View Categories

Surah Al-Ma’idah : Ayat 41

ALLAH SWT TENANGKAN NABI SAW, MUNAFIQ DAN YAHUDI PERCAYA BENDA BOHONG & ALLAH TIMPAKAN FITNAH KE ATAS MEREKA.

Full video : https://youtu.be/xm07XBlG1W8?si=caC9YsJMEKZNeQIw

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-Ma’idah ini dengan satu ayat sahaja iaitu ayat 41.
  1. Dalam ayat ini Allah SWT tenangkan hati Nabi SAW, kerana Allah maklum & dedahkan dari awal lagi bahawa munafiqin & yahudi lebih minat dan cenderung kepada kufur daripada beriman. 

    Munafiq mengaku beriman pada zahirnya tetapi hakikatnya tidak dengan hati. 
    Yahudi ada yang beriman sedikit tetapi ramai yang kufur. 
    Maka apabila Allah SWT nyatakan dari awal lagi sifat mereka ini, jika Nabi SAW jumpa mereka pun tidak akan pelik & sedih lagi!
  1. Antar sifat buruk mereka munafiq dan Yahudi, suka dengar berita palsu & mudah percaya benda bohong. 
    Allah ceritakan kepada kita sifat buruk mereka ini agar kita jangan bersikap begitu juga. 
    Asal sampai saja berita terus percaya & sebar, tidak cuba siasat & pastikan dulu apakah ia benar atau tidak! 

    Sedangkan kita sudah lama belajar dengan guru dan ustaz yang kita yakin dan kenal kebaikan ilmunya bertahun-tahun; sekali datang fatwa tiktok atau fitnah dari netizen terus goyah, ragu dan terikut sama sebar fitnah!
  1. Lalu Allah timpakan fitnah kekufuran ke atas mereka yang suka dengar berita bohong & percaya kepada benda karut.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang sebahagian taklif & Syari’at perundangan Islam iaitu hukum merompak, merampas & mencuri. 
    Mereka ini dipanggil puak yang memerangai Allah & Rasul (المحاربين) serta melakukan kerosakan di atas muka bumi ini.

    ii- Maka dalam ayat ini Allah nyatakan tentang dua golongan kafir musyrikin atau ahli kitab yahudi yang berpura masuk Islam iaitu menjadi munafiq untuk mendapat kepentingan habuan dunia dan menyelamatkan diri mereka.
  1. Munasabah kedua:
    i- Di akhir ayat yang lepas Allah SWT nyatakan bahawa sesungguhnya Allah berkuasa di atas setiap sesuatu sama ada di langit atau di bumi.

    ii- Maka datang ayat ini Allah memerintahkan kepada Rasulullah SAW agar jangan sedih dan bersabar atas kekufuran mereka itu sekarang ini, kerana Allah SWT Maha Berkuasa, mereka mungkin tidak beriman sekarang tetapi pada masa akan datang semua mereka akan beriman.

    Pengajarannya para pendakwah kena bersabar jangan mudah koyak dengan sedikit ujian, kena terus berusaha berdakwah kepada Allah.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ 

AYAT 41- {WAHAI RASUL ALLAH! JANGANLAH ENGKAU MENANGGUNG DUKACITA DISEBABKAN ORANG-ORANG YANG SEGERA MENCEBURKAN DIRI DALAM KEKUFURAN, IAITU DARI ORANG-ORANG YANG BERKATA DENGAN MULUTNYA: “KAMI TETAP BERIMAN”, PADAHAL HATINYA TIDAK BERIMAN; DEMIKIAN JUGA DARI ORANG-ORANG YAHUDI, MEREKA ORANG-ORANG YANG SANGAT SUKA MENDENGAR BERITA-BERITA DUSTA; MEREKA SANGAT SUKA MENDENGAR PERKATAAN GOLONGAN LAIN (PENDETA-PENDETA YAHUDI) YANG TIDAK PERNAH DATANG MENEMUIMU; MEREKA INI MENGUBAH SERTA MEMINDA PERKATAAN-PERKATAAN (DALAM KITAB TAURAT) ITU DARI TEMPAT-TEMPATNYA YANG SEBENAR.}

  1. Allah menyeru kepada Rasulullah SAW agar jangan bersedih, menanggung dukacita dengan dua golongan ini iaitu:
    i- Golongan yang laju ke arah kekufuran. Mereka yang seolah telah beriman tetapi yang cepat berubah kembali kepada kekufuran. 
    Ini kerana sebenarnya di dalam hati mereka tidak ada imanpun hanya ada di mulut sahaja, inilah golongan munafiq tulen, kafir yang mengaku beriman secara zahir.

    ii- Juga jangan sedih dengan perangai puak yahudi yang kufur lagi ingkar yang sentiasa membuat kejahatan & fitnah kepada Rasulullah & orang Islam. 
  1. Sabab nuzul ayat- hadis riwayat dari al-Bara’ bin Azib RA :عَنِ الْبَرَاءِ بْنِ عَازِبٍ قَالَ: مَرَّ عَلَى النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم بِيَهُودِيٍّ مُحَمَّمٍ مَجْلُودٍ فَدَعَاهُمْ صلى الله عليه وسلم فَقَالَ: هَكَذَا تَجِدُونَ حَدَّ الزَّانِي فِي كِتَابِكُمْ؟‏ قَالُوا نَعَمْ ‏.‏ فَدَعَا رَجُلاً مِنْ عُلَمَائِهِمْ فَقَالَ: أَنْشُدُكَ بِاللَّهِ الَّذِي أَنْزَلَ التَّوْرَاةَ عَلَى مُوسَى، أَهَكَذَا تَجِدُونَ حَدَّ الزَّانِي فِي كِتَابِكُمْ؟‏ قَالَ: لاَ وَلَوْلاَ أَنَّكَ نَشَدْتَنِي بِهَذَا لَمْ أُخْبِرْكَ، نَجِدُهُ الرَّجْمَ وَلَكِنَّهُ كَثُرَ فِي أَشْرَافِنَا، فَكُنَّا إِذَا أَخَذْنَا الشَّرِيفَ تَرَكْنَاهُ، وَإِذَا أَخَذْنَا الضَّعِيفَ أَقَمْنَا عَلَيْهِ الْحَدَّ، قُلْنَا: تَعَالَوْا فَلْنَجْتَمِعْ عَلَى شَىْءٍ نُقِيمُهُ عَلَى الشَّرِيفِ وَالْوَضِيعِ فَجَعَلْنَا التَّحْمِيمَ وَالْجَلْدَ مَكَانَ الرَّجْمِ‏.‏ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم: اللَّهُمَّ إِنِّي أَوَّلُ مَنْ أَحْيَا أَمْرَكَ إِذْ أَمَاتُوهُ. فَأَمَرَ بِهِ فَرُجِمَ، فَأَنْزَلَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ: (يَا أَيُّهَا الرَّسُولُ لاَ يَحْزُنْكَ الَّذِينَ يُسَارِعُونَ فِي الْكُفْرِ)
    Maksudnya: Rasulullah SAW melihat orang-orang Yahudi membawa seorang yang dikenakan hukuman dilumur arang di mukanya dan disebat. Rasulullah SAW memanggil mereka dan bertanya: “Apakah demikian hukuman terhadap orang berzina yang kamu dapati di dalam kitab kamu?” Mereka menjawab: “Ya”. Kemudian Rasul memanggil seorang ulama mereka dan bersabda: “Aku bersumpah atas nama Allah yang telah menurunkan Taurat kepada Musa, apakah demikian kamu dapati hukuman kepada orang yang berzina di dalam kitabmu?” Ia menjawab: “Tidak, demi Allah jika engkau tidak bersumpah lebih dahulu tidak akan ku terangkan, bahawa hukuman bagi orang yang berzina di dalam kitab kami adalah direjam (dilempari batu sampai mati). Akan tetapi kerana banyak pembesar-pembesar kami yang melakukan zina, maka kami biarkan, dan apabila seorang hina berzina kami tegakkan hukum sesuai dengan kitab. Kemudian kami berkumpul dan mengubah hukum tersebut dengan menetapkan hukum yang ringan dilaksanakan, bagi yang hina ataupun pembesar iaitu menghitamkan mukanya dan memukulinya”. Bersabdalah Rasulullah SAW: “Ya Allah, sesungguhnya saya yang pertama menghidupkan perintah-Mu setelah dihapuskan oleh mereka”. Kemudian Rasulullah SAW menetapkan hukum rejam, dan direjamlah Yahudi pezina itu. Maka turunlah ayat ini (Al Maidah ayat 41) {يَا أَيُّهَا الرَّسُولُ لاَ يَحْزُنْكَ الَّذِينَ يُسَارِعُونَ فِي الْكُفْرِ} sehingga ayat: {إِنْ أُوتِيتُمْ هَـٰذَا فَخُذُوهُ وَإِن لَّمْ تُؤْتَوْهُ فَٱحْذَرُوا۟ ۚ}. [HR Muslim].

    Kata al-Bara’ : Ayat ini diturunkan kepada semua orang kafir. Tetapi orang Islam yang ingkar hukum Allah begitu juga, bukan kerana dia tak mampu nak buat.

    ii- Disebutkan bahawa Nabi ﷺ bertanya kepada orang-orang Yahudi:
    فَقَالَ لِلْيَهُودِ: مَا تَصْنَعُونَ بِهِمَا؟ ” قَالُوا: نُسخّم وُجُوهَهُمَا ونُخْزِيهما. قَالَ: {فَأْتُوا بِالتَّوْرَاةِ فَاتْلُوهَا إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ} [آلِ عِمْرَانَ:93] فَجَاءُوا، فَقَالُوا لِرَجُلٍ مِنْهُمْ مِمَّنْ يَرْضَوْنَ أعورَ: اقْرَأْ، فَقَرَأَ حَتَّى انْتَهَى إِلَى مَوْضِعٍ مِنْهَا فَوَضَعَ يَدَهُ عَلَيْهِ، قَالَ: ارْفَعْ يَدَكَ. فَرَفَعَ، فَإِذَا آيَةُ الرَّجْمِ تَلُوحُ، قَالَ: يَا مُحَمَّدُ، إِنَّ فِيهَا آيَةَ الرَّجْمِ، وَلَكِنَّا نَتَكَاتَمَهُ بَيْنَنَا. فَأَمَرَ بِهِمَا فَرُجما.
    Apakah yang akan kamu lakukan terhadap keduanya? Mereka menjawab, “Kami akan mencoreng muka mereka dengan arang dan mencaci makinya.” Nabi ﷺ bersabda membacakan firman-Nya: Maka bawalah Taurat itu, lalu bacalah dia jika kamu orang-orang yang benar. (Ali Imran: 93) Lalu mereka mendatangkannya dan berkata kepada seorang lelaki di antara mereka yang mereka percayai, tetapi dia bermata juling, “Bacalah!” Lalu lelaki itu membacanya hingga sampai pada suatu bahagian, lalu dia meletakkan tangannya pada bahagian itu. Maka Nabi ﷺ bersabda, “Angkatlah tanganmu!” Lalu lelaki itu mengangkat tangan­nya, dan ternyata tampak jelas adanya ayat hukum rejam. Kemudian lelaki itu berkata, “Hai Muhammad, sesungguhnya di dalam kitab Taurat memang ada hukum rejam, tetapi kami menyembunyikannya di antara kami.” Maka Nabi ﷺ memerintahkan agar keduanya dihukum rejam, lalu keduanya direjam.” [HR Bukhari].
  1. Allah nyatakan perangai mereka yang jahat itu:
    i- Orang-orang Yahudi ini mereka orang-orang yang sangat suka mendengar berita-berita dusta; iaitu rekaan pendeta mereka.

    ii- Mereka (musyrikin pula) sangat suka mendengar perkataan golongan lain, iaitu kata-kata pendeta-pendeta Yahudi yang tidak pernah datang menemui Rasulullah SAW.
    Contoh : Mengatakan Rasulullah SAW itu bukan rasul yang ditunggu itu, sedangkan mereka tahu yang benar.

    iii- Mereka ini mengubah serta meminda perkataan-perkataan dalam Kitab Taurat itu dari tempat-tempatnya yang sebenar.
    Contoh : Hukum zina ditukar dari rejam kepada hukum conteng muka.
  1. Itulah golongan munafiqin, yahudi, kafir tulen dan semua yang tidak mahu ikut Islam, tidak mahu ikut Nabi SAW itulah mereka yang sesat! 
    i- Mereka suka bertanya hukum kepada pendeta mereka bukan kepada Nabi SAW. 

    ii- Para pendeta pula apabila orang ramai pakat ikut mereka, mereka pun telah memutar ayat-ayat Allah SWT, tafsir ayat dengan tafsiran yang salah, ikut nafsu semata sedangkan mereka tahu yang benar! 
    Tahu yang betul tapi nak putar juga!
  1. Ini yang kita runsing dengan keadaan sekarang, kita orang Islam ini pun suka juga dengar cerita-cerita bohong.
    Kita juga bersangka baik kepada para pendakwah penceramah tok lebai kita, tetapi apabila mereka baca buku atau kitab. Sayangnya mereka tidak cuba tapis atau kaji lansung dulu sumber-sumber hadis yang dibawa, sedangkan ulama’-ulama’ hadis telah menilai bahawa hadis itu palsu (موضوع) tiada asal dalam kitab hadis yang muktabar, hanya ada dalam kitab syi’ah. 
  1. Ini yang kita bimbang buat majlis cinta Nabi tetapi bawa hadis palsu iaitu menipu atas nama Nabi SAW!  
    Bila ditanya mereka kata hanya baca apa yang ada di dalam kitab, begitukah juga yang mereka akan jawab apabila ditanya di hadapan Nabi SAW di Akhirat kelak!

    Para peganjur yang membawa penceramah-penceramah yang suka bawa hadis palsu berhati-hatilah! 
    Apabila tidak menyemak fakta maka akan jadilah auta!

AYAT 41- {MEREKA BERKATA: “JIKA DISAMPAIKAN KEPADA KAMU HUKUM SEPERTI INI MAKA TERIMALAH DIA, DAN JIKA TIDAK DISAMPAIKANNYA KEPADA KAMU, MAKA JAGALAH DIRI BAIK-BAIK”.}

  1. Apabila berlaku kes di kalangan mereka, mereka hantar untuk pergi berjumpa dengan Rasulullah SAW bagi meminta hukum. 
    Namun mereka telah berkata yakni telah berpesan awal-awal lagi kepada wakil itu:
    i- Kalau Nabi ﷺ memberi hukuman sama seperti kehendak mereka, iaitu contohnya diconteng muka dan dimalukan di khalayak ramai bagi berzina, maka terimalah. 

    ii- Tetapi kalau keputusan Nabi Muhammad ﷺ itu tidak sama seperti yang mereka mahu, iaitu hukuman rejam; maka jangan bersetuju.
  1. Bukan yahudi atau musyrikin sahaja, kita sekarang ini juga jangan mudah mendengar & menerima berita yang tidak tentu lagi benarnya, apatah lagi jika hadis dari Rasulullah SAW yang tidak pasti sahihnya atau tentu palsu.  
  1. Begitu juga kita hari ini, dalam al-Quran terang-terang menyebut bahawa riba & rasuah haram, tetapi kita kata tidak haram kerana ada lesen serta tukar namanya kepada yang lunak!
    Al-Quran jelas hukum zina sedemikian tetapi kita tidak beramal dan menukarnya dengan hukuman ciptaan manusia! 
  1. Orang yang berkuasa, yang bertanggungjawab bersedialah untuk menjawab di hadapan Allah! 
    Kita orang biasa, tidak berkuasa, kita katakan kita tidak redha dengan ini semua tetapi apa boleh buat inilah yang ada dalam negara kita!

AYAT 41- {DAN SESIAPA YANG DIKEHENDAKI ALLAH KESESATANNYA, MAKA ENGKAU TIDAK BERKUASA SAMA SEKALI (MENOLAK) SESUATU APAPUN (YANG DATANG) DARI ALLAH UNTUKNYA. MEREKA IALAH ORANG-ORANG YANG ALLAH TIDAK MAHU MEMBERSIHKAN HATI MEREKA; BAGI MEREKA KEHINAAN DI DUNIA, DAN DI AKHIRAT KELAK MEREKA BEROLEH AZAB SEKSA YANG BESAR.} (AL-MAIDAH 5:41)

  1. Sesiapa yang dikehendaki oleh dalam fitnah – yang dikehendaki di sini ialah fitnah dalam kesesatan, maka tiada siapa yang boleh halangnya.

    Fitnah (فِتْنَة) dalam al-Quran ada banyak mana : Syirik, kufur, sesat, ujian dan lain-lain.
    Boleh baca buku yang diusahakan oleh DDAAM, Tenang Dalam Ujian: https://dartaibah.com/…/Tenang-Dengan-Ujian-Dr-Abdul…
  1. Mereka ini adalah orang yang Allah tidak bersihkan hatinya kerana mereka tidak mahu beriman! 
    Atas dunia ini mereka dalam kehinaan, yahudi ini negara pun tiada & dilaknat oleh satu dunia, manakala di Akhirat kelak mereka beroleh azab siksa yang besar.
  1. Kata ar-Razi RHM : Fitnah dalam ayat ini boleh masuk belaka, mengandungi semua yang membawa kerosakan, maka fitnahlah ia!
    Ya Allah kami minta perlindungan dengan-Mu dari sebarang fitnah, yang zahir & batin, yang kecik & besar!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 41- {Wahai Rasul Allah! Janganlah engkau menanggung dukacita disebabkan orang-orang yang segera menceburkan diri dalam kekufuran,}-

    Allah memanggil Nabi Muhammad SAW sebagai – wahai Rasulullah!
    Ayat ini mengajar dan mendidik kita agar jangan memanggil Nabi SAW ikut suka dengan sewenang-wenangnya!
    Allah SWT tidak panggil nama Nabi SAW dalam al-Quran kecuali dengan jawatannya seperti {يَـٰٓأَيُّهَا ٱلرَّسُولُ}, {يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّبِىُّ}- ini menunjukkan kemuliaan Baginda SAW di sisi Tuhannya.

    Adapun para rasul & nabi lain Allah panggil dengan nama mereka.
    {قَالَ يَـٰٓـَٔادَمُ أَنۢبِئْهُم}, {يَـٰنُوحُ}, {يَـٰٓإِبْرَٰهِيمُ}, {يَـٰعِيسَىٰٓ} dan lain-lain.
    Nabi lain semua Allah panggil dengan nama kecuali Nabi Muhammad SAW, Allah panggil dengan jawatan!
    Maka kita hari ini hati-hati, terdapat sebahagian daripada qasidah & nasyid-nasyid yang panggil Nabi dengan namanya (Ya Muhammad). 
    Kalau pada zaman dulu hanya dua golongan saja yang panggil Nabi SAW begitu iaitu sama ada orang Badwi yang tiada adab atau puak kafir munafiq atau yahudi.
    Maka kita orang yang beriman janganlah kita panggil Nabi SAW KECUALI dengan panggilan yang mulia & beradab walaupun Baginda SAW sudah wafat! 
  1. Ayat 41- {Wahai Rasul Allah! Janganlah engkau menanggung dukacita disebabkan orang-orang yang segera menceburkan diri dalam kekufuran,}-

    Allah tenangkan hati Rasulullah dengan berpesan agar jangan sedih & dukacita dengan mereka yang laju segera menjadi kafir daripada menerima Islam, sama ada dari kalangan munafiq atau yahudi.
    Maka dalam ayat ini Allah nyatakan & dedahkan awal kepada Nabi SAW akan keadaan mereka itu! 
    Kata orang tahu awal hati lebih tenang! 
    Manusia ini berbeza dalam kedudukan kafir, ada orang yang laju, ada yang slow-slow, ada yang zahir kafirnya menentang direct ada yang kafir secara diam dan senyap.
    Maka jangan kamu dukacita dengan mereka yang bersegera laju ke arah kafir kerana ada juga yang tidak laju!
  1. Ayat 41- {iaitu dari orang-orang yang berkata dengan mulutnya: “Kami tetap beriman”, padahal hatinya tidak beriman;}-

    Ada yang hanya kata beriman dengan mulut tetapi tidak dengan hati!
    Kata ulama’ : Tanda seseorang itu beriman, baik atau jahat, berpaksi kepada hatinya, mesti beriman & baik hatinya! 
    Apabila hati baik pastilah akan baik akhlak & sifatnya!
    Puak kafir itu Allah tidak mahu bersihkan hati mereka, maka sesiapa yang beriman dengan lidahnya sahaja itu adalah iman munafiq!

    Iman wajib ada 3 peringkat:
    i- Tasdiq iaitu membenarkan dengan hati.

    ii- Kata dengan lisan atau mulut seperti mengucap syahadah.

    iii- Beramal dengan anggota segala ibadat & perintah Allah.

    Jika ada ketiga-tiganya, inilah iman orang mukmin & yang muslih soleh, tetapi jika:
    i- Jika hanya kata dengan mulut tetapi tidak percaya dengan hati maka itu munafiq.

    ii- Jika percaya dengan hati, kata dengan mulut tetapi tidak beramal dengan anggota; yang ketiga ini kita bimbang kerana berlegar dekat kita.
    Ini adalah fahaman murji’ah yang seolah fahaman sekular & liberal, yang mengatakan iman itu cukup dengan hati tidak perlu dengan perbuatan.

    Iman itu duduk di hati & terpancar dengan anggota:
    Hadis : Sabda Rasulullah SAW: Maksudnya: “Sesungguhnya di dalam tubuh manusia ada segumpal daging. Sekiranya ia sihat, seluruh tubuh sihat dan sekiranya ia sakit, seluruh tubuh sakit. Itulah hati.” [HR Bukhari & Muslim].
    Tetapi jika perangai buruk & zahir tidak ikut perintah Allah jangan nak dakwa hati baik! 

    Anak saya walaupun tak solat, tak tutup aurat tetapi hatinya baik, dermawan suka tolong dan lain-lain. 
    Mungkin baik dengan manusia tetapi dia sebenarnya tidak baik dengan Tuhan! Na’uzubillah.
    Marilah kita perbetulkan hati kita kerana lubuknya di hati, Allah akan beri penilaian pertama melalui hati kemudian barulah dilihat kepada amal anggota badan pula termasuk lidah.
    Untuk mendengar Kuliah tentang hati ini sila dengan Kuliah Syarah kepada Kitab Penawar Bagi Hati oleh DDAAM:
    https://www.youtube.com/@halaqahabuanasmadani.2046/search…
  1. Ayat 41- {mereka orang-orang yang sangat suka mendengar berita-berita dusta; mereka sangat suka mendengar perkataan golongan lain (pendeta-pendeta Yahudi) yang tidak pernah datang menemuimu; mereka ini mengubah serta meminda perkataan-perkataan (dalam Kitab Taurat) itu dari tempat-tempatnya yang sebenar.}-

    Allah nyatakan beberapa perangi yahudi yang buruk.
    Yakni kerja puak yahudi ini suka mendengar berita palsu & dusta yang direka dibuat oleh pendeta mereka! 
    Pendeta mereka kerjanya mengubah serta meminda perkataan-perkataan dalam Kitab Taurat itu dari tempat-tempatnya yang sebenar.

    Maka kata ulama’ : sesiapa ulama’ Islam yang suka tukar atau tafsir ayat al-Quran mengikut pemahamannya sendiri, untuk kepentingan kumpulan atau gangnya maka mereka akan menyerupai perangai yahudi. 
    Tafsir ikut nafsu & menjaga kedudukan.
    Allah kata dalam ayat ini bahawa mereka tukar tempat-
    {mereka ini mengubah serta meminda perkataan-perkataan (dalam Kitab Taurat) itu dari tempat-tempatnya yang sebenar.}-
    Yakni menafsirkan ayat-ayat tidak mengikut apa yang dikehendaki Allah SWT, ikut kehendak & nafsu mereka.

    Dalam firman Allah SWT ini pula:
    {Mereka sentiasa mengubah Kalimah-kalimah (yang ada di dalam kitab Taurat dengan memutarnya) dari tempat-tempatnya (dan maksudnya) yang sebenar, dan mereka melupakan (meninggalkan) sebahagian dari apa yang diperingatkan mereka mereka dengannya.} (Al-Ma’idah 5:13)  

    Dalam ayat ini mereka tukar terus ayat atau perkataan yang ada dengan ayat atau perkataan lain yang mereka buat sendiri, serta tinggalkan. Buat tak jumpa, tak nampak apa yang ada dalam kitab mereka.
    Maka kita kena lihat kepada tafsiran al-Quran yang telah dibuat oleh ulama’-ulama’ Salaf & Khalaf yang muktabar, bukan kepada ulama’ akhirin yang celaru. 

    Ahli-ahli ilmu berhati-hatilah, ingatlah tanggungjawab kita di hadapan Allah SWT sangat besar. 
    DAAM ulang sekali lagi bahawa dia bukan menafsirkan al-Quran tetapi hanya membaca dan syarah kitab tafsir sahaja!
    Allah SWT juga menceritakan sifat yahudi dalam firman-Nya ini:
    Maksudnya: {Di antara orang-orang Yahudi ada yang mengubah (atau menukar ganti) Kalamullah (isi Kitab Taurat), dari tempat dan maksudnya yang sebenar.} (An-Nisa’ 4:46)
    Inilah perangai yahudi yang cukup jahat!

    Kemudian mereka pesan kepada wakil mereka: Jika Nabi SAW bawa fatwa yang serupa mereka kehendaki boleh ikut, jika lain maka jangan ikut! 
    Ini menunjukkan betapa jahatnya ulama’ su’ (yang jahat) yang merosakkan & putar belik maksud ayat sebenar. 

    Begitu juga apabila kita lihat kepada sejarah ulama’ su’ yang berada di kalangan khalifah raja-raja pemerintah yang tidak memberi nasihat & bimbingan yang membina kepada pemerintah; bahkan merosakkan mereka dengan megatakan apa yang mereka buat itu semua sudah betul, sudah bertepatan dengan al-Quran & Sunnah!
    Inilah betapa bahayanya penjahat di kalangan orang yang ada ilmu! 
    Kerana itu ahli fatwa ahli hukum mereka sangat besar tanggungjawabnya di hadapan Allah SWT kelak.
    Hati-hati jangan seronok dengan jawatan, jangan mudah-mudah buat hukum kerana nak jaga kelompok dan nak jaga kedudukan!
  1. Ayat 41- {Mereka ialah orang-orang yang Allah tidak mahu membersihkan hati mereka; bagi mereka kehinaan di dunia, dan di akhirat kelak mereka beroleh azab seksa yang besar.}-

    Maka puak kafir, puah munafiq & yahudi ini Allah tidak akan bersihkan hati mereka yang membuatkan mereka tidak akan beriman! 
    Bagi mereka hina di dunia & azab di Akhirat!
    Ayat ini sangat berat sekali, Allah nyatakan apabila Allah tidak mahu bersihkan hati mereka maka mereka akan hidup dalam kesesatan & hati kotor. 
    Maka apabila hati kotor akan lahirlah penyakit-penyakit hati yang membawa kepada sifat & perangai yang buruk pula!
    Sama-sama kita ambil pengajaran dari ayat ini: jangan bercakap bohong dan mudah menerima pembohongan, lebih-lebih lagi pembohongan atas nama Nabi SAW! 
    Kemudian betulkan hati kita, ikhlaskan niat, belajar kerana Allah serta mengamalkannya pun kerana Allah & dengan amalan yang  
    Rasulullah SAW ajar!

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs