View Categories

SURAH AL-MU\’MINUN : AYAT 23-30

\"\"

KISAH NABI NUH A.S BERHADAPAN KAUMNYA, BANJIR BESAR MEMBINASAKAN KAUM NUH & DALIL UMAT TERDAHULU TAHU ADA MALAIKAT.

Full video : https://youtu.be/FkMGANWkIvs

MUQADDIMAH :

1. Dalam siri yang lepas Allah s.w.t menceritakan pelbagai nikmatnya di langit & bumi dan melalui kejadian haiwan untuk kegunaan manusia.

2. Juga dibawa dalil-dalil tauhid tanda KeEsaan dan kekuasaan Allah s.w.t ini.

3. Dalam surah ini ada 5 kisah episod para anbiya’ bermula dengan nabi Nuh a.s pada hari ini. Tentang kisah para rasul ini berdepan dengan berbagai karenah, penentangan dan cabaran dari kaum masing-masing.

4. Ramai antara mereka yang tidak bersyukur dengan nikmat Allah lalu menyembah selain daripada Allah dan mendustakan rasul-Nya. Lalu mereka ditimpa azab di dunia lagi serta di akhirat kelak.

5. Inilah adat kebiasaan dalam al-Quran, Allah mula dengan dalil kekuasaan dan keEsaa-Nya kemudian dengan dibawa kisah ibrah.

AYAT 23- {DAN DEMI SESUNGGUHNYA, KAMI TELAH MENGUTUSKAN NABI NUH KEPADA KAUMNYA LALU BERKATALAH IA: \”WAHAI KAUMKU, SEMBAHLAH KAMU AKAN ALLAH (SEBENARNYA) TIDAK ADA TUHAN BAGI KAMU SELAIN DARIPADANYA. OLEH ITU, TIDAKKAH KAMU MAHU BERTAQWA KEPADANYA?\”.} (AL-MU\’MINUUN 23:23)

1. Kisah nabi yang pertama dalam surah ini ialah tentang Nabi Nuh a.s, iaitu bapa pembiakan manusia yang kedua selepas nabi Adam a.s.

2. Kisah Nabi Nuh yang terperinci dan panjang ada dalam surah Hud, dalam surah ini hanya secara ringkas.

3. Nabi Nuh telah dihantar kepada kaumnnya yang tidak tahu hendak ke mana kemudian terlibat dalam syirik kerana melampau dalam menyintai orang soleh yang telah mati.

4. Lalu nabi Nuh a.s sekali lagi cuba menyelamatkan mereka. Itulah dakwah para nabi-nabi utusan Allah s.w.t supaya mereka menyembah Allah yang tidak ada Tuhan selain daripada-Nya, maka bertqwalah kepada-Nya.

AYAT 24- {MAKA KETUA-KETUA YANG KAFIR DARI KAUMNYA BERKATA (SESAMA SENDIRI)): \”ORANG INI HANYALAH SEORANG MANUSIA SEPERTI KAMU, IA BERTUJUAN HENDAK MELEBIHKAN DIRINYA DARIPADA KAMU. DAN KALAULAH ALLAH BERKEHENDAK (MENGUTUSKAN SEORANG RASUL) TENTULAH IA MENURUNKAN MALAIKAT MENJADI RASULNYA. KAMI TIDAK PERNAH MENDENGAR SERUAN SEPERTI INI DALAM KALANGAN DATUK NENEK KAMI YANG TELAH LALU.} (AL-MU\’MINUUN 23:24).

1. Tetapi kaumnya menolak dakwah nabi Nuh kerana mereka mengatakan dia hanyalah seorang manusia seperti mereka, tiada apa kelebihan pun, cuma dia mahu menonjolkan dirinya kerana bertujuan hendak melebihkan dirinya daripada orang lain. Yakni gilakan pangkat mahu jadi ketua.

2. Penolakan kenabian! Mereka membawa hujjah ini untuk menolaknya:

i- Mereka kata sepatutnya Allah menurunkan malaikat menjadi Rasul-Nya bukan manusia biasa.

ii- mereka tidak pernah dengar ajaran begini dari kalangan datuk nenek kami yang telah lalu. Mengikut ajaran nenek moyang sahaja.

AYAT 25- {\”IA TIDAK LAIN HANYALAH SEORANG LELAKI YANG MENGIDAP PENYAKIT GILA. OLEH ITU TUNGGULAH AKAN PERUBAHAN KEADAANNYA HINGGA KE SUATU MASA\”.} (AL-MU\’MINUUN 23:25)

1. Tuduhan ketiga adalah sebagai orang gila. Inilah tuduhan kepada nabi-nabi lain hatta kepada Rasulullah s.a.w.

2. Mereka pun buat keputusan tunggu Nuh sedar dan sembuh dari kegilaannya atau tunggu dia matilah senang!!

3. Nabi Nuh juga bersabar dan menungu beberapa ketika berdakwah dalam masa yang panjang, iaitu selama 950 tahun Allah beri ruang untuknya berdakwah.

AYAT 26- {NABI NUH BERDOA DENGAN BERKATA: \”WAHAI TUHANKU TOLONGLAH DAKU, KERANA MEREKA MENDUSTAKAN SERUANKU\”.} (AL-MU\’MINUUN 23:26)

1. Lalu selepas Allah s.w.t memaklumkan kepada Nuh bahawa tidak akan ada lgi kaumnya yang akan beriman selepas itu, maka Nuh pun;

2. Mengangkat tangannya berdoa: {\”Wahai Tuhanku tolonglah daku, kerana mereka mendustakan seruanku\”.}

3. Doanya juga: {Dan Nabi Nuh (merayu lagi dengan) berkata: \”Wahai Tuhanku! Janganlah Engkau biarkan seorangpun dari orang-orang kafir itu hidup di atas muka bumi!} (Nuh 71:26)

AYAT 27- {LALU KAMI WAHYUKAN KEPADANYA: \”BUATLAH BAHTERA DENGAN PENGAWASAN SERTA KAWALAN KAMI, DAN DENGAN PANDUAN WAHYU KAMI (TENTANG CARA MEMBUATNYA); KEMUDIAN APABILA DATANG HUKUM KAMI UNTUK MEMBINASAKAN MEREKA, DAN AIR MEMANCUT-MANCUT DARI MUKA BUMI (YANG MENANDAKAN KEDATANGAN TAUFAN), MAKA MASUKKANLAH KE DALAM BAHTERA ITU DUA DARI TIAP-TIAP JENIS HAIWAN (JANTAN DAN BETINA), DAN BAWALAH AHLIMU (DAN PENGIKUT-PENGIKUTMU) KECUALI ORANG YANG TELAH DITETAPKAN HUKUMAN AZAB ATASNYA DI ANTARA MEREKA (DISEBABKAN KEKUFURANNYA); DAN JANGANLAH ENGKAU MERAYU KEPADAKU UNTUK MENOLONG KAUM YANG ZALIM ITU, KERANA SESUNGGUHNYA MEREKA AKAN DITENGGELAMKAN DENGAN TAUFAN SEHINGGA MATI LEMAS.} (AL-MU\’MINUUN 23:27)

1. Selepas nabi Nuh berdoa ini, Allah menjawab doanya dengan menyuruhnya membuat sebuah bahtera di atas bukit dengan pimpinan dan pedoman wahyu Allah s.w.t.

2. Apabila tiba waktunya hukuman Allah datang, air akan memancut-mancut keluar dari muka bumi yang menandakan kedatangan taufan.

3. Maka jangan tungu lagi, masukkanlah ke dalam bahtera itu dua dari tiap-tiap jenis haiwan (jantan dan betina), dan bawalah ahlimu dan pengikut-pengikutmu yang beriman serta tinggalkan mereka yang kufur.

4. Mereka itu telah ditetapkan hukuman azab ke atas mereka kerana kekufurannya, ini termasuklah isteri Nuh dan seorang anaknya yang bernama Kan’an. Walaupun nabi Nuh memanggil dan memujuknya untuk naik bahtera, dia enggan dan akhirnya tenggelam dipukul badai air.

5. Banyak ayat-ayat al-Quran tentang kisah ini.

6. Allah s.w.t juga berpesan kepada Nuh agar jangan merayu kepada-Nya untuk menolong kaum yang zalim itu (juga anak isterinya), kerana sesungguhnya mereka akan ditenggelamkan dengan taufan sehingga mati lemas.

7. Kisah nabi Nuh ini memberi pengajaran kepada kita bahawa tidak ada jaminan walaupun isteri dan anak rasul. Begitu juga kita, bapa atau keluarga yang soleh tidak menjamin keselamatan anak isteri jika tidak beriman dan beramal soleh juga.

AYAT 28- {\”KEMUDIAN APABILA ENGKAU DAN ORANG-ORANG YANG BERSAMAMU TELAH BERADA DI ATAS BAHTERA ITU MAKA HENDAKLAH ENGKAU (BERSYUKUR KEPADA ALLAH DENGAN) BERKATA: ` SEGALA PUJI TERTENTU BAGI ALLAH YANG TELAH MENYELAMATKAN KAMI DARIPADA ORANG-ORANG YANG ZALIM.} (AL-MU\’MINUUN 23:28)

1. Kemudian selepas selamat semuannya Nabi Nuh danyang beriman berada di atas bahtera dan selamat dari taufan banjir tu, Allah s.w.t ajar mereka untuk berdoa.

2. Doanya: {لْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي نَجَّانَا مِنَ الْقَوْمِ الظَّالِمِينَ } [المؤمنون: 28]

maksudnya: “Segala puji tertentu bagi Allah yang telah menyelamatkan kami daripada orang-orang yang zalim.”

3. Kita juga boleh berdoa apabila kita selamat dari apa-apa benca cuma tukar dari kaum yg zalim itu kepada bahaya ini sahaja.

4. Berapa lama Nabi Nuh berada di atas kapal itu wallahu a’lam tidak Allah nyatakan, jadi poster-poster tentang Nabi Nuh Lockdown atau PKP itu tidak tahu sumbernya.

AYAT 29- {\”DAN BERDOALAH DENGAN BERKATA: ` WAHAI TUHANKU, TURUNKANLAH DAKU DI TEMPAT TURUN YANG BERKAT, DAN ENGKAU ADALAH SEBAIK-BAIK PEMBERI TEMPAT.\”} (AL-MU\’MINUUN 23:29)

1. Apabila banjir dan air sudah surut, Allah s.w.t ajar pula Nuh a.s untuk berdoa, supaya diberi tempat mendarat/berhenti yang baik.

2. Ulama\’ kata ini sunat dibaca apabila kita mahu turun di mana-mana tempat atau turun dari kapal/kenderaan.

3. {رَبِّ أَنْزِلْنِي مُنْزَلًا مُبَارَكًا وَأَنْتَ خَيْرُ الْمُنْزِلِين} [المؤمنون: 29].

Maksudnya: “Wahai Tuhanku, turunkanlah daku di tempat turun yang berkat, dan Engkau adalah sebaik-baik Pemberi tempat.\”

4. Berhentinya bahtera ini disebut di bukit Jud dalam surah Hud, dimana tempatnya sekarang wallahu a’lam.

5. Ada juga yang kata di Gunung Jerai, Allahu janganlah pula menambah-nambah lagi koleksi Israiliyyat yang tidak sahih dalam dunia ini!!

AYAT 30- {SESUNGGUHNYA PADA YANG DEMIKIAN ITU TERDAPAT TANDA-TANDA (YANG MENDATANGKAN IKTIBAR); DAN SESUNGGUHNYA KAMI TETAP MENGUJI (HAMBA-HAMBA KAMI).} (AL-MU\’MINUUN 23:30)

1. Semua kisah ini menjadi tanda-tanda yang mendatangkan iktibar dan menunjukkan kekuasaan Allah s.w.t.

2. Allah s.w.t akan sentiasa menguji hamba-hamba-Nya yang selepas ini,

3. Dalil benarnya risalah Nabi Nuh a.s:

i- Nuh berdoa, Allah s.w.t terima dan binasakan kaumnya yang ingkar.

ii- kaum Nabi Nuh yang ingkar dibinasakan, maka kamu kaum Quraisy akanmenerima nasib yang sama.

iii- besar dan agungnya kuasa Allah s.w.t untuk menjadikan taufan banjir yang besar, musnakansmeua yang lain, selamat Nuh dan mereka yang beriman.

iv- Allah s.w.t mahu bersihkan bumi ini daripada semua bentuk syirik dan mereka yang kufur. Hanya tinggal mereka yang mereka yang beriman bersama nabi Buh.

Kerana itu nabi Nuh dipanggil bapa pembiakan manusia yang kedua.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS:

1. Tadabbur al-Quran- dalam kisah Nabi Yusuf a.s diceritakan tentang kisahnya dan bapanya manakala kisah Musa pula disebut ibunya tanpa disebut bapanya.

2. Ada nabi yang banyak kisah perlawanan dengan kaumnya seperti Musa dan Nuh, ada Nabi yang hanya disebut tentang kehidupan peribadinya seperti kisah Nabi Ayub dan Ya’kub a.s.

3. Allah s.w.t ajar manusia untuk bersyukur apabila selamat dan berdoa. Juga untuk berdoa supaya bahtera itu selamat berlabuh dan mahu turun darinya. Ulama\’ kata ini dalil untuk kita juga bedoa begitu.

4. Malaikat adalah satu makhluk yang dikenali dan diakui oleh bani Adam. Kecuali satu kaum yang terpencil tidak mengenalinya..

5. Buktinya semua kaum yang mendustakan nabi mereka seperti kaum Nuh, kaum Ad, Thamud dan kaum Firaun, semuanya berkata kalaulah Allah s.w.t utuskan malaikat. Yakni mereka tahu dan kenal, samada mereka iktiraf atau tidak itu cerita lain.

6. Manakala mereka yang mengingkari malaikat ialah golongan falsafah, ini kerana mereka tidak ada ilmu tentang malaikat itu wujud, bukan kerana mereka ada ilmu bahawa malaikat itu tiada.

7. Kata ahli fikir: Manusia itu akan menjadi musuh kepada apa yang dia tidak tahu. Dia akan terus menafikannya dan menolaknya.

8. Berada dalam keluarga yang besar dan baik-baik, bukan satu jaminan anak cucu keturunannya akan selamat dari kesesatan juga, maka hendaklah kita banyakkan berdoa agar memelihara zuriat kita.

Wallahu a’lam.

Powered by BetterDocs