View Categories

SURAH AL-HAJJ : AYAT 42-48

\"\"

AMBIL IKTIBAR DARI KEBINASAAN UMAT TERDAHULU, GALAKAN MENGEMBARA UNTUK MELIHAT KESANNYA & KADAR HARI 1000 TAHUN DI SISI ALLAH.

Full video: https://youtu.be/5e0saS26OVE

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri yang lepas Allah s.w.t telah menyatakan keizinan kepada kaum muslimim untuk bangkit menentang kaum musyrikin yang telah menindas dan mezalimi mereka sebelum ini.
  2. Mereka telah dihalau keluar dari kampung halaman dengan terpaksa meninggalkan anak pinak, keluarga dan harta benda.
  3. Semua ini semata-mata kerana beriman kepada Allah s.w.t dan rasul-Nya.
  4. Di akhir ayat Allah s.w.t nyatakan Allah Maha Berkuasa, jangan sedih jika tidak menang di dunia tunggulah balasan baik di akhirat kelak insya\’ Allah.
  5. Diceritakan juga sifat buruk dan kezalimam orang kafir.
  6. Allah juga bagi Syarat untuk mendapat kemenangan dan pertolongan ialah dengan menolong agamanya iaitu dengan:
    i- mendirikan solat serta,
    ii- memberi zakat,
    iii- menyuruh berbuat kebaikan serta;
    iv- melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar.
  7. Yakni jika mendapat kemenangan dan kuasa wajib menegak dan melaksanakan undang-undang dan hukum Syariah.
  8. Rasulullah s.a.w menegakkan daulah Islam di Madinah dan apabila menawan Makkah perkara pertama yang dilakukan ialah menghapuskan syirik dan patun-patung bergala yang ada.
  9. Dalam siri ini Allah s.w.t menenangkan hari Rasulullah s.a.w dengan membawa kisah nabi-nabi terdahulu a.s dan umat mereka yang ingkar dan kufur.

AYAT 42- {DAN JIKA MEREKA (YANG KAFIR ITU) MENDUSTAKANMU (WAHAI MUHAMMAD), MAKA (YANG DEMIKIAN TIDAKLAH PELIK) KERANA SESUNGGUHNYA SEBELUM MEREKA: KAUM NABI NUH, DAN AAD (KAUM NABI HUD), SERTA THAMUD (KAUM NABI SOLEH) TELAH JUGA MENDUSTAKAN RASUL MASING-MASING;} (AL-HAJJ 22:42)

  1. Allah menyatakan jika kaum kafir Quraisy itu mendustakan kamu wahai Muhammad, itu adalah tidak pelik kerana nabi-nabi terdahulu pun begitu juga mereka telah melalui semua cabaran dan tentangan ini.
  2. Allah s.w.t sebut tujuh nama kaum terdahulu yang telah dibinasakan akibat kejahatan dan pendustaan mereka kepada nabi mereka.
  3. Allah mulakan dengan Nabi pertama yang diutus selepas nabi Adam iaitu Nabi Nuh, kemudian Aad (kaum Nabi Hud) di sebelah Yaman, serta Thamud (kaum Nabi Soleh) di sebelah Syam, telah juga mendustakan Rasul masing-masing.
  4. Dua tempat ini adalah yang menjadi laluan perdagangan kafilah Quraisy pada musim sejuk dan panas. (Surah Quraisy).

AYAT 43- {DAN (DEMIKIAN JUGA) KAUM NABI IBRAHIM DAN KAUM NABI LUT;} (AL-HAJJ 22:43)

  1. Kemudian Allah sebut pula dua Nabi yang sezaman dan berdekatan negeri mereka.
  2. Iaitu nabi Ibrahim di Palestin (Syam) dan kaum Nabi di Lut di sempadan Jordan (Laut Mati). Mereka berdua ini bapa dan anak saudara.

AYAT 44- {DAN JUGA PENDUDUK MADYAN; DAN NABI MUSA JUGA TELAH DIDUSTAKAN; MAKA AKU MEMBERI TEMPOH KEPADA ORANG-ORANG KAFIR ITU, KEMUDIAN AKU MENIMPAKAN MEREKA DENGAN AZAB SEKSA. DENGAN YANG DEMIKIAN PERHATIKANLAH BAGAIMANA BURUKNYA KESAN KEMURKAANKU.} (AL-HAJJ 22:44)

  1. Juga penduduk Madyan iaitu kaum kepada Nabi Syua\’ib. Madyan ini terletak di Jordan-Urdun dalam bahasa Arab.
  2. Begitu juga nabi Musa yang di dustakan oleh Firaun dan kaumnya. Yakni kaum kepada Firaun, namanya al-Qibti (Coptic). Mariah ibu kepada Ibrahim bin Rasulullah s.a.w berasal dari kaum inilah, Mariah al-Qibtiyyah. Jadi jika bubuh nama anak Mariah, tidak perlulah lah bubuh Qibtiyyah itu, nama kaum Firaun.
  3. Nabi Musa a,s berasal dari kaum Bani Israil, iaitu golongan lemah yang ditindas oleh kaum Qibti di Mesir. Kerana itulah dia mahu membebaskan mereka dari kekejaman Firaun dan kaumnya.
  4. Kerana itulah Nabi Musa tidak dikatakan didustakan oleh kaumnya.
  5. Allah s.w.t menyatakan mereka semua itu diberi tempoh dahulu, sebelum membinasakan mana-mana kaum, dihantar nabi, diberi nasihat, peringatan, ancaman dan seumpamanya. Ada ulama\’ kata beza antara Firaun mula mengaku Tuhan sehingga dia dimusnahkan dalam laut lebih kurang 40 tahun.
  6. Tetapi jika mereka masih ingkar dan mendustakan maka terimalah, lihatlah betapa buruknya kesan kemurkaan Allah s.w.t.

AYAT 45- {MAKA BUKAN SEDIKIT NEGERI-NEGERI YANG KAMI BINASAKAN DENGAN SEBAB KEZALIMAN PENDUDUKNYA, LALU RUNTUH RANAPLAH BANGUNAN-BANGUNANNYA; DAN BUKAN SEDIKIT PULA TELAGA YANG TELAH TERBIAR, DAN ISTANA YANG TERSERGAM (TELAH KOSONG, DITINGGALKAN).} (AL-HAJJ 22:45)

  1. Bila datang azab Allah, akibat kezaliman penduduk itu sendiri yang kufur dan ingkar, maka tiada apa yang tinggal dalam negeri (qaryah) mereka itu.
  2. Bangunan-bangunan habis ranap runtuh, telaga-telaga terbiar dan buruk, istana yang megah tersergam dulu kosong terbiar.
  3. Contohnya: Madain Soleh di Arab Saudi, yang masih ada kesan tinggalan begini sebagai pengajaran untuk umat selepasnya melihatnya. Manakala negeri kaum Lut binasa terus tiada kesan, hanya Laut Mati yang kelihatan!

PENGAJARAN AYAT-AYAT INI:

  1. Semua contoh ini Allah s.w.t bawakan untuk menenangkan hati Rasulullah s.a.w dan menguatkan semangat dakwahnya.
  2. Kenapa Allah s.w.t sebutkan: {Dengan yang demikian perhatikanlah bagaimana buruknya kesan kemurkaan-Ku.} bukan sebut terus kesannya?
    i- Dalam siri lepas telah dibincangkan tentang amar makruf dan nahi munkar. Betapa ramai orang yang mampu buat yang pertama tetapi tidak berani yang kedua.
    ii- Maka Allah tegaskan betapa kemurkaan Allah itu adalah sesuatu yang perlu digeruni dan dielakkan. Maka wajib bertegas dalam kedua-duanya.

AYAT 46- {OLEH ITU, BUKANKAH ADA BAIKNYA MEREKA MENGEMBARA DI MUKA BUMI SUPAYA – DENGAN MELIHAT KESAN-KESAN YANG TERSEBUT – MEREKA MENJADI ORANG-ORANG YANG ADA HATI YANG DENGANNYA MEREKA DAPAT MEMAHAMI, ATAU ADA TELINGA YANG DENGANNYA MEREKA DAPAT MENDENGAR? (TETAPI KALAULAH MEREKA MENGEMBARA PUN TIDAK JUGA BERGUNA) KERANA KEADAAN YANG SEBENARNYA BUKANLAH MATA KEPALA YANG BUTA, TETAPI YANG BUTA ITU IALAH MATA HATI YANG ADA DI DALAM DADA.} (AL-HAJJ 22:46)

  1. Jika dengan mengembara di muka bumi supaya -dengan melihat kesan-kesan azab dan kemusnahan yang tersebut lalu mereka menjadi orang yang mempunyai;
    ii- Hati yang berfikir, ii- telinga yang mendengar kebenaran, maka lakukanlah.
  2. Tetapi jika sebaliknya tiada gunanya, kerana telah buta mata hati yang ada di dalam dada. Tidak memberi kesan dan faedah keinsafan.
  3. Kata ulama\’ pengembaraan itu samada dengan fizikal, pergi sendiri atau secara pembacaan, keduanya jika dihayati boleh membawa manfaat. Sama seperti kita hari ini, perjalanan mencari ilmu boleh dilakukan bila-bila masa dan di mana saja.
  4. Apa yang penting Allah s.w.t tekankan tentang pengunaan hati. Jika hadir badan saja tetapi hati tidak menyertainya maka tetap tiada guna.
  5. Hadis Rasulullah s.a.w: Daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: \”Barangsiapa yang menempuh satu jalan untuk menuntut ilmu maka Allah SWT akan memudahkan baginya jalan untuk ke syurga. Tidaklah satu kumpulan berkumpul di dalam sebuah rumah di antara rumah-rumah Allah, membaca kitab Allah (al-Quran) dan mempelajarinya sesama mereka melainkan akan turun kepada mereka sakinah (ketenangan), diliputi ke atas mereka rahmat dan dinaungi oleh malaikat serta Allah S.W.T akan menyebut mereka pada malaikat yang berada di sisi-Nya\”. (Hadis Riwayat Muslim)

AYAT 47- {DAN MEREKA MEMINTA KEPADAMU (WAHAI MUHAMMAD) MENYEGERAKAN KEDATANGAN AZAB, PADAHAL ALLAH TIDAK SEKALI-KALI AKAN MEMUNGKIRI JANJINYA; DAN (KATAKANLAH KEPADA MEREKA): SESUNGGUHNYA SATU HARI DARI HARI-HARI AZAB DI SISI TUHANMU ADALAH MENYAMAI SERIBU TAHUN DARI YANG KAMU HITUNG.} (AL-HAJJ 22:47)

  1. Mereka juga dengan sombongnya meminta disegerakan azab. Sedangkan Allah s.w.t sekali-kali tidak akan memungkiri janji-Nya.
  2. Jangan gopoh, tahukah kamu bahawa satu hari dari hari-hari azab yang akan kamu lalui itu akan panjang dan lama sekali. Mereka berani minta kerana tidak tau kesannya.
  3. Sesungguhnya sehari di sisi Tuhanmu adalah menyamai seribu tahun dari yang kamu hitung di atas dunia selama ini. الله المستعان
  4. Begitulah sesuatu yang kita sukai dan menyenangkan itu akan terasa cepat berlalu, tetapi sesuatu yang menyusahkan dan menyakiti itu akan terasa lama dan tidak akan habis-habis.
  5. Hadis Rasulullah s.a.w: Nabi SAW bersabda maksudnya :
    \”Orang beriman yang miskin akan masuk syurga sebelum orang-orang kaya dengan selisih setengah hari, yang itu setara dengan 500 tahun.\” [HR Ahmad].

AYAT 48- {DAN BUKAN SEDIKIT NEGERI-NEGERI YANG AKU BERI TEMPOH, SEDANG PENDUDUKNYA BERLAKU ZALIM; KEMUDIAN AKU MENIMPAKANNYA DENGAN AZAB SEKSA; DAN (INGATLAH) KEPADA AKULAH TEMPAT KEMBALI.} (AL-HAJJ 22:48)

  1. Allah s.w.t menegaskan lagi telah banyak negeri-negeri dan umatnya yang Allah beri tempoh walaupun mereka berlaku zalim.
  2. Kemudian bila tiba waktunya, Allah s.w.t akan datangkan azab siksanya. Ingatlah juga bahawa hanya kepada Allah jualah tempat kembali.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS:

  1. Allah s.w.t menekankan bahawa apa saja pengembaraan mestilah secara fizikal dan dengan hati, samada pengembaraan maknawi dan hissi (batin).
  2. Hati itu pula mesti berfikir dan bertadabbur, mata dan telinga yang mendengar.
  3. Kata Qatadah rhm. Dalam membincangkan ayat ini: Bukanlah mata البصر itu yang ada di muka/kepala kita ini, tetapi mata yang berada dan melihat di hati, البصيرة. (yakni mata yang memberi faedah). Beza antara البصر والبصيرة
    Betapa ramai orang yang buta matanya tetapi adalah alim dan bijak.
  4. Maka sesiapa yang melihat sesuatu benda tanpa mata hati, maka dia tidak mendapat faedah. Seperti kita ke majlis ilmu dengan hati yang lalai dan tidak khusyuk, maka tidak akan dapat ilmu yang sepatutnya.
  5. Allah s.w.t menyebut dalam al-Quran beberapa kali kalimah bandingan 1000 tahun; i- ada ulama\’ maksudnya kadar jarak perjalanan pada hari Kiamat. (Surah Sajadah & al-Hajj ini)
    ii- ada kata bandingan hari dunia dan hari KIamat. (Surah al-Ma\’arij).
    ii- ada kata bandingan antara waktu yang akan dilalui oleh orang mukmin dan orang kafir. Orang mukmin rasa sekejap, orang kafir rasa lama.
  6. Apapun maksudnya hendaklah kita gerun dan takut akan janji azab siksa Allah s.w.t dan menjauhinya dengan beriman dan melakukan ketaatan.

Wallahu a\’lam.

Powered by BetterDocs