini? (Allah sendiri menjawab): “Dikuasai oleh Allah Yang Maha Esa, lagi Yang Mengatasi kekuasaanNya segala-galanya!} (Ghaafir 40:16)
AYAT 5- {ENGKAULAH SAHAJA (YA ALLAH) YANG KAMI SEMBAH DAN KEPADA ENGKAULAH SAHAJA KAMI MEMOHON PERTOLONGAN.} (AL-FATIHAH 1:5)
- Hanya kepada Allah kita sembah, hanya Allah yang berhak disembah & dipuja-puji.
Ini adalah pemurnian aqidah.
- Yakni kita tidak sembah kecuali hanya kepada Allah!
Kita merendah diri & menghina diri kepada Allah yang Esa, tiada sekutu bagi-Nya.
- Kita juga tidak meminta tolong kecuali kepada-Mu ya Allah, Yang Esa, Yang Tunggal yang tiada Tuhan selain dari-Nya.
Ini pergantungan kepada Allah s.w.t, jangan bergantung kepada makhluk dalam hal pergantungan hati.
- Tetapi minta pertolongan sesama makhluk dalam urusan dunia adalah harus dibolehkan; seperti kita minta duit dari ayah, minta nasi dari ibu, minta ubat & jumpa doktor apabila sakit, minta tukang jahit baju dan seumpamanya.
Sesiapa yang kata perbuatan ini juga syirik (menyamakan dengan minta doa/tolong dengan orang yang telah mati) amat sempit & dangkal pemikirannya!
- Menurut huraian Sahibul-Fadhilah Datuk Haji Muhammad Noor, mantan Mufti Kelantan serta penyemak Kitab Tafsir Ar-Rahman ini:
Satu-satunya jalan bagi menyatakan iman dan taqwa kepada Allah Yang Maha Pemurah dan Maha Kuasa, yang menguasai hari Pembalasan (hari Akhirat), ialah dengan beribadat atau memperhambakan diri kepada-Nya dengan penuh rasa ikhlas dan tawadhu’.
Tidak ada lain yang berhak disembah atau diperhambakan diri kepadanya selain dari Allah Yang Maha Kuasa; demikian juga tidak ada lain tempat kita memohon pertolongan selain dari Allah Yang Maha Pemurah.
Pengertian “ibadat” secara ringkas dapat diertikan sebagai menunjukkan rasa taat setia dan perhambaan diri kepada Allah ‘Azza wa Jalla yang dikenangkan limpah kurnia kebaikannya serta dirasai dalam hati nurani akan kehebatan kekuasaanNya.
Allah Ta’ala perintahkan supaya kita tidak menyembah selain-Nya, kerana Dialah sahaja Tuhan yang wajib disembah dengan sebenar-benarnya.
Kita juga diperintahkan supaya hanya memohon pertolongan kepada-Nya.
Ayat ini seolah-olah bertentangan dengan ayat 2, surah Al-Ma’idah:
(وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ)
yang menyuruh manusia bertolong-tolongan antara satu sama lain dalam membuat amal kebajikan dan bertaqwa kepada Allah. Yang bererti kita disuruh supaya meminta pertolongan sesama manusia; sementara ayat 5 dalam surah Al-Fatihah ini menyuruh supaya kita hanya memohon pertolongan kepada Allah semata-mata.
Sebenarnya tidak ada pertentangan di antara kedua-dua ayat itu, kerana usaha dan amal perbuatan manusia adalah bergantung kepada adanya sebab-sebab yang dapat menghasilkan kejayaan itu dan ketiadaan halangan-halangan yang merintanginya.
Demikianlah kejadian alam ini, segala yang berlaku itu pada keseluruhannya adalah melalui adanya sebab-sebab dan syarat-syarat yang telah diatur oleh Allah ‘Azza wa Jalla.
Manusia sebagai makhluk Tuhan telah diberikan nikmat ilmu pengetahuan melalui akal fikirannya yang waras, di samping itu diberikan tenaga kekuatan untuk mengatasi sesuatu halangan.
Oleh itu, yang menjadi tanggungjawab bagi manusia ialah menggunakan segala ikhtiar dan daya usaha, meliputi cara-cara bergotong-royong dan bantu-membantu antara satu sama lain, yang disertakan dengan doa memohon bantuan dan pertolongan kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala.
Semuanya ini adalah merupakan sebab-sebab yang telah ditentukan oleh Allah bagi perlaksanaan sesuatu pekerjaan. Dan segala-galanya itu tidak lain hanyalah merupakan usaha ikhtiar kita sahaja.
Setelah kita berusaha dan berikhtiar maka kita serahkan pula penentuan natijah kesan dari usaha kita itu kepada Allah Yang Maha Kuasa.
Usaha & sebab tidak menghalang pergantungan kita kepada Allah. Kita boleh usaha tetapi adakalanya menjadi adakala tidak!
AYAT 6- {TUNJUKILAH KAMI JALAN YANG LURUS.} (AL-FATIHAH 1:6)
- Munasabah ayat:
i- setelah Allah perintahkan kita untuk hanya sembah & minta pertolongan dengan Allah sahaja maka datanglah ayat ini!
ii- maka datanglah permohonan ini- kita disuruh minta jalan yang lurus kerana kita tidak akan sampai kepadanya iaitu jalan yang diredhai melainkan dengan petunjuk dari Allah s.w.t.
- Kata Ibnu Jarir rhm : Ijma’ para ulama’ tafsir bahawa {ٱهْدِنَا ٱلصِّرَٰطَ ٱلْمُسْتَقِيمَ} ialah jalan yang lurus iaitu Al-Quran & panduan dari hadis Rasulullah s.a.w yang kita beramal dengannya.
- Pertunjuk hidayah yang dipohonkan di sini ialah pertunjuk yang disertakan dengan taufik supaya kita sentiasa berada pada jalan yang diredhai Allah.
- Hadis Qudsi sebelum ini, Allah bahagi dua solat ini antara-Nya dengan hamba-Nya.
Apabila sampai kepada ayat {Tunjukilah kami jalan yang lurus.} {ٱهْدِنَا ٱلصِّرَٰطَ ٱلْمُسْتَقِيمَ} Allah jawab maka bagi hamba Aku apa yang dia minta!
AYAT 7- {IAITU JALAN ORANG-ORANG YANG ENGKAU TELAH KURNIAKAN NIKMAT KEPADA MEREKA, BUKAN (JALAN) ORANG-ORANG YANG ENGKAU TELAH MURKAI DAN BUKAN PULA (JALAN) ORANG-ORANG YANG SESAT.} (AL-FATIHAH 1:7)
- Ada setengah Al-Quran membahagi dua ayat ini iaitu meletakkan no 6 & 7 kerana bagi mereka Basmalah tidak termasuk dalam ayat surah Al-Fatihah.
Mushaf yang kita guna Basmalah ditulis sebagai ayat pertama bagi surah Al-Fatihah.
- Kita memohon kepada Allah s.w.t agar diberi hidayah kepada jalan yang lurus.
Bukan orang yang sebaliknya iaitu orang yang dimurkai Allah {ٱلْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ} atau orang sesat {ٱلضَّآلِّينَ}.
- Orang yang dapat hidayah ini ialah: Orang yang tahu apa yang benar serta dia beramal dengannya!
Bukan tahu tetapi tidak beramal maka mereka akan dimurkai Allah {ٱلْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ} atau beramal tanpa ilmu maka mereka adalah orang yang sesat {ٱلضَّآلِّينَ}.
- Jadi kita orang yang beriman, kita nak tahu yang benar maka kita beramal dengannya, serta mengikut apa yang diputuskan oleh Allah s.w.t & menjauhi apa yang dilarang-Nya dengan penuh ikhlas dan mengikut Nabi s.a.w.
- Siapakah mereka ini?
Allah s.w.t berfirman:
{Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu Nabi-nabi, dan orang-orang Siddiqiin, dan orang-orang yang Syahid, serta orang-orang yang soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang-orang yang taat).} (An-Nisaa’ 4:69)
- Huraian: Orang yang dikurniakan nikmat oleh Allah s.w.t kepada mereka ialah Nabi-nabi, rasul-rasul, orang-orang yang benar Siddiqiin, dan orang-orang yang Syahid, orang-orang yang beriman & beramal soleh, yang membimbing manusia ke arah kebaikan samada dengan perbuatan yang baik & perkataan yang murni serta sanggup menanggung beban & tanggungjawab dengan penuh Ikhlas, sabar & bertaqwa.
- Mereka yang mendapat nikmat itu bukanlah daripada golongan ini, iaitu:
i- orang yang dimurkai Allah {ٱلْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ} ialah yahudi & pengikutnya yang menukar perjalanan agama, tahu tetapi dia seleweng.
Firman Allah s.w.t:
a- {Katakanlah: “Mahukah, aku khabarkan kepada kamu tentang yang lebih buruk balasannya di sisi Allah daripada yang demikian itu? Ialah orang-orang yang dilaknat oleh Allah dan dimurkai-Nya, dan orang-orang yang dijadikan di antara mereka sebagai kera dan babi, dan penyembah Taghut.
Mereka inilah yang lebih buruk kedudukannya dan yang lebih sesat dari jalan yang betul”.} (Maidah:60)
b- {Dengan sebab itu sudah sepatutnya mereka mendapat kemurkaan Allah bertalu-talu, dan orang-orang yang kafir itu akan beroleh azab sengsara yang menghinakan.} (Al-Baqarah 2:90)
i- orang yang sesat {ٱلضَّآلِّينَ} pula ialah mereka yang mengikut jejak langkah puak nasrani yang beribadat tanpa ilmu!
Sembah Allah tanpa ilmu ini bahaya sekali!
Firman Allah s.w.t tentang mereka ini pula:
a- {Katakanlah: “Wahai Ahli Kitab! Janganlah kamu melampau dalam agama kamu secara yang tidak benar, dan janganlah kamu menurut hawa nafsu suatu kaum yang telah sesat sebelum ini dan telah menyesatkan banyak manusia, dan juga (sekarang) mereka telah tersesat (jauh) dari jalan yang betul.”} (Al-Maaidah 5:77)
b- Hadis Rasulullah s.a.w bersabda:
الْيَهُوْدُ مَغْضُوْبٌ عَلَيْهِمْ وَالنَّصَارَى ضَالُّوْنَ
“Yahudi itu dimurkai dan kaum Nasara adalah orang-orang yang sesat”.
(HR. Tirmizi daripada ‘Adi bin Hatim رضي الله عنه, disahihkan Al-Albani رحمه الله dalam Sahih Al-Jami’ no 8202)
- Nota 6 Pimpinan: Menurut hadis Nabi s.a.w; jelaslah orang yang dimurkai itu kaum Yahudi dan orang-orang yang sesat adalah kaum Nasrani/Nasara.
Ada juga ahli tafsir yang memberika huraian lanjut tentangnya.
Kesimpulannya sebagaimana kata Hj Muhammad Nor:
A) Orang-orang yang dimurkai oleh Allah ialah orang-orang yang mengingkari atau menyembunyikan sesuatu perkara agama yang diketahui betul atau benar.
Atau orang yang tidak mahu menerima sesuatu hukum agama yang sampai kepadanya dengan keterangan yang jelas & nyata kerana beberapa sebab yang mempengaruhi jiwanya.
Yakni dia tahu perkara itu benar, tahu perbuatan itu ikut Sunnah Nabi, tetapi tidak mahu menerimanya kerana takut hilang sokongan & pengikut.
Antara punca orang tidak mahu menerima kebenaran:
i- perasaan taksub & fanatik kepada sesuatu pendapat.
ii- keinginan hendak menjaga nama & taraf kedudukan.
iii- ingatan hendak memelihara keadaan & kedudukan yang turun-temurun.
iv- atau fikiran nak menghormati keadaan & suasana masyarakat.
Kita nak menjalankan hukum Syari’ah ini jangan kira masyarakat marah, kerana kita hendak menjalankan hak Allah s.w.t
B) Orang yang sesat {ٱلضَّآلِّينَ} pula ialah: orang yang tidak berpengetahuan agama kerana tidak berusaha mempelajarinya atau orang yang pengetahuan agamanya tidak betul kerana belajar tidak menurut peraturan & jalan yang sebenar.
Mereka ini kalaupun tidak sesat dalam urusan kebahagiaan hidup atas dunia kerana sihat pancaindera & tepat pendapat akal pada zahirnya tetapi tidak dapat tidak pasti mereka akan sesat dalam urusan kebahagiaan hidup akhirat kerana hanya pengetahuan agama yang dapat menunjuk kebahagiaan & memimpin jalan ke akhirat.
Kesimpulannya jelaslah: Yahudi ialah orang yang tahu tapi seleweng perjalanan agama manakala Nasrani yang sesat ialah mereka yang mereka-reka perjalanan ibadat yang tidak dianjurkan dalam agama.
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 1- {Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.} & Ayat 2- {Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang Memelihara dan Mentadbirkan sekalian alam}
Elok sekali pembukaan Al-Quran ini; dimulakan Al-Quran dengan surah yang mulia ini dengan menyebut nama Allah kemudian diikuti dengan pujian kepada Allah s.w.t, begitulah juga caranya untuk kita jika nak mula bercakap atau berdoa.
Pujian (ٱلْحَمْدُ) itu pula mutlaq keseluruhannya; yakni semua pujian itu hanya khas untuk Allah semata-mata.
Dibawa pula ayat dalam jumlah ismiyyah (جملة الإسمية) yakni pujian itu berterusan & tidak putus-putus serta hanya kepada Allah s.w.t semata.
Allah mulakan ayat ini dengan menyebut sifat Ketuhanan-Nya (Ilah-tauhid Uluhiyyah) sebelum menyebut sifat Ketuanan-Nya (Rabb-tauhid Rubibuiyyah)- ini kerana lafaz Ilah (Allah) itu nama khas kepada Allah s.w.t semata-mata; makhluk lain tidak boleh gunanya, tetapi jika sebut Rabb (tuan) boleh digunakan untuk makhluk lain- tuan rumah tuan kereta dan lain-lain.
Yakni untuk menyatakan Ketuanan yang hakiki semuanya duduk di bawah kekuasaan Allah s.w.t!
- Surah Al-Fatihah ini merangkumi semua perkara dari sudut aqidah & gambaran Islam.
Ini kerana Allah s.w.t sebut empat sifat-Nya yang mulia:
i- Pemilik alam ini {رَبِّ ٱلْعَـٰلَمِينَ}.
ii- bersifat Pemurah {ٱلرَّحْمَـٰنِ}.
iii- bersifat Kasihan Belas {ٱلرَّحِيمِ}.
iv- serta Pemilik hari Pembalasan {مَـٰلِكِ يَوْمِ ٱلدِّينِ}.
Sempurna sifat-Nya Pemilik alam ini yang bersifat Pemurah & amat Kasihan Belas serta Pemilik hari Pembalasan! Kedua jenis sifat ada, yang Rahmah & yang berkuasa.
Jadi orang baik pun suka & orang yang tidak baik pun kena akur bahawa inilah sifat Allah s.w.t yang kita kena akui.
- Ketuanan Allah s.w.t terbina atas rahmat yang sangat luas!
Pemurahnya Allah s.w.t: Nikmat rezeki-Nya dapat dinikmati oleh semua samada orang kafir atau yang beriman!
Yakni kamu jangan bimbang walaupun Kuasa Allah s.w.t mutlaq, Dia juga bersifat Pemurah & bersifat Kasihan Belas.
Kemudian supaya kita tidak lagha, sombong, keras kepala, lupa diri lupa daratan, Allah peringatkan kita dengan sifat-Nya sebagai Pemilik hari Pembalasan.
- Ayat 5- {Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.}
Allah nafikan semua benda syirik, nafikan kuasa makhluk, kita ikut semua perintah Allah.
Al-Fatihah adalah rahsia Al-Quran, manakala rahsia Al-Fatihah terletak dalam ayat 5 ini:
i- {Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah- إِيَّاكَ نَعْبُدُ} – menafikan segala bentuk syirik kepada Allah s.w.t. Hanya Allah yang kita sembah.
ii- {dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan- وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ}- menafikan segala kuasa kita hanya Allah yang berkuasa & kita bertawakkal kepada Allah semata-mata.
Inilah rahsia Al-Fatihah yang terletak dalam ayat ini; iaitu supaya kita sentiasa sembah Allah s.w.t & sentiasa memohon permintaan hanya kepada Allah s.w.t.
Antara permintaan yang paling besar ialah agar diberi petunjuk kepada jalan yang lurus!
- Ayat 7- {Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.} Dimulai dengan makhluk yang dimurkai Allah adalah golongan yang sangat dimurkai oleh Allah.
Persoalan: Kenapa Allah s.w.t mulakan dengan orang yang dimurkai-Nya dahulu sebelum orang yang sesat?
JAWAPAN :
i- kerana orang dimurkai Allah ini ialah mereka sangat menyalahi arahan Allah!
Dia tahu tetapi seleweng kebenaran, dia tahu tetapi dia tukar atau sembunyikan fakta. Mereka putar belit & ubah maklumat.
Maka mereka ini lebih jahat daripada;
ii- orang yang sesat, yang tiada ilmu lalu beribadat ikut nafsu semata.
Keduanya salah tetapi yang tahu lebih berat & jahat!
Ayat ini mengajar kepada kita dua perkara:
i- kita sebagai orang Islam jika kita tahu kebenaran- nyatakannya walaupun dimarah oleh orang! Walaupun ia ikut Al-Quran & Sunnah tetapi tak buat atau tidak nyatakannya kerana takut digam, diboikot dan seumpamanya.
Jangan takut kepada manusia atau nak cari redha manusia- kita mahu redha Allah & takut akan kemurkaan-Nya.
ii- jangan ikut ajaran sesat yang tiada sandaran dalil!
Jangan reka-reka ibadat untuk menarik perhatian orang.
Agama kita ini agama ilmu & bersandarkan dalil yang sahih!
Doa- semoga Allah memberi petunjuk & bimbingan kepada kita untuk sentiasa berada di jalan yang lurus, jalan yang Allah redhai, bukan jalan orang Allah murkai bukan juga jalan orang yang sesat!