View Categories

Surah Al-Ma’idah : Muqaddimah

SURAH AL-MA’IDAH – سورة المائدة 

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. 

MUQADDIMAH DAN INTISARI SURAH, MUNASABAH & KHULASAH.

Full video : https://youtu.be/JeB78nVyAOg?si=mNYMPWSxwkMloNyS

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT kerana pada pagi ini Isnin 02/09/2024 bersamaan 28 Safar 1446H kita dapat mulakan pengajian Kuliah tafsir bagi Surah Al-Maidah – سورة المائدة.
  1. Semoga Allah SWT kabulkan amalan kita, buka dan cerahkan hati kita untuk menerima panduan & hidayat dari al-Quran ini yang dapat membawa kita syurga-Nya.
  1. Surah Al-Ma’idah – سورة المائدة adalah surah yang kelima dalam tertib susunan al-Quran, iaitu selepas Surah An-Nisa’ – سورة النساء. Surah yang kedua dalam juz yang keenam.
  1. Ia adalah surah yang panjang dalam al-Quran kerana mengandungi 120 ayat yang panjang, meliputi juzuk 6-7. Yakni 1 juzuk lebih.
  1. Ulama’ tafsir sepakat mengatakan : Surah ini Madaniyyah, yakni turun di Madinah selepas hijrahnya Rasulullah SAW ke Madinah. Walaupun ada beberapa ayat yang turun di Makkah semasa Rasulullah SAW pergi ke Perjanjian Hudaibiyah.
  1. Serta sabit dari Sayyidina Umar RA bahawa ayat ini: {ٱلْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ}  dari ayat ke-3, turun pada hari Jumaat semasa Rasulullah SAW berada di Arafah pada hari Hajjatul Wada’. 

NAMA SURAH :

  1. Dinamakan Surah ini nama Al-Ma’idah yang bererti {Hidangan atau makanan) sempena perkataan Al-Ma’idah & peristiwa mengenainya disebut dalam ayat 115-116. 
    Tetapi kerana perkataan Al-Ma’idah ini tidak ada disebut dalam surah-surah lain maka diambil nama ini.
  1. Kisah hidangan Al-Ma’idah ini:
    i- Diminta oleh pengikut Nabi Isa AS iaitu al-Hawariyyun untuk menyatakan dan menzahirkan benarnya dakwah Nabi Isa AS serta mereka nak buat pesta makan.

    ii- Nabi Isa AS tidak layan permintaan mereka ini kerana takut dengan janji Allah yang akan menurunkan azab jika mereka tetap tidak beriman selepas turunnya mukjizat yang diminta itu!
    Begitulah betapa sayang & mengambil beratnya para nabi ini tentang umat mereka- tidak mahu umatnya diazab.
  1. Dinamakan juga dengan beberapa nama lain oleh ulama’ tafsir seperti:
    i- Dinamakan juga Surah Al-‘Uqud : Iaitu akad perjanjian, yang disebut pada awal surah agar orang beriman tunaikan perjanjian: { يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ أَوْفُوا۟ بِٱلْعُقُودِ ۚ}. 

    ii- Surah Al-Munqizah : Iaitu surah yang menyelamatkan.

KELEBIHAN SURAH :

  1. Surah Al-Ma’idah termasuk dalam 7 surah yang panjang.
    i- Ia setaraf dengan kitab Taurat sebagaimana hadis ini:
    Sabda Rasulullah SAW: أُعْطِيتُ مَكَانَ التَّوْرَاةِ السَّبْعَ وَأُعْطِيتُ مَكَانَ الزَّبُورِ الْمَئِينَ وَأُعْطِيتُ مَكَانَ الْإِنْجِيلِ الْمَثَانِيَ وَفُضِّلْتُ بِالْمُفَصَّلِ.
    Maksudnya: “Aku diberikan Al-Sab’a Al-Tiwal sebagai ganti kepada Taurat. Aku juga diberikan Al-Miin sebagai ganti kepada Zabur. Dan Aku juga diberikan Al-Mathani sebagai ganti kepada Injil dan aku dilebihkan dengan diberikan Al-Mufassal.” [HR Ahmad dan lain-lain].

    Berdasarkan nas hadis ini jelaslah surah-surah di dalam Al-Quran terbahagi kepada empat kategori dan bahagian:
    i- As-Sab’u At-Tiwal (السَّبْعَ الطوال) : Bermaksud tujuh surah yang panjang, iaitu: Al-Baqarah, Aali Imran, Al-Ma’idah, Al-Nisa’, Al-‘An’am, Al-Anfal dan At-Taubah.

    ii- Al-Miin (الْمَئِينَ) : Ialah surah-surah yang mempunyai seratus ayat atau lebih sedikit atau hampir kepada seratus. 
    Surah-surah yang termasuk di dalam kategori ini ialah Surah Yunus, Surah Hud, Surah Yusuf, Al-Isra’, Al-Kahf, Surah Toha. Surah Al-Anbiya’, Surah Al-Qasas dan Surah Al-Hajj.

    iii- Al-Mathani (الْمَثَانِيَ) : Ialah surah-surah yang jumlah ayatnya kurang daripada seratus. 
    Imam Al-Zarkasyi menyatakan bahawa ianya dinamakan sebagai Al-Mathani kerana pengkhabaran dan kisah-kisah banyak diulang di dalam surah-surah kategori Al-Mathani. (Rujuk Al-Burhan Fi Ulum Al-Quran,1/245)

    iv- Al-Mufassal (الْمُفَصَّلِ) : Pula adalah kategori selepas daripada Al-Mathani. 
    Ianya dinamakan sebagai Al-Mufassal kerana banyaknya Al-Fasl iaitu penutup atau pemisah ayat di antara Surah dengan Basmalah.

    Para ulama berselisih dalam menentukan surah apakah permulaan Al-Mufassal. 
    Ada yang mengatakan ianya bermula daripada Surah Qaf. 
    Ada pandangan yang menyatakan ianya bermula daripada Surah Al-Hujurat.
  1. Ia adalah antara surah yang terakhir turun dari al-Quran. 
    Dalil hadis:
    i- Riwayat Ibnu Umar RA: Surah terakhir yang diturunkan adalah Surah Al-Ma’idah dan Surah Al-Fath [HR Ahmad & at-Tirmizi].

    ii- Hadis riwayat Jubir RA, UM Aisyah berkata: “Al-Ma’idah adalah surah terakhir yang diturunkan, apa-apa hukum halal yang kamu temui dalamnya maka kamu halalkan dan hukum haram yang kamu temui dalamnya maka kamu haramkan. [HR Ahmad & an-Nasaei].
  1. Kelebihan ketiga : Ia banyak mengandungi cabang hukum yang menebut tentang perkara yang halal & haram serta menjawab persoalan yang tidak ada dalam surah lain:
    i- Kata Abu Hayyan : Dalam Surah al-Ma’idah ini ada 18 hukum yang tidak disebut dalam surah lain seperti perjanjian (al-‘Uqud) dan lain-lain. 

    ii- Al-Imam Al-Qurtubi RHM menambah satu lagi hukum yang ke-19 : Iaitu hukum tentang azan untuk solat fardhu, yang tidak ada dalam surah lain. 
    Adapun tentang azan/panggilan untuk solat Jumaat itu khas untuk solat Jumaat.

    Insya’ Allah kita akan menyebut & lalui setiap hukum ini satu persatu & semoga Allah berikan kita kefahaman tentangnya.
  1. Kelebihan keempat: 
    Diturun ketika Nabi SAW di atas untanya. Telah diriwayatkan oleh ‘Abdullah bin ‘Umar bin al-‘Ash ra, bahawa: Telah diturunkan Surah Al-Ma’idah ketika Baginda SAW berada di atas kenderaanya. Unta berkenaan tidak mampu menanggungnya maka Baginda SAW turun dari atas unta tersebut. [HR Imam Ahmad].

    Menunjukkan betapa beratnya wahyu yang turun ke atas Nabi SAW.

MAQASID/OBJEKTIF SURAH:

  1. Ta’kid/penegasan untuk menjaga perjanjian & amanah yang dibuat- mesti tunaikan! 
    Barulah sifat mukmin yang sebenar- bukan seperti munafiq yang hanya pandai berjanji!
  1. Menjelaskan banyak perkara yang berkait dengan Aqidah, antara yang besarnya ialah al-wala’ & al-bara’ (الولاء والبراء) iaitu memberi kepatuhan kepada orang Islam & berlepas diri daripada orang kafir! 
    Wajib berpegang dengan undang-undang yang diturunkan Allah bukan undang-undang taghut ciptaan kafir!
  1. Menjelaskan banyak hukum Syara’, ulama’ kata : Ada 18 & ditambah 1 lagi hukum oleh Al-Qurtubi.
  1. Untuk menyusun hubungan antarabangsa antara Islam & bukan Islam. 

INTISARI KANDUNGANNYA (PIMPINAN AR-RAHMAN):

  1. Pada awal surah Allah perintahkan orang-orang yang beriman supaya memenuhi serta menyempurnakan perjanjian, sama ada perjanjian itu berhubung dengan Allah Taala atau berhubung dengan sesama manusia.

    Kemudian diperintahkan lagi supaya menjalankan dasar bantu-membantu dan bertolong-tolongan untuk mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan, dan jangan bertolong-tolongan untuk melakukan dosa dan pencerobohan. 

    Diperintahkan juga supaya berlaku adil kepada sesiapa sahaja.

    Setelah itu diterangkan pula bahawa Allah Ta’ala telah menyempurnakan ugama Islam dan telah mencukupkan nikmatNya kepada umat Islam serta redhakan “Islam” menjadi ugama umat Muhammad SAW. 

    Kepada Ahli-ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) ditegaskan: Bahawa Nabi Muhammad SAW. telah datang kepada mereka, menerangkan banyak dari keterangan-keterangan dan hukum-hukum yang mereka telah sembunyikan dari Kitab-kitab Suci mereka. 

    Dalam kitab Taurat & Injil ada tentang kedatangan Nabi Muhammad SAW tetapi telah disembunyikan oleh para pendeta mereka!

    Ditegaskan juga bahawa Nabi Muhammad SAW. adalah sebagai Nur (cahaya) yang menerangi dengan membawa Al-Quran yang menunjukkan jalan keselamatan dan kesejahteraan kepada sesiapa yang menurut keredhaan Allah, serta mengeluarkan mereka dari kegelapan kufur kepada cahaya iman.

    Maksudnya Nabi SAW membawa Nur -cahaya petunjuk- bukan Nabi SAW dibuat daripada cahaya- itu malaikat yang dicipta daripada cahaya.

    Kemudian diterangkan tentang benda-benda diharamkan, hukum orang murtad, hukum orang yang mencuri, dan hukum orang-orang yang melakukan keganasan dan membunuh orang.

    Banyak juga ayat-ayat dalam surah ini menerangkan hujjah-hujjah yang membuktikan kekufuran kaum Yahudi dan Nasara (Kristian).
    serta menegaskan bahawa sebesar-besar musuh bagi umat Islam ialah kaum Yahudi dan orang-orang kafir musyrik yang menentang Islam.

    Ini pada zaman dulu! Pada zaman sekarang puak Kristian pun semakin kuat melawan Islam & muslim.
    Sebaliknya umat Islam diingatkan: “Wahai orang-orang yang beriman, jagalah sahaja diri kamu (daripada melakukan sesuatu yang dilarang oleh Allah). Orang-orang yang sesat tidak akan mendatangkan mudharat kepada kamu apabila kamu sendiri telah mendapat hidayah pertunjuk. Kepada Allah jualah tempat kamu semuanya, kemudian Ia akan menerangkan kepada kamu balasan apa yang telah lakukan.”.

ISU PENTING DALAM SURAH (TAFSIR MUHARRAR):

  1. Hendak menetapkan aqidah yang benar & mengambil berat isu yang berkait dengan tauhid. 
    Memperbetulkan banyak kesalahan dalam bab aqidah tertutama yang ditimbulkan oleh puak nasrani & yahudi terhadap nabi Isa AS serta mana-mana geng atas dunia ini yang menyeleweng dari jalan al-Quran & as-Sunnah.
    Allah mengingatkan kita akan hari Kiamat.
  1. Menetapkan bahawa kuasa perundangan hanya milik Allah SWT, bukan kuasa mahkamah atau parlimen. 
    Tidak ada hukuman yang lebih daripada hukum Allah SWT., maka wajib kita berhukum dengan al-Quran yang diturunkan Allah & membatalkan hukum jahiliyyah yang keji & zalim.

    Kita sekarang ini masih berpegang dengan undang-undang jahiliyyah!
  1. Menetapakan aqidah al-wala’ & al-bara’ (الولاء والبراء) Iaitu memberi kepatuhan kepada orang Islam & menjauhkan dan berlepas diri daripada orang kafir. 
    Menuntut untuk sentiasa melantik orang Islam sebagai ketua- dengan amaran keras jangan lantik orang kafir sebagai ketua orang beriman.
  1. Menyusun hubungan antara orang Islam dengan bukan Islam, sama ada dalam negara atau luar negara. 
    Khasnya cengkaman yahudi dalam Madinah amat kuat- manakala luar Madinah pula puak Nasrani seperti puak Rom & Habsyah (beriman).
  1. Memperjelaskan hukum Syara’, antaranya: Yang berkait dengan ibadat & muamalat seperti perjanjian, ikat setia, sembelihan, perburuan, ihram, nikah dengan ahli kitab, undang-undang murtad, bab bersuci, undang-undang mencuri, penceroboh yang melakukan kerosakan atas muka bumi, pengharaman arak & yahudi, hukum kaffarah orang bersumpah, larangan membunuh haiwan perburuan ketika dalam ihram, menulis wasiat ketika nak mati dan lain-lain. 
  1. Ada 3 kisah dalam Surah Al-Ma’idah ini:
    i- Kisah bani Israil & Nabi Musa AS mereka tak mahu ikut berperang.

    ii- Kisah anak Nabi Adam- Habil & Qabil, iaitu jenayah pembunuhan pertama yang berlaku atas muka bumi ini!

    iii- Kisah puak hawariyyun minta daripada Nabi Isa agar diturunkan hidangan (al-Ma’idah) dari langit.
  1. Menyatakan kedudukan ahli kitab & mereka amat suka membatalkan perjanjian, hari ini berjanji esok koyak!
    Kita orang beriman- beringatlah ini termasuk dalam apa jua perjanjian khusus atau umum- kena tunai & amanah! 
    Mereka juga mengubah kitab mereka Taurat & Injil.
    Dalam surah ini juga ada dialog yang membongkar aqidah & membatalkan hujjah mereka yang karut & sesat.
    Mereka kata Tuhan ada nak, tidak percaya kepada kerasulan Nabi Muhammad SAW dan pelbagai kekarutan lagi.

MUNASABAH KAITAN SURAH AL-MA’IDAH – سورة المائدة DENGAN SURAH AN-NISAA’ – سورة النساء SEBELUMNYA.

  1. Ini menunjukkan semua ayat al-Quran ini datang dari sumber yang sama. 
    Terdapat beberapa persamaan antara dua surah ini iaitu:
    1- Mengandungi hukum tentang akad perjanjian kontrak.

    2- Mengandungi pegangan ahli kitab, pegangan puak kafir & munafiqin.

    3- Dalam Surah An-Nisa’ banyak perjanjian tentang perkahwinan (Zawaj) pada awal surah lagi Allah suruh jaga & beri hak isteri.
    Serta tentang keamanan, sumpah dan juga perjanjian, wasiat, simpanan, wakalah & sewa-menyewa. 
    ii- Datang Surah al-Ma’idah dikuatkan lagi apabila Allah mulakan dengan ta’kid dari awal agar tunaikan janji.

    4- Dalam Surah An-Nisa’ ada permulaan untuk pengharaman anak, 
    ii- Maka dalam Surah Al-Ma’idah ini datang hukum pengharaman arak secara total, tiada lagi kelunakan.

    5. Kesimpulannya, kedua-dua surah ini berdebat bertempur untuk berlawan dengan ahli kitab, puak kafir & munafiqin di dalam aqidah mereka yang batil & sikap mereka terhadap Nabi SAW.
  1. Kesinambungan yang terdetik dalam kepala AAM pula : Sebelum ini surah tentang perempuan an-Nisa’ datang selepasnya Surah Al-Ma’idah iaitu makanan atau hidangan, satu kesinambungan yang unik. 
    Selepas Surah Al-Ma’idah (Hidangan) datang pula Surah Al-An’am iaitu binatang ternakan!

    Persoalan : Masih relevankah seorang isteri itu dipanggil orang rumah walaupun ramai yang berkarier & berpangkat tinggi lagi daripada suaminya. Sentiasa berada di luar rumah untuk bekerja, berniaga, dan pelbagai urusan?!

    Jawapan : Iya masih relevan, kerana Allah telah sebut seorang isteri itu sebagai tempat suami kembali dan mencari ketenangan darinya, sebagaimana selayaknya sebuah rumah. Maka isteri adalah tuan rumah itu yang memberi ketenangan dan kerehatan kepada si suami dan keluarga seluruhnya!

KHULASAH :

  1. Secara tersendirinya Surah Al-Ma’idah ini menjelaskan beberapa asas dalam agama iaitu:
    i- Sempurna sudah agama ini- tidak perlu tambah atau tukar-kurang lagi. Agama Allah itu Islam dan sempurna lengkap.

    ii- Menyatakan umumnya kebangkitan Rasulullah SAW kepada seluruh manusia atas dunia ini, yang putih, hitam, merah & kelabu.
    Berbeza dengan para rasul lain yang diutuskan khas kepada kaum mereka sahaja.

    iii- Allah wajibkan ke atas setiap orang mukmin untuk perbaiki jiwa, betulkan hati, tauhid kepada Allah SWT- jangan peduli kepada orang lain yang kafir sesat dan sebagainya. 
    Jika kita sudah berpegang dengan al-Quran & Sunnah yang lain boleh abaikan! 
    Jangan terbalik pula, berpegang dengan yang lain tetapi suruh abaikan al-Quran & Sunnah!
    Allah nyatakan setiap mukmin wajib tolong-menolong sesama Islam & wajib berlaku adil dalam semua perkara.

    iv- Allah nyatakan benda yang kita boleh makan & tidak boleh, yang halal dan yang haram serta jelas pengharaman arak, judi, menilik nasib, berhala dan sebagainya.

    v- Balasan di Akhirat kelak hanya Allah yang berkuasa membalasnya, orang yang mendapat manfaat di Akhirat kelak ialah yang beriman & beramal soleh. 
    Mereka inilah yang boleh kebaikan & faedah. Selain itu tidak boleh!

PENUTUP : KELEBIHAN TADABBUR AL-QURAN :

  1. Berhimpunnya hati dan fikiran selari ketika membaca al-Quran & tadabbur. 
    Jika lidah saja baca, tidak berapa masuk ke dalam hati.
  1. Menangis kerana takut pada Allah. 
    Bila tadabbur kita tahu ayat ini ayat azab, ayat nikmat dan lain-lain.
  1. Baca dengan tadabbur akan bertambah khusyuk.
  1. Bertambah iman : Makin kita tengok bukti kekuasaan Allah makin kuat keimanan kita kepada Allah!
  1. Rasa gembira dan senang hati apabila disebut tentang al-Quran- Rasa dekat dengan Allah, rasa Allah bercakap dengan kita.
  1. Meremang bulu roma, bergetar hati kerana takut pada Allah dengan penuh pengharapan.
  1. Dengan Tadabbur kita sentiasa sujud kepada Allah sama ada ayat sujud atau tidak, kita yang sujud. 
    Boleh lihat kuliah penuh di sini: https://youtu.be/xemUwac4VhE?si=wSaDIoSfxGO_5WFO
    Dapatkan bukunya dan lain-lain buku di sini: https://dartaibah.com/…/*NEW-2024-Indahnya-Hidup…

    Alhamdulillah selesailah muqaddimah Surah Al-Ma’idah ini secara ringkasnya, siri yang berikutnya kita akan masuk kepada tafsir ayat Insya’ Allah.
    Semoga Allah beri kepada kita kesihatan & afiat, panjang umur & diberi kefahaman yang baik, lapang dada & hati untuk terus istiqomah belajar & mengamalkan ilmu yang ada.

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran. 
Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs