View Categories

Surah Al-Infitar : Ayat 13-19

KEDUDUKAN ABRAR DAN FUJJAR, HARI PENUH HURUHARA & SEMUA DI BAWAH KUASA ALLAH.

Full video : https://youtu.be/2bIsywj8XIM?si=c3kSYr1Bbwr8FHbB

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah SWT ceritakan tentang kedudukan golongan Abrar (baik) dan Fujjar (jahat). 
    Ini adalah gaya uslub dalam al-Quran, Allah akan sebut keduanya yang baik & buruk, positif & negatifnya; syurga & neraka dan seumpamanya.
  1. Kemudian Allah tanya apakah yang kamu tahu tentang Hari Kiamat; iaitu hari yang penuh huru-hara. Soalan untuk buka minda & perhatian akan betapa dahsyat & huru-haranya hari Kiamat itu bukan main-main.
  1. Kemudian Allah nyatakan bahawa pada hari itu semua kejadian di bawah kuasa Allah. Walaupun semua hari yang lain sebelum itu di bawah kuasa Allah juga, tetapi pada hari Kiamat, kafir yang tidak percaya sebelum inipun akan mengakuinya juga kerana sudah berlaku di depan mata!

    Tetapi kepercayaan yang tidak berguna lagi, kerana semua sudah berlaku di depan mata. Keimanan & kepercayaan yang berguna ialah sekarang!
  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam siri yang lepas Allah SWT telah nyatakan tentang malaikat pencatat Kiraman Katibin yang cantik & amanah. Yang menulis segala amal manusia yang baik atau yang buruk!

    ii- Maka dinyatakan tentang keputusan orang yang berkerja atas dunia ini terbahagi kepada dua iaitu: al-Abrar (yang baik) dan al-Fujjar {yang jahat). 

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 13- {(GUNANYA CATITAN MALAIKAT-MALAIKAT ITU IALAH: UNTUK MENYATAKAN SIAPA YANG BERBAKTI DAN SIAPA YANG BERSALAH) – KERANA SESUNGGUHNYA: ORANG-ORANG YANG BERBAKTI (DENGAN TAAT DAN AMAL KEBAJIKAN), TETAP BERADA DALAM SYURGA YANG PENUH NIKMAT;} (AL-INFITAR 82:13)

  1. Dalam ayat ini Allah SWT nyatakan kepentingan & kegunaan catatan yang dibuat oleh malaikat itu! 
    Apakah hikmahnya sedangkan Allah SWT telah mengetahui semuanya.
  1. Tujuannya sebagai dalil bukti kerana ia akan ditayang dan dibentangkan semasa perbicaraan di akhirat kelak; maka terserlahlah siapa yang baik siapa yang buruk. Tiada siapa boleh bantah kerana ia adalah laporan penuh.
  1. Juga terzahir & terserlah kebijaksanaan & keadilan Allah SWT; jika ditakwilkan oleh orang yang jahat nanti, maka Allah SWT akan katakan kepadanya: {Bacalah Kitabmu}- maka dia akan tahulah apakah kesalahannya.

    Ini kerana manusia yang jahat ini, semasa atas dunia lagi, sentiasa tidak akan mengaku bersalah dan akan cuba mencari helah alasan untuk melepaskan diri.
  1. Tetapi itupun Allah bagi peluang: adakah mahu bantah? Apakah ada malaikat salah tulis? Jawapannya pasti sekali tidak! 
    Inilah hikmahnya segala amalan manusia di atas dunia ini dicatat malaikat!
  1. Sesungguhnya al-Abrar { ٱلْأَبْرَارَ} akan berada di dalam syurga yang penuh kenikmatan yang tidak pernah tergambar oleh mata, telinga & hati manusia!
  1. Mereka, golongan al-Abrar ini ialah:
    i- Orang yang beriman kepada Allah SWT & benar dalam imannya (المؤمنون & الصادقون).

    ii- Sentiasa taat & melakukan kebaikan (المطيعون).

