5 SIFAT IBAD AR-RAHMAN; TAWADHU\’, BERCAKAP BAIK, TAHAJJUD, KHAUF & TUNAI NAFKAH.
Full video : https://youtu.be/UeOzDHoSQOk
MUQADDIMAH :
- Dalam ayat hari ini Allah s.w.t menyebut 5 sifat hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman yang diredhai-Nya عِبَادُ الرَّحْمَنِ
- Menurut ulama\’ ada lagi sifat lain yang menjadikan 9 (menurut Ar-Razi) atau 11 (menurut al-Qurthubi) kesemuanya.
- Sifat ini terdiri dari sifat yang kita kena hiasi hati dan diri ( التحلية ) kita dengannya juga sifat yang kita kena jauhi dan kosongkan hati darinya (التخلية ).
- Dalam ayat yang lepas apabila kaum kafir musyrikin itu apabila disuruh sujud {kepada Ar-Rahman (Tuhan Yang Maha Pemurah)!\” } mereka menolak dan ingkar, bahkan bertanya siapa pula ar-Rahman itu, bukan Allah tuhan kamu wahai Muhammad? Berapa ramai pula tuhan kamu? Mereka mengolok-olokkannya. Mereka juga sombong tidak mahu ikut perintah untuk sujud.
- Lalu dalam ayat-ayat sebelum ini Allah s.w.t telah memperkenalkan siapakah Tuhan Ar-Rahman melalui makhluk-makhluk-Nya, susun-atur pentadbiran-Nya dan nikmat-nikmat anugerah-nya kepada mereka, serta dalil dan tanda di bumi dan langit.
- Dalam ayat ini pula Allah memperkenalkan Tuhan Ar-Rahman melalui sifat hamba-hamba-Nya عِبَادُ الرَّحْمَنِ. Maka ini penting bagi kita orang yang beriman agar nampak berbeza daripada orang kafir dari segi perangai dan tingkah-laku, agar dapat menjadi role model kepada orang kafir dari segi akidah dan akhlak.
- Jangan sampai orang kafir lebih baik daripada kita dari segi akhlak duniawi. Ada yang akhlak mereka sudah seperti ajaran Islam cuma akidahnya yang tiada.
- Telah disebut juga sebelum ini sifat orang yang beriman ialah berzikir mengingati Allah s.w.t dan bersyukur kepada-Nya.
- Maka kali ini kita akan sebut semua 9 atau 11 sifat yang dipecahkan oleh para ulama\’ ini. Samada sifat yang terpuji dan baik atau sifat bebaskan diri daripada perbuatan yang tidak baik.
AYAT 63- {DAN HAMBA-HAMBA (ALLAH) AR-RAHMAN (YANG DIREDHAINYA), IALAH MEREKA YANG BERJALAN DI BUMI DENGAN SOPAN SANTUN, DAN APABILA ORANG-ORANG YANG BERKELAKUAN KURANG ADAB, HADAPKAN KATA-KATA KEPADA MEREKA, MEREKA MENJAWAB DENGAN PERKATAAN YANG SELAMAT DARI PERKARA YANG TIDAK DIINGINI;} (AL-FURQAAN 25:63)
- Allah s.w.t meletakkan kita di bawah kategori hamba-hamba, kerana itu adalah darjat yang paling bagi manusia dan tujuan utama Allah s.w.t cipta jin dan manusia untuk beribadat kepada-NYA.
- Antara sifat mereka ialah:
i- Tawadhuk – rendah diri.
ii- Al-Hulum- tenang dan lemah lembut.
iii- melakukan tahajud,
iv- khauf – takut kepada Allah s.w.t.
v- meninggalkan sifat terlalu boros membazir atau bakhil.
vi- bersihkan diri dan pegangan darisegala bentuk syirik.
vii- jauhi diri dari zina dan membunuh orang tanpa hak.
viii- bertaubat dan jauhi sifat bohong.
ix- maafkan orang yang buat salah kepada kita.
x- menerima nasihat yang diberi
xi- sentiasa merayu, merintih, berdoa dan bermunajat kepada Allah s.w.t - Kenapa Allah s.w.t namakan hamba-Nya yang baik ini sebagai عِبَادُ الرَّحْمَنِ hamba yang baik? Digunakan perkataan hamba menunjukkan darjat yang tinggi dan tujuan utama manusia dan jin dijadikan untuk beribadat. Maksud (al-ubudiyyah) menghambakan diri kepada Allah s.w.t – ialah segala perbuatan, perkataan dan iktikad yang diredhai Allah s.w.t inilah maksud ibadat secara umumnya. Kita secara umumnya beribadat kepada Allah s.w.t. 24 jam, sepanjang masa. Manakala ibadat khas ada waktu dan cara khasnya pula.
- Sifat pertama mereka dalam ayat ini ialah mereka yang berjalan di atas muka bumi ini dengan tawadhuk, sopan-santun, tenang, lemah lembut, tidak sombong atau takabbur.
- Ibnu Kathir kata maksud هَوْنًا ialah berjalan dengan tenang dan lemah-lembut.
- Rasulullah S.A.W bersabda:
إِذَا أُقِيمَتِ الصَّلَاةُ فَلَا تَأْتُوهَا تَسْعَوْنَ، وَأْتُوهَا تَمْشُونَ وَعَلَيْكُمُ السَّكِينَةُ، فَمَا أَدْرَكْتُمْ فَصَلُّوا، وَمَا فَاتَكُمْ فَأَتِمُّوا
Maksudnya: Apabila solat telah bermula, maka janganlah kamu mendatanginya dalam keadaan berlari. Datangilah (solat) dalam keadaan berjalan dengan tenang. Solatlah (dengan apa) yang kamu sempat, dan (rakaat yang tertinggal itu) maka sempurnakanlah. [HR al-Bukhari] - Ulama\’ kata juga berjalan ini maksudnya cara interaksi dalam semua muamalat (urusan) dengan manusia dan perjalanan hidup, berurusan dengan tenang dan tidak gopoh. Tetapi jangan juga terlalu lemah dan lembik.
- Firman Allah s.w.t: {\”Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.} [Luqman: 18].
- Sifat kedua mereka dalam ayat ini ialah menjawab dan bercakap dengan baik (قَالُوا سَلَامًا ( apabila diprovokosi oleh orang jahil iaitu orang yang biadap dan tidak beradab.
- Yakni jangan kita jawab dengan jawapan yang boleh membawa dosa kepada kita. Walaupun orang berkata buruk,caci maki, kita tetap jawab dengan baik. Contoh cara jawab : Sesungguhnya aku puasa.
- Caranya jika di lemparkan tuduhan jahat atau diperli; disamada jawab dengan baik atau jangan jawab terus. Ingat ada tempat yang kita kena diam juga ada tempat yang kita kena jawab. Adakalanya diam lebih baik daripada melawan.
- Jika diserang pribadi mungkin boleh diam, tetapi jika diserang agama, benda asas atau pinsip dari sudut akidahnya wajib jawab dan pertahankan sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.
- Ayat baru zaman ini: Berani kerana benar, delete kerana salah atau tersalah!
- Dua sifat ini iaitu tidak sombong dan menjawab dengan baik adalah cara kita berinteraksi sesama manusia.
AYAT 64- {DAN MEREKA (YANG DIREDHAI ALLAH ITU IALAH) YANG TEKUN MENGERJAKAN IBADAT KEPADA TUHAN MEREKA PADA MALAM HARI DENGAN SUJUD DAN BERDIRI,} (AL-FURQAAN 25:64)
- Sifat ketiga ibadur-Rahman adalah hamba yang kuat hubungannya dengan Allah s.w.t. yakni adab dengan Allah s.w.t.
- Mereka bangun malam untuk bertahajud, tekun mengerjakan ibadat kepada Tuhan mereka pada malam hari dengan sujud dan berdiri.
- Untuk pemahaman, maksud:
i- Qiyamullalil – adalah apa jua ibadah termasuk solat sunat yang didirikan selepas solat isyak. Seperti contoh selepas menunaikan solat isyak, kita teruskan dengan mendidikan solat tarawih, solat sunat hajat atau solat sunat taubat, berdoa, berzikir, baca al-Quran dan lain-lain, maka perbuatan ini di namakan sebagai qiamullail.
ii- Tahajjud – ibadah sunat seperti di atas juga yang dilakukan selepas solat isyak juga, tetapi dengan syarat diri kita harus tidur seketika meskipun hanya tidur sekejap sahaja. - Tips cara bangun tahajud:
i- menyucikan diri dan berwuduk.
ii- sebagai warm-up solat dulu 2 rakaat ringkas.
Rasulullah s.a.w mulakan solat malamnya dengan 2 rakaat solat yang ringkas dulu, kemudian solatlah apa saja solat yang dikehendaki, semua ini selepas kita bangun dari tidur maka semua ibadat itu dipanggil tahajud. Rasulullah s.a.w bersabda bahawa solat malam itu dua rakaat, dua rakaat kecuali witir.
iii- kemudian jika kita mahu berehat seketika bolehlah duduk bermunajat, berdoa, baca al-Quran, zikir, sedekah dan lain-lain.
iv- boleh sambung solat dan tutup dengan witir jika belum lakukannya. - Lalu berdoa dan muhasabah diri lalu bertaubatlah. Penyesalan itu adalah taubat!
- Semoga kita termasuk dalam golongan ibadur-Rahman ini yang pada malamnya bangun beribadat kepada Allah s.w.t.
- Tetapi jika berjaga atau bangun malam untuk buat benda lain selain daripada beribadat kepada Allah, apatah lagi jika buat sesuatu yang lagha atau maksiat, maka lebih baiklah kamu tidur.
*Kata AAM: Jika tidak mampu buat ibadat, jangan buat maksiat.
AYAT 65- {DAN JUGA MEREKA YANG BERDOA DENGAN BERKATA: WAHAI TUHAN KAMI, SISIHKANLAH AZAB NERAKA JAHANNAM DARI KAMI, SESUNGGUHNYA AZAB SEKSANYA ITU ADALAH MENGERIKAN} (AL-FURQAAN 25:65)
- Sifat keempat ialah khauf takut kepada Allah s.w.t. mereka sentiasa berdoa: {Wahai Tuhan kami, sisihkanlah azab neraka Jahannam dari kami}.
- Sifat Khauf mesti seiring dengan sifat raja\’ iaitu mengharapakan rahmat Allah s.w.t. jika takut atau harap saja tidak jadi, tidak seimbang hidupnya seumpama burung yang terbang dengan sebelah sayap.
- Kenapa mereka amat takut akan azab neraka ini? Kerana: {sesungguhnya azab seksanya itu adalah mengerikan}
AYAT 66- {SESUNGGUHNYA NERAKA JAHANNAM ITU TEMPAT PENETAPAN DAN TEMPAT TINGGAL YANG AMAT BURUK} (AL-FURQAAN 25:66)
- Orang-orang Mukmin mengucapkan ucapan ini kerana tadharru\’ (merendahkan diri) kepada Allah, menjelaskan perlunya mereka kepada Allah, mereka tidak sanggup memikul azab Allah dan agar mereka dapat mengingati nikmat-Nya.
AYAT 67- {DAN JUGA MEREKA (YANG DIREDHAI ALLAH ITU IALAH) YANG APABILA MEMBELANJAKAN HARTANYA, TIADALAH MELAMPAUI BATAS DAN TIADA BAKHIL KEDEKUT; DAN (SEBALIKNYA) PERBELANJAAN MEREKA ADALAH BETUL SEDERHANA DI ANTARA KEDUA-DUA CARA (BOROS DAN BAKHIL) ITU.} (AL-FURQAAN 25:67)
- Sifat ibadur-Rahman yang kelima adalah dalam berbelanja dan mengeluarkan nafkah, mereka tidak terlalu boros atau terlalu bakhil dan kedekut.
- Ulama\’ kata maksud nafkah di sini ialah semua yang wajib seperti nafkah diri dan keluarga atau nafkah yang sunat seperti sedekah dan semua amal kebajikan, tidak boleh boros atau bakhil.
- Adapun perbelanjaan atau sumbangan untuk maksiat walaupun sediki, RM1 sekalipun, akan tetap dikira boros dan membazir.
- Hadis: Rasulullah s.a.w berdoa kepada Allah s.w.t agar diberikan sifat sederhana tidak boros dan bakhil ketika senang atau susah.
- Bahkan perbelanjaan mereka ibadur-Rahman itu adalah betul sederhana di antara kedua-dua sifat ini, iaitu tidak berlebih-lebihan boros dan tidak pula kikir.
PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :
- Penjelasan tentang sifat ibadur-Rahman ini sebagai satu motivasi kepada kita untuk merealisasikan sifat ini, bukan sekadar dengar saja.
- Sifat pertama ialah kita kena bersifat tawadhuk dan jangan sombong dalam seluruh perjalanan hidup kita. Samada berjalan kaki atau naik kenderaan, tawadhuk dalam semua urusan dan perkara.
- Sifat kedua Allah s.w.t ajar kita cara berinteraksi dengan orang jahil atau yang cuba provokasi, jangan pula orang tidak beradab kita juga biadab. Kita orang mukmin kena bersifat dengan adab yang Allah ajar dan didik kita.
- Seterusnya jangan bersifat boros dan bakhil. Setiap orang itu mengeluarkan nafkah mengikut kemampuannya. Siapa yang Allah bagi rezeki yang banyak, maka luaskan pengeluarannnya, siapa yang sempit rezekinya, maka berbelanjalah sekadarnya.
Firman Allah s.w.t: {Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang di sempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.} (At-Talaaq: 7) - Juga sentiasa beribadat dan berdoa kepada Allah s.w.t. orang yang tidak mahu minta dengan Allah itu adalah orang sombong! Minta dengan manusia kita dimarahi, minta dengan Allah kita akan dipuji.
- Pesanan mesra AAM: Ingat Jumaat ingat selawat dan jangan lupa baca surah al-Kahfi dan baca al-Quran sebanyaknya. Ada waktu mustajab doa pada hari ini, maka gunakannya untuk meminta kebaikan doa dan akhirat, insya\’ Allah.
Wallahu a\’lam.