View Categories

Surah Al-Ma’idah : Ayat 1-2

SEMPURNAKAN JANJI, MENJAGA KEHORMATAN BULAN DAN TANAH HARAM & TOLONG MENOLONG MELAKUKAN KEBAIKAN.

Full video : https://youtu.be/-7tylflydf0?si=k9cNOHEpjpPU5dVh

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dan dalam siri ini kita akan mulakan tafsir ayat 1 & 2 kepada Surah Al-Ma’idah dalam juzu’ keenam.
  1. Perbincangan kita dalam siri ini ialah tentang arahan Allah SWT kepada orang mukmin agar sempurnakan sebarang perjanjian, bila sudah berjanji jangan tipu & khianat, itu bukan sifat orang mukmin tetapi sifat munafiqin.
  1. Allah nyatakan tentang kehormatan bulan haram & Tanah Haram, perintah agar menjaga kehormatan bulan dan Tanah Haram jangan sesiapa mencabulnya kerana ia ada imunitinya yang Allah anugerahkan.
  1. Kemudian Allah perintahkan agar kita berlaku adil kepada orang- jangan sebab luka lama kita terus berdendam selamanya. 
  1. Serta arahan agar tolong-menolong melakukan kebajikan & taqwa {عَلَى ٱلْبِرِّ وَٱلتَّقْوَىٰ}. Jangan tolong-menolong dalam melakukan dosa, maksiat dan permusuhan {ٱلْإِثْمِ وَٱلْعُدْوَٰنِ ۚ وَٱتَّقُوا۟}.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

AYAT 1- {WAHAI ORANG-ORANG YANG BERIMAN, PENUHI SERTA SEMPURNAKANLAH PERJANJIAN-PERJANJIAN. DIHALALKAN BAGI KAMU (MEMAKAN) BINATANG-BINATANG TERNAK (DAN SEBAGAINYA), KECUALI APA YANG AKAN DIBACAKAN (TENTANG HARAMNYA) KEPADA KAMU. (HALALNYA BINATANG-BINATANG TERNAK DAN SEBAGAINYA ITU) TIDAK PULA BERERTI KAMU BOLEH MENGHALALKAN PERBURUAN KETIKA KAMU DALAM KEADAAN BERIHRAM. SESUNGGUHNYA ALLAH MENETAPKAN HUKUM APA YANG IA KEHENDAKI.} (AL-MAAIDAH 5:1)

  1. Allah menyeru khas kepada orang beriman supaya menunaikan segala perjanjian, sama ada perjanjian dengan Allah atau dengan manusia.
    Yakni segala janji yang memenuhi SOP Syari’ah & tunaikan semua perintah Allah. 
    Jika janji yang bertentangan dengan hukum Allah, boleh dibatalkan!
  1. Perjanjian kita dengan Allah ialah untuk menyembah Allah jangan sembah yang selain-Nya, mengakuii keEsaan Allah & tidak menyekutukan-Nya. 
    Ataupun janji seperti nazar yang wajib ditunaikan.
    Contoh seseorang bernazar jika dia dapat sesuatu, dia wajibkan dirinya untuk sembelih seekor kambing, jika dapat sungguh dia kena buat- itu janji dengan Allah! 
  1. Juga perjanjian sesama makhluk. 
    Sama ada yang umum (public) atau yang peribadi (private). 
    Contoh antara janji tidak tertunai zaman sekarang, kontraktor rumah, banyak pembinaan yang terbengkalai.
    Serta banyak lagi perjanjian yang dikhianati.
  1. Kemudian Allah nyatakan semua binatang ternakan (بَهِيمَةُ ٱلْأَنْعَـٰمِ) dan selainnya adalah dihalalkan untuk kamu makan kecuali apa yang jelas Allah telah haramkan ke atas kamu (مَا يُتْلَىٰ عَلَيْكُمْ) sebagaimana dalam firman-nya yang lain.

    Binatang ternakan (بَهِيمَةُ ٱلْأَنْعَـٰمِ) ini ialah haiwan yang jinak & boleh diperlihara oleh manusia seperti unta, lembu, kambing dan seumpamanya.
  1. Iaitu firman Allah SWT ini:
    {Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya), dan yang disembelih atas nama berhala; dan (diharamkan juga) kamu merenung nasib dengan undi batang-batang anak panah. Yang demikian itu adalah perbuatan fasik.} (Al-Maaidah 5:3)
  1. Juga dihalalkan haiwan perburuan kepada kamu, iaitu haiwan liar yang halal tetapi bukan peliharaan yang lepas bebas di dalam hutan atau di mana saja. 
  1. Tetapi ingat! Walaupun haiwan perburuan itu halal, ia ada pengecualiannya- haram sama ada kerana tempat atau keadaan orang itu:
    i- Haiwan perburuan di dalam Tanah Haram, haram ke atas semua orang tak kira dalam ihram atau tidak- contoh burung merpati atau arnab liar dalam Tanah Haram.

    ii- Ia haram ke atas orang yang di dalam ihram- haram ke atas mereka untuk berburu tak kira dalam Tanah haram atau di luar Tanah Haram selagi masih di dalam ihram!
  1. Kata Al-Qurtubhi RHM : Ayat pertama ini pendek tetapi fasih ayatnya & mempunyai banyak hukum dan penjelasan. 
    Ada 5 hukum di dalam ini: 
    i- Tunaikan perjanjian

    ii- Halal haiwan ternakan seperti lembu kambing unta dan lain-lain

    iii- Kecuali apa yang Allah haramkan

    iv- Hukum bagi orang yang berihram.

    v- Halal bagi orang yang tidak berihram untuk menangkap haiwan perburuan diluar Tanah Haram!
    Dalam keseluruhan Surah Al-Ma’idah ada 18 tambah 1 lagi, hukum azan.

AYAT 2- {WAHAI ORANG-ORANG YANG BERIMAN, JANGANLAH KAMU INGAT HALAL MEMBUAT SESUKA HATI MENGENAI SYIAR-SYIAR AGAMA ALLAH, DAN MENGENAI BULAN-BULAN YANG DIHORMATI, DAN MENGENAI BINATANG-BINATANG YANG DIHADIAHKAN (KE MAKKAH UNTUK KORBAN), DAN MENGENAI KALONG-KALONG BINATANG HADIAH ITU, DAN MENGENAI ORANG-ORANG YANG MENUJU KE BAITULLAH AL-HARAAM, YANG BERTUJUAN MENCARI LIMPAH KURNIA DARI TUHAN MEREKA (DENGAN JALAN PERNIAGAAN) DAN MENCARI KEREDAANNYA (DENGAN MENGERJAKAN IBADAT HAJI DI TANAH SUCI); DAN APABILA KAMU TELAH SELESAI DARI IHRAM MAKA BOLEHLAH KAMU BERBURU.} (AL-MAAIDAH 5:2)

  1. Allah beri peringatan lagi kepada orang beriman : Janganlah kamu ingat halal membuat sesuka hati mengenai syiar-syiar agama Allah iaitu:
    i- Jangan kamu langar, cabul apa yang Allah larang & haramkan ke atas kamu.

    ii- Serta jangan sia-siakan apa yang Allah fardhukan. Yakni apa yang Allah suruh; kamu buat & jangan tinggal. 
  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah nyatakan bahawa haram haiwan perburuan yang di dalam Tanah Haram & ke atas orang yang sedangkan berihram.  

