View Categories

SURAH AL-FURQAN : AYAT 35-40

\"\"

KISAH BEBERAPA ORANG RASUL SEBAGAI PENGAJARAN DAN IBRAH & KESAN DARI PENENTANGAN TERSEBUT ALLAH S.W.T BINASAKAN MEREKA.

Full video : https://youtu.be/IHWjuYlqRL0

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini kita akan membaca beberapa kisah para rasul dan nabi-nabi yang terdahulu.
  2. Ini untuk menenangkan hati Rasulullah s.a.w yang telah mendapat tentangan hebat dari kaum musyrikin Makkah. Untuk menunjukkan bukan Baginda sahaja, bahkan itulah sejarah para rasul yang lain juga, setiap orang ada musuh dan penentangnya, maka bersabarlah dalam menghadapi cabaran dakwah ini.
  3. Inilah uslub, gaya didikan al-Quran, berlawan, sabar, menang, laksanakan perintah dan Syariah Allah, menjalakan tugas atas muka bumi ini, kalah menang, begitulah silih barganti, hari berputar, sekejap di atas sekejap di bawah, maka bersabarlah.
  4. Maka akibat dari penentangan mereka itu Allah s.w.t akan binasakan mereka, tiada yang kekal selamanya kecuali Allah s.w.t dan kuasa-Nya.
  5. Dalam siri yang lepas kita telah mempelajari tentang tauhid kepada Allah s.w.t dan menafikan syirik.
  6. Kafir itu ada dua jenis:
    i- Golongan yang mengakui adanya Tuhan Pencipta alam ini tetapi malangnya mereka menyekutukan Allah s.w.t dengan menyembah benda-benda lain. Inilah kaum musyrikin.
    ii- golongan yang tidak mengakui dan lansung menafikan terus wujudnya Tuhan, ini adalah mulhid atau atheis.
  7. Tetapi apa yang kita bimbangkan jika ada juga perbuatan-perbuatan syirik ini yang akan menyusup melarat masuk ke dalam sebahagian amalan orang yang Islam.
  8. Maka ke atas kita orang yang beriman untuk menyembah Allah dan menjauhkan taghut dan kesyirikan, mesti serentak keduanya.
  9. Allah s.w.t juga telah menjawab tentang keraguan yang ditimbulkan oleh puak yang mengingkari dan menentang al-Quran dan Rasul.
  10. Maka di sini dibawa lagi secara ringkas beberapa kisah para nabi dan kaum mereka sebagai ibrah juga untuk meringankan tekanan dan memberi motivasi kepada Rasulullah s.a.w.

AYAT 35- {DAN SESUNGGUHNYA KAMI TELAH BERIKAN KITAB TAURAT KEPADA NABI MUSA, DAN KAMI LANTIK SAUDARANYA NABI HARUN, SEBAGAI MENTERI BERSAMANYA.} (AL-FURQAAN 25:35)

  1. Setelah menceritakan tentang penentangan kaum Quraisy terhadap Rasulullah s.a.w. dalam ayat ini dan seterusnya, Allah s.w.t bawa beberapa kisah para nabi yang lalu dan kaum mereka yang kufur ingkar telah dibinasakan sebagai pengajaran.
  2. Walaupun umat Nabi Muhammad sebagai rahmatan lil-alamin ini tidak akan dibinasakan secara total atas dunia ini, masih diberi peluang untuk bertaubat. Tetapi ada juga yang dikenakan bencana secara bertempat atau kelompok dengan banjir taufan, gempa bumi atau tsunami.
  3. Allah s.w.t menceritakan tentang Nabi Musa a.s yang telah diberikan Kitab Taurat. Serta atas permintaannya dilantik saudaranya Harun sebagai nabi juga untuk membantunya.
  4. Dalam surah ini hanya disebut secara ringkas kisahnya, kerana telah ada dalam surah-surah sebelum ini kisah Nabi Musa a.s yang panjang dan terperinci seperti Surah Maryam, Toha dan lain-lain.

AYAT 36- {LALU KAMI PERINTAHKAN: \”PERGILAH KAMU BERDUA KEPADA KAUM YANG MENDUSTAKAN AYAT-AYAT KETERANGAN KAMI\”; MAKA (KESUDAHANNYA) KAMI BINASAKAN KAUM ITU SEHANCUR-HANCURNYA.}(AL-FURQAAN 25:36)

  1. Lalu Allah s.w.t perintahkan Musa a.s untuk pergi kepada Firaun dan kaumnya yang telah mendustakan ayat-ayat keterangan Allah s.w.t.
  2. Maka kesudahan bagi mereka inilah kebinasaan sehancurnya. Cuma Allah hantar balik jasad Firaun ke darat dan kekalkannya sebagai tanda bukti kebenarannya.
  3. Penggali kubur dan pemandi mayat sepatutnya menyimpan apa saja rahsia mayat dan kubur, samada yang baik apatah lagi yang buruk.

AYAT 37- {DAN (DEMIKIAN JUGA) KAUM NABI NUH, KETIKA MEREKA MENDUSTAKAN RASUL-RASUL KAMI, KAMI TENGGELAMKAN MEREKA, DAN KAMI JADIKAN MEREKA SATU TANDA (YANG MENJADI CONTOH) BAGI UMAT MANUSIA; DAN KAMI SEDIAKAN BAGI SESIAPA YANG ZALIM; AZAB SEKSA YANG TIDAK TERPERI SAKITNYA.} (AL-FURQAAN 25:37)

  1. Disebut kisah kaum Nabi Nuh a.s pula, yang telah mendustakan rasul mereka juga, lalu mereka dibinasakan dengan tenggelam dalam banjir besar. Ini juga sebagai satu pengajaran bagi umat manusia lain.
  2. Antara kaum nabi Nuh a.s dan Firaun ada:
    i- persamaan:- mereka sama-sama binasa dengan tenggelam dalam air.
    ii- perbezaan:- Firaun tenggelam dalam air laut yang dia masuk sendiri ke dalamnya. Tetapi kaum Nabi Nuh air yang keluar dari langit dan bumi, datang mencari mereka yang sedang berada di dalam rumah dan berlindung di tempat tinggi.
    iii- kaum Nuh hancur binasa tanpa kesan, tetapi Firaun, Allah s.w.t kekalkan dia untuk menunjukkan tanda kekuasaan Allah dan menjadi pengajaran kepada manusia sehingga ke hari Kiamat.
  3. Begitulah balasan azab bagi sesiapa yang zalim, samada zalim dari segi akidah sahaja atau zalim keduanya seperti Firaun itu!!!

AYAT 38- {DAN (DEMIKIAN JUGA KAMI TELAH BINASAKAN) AAD DAN THAMUD SERTA ASHAABUR-RASSYI DAN BANYAK LAGI DALAM ZAMAN-ZAMAN DI ANTARA MASA YANG TERSEBUT ITU.} (AL-FURQAAN 25:38)

  1. Dalam ayat ini Allah s.w.t ceritakan pula tentang kebinasaan:
    i- kaum Ad iaitu kaum Nabi Hud yang berada di sebelah Yaman.
    ii- Kaum Thamud iaitu kaum nabi Soleh yang berada di Madain Soleh sebelah Syam.
    iii- Ashaabur-Rassyi – أَصْحَابَ الرَّسِّ kaum ini tidak diketahui umat nabi mana atau di mana tempatnya. Ulama\’ berselisih pendapat dan tiada pendapat yang tetap tentangnya. Ulama\’ kata mereka ialah satu kaum yang tinggal dekat dengan mata air, atau telaga-telaga besar yang digali
    Ibnu Jarir berkata: Kaum yang digali ini yang disebut dalam al-Quran ialah Ashabul-Ukhdud, tetapi wallahu a\’lam. Kata Syeikh Syanqiti kita serahkannya kepada Allah kerana Allah s.w.t tidak sebutnya maka tidak perlu kita cari.
  2. Kenapakah dua kaum Ad dan Thamud ini sering disebut dalam al-Quran?
    -Kerana tempat kesan kebinasaan mereka masih wujud lagi dan merupakan laluan utama kafilah dagangan Quraisy pada masa itu, yang ke Syam dan ke Yaman pada musim sejuk dan panas, sebagai peringatan untuk mereka yang melihatnya.
  3. Serta banyak lagi kaum dan generasi lain yang berada di antara masa yang Allah s.w.t sebutkan itu. Yakni ada yang Allah s.w.t cerita dan sebut ada yang tidak disebut dan tidak diceritakan. Kurun atau generasi antara nabi-nabi itu banyak sekali
  4. Cukuplah dan memadai dengan apa yang disebut dalam al-Quran untuk kita ambil pengajaran dan ibrah, tidak perlu korek dan cari apa yang tidak disebut.

