View Categories

SURAH AL-JATHIYAH : AYAT 27-30

\"\"

FENOMENA HARI KIAMAT, PUAK YANG TERDUDUK ATAS LUTUT & SETIAP ORANG MENERIMA SURATAN AMALAN.

Full video : https://youtu.be/-TrvveCV1-4

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t menceritakan kepada kita tentang Fenomena atau keadaan (أحوال), dan huru-hara (أهوال) Hari Kiamat.
  2. Kemudian Allah gambarkan keadaan manusia hari itu samada yang kafir atau tidak, Puak Yang Terduduk Atas Lutut (جَاثِيَةً).
  3. Bahawa Setiap Orang akan Menerima Suratan Amalan, pada ketika itulah kita tahu kedudukan kita, apa yang kita buat atas dunia dulu terbongkar semuanya. Menyesal pun tidak ada gunanya lagi.
  4. Maka kita yang masih hidup ini marilah muhasabah diri kita sebelum tiba hari yang tidak ada ada guna penyesalan lagi itu.
  5. Munasabah ayat- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t beri hujjah bahawa Allah s.w.t berkuasa untuk menghidupkan manusia pada kali pertama (kita dari ada kepada tiada). Pastilah Dia juga berkuasa untuk menghidupkan kita bagi kali kedua. Lalu Allah s.w.t tekankan bahawa di bawah kuasa dan pentadbiran Allah-lah langit dan bumi, serta segala isi kandungan keduanya.

AYAT 27- {DAN BAGI ALLAH JUALAH KUASA PEMERINTAHAN LANGIT DAN BUMI; DAN KETIKA BERLAKUNYA HARI KIAMAT, PADA SAAT ITULAH RUGINYA ORANG-ORANG YANG BERPEGANG KEPADA PERKARA YANG SALAH.} (AL-JAATHIYAH 45:27)

  1. Allah s.w.t yang Esa pencipta dan Pentadbir langit dan bumi serta segala isi kandungan keduanya. Maka di bawah kekuasaan-Nya pemerintahan langit dan bumi seluruh alam ini.
  2. Apabila tibanya hari Kiamat, maka akan rugi dan penuh penyesalan orang-orang yang berpegang kepada perkara yang salah (batil)- (الْمُبْطِلُونَ).
  3. Kata ulama\’ tafsir maksudnya (الْمُبْطِلُونَ):
    i- orang yang berpegang dengan segala yang batil dan sesat
    ii- orang yang mnendustakan Allah s.w.t dan Rasul-Nya s.a.w serta mereka dalam kekufuran.
  4. Ayat ini ditujukan kepada Rasulullah s.a.w dan sesiapa yang melihtanya, iaitu melihat orang yang batil dalam penyesalan yang tidak berguna lagi.
  5. Moga kita selamat daripada huru-hara pada hari Kiamat dengan mendapat hidayah petunjuk kepada jalan yang benar semasa hidup atas dunia ini.
  6. Jangan kita ambil jalan yang berisiko, iaitu jalan yang tiada sandaran kepada sumber yang sahih samada Kitab al-Quran atau dari Sunnah Rasulullah s.a.w yang sahih.
  7. Orang yang beriman tetapi dia derhaka (buat maksiat dan langar perintah Allah), atau cuai dalam ibadat, juga akan kerugian dan penyesalan pada hari Kiamat kerana tidak mengambil peluang yang diberi semasa hidup dulu.

AYAT 28- {DAN (PADA HARI KIAMAT) ENGKAU AKAN MELIHAT TIAP-TIAP UMAT BERLUTUT (DALAM KEADAAN CEMAS DAN MENUNGGU PANGGILAN); TIAP-TIAP UMAT DISERU UNTUK MENERIMA KITAB SURATAN AMALNYA (SERTA DIKATAKAN KEPADA MEREKA): \”PADA HARI INI KAMU AKAN DIBALAS MENURUT APA YANG KAMU TELAH KERJAKAN!} (AL-JAATHIYAH 45:28)

  1. Pada hari Kiamat itu kamu akan melihat setiap umat dan penganut agama akan duduk berlutut (جَاثِيَةً) dalam keadaan cemas dan takut, menunggu panggilan.
  2. Iaitu panggilan untuk diseru menerima suratan amalan yang ditulis oleh para malaikat, segala amalan semasa hidup mereka dulu.
    Sebagaimana kata ahli fikir: Surat amalan kita nanti kita sendiri yang menulisnya, maka isilah ia dengan perkara yang baik supaya kita selamat dan tidak menyesal.
  3. Firman Allah s.w.t:
    i- {Dan tiap-tiap seorang manusia Kami kalongkan bahagian nasibnya di lehernya, dan pada hari kiamat kelak Kami akan keluarkan kepadanya kitab (suratan amalnya) yang akan didapatinya terbuka (untuk di tatapnya).
    (Lalu Kami perintahkan kepadanya): \”Bacalah Kitab (suratan amalmu), cukuplah engkau sendiri pada hari ini menjadi penghitung terhadap dirimu (tentang segala yang telah engkau lakukan)\”.} (Al-Israa\’ 17: 13-14)

ii- {(Ingatlah) hari Kami menyeru tiap-tiap kumpulan manusia dengan nama imamnya; kemudian sesiapa diberikan Kitabnya di tangan kanannya, maka mereka itu akan membacanya (dengan sukacita), dan mereka tidak dikurangkan (pahala amal-amalnya yang baik) sedikitpun.} (Al-Israa\’ 17:71)

  1. Maka kita yang beriman dan sedar dengan semua ini, berhati-hatilah jaga perbuatan dan perkataan kita agar kita selamat dari kemurkaan Allah s.w.t dan penyesalan yang tiada guna lagi nanti.
  2. Setelah diseru dan menerima kitab mereka, kemudian malaikat berkata kepada mereka: lihatlah, bacalah surat amalan kamu ini, maka kamu akan dibalas menurut apa yang kamu telah kerjakan atas dunia dulu! Tidak akan ada sebarang kezaliman!

AYAT 29- {\”INILAH SURAT (TULISAN MALAIKAT) KAMI, IA MEMBERI KETERANGAN TERHADAP KAMU DENGAN YANG BENAR, KERANA SESUNGGUHNYA KAMI TELAH (PERINTAHKAN MALAIKAT) MENULIS SEGALA YANG KAMU TELAH LAKUKAN (DI DUNIA DAHULU)!\”} (AL-JAATHIYAH 45:29)

  1. Lalu dikatakan lagi kepada mereka: Inilah kitab amalan kamu yang benar, yang menjadi saksi (يَنْطِقُ عَلَيْكُمْ) kepada semua yang telah kamu lakukan semasa hidup dulu.
  2. Ia kitab yang benar, yang dicatat oleh malaikat (نَسْتَنْسِخُ) yang diperintahkan oleh Allah s.w.t samada yang baik atau buruk.
  3. Kata as-Sam\’ani perkataan (نَسْتَنْسِخُ) ini membawa beberapa maksud:
    i- malaikat diperintahkan untuk menulis apa saja yang kita buat, yang baik atau buruk.

ii- malaikat menulis kemudian disalin (copy) satu naskah untuk diberikan kepada pemilik surat.

iii- malaikat ambil salinannnya, satu naskhah (copy) dari Lauh Mahfuz kemudian diberikan kepada setiap orang untuk melihat/membaca sendiri suratan amalannya.

  1. Firman Allah s.w.t: {Dan \”Kitab-kitab Amal\” juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka akan berkata:\” Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semua dihitungnya!\” Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya); dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorangpun.} (Al-Kahfi 18:49)
    Ayat ini dan dua ayat sebelumnya adalah ayat yang menjadi tangisan kepada orang-orang yang soleh, (مبكاة العابدين).

AYAT 30- {ADAPUN ORANG-ORANG YANG BERIMAN DAN BERAMAL SOLEH, MAKA MEREKA AKAN DIMASUKKAN OLEH TUHAN MEREKA KE DALAM RAHMATNYA; YANG DEMIKIAN ITU IALAH KEMENANGAN YANG BESAR.} (AL-JAATHIYAH 45:30)

  1. Dalam ayat ini Allah s.w.t nyatakan keadaan orang-orang yang beriman dan beramal soleh, yang bertepatan dengan Syari\’ah Allah dan ajaran Rasulullah s.a.w.
  2. Munasabah ayat: Dalam ayat yang lepas Allah s.w.t telah menerangkan kepada kita akan keadaan huru hara pada hari Kiamat kelak. Lalu Allah s.w.t nyatakan lagi keadaan dua golongan yang berbeza iaitu yang beriman dan soleh & yang kufur dan jahat. Maka dalam ayat ini Allah mulakan dengan golongan yang baik dulu.
  3. Mereka ini akan mendapat balasan anugerah yang besar dari Allah s.w.t, dimasukkan oleh Tuhan mereka ke dalam rahmat dan Syurga-Nya.
  4. Hadis- Daripada Abu Said al-Khudri R.A daripada Nabi S.A.W sabdanya:
    \”Telah bertengkar syurga dan neraka, maka berkatalah neraka, \”Untukku golongan orang-orang yang kejam dan sombong (yang tidak mempunyai belas kasihan)\”. Kemudian berkata pula syurga, \”Untukku golongan orang-orang yang lemah dan miskin\”.
    Maka Allah memutuskan diantara kedua-duanya. Sesungguhnya engkau syurga tempat rahmat-Ku, Aku memberi rahmat denganmu kepada sesiapa yang Aku kehendaki, dan sesungguhnya engkau neraka tempat siksaan. Aku menyiksa denganmu sesiapa yang Aku kehendaki dan adalah menjadi tanggungjawab untuk memenuhkan kamu berdua (syurga dan neraka)\”. [HR Bukhari & Muslim].
  5. Diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: \”Tidak ada seorang pun yang masuk syurga kerana amalannya.\”
    Para sahabat bertanya; \”Begitu juga dengan engkau wahai Rasulullah?\”
    Baginda bersabda: \”Ya, kecuali bila Allah melimpahkan kurnia dan rahmat-Nya padaku, oleh kerana itu berlaku luruslah dan bertaqarrublah dan janganlah salah seorang dari kalian mengharapkan kematian, jika dia orang baik semoga saja boleh menambah amal kebaikannya, dan jika dia orang yang buruk (akhlaknya) semoga boleh menjadikannya dia bertaubat.\” [HR Bukhari & Muslim].
  6. Itulah kemenangan yang besar, bagi golongan yang dapat masuk Syurga!
  7. Ya Allah jadikan kami dari hamba-Mu yang Engkau Rahmati dan mendapat anugerah Syurga-Mu dan selamatkan kami dari kemurkaan-Mu dan balasan neraka yang dahsyat!

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 27- {Dan ketika berlakunya hari kiamat, pada saat itulah ruginya orang-orang yang berpegang kepada perkara yang salah.}- kata Abu Hatim rhm., suatu ketika seorang alim besar Sufyan ath-Thauri rhm. telah datang ke Madinah.
    Dia masuk ke masjid dan mendengar satu kumpulan sedang membuat lawak dan semua orang ketawa. Lalu dia menegur mereka dengan berkata: \”Adakan kamu tidak ingat Allah s.w.t telah sebut dalam al-Quran: {Dan ketika berlakunya hari kiamat, pada saat itulah ruginya orang-orang yang berpegang kepada perkara yang salah.}- dikatakan orang yang ditegur itu telah insaf dan dia menjadi orang yang baik sehingga ke akhir hayatnya.\” [Athar riwayat Ibnu Kathir].
  2. Ayat 28- {Dan (pada hari kiamat) engkau akan melihat tiap-tiap umat berlutut (dalam keadaan cemas dan menunggu panggilan);}- Allah s.w.t gambarkan di sini betapa huru hara dan susahnya suasana hari Kiamat, ini supaya kita mengambil langkah berjaga-jaga serta membuat persiapan untuk menghadapinya. Iaitu dengan sentiasa bertaubat kepada Allah s.w.t, beramal soleh dan berbuat kebaikan sebagai bekalan.
  3. Ayat 28- {Dan (pada hari kiamat) engkau akan melihat tiap-tiap umat berlutut (dalam keadaan cemas dan menunggu panggilan);} – setiap kumpulan ada kelompoknya, orang beriman yang soleh di satu tempat, beriman tetapi derhaka di tempat lain pula, kafir serta jenis-jenisnya juga dalam kelompoknya masing-masing.

Sebagaimana hadis seorang badwi yang bertanya kepada Rasulullah s.a.w tentang hari kiamat. \”Bilakah hari kiamat itu?\”
Nabi bertanya, \”Apa yang sudah engkau siapkan untuk menghadapi nya?\”
Dia menjawab, \”Tidak ada, saya tidak mempersiapkan untuk menghadapi hari itu dengan banyak melakukan solat, banyak berpuasa dan banyak bersedekah. Hanya saja, aku mencintai Allah dan Rasul-Nya.\”
Nabi bersabda, \”Engkau akan bersama dengan yang engkau cintai.\” [HR Bukhari].

Biasanya terduduk atas lutut ini kerana terlalu takut dan bersalah, tetapi pada hari Kiamat bukan hanya orang kafir, orang mukmin juga terduduk atas lutut kerana terlalu takut dan berdebar untuk menerima keputusan. Ini keadaan sebelum menerima keputusan suratan amalan, selepas itu keadaan mereka berbeza mengikut amalan masing-masing.

  1. Ayat 29- {\”Inilah surat (tulisan malaikat) Kami, ia memberi keterangan terhadap kamu dengan yang benar,}- ayat ini menjadi hujjah dan menolak pandangan muktazilah dan qadariyah bahawa takdir itu hanya ditulis selepas ianya berlaku. Yang benarnya segala apa yang berlaku sudah tertulis di Lauh Mahfuz.
    Ayat ini juga membawa dalil bahawa apa yang kita tulis, share like & komen juga dikira sebagai satu perbuatan yang diambil kira.
  2. Ayat 30- {Adapun orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka akan dimasukkan oleh Tuhan mereka ke dalam rahmatNya; yang demikian itu ialah kemenangan yang besar.}- orang yang baik dan soleh layak menerima keampunan dan rahmat Allah s.w.t lalu mereka mendapat anugerah dan masuk ke syurga Allah s.w.t.

Kata ulama\’, ayat ini juga membawa maksud bahawa tidak semestinya orang beriman itu lansung tidak melakukan dosa. Mereka mungkin ada tersalah melakukan dosa tetapi dia telah insaf menyesal, bertaubat, beristighfar berdoa kepada Allah serta melakukan banyak kebaikan dan amal soleh, maka Allah s.w.t akan ampunkan dosa mereka dan layak mendapat rahmat dan balasan baik dari-Nya.

Alhamdulillah begitulah balasan dan anugerah nikmat untuk golongan yang baik.

Powered by BetterDocs