View Categories

SURAH AL-ISRA\’ : AYAT 90-96

\"\"

PUAK KAFIR MAKKAH MINTA 6 PROJEK SEBAGAI TANDA KEBENARAN NABI SAW DAN MINTA ALLAH HANTAR MALAIKAT SEBAGAI RASUL

Full video: https://youtu.be/53_hlTs58Ys

MUQADDIMAH:

Dalam ayat ini puak Quraisy cabar Rasulullah s.a.w untuk membawa ENAM perkara berkaitan dengan projrk perairan, tanaman dan kemewahan perhiasan dunia. Kita akan tengok satu-persatu dalam ayat-ayatnya.

AYAT 90 – {DAN MEREKA BERKATA: \”KAMI TIDAK SEKALI-KALI AKAN BERIMAN KEPADAMU (WAHAI MUHAMMAD), SEHINGGA ENGKAU MEMANCARKAN MATAIR DARI BUMI, BAGI KAMI.} (AL-ISRAA\’ 17:90)
1. Setelah Allah s.w.t bawa dalil dan mukjizat tentang al-Quran dan cabaran untuk mengadakan seumpamanya, mereka telah kalah lalu mereka pun mencari dalih lain.
2. Lalu mereka meminta Rasulullah mengadakan salah satu daripada 6 perkara yang dicadangkan, barulah mereka akan beriman, jika tidak mereka tetap akan kufur begitu.
3. Cabaran pertama mereka minta mata air yang memancar dari bumi. Ini kerana keadaan negeri mereka sebagai tanah yang kering dan tandus, ini pastilah sesuatu yang ajaib..

AYAT 91 – {ATAU (SEHINGGA) ENGKAU MEMPUNYAI KEBUN DARI POHON-POHON TAMAR DAN ANGGUR, KEMUDIAN ENGKAU MENGALIRKAN SUNGAI-SUNGAI DARI CELAH-CELAHNYA DENGAN ALIRAN YANG TERPANCAR TERUS-MENERUS.} (AL-ISRAA\’ 17:91)
1. Cabaran kedua: Meminta Rasulullah s.a.w wujudkan kebun tamar dan anggur yang subur (dua tanaman yang tiada di Makkah pada masa itu, tamar masyhur di Madinah manakala anggur hanya tumbuh di Taif).
2. Mereka juga mahu ada dicelah-celah kebun itu sungai-sungai mengalir, satu lanskap yang subur dan indah.
*Cabaran pertama dan kedua ini permohonan yang baik.

AYAT 92 – {ATAU (SEHINGGA) ENGKAU GUGURKAN LANGIT BERKEPING-KEPING ATAS KAMI, SEBAGAIMANA YANG ENGKAU KATAKAN (AKAN BERLAKU); ATAU (SEHINGGA) ENGKAU BAWAKAN ALLAH DAN MALAIKAT UNTUK KAMI MENYAKSIKANNYA.} (AL-ISRAA\’ 17:92)

1. Cabaran ketiga, mula minta sesuatu yang buruk dan azab. Minta Rasulullah turunkan ke atas mereka kepingan langit yang pecah sebagai satu azab sebagaimana yang sering mereka dengar dari Baginda dulu.
2. Inilah kata-kata org yang keras kepala, tidak percaya. Mereka sombong dan ingkar sedangkan jika Allah s.w.t mahu, mereka boleh saja dimusnahkan dengan gempa bumi atau langit gugur menimbus ke atas mereka.
3. Cabaran keempat mereka suruh Rasulullah s.a.w bawakan kepada mereka Allah dan malaikat untuk mereka lihat. Selepas melihat semua ini barulah nak percaya.

AYAT 93 – {ATAU (SEHINGGA) ENGKAU MEMPUNYAI SEBUAH RUMAH TERHIAS DARI EMAS; ATAU (SEHINGGA) ENGKAU NAIK KE LANGIT; DAN KAMI TIDAK SEKALI-KALI AKAN PERCAYA TENTANG KENAIKANMU KE LANGIT SEBELUM ENGKAU TURUNKAN KEPADA KAMI SEBUAH KITAB YANG DAPAT KAMI MEMBACANYA\”. KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD):\” MAHA SUCI TUHANKU! BUKANKAH AKU INI HANYA SEORANG MANUSIA YANG MENJADI RASUL?} (AL-ISRAA\’ 17:93)
1. Cabaran kelima supaya Rasulullah s.a.w bina rumah daripada emas. Sedangkan keadaan rumah di Makkah pada masa itu hanya daripada tanah liat atau pelepah tamar.
2. Cabaran keenam minta Rasulullah s.a.w naik ke langit, kemudian bawa turun kitab untuk mereka baca. Sedangkankan mereka adalah kaum yang umiyy- tidak membaca dan menulis asalnya. Ada yang kata mereka minta surat untuk setiap orang supaya beriman dengan Muhammad.
2. Mendengar semua permintaan ini, Allah s.w.t perintahkan Rasulullah s.a.w untuk berkata: {Maha Suci Tuhanku! Bukankah aku ini hanya seorang manusia yang menjadi Rasul?}
3. Yakni Maha Suci Allah dari menurut permintaan kamu yang sia-sia dan hanya helah semata itu. Juga bahawa semua itu adalah diluar kuasa Baginda yang hanya seorang rasul yang diutuskan, terserahlah kepada Allah s.w.t, DIA Maha berkuasa untuk melakukan apa yang Dia Mahu atau tidak.
4. Ini satu jawapan yang cukup mantap dan kemas ke atas mereka.

AYAT 94 – {DAN TIADALAH YANG MENGHALANG ORANG-ORANG MUSYRIK ITU DARI BERIMAN KETIKA DATANG KEPADA MEREKA HIDAYAH PETUNJUK, MELAINKAN (KEINGKARAN MEREKA TENTANG MANUSIA MENJADI RASUL, SEHINGGA) MEREKA BERKATA DENGAN HAIRAN: \”PATUTKAH ALLAH MENGUTUS SEORANG MANUSIA MENJADI RASUL?\”} (AL-ISRAA\’ 17:94)
1. Allah menceritakan macamana tipu-daya puak kafir ini untuk menolak Nabi Muhammad s.a.w setelah dengan hujjah dan permintaan luar-biasa tidak berjaya.
2. Walaupun segala kebenaran telah didepan mata mereka, tetapi mereka tetap enggan beriman dengan alasan lain pula, iaitu kerana Nabi Muhammad itu seorang manusia seperti mereka juga.Bagi mereka sepatutnya Allah s.w.t hantar malaikat sebagai rasul untuk mereka, barulah mereka akan beriman kononnya.

AYAT 95 – {KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD): \”KALAU ADA DI BUMI, MALAIKAT YANG BERJALAN SERTA TINGGAL MENDIAMINYA, TENTULAH KAMI AKAN TURUNKAN KEPADA MEREKA DARI LANGIT, MALAIKAT YANG MENJADI RASUL\”.} (AL-ISRAA\’ 17:95)
1. Kemudian mereka menimbulkan pula keraguan bahawa kenapa Allah s.w.t hantar manusia sebagai rasul, kenapa tidak malaikat? Tidak sesuai dan tidak munasabah Muhammad sebagai rasul kepada mereka.
2. Allah s.w.t menjawab pula hujjah lemah mereka ini, jika ada malaikat di muka bumi ini pasti Allah s.w.t akan hantar malaikat dari langit sebagai rasul kepada mereka. Baru sesuai dan menepati keadaan masing-masing-masing-masing.
2. Tetapi kerana manusia yang ada di bumi, maka Alllah s.w.t hantar makhluk yang sejenis dengannya juga untuk memudahkan komunikasi, mengikut contoh amalan dan lain-lain. Ini juga supaya tidak menjadi hujjah bagi mereka membuat alasan lain pula.

AYAT 96 – {KATAKANLAH LAGI: \”CUKUPLAH ALLAH MENJADI SAKSI ANTARAKU DENGAN KAMU; SESUNGGUHNYA ADALAH IA AMAT MENDALAM PENGETAHUANNYA, LAGI AMAT MELIHAT AKAN KEADAAN HAMBA-HAMBANYA\”.} (AL-ISRAA\’ 17:96)

1. Allah s.w.t perintahkan Rasulullah s.a.w menutup berbahasan itu dengan mengatakan bahawa cukuplah Allah menjadi saksi antaranya dengan kaum kafir itu.
2. Sesungguhnya Allah s.w.t itu Amat Mendalam pengetahuan-Nya, lagi Amat Melihat akan keadaan hamba-hamba-Nya.
3. Yakni supaya hati Rasulullah s.a.w tenang dan menyerahkan segala urusannya kepada Allah s.w.t.

PENUTUP & KESIMPULAN:
1. Para rasul a.s tidak mempunyai kuasa atau mampu untuk membawa tanda-tanda dan mukjizat yang ajaib, kecuali apa yang Allah s.w.t beri dan anugerahkan kepada mereka. Samada dari segi wahyu atau mukjizat.
2. Rasulullah s.a.w ajar supaya hanya meminta pertolongan kepada Allah s.w.t.
Dalam salah satu hadisnya, Rasulullah berpesan kepada Ibnu Abbas tentang ini.
Dari ‘Abdullah bin ‘Abbas R.A: Pada suatu hari, aku pernah dibonceng di belakang kenderaan Nabi s.a.w, lalu Baginda bersabda:
“Wahai anak muda, aku akan mengajarkan kepadamu beberapa kalimat;
• Jagalah Allah, nescaya Allah akan menjagamu. Jagalah Allah, maka engkau akan mendapati-Nya di hadapanmu.
• Jika engkau memohon (meminta sesuatu), mohonlah kepada Allah, dan jika engkau meminta pertolongan, mintalah pertolongan kepada Allah.
• Ketahuilah, bahawa seandainya seluruh umat berkumpul untuk memberi suatu manfaat kepadamu, maka mereka tidak akan dapat memberi manfaat kepadamu, kecuali dengan sesuatu yang telah ditetapkan Allah untukmu.
• Sebaliknya, jika mereka berkumpul untuk menimpakan suatu kemudharatan (bahaya) kepadamu, maka mereka tidak akan dapat menimpakan kemudharatan (bahaya) kepadamu kecuali dengan sesuatu yang telah Allah tetapkan ke atasmu.
• Pena telah diangkat dan lembaran-lembaran telah kering.”
[HR at-Tirmizi dan ia berkata hadis ini Hasan Sahih].
3. Allah s.w.t tidak akan layan permintaan yang pelik-pelik dari kaum kafir itu kerana:
i- Supaya umat ini tidak akan dibinasakan secara menyeluruh. Sebagaimana keadaan umat terdahulu yang setelah permintaan mereka ditunaikan, lalu mereka masih tidak beriman, maka mereka akan dimusnahakan keseluruhannya.
ii- Permintaan yang tidak sesuai dan tidak masuk akal tidak akan dilayan, seperti minta tali air dan sungai di Makkah. Ini kerana Allah telah jadikan hati manusia itu akan terikat dengan Makkah kerana Ka\’bah sebagai tempat ibadat, bukan kerana keindahan dan kesenangan dunia. Walaupun hari ini banyak perubahan dan kemajuannya.
3. Tentang keras kepala dan buta hati kaum kafir ini, Allah s.w.t telah banyak sebut dalam ayat al-Quran seperti dalam surah al-Hijir 14-15, surah al-An’am dan lain-lain.
4. Enam cabaran permintaan kaum kafir musyrikin Makkah kepada Rasulullah s.a.w:
i- Minta keluar mata air dari perut bumi Makkah.
ii- Minta Rasulullah s.a.w buka kebun tamar dan anggur yang ada dicelah-celah kebun itu sungai-sungai mengalir
iii- Mula minta sesuatu yang buruk. Minta Rasulullah turunkan ke atas mereka kepingan langit yang pecah sebagai satu azab
iv- Minta Rasulullah s.a.w bawakan kepada mereka Allah dan malaikat untuk mereka lihat.
v- Minta Rasulullah s.a.w bina rumah daripada emas.
vi- Minta Rasulullah s.a.w naik ke langit, kemudian bawa turun kitab untuk mereka baca.

Wallahu a’lam.

Powered by BetterDocs