View Categories

Surah Al-Ma’idah : Ayat 12

JANJI ALLAH KEPADA 12 ORANG NAQIB BANI ISRAEL, SYARATNYA MESTI TAAT & MEMBANTU NABI MEREKA.

Full video : https://youtu.be/JLO2TUf-ZBA?si=wLFIzxTMzcWgV_lc

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-Ma’idah ini dengan ayat 12.
  1. Dalam siri ini Allah SWT menceritakan tentang Allah telah ambil perjanjian dengan bani Israil & Allah suruh pilih 12 orang naqib sebagai ketua bagi memimpin setiap kumpulan masing-masing. 
  1. Kemudian Allah beri jaminan akan beri pertolongan mereka dengan syarat mereka mesti beriman serta taat & membantu Nabi mereka iaitu dalam kisah ini ialah Nabi Musa AS.
  1. Allah juga memerintahkan mereka agar mendirikan solat, serta kamu tunaikan zakat, bersedekah dan berbuat baik pada jalan-Nya.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT telah sebut tentang perjanjian yang diambil dengan orang beriman.

    ii- Dalam ayat ini Allah sebut tentang perjanjian dengan bani Israil, kenapa?
    Ini sebagai satu amaran kepada orang beriman agar kamu jangan ikut perangai orang yahudi & munafiq, yang berjanji hari ini ini esok batal, janji pagi petangnya dah batal! 
    Begitulah jahatnya perangai puak bani Israil yang keras kepala & tak dengar kata!
  1. Sebagai seorang muslim yang beriman apabila nak buat perjanjian:
    i- Kena hati-hati sebelum buat perjanjian 

    ii- Apabila berjanji kena tunaikannya jangan sewenang-wenang batalkannya kecuali ada sebab darurat yang benar-benar boleh diterima baru boleh dibatalkan.
  1. Begitulah sikap orang beriman yang tidak mudah bermain dengan janji, bukan seperti puak yahudi & nasrani atau puak munafiq di dalam masyarakat orang Islam. 
    Maka kamu jangan ikut perangai buruk mereka ini!

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.

AYAT 12- {DAN DEMI SESUNGGUHNYA! ALLAH TELAH MENGAMBIL PERJANJIAN SETIA BANI ISRAIL (SUPAYA MEREKA MENJUNJUNG PERINTAH-NYA DAN MENJAUHI LARANGANNYA), DAN KAMI TELAH UTUSKAN DARI KALANGAN MEREKA DUA BELAS KETUA (UNTUK MEMIMPIN GOLONGAN MASING-MASING); DAN ALLAH BERFIRMAN (KEPADA MEREKA): “BAHAWA AKU ADALAH BESERTA KAMU (MEMERHATI SEGALA-GALANYA).}

  1. Allah SWT menceritakan bahawa Dia telah mengambil perjanjian taat setia dengan bani Israil yang terdahulu pada zaman Nabi Musa AS dengan satu perjanjian yang cukup kuat (مِيثَـٰقَ). 
    Ini setelah mereka selamat dari ancaman Firaun. 
  1. Kemudian Allah perintahkan Nabi Musa AS untuk memilih 12 orang daripada kaum Bani Israil sebagai wakil atau ketua (naqib) iaitu setiap seorang bagi setiap kumpulan atau atau unit yang lebih kecil di kalangan mereka yang akan memimpin & memberi arahan.
    Ketua akan mendengar arahan dari Nabi kemudian menyampaikan kepada kumpulannya!
  1. Kata Ibnu Athiyah RHM : Ulama’ tafsir berbeza pendapat tentang cara Allah utuskan 12 orang ketua ini. 
    Yang penting mereka adalah sebagai wakil setiap kumpulan suku kaum dalam bani Israil itu kepada Nabi Musa AS.
  1. Dalam kitab sejarah diceritakan kronologinya dari riwayat Ibnu Ishak:
    i- Setelah bani Israil selesai menyeberangi laut dan selamat dari kekejaman Firaun yang telah mati tenggelam, Allah perintahkan mereka untuk masuk ke Baitul Maqdis, Palestin. 
    Iaitu negeri yang dijanjikan untuk mereka mendiami di situ selepas mengalahkan penduduknya.

    ii- Penghuni Baitul Maqdis pada waktu itu adalah bangsa Kan’an yang berbadan besar, gagah perkasa & ganas! 
    Allah perintahkan Nabi Musa untuk masuk dan melawan mereka, setelah mengalahkan mereka Allah janjikan negeri itu untuk mereka kuasai & diaminya! 

    iii- Kemudian Allah SWT perintahkan Nabi Musa AS untuk memilih 12 orang dari kalangan kaum Bani Israil sebagai wakil atau ketua (naqib) dan memberi jaminan kepada mereka yang berbaiah serta membantu Nabi Musa untuk masuk ke bumi Palestin & berlawan dengan musuh seperti yang telah diperintahkan akan mendapat ganjaran.

    iv- Apabila tiba dekat bumi Palestin mereka diutus untuk meninjau kedudukan musuh & Nabi Musa berpesan kepada mereka agar jangan menceritakan hasil tinjaun itu kepada sesiapa pun (dari kalangan rakyat biasa) kecuali kepada Nabi Musa AS. 

    v- Tetapi sekembalinya mereka lupa akan pesanan dan perjanjian yang telah dibuat dengan Nabi Musa & memberitahu kaum mereka akan keadaan musuh yang akan mereka lawan nanti!

    vi- Kesemua mereka memberontak & berpaling tadah tidak mahu pergi berlawan kecuali 2 orang yang tetap taat setia. 
    Yakni seramai sepuluh orang daripada 12 golongan naqib itu tidak mahu meneruskan perjalanan untuk masuk ke bumi Palestin seperti yang telah diarahkan Nabi Musa.

    Allah gambarkan mereka ini di dalam al-Quran dengan firman-Nya:
    i- Yang berpaling tadah, 10 orang ketua: 
    {Mereka menjawab: “Wahai Musa bahawasanya di negeri itu ada kaum yang gagah perkasa, dan sesungguhnya kami tidak akan memasukinya sehingga mereka keluar daripadanya; kemudian jika mereka keluar daripadanya, maka sesungguhnya kami akan masuk (ke negeri itu).”} (Surah Al-Maidah, ayat 22)

    ii- Yang setia & taat, dua orang:
    {“Berkatalah dua lelaki di antara orang yang takut (menyalahi perintah tuhan), lagi yang telah diberi nikmat (taufik) oleh Allah kepada keduanya: Seranglah mereka melalui pintu itu, kerana apabila kamu memasukinya maka sudah tentu kamulah orang yang menang; dan kepada Allah jugalah hendaklah kamu berserah (setelah kamu bertindak menyerang), jika benar kamu orang yang beriman.” (Al-Ma’idah: ayat 23)
  1. Begitulah beratnya perjuangan ini, apabila menghadapi cabaran hanya sedikit yang dapat bertahan & terus taat setia menghadapi bersama. 
    Waktu senang semua akan datang, waktu susah hanya orang yang terpilih saja akan dapat bersabar & menang! 
  1. Sedangkan Allah telah berfirman kepada mereka bahawa Dia akan bersama mereka, memerhati serta memberi bantuan & pertolongan kepada mereka. 
    Tetapi dengan syaratnya seperti dalam ayat berikut.

AYAT 12- {DEMI SESUNGGUHNYA JIKA KAMU DIRIKAN SEMBAHYANG, SERTA KAMU TUNAIKAN ZAKAT, DAN KAMU BERIMAN DENGAN SEGALA RASUL (UTUSANKU) SERTA MENOLONG BANTU MEREKA (DALAM MENEGAKKAN AGAMA ALLAH), DAN KAMU PINJAMKAN ALLAH (DENGAN SEDEKAH DAN BERBUAT BAIK PADA JALANNYA) SECARA PINJAMAN YANG BAIK (BUKAN KERANA RIAK DAN MENCARI KEUNTUNGAN DUNIA), SUDAH TENTU AKU AKAN AMPUNKAN DOSA-DOSA KAMU, DAN AKU AKAN MASUKKAN KAMU KE DALAM SYURGA YANG MENGALIR DI BAWAHNYA BEBERAPA SUNGAI.}

  1. Kemudian Allah memberi syarat kepada Bani Israil bahawa Allah akan membantu mereka dengan syarat:
    i- Dirikan sembahyang dengan sempurna & ikhlas.

    ii- Serta kamu tunaikan zakat kepada orang yang berhak menerimanya.

    iii- Dan kamu beriman dengan segala Rasul utusan Allah.
    Mesti kamu taat & mengikut semua rasul tanpa pilih-pilihnya termasuklan rasul yang terakhir iaitu Nabi Muhammad SAW.

    iv- Serta menolong bantu mereka dalam menegakkan agama Allah.

    Kamu bukan setakat beriman saja tetapi wajib membantu dan menolong rasul dalam menegakkan agama dan jika ada musuh mahu menyerang mereka. 
    Yang penting kena beri sokongan, dokongan & menghormati mereka.

    Firman Allah SWT:
    {Sesungguhnya Kami telah mengutusmu (wahai Muhammad) sebagai Rasul yang menjadi saksi (yang diterima keterangannya), dan sebagai pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman), serta pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar).
    (Kami mengutusmu wahai Muhammad) supaya engkau dan umatmu beriman kepada Allah dan RasulNya, dan supaya kamu kuatkan agamaNya serta memuliakanNya, dan supaya kamu beribadat kepadaNya pada waktu pagi dan petang.} (Al-Fath 48: 8-9)

    v- Dan kamu pinjamkan Allah dengan sedekah dan berbuat baik pada jalan-Nya secara pinjaman yang baik (bukan kerana riak dan mencari keuntungan dunia.
    Yakni kita bersedekah pada fi-sabilillah dengan ikhlas, jangan mengungkit, bukan dengan riya’ nak menunjuk-nunjuk kepada orang atau mencari keuntungan dunia & mendapat nama kemasyhuran.
  1. Ayat ini bukan hanya untuk yahudi bahkan untuk kita semua juga, jika kita bersedekah hendaklah ikhlas kerana Allah SWT, bila kita sedekah dengan benar, sedekah dengan niat nak tolong orang lillah Taala bukan dengan niat selain daripada itu, barulah selamat. 
    Jika tidak nanya rugi pahala!
  1. Jika cukup 5 syarat ini selain dari dapat pertolongan Allah & kemenangan, untuk diri kamu sendiri pula:
    i- Sudah tentu Aku akan ampunkan dosa-dosa kamu,

    ii- Dan Aku akan masukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai.
  1. Inilah syarat bagi ahli kitab & bagi kita semua umat Islam untuk mendapat pertolongan Allah & kemenangan atas dunia ini juga balasan syurga di Akhirat kelak!

AYAT 12- {OLEH ITU, SESIAPA YANG KUFUR INGKAR DI ANTARA KAMU SESUDAH YANG DEMIKIAN, MAKA SESUNGGUHNYA SESATLAH IA DARI JALAN YANG BETUL.”} (AL-MAAIDAH 5:12)

  1. Tetapi Allah beri amaran juga, sesiapa yang lawan siapa yang keras kepala tak dengar kata, dia janji dia batal, dia kufur & ingkar, maka dia telah tersesat dari jalan yang benar, jalan yang diperintahkan Allah! 
    Kita minta memohon perlindungan dari Allah SWT daripada tersesat di tengah jalan, dari jalan yang benar! 
    Hanya Allah yang dapat membantu kita dalam menghadapi ujian yang begitu gawat dalam kehidupan seharian!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 12- {Dan demi sesungguhnya! Allah telah mengambil perjanjian setia Bani Israil (supaya mereka menjunjung perintahNya dan menjauhi laranganNya),}-

    Allah nyatakan bahawa Dia telah mengambil perjanjian dengan bani Israil.
    Dalam ayat ini Allah gunakan uslub ta’kid, {وَلَقَدْ أَخَذَ ٱللَّهُ}- demi sesungguhnya Allah telah mengambil perjanjian, ini menunjukkan bahawa:
    i- Ia adalah satu perjanjian yang besar, tegas & bersungguh-sungguh dan serius, bukan perjanjian main-main.

    ii- Allah guna namanya sendiri { ۞ وَلَقَدْ أَخَذَ ٱللَّهُ demi sesungguhnya Allah telah mengambil }- bukan kata ganti nama Kami (أخذنا) yang biasanya tetapi Allah zahirkan nama-Nya yang tinggi.

    Ini menunjukkan betapa Allah sendiri yang ambil perjanjian itu, tiada siapa yang boleh takwil sebaliknya.
    Ia juga untuk menanamkan dalam jiwa orang beriman rasa gerun, takut dan jangan main-main dalam perjanjian. 
    Ini adalah satu tarbiyah didikan kepada orang beriman untuk rasa takut & gerun kepada Allah dalam apa jua keadaan.
    Kita pun didiklah anak-anak kita agar sentiasa rasa, takut gerun apabila belajar & memahami nama-nama Allah yang mulia!
  1. Ayat 12- {dan Kami telah utuskan dari kalangan mereka dua belas ketua (untuk memimpin golongan masing-masing);}-

    Dua belas orang ketua (naqib) telah dipilih dari kalangan bani Israil dengan lantik wakil setiap kumpuan.
    Kata ulama’ tadabbur : Ayat ini menunjukkan bahawa harus atas manusia dalam mana-mana kumpulan untuk ada & melantik seorang ketua; sama ada dalam kelas, bilik darjah, kampung, daerah, bandar, komuniti masyarakat, perumahan dan seumpamanya. 
    Padahal jika Allah nak satukan semua kaum bani Israil di bawah kepimpinan tertinggi Nabi Musa boleh aje, tetapi kenapa Allah suruh Nabi Musa pilih 12 orang sebagai wakil ketua lagi.
    Ini untuk memecahkan unit kepada yang lebih kecil supaya lebih mudah untuk mengawal, berinteraksi dan menyampaikan arahan & perintah. Perlantikan ini amat penting.
    Tetapi ingat jika orang terlalu meminta & nakkan jawatan jangan diberi kerana Rasulullah SAW sendiri telah melarangnya!
    Jika seseorang dilantik menjadi pemimpin tanpa meminta Allah akan tolongnya tetapi jika dia terlalu tamak berkehendakkan jawatan sebaliknya akan berlaku!
    Kemudian {dan Allah berfirman (kepada mereka): “Bahawa Aku adalah beserta kamu (memerhati segala-galanya)}- maksudnya bersama ini bukan Allah duduk sekali bersama mereka secara fizikal, bersama di sini ialah ialah bahawa Allah akan menolong, meyokong & membantu perjuangan mereka.
    Untuk mendapat pertolongan & kasih-sayang ini pastilah ada syaratnya sebagaimana dalam ayat berikut.
  1. Ayat 12- { Demi sesungguhnya jika kamu dirikan sembahyang, serta kamu tunaikan zakat,..}-

    Syarat untuk mendapatkan kemenangan ini ialah dengan mendirikan solat & tunaikan zakat.
    Kamu kena tunaikan solat dengan usulnya yang betul, dengan sempurna & jaga waktunya, khusyuk dan buat segala yang rukun & sunat. Supaya kita betul-betul dekat dengan Allah SWT, ini kerana solat ini adalah tali perhubungan antara seorang hamba dengan Tuhannya!
    Kata ulama’ yang buat analisa : Pada waktu nak berhijrah Rasulullah SAW ditemani oleh Abu Bakar RA. Tetapi pada waktu Isra’ & Mikraj, apabila mahu menerima fardhu solat, Allah mengangkat Baginda seorang sahaja ke langit. 

    Ini menunjukkan bahawa solat itu adalah senang & mudah untuk diterima & diamalkan. 
    Allah SWT juga sebut untuk tunaikan zakat. 
    Ini adalah zakat harta, infaq yang kena dikeluarkan harta. 
    Solat pula adalah zakat untuk badan, tanpa perlu membayar harta. 

    Dari ayat ini kita dapat faham bahawa zakat & solat juga telah difardhukan kepada umat terdahulu cuma berapa & bagaimana caranya Allah tidak jelaskan & tidak perlu kita mengorek mencari detailnya!
    Ayat ini juga menunjukkan kepentingan zakat yang sentiasa dikembarkan dengan solat, jika zakat untuk mencuci harta, solat adalah zakat untuk membersihkan badan & waktu kita.
  1. Ayat 12- {dan kamu beriman dengan segala Rasul (utusanku) serta menolong bantu mereka (dalam menegakkan agama Allah),}-

    Wajib beriman dengan rasul serta menolong mereka dalam dakwah menegakkan agama Allah!
    Kamu hendaklah membela & menyokong Rasulullah SAW secara fizikal dan dalam perjuangan dakwahnya!
    i- Ketika Nabi SAW masih hidup orang Islam iaitu para sahabat kena jaga & pertahankan Baginda SAW secara fizikal.

    ii- Manakala selepas kewafatan Nabi SAW kita kena mempertahankan Nabi mempertahankan Sunnah Baginda SAW. Wajib kita hidupkan Sunnah & hapuskan bid’ah dengan mengikut & mengamalkan ajaran Nabi yang sahih! 
    Biarlah kita dihina dikecam.
    Kemudian Allah juga kata: {dan kamu pinjamkan Allah (dengan sedekah dan berbuat baik pada jalanNya) secara pinjaman yang baik}-
    Yakni selepas arahan untuk menyokong & membela Rasulullah SAW Allah bawa arahan untuk bersedeqah & infaq fi-sabilillah.  
    Kenapa?
    Kita diarah untuk bantu Nabi SAW semasa hidupnya & teruskan dakwahnya selepas kewafatannya.
    Tetapi gerakan dakwah tidak akan berjalan tanpa bajet, ia memerlukan belanja & pengorbanan maka Allah sebut di sini {وَأَقْرَضْتُمُ ٱللَّهَ}.
    Masya’ Allah mengajilah al-Quran kita akan nampak hikmahnya.

    Kemudian Allah tidak kata berilah infaq (sedekah) tetapi berilah hutang kepada Allah {وَأَقْرَضْتُمُ ٱللَّهَ}- ini kerana hutang wajib dibayar.
    Allah kata kamu berilah sedekah itu sebagai hutang kepada Aku, pasti Aku bayar baliknya dengan pahala yang berganda-ganda. 
    Jangan runsing, ini kerana hutang wajib dibayar walaupun tidak dituntut!
    Tetapi datang puak yahudi yang bingung dikatakan pula Tuhan miskin sehingga terpaksa minta hutang dengan manusia! Allahu al-Musta’an.
    Ia hanyalah dalam bentuk analogi bahasa, kamu beri sedekah jangan bimbang Allah akan bayarnya seoalah satu hutang yang wajib!
  1. Ayat 12- {sudah tentu Aku akan ampunkan dosa-dosa kamu, dan Aku akan masukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai..}-

    Allah akan hapuskan dosa kamu dulu lalu akan dimasukkan ke dalam syurga!
    Kerana itu orang yang beriman di Akhirat kelak akan dibersihkan dari segala dosa & hutang tidak akan masuk syurga lagi sebelum bersih dari segala dosa & tanggungjawab! 
    Iaitu di Qantarah. Suatu tempat antara syurga & sirat sebagai stesen pembersihan khas untuk orang mukmin. Tidak akan masuk syurga selagi tidak bersih dari segala dosa.

    Kerana itu kata ulama’ tasauf : التّخلية والتّحلية
    i- Takhliyah (لتّخلية) adalah mengosongkan diri dari akhlak dan sifat-sifat yang buruk.

    ii- Tahliyah (التّحلية) adalah menghiasi diri dengan perilaku yang terpuji.
    Yakni kita kena kosongkan dulu hati & jiwa dari segala kesalahan & kekotoran barulah boleh diisi & dihiasi dengan segala akhlak & amalan yang baik & elok.
    Ya Allah jadikan kami semua dari ahli syurga, yang Allah selamatkan di Titian Sirat, selesai keadilan di Qantarah dengan masa yang cepat & hisab yang mudah. 

    Syurga ini ada nikmat untuk kedua-dua mental & fizikal. 
    Kerana itu Allah sebut beberapa sifatnya supaya kita nampak betapa indahnya. 
    Begitu juga azab dalam neraka!
    Akhirnya di akhir ayat Allah beri amaran; Jika kamu masih ingkar, tidak mahu taat kepada Rasul maka itulah orang yang sesat! 
    Siapakah mereka itu, kita akan lihat dalam ayat seterusnya insya’ Allah! 

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran. 
Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs