BEBERAPA JENIS MAKANAN YANG HARAM DIMAKAN, AGAMA TELAH SEMPURNA & HUKUM KEADAAN DARURAT.
Full video : https://youtu.be/jdaYoJ_LV-4?si=oE42E1r9DFV9LYov
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-Ma’idah ini dengan satu ayat sahaja iaitu ayat 3.
- Dalam siri ini Allah SWT menceritakan tentang beberapa jenis makanan yang haram dimakan bagi orang Islam.
Ayat ini menyebut 10 perkara yang diharamkan.
- Allah juga nyatakan agama telah sempurna, bahawa Islam telah lengkap pada hari itu iaitu hari Rasulullah SAW pergi Haji.
Walaupun ada lagi ayat al-Quran yang turun selepas itu tetapi rukun Islamnya telah lengkap jangan lagi kamu pandai-pandai nak tambah atau kuranginya.
- Kemudian Allah bagi kelonggaran, iaitu hukum dalam keadaan darurat harus & boleh untuk buat perkara yang haram dalam waktu kebiasaannya. (الضرورات تبيح المحظورات.)
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang perkara yang dihalalkan kepada manusia iaitu haiwan ternakan dan lain-lain KECUALI apa yang Allah nyatakan haram dalam ayat akan datang.
ii- Maka inilah ayatnya.
Ayat ini datang membawa penjelasan apakah perkara atau makanan yang diharamkan itu.
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.
AYAT 3- {DIHARAMKAN KEPADA KAMU (MEMAKAN) BANGKAI (BINATANG YANG TIDAK DISEMBELIH), DAN DARAH (YANG KELUAR MENGALIR), DAN DAGING BABI (TERMASUK SEMUANYA), DAN BINATANG-BINATANG YANG DISEMBELIH KERANA YANG LAIN DARI ALLAH, DAN YANG MATI TERCEKIK, DAN YANG MATI DIPUKUL, DAN YANG MATI JATUH DARI TEMPAT YANG TINGGI, DAN YANG MATI DITANDUK, DAN YANG MATI DIMAKAN BINATANG BUAS, KECUALI YANG SEMPAT KAMU SEMBELIH (SEBELUM HABIS NYAWANYA), DAN YANG DISEMBELIH ATAS NAMA BERHALA; DAN (DIHARAMKAN JUGA) KAMU MERENUNG NASIB DENGAN UNDI BATANG-BATANG ANAK PANAH. YANG DEMIKIAN ITU ADALAH PERBUATAN FASIK.} (AL-MAAIDAH 5:3)
- Dalam ayat ini Allah bawa 10 perkara yang diharamkan iaitu:
PERTAMA : Memakan bangkai (ٱلْمَيْتَةُ)- iaitu binatang yang asalnya halal dimakan tetapi mati tanpa sempat disembelih mengikut Syari’ah atau mati bukan sebab perburuan. Berburu- seperti mati ditembak dengan bacaan Bismillah juga halal.
- KEDUA : darah yang mengalir (وَٱلدَّمُ) sama ada yang ditadah dari haiwan yang dipukul atau disembelih, atau ditarik darahnya keluar atau macamana sekalipun adalah haram.
Puak kafir yang makan darah ini kata ianya lazat!
i- Hukum ini Allah nyatakan juga dalam firman-Nya ini:
{Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi, kerana sesungguhnya ia adalah kotor, atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain dari Allah”. Kemudian sesiapa yang terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak melampaui batas, maka sesungguhnya Tuhan mu Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.} (Al-An’aam 6:145)
ii- Hadis- عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا: قَالَ: قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أُحِلَّتْ لَنَا مَيْتَتان ودَمَّان، فأمَّا الْمَيْتَتان فالحوت وَالْجَرَادَ، وَأَمَّا الدَّمَّانِ فَالْكِبْدَ وَالطَّحَالَ.
“Dari Ibnu Umar RA dia berkata, Rasulullah SAW bersabda, “Dihalalkan bagi kami dua bangkai dan dua darah. Dua bangkai yaitu belalang dan ikan. Adapun dua darah iaitu hati dan limpa.” [HR Ahmad dan Ibnu Majah].
Adapun darah yang duduk dalam daging atau yang telekat dicelah-celah tulang. Ia adalah sesuatu yang dimaafkan jangan terlampau sehingga jadi was-was pula.
FAKTA : Ia diharamkan kerana darah itu adalah darah yang telah rosak.
Di Jepun yang sebelum ini mematikan binatangnya dengan cara lain setelah mendapati daging sembelihan secara Islam lebih bersih & baik dari segi kesihatan serta daging nya lebih lazat, mula beralih kepada sembelihan secara Islam serta mendapat permintaan yang tinggi.
Ini menunjukkan betapa Syari’ah dari Allah SWT mengatasi segala kecanggihan hatta teknologi Jepun yang terkenal di seluruh dunia.
Alhamdulillah atas nikmat Islam ini!
- YANG KETIGA : Babi dan semua komponennya (وَلَحْمُ ٱلْخِنزِيرِ)- babi jinak yang dipelihara atau yang liar; daging, kulit, lemak, bulu dan semua yang zahir & batinnya.
Yang pasti semua seekor babi itu haram.
i- Tetapi ujian kepada kita orang Islam, babi yang haram itu banyak pula kegunaannya- hatta dalam bidang perubatan.
ii- Kita orang Islam tunggulah fatwa dari Majlis Fatwa untuk mengeluarkan hukumnya- jangan kita pandai-pandai menolak atau mempertikaikannya jika di situ ada keuzuran.
iii- Allah nak beri pahala yang besar ke atas para ulama’ ini untuk mengkaji & berfatwa mengeluarkan hukum untuk ummah.
- Binatang-binatang yang disembelih selain daripada nama Allah (وَمَآ أُهِلَّ لِغَيْرِ ٱللَّهِ بِهِ)
Seperti sembelihan untuk berhala, untuk kubur atau tokok-tokoh Syeikh & wali yang dipuja mereka, semuanya haram.
- Binatang yang mati tercekik (وَٱلْمُنْخَنِقَةُ) seperti kambing yang lekat dicelah pagar atau kelemasan dalam plastik.
- Binatang yang mati dipukul (وَٱلْمَوْقُوذَةُ) dengan sesuatu yang tumpul atau yang dilanggar oleh kenderaan, lalu mati tanpa sempat disembelih. Mati sebab pukulan atau pertembungan itu!
i- Hadis- boleh hantar anjing terlatih atau helang terlatih untuk tangkap.
Sabda Rasulullah SAW kepada sahabat yang bertanya: وَمَا صِدْتَ بِكَلْبِكَ المــُعَلَّمِ، فَذَكَرْتَ اسْمَ اللَّهِ فَكُلْ، وَمَا صِدْتَ بِكَلْبِكَ غَيْرِ مُعَلَّمٍ فَأَدْرَكْتَ ذَكَاتَهُ فَكُلْ
Apa sahaja (haiwan buruan) yang kamu buru menggunakan anjingmu yang terlatih dan kamu telah sebutkan nama Allah, maka makanlah. Dan apa sahaja (haiwan buruan) yang kamu buru menggunakan anjing kamu yang tidak terlatih serta kamu sempat menyembelihnya (haiwan buruan tersebut), maka makanlah. [HR al-Bukhari (5478)].
ii- Hadis riwayat dari ‘Adi bin Hatim RA katanya : Aku bertanya kepada Rasulullah SAW tentang hukum memburu dengan menggunakan al-Mi‘radh. Lalu Baginda bersabda: إِذَا أَصَبْتَ بِحَدِّهِ فَكُلْ، فَإِذَا أَصَابَ بِعَرْضِهِ فَقَتَلَ فَإِنَّهُ وَقِيذٌ فَلاَ تَأْكُلْ Maksudnya: “Sekiranya kamu memperolehi (binatang buruan tersebut) dengan bahagiannya yang tajam (yakni yang terkena pada haiwan itu), maka makanlah ia. Tetapi sekiranya ia mengenai haiwan buruan itu dengan sisinya (yang tumpul) lalu membunuhnya, maka sesungguhnya ia ialah waqiz. Oleh itu, janganlah kamu makan.” [HR al-Bukhari (5476)].
Miradh : Kayu yang bahagian atasnya seperti tangkai pisau dan lain-lain.
Waqiz : Haiwan yang dihukum sebagai bangkai kerana telah dibunuh bukan dengan menggunakan senjata yang tajam, tetapi yang dipukul sehingga mati.
- Binatang yang mati jatuh dari tempat yang tinggi (وَٱلْمُتَرَدِّيَةُ), tidak kira dari atas bukit, pokok atau dari mana saja- asal mati sebab jatuh.
- Binatang yang mati ditanduk (ٱلنَّطِيحَةُ), mungkin berbalah sesama sendiri lalu kena tanduk sehingga mati.
- Binatang yang mati dimakan binatang buas (وَمَآ أَكَلَ ٱلسَّبُعُ إِلَّا مَا ذَكَّيْتُمْ), kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya).
Kita jumpa haiwan perburuan yang telah dibunuh oleh bintang buas seperti harimau singa atau apa saja haram!
Kecuali masih hidup molek & kita sempat sembelihnya- boleh makan.
- Binatang yang disembelih atas nama berhala (مَا ذُبِحَ عَلَى ٱلنُّصُبِ) :
Haram kita makan binatang yang disembelih untuk berhala walaupun orang Islam yang sembelihnya!
Orang Islam jangan jadi tali barut kepada orang kafir dalam sembahan sesat mereka!
- Tambahan selain makanan : Dan diharamkan juga kamu menilik nasib dengan undi batang-batang anak panah (وَأَن تَسْتَقْسِمُوا۟ بِٱلْأَزْلَـٰمِ ).
Kenapa tiba-tiba ada larangan tentang tilik nasib ini?
Ini kerana puak jahiliyyah ini sinonim dengan anak panah.
Dengan batang anak panah itu jugalah yang digunakan untuk memburu atau membunuh haiwan yang mahu dimakan itu!
Tilik nasib ini haram seperti perbuatan JUDI yang diharamkan juga!
Sama juga dengan mainan tikam nasib dikedai-kedai runcit, yang mana dijual kepada kanak-kanak, ia termasuk dalam judi yang diharamkan!
Pihak berkuasa pelru ambil tindakan ke atas peniaga-peniaga Islam yang tidak faham ini- kerana anak-anak orang Islam akan menganggapnya satu benda biasa & boleh dilakukan!
- Kemudian Allah nyatakan semua itu diharamkan kerana: Yang demikian itu adalah perbuatan fasik maka jangan kamu langgari hukumnya!
AYAT 3- {PADA HARI INI, ORANG-ORANG KAFIR TELAH PUTUS ASA (DARIPADA MEMESONGKAN KAMU) DARI AGAMA KAMU (SETELAH MEREKA MELIHAT PERKEMBANGAN ISLAM DAN UMATNYA). SEBAB ITU JANGANLAH KAMU TAKUT DAN GENTAR KEPADA MEREKA, SEBALIKNYA HENDAKLAH KAMU TAKUT DAN GENTAR KEPADAKU.PADA HARI INI, AKU TELAH SEMPURNAKAN BAGI KAMU AGAMA KAMU, DAN AKU TELAH CUKUPKAN NIKMAT-KU KEPADA KAMU, DAN AKU TELAH REDHAKAN ISLAM ITU MENJADI AGAMA UNTUK KAMU.} (AL-MAAIDAH 5:3)
- Allah nyatakan pada hari ini, iaitu pada hari Arafah Haji Akbar. Haji Wada’ yang dihadiri oleh Rasulullah SAW bersama lebih seratus ribu umat Islam- menjadikan orang kafir telah putus asa daripada memesongkan orang Islam dari agama mereka setelah mereka melihat perkembangan Islam dan umatnya.
- Maka Allah beri peringatan agar kamu orang Islam jangan lagi berasa lemah, lalu takut & gentar akan orang kafir sebaliknya hendaklah kamu takut dan gentar kepada Allah SWT.
- Dalam ayat ini Allah beri jaminan seolah sijil yang pertama {Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu} iaitu:
i- Kamu sekarang berada di Makkah, mengerjakan Haji rukun Islam yang kelima, kamu pula menuju ke Arafah, Haji adalah Arafah; maka sempurnalah ibadat kamu, sempurna sudah rukun Islam kamu, maka sempurnalah agama kamu!
ii- Sebelum ini orang kafir datang ke Makkah untuk mengerjakan Haji tetapi selepas itu tidak boleh masuk lagi maka sempurnalah agama ini. Ibadat haji, Ka’bah & Kita Makkah hanya untuk orang Islam.
iii- Ulama’ kata ia juga membawa maksud, sempurna sudah perjalanan agama Islam ini walaupun masih ada lagi ayat al-Quran yang turun selepas itu tetapi ia telah lengkap & sempurna pada asasnya. Sempurna sudah ibadat.
iv- Sempurna agama ini kerana perjalanan ibadat haji telah kembali kepada paksi sebagaimana ajaran Nabi Ibrahim AS yang dulu.
- Allah juga nyatakan bahawa Dia telah sempurnakan nikmat-Nya ke atas kamu dengan beri kemenangan ke atas musyrikin, Allah keluarkan semua orang kafir dari Makkah!
Serta Allah jamin umat Islam di kalangan sahabat itu tidak akan murtad kembali menjadi kafir!
Adapun orang lain selain daripada mereka tiada jaminan ini, kerana Nabi SAW telah pada akhir zaman akan masuk semula berhala ke Semenanjung Tanah Arab.
Inilah antara alamat Kiamat yang meresahkan jiwa & menyakitkan dada.
- Tentang ayat ini {dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu}- kata ulama’:
i- Kata Ibnu Rajab RHM : Kita dapat nikmat dengan diampunkan oleh Allah SWT akan segala dosanya.
Pada hari Haji, hari Arafah betapa ramai hamba Allah yang dibebaskan daripada api neraka.
ii- Nikmat Islam tersebar ke seluruh dunia,
iii- Nikmat kesatuan ummah dan lain-lain.
- Sijil yang ketiga Allah anugerahkan: {dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.}.
Maka jangan sesekali kita kata : Semua agama itu sama, Islam sama saja dengan agama lain- tidak sesekali!
Hanya agama Islam yang Allah terima & redha akannya!
- Hadis : Seorang yahudi pergi berjumpa Sayyidina Umar RA dan berkata:
Wahai Amirul Mukminin, ada SATU AYAT yang kamu baca di dalam Al-Quran, jika ayat tersebut itu diturunkan kepada kami Yahudi, nesaya kami akan menjadikan hari tu sebagai HARI RAYA. Umar RA berkata: Ayat yang mana? Yahudi itu berkata: اليوم أكملت لكم دينكم وأتممت عليكم نعمتي ورضيت لكم الإسلام دينا. Pada hari ini AKU telah SEMPURNAKAN AGAMA kamu, dan AKU telah LENGKAPKAN NIKMAT-KU, dan AKU telah REDHA ISLAM sebagai AGAMA. [Al-Maidah:3] Umar RA berkata: Kami mengetahui hari dan tempat turunnya ayat tersebut kepada Nabi SAW. Ia turun ketika baginda berada di ARAFAH pada hari Jumaat. [Muttafaqun Alaih]
- Kita selaku manusia terpilih yang beragama Islam ini, berpegang teguhlah dengan agama Islam yang telah diredhai dan disempurnakan oleh Allah SWT kepada Rasulullah semenjak 1436 tahun yang lalu.
Agama Islam telah sempurna. Kita kena ingat & yakin bahawa sesuatu kepercayaan atau amalan (ibadat) yang bukan daripada agama Islam 1436 tahun yang lalu, maka ia bukan daripada agama Islam pada hari ini.
- Kita umat Islam juga bukan umat yang berpesta dengan tarikh seperti yahudi & nasrani, kita umat yang melaksanakan ibadat & perintah Allah SWT.
Kita jangan ikut perangai mereka, kita ikut ajaran Nabi SAW bukan dok berpesta ikut setiap munasabah & birthday!
AYAT 3- {MAKA SESIAPA YANG TERPAKSA KERANA KELAPARAN (MEMAKAN BENDA-BENDA YANG DIHARAMKAN) SEDANG IA TIDAK CENDERUNG HENDAK MELAKUKAN DOSA (MAKA BOLEHLAH IA MEMAKANNYA), KERANA SESUNGGUHNYA ALLAH MAHA PENGAMPUN, LAGI MAHA MENGASIHANI.} (AL-MAAIDAH 5:3)
- Ayat ini juga membawa hukum seseorang yang dalam keadaan darurat:
i- Seperti orang yang kelaparan tersesat di dalam hutan & tiada makanan lain yang boleh dimakan kecuali makanan yang haram seperti bangkai atau babi;
ii- Atau seperti orang sakit terpaksa menggunakan kaedah perubatan atau ubat dari sumber yang tidak halal seperti babi; jika tidak buat mungkin akan mati dan seumpamanya.
Maka dibolehkan dia memakannya atau menggunakannya kerana terdesak atau darurat!
Tetapi jangan makan banyak, makan sekadar keperluan untuk menghilangkan lapar.
- Ini kerana Allah SWT Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Pastilah diberi kelonggaran kepada hamba-Nya yang dalam keadaan terdesak & darurat yang boleh mengancam nyawa mereka.
Memandangkan waktu sudah lewat, kita berhenti dulu kuliah tafsir untuk hari ini dan Insya’ Allah kita sambung esok untuk mencari lima faedah dari ayat ini.
Ini kerana kita tidak boleh hanya melaluinya dengan tergesa-gesa kerana banyak sekali fawaid yang dapat kita korek & kutip daripada ayat yang mulia ini yang kita laluinya dengan kefahaman & ketenangan.
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.