View Categories

SURAH AL-JATHIYAH : AYAT 24-26

\"\"

PUAK DAHRIYYUN (ATHEIST) TAK PERCAYA BANGKIT SEMULA, TOLAK AL-QURAN & AMARAN KEPADA MEREKA.

Full video : https://youtu.be/6URcJnR3JFI

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t ceritakan tentang Puak-puak Dahriyyun (Atheist) yang tidak Percaya akan Kebangkitan Semula, tiada hidup balik, kita ini dirosakkan oleh masa.
    Lahir, membesar, tua kemudian mati. Seperti pokok yang tumbuh, membesar hijau, kuning kemudian mati.
  2. Mereka juga menolak ayat-ayat Al-Quran yang dibaca kepada mereka.
  3. Lalu Allah s.w.t memberi Amaran bahawa mereka akan dibangkitkan, hidup semula pada hari Kiamat serta menerima PEMBALASANNYA.
  4. Dalam ayat-ayat lepas Allah menyatakan bahawa puak-puak kafir menjadikan hawa nafsu sebagai tuhan. Lalu Allah s.w.t sesatkan mereka di tengah-tengah ilmu pengetahuan yang diterima, yakni Rasulullah s.a.w mengajar dan berdakwah kepada mereka tetapi mereka tetap ingkar enggan menerima kebenaran. Lalu Allah s.w.t meterai atas pandangan, pendengaran dan hati mereka lalu mata mereka berselaput, hati mereka tertutup maka berterusanlah mereka dalam kesesatan.

Dalam ayat-ayat hari ini mereka terus menambahkan kedegilan dan kebodohan mereka dengan melakukan jenayah mengatakan bahawa manusia tidak akan hidup semula selepas mati atas dunia ini. Hanya masa yang menentukan segalanya bagi mereka.

AYAT 24- {DAN MEREKA BERKATA: \”TIADALAH HIDUP YANG LAIN SELAIN DARIPADA HIDUP KITA DI DUNIA INI. KITA MATI DAN KITA HIDUP (SILIH BERGANTI); DAN TIADALAH YANG MEMBINASAKAN KITA MELAINKAN EDARAN ZAMAN\”. PADA HAL MEREKA TIDAK MEMPUNYAI SEBARANG PENGETAHUAN TENTANG HAL ITU; MEREKA HANYALAH MENURUT SANGKAAN SEMATA-MATA.} (AL-JAATHIYAH 45:24)

  1. Puak kafir itu itu berkata bahawa manusia tidak akan hidup semula selain dari hidup pertama atas dan ini. Manusia hidup saling berganti, hidup kemudian mati tanpa hidup kembali, binasa dan hilang bersama peredaran zaman. Ini adalah dakwaan jahil tanpa hujjah ilmiah dan dalil.
  2. Firman Allah s.w.t: {Dan tentulah mereka akan berkata pula: \”Tiadalah hidup yang lain selain dari hidup kita di dunia ini, dan tiadalah kita akan dibangkitkan semula sesudah kita mati\”.} (Al-An\’aam 6:29)
  3. Kata Ibnu Juzai rhm. maksudnya ayat ini {Kita mati dan kita hidup (silih berganti)}- ada 4 makna:
    i- ada golongan yang sudah mati dan ada golongan yang masih hidup.

ii- mati orang tua manakala golongan anak-cucu masih hidup.

iii- ada yang mati sebelum dilahirkan, iaitu di alam zuriat, manakala yang hidup atas dunia ini.

iv- kita mati seperti orang lain yang mati, tetapi kita hidup dulu sebelum itu atas dunia ini.
Pendapat pertama lebih tepat, begitu juga pendapat Ibnu Jarir rhm.

  1. Mereka berpendapat kita ini hanya mengikut peredaran zaman, masa-lah yang akan memunsnahkan dan mematikan kita. Ataupun musnah kerana ditimpa bala bencana.
  2. Kata Imam Ibnu Kathir: Inilah kata-kata puak musyrikin dari kalangan Arab yang tidak percaya kepada bangkit semula, juga kata-kata ahli falsafah yang tidak percaya kepada tuhan. Masa yang beredar membinasakan manusia dan alam ini.
  3. Sedangkan tidak ada bagi puak kafir pun secebis ilmu pengetahuan atau maklumat yang jelas, yang mereka dapat buat dalil atau hujjah bahawa benar dakwaan mereka. Mereka hanya menurut sangkaan (يَظُنُّونَ) agak-agak semata-mata.

Ini bukan sangkaan (ظن) yang lawan syak. Iaitu yang ikut turutannya:
i- Yakin,
ii- sangkaan yang amat kuat,
iii- sangkaan biasa – Zan.
iv- kemudian syak.
v- waham.

  1. Kata al-Qurtubi puak kafir itu banyak jenis:
    i- puak yang tidak percaya ada tuhan lansung (atheist- dahriyyun/mulhid).

ii- yang percaya ada tuhan tetapi tidak percaya kepada bangkit semula.

iii- ada yang ragu-ragu akan bangkit semula, mungkin ada mungkin tidak. Mereka tidak ingkarnya 100%.

AYAT 25- {DAN APABILA DIBACAKAN KEPADA MEREKA AYAT-AYAT KETERANGAN KAMI YANG JELAS NYATA (MENGENAI SOAL HIDUP SEMULA SESUDAH MATI), TIDAKLAH ADA HUJAH MEREKA (UNTUK MENOLAK KEBENARANNYA) SELAIN DARIPADA BERKATA: \”BAWAKANLAH DATUK NENEK KAMI (HIDUP SEMULA) KALAU BETUL KAMI ORANG-ORANG YANG BENAR!\”} (AL-JAATHIYAH 45:25)

  1. Apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat yang jelas tentang bukti bahawa Allah s.w.t berkuasa untuk hidupkan semula selepas mati mereka tetap degil keras kepala serta tidak ada hujjah untuk menolaknya.
  2. Mereka mencabar Rasulullah s.a.w untuk menghidupkan semula datuk nenek mereka yang telah mati dulu jika benar dakwaan Baginda tentang Kebangkitan semula. Inilah hujjah bodoh dan degil mereka.
    *Sedangkan maksudnya hidup semula dalam Islam itu adalah pada hari Kiamat nanti, bukan sekarang ini.
  3. Firman Allah s.w.t: {(Berbalik kepada kisah kaum musyrik penduduk Makkah, Allah berfirman): \”Sesungguhnya mereka ini akan berkata (kepadamu – wahai Muhammad dan kepada pengikut-pengikutmu):
    \”Mati, hanyalah mati kita yang pertama (di dunia), dan kita tidak sekali-kali akan dibangkitkan hidup lagi (sesudah itu);
    \”(Jika tidak) maka bawakanlah datuk nenek kami (yang telah mati) kalau betul kamu orang-orang yang benar!\”} [Ad-Dukhaan 44: 34-36].

AYAT 26- {KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD): \”ALLAH YANG MENGHIDUPKAN KAMU, KEMUDIAN IA AKAN MEMATIKAN KAMU, SETELAH ITU IA AKAN MENGHIMPUNKAN KAMU (DALAM KEADAAN HIDUP SEMULA) PADA HARI KIAMAT – (HARI) YANG TIDAK ADA SEBARANG SYAK TENTANG KEDATANGANNYA; AKAN TETAPI KEBANYAKAN MANUSIA TIDAK MENGETAHUI (KETETAPAN ITU)\”.} (AL-JAATHIYAH 45:26)

  1. Allah memerintahkan Rasulullah s.a.w untuk mengatakan sekali lagi kepada puak kafir itu Allah yang menghidupkan kamu, kemudian Ia akan mematikan kamu, setelah itu Ia akan menghimpunkan kamu dalam keadaan hidup semula pada hari kiamat.
  2. Munasabah ayat: Mereka telah menetapkan satu kefahaman bahawa masa yang merosakkan mereka, yakni bila cukup masa dan tiba tempohnya manusia akan mati. Mereka berdalil dengan bukan dalil iaitu hujjah mereka hanya minta dibawa semula tok nenek mereka yang telah mati.
  3. Maka dalam ayat ini Allah s.w.t menolak hujjah mereka dan puak kafir lain dengan mengatakan bahawa DIA yang menetapkan semua itu, Allah yang menghidupkan, kemudian Ia akan mematikan, setelah itu Ia akan menghimpunkan kamu dalam keadaan hidup semula pada hari kiamat!
  4. Kisah seorang atheist yang mengaku bahawa dia juga boleh menghidupkan dan mematikan lalu dia membiakkan ulat dalam daging busuk dan mengaku dia yang mencipat ulat-ulat itu. Lalu seorang muslim bertanya kepadanya: Jika benar kamu yang menciptanya, maka beritahulah kepada kami berapa ekorkah bilangan ulat-ulat itu? Maka kesipuanlah orang kafir itu, terserlah kebodohan dan kejahilannya.
  5. Firman Allah s.w.t: {Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan).} (Al-Baqarah 2:28)
  6. Kita sebagai orang beriman yakin dan percaya bahawa Allah akan menghidup dan membangkitkan semula manusia pada hari kiamat, hari yang tidak ada sebarang syak tentang kedatangannya.
  7. Tetapi malangnya kebanyakan manusia tidak mengetahui akan ketetapan dan kebenaran ini kecuali orang yang beriman.
  8. Inilah kumpulan yang tidak beriman, yang tidak percaya kepada kebangkitan semula, bahkan mereka menyandarkan segalanya kepada masa (الدهر), kerana itulah mereka digelar ad-Dahriyyun (الدهريون).

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 24- {Dan mereka berkata: \”Tiadalah hidup yang lain selain daripada hidup kita di dunia ini. Kita mati dan kita hidup (silih berganti); dan tiadalah yang membinasakan kita melainkan edaran zaman\”.}- adalah puak jahiliyyah dulu juga telah menyandarkan musibah bala bencana itu kepada masa. Apa saja yang buruk berlaku, mereka akan memaki dan menyalahkan masa!

Mereka ini terbahagi kepada dua kumpulan:
i- tidak beriman lansung kepada Allah, semua keburukan yang berlaku disandarkan segalanya kepada masa. Inilah puak ad-Dahriyyun (الدهريون).

ii- satu golongan lagi yang percaya ada tuhan, tetapi mereka nisbahkan sesuatu yang buruk itu kepada masa, tidak sandarkan kepada tuhan juga.

Hadis riwayat Abu Hurairah r,a, Rasulullah s.a.w bersabda dalam hadis Qudsi: Allah s.w.t berfirman:
يُؤْذِينِي ابنُ آدَمَ يَسُبُّ الدَّهْرَ وأنا الدَّهْرُ، بيَدِي الأمْرُ أُقَلِّبُ اللَّيْلَ والنَّهارَ
\”Anak Adam telah menyakiti-Ku, mereka mencela masa, sedangkan Aku adalah masa itu, di tangan-Ku semua urusan, Aku yang menukarkan malam dan siang\”. [HR Bukhari & Muslim].

Mengikut hadis ini, kepercayaan puak ini membawa 3 kerosakan:
i- makian atau salahkan sesuatu (masa) yang bukan pada tempatnya.

ii- makian kepada masa itu mengandungi syirik. Kerana bagi mereka masa yang menentukan buruk baik dalam kehidupan mereka.

iii- mereka memaki dan menyalahkan masa sedangkan yang menetapkan masa itu adalah Allah s.w.t!

Sama seperti hadis kepercayaan tentang hujan.
عَنْ زَيْدِ بْنِ خَالِدٍ الْجُهَنِّىِ رَضِىَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ النَّبِىَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : إِثْرِسَمَاءٍ – اَىْ مَطَرٍ – مِنَ اللَّيْلِ هَلْ تَدْرُوْنَ مَا قَالَ رَبُّكُمْ قَالُوْا: اَللَّهُ وَرَسُوْلُهُ أَعْلَمُ: قَالَ قَالَ أَصْبَحَ مِنْ عِبَادِىْ مُؤْمِنٌ بِىْ وَكَافِرٌ. فَاَمَّامَنْ قَالَ مُطِرْنَابِفَضْلِ اللَّهِ وَرَحْمَتِهِ فَذَلِكَ مُؤْمِنٌ بِى كَافِرٌ بِالْكَوَاكِبِ وَاَمَّامَنْ قَالَ مُطِرْنَابِنَوْءِكَذَاوَكَذَافَهُوَكَافِرٌبِىْ مُؤْمِنٌ بِالْكَوَاكِبِ.

Dari Zaid bin Khalid Al-Juhanyi r.a, pada suatu hari turunnya hujan di waktu malam. Lalu pada waktu subuhnya Rasulullah S.A.W bersabda:
\”Tahukah kamu apa yang diwasiatkan oleh Allah S.W.T kepadaku. Jawab sahabat, tidak.
Lalu Baginda S.A.W bersabda: Sesungguhnya dengan turunnya hujan, manusia boleh menjadi beriman dan mereka boleh menjadi kufur. Bagi yang beriman, mereka akan berkata, kami menerima hujan dengan rahmat dan kelebihan daripada-Nya. maka dia beriman kepada-Ku dan kafir kepada bintang, sedangkan orang-orang yang mengatakan, \’Hujan turun kepada kita kerana bintang ini atau bintang itu, maka dia kafir kepada-Ku dan beriman kepada bintang\’\” (HR. Bukhari, no. 1038).

Berhati-hatilah, biarlah pandai bezakan antara ilmu perbomohan dengan ajaran Islam yang sahih, tidak semestinya semua kitab itu benar kecuali yang berdalilkan kepada al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w yg sahih.

  1. Ayat 24- { Pada hal mereka tidak mempunyai sebarang pengetahuan tentang hal itu; mereka hanyalah menurut sangkaan semata-mata.}- ayat ini adalah daripada dalil yang terkuat bahawa mengeluarkan pandangan tanpa hujjah dan tanpa sandaran daripada Kitab dan Sunnah adalah satu perkataan batil yang tidak boleh diterima. Ini kerana ikut sangkaan semata-mata, agak-agakan adalah tidak dibenarkan dalam agama Allah s.w.t ini.

Ini berbeza dengan ulama\’ yang berijtihad, ia dibenarkan kerana mereka bersandarkan kepada al-Quran dan Hadis untuk mengeluarkan hukum.

  1. Ayat 24- {Dan mereka berkata: \”Tiadalah hidup yang lain selain daripada hidup kita di dunia ini. Kita mati dan kita hidup (silih berganti); dan tiadalah yang membinasakan kita melainkan edaran zaman\”.}- dalam ayat ini timbul persoalan; puak kafir menyebut mati dulu sebelum hidup. Kenapa?

Jawapannya ada beberapa pandangan:
i- Maksudnya sebahagian kita hidup sebahagian lagi mati. Bukan ikut susunan kalimat, ikut kategori, ada yang mati ada yang hidup.

ii- Fahaman kedua lebih bahaya dan amat sesat; mereka berpendapat bahawa roh orang yang dahulu berpindah masuk ke dalam jasad orang yang baru hidup sekarang. Fahaman (تناسخ الأرواح) roh boleh berpindah (reincarnation) ini adalah satu fahaman yang sesat lagi karut.

Ulama\’ tafsir Syeikh Asy-Syarbini dalam menjelaskan makna (تناسخ الأرواح) ini ialah: Roh seseorang itu apabila keluar dari jasadnya dia boleh berpindah masuk ke dalam jasad orang lain. Dia akan hidup lalu bersifat dan berfikir seperti tuan punya jasad itu dulu. Ini adalah fahaman kebanyakan para penyembah berhala dulu. (seperti hindu)

Dalam ayat ini mereka kata mereka hidup atas dunia saja, kemudian kita mati lalu orang lain pula hidup. Yakni hidup atas dunia ini silih berganti, ada yang hidup ada yang mati.

  1. Ayat 24- {Dan mereka berkata: \”Tiadalah hidup yang lain selain daripada hidup kita di dunia ini. Kita mati dan kita hidup (silih berganti); dan tiadalah yang membinasakan kita melainkan edaran zaman\”.}- untuk menolak fahaman ini kita menggunakan dua cara:
    i- dari sudut hujjah naqli- guna ayat al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah s.a.w tentang Kebangkitan semula. Kita orang beriman wajib beriman dengan hari dibangkitkan semula.

ii- Secara akal- kita tengok kepada arahan Allah s.w.t untuk berdakwah kepada Islam, untuk berjihad fi-sabilillah dan lain-lain yang dapat membahayakan atau membawa maut.
Jika kita mati kemudian tiada apa-apa pembalasan atas semua itu, kenapa kita nak lakukannya?
Lebih baik duduk rehat-rehat di rumah, selamat dan tidak mati sia-sia.
Tetapi kerana kita yakin akan Kebangkitan semula, kita akan hidup dibangkitkan semula untuk mendapat pembalasan nikmat yang besar dari Allah s.w.t.

Juga hujjah mereka yang mengatakan masa itu yang membinasakan.
Kita tolak dengan dua hujjah juga:
i- dengan dalil-dalil daripada nas al-Quran & hadis yang sangat jelas, banyak sekali.

ii- kita tolak dengan realiti yang nyta. Jika masa yang menentukan, kenapa ada yang panjang umur ada yang pendek umurnya, ada yang mati tua ada yang mati semasa kanak-kanak lagi? Macamana tempoh masa itu bekerja? Inilah hujjah yang tidak betul dan tidak boleh diambil kira.

  1. Ayat 25- {Tidaklah ada hujah mereka (untuk menolak kebenarannya) selain daripada berkata: \”Bawakanlah datuk nenek kami (hidup semula) kalau betul kami orang-orang yang benar!\”}- ini adalah hujjah yang bukan hujjah. Jika ada hujjah bawalah dalil.
    Kata ulama\’: Ini adalah satu rakaman dari Allah s.w.t apabila manusia ini lemah dari hujjah mereka akan guna kedegilan dan keras kepala.

Sebagaimana kata bijak pandai juga: Jika kemenangan itu dengan tempik sorak maka orang jahillah yang akan menguasai dunia.
Begitulah orang bodoh bila tiada hujjah mereka akan bertempik buat bising, manakala orang berkuasa bila tiada hujjah mereka akan guna akta yang zalim.

Kita minta dengan Allah agar kita selamat, moga Allah s.w.t beri kekuatan dan semangat, pelihara para pejuang yang mahu menegakkan ajaran al-Quran dan Sunnah Rasulullah, semoga mereka terus istiqomah dalam perjuangan.

Powered by BetterDocs