    iii- Ihsan sesama makhluk, baik kepada manusia & haiwan DAN takut kepada Allah SWT. (المحسنون)

    iv- Orang yang berpegang dengan Sunnah Nabi SAW (المتمسكون).
  1. Al-Abrar ini penggunaannya ada dua cara:
    i- Jika hanya ia sahaja; ia merangkumi semua sekali orang baik yang beriman & bertaqwa kerana lawannya al-Fujjar (orang jahat-الفجار).

    ii- Tetapi jika ia bersama golongan yang beriman lain seperti al-Muqarrabun (المقربون) atau al-Muttaqin (المتقون), maka mereka berada di tahap kedua.
    Yakni penggunaan kalimah tengok tempatnya.

AYAT 14- {DAN SESUNGGUHNYA ORANG-ORANG YANG BERSALAH, BERTEMPAT DALAM NERAKA YANG MENJULANG-JULANG.} (AL-INFITAR 82:14)

  1. Manakala orang-orang yang bersalah, al-Fujjar { ٱلْفُجَّارَ}, akan ditempatkan dalam neraka yang menjulang-julang apinya.
  1. Mereka ini ialah:
    i- Orang kafir yang derhaka & syirik kepada Allah. Inilah darjat fujjar yang paling tinggi. Yang tidak tunaikan hak Allah iaitu beriman & taat kepada Allah.

    ii- Ahli maksiat yang berbuat dosa & melanggar perintah Allah SWT!

AYAT 15- {MEREKA MENDERITA BAKARAN NERAKA ITU PADA HARI PEMBALASAN,} (AL-INFITAR 82:15)

  1. Allah sifatkan keadaan azab mereka di dalam neraka:
    i- Mereka akan diselam dalam neraka.

    ii- Akan dibakar hangus dengan apinya.

    iii- Mereka akan merasai kepanasannya yang dahsyat! Iaitu pada hari Kiamat nanti.
  1. Kita minta perlindungan dengan Allah SWT dari azab neraka yang dahsyat ini!

AYAT 16- {DAN MEREKA (SENTIASA BERADA DALAM AZAB SEKSANYA), TIDAK GHAIB DARIPADANYA.} (AL-INFITAR 82:16)

  1. Mereka tidak akan terlepas & keluar dari neraka selamanya! Bahkan akan berterusan diazab dalam neraka selama-lamanya bagi orang kafir!
  1. Maka jangan sesekali kita bergurau dengan neraka, sesungguhnya ia adalah seburuk-buruk tempat kembali! 
  1. Ya Allah selamatkan kami daripada neraka – اللهم اجرنا من النار.

AYAT 17- {DAN APA JALANNYA ENGKAU DAPAT MENGETAHUI KEDAHSYATAN HARI PEMBALASAN ITU?} (AL-INFITAR 82:17)

  1. Allah SWT bawa pertanyaan ini untuk membesarkan tentang keadaan & huru-hara hari Kiamat. Bagaimana kamu nak tahu tentang kedahsyatan hari Kiamat itu?????
  1. Kita sudah yakin hari Kiamat & suasananya yang akan berlaku, maka diberi peringatan lagi untuk lebih untuk kita lebih nampak, lalu akan lebih peka & mengambil peringatan lalu membuat persediaan yang sepatutnya!

AYAT 18- {SEKALI LAGI, APA JALANNYA ENGKAU DAPAT MENGETAHUI KEDAHSYATAN HARI PEMBALASAN ITU?} (AL-INFITAR 82:18)

  1. Sekali lagi Allah SWT tanya: Apakah caranya untuk kamu mengetahui tentang kedahsyatan hari Kiamat itu?????
  1. Apabila Allah SWT tanya dengan guna uslub ini {وَمَآ أَدْرَىٰكَ}- apa yang kamu tahu, maka Dia akan bawa jawapannya dalam ayat berikutnya.
    **Tetapi jika diguna uslub {وَمَا يُدْرِيكَ} – tidak akan ada jawapan!

AYAT 19- {(HARI ITU IALAH) HARI SESEORANG TIDAK DAPAT MEMBERIKAN PERTOLONGAN SEDIKITPUN KEPADA ORANG LAIN, DAN SEGALA URUSAN PADA HARI ITU TERTENTU BAGI ALLAH.} (AL-INFITAR 82:19)

  1. Hari Kiamat itu adalah satu tempoh yang sangat panjang waktunya serta keadaannya yang berbeza-beza!
  1. Pada hari itu antara tidak ada seorang pun yang dapat menolong sedikitpun orang lain! Semua orang sedang sibuk untuk menyelamatkan diri masing-masing, tidak terfikir akan keadaan orang lain pada awal kebangkitan.
  1. Allah tutup surah ini dengan menegaskan bahawa: {Segala urusan pada hari itu tertentu bagi Allah.}
  1. Memang semua kuasa sejak dari atas dunia ini lagi milik Allah; tetapi sekarang orang kafir tidak percaya! tetapi pada hari Kiamat tidak ada siapa yang mampu menafi dan mengingkarinya lagi! Orang kafir pun sudah lihat di depan matanya sendiri apa yang mereka dustakan dulu!

    Hadis:
    Pada suatu hari Rasulullah SAW memanggil semua kaum keluarganya dan menyeru nama-nama kabilah satu persatu mulai dari Bani Ka’ab ibn Lu’ay, Bani Qusay, Bani Abdu Manaf, Bani Abdu Syams, Bani Hasyim sehingga Bani Abdul Muttalib. Kepada mereka semua Baginda SAW mengingatkan:  “Selamatkanlah diri kamu dari siksa Allah, sebab aku tidak membawa bahaya ataupun manfaat yang boleh menghalang kamu dari siksa Allah. Aku sama sekali tidak boleh membantu kamu menghalang dari siksa Allah.” Kemudian Nabi Muhammad SAW menyeru secara khusus bapa saudaranya- Abbas bin Abdul Muttalib, dan ibu saudaranya- Soffiyah binti Abdul Muttalib. Kepada mereka masing-masing Rasulullah SAW mengatakan: “Aku sama sekali tidak boleh membantumu menghindar dari siksa Allah.” [HR Bukhari & Muslim].

    (iaitu untuk selamat dari api neraka ialah dengan beriman & beramal). 
  1. Hadis diriwayatkan daripada Sahal bin Sa’ad RA katanya Nabi SAW telah bersabda:إِنِّي فَرَطُكُمْ عَلَى الْحَوْضِ مَنْ مَرَّ عَلَيَّ شَرِبَ ، وَمَنْ شَرِبَ لَمْ يَظْمَأْ أَبَدًا ، لَيَرِدَنَّ عَلَيَّ أَقْوَامٌ أَعْرِفُهُمْ وَيَعْرِفُونِي ، ثُمَّ يُحَالُ بَيْنِي وَبَيْنَهُمْ ، فَأَقُولُ : إِنَّهُمْ مِنِّي ، فَيُقَالُ : إِنَّكَ لَا تَدْرِي مَا أَحْدَثُوا بَعْدَكَ ، فَأَقُولُ: سُحْقًا ، سُحْقًا ، لِمَنْ غَيَّرَ بَعْدِي
    Sungguhnya aku akan menunggu kamu semua di kolam Kautsar. Barangsiapa yang datang padaku akan minum, dan siapa yang minum nescaya tidak akan dahaga selama-lamanya. Sungguh akan datang atasku beberapa kaum yang aku kenali mereka dan mereka mengenaliku kemudian dihalang antaraku dan antara mereka. Maka kataku: “Sungguhnya mereka itu dari umatku.” Lalu dikatakan: “Sungguhnya kamu tidak tahu apa yang telah mereka perbuat kemudian dari ketiadaanmu.” Lalu aku berkata: “Pergi dari sini. Pergi dari sini bagi barangsiapa yang membuat perubahan selepas ketiadaanku.” (HR Bukhari & Muslim)

    Dan dalam riwayat Abu Hurairah RA : فَيُقَالُ: إِنَّهُمْ قَدْ بَدَّلُوا بَعْدَكَ. فَأَقُولُ: سُحْقًا سُحْقًا 
    Maka dikatakan: “Sungguhnya mereka telah menggantikan syariatmu selepas dari ketiadaanmu.” Maka aku berkata: “Pergi! Pergi dari sini.” (HR Muslim)
  1. Ya Allah amat menggerunkan kisah ini. Kita beringatlah agar kita tidak menyalahi ajaran Rasulullah SAW. Beramal atau reka ibadat yang Rasulullah SAW tidak ajar sehingga dihalau dari kolamnya! 
  1. Jika kita betul-betul sayangkan Rasulullah SAW ikutlah apa yang diajar oleh Baginda SAW! Ini tidak lebih minat & ikut apa yang direka orang lain dengan janji pulangan yang belum tentu dapat atau tidak! 
    Tetapi malangnya orang yang berpegang dengan Sunnah dan ajak orang kembali kepada Sunnah yang sahih dianggap pelik dan diberi pula pelbagai tuduhan & gelaran!
  1. Antara kisah menarik yang berlaku antara Rasulullah SAW & para sahabat di Madinah, boleh baca dalam buku ini:
    https://dartaibah.com/?page_id=179…

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 13- {kerana sesungguhnya: orang-orang yang berbakti (dengan taat dan amal kebajikan), tetap berada dalam Syurga yang penuh nikmat;}-

    Sesungguhnya orang yang baik, al-Abrar iaitu mereka yang pemilik hati yang baik & sejahtera, tiada syirik, takabbur & riya’ dalam ibadat; mereka akan berada dalam syurga yang penuh nikmat.

    Perkataan al-Abrar ini:
    i- Jika ia hanya satu kalimah saja, ia mewakili golongan beriman semuanya & berlawan dengan golongan al-Fujjar (ٱلْفُجَّارَ- jahat)

    ii- Tetapi apabila dikembarkan dengan golongan beriman juga seperti al-Muqarrabin, maka al-Muqarrabin lebih tinggi & al-Abrar berada dalam kumpulan kedua.
    Sebagaimana firman Allah SWT dalam ayat ini:
    {Ingatlah wahai manusia! Sesungguhnya “kitab suratan amal” orang-orang yang berbakti (dengan taat dan amal kebajikan), adalah (didaftarkan) dalam” Illiyiin”.
    Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui, apa dia “Illiyiin” itu?} (Al-Mutaffifiin 83: 18-19)

    Yakni jika hanya ia satu disebut, ia merangkumi semua orang beriman;
    tetapi jika banyak golongan beriman disebut bersamanya, maka ia berpisah dan mewakili kumpulan masing-masing.
  1. Kata ulama’ : 
    Dalam al-Quran jika disebut perkataan {البرّ} maka ia merangkumi semua perkara yang diperintah Allah SWT; yang wajibnya & yang sunatnya. Yakni semua perbuatan baik. 

    Firman Allah SWT: 
    i- {Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, dan hari akhirat, dan segala malaikat, dan segala Kitab, dan sekalian Nabi; dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang ia menyayanginya, kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan, dan kepada orang-orang yang meminta, dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi; dan mengerjanya seseorang akan sembahyang serta mengeluarkan zakat; dan perbuatan orang-orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka membuat perjanjian; dan ketabahan orang-orang yang sabar dalam masa kesempitan, dan dalam masa kesakitan, dan juga dalam masa bertempur dalam perjuangan perang Sabil. orang-orang yang demikian sifatnya), mereka itulah orang-orang yang benar (beriman dan mengerjakan kebajikan); dan mereka itulah juga orang-orang yang bertaqwa.} (Al-Baqarah 2:177)

    Adakalanya Allah SWT kembarkannya dengan taqwa seperti firman Allah ini:
    i- {Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).} (Al-Ma’idah 5:2)

    ii- {Dan bukanlah perkara kebajikan: kamu memasuki rumah dari bahagian belakangnya (ketika kamu berihram) akan tetapi kebajikan itu ialah perbuatan orang yang bertaqwa; dan masuklah ke rumah (Kamu) itu melalui pintunya, serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya.”} (Al-Baqarah 2:189)
    Yakni jika disebut {البرّ} kebaikan saja ia merangkumi semua kebaikan yang wajib yang sunat dan lain-lain.

    Tetapi jika ia bergabung dengan taqwa ia akan terpisah:
    i- Birr- {البرّ} amalan-amalan zahir yang boleh kita nampak.

    ii- Taqwa pula ialah amalan dalam hati, yang orang tidak nampak. 
  1. Hati orang-orang yang menolak al-Quran, cintakan benda bid’ah, & hati ahli maksiat ini: hati mereka tidak tenang, seperti sudah berada dalam azab sebelum masuk neraka lagi!

    Manakala hati orang yang baik- sudah berada dalam nikmat, tenang sebelum masuk syurga lagi! Tidak hasad dengki, dia berusaha yang terbaik untuk keredhaan Allah SWT.

    Hati al-Abrar tenang di tiga tempat:
    i- Atas dunia lagi. Kita tengok ahli ibadat wajahnya jernih kerana hatinya tenang.

    ii- Di alam barzakh apabila masuk ke dalam kubur. Kuburnya luas sejauh mata memandang. Dia tidak keseorangan dalam kubur, ditunggu oleh ibadat-ibadatnya yang baik.

    iii- Di Akhirat; keluar daripada kubur tiada ketakutan, kemudian berada di bawah bayang Arasy sehinggalah masuk ke dalam syurga.
    Manakala hati al-Fujjar pastilah sebaliknya! Hati mereka tidak akan tenang sama ada di atas dunia ini, di alam barzakh & apatah lagi di akhirat kelak!!!!

    Ini kerana tiada ketenangan jika hati sentiasa hasad dengki kepada orang lain, hidup penuh penipuan & kebencian, sentiasa bimbang akan kehilangan harta & pangkat, tuduh menuduh & permusuhan serta perbutan dengan lawan dalam bidang masing-masing.
    Walaupun mungkin mewah harta & kesenangan dunia tetapi penuh stress & kebimbangan hati!
  1. Jika Allah SWT sebut perkataan al-Fujjar {ٱلْفُجَّارَ} ini pertama sekali ialah orang kafir yang tidak akan keluar dari neraka selamanya! 

    Inilah pegangan ulama’ ahli Sunnah wal-Jamaah.
    Tetapi orang beriman yang derhaka & buat dosa maksiat; akan dikeluarkan daripada neraka selepas dibakar beberapa tempoh mengikut dosanya. 
    Jika tidak, tidak adalah faedah imannya, sama saja dengan orang kafir yang tidak pernah beriman!
  1. Ayat 19- {(Hari itu ialah) hari seseorang tidak dapat memberikan pertolongan sedikitpun kepada orang lain, dan segala urusan pada hari itu tertentu bagi Allah.}-

    Ayat ini tidak bercanggah dengan hadis syafaat kerana Kiamat itu panjang. 
    Apa yang berlaku ini ialah pada peringkat awal ketika mula-mula dibangkitkan dan manusia semuanya keluar dari kubur, masing-masing membawa diri.
    Selepas itu kita akan berkumpul balik, siapa yang dapat beri syafaat, pertama sekali Rasulullah SAW kemudian orang mukmin yang diberi izin oleh Allah SWT! 
    Mati itu pasti, apa yang akan kita mahu hidup dalam kubur jika tiada bekalan amalan kebaikan kita bawa! Hidup atas dunia ini hanya sekejap, jika tidak sekarang kita sedar & melakukan kebaikan amal ibadat yang sepatutnya.

    Ya Allah hidupkanlah kami dalam keadaan beriman, mati dalam iman & husnul-Khatimah, terangi kubur kami, kedua ibu bapa kami & semua orang yang beriman iman & bangkitkanlah kami & semua orang kami sayangi di akhirat kelak bersama golongan yang beriman dan orang yang layak ke syurga-Mu.

Hari ini hari Jumaat :
i- Ingat untuk baca Surah Al-Kahfi.

ii- Perbanyakkan selawat ke atas Rasulullah SAW.

iii- Pergi awal ke masjid.

iv- Bersedekah semampu mungkin.

Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs