View Categories

SURAH AL-MA\’UN : AYAT 1-7

\"\"

MUQADDIMAH DAN INTISARI SURAH, ANCAMAN GOLONGAN MENGHINA ANAK YATIM & MALAS SOLAT DAN BAKHIL.

Full video : https://youtu.be/p53546otYQA?si=CwkLoJWiUJ0gIsM1

MUQADDIMAH SURAH :

  1. Alhamdulillah, syukur kepada Allah s.w.t kerana pada pagi ini, Khamis 30 Muharram 1445H bersamaan 17hb Ogos 2023 kita dapat mulakan pengajian Kuliah tafsir bagi Surah Al-Ma\’un – سورة الماعون.
  2. Semoga Allah s.w.t kabulkan amalan kita, buka dan cerahkan hati kita untuk menerima panduan & hidayat dari al-Quran ini yang dapat membawa kita syurga-Nya.
  3. Surah Al-Ma\’un – سورة الماعون adalah surah ke-107 dalam tertib susunan al-Quran, surah yang ketigapuluh dalam juz ke 30, iaitu selepas Surah Quraisy – سورة قريش .
    Mengandungi 7 ayat yang pendek.
  4. Ulama\’ tafsir ijma\’ mengatakan surah ini Makkiyyah, yakni turun di Makkah sebelum hijrahnya Rasulullah s.a.w ke Madinah.
  5. Dalam surah ini Allah s.w.t memberi ancaman terhadap tiga golongan ini; golongan yang mendustakan agama, mereka yang menghina anak yatim, lalai cuai, malas solat dan bakhil serta menghalang orang dari berbuat kebaikan.

NAMA SURAH :

  1. Dinamakan surah ini sebagai:
    i- Surah Al-Ma\’un – سورة الماعون yang bermakna {Memberi Pertolongan} kerana pada akhir surah ini, Allah s.w.t menjanjikan seburuk-buruk balasan kepada orang yang sombong, tidak mahu memberi pertolongan kepada orang yang berhajat memerlukan!
  2. Surah ini juga dikenali dengan beberapa nama lain seperti:
    i- surah ad-Din {ٱلدِّينِ}- agama.
    ii- surah Ara\’aita {أَرَءَيْت}- Tahukah engkau.
    ii- surah ak-Takzib {التكذيب}- pendustaan.
    iv- surah al-Yatim {ٱلْيَتِيمَ}- anak yatim.

INTISARI KANDUNGANNYA :

  1. Menerangkan sifat-sifat orang yang mendustakan agama & hari Pembalasan. Lalu ditegaskan bahawa orang itu ialah yang menindas serta berlaku kasar kepada anak yatim.
  2. Dia juga tidak menggalakkan untuk memberi makanan yang berhak diterima oleh orang miskin. Dia sendiri bakhil, tak beri kemudian larang/halang pula orang lain daripada melakukannya!
    Inilah yang dikatakan jahat dua kali!!
  3. Kemudian ditegaskan pula bahawa orang yang menunaikan solat yang keadaan mereka lalai dari menyempurnakan solatnya, maka mereka akan ditimpa kecelakaan besar.

Makna lalai kita akan lihat dalam tafsir nanti.

  1. Demikian juga hal orang yang bersifat riya\’ dalam ibadat & pembawaannya dan orang yang tidak memberi sedikitpun pertolongan kepada orang yang berhak menerimanya!

MAQASID/OBJEKTIF SURAH :

  1. Antara objektifnya ialah untuk menyatakan rasa pelik & ajaib akan perangai orang-orang yang mendustakan Hari Pembalasan & betapa kita merasakan besarnya kesalahan mereka itu!

ISU PENTING DALAM SURAH :

  1. Kita rasa pelik dengan perangai yang dilakukan oleh mereka yang mendustakan Hari Akhirat!
  2. Celaan kepada orang yang kasar, tidak prihatin akan anak-anak yatim & orang miskin.
  3. Celaan kepada orang yang lalai dari solat, jika dia solat pun kerana mahu menunjuk (riya\’) kepada manusia lain.
    Ataupun dia lansung tidak solat kerana tidak percaya!
  4. Allah s.w.t juga mencela orang yang bakhil, tidak mahu memberi bantuan di kalangan sesama manusia yang memerlukan!
    Inilah sifat-sifat buruk manusia yang kita hendak jauhi.

MUNASABAH SURAH AL-MA\’UN – سورة الماعون DENGAN SURAH QURAISY – سورة قريش SEBELUMNYA :

Hubung-kait surah ini dengan Surah Quraisy – سورة قريش:

  1. Dalam Surah Quraisy Allah s.w.t mencela golongan yang mengingkari nikmat Allahs.w.t!

Allah beri mereka makan daripada lapar, diberi nikmat oleh Allah s.w.t tetapi tidak mensyukurinya!

ii- dalam surah ini Allah cela pula golongan yang tidak sedar diri, mereka ada makanan tetapi tidak mahu beri makan kepada orang lain yang lapar!

  1. Allah s.w.t perintah dalam surah yang lepas supaya manusia menyembah Allah Tuhan Pemilik Ka\’bah ini.

ii- dalam surah ini pula Allah cela golongan-golongan yang lupa terhadap solat ataupun malas menunaikan ataupun melarang orang untuk solat.

  1. Dalam surah Quraisy, Allah sebut beberapa nikmat yang dianugerahkan kepada Quraisy namun mereka tetap tidak beriman, mengingkari kebangkitan semula, tidak percaya kepada balasan hari akhirat

ii- maka dalam surah ini Allah s.w.t sekali lagi memperingatkan orang yang mendustakan agama, tidak percaya kepada hari Pembalasan & hari akhirat, bahawa mereka akan binasa!

Ya Allah jadikan kami & semua orang kami sayangi dari golongan {المتقين}, orang yang layak menerima nikmat-Mu pada hari Kiamat nanti.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

AYAT 1- {TAHUKAH ENGKAU AKAN ORANG YANG MENDUSTAKAN AGAMA (MELIPUTI HARI PEMBALASAN)?} (AL-MAA\’UUN 107:1)

  1. Tahukah kamu orang yang mendustakan agama? Mereka tidak percaya semuanya, tidak percaya hari pembalasan & hari akhirat.
  2. Kata ulama\’ maksudnya { يُكَذِّبُ بِٱلدِّينِ } ini ialah:
    i- Orang yang tidak percaya kepada hari pembalasan, tidak percaya akan adanya pembalasan kerana itu ia tidak takut untuk melakukan keburukan kerana tidak percaya akan ada dosa pahala.

ii- ad-din dengan makna Islam iaitu orang yang tidak percayakan Islam.

iii- dengan makna agama Islam & ajaran Nabi s.a.w.

  1. Maka segala orang yang derhaka menolak agama & hari akhirat itu termasuk orang yang celaka, yang akan disediakan azab siksa di akhirat kelak!

AYAT 2- {ORANG ITU IALAH YANG MENINDAS SERTA BERLAKU ZALIM KEPADA ANAK YATIM,} (AL-MAA\’UUN 107:2)

  1. Siapakah yang mendustakan agama ini?
  2. Antara sifatnya ialah mereka yang kasar dengan anak yatim; menindas serta berlaku zalim kepada mereka, tidak memuliakan mereka apatah lagi menyayanginya!
  3. Beringatlah sesiapa yang ada anak yatim disisinya, samada menjaga saudara sendiri atau pengendali rumah-rumah anak yatim!

Ingatlah Allah s.w.t telah berfirman:
{Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak-anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu hanyalah menelan api ke dalam perut mereka; dan mereka pula akan masuk ke dalam api neraka yang menyala-nyala.} (An-Nisaa\’ 4:10)

Ingatlah jangan hanya mahu senang di dunia; di akhirat kelak binasa!

  1. Begitu juga mereka yang menjaga anak tiri atau anak angkat- begitu banyak sekali berlaku penderaan terhadap kanak-kanak hari ini sehingga membawa kepada kematian!

Manusia hari ini sudah hilang peri kemanusiaannya, kucing pun tahu sayangkan anak!

  1. Berhati-hatilah kamu yang sebagai pemegang amanah yang diberikan tugas untuk menjaga & mendidik mereka- jika tak mampu jangan ambil tanggung-jawab itu, serahkan kepada orang yang lain yang lebih layak & mampu!

AYAT 3- {DAN IA TIDAK MENGGALAKKAN UNTUK MEMBERI MAKANAN YANG BERHAK DITERIMA OLEH ORANG MISKIN.} (AL-MAA\’UUN 107:3)

  1. Dia juga sangat bakhil- sudahlah dia sendiri tidak beri- sekat pula orang lain dari bersedekah kepada orang miskin!
  2. Yakni penghalang kepada kebajikan- samada peringkat individu, keluarga, kampung, negeri atau negara!
  3. Orang susah pula berbeza-beza:-
    i- ada yang memang miskin susah sepanjang masa.
    ii- ada yang susah dalam keadaan seperti asalnya dia senang atau kaya- tiba-tiba ditimpa musibah seperti banjir, kebakaran dan seumpamanya!

Maka jika keadaan begitu orang yang kaya sebelum ini pun kita kena beri bantuan!

  1. Orang miskin pula jangan sombong dengan Tuhan, orang yang tidak kenal Allah walaupun dalam waktu susah, tidak kenal masjid jika tidak dipanggil!
    Allahu al-Musta\’an!

AYAT 4- {(KALAU ORANG YANG DEMIKIAN DIKIRA DARI BILANGAN ORANG-ORANG YANG MENDUSTAKAN AGAMA), MAKA KECELAKAAN BESAR BAGI ORANG-ORANG AHLI SEMBAHYANG.} (AL-MAA\’UUN 107:4)

  1. Celakalah bagi orang yang solat iaitu mereka yang lalai dari solatnya. (sambungannya dalam ayat berikut). Ayat ini jangan dibaca sekerat!

AYAT 5- {(LAITU) MEREKA YANG BERKEADAAN LALAI DARIPADA MENYEMPURNAKAN SEMBAHYANGNYA;} (AL-MAA\’UUN 107:5)

  1. Iaitu celaka besar bagi orang yang lalai daripada menyempurnakan solatnya.
  2. Ini kerana solat yang sempurna ialah tiang penegak agama!
    Dengan ketiadaannya akan sia-sialah amal ibadat yang lain!
  3. Sabda Rasulullah s.a.w:
    \”Sesungguhnya amalan yang mula dihisab atas seseorang hamba pada hari kiamat adalah solat. Sekiranya baik solatnya maka baik segala amalannya, sekiranya buruk solatnya maka buruk segala amalannya.\” [HR al-Thabrani (1859)].
  4. Kata ahli tafsir, makna orang yang lalai dari menyempurnakan solat {عَن َصلَاتِهِمْ سَاهُونَ}
    ini ialah samada:
    i- azab & kebinasaan bagi orang yang tidak menunaikan solat dengan sebab lagha.

ii- tidak menunaikan solat pada waktunya.

iii- melewatkan solat sehingga habis waktunya.

iv- ataupun tidak menunaikan solat dengan sempurna syarat & rukunya.
Buat hanya nak tunjuk kepada orang!

v- kata al-Wahidi: maksudnya orang yang celaka ini ialah orang yang lupakan solat sehingga habis waktunya- dengan kata mudah tidak solat!

vi- Ada juga kata ia membawa maksud- orang yang lagha & lupa dalam solatnya, solat seperti robot, tidak khusyuk, tidak tahu berapa rakaat! Juga meninggalkan toma\’ninah, meninggalkan bacaan dan seumpamanya!

  1. Kesimpulannya, kata Ibnu Kathir rhm.: Maksudnya celakalah orang yang lalai dari menyempurnakan solat {عَن َلَاتِهِمْ سَاهُونَ} ini ialah:
    Golongan munafiqun, yang solat ketika orang ada & tidak solat ketika orang tidak lihatnya! Solat bermuka-muka nak tunjuk kepada orang sahaja!
  2. Firman Allah s.w.t:
    {Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipu daya (terhadap agama) Allah (dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya), dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka (dengan membiarkan mereka dalam keadaan munafik).

Mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan malas. Mereka (hanya bertujuan) riak (memperlihatkan sembahyangnya) kepada manusia (supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman), dan mereka pula tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang).} (An-Nisaa\’ 4:142)
Solat sekadar amalan fizikal; hati entah ke mana!

AYAT 6- {(JUGA BAGI) ORANG-ORANG YANG BERKEADAAN RIAK (BANGGA DIRI DALAM IBADAT DAN BAWAANNYA),} (AL-MAA\’UUN 107:6)

  1. Juga orang yang riya\’; samada orang kafir atau beriman- jika ada sifat riya\’- celakalah!
  2. Buat amal ibadat kerana mahu orang lihat & puji serta mengharapkan habuan dunia!
    Bukan kerana harapkan pahala & takut akan dosa!
  3. Kata ulama\’, maksud riya\’: Ialah setiap amal ibadat yang asalnya untuk Allah tetapi dilakukan kerana orang lain!
  4. Sabda Rasulullah s.a.w:
    \”Perkara yang paling aku takut terjadi pada kalian adalah Syirik yang kecil.
    Para sahabat bertanya: Apa itu syirik yang kecil wahai Rasulullah?
    Nabi s.a.w bersabda: Itulah Riya\’. Allah s.w.t akan befirman pada hari kiamat kelak: Pergilah kepada orang yang kamu hendak tunjukkan amalan kamu kepadanya di dunia dan lihatlah adakah di sisi mereka itu ganjaran (dengan sebab amalan kamu).\”
    [HR Ahmad ( 23630) di dalam Musnadnya].

AYAT 7- {DAN ORANG-ORANG YANG TIDAK MEMBERI SEDIKIT PERTOLONGAN (KEPADA ORANG YANG BERHAK MENDAPATNYA).} (AL-MAA\’UUN 107:7)

  1. Dia melarang / menghalang manusia dari mengambil manfaat dari kelebihan yang ada padanya samada harta, kuasa & kedudukan yang ada padanya.
    Dia bakhil & kedekut sedangkan hartanya tidak akan berkurangan atau habis jika disedekahkan.
  2. Kata ulama\’- al-Wahid rhm. termasuk dalam {وَيَمْنَعُونَ ٱلْمَاعُون} ialah jika kita ada alat atau sesuatu yang dapat digunakan oleh orang memerlukan tetapi kita tidak mahu beri atau pinjamkannya.
    Yakni segala yang kita milik yang dapat diguna & memberi manfaat kepada orang lain!

Contoh: kita ada periuk orang tidak ada periuk untuk memasak- kita tak mahu beri pinjam, atau timba air, pisau untuk memotong, kapak dan sebagainya!

  1. Kata ulama\’ lain pula {وَيَمْنَعُونَ ٱلْمَاعُونَ} ini ialah tidak beri pertolongan atau guna dan pinjam semua perkara yang dapat memberi manfaat dikira menghalang kebajikan.
    Ia boleh diperluaskan kepada segala benda walaupun yang simple dan kecil sahaja, untuk kegunaan harian atau yang sebesar-besarnya.
  2. Kata Ibnu Kathir rhm. pula: {وَيَمْنَعُونَ ٱلْمَاعُون} ini:
    i- yang paling besar lagi ialah tidak keluarkan zakat harta.

ii- dengan yang sekecil-kecilnya seperti tidak mahu beri pinjam timba atau jarum untuk jahit baju koyak juga termasuk dalam menghalang kebaikan ini!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Dalam surah ini ada beberapa sifat buruk yang Allah s.w.t sebutkan iaitu:
    i- mendustakan agama, hina anak yatim, tidak menggalakan orang beri makan orang miskin, tidak sempurna dalam solat, riya\’ dalam ibadat & menghalang orang daripada mengambil manfaat!

Maka wajib setiap orang lihat kepada dirinya sendiri apakah dalam dirinya sifat seperti ini?

Lagha dalam solat, bakhil tidak mahu menolong orang dan lain-lain itu; maka jika ada insaflah kembali bertaubat kepada Allah s.w.t.
Jika tidak kita akan termasuk dalam golongan celaka yang dicela dalam surah ini!

Hadis: UM Aisyah r.a berkata: Akhlak Rasulullah s.a.w itu adalah al-Quran! [HR Muslim].

Kita yang belajar al-Quran ini mestilah beramallah dengan al-Quran!
Jika setakat mengaji saja, amalnya tiada; tidak ada faedahnya.

  1. Ayat 1- {Tahukah engkau akan orang yang mendustakan agama (meliputi hari pembalasan)?}

Kenapa Allah sebut dan mengkhususkan orang yang mendustakan agama ini dengan dua sifat yang berkaitan dengan manusia ini iaitu hina anak yatim & halang dari kebaikan?

JAWAPAN :

Dua sifat ini hanyalah contoh sahaja kepada penyakit buruk dalam masyarakat yang cukup berbahaya ini!

i- inilah dari segi hubungan sesama makhluk: Iaitu orang yang tidak jaga hak anak yatim & tidak galakkan perbuatan kebajikan!
Iaitu jaga hubungan dengan anak yatim & orang miskin!
Jangan salah-gunakan nama anak yatim untuk meraih nama & keuntungan dunia!

ii- Manakala sifat buruk kedua pula yang berkait hubungan dengan Allah: iaitu meninggalkan solat atau solat tetapi tidak khusyuk & riya\’.

  1. Ayat 3- {Dan ia tidak menggalakkan untuk memberi makanan yang berhak diterima oleh orang miskin.}

Kenapa difokuskan kepada orang miskin dalam ayat ini? Sedangkan banyak lagi kebaikan yang boleh dilakukan?

JAWAPAN :

Ini kerana orang miskin ini mereka susah hidupnya!
Jika diri kita sendiri tidak dapat memberi banyak benda, maka kita galakkan pula orang lain dan masyarakat untuk berinfaq!
Kita sentiasa kempen untuk menggalakkan masyarakat infaq kepada yang memang layak!

Jika kita kenal & tahu bahawa orang itu samada individu atau pertubuhan yang memerlukan bantuan & tidak menipu, kita tolong iklan & warwarkannya!

  1. Ayat 4- {(Kalau orang yang demikian dikira dari bilangan orang-orang yang mendustakan agama), maka kecelakaan besar bagi orang-orang Ahli Sembahyang.} & Ayat 5- {(laitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya;}

Ulama\’ membahaskan secara terperinci tentang ayat ini.
Apakah maksudnya {عَن صَلَاتِهِمْ سَاهُونَ} ini?

JAWAPAN :

i- ada yang kata maksudnya tidak menunaikan solat terus sehingga habis waktunya!
Iaitu dia lupa {عَن صَلَاتِهِمْ} akan solatnya yakni lupa dari menunaikan solatnya, tidak solat terus – bukan lupa atau lagha dalam solatnya.

Kata seorang ulama\’ Ata\’ rhm.: Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang menggunakan perkataan {عن} dalam ayat ini, jika Allah s.w.t guna perkataan {في} dalam solat mereka maka akan binasalah semua kita.
Betapa ramai orang yang lupa & lagha dalam solatnya!
Tidak ingat sudah berapa rakaat, fikiran merayau tidak tentu arah dan seumpamanya!

Walaupun lupa dalam solat itu tetap tidak sempurna solatnya tetapi tidaklah sampai peringkat dibinasakan!
Kita kena usahakan bersihkan hati untuk dapat khusyuk dalam solat!

  1. Ayat 6- {(Juga bagi) orang-orang yang berkeadaan riak (bangga diri dalam ibadat dan bawaannya),} & Ayat 7- {Dan orang-orang yang tidak memberi sedikit pertolongan (kepada orang yang berhak mendapatnya).}-

Allah s.w.t mencela sifat riya\’. Ini adalah sangat menakutkan kerana riya\’ itu amat luas!

Riya\’ dalam ibadat kerana nak tunjuk kepada orang juga riya\’ dalam perbuatan seperti menolong orang juga kerana nak menunjuk & dipuji!

KATA ULAMA\’ RHM :

i- Orang mukmin mesti ada dua sifat ini:
ikhlas & ihsan,

ii- manakala orang kafir dia ada dua sifat ini:
kufur & bakhil!

INI adalah dua sifat yang berlawan- Ikhlas hubungan dengan Allah, ihsan hubungan dengan manusia & sesama makhluk lain!

Semoga Allah s.w.t selamatkan kita daripada segala sifat buruk dalam surah yang mulia ini. Jadikan kami orang yang membenarkan agamanya, baik kepada anak yatim, memberi makan kepada orang miskin & pemurah.

Untuk dijadikan panduan boleh baca Kitab Penawar Bagi Hati ini:
https://dartaibah.com/?page_id=179…

Sambil itu boleh juga dengar kuliahnya:
https://www.youtube.com/@halaqahabuanasmadani.2046/search…

Powered by BetterDocs