View Categories

SURAH AL-KAHF : AYAT 42-46

\"\"

KEBUN TELAH MUSNAH DAN PEMILIK 2 KEBUN MENYESAL, BANDINGAN KEHIDUPAN DUNIA YANG CEPAT HILANGNYA & HARTA DAN ANAK ADALAH PERHIASAN DUNIA.

Full video: https://youtu.be/ECQD-R1HDpI

MUQADDIMAH:
1. Kesinambungan dari kisah minggu lepas tentang pemilik kebuh yang tidak beriman, serta sombong dan takabbur, tidak percaya akan hari Kiamat.
2. Lalu dinasihati oleh kawannya yang beriman agar jangan lupa akan kekuasaan Allah s.w.t dan sentiasa menyebut perkataan Masya’ Allah, tabarakallah, ما شاء الله تبارك الله
Dan La haula wa la quwwata illa billah لا حول ولا قوة الا بالله (tiada daya dan upaya melainkan dengan pertolongan Allah)”.
3. Ini kerana apabila Allah s.w.t mahu mengambil balik sesuatu nikmat itu hanya sekejap sahaja, dalam sekelip mata boleh dimusnahkan.
4. Ini kerana membaca (ما شاء الله) juga dapat mengelak daripada penyakit ain, iaitu pandangan mata yang tidak dikawal. Maka jika tengok anak kecil atau sesuatu yang cantik jangan kagum saja, ucapkan doa ini.
5. Maka dalam ayat-ayat hari ini kita tengok apa yang terjadi pada kebunnya itu.

AYAT 42- {DAN SEGALA TANAMAN SERTA HARTA BENDANYA ITUPUN DIBINASAKAN, LALU JADILAH IA MEMBALIK-BALIKKAN KEDUA TAPAK TANGANNYA (KERANA MENYESAL) TERHADAP SEGALA PERBELANJAAN YANG TELAH DIBELANJAKANNYA PADA KEBUN-KEBUNNYA, SEDANG KEBUN-KEBUN ITU RUNTUH JUNJUNG-JUNJUNG TANAMANNYA; SAMBIL DIA BERKATA: \”ALANGKAH BAIKNYA KALAU AKU TIDAK SEKUTUKAN SESUATUPUN DENGAN TUHANKU!\” (AL-KAHFI 18:42).
1. Maka Allah datangkan kepungan (bala) kepada kebunnya lalu menjadi rosak semua isi kandungan kebun dan hartanya yang lain.
2. Maka menyesallah dia atas kerugian yang berlaku, perbelanjaan telah banyak dicurahkan ke atas kebun itu, sekarang telah runtuh dan musnah semuanya.
3. Maka pada ketika inilah baru menyesal dan berkata kalaulah aku beriman, kalaulah aku tidak sekutukan Allah dan ayat penyesalan seumpamanya.
4. Ulama\’ kata kebunnya dibinasakan bukan sebab kufur saja, tetapi disebabkan syirik dan tughyan, yakni sombong, takabbur dan angkuh. Maka beringatlah orang yang beriman sekalipun, jika mempunyai sifat ini, akan kerugianlah.

AYAT 43- {DAN IA TIDAK MENDAPAT SEBARANG GOLONGAN YANG BOLEH MENOLONGNYA, SELAIN DARI ALLAH; DAN IA PULA TIDAK DAPAT MEMBELA DIRINYA SENDIRI.} (AL-KAHFI 18:43).
1. Tetapi semua itu tidak berguna lagi, dan tiada siapa yang akan dapat menolongnya lagi. Dia juga tidak dapat membela dirinya sendiri.
2. Tetapi ulama\’ mengatakan keadaan si pemilik kebun ini segera menyesal dan bertaubat menunjukkan dia masih mendapat rahmat dari Allah serta ada kemungkinan dia kembali beriman.

AYAT 44- {PADA SAAT YANG SEDEMIKIAN ITU KEKUASAAN MEMBERI PERTOLONGAN HANYA TERTENTU BAGI ALLAH, TUHAN YANG SEBENAR-BENARNYA; DIA LAH SEBAIK-BAIK PEMBERI PAHALA, DAN SEBAIK-BAIK PEMBERI KESUDAHAN YANG BERBAHAGIA (KEPADA HAMBA-HAMBA-NYA YANG TAAT).} (AL-KAHFI 18:44)
1. Allah s.w.t tutup kisahnya ini mengatakan hanya kekuasaan Allah s.w.t yang dapat memberi pertolongan dan menyelamatkan.
2. Allah akan memberi sebaik-baik balasan bagi orang yang taat, samada mendapat kebaikan terus di dunia atau di akhirat nanti.

PENGAJARAN DAN FAEDAH :
1. Kita kena ambil pengajaran dengan kisah orang yang diberi nikmat hidup di dunia. Ini kerana ada orang yang mendapat nikmat akan menjadi lalai, lagha, takabbur sombong dan kufur nikmat lalu mendapat balasan buruk
2. Juga kena ingat jika dapat menikmati harta di dunia ini, ia hanya sementara sahaja, ingatlah jangan sampai kita hilang nikmat yang kekal di akhirat kelak.
3. Betapa ramai juga orang kafir yang hidup lama dan hartanya tidak rosak. Ini juga supaya dia tidak terfikir untuk masuk Islam, maka terus dalam kesesatan.
4. Tetapi pemilik kebun ini hartanya dimusnakan bukan sebab kufur saja, tetapi disebabkan syirik dan tughyan, yakni sombong, takabbur dan angkuh, maka beringatlah orang yang beriman pun jika ada sifat ini akan mendapat kemurkaan Allah s.w.t.
5. Kisah tentang orang yang kaya tetapi takabbur yang lain juga ada disebut dalam Quran, iaitu Qarun dalam surah- al-Qasas; ayat 78.
6. Sifat syukur kepada Allah s.w.t akan menjaga nikmat yang sedia ada dan akan menarik nikmat yang belum ada, insya’ Allah.

AYAT 45- {DAN KEMUKAKANLAH KEPADA MEREKA MISAL PERBANDINGAN: KEHIDUPAN DUNIA INI SAMALAH SEPERTI AIR YANG KAMI TURUNKAN DARI LANGIT, LALU BERCAMPUR ADUKLAH TANAMAN DI BUMI ANTARA SATU SAMA LAIN (DAN KEMBANG SUBURLAH IA) DISEBABKAN AIR ITU; KEMUDIAN MENJADILAH IA KERING HANCUR DITIUP ANGIN; DAN (INGATLAH) ADALAH ALLAH MAHA KUASA ATAS TIAP-TIAP SESUATU.} (AL-KAHFI 18:45).
1. Allah s.w.t menyuruh Rasulullah s.a.w memberi peringatan kepada kaum dan umatnya seluruhnya, bahawa kehidupan dunia ini hanya sementara dan akan musnah. Harta dan makhluk berkembang biak kemudian akan kembali musnah dan rosak.
2. Allah s.w.t bandingkannya dengan tumbuhan atau rumput, yang pada awalnya tumbuh subur dengan sebab hujan yang datang, kemudian akan kering dan mati.
3. Supaya kita insaf dan sedar, supaya tidak mudah terperangkap dengan kehidupan dunia lalu melupakan akhirat.
4. Apakah itu kehidupan dunia? Ulama\’ kata samada ia bererti selagi kita hidup atas dunia ini sebelum mati atau umur dunia ini selagi belum Kiamat dan ia musnah.
5. Terdapat beberapa ayat-ayat al-Quran lain yang Allah s.w.t buat bandingan yang sama seperti ayat 45 & 46 ini.
i- Firman Allah s.w.t: {Sesungguhnya bandingan kehidupan dunia hanyalah seperti air hujan yang Kami turunkan dari langit, lalu (tumbuhlah dengan suburnya) tanaman-tanaman di bumi dari jenis-jenis yang dimakan oleh manusia dan binatang – bercampur-aduk dan berpaut-pautan (pokok-pokok dan pohonnya) dengan sebab air itu hingga apabila bumi itu lengkap sempurna dengan keindahannya dan berhias (dengan bunga-bungaan yang berwarna-warni), dan penduduknya pun menyangka bahawa mereka dapat berbagai-bagai tanaman serta menguasainya (mengambil hasilnya) datanglah perintah Kami menimpakannya dengan bencana pada waktu malam atau pada siang hari lalu Kami jadikan dia hancur-lebur, seolah-olah ia tidak ada sebelum itu. Demikianlah Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi kaum yang mahu berfikir (dan mengambil iktibar daripadanya).} [Yunus 10:24]
ii- Firman Allah s.w.t: { Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu), dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat). Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.} [Al-Hadiid 57:20].

6. Allah s.w.t yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu tidak siapa yang boleh menyekat atau menghalang-Nya.
7. Maka bersyukurlah dengan nikmat Allah s.w.t dengan tunaikan hak harta seperti menunaikan nafkah, zakat, infaq dan sedekah.

AYAT 46- {HARTA BENDA DAN ANAK PINAK ITU, IALAH PERHIASAN HIDUP DI DUNIA; DAN AMAL-AMAL SOLEH YANG KEKAL FAEDAHNYA ITU LEBIH BAIK PADA SISI TUHANMU SEBAGAI PAHALA BALASAN, DAN LEBIH BAIK SEBAGAI ASAS YANG MEMBERI HARAPAN. (AL-KAHFI 18:46).
1. Allah s.w.t sebut di sini harta-benda (dengan semua jenis dan bentuknya) dan anak-pinak (lelaki dan perempuan) hanyalah perhiasan dunia. Ia bukan sesuatu yang dapat dimanfaatkan untuk akhirat kecuali harta yang diinfaqkan untuk akhirat dan anak-anak soleh yang dan mendapat didikan agama yang sahih.
2. Yakni kita guna dan jadikan perhiaasan dunia ini sebagai asset untuk kebahagian kita di akhirat juga. Maka bahagialah orang yang jaga kedua-dua dunia dan akhiratnya.
3. Yang baik dan kekal bagi kamu hanyalah amal soleh yang kekal. Apakah pula maksud {… amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu}?
Ada yang kata yang solat, ada yang kata zikir 4 kalimat, tetapi ulama\’ tafsir merumuskanny; Bahawa ia ia merujuk kepada semua amalan ketaatan yang diredhai Allah s.w.t
4. Ulama\’ menjelaskan kenapa Allah sebut harta dulu baru anak-pinak? Ini kerana jika ikut tertib susunan kehidupan manusia, biasanya harta dulu dimiliki barulah datang keluarga dan anak pinak. Apapun keduanya termasuk dalam godaan dunia.

PENGAJARAN DAN FAEDAH :
1. Punca bahagia: Islam, berpada dengan rezeki yang mencukupi, dan berpada dengan apa yang ada, tidak tamak.
Sabda Rasulullah SAW ertinya: “Sungguh beruntung orang beragama Islam, memperoleh rezeki yang cukup dan dianugerahi sifat qana’ah atas segala pemberian.” [HR at-Tirmizi].
2. Dunia bukan tempat tinggal yang kekal tetapi dunia adalah tempat meninggal kerana ia terlalu cepat berlalu dan hilang. Samada kita meninggalkannya dengan mati atau harta dan segala milik lain juga meninggalkan kita akhirnya.
3. Kelebihan zikir 4 kalimah yang amat besar:
Abu Hurairah r.a. berkata bahawa pada suatu ketika Rasulullah S.A.W datang ke tempat kami lalu bersabda: \”Ambillah perisai kamu sebagai pertahanan diri.\”
Para sahabat bertanya, \”Apakah ada musuh telah datang?\”
Baginda S.A.W bersabda lagi: \”Ambillah perisai untuk mempertahankan diri kamu daripada api neraka. Ucaplah:
سبحانَ اللهِ، والحمدُ للهِ، ولا إلهَ إلّا اللهِ، واللهُ أكبرُ،
Kalimah-kalimah ini akan datang pada hari kiamat ke arah penyebutnya dari bahagian depan, belakang, kiri dan kanan dan ia akan menyelamatkan tuannya dan kalimah-kalimah inilah merupakan amalan soleh yang ganjarannya akan didapati secara berterusan.\” [HR an-Nasa’ie].
4. Maka beruntunglah orang yang sentiasaa basah lidah dan hatinya dengan berzikir dan mengingati Allah s.w.t.


Wallahu a’lam.

Powered by BetterDocs