MAKANAN YANG HALAL, HAIWAN PEMBURU YANG DILATIH & HUKUM NIKAH WANITA AHLI KITAB.
Full video : https://youtu.be/Fc3Cua9myJ8?si=MvmqD6MO6t2-ZqPm
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir dengan ayat 4 sehingga 5 dari Surah Al-Ma’idah. Surah kelima dalam juzu’ keenam.
- Dalam siri ini Allah SWT memberi jawapan kepada soalan para sahabat kepada Rasulullah SAW iaitu apakah makanan yang halal dimakan?
Maka Allah jawab : Makanan yang halal itu adalah yang baik.
Sepatah saja tetapi panjang dan luas sekali perbahasan & huraiannya.
- Juga ditambah lagi untuk keluasan hidup- ini kerana sebahagian orang Arab ini sumber makanan mereka ialah hasil perburuan.
Maka Allah nyatakan bahawa halal untuk makan haiwan yang ditangkap oleh haiwan pemburu yang telah dilatih ikut syaratnya.
- Kemudian Allah SWT nyatakan hukum makan sembelihan ahli kitab & hukum berkahwin dengan wanita ahli kitab.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat-ayat yang lepas Allah SWT telah nyatakan tentang 10 jenis haiwan yang dilarang dimakan sama ada kerana sebab tertentu (cara kematiannya) atau kerana zatnya sendiri seperti khinzir.
ii- Maka datang ayat yang keempat ini menyatakan pula makanan yang halal untuk orang Islam.
- Inilah tertib hukum perintah & larangan dalam Islam: apabila Allah SWT tutup satu pintu Dia akan buka pintu yang lain.
Sebagaimana dia tutup pintu tentang 10 jenis makanan, dibawa hukum untuk makanan yang halal pula seluasnya!
Sebagaimana apabila dibawa pengharaman zina, Allah buka pula pintu perkahwinan yang halal, tak cukup satu boleh 2,3 atau empat!
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.
AYAT 4- {MEREKA BERTANYA KEPADAMU (WAHAI MUHAMMAD): “APAKAH (MAKANAN) YANG DIHALALKAN BAGI MEREKA?” BAGI MENJAWABNYA KATAKANLAH: “DIHALALKAN BAGI KAMU (MEMAKAN) YANG LAZAT-LAZAT SERTA BAIK, DAN (BURUAN YANG DITANGKAP OLEH) BINATANG-BINATANG PEMBURU YANG TELAH KAMU AJAR (UNTUK BERBURU) MENGIKUT CARA PELATIH-PELATIH BINATANG PEMBURU. KAMU MENGAJAR SERTA MELATIHNYA (ADAB PERATURAN BERBURU) SEBAGAIMANA YANG TELAH DIAJARKAN ALLAH KEPADA KAMU. OLEH ITU MAKANLAH DARI APA YANG MEREKA TANGKAP UNTUK KAMU DAN SEBUTLAH NAMA ALLAH ATASNYA (KETIKA KAMU MELEPASKANNYA BERBURU); DAN BERTAQWALAH KEPADA ALLAH (DENGAN MEMELIHARA DIRI DARI MEMAKAN YANG DIHARAMKAN ALLAH); SESUNGGUHNYA ALLAH MAHA CEPAT HITUNGAN HISABNYA”} (AL-MAAIDAH 5:4)
- Allah nyatakan para sahabat RAnhum datang bertanya kepada Rasulullah SAW apakah makanan yang halal dimakan.
- Maka Allah suruh Rasulullah SAW menjawab bahawa Allah izinkan kepada kamu: iaitu makanan yang halal, yang baik-baik & lazat-lazat, yang bermanfaat untuk tubuh badan, menghilangkan kelaparan yang memberi kebaikan untuk pembesaran & kesihatan manusia.
- Yakni ianya amat luas berdasarkan makanan yang baik {ٱلطَّيِّبَـٰتُ ۙ}- tidak perlu al-Quran senaraikannya satu-persatu.
Perlu kepada penjelasan yang dibuat oleh Rasulullah SAW dan kajian para ulama’.
Baik dari sudut hukum Syara’ bukan ikut perkiraan otak manusia semata-mata.
- Kemudian Allah tambah & luaskan lagi perbincangan- halal & boleh dimakan haiwan perburuan yang ditangkap oleh binatang pemburu yang telah:
i- Diajar dan dilatih khas untuk berburu mengikut cara pelatih-pelatih binatang pemburu. Iaitu (مُكَلِّبِينَ)- haiwan yang telah lulus dari kolej perburuan, punya disiplin & kepatuhan yang tinggi.
ii- Mesti diajar serta melatihnya dengan adab peraturan berburu sebagaimana yang telah diajarkan Allah.
Biasanya ia adalah anjing dan burung helang terlatih, mereka tangkapnya dan dibawa kepada tuan mereka, tidak dimakannya.
- Kata Imam Qurtubi RHM : Tidak ada khilaf di kalangan ulama’ bahawa dua syarat ini mesti ada pada haiwan pemburu iaitu:
i- Mendengar arahan & dengar kata. Apabila disuruh- ia buat.
ii- Apabila tuannya larang ia tidak akan pergi & tidak akan buat.
Syarat ketiga apabila ia tangkap haiwan perburuan itu, ia tidak akan memakannya { مِمَّآ أَمْسَكْنَ عَلَيْكُمْ}.
Ia tangkap haiwan itu memang khas untuk tuannya, yakni haiwan terlatih yang berdisiplin & patuh.
- Syarat berikutnya { وَٱذْكُرُوا۟ ٱسْمَ ٱللَّهِ عَلَيْهِ}- sebelum lepaskan binatang itu untuk dihantar pergi berburu wajib sebut nama Allah, Bismillah lalu lepaskannya pergi berburu.
- Ulama’ berbincang & berbeza pendapat pula tentang maksud firman Allah ini, sebut nama Allah ke atasnya {عَلَيْهِ}- bererti:
i- Sebut sebelum nak lepaskan binatang terlatih itu,
ii- Ada kata sebut nama Allah ke atas binatang perburuan yang dapat ditangkap sebelum memakannya!
Yang masyhurnya pendapat yang pertama, baca bila nak lepas anjng atau helang.
Termasuk juga ketika nak lepaskan tembakan atau panah.
- Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh ‘Adi bin Hatim RA: وَسَأَلْتُهُ عَنْ صَيْدِ الْكَلْبِ فَقَالَ ” مَا أَمْسَكَ عَلَيْكَ فَكُلْ، فَإِنَّ أَخْذَ الْكَلْبِ ذَكَاةٌ، وَإِنْ وَجَدْتَ مَعَ كَلْبِكَ أَوْ كِلاَبِكَ كَلْبًا غَيْرَهُ فَخَشِيتَ أَنْ يَكُونَ أَخَذَهُ مَعَهُ، وَقَدْ قَتَلَهُ، فَلاَ تَأْكُلْ، فَإِنَّمَا ذَكَرْتَ اسْمَ اللَّهِ عَلَى كَلْبِكَ وَلَمْ تَذْكُرْهُ عَلَى غَيْرِهِ ”.
“Saya bertanya kepada Nabi SAW mengenai haiwan perburuan yang dibunuh oleh anjing pemburu terlatih. Baginda berkata, “Sekiranya anjing itu menangkap perburuan itu untukmu, maka halal memakannya, kerana membunuh perburuan dengan anjing itu seperti penyembelihannya. Tetapi jika kamu melihat dengan anjing (terlatih) kamu ada anjing yang lain dan kamu takut mungkin ada dikongsi dalam memburu perburuan dengan anjing kamu dan membunuhnya, maka kamu tidak boleh memakannya, kerana kamu telah menyebut nama Allah ketika (menghantar) anjing kamu sahaja, tetapi kamu tidak menyebutnya pada anjing yang lain itu.” [HR Bukhari & Muslim].
- Kemudian Allah SWT berfirman:
i- Dan bertaqwalah kepada Allah- yakni takutlah kepada Allah, jujur dengan memelihara diri dari memakan yang diharamkan Allah dengan pelbagai alasan atau helah;
ii- Ini kerana sesungguhnya Allah Maha Cepat hitungan hisab-Nya.
- Ini adalah salah satu pengecualian dalam bab pelihara anjing yang diharamkan pada asasnya.
Iaitu anjing perburuan, anjing pengembala haiwan, atau anjing penjaga kebun untuk keperluan, dibenarkan.
Tetapi selain daripada itu adalah dilarang & berdosa.
- Dalilnya- Nabi SAW bersabda: مَنِ اقْتَنَى كَلْبًا لَيْسَ بِكَلْبِ صَيْدٍ، وَلَا مَاشِيَةٍ وَلَا أرْضٍ، فَإنَّهُ يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِهِ قِيرَاطَانِ كُلَّ يَوْمٍ.
Maksudnya: “Sesiapa yang memelihara anjing (suka-suka) bukan untuk tujuan pemburuan, sebagai penjaga binatang ternakan atau penjaga kebun, maka pahalanya akan berkurang sebanyak dua (2) qirath pada setiap hari.” [ HR Muslim].
Ulama’ berpendapat : Qirath dalam hadis ini bukan seperti qirath dalam hadis solat jenazah, sebesar bukit Uhud. Jika tidak amat malang sekali!!! Wallahu a’lam.
- Malangnya hari ini telah ramai orang Islam, melayu ke arab yang memelihara anjing sebagai haiwan peliharaan (pet) di rumah tanpa keperluan seperti kucing, alangkan ruginya sudahlah pahala yang ada tak banyak dah, hilang lagi dengan sebab pelihara anjing!
AYAT 5- {PADA MASA INI DIHALALKAN BAGI KAMU (MEMAKAN MAKANAN) YANG LAZAT-LAZAT SERTA BAIK-BAIK. DAN MAKANAN (SEMBELIHAN) ORANG-ORANG YANG DIBERIKAN KITAB ITU ADALAH HALAL BAGI KAMU, DAN MAKANAN (SEMBELIHAN) KAMU ADALAH HALAL BAGI MEREKA (TIDAK SALAH KAMU MEMBERI MAKAN KEPADA MEREKA).
- Ini pula adalah hukum berkenaan kita makan sembelihan ahli kitab.
Allah kata:
i- Dan makanan (sembelihan) yang dilakukan oleh ahli Kitab itu adalah halal bagi kamu,
ii- Dan makanan sembelihan kamu adalah halal bagi mereka, yakni tidak salah kamu memberi makan kepada mereka.
- Munasabah ayat ini:
i- Dalam ayat yang lepas Allah nyatakan tentang makanan yang halal & baik, yakni kamu jangan sempit dada jangan susah kerana betapa luas yang halal lagi selain yang diharamkan sebelum ini.
ii- Maka datang ayat ini Allah SWT ulang lagi {dihalalkan bagi kamu (memakan makanan) yang lazat-lazat serta baik-baik }- tujuannya untuk sambung dengan ayat sebelum ini juga: {Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu}.
- Kata ulama’ tadabbur : Allah celahkan ayat ini ditengah-tenagh perbincangan tentang halal-haram makanan:
Ini kerana Allah nak nyatakan dalam al-Quran ini lengkap & sempurna, bukan bincang bab aqidah & hukum-hakam saja, tetapi bab makanan juga diberi hukum.
Tidak boleh kamu pandai-pandai pilih nak makan apa saja.- kamu hanya boleh makan apa yang Allah halalkan, tidak boleh makan apa yang Allah haramkan.
- Rahsia penggunaan kalimat yang berbeza antara dua ini:
{Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu- ٱلْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ } & {Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu- وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِى وَرَضِيتُ}.
i- Agama itu sempurna, tidak boleh ditambah lagi, agama ini sudah cukup & sempurna- seperti rukun Islam ada 5 jangan tambah lagi- solat & lain-lain ibadat sudah sempurna sebagaimana yang Rasulullah SAW ajar, jangan kamu tokok-tambah, pandai-pandai nak reka, tambah atau kurangkannya!
Rasulullah SAW telah sekat perjalanan agama ini dari dirempuh masuk perompak dengan sabda Baginda SAW: مَنْ أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ فِيهِ فَهُوَ رَدٌّ. “Barang siapa mengada-adakan sesuatu yang baharu dalam urusan kita ini (Agama) maka ia adalah tertolak.” مَنْ عَمِلَ عَمَلًا لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ. “Barang siapa melakukan sesuatu amalan yang tidak menepati cara kami maka ia adalah tertolak.” [HR Muslim, no. 1718]
Amalan yang ditokok tambah akan ditolak, yakni tidak diterima Allah SWT, sia-sia, tidak memberi apa-apa pahala walaupun dengan niat yang baik.
Sebagaimana kata Imam Malik RHM : Sesiapa yang mereka-reka ibadat dalam umat Muhammad SAW ini, yang tidak pernah dibuat Nabi SAW, para sahabat Baginda & para Salafus-Soleh; maka bererti dia telah membuat sangkaan (tuduhan) bahawa Rasulullah SAW telah khianat dalam menyampaikan Risalahnya, yakni Baginda tertinggal, tidak menyampaikan sepenuhnya ajaran & amalan dalam agama ini! Juga seolah mengata belum sempurna ajaran agama ini.
AMAT BAHAYA! nak reka fesyen boleh tetapi dalam ibadat tidak sekali-kali.
ii- Manakala dalam nikmat Allah kata lengkap, ini kerana nikmat itu berubah-ubah, boleh sentiasa bertambah atau berkurangan, ia tidak akan sama & sempurna. Kerana manusia nikmat tidak akan pernah rasa cukup dengan nikmat!
Subhanallah betapa hebat & tepatnya bahsa al-Quran.
- Maka Allah kata pada hari ini Aku halalkan bagi kamu makanan yang baik-baik termasuk haiwan tangkapan anjing pemburu tadi.
Serta sembelihan ahli kitab dihalalkan bagi kamu.
Mereka juga boleh makan semeblihan kamu!
- Ibnu Juzai RHM kata makanan ini terbahagi kepada ketiga:
i- Sembelihan
ii- Buah-buahan atau bijiran
iii- Sayur-sayuran.
Maka yang dimaksudkan dalam ayat ini ialah kategori sembelihan ahli kitab.
Buah & sayur memang asal dari awalnya.
- Persoalan: Apakah masih wujud pada hari ini ahli kitab yang benar-benar berpegang dengan kitabnya atau kitab mana yang mereka pegang? Wallahu a’lam tetapi kita orang Islam pilihlah yang tiada syubhat, yang tiada keraguan, yang benar-benar halal & kita yakin jika tidak darurat & masih ada pilhan!
Kerana kita tidak yakin apakah mereka berpegang dengan Kitab yang Allah turunkan dulu atau kitab mana pual sekarang ini!
AYAT 5- {DAN (DIHALALKAN KAMU BERKAHWIN) DENGAN PEREMPUAN-PEREMPUAN YANG MENJAGA KEHORMATANNYA – DI ANTARA PEREMPUAN-PEREMPUAN YANG BERIMAN, DAN JUGA PEREMPUAN-PEREMPUAN YANG MENJAGA KEHORMATANNYA DARI KALANGAN ORANG-ORANG YANG DIBERIKAN KITAB DAHULU DARIPADA KAMU APABILA KAMU BERI MEREKA MASKAHWINNYA, SEDANG KAMU (DENGAN CARA YANG DEMIKIAN), BERNIKAH BUKAN BERZINA, DAN BUKAN PULA KAMU MENGAMBIL MEREKA MENJADI PEREMPUAN-PEREMPUAN SIMPANAN.)
- Jika kamu mahu berkahwin Allah nyatakan dihalalkan kepada kamu perempuan yang baik (وَٱلْمُحْصَنَـٰتُ) iaitu bukan perempuan jalang atau jalanan yang tidak menjaga maruah, yang suka bergaul bebas dan lain-lain yang tidak baik.
- Yakni perempuan yang baik, yang menjaga maruah sama ada dari kalangan:
i- Orang Islam yang beriman
ii- Atau perempuan ahli kitab.
- Iaitu orang muslim boleh menikahi perempuan-perempuan merdeka yang menjaga diri, maruah dan kehormatannya dari perbuatan zina, sama ada perempuan Islam juga atau ahli kitab.
Perkahwinan yang rasmi, dengan syarat membayar mahar atau mas kawin mereka, dengan maksud dan tujuan untuk menjaga dan memelihara diri dari perbuatan zina, bukan suka-suka.
- TETAPI SEKALI LAGI KITA TEKANKAN :
Apakah masih wujud pada hari ini ahli kitab yang benar-benar berpegang dengan kitabnya atau kitab mana yang mereka pegang?
Maka carilah yang betul-betul muslimah yang beriman jauhkan dari syubhat & keraguan!
Alhamdulillah di Malayasi ini perkahwinan campur antara agama masih haram bukan seperti di sebahagian negara Islam lain, negara kafir tak kiralah!
AYAT 5- {DAN SESIAPA YANG INGKAR (AKAN SYARIAT ISLAM) SESUDAH IA BERIMAN, MAKA SESUNGGUHNYA GUGURLAH AMALNYA (YANG BAIK) DAN ADALAH IA PADA HARI AKHIRAT KELAK DARI ORANG-ORANG YANG RUGI.} (AL-MAAIDAH 5:5)
- Allah nyatakan sesiapa yang sebelum ini beriman kemudian dia murtad berpaling meninggalkan agama Islam maka akan gugurlah segala amalannya yang baik sebelum ini! Ini adalah syirik akbar yang besar.
Jika syirik yang kecil hanya gugur setakat bermula perasaan itu masuk dalam ibadatnya seperti perasaan riya’ buat ibadat kerana nak menunjuk kepada orang!
Hanya pahala itu batal. Yang lain sebelum ini, yang tidak ada riya’ tidak batal.
- Syirik ada 3:
i- Syirik akbar (شرك أكبر) syirik yang besar : Seperti munafiq & kafir sembah selain Allah atau murtad, gugur semua amalannya sebelum ini.
ii- Syirik asghar (شرك أصغر) syirik yang kecil : Iaitu syirik dalam ibadat seperti riya’ buat ibadat nak menunjuk kepada orang, maka gugur yang ada riya’ itu saja, tidak ibadat soleh yang lain.
iii- Syirik khofi (شرك خفي)- syirik yang tersembunyi : Boleh jadi dua-dua besar atau kecil. Ia sesuatu yang tidak nampak, dalam hati seperti munafiq.
- Sentiasalah baca doa yang diminta oleh Rasulullah SAW: Doa Minta Ampun Dari Dosa Yang Tidak Diketahui & Syirik.
Ma’qil bin Yasar RA berkata : “Aku pergi bersama Abu Bakar as-Siddiq RA menuju Nabi SAW, lalu Baginda SAW bersabda: “Wahai Abu Bakar! Sungguh, syirik di kalangan kamu itu lebih tersembunyi daripada semut yang merayap.” Lalu Abu Bakar RA berkata, “Bukankah makna syirik adalah apabila seseorang menjadikan sembahan (sekutu) selain selain Allah?” Nabi SAW menjawab, “Demi Zat yang jiwaku ada di tangan-Nya! Sungguh, syirik itu ada yang lebih tersembunyi daripada pijakan semut yang merayap. Mahukah aku tunjukkan sesuatu kepadamu, yang bila mana engkau mengucapkannya, maka kesyirikan pun akan lenyap darimu, baik syirik yang sedikit (yang kecil) mahupun yang banyak (besar)? Katakanlah: اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ أَنْ أُشْرِكَ بِكَ وَأَنَا أَعْلَمُ، وَأَسْتَغْفِرُكَ لِمَا لاَ أَعْلَمُ “Ya Allah, Sesungguhnya Aku berlindung dengan bantuan-Mu daripada menyekutukan sesuatu dengan-Mu dalam keadaan aku mengetahui. Dan Aku memohon keampunan-Mu terhadap apa yang aku tidak ketahui.“ [HR Bukhari dalam al-Adabul Mufrad].
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 4- {Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): “Apakah (makanan) yang dihalalkan bagi mereka?” Bagi menjawabnya katakanlah: “Dihalalkan bagi kamu (memakan) yang lazat-lazat serta baik, dan…}-
Sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW tentang apa makanan yang halal pula.
Sebelum ini mereka diberitahu tentang apa yang haram.
Apabila sahabat tanya, Nabi SAW tidak terus menjawabnya, tetapi menunggu sehinggalah turun wahyu & Allah suruh Baginda SAW katakan, beritahu kepada mereka apakah jawapannya!
Iaitu Allah halalkan bagi kamu makanan yang baik-baik.
Beberapa isu menarik untuk ditadabbur dari ayat ini:
i- Para sahabat ini sangat semangat untuk belajar dan mengetahui hukum-hakam.
Begitulah juga kita apabila tak faham kena tanya, tetapi kena belajar dulu sebelum tanya!
Jangan setiap perkara asyik nak jawapan segera saja, dengar kuliah & mengaji tak mahu!
ii- Apabila sahabat bertanya Nabi SAW tidak menjawab terus setiap soalan para sahabat tetapi menunggu jawapan atau wahyu dari Allah.
Iaitu ayat yang memberitahu tentang makanan yang baik & halal untuk dimakan.
iii- Allah berikan kuasa kepada Rasulullah SAW untuk menyampaikan bukan membuat hukum sendiri.
Nabi SAW ikut arahan Allah SWT dan mempunyai kuasa setakat yang diberi oleh Allah SWT kepada Baginda.
Nabi SAW tidak mempunyai kuasa mutlaq dalam pentadbiran alam & hukum-hakam.
- Ayat 4- {Bagi menjawabnya katakanlah: “Dihalalkan bagi kamu (memakan) yang lazat-lazat serta baik,}-
Yakni perkara yang halal itu ialah perkara yang baik- { أُحِلَّ لَكُمُ ٱلطَّيِّبَـٰتُ ۙ}
Makanan halal adalah yang baik-baik yang Allah beri garis panduan sebagai “at-Tayyibat” { ٱلطَّيِّبَـٰتُ}.
Kemudian Allah sekali lagi dalam ayat ke-5 iaitu dihalalkan kepada kamu hari ini makanan yang baik-baik & lazat: { ٱلْيَوْمَ أُحِلَّ لَكُمُ ٱلطَّيِّبَـٰتُ ۖ}.
Allah SWT mengulangnya sebanyak dua kali, ini menunjukkan apa yang halal itu ialah semua perkara baik.
Iaitu segala macam rezeki yang dihalalkan untuk manusia, iaitu makanan yang baik-baik, mengandungi manfaat dan lazat, tidak kotor, tidak najis, tidak mudharat bagi badan, akal dan agama.
Kemudian Allah berfirman bahawa diharamkan ke atas kamu segala yang buruk & tidak baik.
Dan terbukti bahawa yang halal itu lebih banyak daripada yang haram, pada asasnya kerana yang haram tersenarai manakala yang halal amat luas!
Allah sebut secara umum begitu & para ulama’ pulalah yang buat kajian dan senaraikannya.
Maka jelaslah yang halal itu baik & yang haram itu buruk walaupun bagi akal manusia anggapnya baik!
Bila Allah kata tidak baik mak tidak baiklah ia!
- Ayat 4- {“Dihalalkan bagi kamu (memakan) yang lazat-lazat serta baik, dan (buruan yang ditangkap oleh) binatang-binatang pemburu yang telah kamu ajar (untuk berburu)..}-
Apa yang kamu ajar kepada haiwan pemburu dari apa ilmu yang Allah ajar kepada kamu.
Allah SWT perluaskan jalan yang halal dalam perburuan. Bukan setakat dengan binatang pemburu, bahkan yang ditembak dengan senapang atau ditikam dengan tombak atau mana-mana senjata tajam yang disebut nama Allah juga halal.
Ayat ini juga menunjukkan pengecualian dalam hukum haram membela anjing secara umumnya sebagai pemburu, penjaga kebun atau pengembala ternakan.
Bahkan Allah tidak sebutpun bahawa bekas gigitan anjing pemburu itu mesti disertu dulu sebelum memakannya!
Inilah keluasan & kelonggaran yang amat besar Allah beri.
Kata ulama’ lain pula juga : Ini menunjukkan kelebihan ilmu, anjing yang ada ilmu perburuan, halal dimakan haiwan tangkapannya- anjing yang tiada ilmu ini haram kita makan tangkapannya!
Maka kita manusia nak jadi pemalas lagi kah? Tak mahu lagi jadi orang yang berilmu yang mulia & dihormati?
Manakala perkataan (مُكَلِّبِينَ) yang diambil:
i- Daripada perkataan (kalbun) anjing digunakan untuk semua binatang yang terlatih kerana binatang yang paling masyhur dalam bidang perburuan ialah anjing,
ii- Ada juga yang kata diambil dari perkataan (kalaba) yang bermakna semangat yang kuat, anjing terlatih yang mempunyai ilmu & semangat!
Kemudian Allah tegaskan bahawa semua ilmu yang kamu ada adalah dari ilmu yang Allah beri, maka kamu jangan sombong & angkuh dengan kebijaksaan kamu kerana semuanya dari Allah & ilmu milik Allah SWT!
- Ayat 5- {Dan makanan (sembelihan) orang-orang yang diberikan Kitab itu adalah halal bagi kamu,…}-
Halal makan sembelihan ahli kitab.
Ini menunjukkan kepada keluasan hukum Islam dalam toleransi.
Nak jinakkan ahli kitab : Kita dibenarkan makan sembelihan mereka & mereka juga boleh diberi hasil sembelihan kita.
Iaitu ahli kitab yang duduk dalam negara Islam, manakala ahli kitab zaman ini kita kata wallahu a’lam apakah masih wujud lagi yang berpegang teguh kepada kitab Samawi mereka yang asal????
Manakala orang kafir lain sama ada majusi, komunis kapitalis, atheis, munafiqin & segala jenis kafir adalah haram!
Jadi kesimpulannya asal semua makanan itu harus dimakan kecuali ada dalil yang jelas mengatakannya haram!
- Ayat 5- {Dan (dihalalkan kamu berkahwin)……. dan juga perempuan-perempuan yang menjaga kehormatannya dari kalangan orang-orang yang diberikan Kitab dahulu daripada kamu apabila kamu beri mereka maskahwinnya, sedang kamu (dengan cara yang demikian), bernikah bukan berzina…}-
Carilah wanita Islam yang beriman yang baik untuk kamu kahwini.
Jika tak ada yang beriman boleh kamu kahwini ahli kitab yang baik maruah & jaga dirinya.
Dengan syarat perkahwinan itu ada mahar & perempuan itu orang baik-baik, jika ahli kitab yang berpegang betul-betul dengan kitabnya!
Tetapi sebagaimana pesanan & nasihat DAAM : Benarkah ada lagi ahli kitab yang asli seperti dulu? Yang masih berpegang dengan Kitab Allah?
Maka tak perlu makanlah jika tidak ada keperluan atau darurat.
Begitu juga jika nak kahwin; carilah perempuan Islam yang beriman, yang masih ramai lagi hari ini, jangan kita mencari apa yang tidak jelas lalu berkahwin dengan nasrani & yahudi yang tidak jelas pegangannya.
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.