View Categories

SURAH AL-KAHF : AYAT 60-65

\"\"

BERMULA KISAH PENGEMBARAAN NABI MUS AS DAN YUSYA\’, IKAN YANG DIBAWA MELOMPAT KE LAUT & BERJALAN PATAH BALIK JUMPA KHADHIR.

Full video: https://youtu.be/P0bkwECxpZg

MUQADDIMAH:
1. Bermula dari ayat ini Allah s.w.t menceritakan tentang episod kisah pengembaraan Nabi Musa a.s mencari Khadir/ Khidir a.s setelah ditegur oleh Allah s.w.t.
2. Ini adalah kisah luar biasa yang penuh hikmah. Kisah tentang pengembaraan mencari ilmu, serta perlunya bersikap tawadhuk, agar manusia sedar dan mengambil iktibar betapa luasnya ilmu Allah s.w.t.
3. Dalam hadis riwayat Al-Bukhari & Muslim yang panjang, dari Ubay bin Ka\’ab r.a bahawa dia pernah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda: \”Suatu ketika, Nabi Musa berkhutbah di depan bani Israil, lalu seorang kaumnya bertanya, \’Adakah siapa manusia atas muka bumi ini yang lebih berilmu darimu?\’ Musa menjawab: \’Tidak ada, (yakni tiada yang lebih alim daripada dia)\’.
Allah kemudian menegur Nabi Musa kerana tidak menyatakan yang paling tahu adalah Allah. Allah kemudian mewahyukan kepadanya, \”Sungguh, Aku memiliki seorang hamba-Ku di pertemuan antara dua lautan, dan lebih berilmu dari kamu.\”
Nabi Musa bertanya, \”Ya Rabb, bagaimana caranya agar aku bisa bertemu dengannya? Allah berfirman kepada Musa, \”Bawalah seekor ikan yang kamu masukkan ke dalam suatu tempat, di mana ikan itu menghilang maka di situlah hamba-Ku itu berada!\” Kemudian Nabi Musa pergi bersama seorang pelayan (ada yang mengatakan muridnya) bernama Yusya\’ bin Nun. Keduanya membawa ikan itu hingga keduanya tiba di sebuah batu besar. Mereka membaringkan tubuhnya sejenak lalu tertidur. Tiba-tiba ikan itu menghilang dari tempat tersebut. Ikan itu melompat mengambil jalannya ke laut. Di situlah tempat lelaki itu berada.
4. Lalu bermulalah pengembaraan Nabi Musa a.s.

AYAT 60- {DAN (INGATKANLAH PERISTIWA) KETIKA NABI MUSA BERKATA KEPADA TEMANNYA: \”AKU TIDAK AKAN BERHENTI BERJALAN SEHINGGA AKU SAMPAI DI TEMPAT PERTEMUAN DUA LAUT ITU ATAU AKU BERJALAN TERUS BERTAHUN-TAHUN\”.} (AL-KAHFI 18:60).
1. Allah s.w.t mengingatkan kepada Rasulullah s.a.w tentang kisah ini.
2. Maka dalam ayat ini bermula dengan pengembaraan Nabi Musa a.s dan temannya ekoran daripada kejadian yang diceritakan dalam hadis di atas.
2. Di mana tempatnya wallahu a’lam, tidak perlu kita korek kerana Allah s.w.t dan Rasulullah s.a.w tidak menyebutnya. Tetapi kerana Nabi Musa a.s berada di Mesir, lalu keluar ke Semenanjung Sinai, para ulama\’ Tafsir mengatakan ianya mungkin berlaku di pertemuan cabang Laut Merah, iaitu Teluk Aqabah dan Teluk Suez. Yang pastinya wallahu a’lam.
3. Nabi Musa berkata jika tidak berjumpa, dia akan terus berjalan walaupun bertahun-tahun lamanya.
3. Murid Musa yang menemaninya itu adalah Yusya\’ bin Nun. Nama lengkapnya Yusya\’ bin Nun bin Ifrosun. Dalam riwayat lain, disebutkan bahawa Yusya\’ bin Nun adalah salah seorang Nabi yang meneruskan risalah kenabian Musa a.s kepada Bani Israil. Ia dimakamkan di Yordania. Ia juga mempunyai kisah yang hebat sebagaimana dalam hadis lain Rasulullah s.a.w.

AYAT 61- {MAKA APABILA MEREKA BERDUA SAMPAI KE TEMPAT PERTEMUAN DUA LAUT ITU, LUPALAH MEREKA AKAN HAL IKAN MEREKA, LALU IKAN ITU MENGGELUNSUR MENEMPUH JALANNYA DI LAUT, YANG MERUPAKAN LORONG DI BAWAH TANAH.} (AL-KAHFI 18:61).
1. Lalu mereka pun memulakan perjalanan, tetapi alamdulillah tidak jauh berjalan mereka menjumpai lokasi tempat yang dimaksdukan itu. Tempat pertemuan dua laut dan sebuah batu besar.
3., Nabi Musa a.s pun berehat seketika dia atas batu itu, lalu ikan itu tiba-tiba hidup dan melompat ke laut dengan cara yang pelik; {.. menggelunsur menempuh jalannya di laut, yang merupakan lorong di bawah tanah}, air tempat ikan itu lalu tidak bercantum semula, seolah ada lorong batu.
3. Yusya’ melihat kejadian ini dan berkata dia akan memberitahu Nabi Musa selepas dia bangun nanti.
4. Tetapi malangnya mereka lupa tentang ikan itu. Jadi apabila Nabi Musa bangun, dia lupa untuk memberitahunya tentang ikan, lalu mereka pun teruskan perjalanan beberapa lama, sepanjang hari dan malam.
5. Kata ulama\’ maksud firman Allah s.w.t: {.. lupalah mereka akan hal ikan mereka.}:
Samada Yusya’ lupa nak beritahu Musa, Musa pula lupa nak tanya tentang ikan itu, atau kedua-duanya lupa nak perhatikan ikan itu.

AYAT 62- {SETELAH MEREKA MELAMPAUI (TEMPAT ITU), BERKATALAH NABI MUSA KEPADA TEMANNYA: \”BAWALAH MAKAN TENGAH HARI KITA SEBENARNYA KITA TELAH MENGALAMI PENAT LELAH DALAM PERJALANAN KITA INI\”.} (AL-KAHFI 18:62).
1. Lalu setelah jauh melepasi tempat itu, barulah Musa meminta temannya untuk mengeluarkan bekalan ikan itu, untuk dimakan sebagai makan tengahari mereka. Ini Kerana sudah jauh berjalan dan mengalami penat-lelah.
2. Tengok-tengok ikan sudah tiada dalam bekas, barulah Yusya’ teringat akan ikan mereka yang telah hidup kembali dan melompat ke dalam laut di tempat tadi.

AYAT 63- {TEMANNYA BERKATA: \”TAHUKAH APA YANG TELAH TERJADI KETIKA KITA BEREHAT DI BATU BESAR ITU? SEBENARNYA AKU LUPAKAN HAL IKAN ITU; DAN TIADALAH YANG MENYEBABKAN AKU LUPA DARIPADA MENYEBUTKAN HALNYA KEPADAMU MELAINKAN SYAITAN; DAN IKAN ITU TELAH MENGGELUNSUR MENEMPUH JALANNYA DI LAUT, DENGAN CARA YANG MENAKJUBKAN\”.} (AL-KAHFI 18:63).
1. Lalu Yusya’ pun menceritakan akan kejadian tadi, tetapi dia lupa untuk memberitahunya kepada Nabi Musa. Dia mengatakan ini adalah akibat gangguan syaitan yang menjadikan dia lupa.
2. Dia melihat ikan itu menggelunsur ke dalam laut dengan ajaibnya. Yakni dikatakan bekas laluan itu meninggalkan seolah kesan jalur yang berlubang. Wallau a’lam.

AYAT 64- {NABI MUSA BERKATA: \”ITULAH YANG KITA KEHENDAKI \”; MEREKA PUN BALIK SEMULA KE SITU, DENGAN MENURUT JEJAK MEREKA.} (AL-KAHFI 18:64)
1. Nabi Musa tidak marah dan kecewa kali ini. Dia pun membuat keputusan untuk pusing balik, undur semula untuk mencari batu tempat mereka berehat tadi.
2. Ini kerana tempat pertemuan yang ditentukan Allah s.w.t adalah tempat ikan itu hidup semula. Maka sekarang tahulah mereka itulah tempat yang dicari.
3. Inilah ilmu tentang kesabaran menghadapi ujian.

AYAT 65- {LALU MEREKA DAPATI SEORANG DARI HAMBA-HAMBA KAMI YANG TELAH KAMI KURNIAKAN KEPADANYA RAHMAT DARI KAMI, DAN KAMI TELAH MENGAJARNYA SEJENIS ILMU; DARI SISI KAMI.} (AL-KAHFI 18:65)
1. Akhirnya bila sampai ke tempat tadi, mereka dapati ada seorang lelaki sedang berehat di atas sebuah batu. Itulah orang yang mereka cari, Alhamdulillah.
2. Ijmak ulama\’ bahawa lelaki itu adalah Khadir/Khidir. Dia seorang hamba soleh yang telah Allah berikan rahmat-Nya dan kelebihan ilmu.
3. Salah satu keistimewaanya dikatakan adalah setiap kali ia duduk di atas kayu kering atau tanah gersang, berubahlah tempat yang didudukinya menjadi hijau (akhdor). Itulah sebab mengapa dia dipanggil dengan sebutan Khadir/Khidir bererti \’Yang Hijau.\’
4. Jalaluddin as-Suyuthi dalam tafsir ad-Dur al-Mantsur menukil hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas yang menyatakan, \’\’Sesungguhnya, Khidir dinamakan demikian lantaran setiap kali solat di atas hamparan putih, hamparan itu tiba-tiba berubah menjadi hijau.\’\’
Imam Bukhari mengatakan, Musa dan muridnya menemukan Khidir di atas sajadah hijau di tengah-tengah lautan.

5. Beberapa fakta tentang Khidir yang menjadi persoalan dan perbincangan ulama\’:
A- Para ulama’ berbeza pendapat tentang Khidir samada dia seorang nabi atau wali?
i- Sebahagian ulama\’ seperti al-Qurtubhi kata dia adalah seorang Nabi, dia kata ini pendapat jumhur ulama\’ termasuk Ibnu Kathir, Ibnu Hajar dan Syanqiti, manakala ulama\’ salaf pula Ibnu Abbas dan Ikrimah r.a.
Dalilnya, firman Allah s.w.t yang mengatakan: {.. Kami yang telah kami kurniakan kepadanya rahmat dari Kami, dan Kami telah mengajarnya sejenis ilmu; dari sisi Kami.}
ii- Pendapat kedua mengatakan bahawa ia seorang wali dari wali-wali Allah SWT. Seperti Imam Baghawi, Qanuji saadi dan lain-lain. Yang mengatakan dia bukan nabi. Dalil mereka kerana Allah s.w.t telah berfirman bahawa dia adalah seorang hamba telah diberi beberapa ilmu dan kelebihan; samada karamah maka dia hanya wali BUKAN diberi wahyu dan mukjizat maka dia adalah seorang nabi, wallahu a’lam kerana tiada dalil yang jelas.

B- Persoalan kedua ulama\’ berbeza pandangan samada dia masih hidup atau sudah mati? Bahkan, ada yang mengatakan, Khidir akan hidup sampai hari kiamat.
i- Ramai ulama\’ dulu dan terkemudian seperti seperti al-Qurthubi dan Imam Nawawi
mengatakan dia masih hidup.
Kepercayaan yang mungkin datang dari kisah Israiliyyat pula mengatakan Khidir panjang umurnya dan masih hidup sehingga sekarang kerana dia telah minum air daripada air mata kehidupan (Ma’ul Hayat- ماء الحياة ). Mereka juga mengatakan ikan Nabi Musa tadi hidup kerana terkena air itulah juga.
ii- Manakala ulama\’ lain seperti Imam Bukhari kata telah lama mati.
Sementara itu, warga Anthakia (Syam) meyakini bahawa Khidir adalah manusia biasa yang diangkat menjadi seorang nabi. Ia pun telah wafat. Makamnya, menurut warga Anthakia, terletak di daerah mereka. Sami bin Abdullah menyatakan, dirinya pernah berkunjung ke lokasi tersebut, tetapi ia tak berani mengambil kesimpulan.Wallahua’lam.

Syeikh Syanqiti telah mengkaji kedua-dua pendapat ini dan memilih pendapat yang rajih bahawa Khidir telah mati dengan membawa dalil-dalil yang kuat dan dipercayai.
Dalam kitab Adhwa-ul’ Bayan, ((كتاب أضواء البيان للشنقيطي)) Jilid ke3, m/s:326- 338, dia telah membawa dalil-dalil yang menyokong pandangan yang mengatakan Khidir sudah mati.

PENGAJARAN DAN FAEDAH :
1. Dalam menuntut ilmu kita ada sifat:
i- Mesti tawadhuk dan jangan sombong,
ii- Kena cekal jangan mudah berputus-asa dan putus-harap,
iii- Kena banyak bersabar dan cekal hadapi ujian.
2. Kita kena hati-hati dalam menerima cerita-cerita dari al-Quran yang ditafsirkan agar tidak terkena riwayat yang tidak sahih dan dapat menghina atau menjatuhkan maruah para rasul, nabi dan wali-wali Allah.
3. Jika al-Quran dan hadis Nabi s.a.w yang sahih tidak menjelaskannya maka tidak perlu kita mengorek-gorek mencarinya.

Wallahu a’lam.

Powered by BetterDocs