AYAT 39- {DAN MASING-MASING, TELAH KAMI BERIKAN KEPADANYA CONTOH TAULADAN YANG MENDATANGKAN IKTIBAR, DAN MASING-MASING TELAH KAMI HANCURKAN SEHANCUR-HANCURNYA.} (AL-FURQAAN 25:39)

  1. Semuanya ini Allah s.w.t sebut dan bawa contoh sebagai tauladan yang mendatangkan iktibar semoga kamu mengambil pengajaran.
  2. Semua mereka yang mendustakan dan menentang para nabi ini telah Allah s.w.t hancurkan sehancur-hancurnya.

AYAT 40- {DAN DEMI SESUNGGUHNYA, MEREKA (YANG MENENTANGMU WAHAI MUHAMMAD) TELAH MELALUI BANDAR YANG TELAH DIHUJANI (DENGAN) AZAB YANG BURUK, MAKA (MENGAPA MEREKA MASIH BERDEGIL), TIDAKKAH MEREKA SELALU DAPAT MENYAKSIKANNYA? (MEREKA TIDAK FIKIRKAN YANG DEMIKIAN ITU SATU BALASAN KUFUR) BAHKAN MEREKA ADALAH ORANG-ORANG YANG TIDAK INGATKAN ADANYA KEBANGKITAN HIDUP SEMULA (UNTUK MENERIMA BALASAN) (AL-FURQAAN 25:40)

  1. Yakni kaum musyrikin Makkah juga telah melalui dalam perjalanan perdagangan mereka ke Syam; {bandar yang telah dihujani (dengan) azab yang buruk,} iaitu kesan peninggalan kaum Lut a.s pula.
  2. Tetapi kenapa mereka masih tetap degil dan tidak mengambil pengajaran dari apa yang mereka saksikan semuanya itu? Maka rugilah.
  3. Mereka tidak ingat dan tidak percaya akan kebangkitan semula di mana semuanya akan menerima pembalasan.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Semua kisah-kisah dalam al-Quran yang disebut dan diulang adalah untuk memberi peringatan dan pengajaran kepada kita. Kebanyakan tempat ini masih wujud dan sekarang ini menjadi tempat lawatan pelancongan. Madain Soleh, Laut Mati, Jordan (Kaum Lut), kesan kebinasaan Firaun dan lain-lain.
  2. Amat malang dan rugi sekali jika semua yang telah sampai di tempat-tempat ini sekadar melawat tetapi hati tidak mendapat keinsafan dan pengajaran yang sepatutnya.
  3. Ikhlas pada zaman kita hari ini amat sukar sekali, tangan kanan memberi sedekah, tangan kiri pula mengambil gambar, kemudian postkannya. Jika perlu semua bukti ini buatlah berpada-pada sekadar untuk membuktikan kepada pihak yang berkenaan.
  4. Kata AAM: Kita kena ingat kamera, alat rakaman dan segala gajet canggih pada hari ini adalah sebagai hujjah Allah s.w.t yang kuat ke atas kepala kita. Allah s.w.t akan tayangkan balik segala apa yang kita buat atas dunia ini, dan kita sendiri yang menayang-nayangnya dulu.
  5. Kenapa dalam kisah Nabi Nuh disebut kaum yang melanggar rasul-rasul الرُّسُلَ ? yakni lafaz jamak (banyak). Ini kerana sekiranya walaupun mendustakan seorang rasul- seolah-olah mendustakan semua rasul-rasul lain juga. Matematik dalam aqidah, walaupun tolak 1 dari 6 rukun iman yang ada seolah tidak beriman terus. Maka dalam 25 orang rasul itu, jika kita menolak atau tidak beriman dengan seorang sahaja pun seolah mendustakan semuanya.
  6. Juga dikatakan kerana Nabi Nuh itu hidup lama, dekat dengan 1000 tahun, maka dia seolah menyamai ramai rasul.
  7. Begitulah semua kisah-kisah dalam al-Quran itu mengandungi ibrah, pengajaran, pendidikan dan iktibar, sesiapa yang baca saja tidak mengambil pengajarannya maka a akan kerugian satu peluang besar untuk menambahkan keimanan dan taqwa kepada Allah s.w.t.
  8. Semoga Allah s.w.t memberikan kita kefahaman yang betul, dengar dan ikut apa yang baik, meninggalkan apa yang buruk insya\’ Allah.

Wallahu a\’lam.

Powered by BetterDocs