View Categories

Surah Al-Infitar : Ayat 6-12

CELAAN KEPADA MEREKA YANG TERPEDAYA, SEBABNYA KERANA TAK PERCAYA & TUGAS MALAIKAT “KIRAMAN KATIBIN” MENCATAT AMALAN.

Full video : https://youtu.be/6vul596QowA?si=YJWXH3cgkxx5LXoT

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah SWT mencela golongan yang terpedaya:
    i- Mereka yang rasa dia betul lalu dia kufur ingkar. 

    ii- Juga mereka yang terpedaya dengan syaitan yang memainkan isu bahawa Allah SWT itu Maha Pemurah & Pengampun, maka buat dulu dosa dan maksiat, nanti kamu boleh bertaubat!
  1. Allah nyatakan sebabnya kenapa manusia ingkar?? Mereka berani & tak takut buat maksiat kerana kerana tak percaya kepada al-Quran & tidak beriman kepada Allah SWT. 

    Orang beriman pula percaya tetapi tidak tinggi keyakinannya, maka kesannya tidak mantap!
  1. Allah SWT juga nyatakan tugas malaikat yang disifatkan sebagai “kiraman katibin” { كِرَامًۭا كَـٰتِبِين}; iaitu malaikat yang mulia { كِرَامًۭا}, yang mencatat amalan manusia { كَـٰتِبِينَ}. 
    Bukan dua malaikat tapi satu malaikat yang begitu sifat & tugasnya.
  1. Munasabah ayat:
    i- Allah telah sebut dalam ayat yang awal dulu tentang akan berlaku Perhimpunan agung di mana manusia akan dibangkitkan semula lalu dihisab.
    Allah SWT juga telah bawa dalil-dalil yang boleh dilihat (ايات المنظورة) tentang kuasa Allah Azza wa Jalla.

    Manusia ini terbahagi kepada dua:
    i- Tidak percaya lansung iaitu kafir.

    ii- Percaya & beriman ada Allah, percaya kepada hari Kiamat; tetapi terpedaya lalu buat maksiat. Keyakinannya lemah menjadikan mereka berani buat maksiat.

    ii- Maka dalam ayat ini Allah SWT ceritakan kepada kita apa yang menyebabkan manusia ini terpedaya sehingga berani kufur dan berani buat maksiat!

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 6- {WAHAI MANUSIA! APAKAH YANG MEMPERDAYAKANMU – (BERLAKU DERHAKA) KEPADA TUHANMU YANG MAHA PEMURAH?} (AL-INFITAR 82:6)

  1. Allah tanya kepada manusia apa yang membuatkan mereka terpedaya sehingga berani berlaku derhaka berbuat dosa kepada Allah Tuhan yang Maha Pemurah {بِرَبِّكَ ٱلْكَرِيمِ }.
  1. Kerana Allah SWT baik lagi Maha Pemurah maka tergamak kamu kufur kepada-Nya & buat maksiat?

AYAT 7- {TUHAN YANG TELAH MENCIPTA DAN MENGATUR KEJADIANMU, LALU MENJADIKAN ANGGOTAMU SESUAI (DENGAN TUJUAN YANG KERANANYA ANGGOTA ITU DIADAKAN), SERTA MENJADIKAN (BINAAN TUBUH BADANMU) SAMA PADAN DENGAN KEKUATANNYA;} (AL-INFITAR 82:7)

  1. Allah SWT kemudian mencipta dan mengatur kejadian manusia dengan sebaiknya.
  1. Di sini Allah bawa tiga perkara yang menunjukkan keadilan & keagungan-Nya:
    i- Yang buat & cipta kamu { خَلَقَكَ} dari tiada kepada ada.

    ii- Kemudian menjadikan anggotamu sesuai { فَسَوَّىٰكَ} dengan tujuannya. 
    Allah cipta anggota kamu sempurna dan praktikal untuk digunakan.

    iii- Allah SWT juga jadikan binaan fizikal kamu sepadan { فَعَدَلَكَ} dengan kekuatannya. Size yang seimbang & sepadan.
  1. Firman Allah SWT juga:
    i- {Yang menciptakan tiap-tiap sesuatu dengan sebaik-baiknya, dan dimulakanNya kejadian manusia berasal dari tanah;} (As-Sajdah 32:7)

    ii- {Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya).} (At-Tin 95:4)

AYAT 8- {DALAM BENTUK DAN RUPA APA SAHAJA YANG DIKEHENDAKINYA, IA MENYUSUN KEJADIANMU.} (AL-INFITAR 82:8)

  1. Allah susun kejadian manusia itu dalam bentuk & rupa yang dikehendaki-Nya! 
    Bukan ikut apa yang kita nak atau suka!
    Jika diberi pilihan kepada ibu bapa kita untuk pilih bentuk kita pasti tidak akan siap-siap!
  1. Setiap orang berbeza; masing-masing ada kelebihan & kekurangan tersendiri. 
    Ada yang elok di sini tapi kurang pula di tempat lain!
    Contoh: Kita tengok orang tak nampak matanya, tetapi hatinya cerah & terang- dapat menghafaz al-Quran, kitab-kitab hadis dan seumpamanya.

AYAT 9- {SEBENARNYA TIDAK ADA YANG MEMPERDAYAKAN KAMU (HAI GOLONGAN YANG INGKAR)! BAHKAN KAMU SENDIRI TIDAK PERCAYAKAN ADANYA HARI PEMBALASAN.} (AL-INFITAR 82:9)

  1. Setelah Allah nyatakan kepada kita segala dalil-dalil kebangkitan semula, tetapi Allah ungkit ada lagi pihak yang tidak mahu beriman!
  1. Ini kerana mereka adalah manusia yang celaka, mereka terpedaya & tidak takut untuk kufur & ingkar kepada Allah Azza wa Jalla kerana mereka tidak percayakan adanya hari pembalasan lalu mereka dustakan Allah SWT!

AYAT 10- {PADAHAL SESUNGGUHNYA, ADA MALAIKAT-MALAIKAT YANG MENJAGA DAN MENGAWAS SEGALA BAWAAN KAMU,} (AL-INFITAR 82:10)

  1. Sebagai tanda rahmat Allah & kasih-sayang-Nya terhadap hamba-hamba-Nya; Wahai manusia, sesungguhnya ada malaikat yang menjaga & mengawasi kamu (لَحَـٰفِظِينَ)- tidak akan sia-sia begitu saja amalan kamu! 
  1. Ini adalah malaikat yang menjaga & mencatat amalan kita, iaitu :
    i- Malaikat pengawas (حفظة) yang menjaga kita 

    ii- Malaikat pencatat (كِرَامًۭا كَـٰتِبِينَ). Yang baik atau buruk semuanya dicatat

AYAT 11- {(MEREKA ADALAH MAKHLUK) YANG MULIA (DI SISI ALLAH), LAGI DITUGASKAN MENULIS (AMAL-AMAL KAMU);} (AL-INFITAR 82:11)

  1. Malaikat adalah makhluk yang mulia, yang cantik & indah (كِرَامًۭا) yang mencatat (كَـٰتِبِينَ) amalan manusia. Ini adalah sifat mereka bukan namanya.
  1. Yakni kita manusia ada 4 malaikat yang menjaga kita! 
    Malaikat (حفظة) mengawal dari depan & belakang, manakala (كِرَامًۭا كَـٰتِبِينَ) yang mencatat ada di kanan & kiri! 
    Sama juga dengan malaikat raqib atid, iaitu sifatnya mengawasi kita.
  1. Kata Imam at-Tahawi RHM : Antara aqidah ahli Sunnah wal-Jama’ah ialah;
    Kita beriman dengan malaikat yang mulia, pencatat amalan kita (كِرَامًۭا كَـٰتِبِينَ)! Ayat yang kita baca ini serta satu lagi ayat.
  1. Firman Allah SWT:
    {Semasa dua malaikat (yang mengawal dan menjaganya) menerima dan menulis segala perkataan dan perbuatannya; yang satu duduk di sebelah kanannya, dan yang satu lagi di sebelah kirinya.
    Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).} (Qaaf 50: 17-18)
  1. Kata Imam Ibnu Kathir RHM : 
    i- Bagi setiap manusia ada malaikat yang jaga. Malaikat malam jaga kita dari maghrib sehingga subuh, malaikat siang jaga sehingga waktu asar. Lalu mereka naik ke langit membawa laporan amalan harian manusia. Kerana itu pentingnya amalan baik pada waktu subuh & asar seperti solat jamaah dan seumpamanya.

    ii- Kemudian ada pula dua malaikat di kanan & kiri yang menulis amal perbuatan manusia. Yang di kanan tulis amal baik manakala di kiri tulis amalan buruk.

    Malaikat ini akan menjauh sementara dari manusia apabila mereka masuk tandas untuk qadha’ hajat & berhubung dengan isteri

AYAT 12- {MEREKA MENGETAHUI APA YANG KAMU LAKUKAN.} (AL-INFITAR 82:12)

  1. Malaikat ini ada di sisi kita & mereka tahu semua apa kita buat!
  1. Kata ulama’ maksudnya ini ialah: 
    Malaikat tahu apa yang dia dengar kita kata, lihat apa yang kita buat atau apa yang kita niat dalam hati kita! Ini adalah ilmu yang Allah buka & beri kepada malaikat untuk tahu & dengar niat manusia!
    *Kerana kita hendaklah sentiasa berniat baik dengan ikhlasnya.
  1. Dalilnya hadis Rasulullah SAW:
    Daripada Ibn Abbas RAnhuma, daripada Nabi SAW, sebagaimana yang diriwayatkan daripada Tuhannya telah berfirman: إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الحَسَنَاتِ وَالسَّيِّئَاتِ ثُمَّ بَيَّنَ ذَلِكَ، فَمَنْ هَمَّ بِحَسَنَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا كَتَبَهَا اللَّهُ لَهُ عِنْدَهُ حَسَنَةً كَامِلَةً، فَإِنْ هُوَ هَمَّ بِهَا فَعَمِلَهَا كَتَبَهَا اللَّهُ لَهُ عِنْدَهُ عَشْرَ حَسَنَاتٍ إِلَى سَبْعِ مِائَةِ ضِعْفٍ إِلَى أَضْعَافٍ كَثِيرَةٍ، وَمَنْ هَمَّ بِسَيِّئَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا كَتَبَهَا اللَّهُ لَهُ عِنْدَهُ حَسَنَةً كَامِلَةً، فَإِنْ هُوَ هَمَّ بِهَا فَعَمِلَهَا كَتَبَهَا اللَّهُ لَهُ سَيِّئَةً وَاحِدَةً
    Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah menetapkan nilai kebaikan dan kejahatan, kemudian Dia menjelaskannya. Maka barangsiapa berniat mengerjakan kebaikan tetapi tidak dikerjakannya, Allah mencatatnya sebagai satu kebaikan yang sempurna. Jika ia berniat untuk berbuat kebaikan lalu ia mengerjakannya, Allah mencatatnya sebagai 10 sampai 700 kali kebaikan atau lebih banyak lagi. Jika ia berniat melakukan kejahatan, tetapi ia tidak mengerjakannya, Allah mencatatkan padanya satu kebaikan yang sempurna. Jika ia berniat melakukan kejahatan lalu dikerjakannya, Allah mencatatnya sebagai satu kejahatan.” [HR al-Bukhari, no. 6491].
  1. Tetapi pencatat amalan ini tidak tulis semua juga. Apa yang kita tersilap, tertidur, tak sengaja mana yang lepas & tidak berdosa; tidak diambil kira. Ini adalah rahmat Allah yang besar terhadap hamba-Nya.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 6- {Wahai manusia! Apakah yang memperdayakanmu – (berlaku derhaka) kepada Tuhanmu yang Maha Pemurah?}-

    Kamu tahu Allah itu menpunyai sifat mulia & maha Pengampun, tetapi kamu masih melakukan kekufuran & ingkar terhadap-Nya??? Masih berani buat maksiat & langgar perintah-Nya!
    Sepatutnya jika tahu sifat Allah begini, maka bertambah hormat & syukur. 
    Maka Allah SWT tegur manusia jangan ambil kesempatan dalam kebaikan Allah SWT! 

    ii- Kenapa Allah SWT gunakan perkataan mulia {بِرَبِّكَ ٱلْكَرِيمِ- kepada Tuhanmu yang Maha Pemurah?} ini untuk sifat-Nya?
    Manakala firman Allah SWT dalam surah lain: {Bukankah Allah (yang demikian kekuasaanNya) seadil-adil Hakim { بِأَحْكَمِ ٱلْحَـٰكِمِينَ} ?} (At-Tiin 95:8)
    Kata ulama’ : Orang yang mulia pasti dia orang bijaksana. Maka apabila mulia Allah SWT akan berikan nikmat & apa yang dia nak. 
    Tetapi Allah SWT beri dia tidak membazir, jika orang mulia saja tidak bijaksanan dia akan membazir, boros & salah guna nikmat itu. 
    Maka apabila Allah SWT itu mulia sudah tentu Dia Bijaksana juga. Tetapi kita buat perkara yang tidak sepatutnya kepada Allah SWT!
  1. Ayat 6- {Wahai manusia! Apakah yang memperdayakanmu – (berlaku derhaka) kepada Tuhanmu yang Maha Pemurah?}-

    Jika Allah Pemurah, kenapa Dia marah orang berlaku derhaka kepada-Nya?
    Jawapan: 
    Sesungguhnya orang yang mulia patut dihormati; maka Allah Yang Maha Mulia wajib ditaati, kita ibadat kepada-Nya, bukan ambil kesempatan buat maksiat & kufur kepada-Nya.
    Maka kamu jangan terpedaya kerana apabila orang salah faham dengan sifat Allah yang Mulia & Pemurah ini, tak akan Tuhan nak azab kita hamba-Nya, maka dia tidak taubat, tidak insaf, tidak sedar.

    ii- Allah SWT yang Maha Mulia, tetapi jika kamu langgar Allah SWT juga ada sifat Gagah Perkasa & berkuasa Mengambil Tindakan.
    Hari ini semua orang mahu kaitkannya dengan sifat Rahmah & sifat Nabi SAW memang Allah nyatakan sifat Rasulullah SAW sebagai Rahmah kepada seluruh alam (رحمة للعالمين). 
    Pernah seorang sahabat memegang tangan Rasulullah SAW dan menyifatkannya amat lembut bak sutera. 
    Tetapi tangan yang lembut itulah yang menjatuhkan hukuman ke atas orang tidak melaksanakan Syari’ah. 
    Yang jatuh hukuman bunuh ke atas orang yang murtad, rejam ke atas orang yang berzina dan lain-lain yang melanggar hukum Allah.

    Jika rahmatan lil-alamin dianggap bermakna tidak perlu jalankan hukum Syari’ah; maka ini adalah satu kefahaman yang sesat & satu penyelewengan besar yang perlu diperbetulkan.
    Maka apabila kita kenal Allah SWT sebagai Yang Maha Mulia maka kita kena berusaha bersungguh-sungguh untuk dapatkan keredhaan & kasih sayang Allah yang Maha Mulia itu!
  1. Ayat 10- {Padahal sesungguhnya, ada malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawas segala bawaan kamu,}-

    Allah SWT jaga dan awasi kita. Macamana Tuhan jaga kita tu?
    Dalam ayat ini 4 sifat malaikat penjaga iaitu: Pandai menjaga, seorang yang mulia, pencatat & tahu apa yang dibuat {حَـٰفِظِينَ, كِرَامًۭا, كَـٰتِبِينَ يَعْلَمُونَ مَا تَفْعَلُونَ}
    Maka kata Syeikh Syanqiti RHM : Inilah 4 sifat yang kena ada bagi seorang pemimpin. 

    Orang yang nak jaga rakyat dan umat mestilah bersifat dengan sifat yang ada pada malaikat penjaga ini:
    i- Kena jaga {حَـٰفِظِينَ} maslahat rakyatnya, sama ada mereka beriman & beribadat kepada Allah, ada makanan, keamanan dan lain-lain.

    ii- Pemimpim kena orang mulia { كِرَامًۭا}, bersih jiwa & ikhlas, cakna & ambil berat tentang rakyatnya!

    iii- Kena rajin mencatat dan tulis { كَـٰتِبِين} apa yang kita buat sebagai rujukan & bukti untuk masa depan.

    iv- Kena ada ilmu { يَعْلَمُونَ مَا تَفْعَلُونَ} dalam pengurusan. Tahu tugas & mahir tentang tanggungjawabnya.
    Ulama’-ulama’ tadabbur ini amat menarik huraian & ilmu yang dikeluarkan dari ayat-ayat al-Quran sebagai ilmu kepada kita.
  1. Ayat 12- {Mereka mengetahui apa yang kamu lakukan.}-

    Kita malaikat yang menjaga & mencatat.
    Maka jangan kita sewenang-wenangnya mengeluarkan perkataan, komen, tulisan & perbuatan yang tidak berfaedah. 
    Kerana semuanya ditulis oleh malaikat! 

    Kata ulama’ Ato’ bin Abi Rabah RHM : “Adalah para ulama’ salaf sebelum kamu tidak mahu bercakap lebih dari keperluan & apa yang tidak perlu. Kerja mereka hanya baca al-Quran, baca hadis, beri tazkirah, amar ma’ruf nahi munkar dan perkara yang perlu dengan keluarga & urusan. 

    Ini kerana mereka tahu ayat ini mengingatkan kita bahawa semuanya akan dicatat kemudian dibentang & didedahkan.
    Mereka amat terkesan dengan firman Allah SWT ini: {Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).” (Qaaf 50:18)

    Tak malukah kita apabila di hadapan Allah nanti suratan amalan kita nanti penuh dengan perkara mungkar & maksiat, yang tidak berfaedah & tiada pahala!”
    [Riwayat Abu Nuaim: al-Hilyah].

    SEBAGAIMANA KATA DAAM JUGA : Suratan amalan yang kita nak baca di hadapan Allah nati; kitalah penulisnya!
  1. Ayat 12- {Mereka mengetahui apa yang kamu lakukan.}-

    Kenapa Allah suruh malaikat catat tulis semua perbuatan manusia; sedangkan Allah SWT sudah tahu semua perkara?
    Jawapan: Hikmahnya Allah SWT nak beritahu kepada kita bahawa ada malaikat yang mengawas dan mencatat segala amalan perbuatan kamu maka berhati-hatilah! Tiada siapa yang akan terlepas dari tayangan perdana yang bakal di bentangkan nanti di hadapan Allah dan semua makhluk di akhirat. 

    Malaikat tahu semua apa yang kamu buat, hatta apa yang kamu niatkan dalam hati kamu! Allah SWT buka ilmu untuk malaikat tahu apa yang ada dalam hati manusia.
    Maka marilah kita perbetulkan niat kita agar segala apa yang kita buat & niatkan dapat pahala!

    Allah kata malaikat itu tahu {يَعْلَمُونَ} bukan kata malaikat tulis {يكتبون} semua perkara yang kita buat { مَا تَفْعَلُونَ}. Kenapa?
    Jawapan:
    Kata ulama’ : Ini kerana malaikat tidak tulis semua perbuatan manusia tanpa tapisan. Bahkan apa yang kita tersilap, lupa & tidak sengaja lalu beristighfar, tidak dikira sebagai satu kesalahan lalu tidak ditulisnya.

Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs