SAMBUNGAN PENJELASAN BEBERAPA JENIS MAKANAN YANG HARAM DIMAKAN & 5 FAEDAH DARI TADABBUR AYAT INI.
Full video : https://youtu.be/aw9FIqr1vdA?si=eqDRSXbc0Ct16mZk
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-Ma’idah ini dengan ayat 3, surah kelima, dalam juzu’ yang keenam.
- Siri pagi ini ialah sambungan penjelasan beberapa jenis makanan yang haram dimakan dalam ayat yang telah dibaca kemarin.
- Dalam ayat ini Allah nyatakan hukum tentang haiwan yang asalnya halal tetapi menjadi haram dimakan dengan 10 sebab ini.
- Kemudian kita akan mencari 5 faedah dari tadabbur ayat ini.
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 3- {DIHARAMKAN KEPADA KAMU (MEMAKAN) BANGKAI (BINATANG YANG TIDAK DISEMBELIH), DAN DARAH (YANG KELUAR MENGALIR), DAN DAGING BABI (TERMASUK SEMUANYA), DAN BINATANG-BINATANG YANG DISEMBELIH KERANA YANG LAIN DARI ALLAH, DAN YANG MATI TERCEKIK, DAN YANG MATI DIPUKUL, DAN YANG MATI JATUH DARI TEMPAT YANG TINGGI, DAN YANG MATI DITANDUK, DAN YANG MATI DIMAKAN BINATANG BUAS, KECUALI YANG SEMPAT KAMU SEMBELIH (SEBELUM HABIS NYAWANYA) DAN YANG DISEMBELIH ATAS NAMA BERHALA; DAN (DIHARAMKAN JUGA) KAMU MERENUNG NASIB DENGAN UNDI BATANG-BATANG ANAK PANAH. YANG DEMIKIAN ITU ADALAH PERBUATAN FASIK.} (AL-MAAIDAH 5:3)
- Allah nyatakan tentang perkara yang haram dimakan dalam ayat ini iaitu binatang yang asalnya halal tetapi jika terjadi keadaan ini ia menjadi haram.
- Iaitu terdapat 10 jenisnya- haram bersebab kecuali babi yang haram dari asalnya (haram zatnya sendiri):
i- Bangkai, binatang halal yang mati tidak disembelih.
ii- Dan darah (yang keluar mengalir),
iii- Dan daging babi (termasuk semuanya tubuhnya),
iv- Dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah,
v- Dan yang mati tercekik,
vi- Dan yang mati dipukul,
vii- Dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi,
viii- Dan yang mati ditanduk,
ix- Dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya)
x- Dan yang disembelih atas nama berhala.
- Kemudian Allah nyatakan diharamkan juga kamu merenung nasib dengan undi batang-batang anak panah.
Iaitu tilik nasib dengan anak panah, campakkan kayu, dengan dadu atau seperti baca tapak tangan & wajah dan seumpamanya, semuanya Allah SWT haramkan.
- Kemudian Allah nyatakan semua perkara ini adalah perkara yang tidak baik & adalah perbuatan fasiq {Yang demikian itu adalah perbuatan fasiq}.
Fasiq ertinya keluar dari ketaatan kepada Allah beralih kepada ketaatan kepada syaitan.
- Kita bincangkan secara lebih terperinci tentang maksudnya larangan Allah yang ketiga dalam ayat ini: {dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, وَمَآ أُهِلَّ لِغَيْرِ ٱللَّهِ بِهِۦ}
i- Haiwan yang memang disembelih untuk benda lain yang dipuja itu, atas namanya, yang disembelih kerana lain dari Allah, tidak menyebut nama Allah sebaliknya nama si-fulan, maka binatang itu haram dimakan.
ii- Atau secara berkongsi- sebut nama Allah tetapi sebut juga nama lain yang dituju sama ada nama berhala atau wali-wali Syeikh yang dipuja puji itu!
- Kenapa tidak boleh?
Jawapannya:
i- Ini kerana amalan sembelih haiwan ini termasuk dalam ibadat, dalam Syi’ar agama Allah.
Amalan sembelih termasuk dalam ibadah, seperti bila dapat anak. Sembelih aqiqah, ibadat korban pada hari Raya Haji atau sembelih dam bagi orang yang mengerjakan Haji, maka hendaklah dengan nama Allah.
Lalu adalah haram untuk membesarkan yang lain selain daripada Allah SWT.
ii- Atau meniru perbuatan orang kafir yang sembelih dengan nama berhala atau dewa yang mereka sembah/puja itu untuk mendekatkan diri kepada benda itu!
iii- Kerana itulah Islam mengharamkan sembelihan yang disebut bukan dengan nama Allah semata-mata.
- Kemudian tentang larangan Allah yang kesepuluh ini: {dan yang disembelih atas nama berhala- وَمَا ذُبِحَ عَلَى ٱلنُّصُبِ}-
i- Nusub ini ialah batu-batu sembahan yang diletak disekeliling Ka’bah pada masa jahiliyyah, dikatakan terdapat 360 batu begini disekitar Ka’bah pada waktu itu.
ii- Jadi puak Arab jahiliyyah ini datang menyembelih haiwan korban mereka dekat batu-batu ini, darahnya dicurah atas batu itu manakala dagingnya dihiris & dijemur atas batu itu juga.
Mereka buat untuk mendekatkan diri kepada berhala-berhala besar lain yang mereka agungkan.
Berhala-berhala itu seperti Al-Latta, Al-Uzza dan Manah dan lain-lain ‘tuhan’ utama terletak di luar Masjidil Haram, biasanya di atas bukit yang tinggi.
- Apa beza antara (ٱلنُّصُبِ), (الأوثان) & (الأصنام)?
i- Nusub- (ٱلنُّصُبِ) batu yang dianggap mulia tetapi tidak diukir atau lukis apa, masih dalam bentuknya yang asal.
ii- Manakala (الأوثان) batu berhala adalah batu yang diukir menjadi patung sembahan yang ada bentuk sama ada bentuk manusia atau haiwan.
iii- Manakala (الأصنام) ialah berhala ukiran juga tetapi daripada bahan lain selain daripada batu sama ada kayu, pokok, emas ,perak dan seumpamanya.
Kesemuanya dikira berhala atau sembahan yang syirik.
- Maka Allah SWT mengharamkan orang mukmin sembelih dekat batu & haiwan yang disembelih dekat batu ini atau dekat berhala adalah haram untuk dimakan.
Begitu juga orang Islam yang menyembelih haiwan dekat kubur atau batu nisan, janganlah dibuat kerana perbuatan itu menyerupai amalan orang kafir & perbuatan syirik!
- Manakala perbezaan antara larangan no.3 {dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, – وَمَآ أُهِلَّ لِغَيْرِ ٱللَّهِ بِهِۦ} & no.10 {dan yang disembelih atas nama berhala – وَمَا ذُبِحَ عَلَى ٱلنُّصُبِ} pula ialah:
i- Masyarakat jahiliyyah dahulunya sering menyembelih haiwan-haiwan atas nama berhala-berhala itu ataupun di sisinya dengan tujuan untuk mendekatkan diri kepada tuhan-tuhan mereka dan berhala-berhala mereka.
ii- Perbezaan di antara keduanya ialah:
a) Haiwan yang disembelih bukan kerana Allah SWT itu, kemungkinan ia disembelih untuk salah satu berhala daripada berhala-berhala yang jauh daripadanya dan daripada berhala tersebut, serta disebutkan ketika sembelihan haiwan tersebut nama taghut atau fulan yang dipuja itu.
b) Manakala haiwan yang disembelih atas nama berhala itu sendiri pula, mesti disembelih atas batu (yakni berhala) tersebut atau di sisinya, dan tidak semestinya ketika sembelihan itu disebut dengan nama selain nama Allah SWT lagi kerana perbuatan mereka sudah jelas- sembelih untuk batu/berhala itu bukan untuk Allah.
- Sebuah kisah yang pernah disebut oleh Syeikh Yusuf al-Qardawi RHM semasa beliau masih kecil dan berada di Mesir.
i- Terdapat sebuah kubur wali dekat rumahnya yang dikunjungi orang ramai sepanjang tahun sambil bawa haiwan korban seperti kambing & menyembelihnya dekat kubur itu untuk nazar & memohon hajat mereka.
ii- Tetapi pada hari Raya Haji, sunyi tiada orang kampung itu atau sekitarnya yang sembelih haiwan atau berkoban sempena Aidil Adha. Lalu dia pergi berjumpa dengan tok Syeikh atau tok gurunya di situ mengadu agar mengempen orang ramai untuk menghidupkan Sunnah korban.
iii- Tok gurunya memarahinya dengan mengatakan apakah kamu tidak tahu bahawa orang kampung kita ini miskin tidak mampu untuk berkorban.
Apabila Dr Yusuf ingatkan tentang korban yang dilakukan dekat kubur itu sebelum ini menyebabkan dia kena marah & dihalau keluar dari kelas!
Baca kisah penuh di: https://www.facebook.com/photo?fbid=638782756293077&set=a.480550092116345
- Kita sekarang ini pun berhati-hatilah kerana perbuatan memuja kubur dan memberi haiwan korban kepada benda-benda yang dipuja seperti kubur memang telah berlaku lama dulu lagi di negara kita & masih berlaku sehingga ke hari ini walaupun tidak berleluasa.
Kerana itulah kita nak beri kefahaman kepada masyarakat akan bahayannya perkara ini.
Kita berdoa semoga pihak berkuasa dapat menangani ajaran sesat ini & ajaran ini dapat dipadamkan terus serta selamat anak cucu zuriat kita dari terjebak ke dalamnya.
- Dalam tafsir mentebut, dikatakan ayat ini Allah ceritakan dalam bentuk khabar tetapi mengandungi larangan tentang pengharaman 11 perkara.
- Sebelum ini Allah telah nyatakan dalam Surah Al-Baqarah & An-Nahl secara ringkas 4 benda yang haram dimakan iaitu: { إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمُ ٱلْمَيْتَةَ وَٱلدَّمَ وَلَحْمَ ٱلْخِنزِيرِ وَمَآ أُهِلَّ بِهِۦ لِغَيْرِ ٱللَّهِ ۖ فَمَنِ ٱضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ وَلَا عَادٍ فَلَآ إِثْمَ عَلَيْهِ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ}
Maksudnya: {Sesungguhnya Allah mengharamkan bagimu bangkai, darah, daging babi, dan binatang yang (ketika disembelih) disebut (nama) selain Allah. Tetapi barangsiapa dalam keadaan terpaksa (memakannya) sedang dia tidak menginginkannya dan tidak (pula) melampaui batas, maka tidak ada dosa baginya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.} [Al-Baqarah-173].
- Kemudian datang ayat ini Allah bawa dalam bentuk penceritaan tentang 11 perkara yang diharamkan iaitu: {diharamkan ke atas kamu-…… حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ ٱلْمَيْتَةُ وَٱلدَّمُ وَلَحْمُ ٱلْخِنزِيرِ } sehingga ke akhir ayat seperti terjemahan di atas.
AYAT 3- {PADA HARI INI, ORANG-ORANG KAFIR TELAH PUTUS ASA (DARIPADA MEMESONGKAN KAMU) DARI AGAMA KAMU (SETELAH MEREKA MELIHAT PERKEMBANGAN ISLAM DAN UMATNYA). SEBAB ITU JANGANLAH KAMU TAKUT DAN GENTAR KEPADA MEREKA, SEBALIKNYA HENDAKLAH KAMU TAKUT DAN GENTAR KEPADAKU.} (AL-MAAIDAH 5:3)
- Pada hari ini iaitu pada hari Hajjatul-Wada’, hari ke-9 Zulhijjah, tahun ke 10-H, Nabi SAW berada di Arafah bersama sekumpulan besar kaum muslimin dari seluruh pelusuk Tanah Arab untuk mengerjakan haji.
- Apabila melihat bilangan umat Islam yang begitu ramai ini, ada ahli sejarah kata bilangan mereka mencecah 140 ribu orang, lalu orang-orang kafir telah putus asa daripada memesongkan kamu dari agama kamu setelah mereka melihat perkembangan Islam dan umatnya yang begitu mantap. Mereka menjadi lemah & takut.
- Zaman itu zaman naik unta, zaman kita sekarang ini berjuta orang naik haji setiap tahun- tetapi malangnya ia sedikitpun tidak menakutkan orang kafir terhadap kita!
Kerana semasa di Arafah pun tetap ada barang mereka bersama kita seperti rokok, hp dan lain-lain gajet!
- Maka wahai orang Islam! Janganlah lagi kamu takut & gentar kepada orang kafir seperti sewaktu kamu lemah dulu, tetapi takut & taatlah kepada Allah!
AYAT 3- {PADA HARI INI, AKU TELAH SEMPURNAKAN BAGI KAMU AGAMA KAMU, DAN AKU TELAH CUKUPKAN NIKMATKU KEPADA KAMU, DAN AKU TELAH REDHAKAN ISLAM ITU MENJADI AGAMA UNTUK KAMU. MAKA SESIAPA YANG TERPAKSA KERANA KELAPARAN (MEMAKAN BENDA-BENDA YANG DIHARAMKAN) SEDANG IA TIDAK CENDERUNG HENDAK MELAKUKAN DOSA (MAKA BOLEHLAH IA MEMAKANNYA), KERANA SESUNGGUHNYA ALLAH MAHA PENGAMPUN, LAGI MAHA MENGASIHANI.} (AL-MAAIDAH 5:3)
- Kemudian Allah nyatakan bahawa pada hari Haji itu juga Dia telah sempurnakan bagi kita agama Islam ini, dan Dia telah cukupkan nikmat-Nya kepada kita.
Allah juga telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kita semua.
- Alhamdulillah kita telah bincangkan sebelum ini maksud tentang kesempurnaan agama, nikmat Allah ke atas kita & redha Allah akan agama ini secara agak terperinci.
Boleh rujuk siri ke-2 sebelum ini.
- Ini adalah hukum yang terakhir dalam ayat ini iaitu sesiapa yang terpaksa, dalam keadaan darurat seperti:
i- Kelaparan lalu memakan benda-benda yang haram sedangkan dia tidak minat atau sukapun untuk memakannya, maka tidak mengapa dibolehkan.
ii- Tidak ada makanan lain kecuali bangkai, bukan kerana seronok-seronok tetapi sekadar untuk menghalau kelaparan & kelemahan untuk membolehkannya keluar mencari pertolongan atau menyelamatkan diri.
iii- Orang yang sedang makan tiba-tiba lekat tersedak atau tercekik dan tidak ada ada air lain dekatnya kecuali segelas arak, maka dia boleh meminumnya untuk menyelamatkan nyawanya dari mati tercekik.
iv- Dalam bidang perubatan seperti penggunaan ubatan yang tidak ada pilihan lain kecuali dari sumber babi misalnya; maka kita rujuklah kepada majlis fatwa dalam isu ini.
Kita serahkan kepada para ulama’ untuk membincangkannya & rujuk kepada fatwa yang telah dikeluarkan oleh ulama’ Islam.
- Para ulama’ fiqh hukum Islam telah menetapkan satu kaedah yang terkenal:
i-“Keadaan darurat mengharuskan (dihalalkan) perkara yang haram.” الضرورات تبيح المحظورات.
Seterusnya ditetapkan bahagian yang kedua dengan kaedah berikut:
ii- Darurat itu ditaqdirkan mengikut keperluannya {الضرورة تقدر بقدرها}.
Yakni darurat itu ditetapkan kadarnya (dihadkan batas sempadan) setakat keperluannya.
- Yakni ambil setakat keperluan, jangan melampau cukup sekadar untuk hilang kebulur dan beri tenaga untuk selamatkan diri.
Kemudian jika ada pilihan seperti dalam bab ubatan, kita pilihlah yang halal jangan terus pilih yang haram jika mampu!
- Firman Allah SWT juga: { فَمَنِ ٱضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍۢ وَلَا عَادٍۢ فَلَآ إِثْمَ عَلَيْهِ}
{Maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.} (Al-Baqarah 2:173)
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 3- {Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih),}-
Yang mengharamkan semua ini adalah Allah.
Apabila Allah haramkan sesuatu perkara; kita sebagai orang yang beriman wajib terima, akur patuh 7 & taat.
Tidak kira sama ada kita tahu atau tidak tentang kemudharatannya apabila Allah haramkan kita patuh & taat.
Kita kena yakin bahawa pasti ada hikmah sama ada kita manusia tahu atau tidak!
Perbahasan mengunakan logik oleh Allahyarham TG Hj Abd Rahman dengan beberapa orang non muslim dalam isu begini:
i- Seorang non-muslim datang bertanya kepada TG. Islam haramkan makan babi kerana ada kuman, tetapi kenapa bila diperiksa dalam daging binatang lain yang halal seperti lembu kambing- terdapat kuman di dalam daging mereka, tetapi apabila diperiksa daging babi tidak nampak pula kumannya!
Jawab TG : Macam mana nak nampak kumannya kerana babi itu sendiri adalah seekor kuman dah!!
Terdiam & tercenganglah si kafir tak dapat jawab!
ii- Perbahasan kedua tentang Tuhan yang tidak nampak dilihat, seorang non-muslim tanya TG di mana Tuhan orang Islam, jika ada kenapa tak boleh tengok?
Tidak seperti berhala dia yang besar & bermacan bentuk adanya!
TG lalu tanya apakah dia hidup atau mati?
Jika hidup, dengan apa?
Jawabnya: Dia hidup dengan nyawa.
TG lalu minta dia tunjukkan nyawanya, jika hidup mana nyawanya???
Terdiam tercenganglah si kafir tak dapat jawab!
Maknanya apabila Allah SWT haramkan kita yakin & percaya mesti ada sebab & hikmahnya sama ada kita tahu atau tidak.
Seperti tentang 10 perkara ini apabila jelas Allah haramkannya, cukuplah kita terimanya, walaupun jika dikaji & dikorek pasti kita akan jumpa hikmah & rahsianya.
Hatta kalau tahu pun manusia ini ada yang tetap begitu juga seperti mereka yang tahu merokok itu bahaya & banyak keburukan serta haram hukumnya; tetapi mereka yang tegar ketagih tetap merokok juga!
- Allah sebut dalam senarai ini dua kali tentang sembelihan iaitu:
i- {dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah,}
ii- {dan yang disembelih atas nama berhala;}- semeblih atas batu berhala. Kenapa??
Kata ulama’ : Ini menunjukkan besarnya dosa & bahaya syirik, ia memberi kesan termasuk dalam sembelihan.
Contoh:
i- Seseorang sembelih binatang atas nama Allah & nama fulan; maka haram makannya apatah lagi jika terus atas nama fulan sahaja.
ii- Begitu juga yang sembelih dengan nama Allah tetapi atas batu atau berhala, dekat dengan batu nisan atau keramat- dengan niat nak membesar & memuliakannya!
Kesan niat itu, kamu sembelih kerana apa? Kerana berhala? maka haram.
Walaupun yang tolong sembelihnya itu adalah orang Islam (disuruh oleh si kafir) dengan cara yang sepatutnya, tetapi ia tetap haram kerana niatnya adalah untuk berhala itu!
- Ayat 3- {dan (diharamkan juga) kamu merenung nasib dengan undi batang-batang anak panah…}-
Jangan kamu bermain dengan tikik naisb.
Allah haramkan tilik nasib ini kerana ia adalah permainan khurafat & benda yang karut-marut!
Ini kerana apabila seseorang percaya dengan sesuatu perkara itu, hatinya akan bergantung dengan benda itu!
Jika tidak percaya kita tidak akan bergantung dengannya.
Orang yang akal lemahnya akan percaya kepada benda syirik, mistik, khurafat & karut-marut ini!
Maka ia akan menjadi permainan tukang sihir, tukang tilik nasib & penjaga-penjaga makam yang dikatakan keramat untuk mengaut keuntungan atas kepercayaan orang awam yang jahil!
Begitu juga percaya kepada tukang nujum, tukang tilik nasib, sial majal dan seumpamanya- semua itu diharamkan.
Betapa bahaya & besar dosa perbuatan ini sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
i- Sabda Baginda Rasulullah: Sesiapa yang mendatangi tukang ramal (dukun) dan bertanya kepadanya tentang sesuatu, maka tidak diterima solatnya selama empat puluh malam. [HR Muslim 5957]
ii- Sabda Nabi SAW: مَنْ أَتَى كَاهِنًا، أَوْ عَرَّافًا، فَصَدَّقَهُ بِمَا يَقُولُ، فَقَدْ كَفَرَ بِمَا أُنْزِلَ عَلَى مُحَمَّدٍ
Maksudnya: “Sesiapa yang mendatangi dukun atau tukang ramal, lalu dia membenarkan apa yang dikatakannya, maka sungguh ia telah kufur kepada apa yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW.” [HR Ahmad (9171).
Jangan anggap mudah & remeh akanp ermaianan syaitan akan akal manusia ini!
Kerana itu Allah ulang dua kali tentang sembelihan yang haram ini supaya manusia benar-benar faham akan perbuatan syirik ini.
Serta pada akhir ayat Allah larang tentang menilik nasib guna anak panah.
Kenapa Allah selit sekali bab berhala & bab khurafat ini dalam bab makanan?
Ini kerana sebahagian manusia ini sinonim apabila dia percaya akan benda khurafat begini dia juga akan percaya kepada benda pelik lain.
Kemudian Allah tegaskan bahawa semua perkara ini adalah perbuatan fasiq yakni perkara yang buruk!
Maka kamu jangan buat, kamu jangan ikut, jangan kata benda-benda yang tidak baik!
- Ayat 3- {Pada hari ini, orang-orang kafir telah putus asa (daripada memesongkan kamu) dari agama kamu (setelah mereka melihat perkembangan Islam dan umatnya).}-
Allah kata pada hari ini puak kafir kecewa!
Orang kafir berasa putus asa & kecewa kerana merasakan mereka tidak mampu lagi untuk memesongkan umat Islam daripada agama mereka!
Ini pada zaman Rasulullah SAW iaitu di akhir hayat Baginda SAW terutamanya semasa Haji Wada’ di mana manusia berduyun-duyun masuk Islam.
Sabda Nabi SAW: Syaitan kecewa kerana orang sembah Tuhan.
Betapa hari ini sudah ramai anak-anak orang Islam yang terpengaruh bukan setakat budaya & gaya hidup orang kafir tetapi tertarik & minat juga kepada agama mereka.
Sudah ramai orang Islam yang murtad dari agama yang suci ini!
Kita jangan lalai, kemaskan saf kita maka orang kafir tidak akan berani meremahkan kita.
Kemudian Allah kata: {فَلَا تَخْشَوْهُمْ وَٱخْشَوْنِ}
Yakni kamu jangan takut kepada kafir tetapi takut kepada Aku.
Ulama’ tafsir membezakan :
i- Khasy-yah- (خشية)- takut dengan ilmu seperti kita takut kepada Allah kerana kita tahu (ada ilmu) bahawa Allah sentiasa melihat, mendengar & memantau setiap perbuatan kita!
Serta semuanya akan dibalas seiring amalan kita, maka kita tidak kira ketika zahir atau ghaib.
ii- Manakala khauf (خوف)- adalah takut saja tanpa perlu kepada ilmu, seperti takut kepada orang, binatang yang merbahaya dan seumpamanya.
- Ayat 3- {Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.}-
Ayat ini turun semasa Rasulullah SAW berada di Arafah pada hari ke-9 Zulhijjah untuk mengerjakan Haji.
Kenapa begitu?
Apakah agama tidak sempuran sebelum ini?
Jawapannya:
Tidak begitu, agama ini datang dari Allah SWT sudah lengkap & sempurna, cuma hari ini lengkap & sempurna perjalanan agama ini.
Ini kerana:
i- Sempurnanya perjalanan agama selepas rukun Islam yang ke-5 iaitu Haji dapat ditunaikan.
Sebelum ini Rasulullah SAW belum pernah menunaikan lagi Haji dalam Islam.
ii- Sempurna agama ini sebagai isyarat kepada hampirnya ajal Rasulullah, kerana Rasulullah SAW sebagai pembawa risalah akan pergi (wafat).
Kerana itu Sayyidina Abu Bakar RA apabila menerima ayat ini, beliau menangis kesedihan kerana tahu, apabila agama ini sudah lengkap & sempurna- maka pembawanya yakni Rasulullah SAW akan pergi.
Kerana itu kata ulama’ : Agama ini sudah sempurna & lengkap dari segi aqidah, ibadat, hukum-hakamnya dan dari sudut apa saja!
Kata Imam Malik RHM : Sesiapa yang mereka-reka ibadat dalam umat Muhammad SAW ini, yang tidak pernah dibuat Nabi SAW, para sahabat Baginda & para Salafus-Soleh; maka bererti dia telah membuat sangkaan (tuduhan) bahawa Rasulullah SAW telah khianat dalam menyampaikan Risalahnya, yakni Baginda tertinggal, tidak menyampaikan sepenuhnya ajaran & amalan dalam agama ini!
Maka ini amat bahaya sedangkan Allah SWT telah berfirman: { ٱلْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِى وَرَضِيتُ لَكُمُ ٱلْإِسْلَـٰمَ دِينًۭا ۚ}- tiba-tiba kita reka sesuatu yang baru, seolah kita kata ada lagi perkara yang Nabi SAW tertinggal & tidak ajar!
Jika tidaklah menjadi amalan dalam agama semasa zaman Nabi SAW & zaman sahabat; maka ia juga bukan amalan & ajaran agama untuk hari ini ini.
Kata-kata ini amat bagus kerana ia menyekat banyak pintu-pintu fitnah yang dibawa masuk dalam agama!
Apabila Islam tersebar luas ke seluruh dunia, termasuklah amalan yang berasal dari budaya-budaya lain- yang akhirnya menjadi satu kebiasaan, dinormalisasikan oleh penganutnya menjadi satu agama!
Inilah yang kita bimbangkan!
Di akhir ayat Allah kata: {فَمَنِ ٱضْطُرَّ فِى مَخْمَصَةٍۭ} Sesiapa yang terdesak, tidak mengapa. Allah akan maafkan kerana sesungguhnya: {فَإِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌۭ رَّحِيمٌۭ}.
Ini menunjukkan agama ini luas, jangan kita yang sempitkannya! Apabila keadaan sempit Allah akan luaskannya, apabila hilang kesempitan atau kesusahan itu, ia akan kembali seperti asalnya- alhamdulillah.
Tamatlah perbincangan untuk siri kuliah tafsir kita pagi ini, semoga memberi manfaat & kebaikan dunia Akhirat.
- Projek infaq minggu ini masih lagi Pembangunan Dakwah di Selatan Thai. Insya’ Allah sedeqah kita pada Jumaat minggu ini untuk membantu menyiapkan pembangunan di;
1- Maahad As-Somadi, Saiburi, Fatoni.
2- Pembinaan Pusat Pentabiran Hal Ehwal Islam Daerah Takbai.
3- Membesarkan Masjid Maahad Nahdhah Al-Ulum Ad-Diniyah, Takbai.
Waqaf & Infaq boleh disalurkan melalui:.
Nama Akaun: Dakwah Unlimited.
Bank: CIMB.
No akaun: 8603601168.
Ref: Mega Waqaf.
Dana diperlukan: RM300K.
جَزًاكُمُ الله خَيْرًا.
Akhukum;
Abu Anas Madani.
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.