MUQADDIMAH & INTISARI SURAH, AL-QURAN DITURUNKAN SEBAGAI PERINGATAN KEPADA SELURUH ALAM & 4 SIFAT KEBESARAN ALLAH S.W.T.
Full video : https://youtu.be/pFWD3ecU6GY
MUQADDIMAH SURAH :
1. Alhamdulillah pada hari ini 8hb Zulhijjah 1442H kita dapat mulakan pengajian Kuliah tafsir bagi Surah al-Furqan.
2. Surah Al-Furqan, surah ke 25 dalam tertib susunan al-Quran, dalam juz ke 18 dan mengandungi 77 ayat.
3. Ada kata Ijma’ ulama\’ mengatakan ia adalah surah Makkiyyah yang diturunkan di Makkah, namun ada juga mengatakan ia surah Makkiyyah cuma tiga ayat turun di di Madinah iaitu ayat (68-70).
4. Surah-surah Makkiyah lebih kepada pemahaman akidah serta menguatkan semangat dan keimanan Rasulullah s.a.w dan kaum mukmin yang awal.
5. Dinamakan surah ini Surah Al-Fuqan, yang bererti al-Quran/Pembeza; kerana tujuan Allah s.w.t menurunkan al-Quran kepada hamba-nya Nabi kita Muhammad s.a.w adalah sebagai peringatan dan memberi amaran kepada seluruh alam ini.
Namanya sebagaimana Allah sebut pada permulaan ayatnya:
{Maha berkat Tuhan yang menurunkan Al-Furqaan kepada hamba-Nya.}
6. Dalil penamaan surah:
7. Dari Umar bin Khattab r.a. katanya: \”Aku mendengar Hisyam bin Hakim membaca surah Al Furqan semasa hidup Rasulullah s.a.w”. [HR Bukhari & Muslim].
8. Kita berdoa dengan doa yang dibaca oleh Rasulullah s.a.w selepas solat subuh:
اللَّهُمَّ إنِّي أَسْأَلُكَ عِلْماً نَافِعاً، وَرِزقاً طَيِّباً، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً .
Maksudnya: Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima. [HR Ibnu Majah].
KEISTIMEWAAN SURAH :
1. Dalam surah al-Furqan ini terdapat sujud tilawah iaitu pada ayat ke 60.
Firman Allah s.w.t: {Dan apabila dikatakan kepada mereka (yang musyrik itu): \”Sujudlah kamu kepada Ar-Rahman (Tuhan Yang Maha Pemurah)!\” Mereka bertanya: \”Dan siapakah Ar-Rahman itu? Patutkah kami sujud kepada apa sahaja yang engkau perintahkan kami?\” Dan perintah yang demikian, menjadikan mereka bertambah liar ingkar.} (Al-Furqaan 25:60)
MAQASID/OBJEKTIF KANDUNGAN SURAH :
1. Menyebut tentang kedudukan al-Quran dan menyatakan ia diturunkah dari sisi Allah dan mengingatkan penerimanya ialah Nabi Muhammad s.a.w dengan menyatakan kebenaran akan dalil-dalil dan ajaran yang dibawanya.
2. Kata Ibnu Ashur ابن عاشور rhm. Surah ini dibina atas tiga asas yang besar:
i- al-Quran diturunkah oleh Allah s.w.t dan Rasul sebagai penerimanya.
ii- dalil isbat tentang hari Kiamat dan Kebangkitan semula serta Pembalasan.
iii- isbat tentang ketuhanan dan keEsaan Allah s.w.t.
Inilah ciri-ciri surah Makkiyyah, ia lebih banyak tentang aqidah, bukan hukum-hakam seperti surah Madaniyyah.
3. Untuk menetap dan menenangkan hati Rasulullah s.a.w saat ditimpa ujian dan mendapat tentangan dan halangan dari kaum musyrikin Quraisy.
TAJUK-TAJUK DALAM SURAH :
1. Mengagung dan memuji Allah s.w.t dengan sifat Ketuhanan dan KeEsaan-Nya.
2. Menceritakan tentang sebahagian kata-kata kaum musyrikin dan syubhat kerguan yang mereka timbulkan tentang dakwah Nabi s.a.w.
3. Perbandingan antara pengakhiran akibat orang kafir yang Allah s.w.t sediakan bagi mereka, dan orang mukmin dengan balasan syurganya.
4. Beberapa kisah nabi-nabi disebut dalam surah ini.
5. Untuk menenangkan hati Nabi s.a.w, terhadap perlakuan puak kafir terhadapnya.
6. Beberapa ayat yang menunjukkan Qudrat, kekuasaan Allah s.w.t.
7. Allah sebut beberapa ciri-ciri sifat hamba yang taat عباد الرحمن tentang akhlak, doa, ibadat, tawadhuk dan sifat mereka.
8. Surah ini akan diakhiri dengan menegaskan bahawa Allah s.w.t yang menguasai dan mengetahui keadaan semua makhluk-Nya serta mereka akan kembali kepada-Nya.
INTISARI KANDUNGANNYA :
1. Menerangkan dalil-dalil tauhid yang membuktikan keEsaan dan kekuasaan Allah s.w.t.
2. Menerangkan kebenaran Rasul-Nya dan mendedahkan kebodohan kaum musyrikin yang menyembah sesuatu yang tidak dapat memberi pertolongan bahkan tidak dapat menolong diri mereka sendiri.
3. Menolak segala tuduhan yang mereka lempar terhadap Rasulullah dan kitab suci al-Quran.
4. Beberapa kisah nabi-nabi yang terdahulu dengan kaum masing-masing dan balasan buruk terhadap kaum yang ingkar.
5. Menegasakan bahawa orang yang bertuhankan hawa nafsu akan melakukan apa saja dikehendakinya tanpa sekatan dan tidak mahu mendengar nasihat.
6. Allah tujukan firman-Nya dengan menegasakan kepada Rasulullah s.a.w jika Dia mahu pasti boleh utuskan rasul kepada penduduk setiap wilayah atau negeri tetapi tidak demikian. Ini agar Baginda berusaha bersungguh-sungguh serta bersabar dalam perjuangannya menyebarkan Islam.
7. Agar Rasulullah jangan bertolak-ansur dengan orang kafir dalam menegakkan kebenaran agama Islam. Tetapi menentang mereka dengan bersungguh-sungguh berdasarkan hujjah dan dalil dari al-Quran.
8. Selepas Allah s.w.t menerangkan tentang kejadian langit dan bumi, dan segala yang ada padanya, segala nikmat yang dilimpahkan kepada makhluk-Nya agar mereka bersyukur.
9. Umat Islam sejati yang diredhai ialah mereka yang:
i- berakhlak mulia,
ii- tekun beribadat pada Allah malam hari,
iii- yang berdoa kepada Allah agar dijauhkan dari azab neraka,
iv- serta membelanjakan hartanya pada jalan kebajkan.
v- serta tidak pula boros atau bakhil kedekut.
vi- Tidak melakukan syirik, jenayah membunuh, zina dan segala larangan Allah s.w.t.
vii- jika mereka bertembung dengan sesuatu yang sia-sia, mereka akan membersihkan diri darinya. Yakni tidak layan
viii- jika diberi peringatan degan ayat-ayat Tuhannya, mereka akan dengar dan berdoa agar isteri dan zuriat mereka diberi petunjuk hidayah.
ix- semoga mereka menjadi imam ikutan bagi orang-orang yang mahu bertaqwa.
x- mereka semuanya akan ditempatkan di dalam syurga yang tidak terperi nikmatnya.
Inilah antara sifat-sifat Ibadur-Rahman. عباد الرحمن
10. Sebaliknya orang-orang yang melakukan benda yang haram akan mendapat azab siksa yang tidak terperi juga kecuali mereka yang bertaubat.
Inilah antara sinopsis dari surah al-Furqan ini.
DENGAN NAMA ALLAH, YANG MAHA PEMURAH, LAGI MAHA MENGASIHANI.
AYAT 1- { MAHA BERKAT TUHAN YANG MENURUNKAN AL-FURQAAN KEPADA HAMBANYA (MUHAMMAD), UNTUK MENJADI PERINGATAN DAN AMARAN BAGI SELURUH PENDUDUK ALAM. (AL-FURQAAN 25:1)
1. Dimulakan surah ini dengan ayat Allah memuji diri-Nya sendiri – {Maha berkat Allah s.w.t }– mengagungkan Allah s.w.t dengan keberkatan dan kebaikan-Nya yang amat banyak terhadap hamba-Nya.
2. Berkat di sini bermakna yang amat banyak kebaikannya dan berterusan terhadap hamba-Nya. Allah s.w.t amat berhak dan layak untuk memuji diri-Nya sendiri, untuk bersumpah dengan nama segala makhluk-Nya.
3. Allah s.w.t yang menurunkan al-Furqan yang bermakna al-Quran yang turun secara berperingkat-peringkat yakni terpisah-pisah
4. Ia juga bermakna Pembeza/Pemisah, yakni membezakan antara yang hak dan batil.
5. Allah s.w.t juga sebut نَزَّلَ yakni diturunkan secara peringkat. Al-Quran diturunkan ikut keadaan dan menjawab pertanyaan dan hukum yang berlaku pada masa itu. Juga supaya Rasulullah senang untuk menghafaz dan memahaminya. Jika ikut masa dalam masa 23 tahun kenabian Rasulullah s.a.w.
6. Dapat dilihat dalam ayat ini perbezaan kalimat “turun” yang digunakan untuk al-Quran yang secara berperingkat dengan kitab-kitab lain yang diturunkan dengan penuh sebuah kitab. Firman Allah s.w.t:
{ Wahai orang-orang yang beriman! Tetapkanlah iman kamu kepada Allah dan RasulNya, dan kepada Kitab Al-Quran yang telah diturunkan (نَزَّلَ) kepada RasulNya (Muhammad, s.a.w), dan juga kepada Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan (أَنْزَل ) dahulu daripada itu. Dan sesiapa yang kufur ingkar kepada Allah, dan Malaikat-malaikatNya, dan Kitab-kitabNya, dan Rasul-rasulNya dan juga Hari Akhirat, maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh.} [An-Nisaa\’: 136].
6. Ia diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w sebagai peringatan dan amaran bagi seluruh penduduk alam.
7. Hadis Jabir r.a: Bahawa Rasulullah s.a.w diutuskan kepada kaumnya secara khas dan kepada seluruh penduduk alam umumnya.” [HR Bukhari & Muslim]
AYAT 2- {TUHAN YANG MENGUASAI PEMERINTAHAN LANGIT DAN BUMI, DAN YANG TIDAK MEMPUNYAI ANAK, SERTA TIDAK MEMPUNYAI SEBARANG SEKUTU DALAM PEMERINTAHANNYA; DAN DIA LAH YANG MENCIPTAKAN TIAP-TIAP SESUATU LALU MENENTUKAN KEADAAN MAKHLUK-MAKHLUK ITU DENGAN KETENTUAN TAKDIR YANG SEMPURNA.} (AL-FURQAAN 25:2)
1. Dalam ayat ini dibawa 4 sifat keagungan dan kemulian Allah s.w.t. yang tidak boleh dicabar:
i- Pertama bahawa Allah s.w.t Tuhan yang menguasai pemerintahan langit dan bumi,
ii- Menafikan tuduhan orang kafir, sesungguhnya Allah yang tidak mempunyai anak.
iii- serta Allah s.w.t tidak mempunyai sebarang sekutu dalam pemerintahan-Nya.
iv- Dia lah yang menciptakan tiap-tiap sesuatu lalu menentukan keadaan makhluk-makhluk itu dengan ketentuan takdir yang sempurna.
2. Dalam ayat ini Allah s.w.t menegaskan kekuasaan dan kekuatannya dalam mencipta, menetapkan rezeki dan taqdir setiap makhluk-Nya.
3. Sepatutnya selepas Allah s.w.t menegaskan semua ini tiada lagi makhluk yang melakukan syirik dan menyembah selain dari Allah s.w.t. tetapi sebaliknya tetap juga berlaku, lihat ayat seterusnya.
AYAT 3- {DAN MEREKA (YANG KAFIR) MENGAMBIL BENDA-BENDA YANG LAIN DARI ALLAH SEBAGAI TUHAN-TUHAN, YANG TIDAK DAPAT MENCIPTA SESUATUPUN, BAHKAN BENDA-BENDA ITU DICIPTAKAN (OLEH PENYEMBAH-PENYEMBAHNYA DARI BAHAN-BAHAN DI BUMI); DAN BENDA-BENDA ITU PULA TIDAK BERKUASA MENDATANGKAN SESUATU BAHAYA ATAU SESUATU FAEDAH UNTUK DIRINYA SENDIRI; DAN TIDAK BERKUASA MEMATIKAN ATAU MENGHIDUPKAN, ATAU PUN MEMBANGKITKAN HIDUP SEMULA MAKHLUK-MAKHLUK YANG TELAH MATI. (AL-FURQAAN 25:3)
1. Tetapi mereka yang kafir ini tetap mengambil benda-benda yang lain dari Allah sebagai tuhan-tuhan.
2. Sedangkan makhluk yang disembah itu amat lemah sifatnya:
i- tidak dapat mencipta sesuatupun, bahkan ia diciptakan oleh penyembah-penyembahnya dari bahan-bahan di bumi;
ii- dan benda-benda itu pula tidak berkuasa mendatangkan sesuatu bahaya atau faedah untuk penyembahnnya atau untuk dirinya sendiri;
iii- dan tidak berkuasa mematikan atau menghidupkan, atau pun membangkitkan hidup semula makhluk-makhluk yang telah mati.
3. Inilah kebodohan mereka yang tergamak menyembah benda lain selain daripada Allah yang jelas kekuasaan-Nya.
PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :
1. Allah s.w.t turunkan al-Quran yang dipanggil juga al-Furqan sebagai Pembeza antara yang haq dan batil.
2. Allah mulakan surah ini dengan memuji diri-Nya sendiri yang Maha suci dan Maha Berkuasa.
3. Allah s.w.t juga menyebut Nabi-Nya, Rasulullah s.a.w untuk meningkatkan kecintaan kita kepada Baginda sebagai hamba Allah yang telah menjalankan tugasnya. Melalui Rasulullah s.a.w kita kenal Allah s.w.t, maka selepas menyebut namanya maka jangan lupa untuk berselawat ke atasnya s.a.w.
4. Jika kita ada masalah dan perlukan rujukan maka kembalilah kepada al-Quran sebagai al-Furqan. Juga sunnah Nabi s.a.w sebagai penjelasan untuknya.
5. Dalam ayat kedua dibawa 4 sifat Allah s.w.t, yakni ada 5 dalil yang menunjukkan akan keagungan Allah s.w.t yang menjadi kewajipan kepada kita untuk menyembah-Nya.
Wallahu a’lam.