    ii- Allah jelaskan lagi larangan itu di dalam ayat ini dengan detail satu-persatu tentangnya.
  1. Allah juga melarang daripada melanggar Syi’ar Allah & perintah Allah yang kamu kena ambil berat ialah amalan Haji. 
    Ini kerana dalam amalan haji banyak Syi’ar-Syi’ar Allah seperti melontar, tawaf sya’I dan wuquf. 
    Manakala tempat buat ibadat haji itu dipanggil Masyair (المشاعر).
  1. Allah juga larang daripada mencabul kehormatan bulan haram iaitu: 
    i- Bulan-bulan haram yang empat tersebut adalah bulan Muharram, Rejab, Zulqa’dah dan Zulhijjah. 
  1. Bulan-bulan haram membawa maksud dua iaitu:
    i- Pertama : Bulan-bulan yang diharamkan untuk berperang di dalamnya.

    ii- Kedua : Bulan haram membawa maksud bulan yang sangat dihormati lagi dimuliakan. 
    Iaitu jangan buat dosa & maksiat padanya. Pada bulan biasa pun dah berdosa apatalah lagi pada bulan haram yang mempunyai kelebihan khas di sisi Allah SWT ini!
    Jangan tertukar dengan bulan Haji yang ada ketiga: Syawwal, Zul Qa’dah dan 10 awal.Zulhijjah.
  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa.} (At-Taubah 9:36) 
  1. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Bakrah RA beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda;
    إِنَّ الزَّمَانَ قَدِ اسْتَدَارَ كَهَيْئَتِهِ يَوْمَ خَلَقَ اللَّهُ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضَ، السَّنَةُ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا مِنْهَا، أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ، ثَلاَثٌ مُتَوَالِيَاتٌ، ذُو الْقَعْدَةِ وَذُو الْحِجَّةِ وَالْمُحَرَّمُ وَرَجَبُ مُضَرَ الَّذِي بَيْنَ جُمَادَى وَشَعْبَانَ
    Maksudnya : Sesungguhnya masa itu beredar seperti keadaan asalnya pada hari Allah menciptakan langit-langit dan juga bumi. Setahun itu ada dua belas bulan, dan ada empat bulan-bulan haram. Tiga yang berturut-turut, iaitu Zul Qa’dah, Zulhijjah, dan Muharram, serta bulan Rejab Mudhar yang berada di antara Jumada (al-Akhir) dan juga Sya’ban.” [HR Al-Bukhari (184)].
  1. Terdapat khilaf ulama’ tentang larangan berperang pada bulan haram ini:
    i- Ibnu Kathir RHM berkata : Sebahagian besar ulama’ berkata ayat tentang larangan berperang pada bulan haram ini telah dimansukhkan dengan firman Allah dalam ayat 5, Surah At-taubah: {Kemudian apabila habislah (masa) bulan-bulan yang dihormati itu maka bunuhlah orang-orang musyrik itu di mana sahaja kamu menemuinya, dan tawanlah mereka, dan juga keponglah mereka, serta tunggulah mereka di tiap-tiap tempat mengintipnya.} (At-Taubah 9:5)

    ii- Tetapi ada sebahagian ulama’ lain berpendapat : Ia bukan dimansukhkan terus, larangan itu masih terpakai, cuma jangan mulai peperangan dalam bulan haram, jika peperangan sudah berlaku boleh teruskan sehingga selesai. Takkan nak berhenti separuh jalan, jika sudah hampir menang! 

    Dikatakan dalam Surah Al-Ma’idah ini tidak ayat yang dimansukhkan, Cuma larangan agar jangan memulakan peperangan dalam bulan haram! Wallahu a’lam.
  1. Hukum ketiga yang dibawa dalam ayat ini ialah tentang hadyu (ٱلْهَدْىَ) iaitu binatang yang dibawa ke Makkah untuk dijadikan korban atau dam- jangan kamu usik & kacaunya. 
    Jemaah haji bawa haiwan mereka untuk disembelih di Makkah sebagai korban atau dam mereka!
  1. Haiwan hadyu ini telah ditanda dengan kalung-kalung khas (ٱلْقَلَـٰٓئِدَ) sebagai tanda mereka akan disembelih di Makkah- maka jangan lagi kamu usiknya! 
    Ini hukum keempat.
  1. Kemudian hukum kelima tentang orang yang menuju ke Makkah untuk mencari keredhaan Allah (ءَآمِّينَ ٱلْبَيْتَ ٱلْحَرَامَ) sama ada untuk mengerjakan ibadat haji atau mencari rezeki yang halal dengan berniaga. 
    Jangan kamu ganggu usik & kacau mereka ini!
  1. Kemudian Allah beri kelonggaran selepas kamu keluar dari ihram, boleh kamu berburu, tetapi ingat hanya boleh di luar Tanah Haram saja, di dalam Tanah haram tetap haram untuk berburu bagi semua orang.

AYAT 2- {DAN JANGAN SEKALI-KALI KEBENCIAN KAMU KEPADA SUATU KAUM KERANA MEREKA PERNAH MENGHALANGI KAMU DARI MASJID AL-HARAAM ITU – MENDORONG KAMU MENCEROBOH. DAN HENDAKLAH KAMU BERTOLONG-TOLONGAN UNTUK MEMBUAT KEBAJIKAN DAN BERTAQWA, DAN JANGANLAH KAMU BERTOLONG-TOLONGAN PADA MELAKUKAN DOSA (MAKSIAT) DAN PENCEROBOHAN. DAN BERTAQWALAH KEPADA ALLAH, KERANA SESUNGGUHNYA ALLAH MAHA BERAT AZAB SEKSANYA (BAGI SESIAPA YANG MELANGGAR PERINTAHNYA).} (AL-MAAIDAH 5:2)

  1. Keenam: Larangan daripada berlaku zalim. Allah mengingatkan agar perasaan nak marah & kebencian kamu kepada sesuatu kaum membuatkan kamu berdendam & berlaku zalim, dengan ambil tindakan yang tidak adil terhadap mereka.
  1. Perintah ini khusus kepada:
    i- Kaum muslimin dari Madinah yang pernah disekat oleh kaum musyrikin Quraisy dari memasuki Makkah & mengerjakan umrah pada tahun berlakunya Perjanjian Hudaibiyyah.

    ii- Jadi apabila kamu berkuasa dan dapat membuka dan mengambil Makkah jangan lagi kamu berdendam kepada mereka yang sudah Islam & menerima pemerintah Rasulullah SAW lalu berlaku tidak adil pula kepada mereka.
  1. Manakala ia juga umum kepada kita semua sebagai orang Islam yang beriman agar jangan biarkan dendam pribadi menjadi penghalang kita daripada keadilan & mengambil tindakan yang zalim ke atas mereka!
  1. Hukum ketujuh & kelapan:
    i- Perintah agar bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, berpakat kepada kebaikan.

    ii- Larangan jangan bertolong-tolongan pada melakukan dosa maksiat dan pencerobohan, orang nak buat maksiat & kezaliman jangan sokong!
  1. SERTA JANGAN LUPA! Bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya bagi sesiapa yang melanggar perintahNya.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 1- {Wahai orang-orang yang beriman,}-

    Allah mulakan ayat ini dengan menyeru orang yang beriman.
    Ayat ini menunjukkan kelebihan iman. 
    Sesiapa yang ada iman maka dia orang yang mendengar kata.
    Allah panggil dengan seruan, wahai orang yang beriman. Yakni jika kamu orang yang beriman, celiklah mata, buka telinga & lapangkan hati kamu, dengarlah apa yang Allah nak kata ini!
    Maka jika kamu betul-betul beriman terimalah arahan & perintah Allah, Jangan jadi seperti lembu kenyang yang dengar saja tetapi tak boleh nak buat apa.
  1. Ayat 1- {Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian.}-

    Arahan untuk orang beriman lagi untuk tunaikan perjanjian yang dibuat.
    Yakni sama ada perjanjian dengan Allah atau sesama makhluk!
    Sesiapa yang buat sesuatu syarat, dia kena ikutinya, dengan syarat tidak menyalahi Syari’ah dan undang-undang, tidak menzalimi orang. 
    Perjanjian itu terjadi sama ada dengan mulut, isyarat (bagi orang kurang upaya) atau dengan tulisan.
    Kebanyakan akad (MOU) kita hari ini secara bertulis, maka jika dah ada buat aqad jangan batalkan. 
    Jika kita tidak, kita akan jadi seperti spesis yahudi & munafiq yang tidak lekat janji!
  1. Ayat 1- {Wahai orang-orang yang beriman…. Dihalalkan bagi kamu (memakan) binatang-binatang ternak (dan sebagainya),}-

    Allah nyatakan kepada kita halal binatang ternakan untuk dimakan. 
    Semua sekali penggunaannya- daging boleh dimakan, kulit & bulunya boleh dibuat beg, pakaian dan apa sahaja kegunaan yang memberi manfaat & kebaikan.
    Kerana itu Allah ungkit nikmat-Nya dalam ayat ini:
    {Dan binatang-binatang ternak itu, Ia juga menciptakannya untuk kamu; terdapat padanya benda-benda yang memanaskan tubuh dari sejuk dan beberapa faedah yang lain; dan daripadanya juga kamu makan.} (Al-Nahl 16:5)

    Allah SWT bawa 5 hukum dalam ayat pertama ini kemudian Allah tutupnya dengan berfirman: {Sesungguhnya Allah menetapkan hukum apa yang Ia kehendaki.}-
    Yakni Allah buat apa saja hukuman, perintah atau larangan yang Dia nak; kerja kamu sebagai hamba Allah kena taat, tunduk patuh akur & dengar kata. Kerja kamu kena taat- jika tak taat maka celakalah!
  1. Ayat 2- {Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu ingat halal membuat sesuka hati mengenai syiar-syiar agama Allah,..}-

    Allah ingatkan orang beriman agar jangan sesuka hati melanggar syiar-syiar agama Allah.
    Semua Syi’ar Allah adalah simbol ibadat yang kita wajib hormati sama ada:
    i- Tempat seperti Tanah Haram.

    ii- Masa seperti bulan haram.

    iii- Perbuatan, yakni ibadat yang Allah perintahkan.
    Maka sesiapa yang mengagungkan Syi’ar Allah, Allah kata orang itu yang ada taqwa dalam hatinya! 
    Tanda ibadat ini kita jangan main-main kerana Allah kata Dia yang menetapkannya! 

    Peringatan kepada pengendali pakej-pakej haji & umrah yang tidak menepati peraturan & undang-undang kerana ia adalah ibadat yang menjadi Syi’ar Allah, kita pergilah dengan jalan baik, hormat kepada Tanah Haram, kepada bulan Haram & ibadat yang Allah perintahkan! 

    Jika tidak ada rezeki lagi sabarlah, jangan gopoh nak cari yang murah & cepat- sehingga sanggup ikut jalan yang tidak sepatutnya, yang melanggar undang-undang pula. 

    Ingat kita nak masuk ke rumah orang pastilah dengan keizinan tuan rumah & peraturan yang dia tetapkan!
    Apatah lagi peraturan yang berkait dengan ibadat yang Allah tetapkan. 
    Jangan sehingga tercalar Syi’ar Allah, hormatilah kepada Tanah Haram, hormatlah kepada ibadat haji! Hormatilah kepada peraturan yang ditetapkan oleh tuan rumah- kita pergi haji untuk nak buat ibadat, untuk mendapatkan pahala & keredhaan Allah, maka sempurnakah ibadat kita jika telah melalui jalan yang tidak sepatutnya- melanggar banyak undang-undang Allah & manusia juga?
    Kita pergilah dengan jalan yang baik, hormat kepada Syi’ar Allah, hormat kepada peraturan & undang-undang. 
    Maka hormatlah kepada ibadat haji kerana Masjidil Haram itu ada kemuliaan & imunitinya yang tersendiri begitu juga Tanah haram Makkah keseluruhannya!
    Satu lagi jangan salah faham tentang al-Hadyu iaitu haiwan korban yang mahu disembelih di Makkah itu khas orang yang buat haji. 
    Kita yang berada di Malaysia atau di mana negara saja, yang sunatnya buat di situ. 
    Sekarang ini banyak kempen yang tidak betul iaitu kempen untuk mengadakan aqiqah & korban di Makkah sedangkan bayi itu lahir & berada di Malaysia begitu juga tuan korban!
    Ini adalah kempen yang tidak tepat dengan Sunnah!

    Yang Sunnahnya:
    i- Jika aqiqah pada hari ketujuh & di mana bayi itu berada. 

    ii- Korban pula di mana tuan kaiwan itu berada bahkan jika mampu sunat untuk sembelih sendiri, jika tak mampu berikanlah sedikit masa, korbankan masa & tenaga kita pada hari itu untuk menguruskan daging korban kita sendiri. 

    Insya’ Allah barulah dapat kita rasa Syi’ar Allah dalam ibadat aqiqah & korban.
    Bukan hanya buat secara online segalanya sehingga kita melupakan Sunnah & sunat yang sepatutnya!
  1. Ayat 2- {Dan jangan sekali-kali kebencian kamu kepada suatu kaum kerana mereka pernah menghalangi kamu dari masjid Al-Haraam itu – mendorong kamu menceroboh.}-

    Allah pesan jangan sebab sakit hati kepada orang kita tidak berlaku adil.
    Ayat ini kemuncak mendidik jiwa supaya kita jangan sakit hati kepada orang jangan dendam kepada orang. 
    Jangan dok main luka lama berdarah kembali- kita ubatinya dengan bubuh ubat, dengan menampal plaster atau kalau perlu jahit terus agar ia sembuh!
    Kira belajarlah daripada kisah Nabi Yusuf AS yang memaafkan kesalahah adik-beradiknya dan apabila berjumpa kembali dengan mereka dia berkata:
    {Yusuf berkata: “Kamu pada hari ini tidak akan ditempelak atau disalahkan (tentang perbuatan kamu yang telah terlanjur itu), semoga Allah mengampunkan dosa kamu, dan Dia lah jua Yang Maha Mengasihani daripada segala yang lain yang mengasihani.} (Yusuf 12:92) 

    Yakni Nabi Yusuf AS tidak berdendam kepada mereka, bahkan memaafkan & tidak menggungkit. 
    Nabi Yusuf telah tutup kisah lama & buka lembaran baru dengan berkata lagi:
    {Dan sesungguhnya Ia telah melimpahkan kebaikan kepadaku ketika Ia mengeluarkan daku dari penjara; dan Ia membawa kamu ke mari..} (Yusuf 12:100)

    Yakni dia tidak mengungkit dengan berkata alhamdulillah yang telah menyelamatakan aku & mengeluarkan aku dari telaga. 
    Kerana iniakan mengingatkan kembali mereka kepada perbuatan jenayah mereka dulu dan pasti akan mengeruh semula hubungan mereka. 
    Allah juga perintahkan untuk tolong-menolong dalam perkara kebaikan & taqwa serta JANGAN tolong-menolong dalam perkara keburukan & permusuhan.
    Ulama’ tasauf kata : Ayat ini ialah kaedah (التخلية والتحلية) iaitu kosongkan dulu kemudian isikan.
    Yakni kita kosongkan jiwa kita daripada dosa & maksiat seperti dendam & permusuhan lalu isi & hiaskannya dengan taqwa & kebajikan seperti tolong-menolong.

Alhamdulillah tamatlah kuliah tafsir & tadabbur ringkas untuk hari ini.
Semoga Allah anugerahkan kepada kita sifat suka mencari kebaikan & menjauhkan keburukan.
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs