View Categories

Surah Al-Infitar : Ayat 1-5

Surah Al-Infitar – سورة الإنفطار
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْم

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. 

MUQADDIMAH DAN INTISARI SURAH, KEADAAN HARI KIAMAT & SEMUA AKAN LIHAT AMALANNYA.

Full video : https://youtu.be/GvwQZxD6dGE?si=edN0p0EM0gA80DrS

MUQADDIMAH SURAH :

  1. Alhamdulillah pada pagi ini, kita dapat meneruskan pengajian dalam tafsir al-Quran & tadabburnya. 
    Pada hari ini Rabu 19 Syawwal 1444H bersamaan 10hb Mei 2023 kita mulakan pengajian Kuliah tafsir bagi Surah Al-Infitar – سورة الإنفطار.
  1. Surah Al-Infitar – سورة الإنفطار adalah surah ke-82 dalam tertib susunan al-Quran, surah yang kelima dalam juz ke 30, iaitu selepas Surah At-Takwir- سورة التكوير. Mengandungi 19 ayat yang pendek-pendek.
  1. Ulama’ tafsir ijma’ mengatakan surah ini Makkiyyah, yakni turun di Makkah sebelum hijrahnya Rasulullah SAW ke Madinah. 

NAMA SURAH :

  1. Dinamakan surah ini sebagai:
    i- Al-Infitar yang bermakna {Terbelah} kerana pada awal surah ini Allah SWT menegaskan saat berlakunya hari Kiamat ialah apabila langit terbelah.
  1. Surah ini juga dikenali nama dengan ayat pertamanya {إِذَا ٱلسَّمَآءُ ٱنفَطَرَتْ}.
    Dalilnya- 
    i-Hadis Abdullah Ibnu Umar RA : Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa yang nak dengar tentang hari Kiamat seolah gambaran Kiamat berlaku di depan matamu maka bacalah 3 surah ini: { إِذَا ٱلشَّمْسُ كُوِّرَتْ} & {إِذَا ٱلسَّمَآءُ ٱنفَطَرَتْ} & {إِذَا ٱلسَّمَآءُ ٱنشَقَّتْ}. [HR Ahmad & At-Tirmizi].

    ii- Sebuah hadis- Jabir RA meriwayatkan :
    ﺻَﻠَّﻰ ﻣُﻌَﺎﺫُ ﺑْﻦُ ﺟَﺒَﻞٍ ﺍﻷَﻧْﺼَﺎﺭِﻯُّ ﻷَﺻْﺤَﺎﺑِﻪِ ﺍﻟْﻌِﺸَﺎﺀَ ﻓَﻄَﻮَّﻝَ ﻋَﻠَﻴْﻬِﻢْ ﻓَﺎﻧْﺼَﺮَﻑَ ﺭَﺟُﻞٌ ﻣِﻨَّﺎ ﻓَﺼَﻠَّﻰ ﻓَﺄُﺧْﺒِﺮَ ﻣُﻌَﺎﺫٌ ﻋَﻨْﻪُ ﻓَﻘَﺎﻝَ ﺇِﻧَّﻪُ ﻣُﻨَﺎﻓِﻖٌ . ﻓَﻠَﻤَّﺎ ﺑَﻠَﻎَ ﺫَﻟِﻚَ ﺍﻟﺮَّﺟُﻞَ ﺩَﺧَﻞَ ﻋَﻠَﻰ ﺭَﺳُﻮﻝِ ﺍﻟﻠَّﻪِ – ﺻﻠﻰ ﺍﻟﻠﻪ ﻋﻠﻴﻪ ﻭﺳﻠﻢ – ﻓَﺄَﺧْﺒَﺮَﻩُ ﻣَﺎ ﻗَﺎﻝَ ﻣُﻌَﺎﺫٌ ﻓَﻘَﺎﻝَ ﻟَﻪُ ﺍﻟﻨَّﺒِﻰُّ – ﺻﻠﻰ ﺍﻟﻠﻪ ﻋﻠﻴﻪ ﻭﺳﻠﻢ – ‏« ﺃَﺗُﺮِﻳﺪُ ﺃَﻥْ ﺗَﻜُﻮﻥَ ﻓَﺘَّﺎﻧًﺎ ﻳَﺎ ﻣُﻌَﺎﺫُ ﺇِﺫَﺍ ﺃَﻣَﻤْﺖَ ﺍﻟﻨَّﺎﺱَ ﻓَﺎﻗْﺮَﺃ: َﺳَﺒِّﺢِ ﺍﺳْﻢَ ﺭَﺑِّﻚَ ﺍﻷَﻋْﻠَﻰ . وَٱلضُّحَىٰ. ‏ إِذَا ٱلسَّمَآءُ ٱنفَطَرَتْ….
    Sahabat Nabi SAW- Muaz bin Jabal RA solat Isya; bersama (kaumnya) sahabatnya dan telah memanjangkan solat tersebut sehingga seorang atau dua dari makmum mufaraqah dari solat. Mereka mengadukan hal tersebut kepada Nabi SAW. Nabi SAW telah menegur Muaz bin Jabal, “Adakah engkau mahu menjadi pencetus fitnah ke atas manusia (Baginda mengulangnya sebanyak tiga kali)?” Kalau kamu menjadi imam kepada orang ramai maka bacalah surah Sabbihisma Rabbika al-“A’la, Wadh-Duha, Izas-Sama’un- Fatarat. {َﺳَﺒِّﺢِ ﺍﺳْﻢَ ﺭَﺑِّﻚَ ﺍﻷَﻋْﻠَﻰ . وَٱلضُّحَىٰ. ‏ إِذَا ٱلسَّمَآءُ ٱنفَطَرَتْ.}.” (HR an-Nasa’ei).

    Yakni Rasulullah SAW sebut namanya { إِذَا ٱلسَّمَآءُ ٱنفَطَرَتْ}.
    Para imam kena peka dengan keadaan, tengok situasi & keadaan Jemaah, masa & realiti semasa. 
    Jika sudah lewat jangan panjangkan bacaan sehingga boleh menyusahkan mereka lebih-lebih lagi jika ramai yang tua & letih bekerja.
  1. Hadis tentang gambaran Kiamat itu juga termasuk dalam kelebihan surah ini.

INTISARI KANDUNGANNYA:

  1. Menggambarkan tentang kehancuran dunia & segala isi kandungannya pada hari Kiamat. Lalu digantikan dengan alam yang baru iaitu alam akhirat. Pada saat itu manusia dibangkitkan hidup semula untuk dihisab, lalu masing-masing tahu apa yang telah dikerjakan dan apa yang telah ditinggalkannya. 
    Kerugian amat besar bagi seorang hamba Allah jika tak ambil peluang masa, umur & harta yang Allah beri untuk meningkatkan ketaqwaan & menambahkan ibadat.
  1. Sungguh zalim manusia yang tergamak derhaka kepada Allah SWT yang amat melimpahkan rahmat-Nya. 
    Tuhan yang telah mengatur kejadiannya & menciptanya dengan sebaik kejadian dalam anggota, bentuk & rupa. 
    Kepada golongan yang ingkar ditegaskan bahawa tidak ada yang memperdayakan mereka kecuali mereka sendiri yang tidak percaya adanya hari Pembalasan.
  1. Kemudian dinyatakan kepada manusia bahawa disekeliling mereka ada malaikat yang menjaga, mengawas & mencatat segala amal perbuatan mereka. Mereka tahu semua kelakuan manusia.
  1. Setelah itu dijelaskan bahawa gunanya catatan-catatan malaikat itu ialah untuk menyatakan sesiapa yang berbakti & beramal soleh dan siapa yang bersalah kerana sesungguhnya orang yang taat & melakukan amal kebaikan akan menerima sebaik-baik balasan. Sebaliknya orang yang bersalah buruk padahanya!
  1. Surah ini diakhiri dengan menyatakan akan hakikat hari akhirat dimana tidak seorang pun yang dapat memberi pertolongan sedikitpun kepada orang lain dan segala perkara pada hari itu tertentu bagi Allah.
    Kecuali dalam isu syafaat, ada orang yang Allah izinkannya.  

MAQASID/OBJEKTIF SURAH:

  1. Antara objektifnya yang terpenting ialah untuk menetapkan bangkit semula & menyatakan huru-hara hari Kiamat dan memperingatkan manusia untuk wajib membuat persiapan menghadapi Kiamat sama ada Kiamat besar apabila matinya semua orang atau Kiamat individu iaitu matinya seseorang!

ISU PENTING DALAM SURAH:

  1. Allah SWT sifatkan huru-hara hari Kiamat.
  1. Allah sebut sebahagian daripada nikmat Allah SWT kepada makhluk-Nya.
  1. Menjelaskan bahawa semua amalan manusia ini ada malaikat yang mencatat segalanya. (Kiraman Katibin). Tidak perlu kita sibuk, sibuk catat & rekod amalan kita dan sharenya.
  1. Menerangkan eloknya akhir kesudahan orang yang baik & buruknya orang yang jahat.
  1. Menyatakan besarnya huru-hara hari Pembalasan & manusia akan dibongkarkan segala perlakuan mereka & semua urusan hari itu di bawah peraturan Allah Azza wa Jalla! Tiada siapa boleh sembunyi, lawan atau ingkar.

MUNASABAH SURAH AL-INFITAR- سورة الإنفطار DENGAN SURAH AT-TAKWIR- سورة التكوير SEBELUMNYA;
Hubung-kait surah ini dengan Surah At-Takwir- سورة التكوير:

  1. Semuanya menceritakan tentang huru-hara & keadaan hari Kiamat. Kerana itu Rasulullah SAW menganjurkan untuk membacanya jika nak tahu gambaran tentang hari Kiamat. 

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

AYAT 1- {APABILA LANGIT TERBELAH;} (AL-INFITAAR 82:1)

  1. Kerana dahsyatnya hari Kiamat, langit yang kukuh dan tegap binaannya pun terbelah hancur & musnah!

AYAT 2- {DAN APABILA BINTANG-BINTANG GUGUR BERTABURAN;} (AL-INFITAAR 82:2)

  1. Apabila bintang-bintang juga turut musnah, jatuh berguguran. Yakni apabila langit pecah terbelah, bintang pun ikut jatuh!  
    Ya Allah amat mengerikan!

AYAT 3- {DAN APABILA LAUTAN PECAH BERCAMPUR-BAUR;} (AL-INFITAAR 82:3)

  1. Apabila lautan pecah belah lalu bercampur baur menjadi satu. Yakni pecah sempadannya dan bercampur baur menjadi satu lautan.
  1. Kata Imam al-Mawardi RHM dalam tafsirnya : Maksudnya laut pecah { ٱلْبِحَارُ فُجِّرَتْ} itu ialah:
    i- Mengikut pendapat al-Hasan al-Basri RHM : Ialah semua laut menjadi kering airnya.

    ii- Pendapat Ibnu Abbas RA pula, semua laut bercampur habis, bercantum menjadi satu, tiada sempadan lagi.

    iii- Pendapat Qatadah pula, bercampur semua air; laut yang masin & sungai yang tawar semuanya bercantum bercampur baur.

    iv- Pendapat keempat, air laut menjadi pasang dan naik memenuhi bumi lalu bercantum semuanya!
    Yang kita boleh kata wallahu a’lam, amat huru-hara dan menakutkan apa yang akan berlaku pada hari Kiamat.

AYAT 4- {DAN APABILA KUBUR-KUBUR DIBONGKARKAN,} (AL-INFITAAR 82:4)

  1. Kemudian apabila kubur-kubur terbongkar, mayat-mayat di dalamnya akan keluar & hidup semula. Dibangkitkan untuk bertemu Allah SWT bagi proses Hisab (pengadilan) & Jaza’ (pembalasan) yang setimpal. 
  1. Kita berdoa kepada Allah SWT semoga kita termasuk dalam golongan yang banyak amalan baiknya, sedikit atau tiada lansung amalan jahatnya! 

AYAT 5- { (SETELAH SEMUANYA ITU BERLAKU), TIAP-TIAP ORANG AKAN MENGETAHUI APA YANG TELAH DIKERJAKAN DAN DITINGGALKANNYA.} AL-INFITAAR 82:5)

  1. Maka setelah empat kali {إِذَا} apabila, Allah SWT nyatakan sekarang baru manusia sedar.
  1. Munasabah ayat ini dengan yang sebelumnya:
    i- Semua tanda-tanda Kiamat ini menunjukkan ketelitian ilmu & setiap perkara itu ada perkara yang pelik dan ajaib yang menunjukkan bahawa manusia ini akan berpindah dari alam dunia ke alam barzakh kemudian ke alam akhirat.

    ii- Setelah berlaku semua perkara yang akan berlaku pada hari Kiamat nanti (dalam surah ini disebut 4 peristiwa menakutkan) maka pada ketika itu barulah semua manusia akan tahu apakah amalannya. 
    Apakah amalannya baik atau tidak, soleh atau toleh, mengikut Sunnah atau tidak- baru tahu.

    Semasa atas dunia ini masing-masing mengaku bahawa amalannya yang betul, amalan orang lain itu salah!
  1. Maka kita yang cemas dan takut akan kedatangan hari huru-hara ini mesti pastikan bahawa segala amalan kita adalah bertepatan & berdasarkan kepada ajaran & Sunnah Rasulullah SAW yang sahih! 
    Jika tidak rugi jika segalanya ditolak & dinafikan di akhirat nanti jika tidak ada pengiktirafan.
  1. Tafsiran ulama’ tentang makna lafaz ini:
    i- {مَّا قَدَّمَتْ}- iaitu apa yang dia buat atas dunia dulu sebagai bekalannya di dunia dulu, iaitu apa yang dia sedia & buat di dunia ni sama ada baik atau buruk.

    ii- {وَأَخَّرَتْ}- apa yang dia tinggalkan atas dunia ini selepas kematiannya dari perbuatannya sama ada yang baik atau buruk.
  1. Contoh { مَّا قَدَّمَتْ وَأَخَّرَتْ}: 
    i- Orang buat kebaikan atau sedekah jariyah yang pahalanya terus mengalir walaupun dia telah mati. Inilah orang yang bahagia, dia mati tetapi pahalanya tidak mati! 
    Ia juga akan menjadi bekalannya di akhirat kelak.

    ii- Tetapi alangkah takutnya jika seseorang buat apa yang Nabi tidak buat atau buat satu maksiat yang kemudian menjadi ikutan & amalan orang lain! 
    Sama ada buat fitnah atau tuduhan yang tidak benar terhadap orang lain. Inilah manusia yang celaka walaupun dia telah mati tetapi amalan jahatnya tetap berjalan & tidak mati! Na’uzubillah!

PENUTUP & FAEDAH:

  1. Ayat 1- {Apabila langit terbelah;}
    Ayat 2- {Dan apabila bintang-bintang gugur bertaburan;}
    Ayat 3- {Dan apabila lautan pecah bercampur-baur;}
    Ayat 4- {Dan apabila kubur-kubur dibongkarkan,}-

    Empat ayat bermula dengan (apabila {إِذَا} ) ini adalah satu susunan yang cukup cantik dan bersambung.
    Kerana surah ini pendek, hanya dibawa empat kali bukan seperti dalam Surah At-Takwir di bawah 12 kali cerita apabila berlaku Kiamat.
    i- Ia adalah untuk menerangkan apa yang akan berlaku apabila semua itu terjadi, iaitu untuk menarik minat orang apakah kesannya; iaitu apabila Kiamat berlaku semua manusia akan tahu apakah perbuatan amalannya!

    ii- Allah SWT juga menggunakan kata yang telah lepas (past tense- الماضي) walaupun benda itu belum berlaku lagi. 
    Ini untuk menta’kidkan bahawa perkara itu PASTI berlaku, bukan hanya AKAN berlaku!
    Inilah al-Quran, ayat-ayatnya adalah mukjizat; yang lemah orang lain untuk meniru dan merubahnya!
  1. Ayat 4- {Dan apabila kubur-kubur dibongkarkan,}-

    Untuk menunjukkan cepatnya peristiwa yang berlaku.
    Sekali Israfil meniup serunainya, kubur terus terbuka terbongkar, manusia pun terus bangun keluar bertebaran seperti bijiran yang ditabur. Mayat yang sudah lama tidur di dalam kubur itu terus bangun keluar tanpa berlengah!

    Firman Allah SWT:
    {Iaitu hari mereka segera keluar dari kubur masing-masing menuju (ke Padang Mahsyar) dengan keadaan seolah-olah mereka berkejaran ke (tempat) berhala-berhala (yang mereka sembah dahulu),} (Al-Ma’arij 70:43)
    Ya Allah bangkitkan kami daripada kubur dalam keadaan aman dan redha-Mu.
  1. Ayat 5- {(Setelah semuanya itu berlaku), tiap-tiap orang akan mengetahui apa yang telah dikerjakan dan ditinggalkannya.}-

    Apabila mati baru tahu apa yang kita buat & tak buat atas dunia ini! Bila Kiamat baru nampak begini rupanya rekod kita!
    Ayat ini menjadi dalil bahawa manusia tetap bertanggungjawab atas semua yang dia buat semasa hidup walaupun selepas kematiannya. 
    Jika ada orang ikut perbuatan, ajaran atau amalannya; yang baik dia akan dapat pahala & jika buruk akan dapat dosa walaupun dia telah mati. 
    Kebaikan atau kejahatan yang dia buat tidak akan mati bahkan berterusan mengalir masuk akaunnya!  
  1. Ayat 5- { (Setelah semuanya itu berlaku), tiap-tiap orang akan mengetahui ..}-

    Dalam ayat ini Allah sebut perkataan setiap orang {نَفْسٌۭ } secara umum (نكرة) isyarat kepada bahawa harus setiap manusia yang ada akal & pemikiran untuk muhasabah dirinya kerana dia tahu dia akan dipersoalkn oleh Allah SWT!
    Jika buat maksiat dia akan dipersoal; jika buat baik dia akan dapat pulangan yang baik juga. 

    Sebagaimana selalu DAAM kata : Suratan amalan yang kita nak baca di hadapan Allah nanti kitalah penulisnya.
    Maka pilihlah apa yang kita nak baca & tengok nanti; yang baik atau buruk????
  1. Ayat 5- {(Setelah semuanya itu berlaku), tiap-tiap orang akan mengetahui apa yang telah dikerjakan dan ditinggalkannya.}-

    Ayat ini pada zahirnya nampak bahawa hanya {نَفْسٌۭ } -orang itu (seorang diri sahaja) tahu apa yang dia sediakan dan tinggalkan.
    Sedangkan dalam ayat lain menunjukkan bahawa semua kita akan tahu, yang baik atau yang buruk.
    Jawapan:
    Setiap diri {نَفْسٌۭ } tahu apa yang kita sedia dan tinggalkan tidak terkecuali. Sesiapa saja yang berbuat baik dan buruk dapat bahagiannya, bukan hanya satu diri sahaja. 
    Kata ulama’ : Biasanya perkataan nakirah ini akan jadi umum jika ia bermaksud untuk menafikan atau buat syarat. Tetapi tidak semestinya; ia juga boleh jadi umum dengan sebab susunan ayat sebelumnya.
    Maka kita kata ayat ini walaupun ia nakirah tetapi ia bermaksud umum berdasarkan susunan ayat sebelumnya! 
    Semua diri, semua jiwa {نَفْسٌۭ } akan tahu apa yang ia sediakan dari amalan & apa ia tinggalkan dari amalannya!
    Segala dosa peribadi atau umum akan dibentangkan di akhirat nanti. 
    Maka marilah kita audit muhasabah diri kita; apakah yang kita nak tinggalkan, benda baik atau benda buruk. Termasuk juga apa yang kita kata, tulis, share atau sebar tentang orang lain! 

Semoga kita lebih berhati-hati dan muhasabah dalam segala perbuatan kita!
Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs