View Categories

Surah Al-Ma’idah : Ayat 51-53

TEGAHAN MENOLONG YAHUDI DAN NASARA, MUNAFIQIN BERSAMA MEREKA & ORANG MUKMIN TERKEJUT DENGAN MAINAN MUNAFIQIN.

Full video : https://youtu.be/Z9YxSdaQKfQ?si=2-aMXU1Q6jiU5gjn

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-Ma’idah ini dengan ayat 51 sehingga 53, dalam juzu’ keenam.
  1. Dalam siri ini Allah SWT menceritakan tentang tegahan kepada orang mukmin daripada memberi wala’ { أَوْلِيَآء} iaitu kepatuhan, kasih sayang & pertolongan kepada yahudi dan nasara. 

    Ini kerana mereka menolak Rasulullah SAW & tidak mahu beriman kepada apa yang dibawa oleh Baginda, sedangkan dalam kitab mereka sudah ada tentang kebangkitan Baginda SAW.
  1. Mereka juga bersatu sesama kafir dalam menentang orang Islam. 
    Terdapat satu lagi golongan iaitu munafiqin yang talam dua muka, yang zahir mengaku beriman tetapi sebenarnya bersama kafir & yahudi juga. 
  1. Orang mukmin terkejut dengan mainan munafiqin ini pada siangnya bersumpah setia dengan mereka mengaku beriman, tetapi di belakangnya menyokong dan bersama dengan orang kafir! 
    Maka jangan ikut karenah dan sifat mereka yang buruk ini.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang kecelaruan terumbang-ambing puak yahudi dalam agama mereka & mereka cuba menyesat orang Islam serta khianat kepada Rasulullah SAW.

    ii- Lalu dalam ayat ini Allah nyatakan kepada orang mukmin; kerana kamu sudah kenal sifat jahat mereka itu, maka jangan sesekali ambil mereka sebagai ketua, teman rapat & teman setia serta berlebih-lebih dalam menyayangi mereka sehingga benci kepada sesama Islam!

    Ini untuk kafir yang ada dalam negara Islam bukan kafir harbi. 
    Jika kafir harbi wajib lawan & diperangi.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.

AYAT 51- {WAHAI ORANG-ORANG YANG BERIMAN! JANGANLAH KAMU MENGAMBIL ORANG-ORANG YAHUDI DAN NASRANI ITU SEBAGAI TEMAN RAPAT, KERANA SETENGAH MEREKA MENJADI TEMAN RAPAT KEPADA SETENGAHNYA YANG LAIN; DAN SESIAPA DI ANTARA KAMU YANG MENJADIKAN MEREKA TEMAN RAPATNYA, MAKA SESUNGGUHNYA IA ADALAH DARI GOLONGAN MEREKA. SESUNGGUHNYA ALLAH TIDAK MEMBERIKAN PETUNJUK KEPADA KAUM YANG BERLAKU ZALIM.} (AL-MA’IDAH 5:51)

  1. Allah menyeru kepada orang yang beriman, jika kamu benar patuh & taat kepada Allah & Rasulullah SAW; agar jangan mengambil orang yahudi & nasrani sebagai {أَوْلِيَآءَ ۘ} wali, teman rapat, teman setia, tolong menolong! 

    Ulama’ kata : Maksudnya Allah larang dalam bantu-membantu: 
    Bantu mereka samada untuk mengalah menghentam orang Islam sendiri atau tolong mereka dalam mengalahkan kafir lain! 
  1. Ini kerana mereka sesama mereka itu dalam melawan Islam mereka bersatu & menjadi teman rapat, membantu antara satu sama lain!
    Yahudi dia berkasih-sayang & membantu nasrani, nasrani membantu musyrikin dan seumpamanya, yakni puak kafir itu bersatu dalam menentang Islam.
  1. Jika sesiapa ambil juga mereka ini sebagai teman rapat yang disokong & didokong untuk menentang Islam juga terutamanya; maka:
    i- Dia seolah dari golongan kafir juga dari segi perbuatan & hukum ke atas mereka seperti kafir juga! 

    ii- Dia juga akan termasuk dalam golongan yang zalim, yang mengambil kafir sebagai teman & membenci atau menentang orang Islam.
  1. Allah tidak akan beri taufiq hidayah kepada golongan ini sehingga mereka kembali bertaubat kepada Allah Azza wa Jalla! 
    Maka berhati-hati & berpadalah!
  1. Firman Allah SWT juga tentang ini:
    Maksudnya: {Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Dan sesiapa yang melakukan (larangan) yang demikian maka tiadalah ia (mendapat perlindungan) dari Allah dalam sesuatu apapun, kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka (yang kafir itu). Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan diriNya (menyeksa kamu). Dan kepada Allah jualah tempat kembali.} (Al-‘Imran 3:28)

    Ada tambahan dalam ayat ini KECUALI jika terpaksa yang mengancam nyawa dan diri seperti zaman penjajah, maka boleh berlakon untuk taat secara zahir seolah menyokong & patuh kepada mereka; jangan termasuk dalam hati! 
    Yakni sabarlah sebelum hijrah atau menang.
  1. Hukum muawala’ orang kafir ini kesimpulannya:
    i- Paling kurang darjatnya perbuatan itu berdosa.

    ii- Tinggi lagi jika dia taat & sayang kepada orang kafir sehingga tahap benci & memusuhi sesama Islam; ia boleh membawa kepada kekufuran, wal ‘iyazu billah!
    Kategori & level tak sama, lihat kepada keadaan & realitinya!

AYAT 52- {DALAM PADA ITU, ENGKAU LIHAT ORANG-ORANG (MUNAFIK) YANG ADA PENYAKIT DALAM HATINYA SEGERA BERUSAHA MENDAMPINGKAN DIRI KEPADA MEREKA (YAHUDI DAN NASRANI), SAMBIL BERKATA: “KAMI TAKUT BAHAWA KAMI AKAN DITIMPA BENCANA (YANG MEMAKSA KAMI MEMINTA PERTOLONGAN MEREKA)”. MUDAH-MUDAHAN ALLAH AKAN MENDATANGKAN KEMENANGAN (KEPADA RASULNYA DAN UMAT ISLAM) ATAU MENDATANGKAN SESUATU HUKUMAN DARI SISINYA (TERHADAP GOLONGAN YANG MUNAFIK ITU); MAKA SEBAB ITU MEREKA AKAN MENYESAL MENGENAI APA YANG TELAH MEREKA SEMBUNYIKAN DALAM HATINYA.} (AL-MA’IDAH 5:52)

  1. Allah nyatakan ada 3 golongan manusia dalam negara Islam:
    i- Orang mukmin yang beriman dengan zahir & batin.

    ii- Orang musyrikin yang kafir dengan zahir & batin.

    iii- Orang munafiqin yang beriman dengan zahir tetapi kafir secara batin.
    Mereka ini muncul apabila Islam kuat, lalu mereka nak selamatkan diri & harta mereka dengan menjadi munafiq, yang mengaku beriman secara zahir!
  1. Allah SWT nyatakan kepada Rasulullah SAW tidakkah kamu lihat kepada kaum munafiq ini yang dalam hatinya ada syak keraguan, tidak beriman, mereka laju memberi sokongan kepada yahudi & nasrani dengan harapan untuk mendapat habuan dan keselamatan dari dihukum oleh yahudi jika Islam kalah. 
  1. Kemudian apabila Allah beri kemenangan kepada Islam & Rasulullah SAW; mereka terhegeh-hegeh datang kepada orang mukmin pula dengan menyesal kerana sokong kafir yang kalah! 
    Berputih mata & menggigit jari mereka dengan menyesal! 
    Inilah kerugian bagi orang yang tidak istiqomah dalam perjuangan!
  1. Begitulah mereka munafiq yang mencari peluang dan ruang. 
    Di mana ada peluang di disitulah mereka muncul! 
    Bila Islam menang mereka gembira kerana nak dapat habuan juga, tetapi bila nampak Islam nak kalah terus mereka lari lompat ke pihak kafir!
    Itulah perangai mereka; tidak yakin kepada Allah SWT!
  1. Kita orang Islam mestilah kena ada prinsip dalam perjuangan, tetap teguh pegangan & keimanan, sokongan yang tidak berbelah bagi, menang atau kalah tetap tidak lari & berpaling tadah! 
  1. Allah telah beri kemenangan (ٱلْفَتْحِ) kepada umat Islam bermula dalam peperangan Badar kemudian pada tahun berikutnya Allah uji orang mukmin dalam peperangan Uhud dengan syahidnya begitu ramai tentera Islam. 
    Tetapi mereka tidak kalah bahkan Rasulullah SAW terus bawa pasukannya mengejar kafir Quraisy sehingga ke Hamra’ul Asad, 20km di luar kota Madinah!
  1. Marilah kita istiqomah duduk dalam Islam bersama Kitab & Sunnah, jangan lari daripada apa yang diajar oleh Nabi SAW. 
    Jika lari kita akan rugi!
  1. Hari ini terdapat arus atau gelombang ajaran atau amalan yang pelik-pelik, bahkan sesat, di ajar kepada masyarakat bukan sibuk dengan ajar & amalan Sunnah nabi SAW.
    Inilah kerugian yang besar kepada masyarakat! 
    Kita berusahalah sebaik mungkin, setiap amalan kita pastikan ada dalil dari al-Quran & sandaran yang sahih kepada Nabi SAW.
  1. Alhamdulillah Islam kaya dengan dalil & hujjah, tidak perlu sandarkan kepada mitos & cerita pelik, keramat & magic tok syeikh dan lain-lain untuk menarik pengikut & melariskan ajaran!

AYAT 53- {DAN (TELATAH KAUM MUNAFIK ITU MENJADIKAN) ORANG-ORANG YANG BERIMAN BERKATA: “ADAKAH MEREKA INI ORANG-ORANG YANG BERSUMPAH DENGAN NAMA ALLAH, DENGAN SEBENAR-BENAR SUMPAHNYA, BAHAWA MEREKA BENAR-BENAR MENYERTAI DAN MENOLONG KAMU?” TELAH GUGURLAH AMAL-AMAL MEREKA, LALU MENJADILAH MEREKA: ORANG-ORANG YANG RUGI.} (AL-MA’IDAH 5:53)

  1. Orang munafiq ini kerjanya suka bersumpah (sumpah palsu) untuk menyelamatkan diri mereka & mencari habuan dunia. 
    Mereka ini seolah sesumpah (pokko) yang berubah warna ikut keadaan & tempat! 
  1. Orang beriman berasa pelik & terkejut melihat perangai munafiq itu yang telah menzahirkan perangai sebenar mereka apabila bersama dengan geng kafir mereka! 
    Sedangkan sebelum ini ketika berada dengan orang Islam; mereka telah bersumpah dengan nama Allah mengaku beriman dan sebagainya!
  1. Begitulah watak munafiq yang boleh berubah bila-bila masa. 
    Di mana ada kepenting mereka akan muncul mencari peluang mengintai di mana ada projek & habuan di mana pihak saja! 
    Cuma tunjukkan muka atau berlakon secara zahir saja!
  1. Lalu Allah nyatakan bahawa mereka akan menjadi orang-orang yang rugi kerana segala pahala amalan yang mereka buat secara lakonan itu akan gugur dan tidak diterima.
    Ini kerana mereka tidak beriman dengan hati hanya mengaku beriman secara zahir saja!
    Mereka duduk dengan orang Islam tetapi tidak Islam, maka rugi besarlah mereka!
  1. Ya Allah jauhkan kami dari sifat munafiq dan semua sifat buruk: اللَّهُمَّ إِنِّى أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْفَقْرِ وَالْكُفْرِ، وَالْفُسُوقِ، وَالشِّقَاقِ، وَالنِّفَاقِ، وَالسُّمْعَةِ، وَالرِّيَاءِ
    Ya Allah, aku berlindung kepadaMu dari kefakiran, kekufuran, kefasikan, kederhakaan, kemunafikan dan riya’.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 51- {Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai teman rapat,..}-

    Allah menyeru kepada orang yang beriman yang dengar kata & taat.
    Janganlah kamu mengambil orang yahudi & nasrani dan semua kafir yang ada, sebagai teman rapat yang diberikan kasih-sayang & taat setia sehingga benci kepada orang Islam.
    Kata ulama’ : Antara tanda-tanda seseorang itu beriman iaitu tidak berwala’kan kepada orang kafir! 
    Putuslah sifat muwalah, kasih-sayang, hubungan dan kesetiaan antara orang kafir & orang Islam. 
    Mereka juga tidak boleh saling menerima harta pusaka apabila berbeza agama!
    Maka sesiapa yang melanggar & lawan perintah Allah SWT ini mereka akan berada dalam risiko yang bahaya!
  1. Ayat 51- {kerana setengah mereka menjadi teman rapat kepada setengahnya yang lain;}-

    Kesemua golongan kafir ini akan bersatu sesama mereka dalam menentang & melawan orang Islam.
    Maka dalam ayat ini Allah beri amaran: Sesiapa buat juga & tak dengar kata setelah dilarang maka Allah kata: Kamu akan bersama mereka di dunia & di Akhirat kelak juga bangkit bersama mereka.

    Sebagaimana Nabi SAW bersabda: المرء مع من أحب
    Maksudnya: “Seseorang akan bersama dengan orang yang dicintainya.” (HR Bukhari No: 5702) 

    Kita minta berlindung dengan Allah, tidak mahu bangkit dengan orang kafir; kita nak bersama orang mukmin, orang soleh yang dapat membawa kita ke syurga bersama!
  1. Ayat 52- {Dalam pada itu, engkau lihat orang-orang (munafik) yang ada penyakit dalam hatinya..}-

    Allah nyatakan bahawa mereka orang munafiq ini ada penyakit dalam hatinya! 
    Apakah penyakit hati ini? 
    Apa beza antara sakit hati & hati sakit?
    Jawapan : Hati sakit boleh dibawa ke hospital tetapi sakit hati akan membawa mati kerana dia sakit hati kepada orang! 

    Maksud firman Allah ini {فِى قُلُوبِهِم مَّرَضٌۭ} ialah penyakit hati yang tidak boleh diubati doktor iaitu ada dua jenis pula: 
    i- Penyakit shawat ikut nafsu, nak kepada semua yang melalaikan, tamak kepada harta, hasad dengki atau dendam kepada manusia.

    ii- Penyakit syubhah, keraguan tidak yakin kepada Allah SWT. 
    Inilah penyakit yang menimpa munafiqin ini yang menyebabkan mereka tidak beriman kepada Allah! 
    Munafiqin ini juga cepat laju, ghairah & semangat sangat untuk bersama puak kafir!
    Kemudian mereka menyesal dengan penyesalan yang tidak berguna lagi.
    Orang beriman berhati-hatilah kerana sesiapa yang laju untuk bersama puak kafir maka mereka termasuk dalam golongan munafiqin! 
  1. Ayat 52- {Mudah-mudahan Allah akan mendatangkan kemenangan (kepada RasulNya dan umat Islam) atau mendatangkan sesuatu hukuman dari sisiNya..}-

    Allah akan beri kemenangan kepada Rasulullah SAW dan umat Islam.
    Kata ulama’ : Perkataan mudah-mudahan {عَسَى} ini jika datang dari Allah ia bererti wajib, sesuatu yang pasti akan berlaku! 
    Bukan seperti kegunaan perkataan ini untuk manusia, ia membawa makna mungkin atau boleh jadi!
    Sama seperti apabila Allah kata- {Mudah-mudahan Allah akan beri pertolongan..}- yakni Allah akan tolong orang yang beriman apabila cukup syarat yang dikehendaki-Nya! 
    Jika syarat tak cukup tunggu dulu, akan tangguh kemenangan itu pada masa akan datang atau Allah akan dedahkan keburukan munafiq itu dari awal lgi.
    Begitulah sifat munafiqin yang begitu hina & buruk, yang tiada prinsip & pendirian seperti lalang bergoyang ke arah mana saja angin tiup, juga seperti haiwan pokko, sesumpah yang berubah warna ikut tempat & keadaan.
  1. Ayat 53- {Dan (telatah kaum munafik itu menjadikan) orang-orang yang beriman berkata: “Adakah mereka ini orang-orang yang bersumpah dengan nama Allah,}-

    Orang mukmin kaget, terkejut dengan perangai munafiqin yang berani bersumpah dengan nama Allah tetapi langgarnya!
    Orang munafiqin menyatakan iman mereka secara zahir dengan bersumpah tetapi dalam hati mereka sebenarnya kosong dari iman!
    Maka kita orang mukmin jangan kagum dengan orang munafiq atau kafir ini.
    Sebelum beri sokongan wala’ dan kepercayan kepada orang; kita lihat dulu sifat, perangai, karenah & pendirian mereka.

    Kata pepatah Arab : كل اناء بما فيه ينضح Setiap bekas akan mengeluarkan isi kandungan di dalamnya!
    Yakni jika isi hati munafiq kafir, maka akan terkeluar juga dari mulut & terzahir tindak-tanduk mereka kekufuran mereka itu!
    Sembunyikanlah setara mana pun Allah akan dedahkan!

    Dunia hari ini jika kita nak kenal seseorang boleh lihat gaya penulisannya atau media sosialnya; siapa atau apa yang dia follow, like dan share, perkataan apa yang dia tulis atau komen. 
    Kita akan boleh kesan dan jangka kecenderungannya.

    Sebagaimana kata pepatah : Sekilas ikan di air sudah diketahui jantan betinanya!
    Begitu juga golongan munafiq; sembunyikanlah setara manapun, Allah akan dedahkan mereka.
    Kita orang mukmin jangan mudah kagum dengan orang; jangan cepat beri wala’ kepercayaan & kesetiaan. 
    Kita sabar dan lihat dulu kelakuan dan lakonan mereka. 
    Ingatlah dunia hari ini penuh dengan lakonan & kepura-puraan.
    Marilah kita beri kepercayaan dan kesetiaan kita kepada Islam, kepada al-Quran & Sunnah.
    Lain-lain amalan kita timbang dengan berpandukan mizan, neraca timbangan al-Quran, hadis Nabi SAW serta huraian para ulama’ Islam, semoga kita selamat.

Alhamdulillah tamatlah kuliah kita untuk hari ini semoga mendapat manfaat dan faedah yang besar darinya!
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.

Powered by BetterDocs