KAUM MUSYRIKIN BAWA 5 SIFAT YANG TIDAK LAYAK JADI NABI, SATU TUDUHAN TERHADAP AKAL & ALLAH S.W.T JAWAB TUDUHAN MEREKA.
Full video : https://youtu.be/JPf9_nd_Qi4
MUQADDIMAH :
1. Alhamdulilah dalam siri ini kita akan tadabbur 3 ayat al-Quran lagi.
2. Dalam siri sebelum ini diceritakan kaum musyrikin Quraisy mencela al-Quran dan mengatakan ia hanyalah rekaan Rasulullah s.a.w dan hanya dongeng orang dahulu-kala.
3. Kemudian Allah s.w.t menafi dan membatalkan dakwaan mereka ini.
4. Dalam siri ini Kaum Musyrikin mencela dan menyerang sifat Rasulullah s.a.w pula. Mereka bawa 5 sifat yang mereka dakwa dimiliki oleh Muhammad s.a.w yang menjadikannya tidak layak jadi Nabi pada pendapat mereka.
5. Mereka juga menyerang dan mengata tentang kecerdikan (akal) Rasulullah s.a.w.
6. Lalu Allah s.w.t menjawab segala tuduhan jahat ini dengan hujjah dan logic akal.
7. Peringatan; Hari ini kita berada pada 11hb Zulhijjah – iaitu satu daripada 3 hari-hati Tasyriq. Dipanggil Tasyriq kerana harinya yang cerah juga kerana orang sedang menjemur daging korban yang mahu disimpan (cara awet zaman dulu, tanpa peti beku).
i- 11hb, Hari Tasyriq Pertama- Ia juga dikenali dengan nama Yaumul-Qarr, iaitu hari jemaah Haji bertenang di Mina.
ii- Esok 12hb, Hari Tasyriq kedua – dikenali juga dengan nama Hari Nafar Awal.
iii- Lusa 13hb, Hari Tasyriq ketiga – dikenali juga dengan nama Hari Nafar Thani.
Tiga Hari Tasyriq ini 11,12 & 13hb Zulhijjah, kita tidak dibenarkan berpuasa samada puasa qadha’ (ganti), sunat mahupun nazar.
Dalilnya; Sabda Rasulullah s.a.w:
أَيَّامُ التَّشْرِيقِ أَيَّامُ أَكْلٍ وَشُرْبٍ وَذِكْرٍ لِلَّهِ
“Hari Tasyriq adalah hari makan, minum, dan banyak mengingat Allah.” [HR. Muslim].
AYAT 7- {DAN MEREKA PULA BERKATA: \”MENGAPA RASUL INI MAKAN MINUM DAN BERJALAN DI PASAR-PASAR (SEPERTI MANUSIA YANG LAIN)? SEPATUTNYA DITURUNKAN MALAIKAT KEPADANYA, SUPAYA MALAIKAT ITU TURUT MEMBERI PERINGATAN DAN AMARAN BERSAMA-SAMA DENGANNYA (SEBAGAI SAKSI YANG MEMBENARKANNYA).} (AL-FURQAAN 25:7)
1. Dalam ayat ini dibawa sifat pertama yang pada anggapan mereka menjadikan Nabi Muhammad itu tidak layak menjadi rasul ialah kerana Baginda makan dan minum seperti manusia biasa juga, maka tidak istimewa.
2. Sifat kedua kerana Nabi s.a.w pergi dan berjalan-jalan di pasar seperti mereka juga.
3. Rasulullah s.a.w memang pergi ke pasar-pasar, sebelum itu kerana Baginda berniaga. selepas itu Baginda pergi ke pasar dan majlis tempat perkumpulan orang ramai kerana mencari peluang menyampaikan dakwahnya.
4. Yang ketiga mereka mengatakan sepatutnya diturunkan malaikat bersama Rasul itu, supaya malaikat itu turut memberi peringatan dan amaran kepada manusia bersama Baginda.
5. Semua dakwaan dan tuduhan mereka ini menunjukkan kebodohan mereka. Allah s.w.t sudah nyatakan secara jelas bahawa para rasul dan nabi itu memang diutus dari kalangan jenis manusia sendiri. Bila sudah manusia macamana tidak mahu bersifat dengan sifat manusia????
AYAT 8- {\”ATAU DIBERIKAN PERBENDAHARAAN HARTA BENDA KEPADANYA, ATAU IA MEMPUNYAI SEBUAH KEBUN UNTUK IA MAKAN HASILNYA\”. DAN ORANG-ORANG YANG ZALIM ITU BERKATA PULA (KEPADA ORANG-ORANG YANG BERIMAN): \”SEBENARNYA KAMU HANYALAH MENURUT SEORANG YANG TIDAK SIUMAN\”.} (AL-FURQAAN 25:8)
1. Mereka juga mengatakan sepatutnya Rasul itu seorang yang kaya, diberikan perbendaharaan harta benda kepadanya, seorang hartawan.
2. Mereka mahu ketua yang kaya untuk diikuti, sedangkan Nabi Muhammad tidak masyhur dengan kayanya, hanya isterinya Sayyidah Khadijah dulu seorang peniaga dan hartawan.
3. Firman Allah s.w.t juga: {Orang-orang yang ingkar itu berkata: \”Mengapa tidak diturunkan kepada (Muhammad) perbendaharaan (harta benda yang banyak), ataupun datang bersama-sama dengannya malaikat (untuk menolongnya menyiarkan Islam)?\”} [Hud: 12].
4. Sifat kelima dari sudut keduniaan yang mereka cadangkan ialah seorang nabi itu jika manusia, dia ada mempunyai sebuah kebun untuk dia makan hasilnya dan hidup mewah.
5. Sebelum ini pun mereka telah menuntut pelbagai projek: {Dan mereka berkata: \”Kami tidak sekali-kali akan beriman kepadamu (wahai Muhammad), sehingga engkau memancarkan matair dari bumi, bagi Kami. Atau (sehingga) engkau mempunyai kebun dari pohon-pohon tamar dan anggur, kemudian engkau mengalirkan sungai-sungai dari celah-celahnya dengan aliran yang terpancar terus-menerus.} (Al-Israa\’: 90-91)
6. Kaum kafir yang zalim ini akhirnya selepas habis segala hujjahnya, berkata kepada kaum mukmin dengan membuat tuduhan jahat bahawa mereka telah mengikut seorang yang gila tidak siuman pula! Inilah tuduhan dan tohmahan yang sama, gila, penyair, ahli sihir dan bodoh!!
AYAT 9- {LIHATLAH (WAHAI MUHAMMAD) BAGAIMANA MEREKA MEMBUAT UNTUKMU BERBAGAI MISAL PERBANDINGAN (YANG BUKAN-BUKAN), DENGAN SEBAB ITU SESATLAH MEREKA, SEHINGGA MEREKA TIDAK MENDAPAT JALAN PETUNJUK.} (AL-FURQAAN 25:9)
1. Allah jelaskan kepada Rasulullah s.a.w, bagaimana orang kafir itu telah membuat pelbagai bandingan tuduhan dan tohmahan jahat yang bukan-bukan terhadap Baginda.
2. Lalu kerana itu mereka akan sesat dan tidak akan jumpa jalan petunjuk yang benar. Yakni dek kebodohan dan tuduhan dusta yang mereka buat itu, akan tertutup pintu hati dan akal mereka, lalu akan terus tenggelam dalam kesesatan, tidak nampak lagi kebenaran walaupun didepan mata.
3. Tetapi begitulah semakin pelik ajaran dan dakwaan dibuat semakin ramai pengikutnya, walaupun jelas terserlah kebodohan, kesesatan dan kejahilan. Allahu al-Musta’an.
4. Begitulah jika kita ambil lorong yang tidak betul, maka tidak akan jumpa natijah yang betul.
AYAT 10- {MAHA BERKAT TUHAN YANG JIKA IA KEHENDAKI TENTULAH IA AKAN MENGADAKAN UNTUKMU (DI DUNIA INI) SESUATU YANG LEBIH BAIK DARI APA YANG MEREKA KATAKAN ITU, IAITU SYURGA-SYURGA YANG MENGALIR DI BAWAHNYA BEBERAPA SUNGAI, SERTA MENGADAKAN UNTUKMU ISTANA-ISTANA (YANG TERSERGAM INDAH).} (AL-FURQAAN 25:10)
1. Allah s.w.t Maha Berkat dan Berkuasa, apa yang mereka minta itu kecil sahaja, Allah mampu dan berkuasa mengadakan di dunia ini sesuatu yang lebih baik dari apa yang mereka minta dan katakan itu. Jika setakat mengadakan kebun, sungai, harta dan istana-istana yang tersergam indahm hanya kecil di sisi Allah s.w.t.
2. Allah s.w.t yang Maha melimpah-limpah nikmatnya, Dia Maha berkuasa untuk mengadakan semua nikmat seperti itu atas dunia ini. Tetapi Allah tidak memberikan yang sedemikian dengan segera di atas dunia ini, kerana Dia mahu mereka menikmati segala limpah kurnia nikmat itu di akhirat, di dalam syurga kelak.
3. Kita dan hidup atas dunia ini hanya dua;
i- samada kita manusia meninggal dunia ini dahulu, iaitu mati serta tinggalkan segalanya.
ii- atau dunia tinggalkan kita; hilang harta, musnah dek bencana atau kena tipu, hilang dalam sekelip semua harta yang dikumpulkan selama ini.
4. Maka baiklah kita ambil balasan yang di akhirat, yang betul-betul kekal abadi, insya\’ Allah.
PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :
1. Ayat yang berbunyi: {berjalan di pasar-pasar} وَيَمْشِي فِي الْأَسْوَاقِ
Ayat ini menunjukkan harus bagi Rasulullah s.a.w pergi dan berjalan di pasar. Begitu juga bagi ulama\’-ulama\’ selepasnya, kerana keperluan untuk membeli atau menjual.
2. Kisah yang diceritakan oleh Tuan Guru Haji Abdul Rahman rhm. tentang seorang ulama\’ soleh (Bapa Isa, ayah kepada Syeikh Mohd Yasin al-Fadani rhm.) berniaga di pasar di Makkah untuk mencari rezeki kehidupannya, selesai urusan jual beli dia tidak bercakap banyak, soal jawab tentang harga kemudian sambung tunduk berzikir.
3. Tetapi kena jaga muru’ah, yang salahnya jika ulama’ atau ustaz-ustaz ke pasar dan turut lepak dan berbual-bual yang sia-sia di kedai-kedai kopi dan tepi jalan tanpa keperluan, tidak jaga pandangan dan lain-lain.
4. Dakwaan dan pandangan orang kafir ini silap dan rosak kerana sebagai manusia, sifat-sifat itu yang tidak menyalahi kemanusiaan yang biasa, kerana Allah s.w.t sudah nyatakan dilantik nabi dan rasul-rasul dari kalangan kamu, yakni manusia biasa. Tidak hilang sifat kemanusian mereka dengan lantikan dan pangkat istimewa mereka itu.
5. Jawatan rasul tidak menghalang pebuatan ke pasar, bahkan ia juga menunjukkan sifat rendah diri, pergi sendiri ke pasar untuk memenuhi keperluan, tidak sombong dan menyuruh orang suruhan atau kuli.
6. Juga kerana hajat untuk berdakwah dan melihat keadaan orang ramai, boleh menegur jika ada yang tidak kena, boleh ingkar perkara yang munkar.
7. Ayat ketiga bahawa sesatnya seseorang itu dengan sebab dosanya sendiri. firman Allah s.w.t: {…dengan sebab itu sesatlah mereka, sehingga mereka tidak mendapat jalan petunjuk.} inilah yang akan menghalang dari mendapat petunjuk dari Allah s.w.t.
8. Maka kita yang hendak mencari kebenaran ini:
i- pertama sekali kena ikhlaskan niat kerana Allah s.w.t,
ii- tinggalkan dosa dan maksiat insya\’ Allah, Allah akan buka kepada kita jalan dan pintu hidayah kebajikan dan kebenaran.
9. ENAM cadangan bodoh dan tidak logik akal kaum Quraisy dijawab oleh Allah s.w.t..
10. Punca Quraisy dan penentang Islam seluruhnya tidak mendapat hidayah Allah s.w.t kerana mereka sombong, angkuh, tidak mahu tawadhuk, merasa diri mereka benar, tutup minda dari dakwah Rasulullah s.a.w serta kerana maksiat yang mereka lakukan.
11. Maka kita sudah yang mendapat hidayah ini, untuk terus istiqomah atas jalan Islam, bersihkan diri dari dosa dan maksiat, serta berpegang teguh dengan Sunnah Rasulullah s.a.w, insya\’ Allah.
Wallahu a’lam.