View Categories

SURAH AL-HAJJ : AYAT 5-7

\"\"

DALIL MANUSIA AKAN DIBANGKITKAN SEMULA, 7 PERINGKAT KEJADIAN MANUSIA, 3 PERINGKAT KEJADIAN TUMBUH-TUMBUHAN & 5 NATIJAH DARI DALIL YANG DINYATAKAN.

Full video: https://youtu.be/ayfiIV2rAD8

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini kita masih dalam perbincangan tentang kebangkitan semula pada hari Kiamat.
  2. Allah s.w.t membawa 10 dalil untuk manusia berfikir agar mereka beriman.
  3. Juga 5 Natijah Dari Dalil Yang Dinyatakan ini.

AYAT 5- {WAHAI UMAT MANUSIA, SEKIRANYA KAMU MENARUH SYAK (RAGU-RAGU) TENTANG KEBANGKITAN MAKHLUK (HIDUP SEMULA PADA HARI KIAMAT), MAKA (PERHATILAH KEPADA TINGKATAN KEJADIAN MANUSIA) KERANA SEBENARNYA KAMI TELAH MENCIPTAKAN KAMU DARI TANAH, KEMUDIAN DARI SETITIK AIR BENIH, KEMUDIAN DARI SEBUKU DARAH BEKU, KEMUDIAN DARI SEKETUL DAGING YANG DISEMPURNAKAN KEJADIANNYA DAN YANG TIDAK DISEMPURNAKAN; (KAMI JADIKAN SECARA YANG DEMIKIAN) KERANA KAMI HENDAK MENERANGKAN KEPADA KAMU (KEKUASAAN KAMI); DAN KAMI PULA MENETAPKAN DALAM KANDUNGAN RAHIM (IBU YANG MENGANDUNG ITU) APA YANG KAMI RANCANGKAN HINGGA KE SUATU MASA YANG DITENTUKAN LAHIRNYA; KEMUDIAN KAMI MENGELUARKAN KAMU BERUPA KANAK-KANAK; KEMUDIAN (KAMU DIPELIHARA) HINGGA SAMPAI KE PERINGKAT UMUR DEWASA; DAN (DALAM PADA ITU) ADA DI ANTARA KAMU YANG DIMATIKAN (SEMASA KECIL ATAU SEMASA DEWASA) DAN ADA PULA YANG DILANJUTKAN UMURNYA KE PERINGKAT TUA NYANYUK SEHINGGA IA TIDAK MENGETAHUI LAGI AKAN SESUATU YANG TELAH DIKETAHUINYA DAHULU. DAN (INGATLAH SATU BUKTI LAGI); ENGKAU MELIHAT BUMI ITU KERING, KEMUDIAN APABILA KAMI MENURUNKAN HUJAN MENIMPANYA, BERGERAKLAH TANAHNYA (DENGAN TUMBUH-TUMBUHAN YANG MERECUP TUMBUH), DAN GEMBUR MEMBUSUTLAH IA, SERTA IA PULA MENUMBUHKAN BERJENIS-JENIS TANAMAN YANG INDAH PERMAI.} (AL-HAJJ 22:5)

  1. Dalam ayat ini Allah s.w.t menyeru kepada sekelian manusia seluruhnya. Ayat ini juga adalah kesinambungan ayat sebelumnya, ayat ke3, di mana manusia yang ingkar dan tidak percaya akan kebangkitan semula dan hari akhirat, membantahnya tanpa ilmu, bahkan ikut hawa nafsu dan syaitan.
  2. Lalu Allah s.w.t mahu menegakkan hujjah-Nya ke atas hamba-hamba-Nya agar mereka berfikir lalu beriman. Yakni jika sekiranya kamu masih lagi menaruh syak dan ragu-ragu tentang kebangkitan makhluk, hidup semula pada hari kiamat.
  3. Maka tak perlu pergi jauh, lihatlah kepada asal kejadian kamu manusia itu sendiri.
  4. Peringkat kejadian manusia mengikut al-Quran;
    EMPAT peringkat dalam kandungan, rahim ibu:
    i- pati (yang berasal) dari tanah, iaitu asal kejadian Adam a.s. تُرَابٍ
    ii- (setitis) air benih (mani-Nutfah) pada penetapan yang kukuh (rahim). نُطْفَةٍ
    iii- Kemudian menjadi sebuku darah beku (ALAQAH). عَلَقَةٍ
    iv- Kemudian menjadi seketul daging (MUDGHOH). مُضْغَةٍ
    5- Setelah itu ada yang sempurna kejadiannya مُخَلَّقَةٍ, ada yang tidak sempurna
    وَغَيْرِ مُخَلَّقَةٍ . Ulama\’ kata maksudnya yang sempurna dan yang yang cacat kejadian.
  5. Berapa lamakah tempoh semua ini? Dalam sebuah hadis yang sahih:
    dari \’Abdullah bin Mas\’ud r.a katanya:
    ( حدثنا رسول الله صلى الله عليه وسلم -وهو الصادق المصدوق- قال: \”إن أحدكم يُجمع خلقُه في بطن أمه أربعين يوما، ثم يكون علقة مثلَ ذلك، ثم يكون مضغة مثل ذلك، ثم يبعث الله ملكاً يؤمر بأربع كلمات ويقال له: اكتب عمله وأجله ورزقه وشقي أو سعيد. ثم ينفخ فيه الروح…\”). صحيح البخاري رقم (3208).
    Maksudnya: \”Rasulullah saw telah menceritakan kepada kami -sedang Baginda adalah orang benar yang telah dibenarkan kata-katanya- sabdanya: \”Bahawa seseorang kamu dihimpunkan kejadiannya dalam perut ibunya selama 40 hari, kemudian dijadikan segumpal darah seumpamanya, kemudian dijadikan seketul daging seumpamanya, kemudian Allah mengutuskan seorang Malaikat untuk menulis empat kalimah dan diarahkan agar menulis; amalannya, ajalnya, rezekinya dan untung jahat atau untung baik, kemudian ditiupkan rohnya…\”. [Sahih Al-Bukhari No. 3208].
  6. Sebuah badan yang mengkaji mukjizat-mukjizat dalam al-Quran berdasarkan sains/perubatan, mengatakan semua 3 peringkat ini dalam masa 40 hari itu saja.
    Bukan 3×40 = 120 hari. Kerana sains telah mendapati janin ini telah bergerak sebelum itu lagi. Yakni telah ditiup roh sebelum 120 hari lagi.
  7. Untuk bacaan yang lebih jelas sila ke: Proses Kejadian Janin dan Peniupan Roh sila ke:
    https://www.abuanasmadani.com/proses-kejadian-janin-dan…/
  8. Selepas itu janin itu terpelihara di dalam rahim ibunya yang kukuh, menunggu masa yang telah Allah s.w.t tetapkan untuk dilahirkan ke dunia.
  9. TIGA peringkat kejadian manusia selepas lahir pula: (yang ke-5 sambung dari dalam perut)
    v- Dilahirkan kamu sebagai seorang bayi.
    vi- Membesar sebagai kanak-kanak, remaja & dewasa yang kuat dan gagah. Ada ulama\’ kata umur ini adalah dari 18-33/45 tahun, selepas itu tidak kuat lagi. Ada di antara kamu yang mati semasa kecil lagi atau panjang umur.
    vii- Ada yang dilanjutkan usianya sehingga lanjut usia dan nyanyuk. Sehingga dia tidak tahu dan ingat apa-apa.
  10. Bacaan selepas solat, antara yang diajar oleh Rasulullah s.a.w:
    اللَّهمَّ إنِّي أعوذُ بِكَ منَ البُخلِ، وأعوذُ بِكَ منَ الجُبنِ وأعوذُ بِكَ أن أَرَدَّ إلى أرذلِ العمرِ، وأعوذُ بِكَ مِن فتنةِ الدُّنيا، وأعوذُ بِكَ مِن عذابِ القبرِ
    Maksudnya: Ya Allah, sesungguhnya aku memohon perlindungan kepada-Mu daripada sifat pengecut, aku berlindung kepada-Mu daripada sifat kedekut, dan aku berlindung kepada-Mu daripada ditimpa penyakit nyanyuk (dikembalikan kepada umur yang paling hina), serta aku memohon perlindungan-Mu daripada fitnah dunia dan azab kubur.\’ [Riwayat al-Bukhari No. 6374]
  11. Kemudian Allah bawa pula dalil 3 peringkat kejadian tumbuh-tumbuhan:
    i- Asal bumi yang kering,
    ii- Lalu Allah s.w.t menurunkan hujan menimpanya lalu gembur subur tanahnya,
    iii- Lalu tumbuhlah berjenis-jenis tanaman yang indah permai.

AYAT 6- { (KEDUA-DUA KENYATAAN) YANG TERSEBUT MEMBUKTIKAN BAHAWA SESUNGGUHNYA ALLAH JUALAH TUHAN YANG SEBENAR-BENARNYA (YANG BERHAK DISEMBAH), DAN SESUNGGUHNYA DIA LAH YANG MENGHIDUPKAN MAKHLUK-MAKHLUK YANG MATI, DAN DIA LAH JUA YANG MAHA KUASA ATAS TIAP-TIAP SESUATU.} (AL-HAJJ 22:6)

  1. 5 Natijah daripada 10 dalil dan tanda ini adalah:
    i- Allah jualah Tuhan Yang Sebenar-benarnya.
    ii- Allah berkuasa menghidupkan yang mati
    iii- Allah Yang Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

AYAT 7- {DAN BAHAWA SESUNGGUHNYA HARI KIAMAT ITU TETAP AKAN DATANG, TIDAK ADA SEBARANG SYAK PADANYA, DAN BAHAWA SESUNGGUHNYA ALLAH AKAN MEMBANGKITKAN (MENGHIDUPKAN SEMULA) ORANG-ORANG YANG DI DALAM KUBUR.} (AL-HAJJ 22:7)

  1. 5 Natijah daripada 10 dalil dan tanda ini juga bahawa:
    iv- Sesungguhnya hari kiamat itu tetap akan datang, tidak ada sebarang syak padanya
    v- Sesungguhnya Allah akan membangkitkan (menghidupkan semula) orang-orang yang di dalam kubur.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS:

  1. Semua dalil dan ayat-ayat ini mengajak kita bertafakkur (berfikir) dan bertadabbur akan kekuasaan Allah s.w.t melalui kejadian manusia dan tumbuhan.
  2. Hendaklah manusia tengok kepada dirinnya sendiri, dari mana Allah s.w.t ciptakan. Firman Allah s.w.t:
    i- {(Setelah mengetahui yang demikian), maka hendaklah manusia memikirkan: dari apa ia diciptakan.} [At-Toriq: 5].
    ii- {Dan juga pada diri kamu sendiri. Maka mengapa kamu tidak mahu melihat serta memikirkan (dalil-dalil dan bukti itu)?} [Az-Zariyat: 21.
  3. Manusia ini berperingkat yakni bergerak kejadiannya. Maka bila kita lihat kepada orang yang lebih tua daripada kita, ingatlah apakah kita akan sampai atau tidak peringkat itu.
  4. Maka perbanyakkanlah berdoa agar diberi kesihatan dan kebaikan hidup serta mati dalam kebaikan juga.

Wallahu a\’lam.

Powered by BetterDocs