View Categories

Surah Al-Ma’idah : Ayat 62-64

PERANGAI JAHAT YAHUDI, ULAMA’ MEREKA BISU & BERBALAH SESAMA MEREKA.

Full video : https://youtu.be/ukTUSxYYLbQ?si=AsZEOoBoFm4FKZ_I

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-Ma’idah ini dengan ayat 62 sehingga 64.
  1. Dalam siri ini Allah SWT menceritakan tentang perangai jahat yahudi yang suka dan laju melakukan dosa, permusuhan & makan harta secar batil.
  1. Begitu juga para ulama’ & agamawan mereka yang bisu tidak menegur dan menasihat & mencegah keburukan yang berlaku di dalam masyarakat di hadapan mereka!
  1. Lalu Allah timpakan bala ke atas mereka dengan sifat permusuhan & perbalahan sesama mereka.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang besarnya dosa ahli kitab yang derhaka ini sehingga Allah tukarkan rupa mereka kepada monyet & babi. 
    Kemudian Allah nyatakan munafiq ahli kitab yang ada ilmu tetapi tetap menolak & seleweng kebenaran!

    ii- Kemudian datang ayat ini Allah nyatakan ciri-ciri sifat ahli kitab yang buruk dan jahat & munafiq, begitulah perangai buruk mereka.
    Ramai dari kalangan yahudi yang berlumba-lumba dan berkejar-kejar melakukan maksiat dan permusuhan terhadap orang Islam. 
    Antara kejahatan yang mereka buat ialah riba, rasuah, makan harta secara batil dan seumpamanya. 
    Ini adalah orang biasa, masyarakat awam!

    iii- Yang lebih luar biasanya, yang paling dahsyat lagi ialah para pendeta (ٱلرَّبَّـٰنِيُّونَ وَٱلْأَحْبَارُ) alim-ulama’, mereka yang ada ilmu tetapi menjadi syaitan bisu yang tidak menegur kemungkaran lebih dahsyat & teruk daripada orang yang tiada ilmu!

    Kata alim ulama’ : 
    Apabila orang yang tahu perkara benar diam membisu tidak menyatakan kebenaran, tidak menegur perbuatan mungkar; maka orang ramai, masyarakat awam akan menyangka perbuatan mereka itu sudah betul! 
    Ustaz atau pak imam tengok majlis dia tapi tak tegur atau larang pun!

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.

AYAT 62- {DAN ENGKAU LIHAT KEBANYAKAN DARI MEREKA BERLUMBA-LUMBA PADA MELAKUKAN DOSA DAN PENCEROBOHAN SERTA MEMAKAN YANG HARAM. DEMI SESUNGGUHNYA AMATLAH BURUK APA YANG MEREKA TELAH LAKUKAN.} (AL-MA’IDAH 5:62)

  1. Allah memberitahu kepada Rasulullah SAW kamu akan melihat perbuatan keji puak kafir yang berlumba-lumba melakukan dosa & melampaui batas, segera mencari maksiat serta memakan harta secara haram & batil! 
  1. Amat buruk & jelek sekali perbuatan mereka itu!

AYAT 63- {ALANGKAH BAIKNYA KALAU KETUA-KETUA AGAMA DAN PENDETA-PENDETA MEREKA MELARANG MEREKA DARI MENGELUARKAN PERKATAAN-PERKATAAN YANG DUSTA DAN DARI MEMAKAN YANG HARAM? SESUNGGUHNYA AMATLAH BURUK APA YANG MEREKA TELAH KERJAKAN.} (AL-MA’IDAH 5:63)

  1. Dalam ayat ini Allah kata: Jikalah para ulama’, pendidik (ٱلرَّبَّـٰنِيُّونَ) & pendeta (وَٱلْأَحْبَارُ) yahudi itu menegur para pengikutnya pasti ada kesan dan mereka tidak akan mengeluarkan perkataan buruk, perbuatan dosa seperti makan haram dan lain-lain keburukan!
  1. Tetapi malangnya mereka hanya diam, menjadi syaitan bisu yang membiarkan saja perbuatan mungkar masyarakat di depan mata mereka walaupun mereka tahu dan ada ilmu!
  1. Sesungguhnya amatlah buruk perbuatan mereka para pendeta, ahli ibadat & pendidik yahudi yang tidak menegur perbuatan para mengikut mereka yang suka mengeluarkan kata-kata buruk, makan haram & permusuhan!
  1. Ini adalah antara celaan & kejian Allah SWT kepada yahudi & pendeta mereka yang ada ilmu tetapi memilih untuk diam menjadi syaitan bisu tidak menegur masyarakat, tidak menjalankan tugas.
  1. Pesanan Allah ini juga untuk para pendakwah, pendidik, alim ulama’, petugas dan pegawai yang ada pangkat & kuasa; bertindaklah segera apabila melihat kemungkarann dalam masyarakat! 
    Jangan kerana takut orang kata, takut hilang pangkat & kedudukan sehingga kemungkaran dibiarkan berlaku, maka kita nak tunggu apa lagi selain dari kemurkaan Allah SWT!
  1. Mudah-mudahan dengan adanya juru tegur, adanya juru nasihat yang jujur insya’ Allah paling tidak masyarakat akan berfikir, apakah ini tidak betul? 
    Maka kita jalankan tugas, jangan takut kepada manusia!

AYAT 64- {DAN ORANG-ORANG YAHUDI ITU BERKATA: “TANGAN ALLAH TERBELENGGU (BAKHIL – KIKIR)”, TANGAN MEREKALAH YANG TERBELENGGU DAN MEREKA PULA DILAKNAT DENGAN SEBAB APA YANG MEREKA TELAH KATAKAN ITU, BAHKAN KEDUA TANGAN ALLAH SENTIASA TERBUKA (NIKMAT DAN KURNIANYA LUAS MELIMPAH-LIMPAH). IA BELANJAKAN (LIMPAHKAN) SEBAGAIMANA YANG IA KEHENDAKI…;} (AL-MA’IDAH 5:64)

  1. Munasabah ayat ini dengan ayat sebelum:
    i- Apabila Allah kata mereka ini suka makan haram kerana tamak nak harta;

    ii- Maka apabila tak dapat harta; kepada Tuhan pun mereka cela, kedekut tak mahu beri rezeki yang banyak & luas kepada mereka! 
    Buruk sekali mereka berkelahi dengan Allah!
  1. Antara perbuatan buruk mereka itu orang-orang Yahudi itu berkata: Tangan Allah terbelenggu iaitu mereka nak kata bahawa Tuhan itu bakhil, kikir, kedekut dan kupit (Kelate), tidak beri anugerah kepada mereka, tutup tangan kebaikan kepada mereka!
    Apabila kita dengar kata-kata buruk yang dilontar kepada Allah kita kena respon dengan berkata sebagaimana firman Allah ini: سُبْحَانَهُ وَتَعَالَىٰ عَمَّا يَقُولُونَ عُلُوًّا كَبِيرًا
    {Maha Sucilah Allah dan tertinggilah Ia setinggi-tingginya, jauh dari apa yang mereka katakan itu.} (Al-Isra’ 17:43)
    Tuhan tidak seperti yang kamu tuduh ini wahai yahudi & para kafir!
  1. Lalu Allah SWT membalas balik dengan mencela mereka pula:
    i- Tangan merekalah yahudi yang terbelenggu sebenar, yakni merekalah yang kedekut bakhil!

    ii- Dan mereka pula dilaknat dengan sebab apa yang mereka telah katakan itu.
    Mereka akan dihalang dari rahmat Allah SWT & dilaknat atas dunia lagi sebelum azab di Akhirat yang tiada bandingannya!
  1. Bukanlah keadaan Allah itu seperti yang mereka yahudi sangka & dakwakan, bahkan tangan Allah sentiasa terbuka memberi rezeki, memberi rahmat kepada hamba-Nya, nikmat Allah itu luas, orang yang beriman boleh makan, orang kafir pun boleh makan juga! 
    Jika tidak, tidak termakan orang kafir, ini kerana dunia ini tempat ujian!
  1. Allah membelanjakan rezeki itu kepada siapa yang dikehendaki-Nya untuk diberi.
    Ada yang banyak, ada yang sedikit, ada yang mudah dan ada yang susah.
  1. Firman Allah SWT juga:
    Maksudnya: {Dan Ia telah memberi kepada kamu sebahagian dari tiap-tiap apa jua yang kamu hajati. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia (yang ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhannya.} (Ibrahim 14:34)
    Semoga kita tidak termasuk dalam golongan ini tetapi dalam golongan yang beriman yang taat, sentiasa mensyukuri nikmat & rahmat Allah! 
    Ayat ini adalah ayat yang menjadi tangisan bagi ahli ibadat!
  1. Hadis dari Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: يَدُ اللَّهِ مَلْأَى لَا يَغِيضُهَا نَفَقَةٌ، سَحَّاءُ اللَّيْلَ وَالنَّهَارَ
    Maksudnya: “Tangan Allah selalu penuh, tidak kurang kerana memberi nafkah dan selalu dermawan baik siang mahupun malam.” [HR Bukhari].
  1. Apabila kita sebut apa-apa saja tentang sifat Allah kita bacanya dengan ayat ini: 
    {لَيْسَ كَمِثْلِهِۦ شَىْءٌۭ ۖ- Tiada sesuatupun yang sebanding dengan (ZatNya, sifat-sifatNya, dan pentadbiranNya)}.
    Hati tenang & fikiran tidak serabut, kita ikutlah sebagaimana yang diajar oleh ulama’ salaf ini!
  1. Kita kata apa yang disebut sendiri oleh Allah SWT, apa yang disebut oleh Nabi SAW, kita tidak meletakkan Allah SWT seperti makhluk atau menyamakan Allah dengan makhluk atau apa saja. 
    Macamana itu diluar pemikiran kotak manusia!
    Bukan seperti kumpulan musyabbihah atau mujassimah yang sesat! 

AYAT 64- {….DAN DEMI SESUNGGUHNYA, APA YANG TELAH DITURUNKAN KEPADAMU DARI TUHANMU ITU AKAN MENJADIKAN KEBANYAKAN DARI MEREKA BERTAMBAH DERHAKA DAN KUFUR; DAN KAMI TANAMKAN PERASAAN PERMUSUHAN DAN KEBENCIAN DI ANTARA MEREKA HINGGA HARI KIAMAT. TIAP-TIAP KALI MEREKA MENYALAKAN API PEPERANGAN, ALLAH MEMADAMKANNYA; DAN MEREKA PULA TERUS-MENERUS MELAKUKAN KEROSAKAN DI MUKA BUMI, SEDANG ALLAH TIDAK SUKA KEPADA ORANG-ORANG YANG MELAKUKAN KEROSAKAN.} (AL-MA’IDAH 5:64)

  1. Puak Yahudi ini makin turun al-Quran, iaitu semakin banyak mereka dengar al-Quran, semakin kafir jadinya mereka, semakin jahat perangainya.
  1. Terdapat sedikit perbandingan dalam ayat ini, iaitu apabila Allah nyatakan tentang turunnya al-Quran, Allah sandarkan kepada Zat-nya yang mulia iaitu al-Quran yang turun dari Tuhanmu {مِن رَّبِّكَ}.
    Tetapi apabila sebut tentang hujan Allah nyatakan bahawa ia turun dari langit.
  1. Firman Allah SWT:
    {Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Ayat-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.} (Al-Isra’ 17:82)
  1. Kerana mereka bertambah derhaka & kufur; lalu Allah tanamkan dalam hati mereka perasaan permusuhan & kebencian sesama mereka sehingga ke hari Kiamat!
    Inilah azab & hukuman ke atas mereka atas dunia ini lagi!
  1. Setiap kali mereka cuba nyalakan api peperangan, nak berlawan dengan orang lain Allah segera memadamkannya dan menjadikan mereka terus bermusuhan sesama sendiri.  
  1. Mereka juga terus-menerus melakukan kerosakan di atas muka bumi ini iaitu kufur, melakukan maksiat, menentang Islam, menyebarkan kebatilan, makan harta haram dan segala keburukannya.
  1. Kemudian Allah nyatakan bahawa Tuhan tidak sayang tidak suka kepada orang yang berterusan melakukan kerosakan atas muka bumi ini dan Allah akan balas atas apa yang mereka lakukan!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 62- {Dan engkau lihat kebanyakan dari mereka berlumba-lumba pada melakukan dosa dan pencerobohan serta memakan yang haram.}-

    an kamu akan lihat orang kafir, yahudi dan nasrani ini berlumba-lumba, bersegera untuk melakukan kejahatan atas muka bumi ini!
    Persoalan:
    i- Kenapa Allah guna perkataan berlumba-lumba (يُسَـٰرِعُونَ) untuk melakukan kejahatan {فِى ٱلْإِثْمِ وَٱلْعُدْوَٰنِ} juga sedangkan biasanya ia digunakan untuk orang yang berlumba-lumba melakukan kebaikan (البر)? 
    Jawapan: 
    Ini menunjukkan lawan kepada taat itu maksiat!
    Sifat yahudi ini laju & segera sangat mereka kepada benda maksiat & mungkar!

    ii- Allah tak kata mereka bersegera kepada dosa (يُسَـٰرِعُونَ إلى ٱلْإِثْمِ وَٱلْعُدْوَٰنِ) tetapi Allah kata mereka bersegera dalam dosa { يُسَـٰرِعُونَ فِى ٱلْإِثْمِ وَٱلْعُدْوَٰنِ}?
    Jawapan:
    Ini menunjukkan mereka itu sudah berada & berlegar dalam maksiat, bukan berada di luarnya, kerana mereka bersegera lagi di dalam (فِى) dosa!
    Jika guna (ke- إلى) ia bererti mereka berada di luarnya!
    Allah nyatakan di sini sesiapa yang laju buat maksiat, permusuhan, siapa buat laju makan haram, riba, rasuah dan lainnya, maka dia adalah sama dengan perangai yahudi!
    Kerana itu Allah sebut makan { وَأَكْلِهِمُ ٱلسُّحْتَ}- harta haram kerana makan itu berulang dan akan dilakukan lagi dan lagi!
  1. Ayat 63- {Alangkah baiknya kalau ketua-ketua agama dan pendeta-pendeta mereka melarang mereka dari mengeluarkan perkataan-perkataan yang dusta dan dari memakan yang haram? Sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka telah kerjakan.}-

    Kenapalah tok-tok guru, ulama’ pendidik dan pendeta mereka tidak larang perbuatan buruk pengikutnya! 
    Allah SWT mencela ulama’ yahudi yang tidak bercakap, diam membisu tidak menegur & menasihati dan melarang kemungkaran yang diam daripada menyatakan kebenaran di saat ummat perlukan bimbingan dan nasihat!
    Allah cela ulama’ yahudi, tetapi dalam masa yang sama, hukumnya juga sama dengan para ulama’ & pendakwah kita, orang Islam, pun akan dicela jika senyap tidak bercakap!
    Teguran ini walaupun untuk yahudi pada masa itu, adalah untuk semua ulama’ yang sepanjang zaman, ulama’-ulama’ Islam juga terutamanya yang diam daripada menyatakan kebenaran, diam daripada menegur dan menasihati apa yang dia tahu.
  1. Ayat 64- {Dan orang-orang Yahudi itu berkata: “Tangan Allah terbelenggu (bakhil – kikir)”,}-

    Yahudi berkata buruk & mencela Allah dengan mengatakan menyekat rezeki mereka, tidak beri banyak seperti yang dipintakan!
    Ayat ini sekaligus menunjukkan bahawa golongan yahudi itu sangat tamak haloba bernafsu inginkan harta, mereka adalah golongan materialistik (مادية) yang cintakan harta kebendaan!
    Maka keluarlah perkataan buruk mereka terhadap Allah yang didakwa tidak beri banyak rezeki kepada mereka! 
    Maka Allah jatuhkan ke atas mereka celaan dan laknat disebabkan ucapan buruk mereka itu!
  1. Ayat 64- {dan demi sesungguhnya, apa yang telah diturunkan kepadamu dari tuhanmu itu akan menjadikan kebanyakan dari mereka bertambah derhaka dan kufur;}-

    Allah katakan bahawa al-Quran itu diturunkan dari sisi Tuhan-Mu. 
    Sebagaimana telah disebut dalam ayat di atas tadi; jika al-Quran Allah sandarkan kepada Zat-Nya yang mulia, sebut dari Allah.
    Yakni al-Quran itu adalah dari Allah maka kamu percayalah, kamu berimanlah dengannya!
    Beberapa firman Allah yang membezakan tentang turun (أُنزِلَ) ini:
    i- { أَنزَلَ مِنَ ٱلسَّمَآءِ مَآءًۭ- Ia menurunkan air (hujan) dari langit} (Ar-Ra’d 13:17)

    ii- { وَأَنزَلْنَا ٱلْحَدِيدَ فِيهِ – Dan Kami turunkan besi} (Al-Hadid 57:25) 

    iii- aApabila al-Quran Allah nyatakan darinya: {Katakanlah (wahai Muhammad): Al-Quran itu diturunkan oleh Ruhul Qudus (Jibril) dari Tuhanmu dengan cara yang sungguh layak dan berhikmat.} (Al-Nahl 16:102) 

    iv- { تَنزِيلُ ٱلْكِتَـٰبِ مِنَ ٱللَّهِ ٱلْعَزِيزِ ٱلْحَكِيمِ – Turunnya Kitab Al-Quran ini dari Allah, Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.} (Az-Zumar 39:1)
    Yakni jika diturunkan al-Quran Allah sebut dari Allah manakala jika benda lain Allah sebut tempat turunnya, seperti hujan yang turun dari awan atau kepada sebabnya.
  1. Ayat 64- {dan Kami tanamkan perasaan permusuhan dan kebencian di antara mereka hingga hari kiamat.}-

    Oleh kerana jahatnya yahudi; Allah timpakan ke atas mereka permusahan & perbalahan sesama mereka yang tidak habis-habis!
    Firman Allah juga:
    Maksudnya: (Sebabnya): permusuhan di antara mereka sesama sendiri amatlah keras; engkau menyangka mereka bersatu padu, sedang hati mereka berpecah belah (disebabkan berlainan kepercayaan mereka).} (Al-Hasy-r 59:14)
    Oleh kerana mereka benci kepada orang Islam maka Allah jadikan, timpakan dalam hati mereka juga kebencian sesama mereka yahudi!
    Jika orang yahudi bencikan sesama mereka Islam, maka janganlah kita sesama Islam juga membenci sesama sendiri, betapa banyak sudah ayat yang kita baca agar jangan meletakkan orang kafir di depan orang Islam!
    Utamakan muslim daripada orang kafir dalam apa jua bidang seperti perniagaan dan lain-lain, kita berilah sokongan & dokongan kepada sesama Islam yang kita tahu istiqomah dalam agama, yang menutup aurat, yang aktif dalam bidang dakwah dan seumpamanya.  

Semoga Allah satukan hati kita dan jauhkan kita daripada perpecahan!
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs