NASARA KAFIR KERANA MENGATAKAN ISA TUHAN, TRINITY 3 DALAM SATU & SERUAN BERTAUBAT.
Full video : https://youtu.be/FRZ8ESp-wH0?si=8ioI3QpJqY8AaO_y
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-Ma’idah ini dengan ayat 72 sehingga 74.
- Dalam siri ini Allah SWT menegaskan bahawa telah kafirlah puak Nasara yang mengatakan Nabi Isa itu sebagai Tuhan.
- Mereka juga mengatakan Tuhan itu tiga beranak iaitu fahaman Trinity, 3 Tuhan dalam satu.
Amat karut & sesat, wal-‘yazubillah!
- Kemudian seruan untuk mereka bertaubat, kembali mentauhidkan Allah lalu akan diberi keampunan.
Ini menunjukkan sesyirik & sejahat mana manusia, pintu taubat akan sentiasa terbuka, maka jangan putus harap akan rahmat Allah SWT.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang yahudi, karenah & kejahatan mereka yang pelbagai ragam.
ii- Maka bermula dari ayat ini pula akan dibincangkan tentang nasrani, yang mendakwa Nabi Isa adalah Tuhan & menyembahnya.
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 72- {DEMI SESUNGGUHNYA! TELAH KAFIRLAH ORANG-ORANG YANG BERKATA: “BAHAWASANYA ALLAH IALAH AL-MASIH IBNI MARYAM”. PADAHAL AL-MASIH SENDIRI BERKATA:” WAHAI BANI ISRAIL! SEMBAHLAH ALLAH, TUHANKU DAN TUHAN KAMU, BAHAWASANYA SESIAPA YANG MEMPERSEKUTUKAN ALLAH DENGAN SESUATU YANG LAIN, MAKA SESUNGGUHNYA ALLAH HARAMKAN KEPADANYA SYURGA, DAN TEMPAT KEMBALINYA IALAH NERAKA; DAN TIADALAH SEORANG PENOLONG PUN BAGI ORANG-ORANG YANG BERLAKU ZALIM”.} (AL-MA’IDAH 5:72)
- Allah menegaskan dengan jelas & nyata bahawa telah kafirlah orang yang mengatakan bahawa Nabi Isa itu adalah Tuhan.
Ayat ini terbuka yakni bukan hanya untuk Nasrani, sesiapa saja yang kata manusia lain sebagai Tuhan maka telah kafir!!!!
- Mereka ini terutamanya golongan nasrani mendakwan Nabi Isa al-Masih sebagai anak Tuhan atau Tuhan terus. Mereka mengangkat manusia biasa sebagai Tuhan tanpa hak & kebenaran.
- Sedangkan Nabi Isa AS telah berdakwah & mengajak mereka dengan tegas & menyeru kepada tauhid dan menyuruh mereka menyembah Allah SWT.
Allah Tuhan dia (Isa) dan Tuhan semua mereka.
- Dia juga telah memberi amaran kepada sesiapa yang syirik dengan mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain:
i- Maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya Syurga di Akhirat kelak,
ii- Dan tempat kembalinya ialah neraka.
Ya Allah selamatkan kami dari neraka!
- Tidak akan ada pembela atau penolong bagi orang yang syirik & zalim kepada Allah serta semua pembantunya, maka kekallah mereka di dalam neraka & azab yang pedih.
AYAT 73- {DEMI SESUNGGUHNYA TELAH KAFIRLAH ORANG-ORANG YANG BERKATA: “BAHAWASANYA ALLAH IALAH SALAH SATU DARI TIGA TUHAN”. PADAHAL TIADA TUHAN (YANG BERHAK DISEMBAH) MELAINKAN TUHAN YANG MAHA ESA. DAN JIKA MEREKA TIDAK BERHENTI DARI APA YANG MEREKA KATAKAN ITU, SUDAH TENTU ORANG-ORANG YANG KAFIR DARI ANTARA MEREKA AKAN DIKENAKAN AZAB SEKSA YANG TIDAK TERPERI SAKITNYA.} (AL-MA’IDAH 5:73)
- Allah SWT ulang sekali lagi bahawa sesungguhnya telah kafirlah mereka yang mendakwa bahawa: Allah ialah salah satu dari tiga tuhan!
Sesiapa saja yang percaya & berkata bahawa Tuhan itu adalah satu dalam tiga (trinity). Sebagaimana kepercayaan utama golongan Nasrani, Tuhan itu ada tiga: bapa, anak & ruh yang suci!
- Ayat ini ditafsir dengan firman Allah SWT ini:
Maksudnya:
{Dan (ingatlah) ketika Allah berfirman: “Wahai Isa ibni Maryam! Engkaukah yang berkata kepada manusia: `Jadikanlah daku dan ibuku dua tuhan selain dari Allah? ‘ ” Nabi `Isa menjawab: “Maha Suci Engkau (wahai Tuhan)! Tidaklah layak bagiku mengatakan sesuatu yang aku tidak berhak (mengatakannya). Jika aku ada mengatakannya, maka tentulah Engkau telah mengetahuinya. Engkau mengetahui apa yang ada pada diriku, sedang aku tidak mengetahui apa yang ada pada diriMu; kerana sesungguhnya Engkau jualah Yang Maha Mengetahui perkara-perkara yang ghaib.} (Al-Ma’idah 5:116)
- Yakni jika ikut Nabi Isa pastilah mentauhidkan Allah SWT. tetapi mereka ini kafir dengan mengangkat Nabi Isa & ibunya Maryam sebagai Tuhan!
Kerana itu nama Allah adalah khas untuk orang yang mentauhidkan Allah SWT bukan untuk orang yang syirik kepada-Nya!
- Dalilnya- Surah Al-Ikhlas:
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
{Katakanlah (wahai Muhammad): “(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; “Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; “Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan; “Dan tidak ada sesiapapun yang serupa dengan-Nya”.} (Al-Ikhlaas 112: 1-4)
- Kemudian Allah nyatakan kebatilan mereka itu;
i- Tiada Tuhan yang sebenarnya yang berhak disembah, dipuja, dipuji melainkan Allah SWT! Yakni wahai manusia, tidak ada tempat sembahan bagi kamu kecuali Allah yang Esa, tiada sekutu bagi-Nya.
ii- Bahawa Allah SWT bersifat dengan sempurna, suci & bersih daripada segala cacat-cela, kekurangan dan aib.
Antaranya ialah: Allah SWT tidak beranak & tidak diperanakkan bahkan Dia yang mencipta ayah & anak (manusia).
- Firman Allah SWT juga:
Maksudnya: {Allah tidak sekali-kali mempunyai anak, dan tidak ada sama sekali sebarang tuhan bersamaNya; (kalaulah ada banyak tuhan) tentulah tiap-tiap tuhan itu akan menguasai dan menguruskan segala yang diciptakannya dengan bersendirian, dan tentulah setengahnya akan bertindak mengalahkan setengahnya yang lain. Maha Suci Allah dari apa yang dikatakan oleh mereka (yang musyrik) itu.} (Al-Mu’minun 23:91)
- Kemudian Allah tutup ayat ini dengan memberi amaran keras & tegas:
i- Jika mereka tidak berhenti juga dari perbuatan & perkataan syirik itu;
ii- Maka akan ditimpakan ke atas mereka azab siksaan yang cukup dahsyat di Akhirat kelak.
Ini peringatan amaran keras dari Allah SWT kepada kita agar jangan ikut perbuatan & kepercayaan puak yang kafir & syirik ini, jangan kata kepada Allah macam-macam!
AYAT 74- {OLEH ITU TIDAKKAH MEREKA MAHU BERTAUBAT KEPADA ALLAH DAN MEMOHON KEAMPUNANNYA (SESUDAH MEREKA MENDENGAR KETERANGAN-KETERANGAN TENTANG KEPERCAYAAN MEREKA YANG SALAH DAN BALASAN SEKSANYA)? PADAHAL ALLAH MAHA PENGAMPUN, LAGI MAHA MENGASIHANI.} (AL-MA’IDAH 5:74)
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Allah sudah berjanji siapa yang syirik, kata Tuhan 3 dalam 1, ada anak atau apa saja jenis kesyirikan; maka Allah akan masukkanya ke dalam neraka & kekal di dalamnya!
ii- Lalu datang ayat ini sebagai pelawaan & ajakan agar segera bertaubat untuk meninggalkan syirik & segala perkataan yang buruk kepada Allah SWT.
- Allah SWT memberi tawaran agar mereka yang kafir ini bertaubat kembali kepada Allah.
Tinggalkan syirik dan segala perkataan buruk terhadap Allah, kembali kepada perkataan yang baik & diredhai Allah.
Iaitu iman, tauhid, mengaku bahawa Nabi Isa itu adalah hamba Allah & Rasul-Nya serta minta ampun kepada Allah atas dosa-dosa yang lepas!
- Maka jika kamu kembali & bertaubat, sesungguhnya Allah SWT itu:
i- Maha pengampun, lalu Allah akan ampun & maafkan kesalahan hamba-Nya yang bertaubat.
ii- Lagi Maha Mengasihani, Allah amat kasihan belas terhadap hamba-Nya dengan membuka pintu taubat kepada hamba-Nya dan mengampunkan mereka!
- Sentiasalah basahkan lidah kita untuk beristighfar & bertaubat kepada Allah SWT. sebanyak mungkin!
Dua patah perkataan yang ringan untuk kita ulang:
Ya Allah ampuni daku & terimalah taubatku. ربِّ اغفر لي وتُبْ عليَّ.
- Rasulullah sendiri sentiasa bertaubat kepada Allah 100 kali sehari walaupun Baginda seorang yang maksum & tidak ada dosanya.
Inilah masalahnya orang yang tidak bersalah memohon ampun tetapi orang yang bersalah tidak mahu bertaubat pula!
- Firman Allah SWT juga:
Maksudnya:
{Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang yang kafir itu, jika mereka berhenti (dari kekufurannya), nescaya akan diampunkan dosa mereka yang telah lalu, dan jika mereka kembali lagi (ingkar maka Kami akan menyeksa mereka), kerana sesungguhnya telah berlakulah kebinasaan orang-orang (yang kufur ingkar) dahulu kala.} (Al-Anfal 8:38)
- Inilah penyucian dosa, Yakni Allah akan ampun & hapuskan dosa kesalahan puak kafir jika mereka bertaubat & beriman!
Mereka tidak perlu qada’ segala amalan yang telah lepas.
- Rasulullah SAW telah bersabda bahawa:
Tiga perkara penghapus dosa iaitu; Islam, Hijrah (pada zaman Nabi SAW) dan Haji yang mabrur.
Sabda Rasulullah ﷺ kepada Amru bin al-‘As RA: أَمَا عَلِمْتَ أَنَّ الإِسْلاَمَ يَهْدِمُ مَا كَانَ قَبْلَهُ؟ وَأَنَّ الْهِجْرَةَ تَهْدِمُ مَا كَانَ قَبْلَهَا؟ وَأَنَّ الْحَجَّ يَهْدِمُ مَا كَانَ قَبْلَهُ؟
Mafhumnya: “Apakah kamu tahu bahawa Islam telah menghapuskan dosa sebelumnya? Hijrah boleh menghapus dosa semuanya? dan Haji boleh menghapuskan dosa sebelumnya.” [Hadith Riwayat Muslim]
Alhamdulillah Islam kita telah Islam, Hijrah seperti zaman Rasulullah SAW tiada lagi sekarang, yang ada lagi adalah Haji yang mabrur- maka kita ambillah peluang ini untuk meraih pahala yang ditawarkan Allah SWT.
- Maka sesiapa yang mendapat rezeki haji, tunai dan lakukanlah dengan sempurna & sebaiknya jangan sampai kerugian dan sia-sia.
Inilah peluang nak hapuskan segala dosa kita yang lepas.
- Rasulullah SAW telah bersabda: وَعَنْهُ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وسَلَّم يَقولُ; “منْ حَجَّ فَلَم يُرْفُتْ وَلَم يَفْسُقُ رَجَعَ كَيَومِ وَلَدَتْهُ أُمُّهُ” متفق عليه
Dari Abu Hurairah RA, ia berkata mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa mengerjakan haji, lalu ia tidak berbuat kelalaian dan tidak pula mengerjakan dosa yakni kemaksiatan besar atau yang kecil tetapi berulang kali, maka ia akan kembali dari ibadah hajinya itu sebagaimana pada hari ia dilahirkan oleh ibunya; yakni tidak ada dosa dalam dirinya sama sekali.” (Muttafaq ‘alaih)
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 72- {Demi sesungguhnya! Telah kafirlah orang-orang yang berkata: “Bahawasanya Allah ialah Al-Masih Ibni Maryam”.}-
Allah sebut dengan jelas & tegas bahawa telah kafirlah….
Apabila sebut tentang kafirnya nasrani ini Allah telah bawa tiga muakkid (penekanan) dalam ayatnya: {Demi sesungguhnya! Telah kafirlah…- لَقَدْ كَفَرَ}
Maka jangan kita berani lawan apabila kita tahu benda itu bahaya, Allah telah jatuhkan hukuman-Nya.
Dalam al-Quran biasanya umum tetapi apabila ada hukum Allah, akan bawa sebabnya, seperti nasrani ini yang telah kafir mengata & mendakwa bahawa Nabi Isa adalah Tuhan, yakni mendakwa manusia biasa sebagai Tuhan! Kafirlah sesiapa yang berbuat begitu!
- Ayat 72- {Padahal Al-Masih sendiri berkata:” Wahai Bani Israil! Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu,..}-
Nabi Isa bertegas melarang dan menasihati kaumnya apabila mereka mengangkat dirinya sebagai Tuhan! Nabi Isa terus menyatakan yang haq & kebenaran.
Pengajaran dari ayat ini ialah para pendakwah mesti bertegas apabila berhadapan dengan benda tak betul; walaupun ia berkait dan terlibat atau memberi manfaat kepada dirinya sendiri!
Ayat ini juga memberi dalil bahawa dalam Islam; Kekufuran itu tidak boleh dijatuhkan hukum lagi kecuali telah ditegakkan hujjah ke atas mereka.
Pengajaran daripada ketegasan Nabi Isa ini juga:
Para pendakwah & guru, kita kena bertegas dan terus menegur nasihat apabila para pelajar kita buat salah.
Contohnya seperti apabila mereka memuji & melontarkan kata-kata yang boleh membawa kepada melampaui dan ghuluw kepada guru & syeikh mereka!
Yang berbuat salah wajib ditegur & dibantah segera, on the spot!
Tiada pujian berlebihan pada seorang manusia, boleh membawa kepada perkara yang tidak baik.
Pendakwah kena tegas belajar dari nabi Isa AS. Bimbang kerana pujian ini boleh membawa kepada pujaan & ketaksuban!
Hormat kepada guru, memang kita kena hormat tetapi jangan melampau dan membawa kepada taksub fanatik!
- Ayat 72- {Padahal Al-Masih sendiri berkata:” Wahai Bani Israil! Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu,..}-
Dakwah Nabi Isa AS ialah dakwah tauhid kepada Allah SWT!
Kerana itu apabila kita mula nak berdakwah kepada orang yang bukan Islam; pertama sekali kita kena mulakan dengan tauhid, ajak manusia kepada tauhid & mengesakan Allah Azza wa Jalla bukan dengan ibadat dan lain-lain.
Kerana itu kata ulama’ : Dakwah kita ini bermula dengan tauhid wahai hamba Allah SWT!
Sebagaimana Nabi Isa AS mengajak manusia kepada tauhid maka dakwah kita juga adalah mengajak manusia kepada tauhid kepada Allah SWT!
- Ayat 73- {Demi sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: “Bahawasanya Allah ialah salah satu dari tiga tuhan”.}-
Ayat ini menjelaskan kepada kita bahawa apa saja fahaman yang mensyirikkan Allah SWT; itu adalah sesat!
Apa saja fahaman yang bercanggah dengan tauhid kepada Allah SWT & bercanggah dengan ajaran Nabi SAW maka itu telah terpesong dari pegangan ahli Sunnah wal Jamaah!
Seperti fahaman batiniyyah yang mendakwa Allah SWT sentiasa bersama mereka bahkan berani kata Tuhan itu ada dalam poket mereka!
Maka apa saja fahaman yang bercanggah dengan tauhid kepada Allah SWT, yang bercanggah dengan ajaran Nabi SAW maka itu adalah fahaman yang bertentang dengan ahli Sunnah.
Apabila kita menyebut ahli Sunnah ia bererti orang yang berpegang dengan Sunnah Nabi SAW dan Sunnah yang disambung oleh para khalifah & sahabat Nabi SAW RAnhum selepas itu.
Perjuangan kita adalah mengajak manusia kembali kepada tauhid, menyekat manusia dari terjerumus kepada syirik dalam semua lorong & jalan yang membawa kepadanya!
Tetapi pelik & ajaibnya, mengaku ahli Sunnah tetapi tidak mahu beramal dengan Sunnah Nabi SAW, tetapi mempromosi dan mengajak kepada amalan & ajaran yang bukan dari Sunnah Nabi SAW!
Ini benda kontra dalam hidup, mengaku Sunnah tetapi tidak mahu beramal dengan Sunnah Nabi SAW!
Ayat ini jelas, apa fahaman sekalipun asal ia syirik kepada Allah maka ia adalah kufur!
Allah sebut dengan jelas & tegas, telah kafir sesiapa yang mengatakan sedemikian! Takkan kita nak kata Allah mengkafirkan manusia pula????
Para pendakwah & ustaz hanya membaca apa perkara yang boleh membuatkan manusia menjadi kufur.
Maka kita nyatakan kepada umat, jangan buat begini kerana ia boleh membawa kepada kufur, bukan kita mengkafirkan orang seperti sesetangah manusia lain!
Kita beritahu batasan antara iman & kufur!
Jika kita ragu, tinggalkanlah ia ambil yang sahih, kenapa kita nak ajar kepada manusia ajaran & amalan yang berisiko sedangkan tauhid yang murni ada!
- Ayat 74- {Oleh itu tidakkah mereka mahu bertaubat kepada Allah dan memohon keampunannya…}-
Allah maha kaya, limpah kurnia yang besar, jadi mengapa kamu tak taubat?
Apabila kita baca kasih sayang & rahmat Allah kepada hamba-Nya sangat luas, apa saja kesalahan yang kamu buat, bukan yang kecil saja tetapi syirik kepada Allah pun akan diampunkan jika kamu bertaubat!
Pintu taubat Allah sentiasa terbuka tetapi yang kita bimbang pintu hati manusia yang tertutup.
Kerana itu Allah akhiri ayat ini dengan- {Padahal Allah Maha pengampun, lagi Maha Mengasihani.}
Alhamdulillah tamatlah kuliah tafsir kita yang ringkas untuk hari ini.
Ya Allah dengan rahmat dan limpah kurnia-Mu masukkan ke dalam hati kami cinta kepada al-Quran, cinta kepada Sunnah Nabi SAW, benci kepada syirik, maksiat, mungkar, khurafat dan segala perkara yang menyalahi Sunnah Nabi SAW.
Serta curahkan keampunan dan rahmat-Mu kepada kami, hidupkan kami dalam iman & matikan kami dalam husnul-Khatimah.
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.