View Categories

Surah Al-Ma’idah : Ayat 6

HUKUM BERWUDHU’ DAN RUKUNNYA, MANDI JUNUB, TAYAMMUM & ISLAM AGAMA YANG SENANG.

Full video : https://youtu.be/yYYD-_uqtyo?si=7pLy9n-rK_RboaYP

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-Ma’idah ini dengan satu ayat 6 sahaja, ayatnya panjang dan mengandungi beberapa hukum.
  1. Dalam siri ini Allah SWT menceritakan tentang 3 hukum toharah (bersuci) iaitu hukum berwudhu’ dan rukun-rukunnya.
  1. Kemudian diikuti dengan hukum mandi junub jika berhadas besar serta hukum tayammum jika sakit atau tiada air.
  1. Di akhir ayat Allah nyatakan bahawa Islam agama yang senang dan mudah, boleh diamalkan oleh sesiapapun dan Syari’atnya mampu dibuat oleh manusia biasa.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam permulaan surah, Allah SWT bawa hukum tentang wajib tunaikan janji, serta hukum dalam perkahwinan, halal haram dalam makanan, semua ini adalah muamalah atau hubungan kita sesama manusia.

    ii- Dalam ayat ini pula berpindah kepada muamalah ukhrawiyyah iaitu hubungan kita dengan Allah Pencipta. 
    Cukuplah tentang makan minum & perkahwinan; sekarang mari kita solat beribadat kepada Allah pula. 
    Solat adalah perhubungan yang paling mantap antara kita dengan Allah; kerana itu wajib bersuci dulu sebelum solat! 
  1. Ini adalah susunan ayat yang amat tertib dalam al-Quran, lepas makan kamu ke tandas lalu berhadas, maka kena berwudhu’, manakala lepas kahwin ada junub lalu diajar cara mandi junub pula. 
    Bila tidak air boleh tayammum pula. 
    Amat indah sekali munasabah susunan ayatnya.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.

AYAT 6- {WAHAI ORANG-ORANG YANG BERIMAN, APABILA KAMU HENDAK MENGERJAKAN SEMBAHYANG (PADAHAL KAMU BERHADAS KECIL), MAKA (BERWUDUKLAH) IAITU BASUHLAH MUKA KAMU, DAN KEDUA BELAH TANGAN KAMU MELIPUTI SIKU, DAN SAPULAH SEBAHAGIAN DARI KEPALA KAMU, DAN BASUHLAH KEDUA BELAH KAKI KAMU MELIPUTI BUKU LALI;} (AL-MAAIDAH 5:6)

  1. Wahai orang beriman! Allah seru bahawa apabila kamu nak solat kena ada wudhu’ jika kamu berhadas kecil.
  1. Dalam ayat ini Allah bawa rukun wudhu’ secara jelas satu persatu:
    i- Pertama pastilah niat walaupun tidak disebut dalam ayat ini, tetapi berdasarkan hadis Rasulullah SAW:

    ii- Basuhlah muka kamu, muka ialah dari telinga ke telinga serta dari dahi bermula tempat tumbuh rambut (hairline) sehingga ke tulang rahang dagu.

    iii- Dan kedua belah tangan kamu meliputi siku,

    iv- Dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, ini sudah cukup tetapi yang sempurna & ikut Sunnah Nabi SAW:
    Dari Abdullah bin Zaid bin Asim al-Ansariy RA bahawa beliau telah diminta untuk menunjukkan cara Rasulullah SAW. berwuduk. Maka beliau pun meminta sebekas air, lalu menuang sedikit air ke atas tapak tangan dan membasuhnya sebanyak tiga kali……….. Kemudian beliau mencedok lagi lalu menyapu kepala dalam keadaan menyapu tangannya dari arah depan kepala ke arah belakang dan menyapu tangannya kembali ke arah depan kepala….. sehingga ke akhir. [HR Bukhari & Muslim].

    Nabi SAW menyapu air ke kepalanya dengan maksimum & sekali sahaja dan menggunakan kedua belah tangannya. 
    Jika kita colek-colek saja itu sudah sah hatta dengan tiga helai rambut saja pun, itu yang minimum. Yang kita nak pastilah yang maksimum, yang pahala banyak & ikut Sunnah Nabi SAW! 

    v- Dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali. Majoriti ulama’ kata : Kaki kena basuh dengan sempurna sehingga ke buku lali bukan sapu seperti kepala.
    Inilah adalah tiga anggota yang kena basuh iaitu: muka, dua tangan & dua kaki, manakala kepala hanya sapu air.
  1. Kata orang tua-tua : Rukun wudhu’ ini ada:
    i- Empat basah : Basuh muka, tangan, kepala & air. 

    ii- Dua kering : Iaitu niat & tertib ikut turutan.
  1. Tamatlah kitab bab hukum wudhu’ wajib selepas berhadas kecil (pergi ke tandas) sebelum kamu mendirikan solat!

AYAT 6- {DAN JIKA KAMU JUNUB (BERHADAS BESAR) MAKA BERSUCILAH DENGAN MANDI WAJIB; DAN JIKA KAMU SAKIT (TIDAK BOLEH KENA AIR), ATAU DALAM PELAYARAN, ATAU SALAH SEORANG DARI KAMU DATANG DARI TEMPAT BUANG AIR, ATAU KAMU SENTUH PEREMPUAN, SEDANG KAMU TIDAK MENDAPAT AIR (UNTUK BERWUDUK DAN MANDI), MAKA HENDAKLAH KAMU BERTAYAMUM DENGAN TANAH – DEBU YANG BERSIH, IAITU: SAPULAH MUKA KAMU DAN KEDUA BELAH TANGAN KAMU DENGAN TANAH – DEBU ITU.} (AL-MAAIDAH 5:6)

  1. Kemudian Allah ajar jika kamu berhadas besar iaitu sama ada keluar mani (kerana bermimpi mungkin) atau bertemu dua khitan (antara suami isteri) sama ada keluar mani atau tidak, wajib kamu bersuci dengan mandi junub iaitu meratakan air ke seluruh badan dengan syarat-syaratnya.
  1. Tetapi Allah bawa pula kelonggaran (rukhsah) iaitu jika kamu:
    i- Datang dari tempat buang air (جَآءَ أَحَدٌۭ مِّنكُم مِّنَ ٱلْغَآئِطِ) iaitu kamu berhadas kecil selepas buang air kecil atau besar;

    ii- Atau berhadas besar dengan sentuh perempuan {أَوْ لَـٰمَسْتُمُ ٱلنِّسَآءَ} iaitu berjimak.
    Lihatlah bagaimana Allah SWT menggunakan ayat berlapik, bahasa kiasan di dalam al-Quran untuk perkataan yang agak sensitif & tidak sopan atau kotor untuk dibaca dihadapan umum, kanak-kanak atau di dalam solat.
  1. Tetapi kamu tidak boleh bersuci dengan berwudhu’ atau mandi wajib kerana:
    i- Kamu sakit yang tidak boleh kena air kerana akan memberi mudharat kepada luka atau penyakit itu,

    ii- Atau tidak ada air untuk bersuci, sama ada dalam musafir atau tidak;
  1. Maka kamu dibolehkan bertayammun bagi menggantikan wudhu’ atau mandi itu untuk mengangkat hadas besar atau hadas kecil itu. 
    Bertayamum ialah dengan tanah debu yang bersih, caranya ialah: {sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu dengan tanah – debu itu}.
    Tayammum ini ada syarat-syaratnya juga bukan bermudah-mudah.
  1. Cara tayammum ada dua pendapat (tentang sapu tangan) berdasarkan dua hadis ini:
    i- setakat pergelangan tangan berdasarkan hadis ‘Ammar bin Yasir RA: بَعَثَنِى رَسُولُ اللَّهِ – صلى الله عليه وسلم – فِى حَاجَةٍ فَأَجْنَبْتُ ، فَلَمْ أَجِدِ الْمَاءَ ، فَتَمَرَّغْتُ فِى الصَّعِيدِ كَمَا تَمَرَّغُ الدَّابَّةُ ، فَذَكَرْتُ ذَلِكَ لِلنَّبِىِّ – صلى الله عليه وسلم – فَقَالَ «إِنَّمَا كَانَ يَكْفِيكَ أَنْ تَصْنَعَ هَكَذَا». فَضَرَبَ بِكَفِّهِ ضَرْبَةً عَلَى الأَرْضِ ثُمَّ نَفَضَهَا ، ثُمَّ مَسَحَ بِهَا ظَهْرَ كَفِّهِ بِشِمَالِهِ ، أَوْ ظَهْرَ شِمَالِهِ بِكَفِّهِ ، ثُمَّ مَسَحَ بِهِمَا وَجْهَهُ.
    Rasulullah SAW mengutusku untuk suatu keperluan, kemudian aku mengalami junub dan aku tidak menemukan air. Maka aku berguling-guling di atas tanah sebagaimana layaknya haiwan yang berguling-guling di atas tanah. Kemudian aku ceritakan hal tersebut kepada Nabi SAW. Lantas Baginda bersabda, “Sesungguhnya cukuplah engkau melakukannya seperti ini”. Sambil Baginda memukulkan tapak tangannya ke permukaan bumi sekali pukulan lalu meniupnya. Kemudian Baginda mengusap belakang telapak tangan (kanan)nya dengan tangan kirinya dan mengusap belakang telapak tangan (kiri)nya dengan tangan kanannya, lalu beliau mengusap wajahnya dengan kedua tangannya. [HR Bukhari & Muslim]

    ii- Hadis cara kedua (sehingga ke siku) riwayat dari Ibnu Umar R. Anhuma diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Cara bertayammum adalah dengan dua kali tepukan, sekali untuk muka dan sekali lagi untuk kedua-dua belah tangan hingga siku.” [HR al- Daraqutni (1/256)].
  1. Perbincangan tentang sentuh perempuan ini (لَـٰمَسْتُمُ ٱلنِّسَآءَ) sangat panjang dan agak sensitif dan terdapat 3 pandangan ulama’: 
    i- Mazhab Syafei serta beberapa mazhab Salafus-Soleh bermaksud sentuh dengan tangan, asal bersentuh saja antara kulit dengan kulit seorang lelaki & perempuan yang bukan mahram (termasuk isteri) maka dikira batal wudhu’nya.
    Antara ulama’ Salaf yang pegang pendapat ini ialah: Abdullah bin Mas’ud, Ibnu Umar, Abidah, Abu Usman an-Nahdi, Abu Ubaidah asy-Sya’bi, Thabit Ibnu Hajar, Ibrahim an-Nakaha’i, Zaid bin Aslam, Ata’, Hakam & Hammad dan ulama’ besar feqah termasuk Imam Syafei RHM.

    ii- Manakala ada ulama’ yang kata : Ia bermaksud jima’ iaitu
    Mazhab Abu Hanifah : Sentuh saja tanpa nafsu atau dengan nafsu tidak batal.
    Antara ulama’ yang pegang pendapat ini ialah : Ibnu Abbas, Ali, Ubai bin Ka’ab, Mujahid, Thawus, Al-Hasan, Ubaid bin Umar, Said bin Jubir, Qatadah dan lain-lain.

    iii- Ada yang menghadkannya iaitu sentuh saja tidak batal tetapi jika sentuh dengan nafsu, ada syahwat baru batal. Ini adalah pendapat ulama’ mazhab Hanbali dan lain-lain ulama’.
  1. Ulama’ yang mempertahankan kata : Sentuh saja tidak batal wudhu’, yang Allah maksudkan di sini sentuh jimak, hujjah mereka adalah logik iaitu kerana Allah sebut dua toharah dalam ayat ini:
    i- Datang dari tandas kerana buang air, ia adalah hadas kecil.

    ii- Manakala sentuh perempuan dengan makna jimak adalah merujuk kepada hadas besar!
    Kenapa Allah nak sebut pula sentuh saja yang hanya batal wudhu’? 
    Pastilah ia mewakili hadas besar yakni dengan maksud jimak. 
  1. Kesimpulannya pendapat yang rajih menurut majoriti ulama’ yang mengatakan tidak batal wudhu’ dengan bersentuhan kulit sahaja, wallahu a’lam.
    Ini kerana;
    i- Sebelumnya Allah sebut tentang hadas kecil kerana buang air,

    ii- Kemudian menyebutkan tentang hadas besar kerana menyentuh perempuan iaitu berjima’.
  1. Jadi kesimpulannya : Majoriti ulama’ kata tidak batal wudhu’ sentuh perempuan saja, sengaja atau tidak kecuali mazhab Syafe’i yang agak ketat, tersentuh dengan tidak sengaja pun terus batal.
    Tetapi jangan pula kita terlalu bermudah dan main-main pula, jika tiada keperluan janganlah kita sengaja bersentuhan atau berpegangan bila ada wudhu’, ini untuk keluar dari khilaf, menghormati pandangan ulama’ lain dan lebih selamat. Wallahu a’lam.

AYAT 6- {ALLAH TIDAK MAHU MENJADIKAN KAMU MENANGGUNG SESUATU KESUSAHAN (KEPAYAHAN), TETAPI IA BERKEHENDAK MEMBERSIHKAN (MENSUCIKAN) KAMU DAN HENDAK MENYEMPURNAKAN NIKMATNYA KEPADA KAMU, SUPAYA KAMU BERSYUKUR.} (AL-MAAIDAH 5:6)

  1. Allah nyatakan bahawa semua hukum yang dibuat ini (sama ada wudhu’, mandi wajib atau tayammum) bukan untuk menyusahkan hamba-Nya, menyempitkan hidup mereka!
    Betapa banyak ayat-ayat al-Quran yang menyatakan ini.
  1. Allah SWT nak bersihkan kita secara zahir sama ada dengan berwudhu’ atau mandi. 
    Adapun kebersihan batin, bagunlah solat. 
    Maka disuruh kita bersuci sebelum beribadat & solat kepada Allah SWT. 
  1. Sekali lagi Allah ulang bahawa Dia hendak menyempurnakan nikmat-Nya kepada kamu, dengan Syari’at-Nya yang sangat nyata serta memberi kemudahan kepada kamu!
    Ini supaya kamu bersyukur dengan hati kamu, lidah kamu & anggota kamu dengan nikmat yang Allah berikan kepada kamu. 
    Alhamdulillah.
  1. Tetapi ingat agama itu mudah tetapi jangan permudahkan agama!
    Contohnya:
    i- Orang musafir Allah bagi rukhsah boleh qasar & jamak solat, tetapi jangan tinggalkannya terus.

    ii- Orang sakit boleh solat sambil duduk, tetapi jika mampu berdiri tetapi duduk atas kerusi juga, itu bermudah-mudah!
  1. Ulama’ tadabbur kata : Dalam ayat ini ada tujuh asas, setiap satunya berkembar:
    i- Dua alat bersuci/toharah : Wudhu’ dan mandi.

    ii- Dua alat besuci : Air dan tanah.

    iii- Dua hukum iaitu sama ada : Basuh atau sapu.

    iv- Dua perkara yang mewajibkan : Hadas kecil wajib wudhu’ atau junub hadas besar wajib mandi.

    v- Dua perkara yang mengharuskan : Sakit atau musafir.

    vi- Dua ayat kiasan yang berlapik : Pergi ke tandas (untuk buang air) dan sentuh perempuan (untuk jimak).

    vii- Dua kemuliaan apabila kita bersuci : Ia membersih dosa dan melengkapkan nikmat. 
    Iaitu nikmat iman & Islam yang tiada di dalamnya kesusahan atau kepayahan.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 6- {Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) }-

    Allah kata wahai orang beriman jika nak solat kamu kena berwudhu’ dulu.
    Kata ulama’ : Orang bersuci ialah tanda orang beriman. 
    Orang yang beriman dia tak akan tipu orang! Kita amanah terhadap perintah Allah & diri kita sendiri kerana jika kita nak tipu, nak solat tanpa wudhu’ atau mandi junub tiada orang akan tahu.
    Orang yang beriman sentiasa berada dalam keadaan suci, iaitu sentiasa berwudhu’ dan terus mandi junub apabila perlu kerana mudah nak beribadat.
  1. Ayat 6- {atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu sentuh perempuan..}-

    Allah SWT gunakan perkataan yang berlapik apabila perkataan direct tidak elok.
    Jangan guna yang menunjukkan kekotoran atau kelucahan, gunalah perkataan berlapik sebagaimana yang Allah ajar ini!.
    Kerana itu jika nak buang air kena cari tempat yang terlindung, hari ini alhamdulillah tiada masalah binaan tandas sudah bertambah canggih!

    Contoh : Kita sedang makan dengan kawan ramai-ramai, tiba-tiba bangun sambil beritahu maaf ya saya nak ke tandas, atau sakit perut apatah lagi secara direct kata “nak pergi berak!”
    Pastilah amat tidak sopan & tidak menghormati orang lain. 
    Gunalah alasan yang sesuai dan tidak menunjukkan kekotoran atau kelucahan!
  1. Ayat 6- {maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali;}-

    Allah ajar kepada kita rukun-rukun wudhu’.
    Tetapi Allah tidak sebut berapa kali basuh maka jika sekali pun ckup & memadai. 
    Tetapi tiga kali sunat sebagaimana yang dibuat oleh Rasulullah SAW dalam hadisnya.
    Kenapa ada 3 basuh & 1 sapu? 
    Ini kerana:
    i- Muka, tangan & kaki kena basuh kerana jika melakukan apa-apa perbuatan tiga anggota ini yang terlibat secara fizikal. 
    Muka dengan segala anggotanya mata mulut telinga akan terlibat secara lansung, begitu juga tangan & kaki yang akan bergerak melakukan tindakan.

    ii- Manakala kepala hanya sebagai mastermind, perancang yang memikirkan & beri idea saja- ia tidak terlibat secara fizikal maka cukup hanya menyapunya sahaja. Wallahu a’lam.
  1. Ayat 6- {dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib;}-

    Jika kamu berjunub kamu wajib kena mandi dengan membasuh semua anggota untuk menghilang hadas besar itu.
    Kenapa hadas besar kena mandi- tidak cukup dengan basuh begitu saja?? 
    Jawapan: Ini kerana bila berlaku hubungan suami isteri ia dirasai oleh seluruh tubuh badan, seluruh anggota dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki.
    Dalam bab mandi tiada syarat tertib. 
    Yang sunatnya Nabi SAW ajar untuk membasuh kemaluan, berwudhu’ yang sempurna kemudian mulakan mandi dari anggota sebelah kanan, kiri kemudian semua sekali badan dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki.
  1. Ayat 6- {maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah – debu yang bersih, iaitu: sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu dengan tanah – debu itu.}-

    Jika tiada air atau sakit yang tidak boleh guna air, hendaklah kamu bertayammum.
    Kata ulama’ tafsir : Dari ayat inilah menunjukan tayammum ini harus dipakai bagi hadas kecil & hadas besar juga jika tiada air.
    Tayammum itu ialah dengan debu tanah yang bersih iaitu sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu dengan tanah debu itu.
    Mazhab Maliki- semua yang ada atas muka bumi ni boleh dibuat tayammum seperti batu apa!

    Di akhir ayat Allah kata: {Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan), tetapi Ia berkehendak membersihkan (mensucikan) kamu}- iaitu agama Islam & Syari’ahnya itu mudah- jangan kamu yang menyusahkan sehingga tidak mengamalkannya.
    Allah nyatakan Islam itu indah, lengkap dan sempurna serta mudah untuk difahami dan diamalkan, tidak sesekali ia menyusahkan umatnya!

    Kitab ringkas yang perlu dimiliki oleh semua orang untuk mendapatkan ilmu tentang Sirah Nabi SAW sempena bulan Rabi’ul Awwal ini: Tahzib As-Sirah. https://dartaibah.com/…/Cetakan-Baru-2024-Edisi…
  • Serta jangan lupa kempen kita: #hartakumilikku dengan terus menderma & infaq untuk projek-projek yang telah kita pilih & Yakini kebenarannya.

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs