View Categories

Surah Al-Nur : Ayat 39-40

\"\"

💎 Bandingan Hal Keadaan Kafir (Jenis Aktif & Cerdik Di Dunia) Kecewa Di Akhirat & Bandingan Amalan Kafir (Jenis Pak Turut) Di Dunia Tanpa Hujjah.💎

♥ Live Pagi Sabtu 29 Zulqa\’dah 1442H = 10/07/2021 Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani – Tafsir Surah An-Nur (13) Ayat [39-40]♥
Full video: https://fb.watch/6EGUCcsynx/

🎀 Muqaddimah:

  1. Dalam siri yang lepas Allah s.w.t membuat bandingan akan dada dan hati orang beriman yang cerah dengan cahaya keimanan yang Allah pancarkan ke dalam hati mereka.
  2. Manakala orang yang tidak sampai cahaya keimanan ini dalam hati mereka, hidup mereka akan terumbang-ambing seolah dalam gelap, meraba mencari dan akhirnya bergantung atau menyembah apa sahaja yang dapat digapai dari segi sembahan dan pergantungan.
  3. Orang beriman juga apabila mati, diluaskan kubur mereka, di akhirat kelak akan mendapat nikmat balasan dari kurnia syurga Allah s.w.t.
  4. Dalam siri ini pula (ayat 39 & 40) akan diceritakan akan keadaan orang kafir yang tidak beriman itu di akhirat kelak. Segala yang mereka sangka baik dan berfaedah segalanya hanya ilusi seolah fatamorgana semata, dan mereka akan sangat kecewa, menyesal dan kerugian.
  5. Serta bandingan keadaan orang kafir yang tiada petunjuk hidup di atas dunia ini berada dalam kegelapan yang berlapi-lapis.
  6. Inilah munasabah atau kesinambungan ayat-ayat al-Quran yang begitu tinggi dan tersusun, satu mukjizat yang tidak dapat ditiru sekali-kali.

🌺*Ayat 39- {Dan orang-orang yang kafir pula, amal-amal mereka adalah umpama riak sinaran panas di tanah rata yang disangkanya air oleh orang yang dahaga, (lalu ia menuju ke arahnya) sehingga apabila ia datang ke tempat itu, tidak didapati sesuatu pun yang disangkanya itu; (demikianlah keadaan orang kafir, tidak mendapat faedah dari amalnya sebagaimana yang disangkanya) dan ia tetap mendapati hukum Allah di sisi amalnya, lalu Allah meyempurnakan hitungan amalnya (serta membalasnya); dan (ingatlah) Allah Amat segera hitungan hisabNya.}
(An-Nuur 24:39)

  1. Allah s.w.t menggambarkan keadaan amalan orang kafir yang hanya seolah satu bayangan khayalan sahaja, hanya seperti satu aling-aling (bahasa kitab lama), atau fatamorgana (mirage). Iaitu ilusi bayangan air yang nampak dari jauh bagi orang yang dahaga tetapi bila mereka sampai dekat ia akan hilang.
  2. Tetapi malangnya bila mereka berlari ke arahnya, tiada apa-pun sebenarnya. Itulah bandingan yang Allah buat akan aktiviti atau perbuatan yang disangka baik oleh mereka itu hanya sia-sia belaka.
  3. Contoh ini adalah untuk kafir yang aktif berdakwah kepada agama mereka yang disangka betul dan baik, buat kebajikan, menolong orang dan bersedekah misalnya.
  4. Tetapi malangnya segala perbuatan mereka ini akan sia-sia dan tidak mendapat faedah dari amalnya sebagaimana yang disangkanya. Bahkan mereka tetap mendapati hukum Allah di sisi amalnya, iaitu mendpat balasan yang setimpal, kafir cara kafir, munafik caranya.
  5. Serta jangan lupa, ingatlah bahawa Allah s.w.t itu Amat segera hitungan hisab-Nya. Yakni tiada orang yang akan terlepas dan teraniaya.
  6. Beberapa lagi firman Allah s.w.t tentang isu ini:
    i- {Bandingan (segala kebaikan amal dan usaha) orang-orang yang kufur ingkar terhadap Tuhannya ialah seperti abu yang diterbangkan angin pada hari ribut yang kencang; mereka tidak memperoleh sesuatu faedah pun dari apa yang mereka telah usahakan itu. Sia-sianya amalan itu ialah kesan kesesatan yang jauh dari dasar kebenaran.} (Ibrahim 14:18)
    ii- {Dan Kami tujukan perbicaraan kepada apa yang mereka telah kerjakan dari jenis amal (yang mereka pandang baik), lalu Kami jadikan dia terbuang sebagai debu yang berterbangan.} (Al-Furqaan 25:23)
    iii- { Maka (fikirkanlah) adakah orang yang diperelokkan kepadanya amal buruknya (oleh Syaitan) lalu ia memandangnya dan mempercayainya baik.} (Faatir 35:8)

🌺*Ayat 40- {Atau (orang-orang kafir itu keadaannya) adalah umpama keadaan (orang yang di dalam) gelap-gelita di lautan yang dalam, yang diliputi oleh ombak bertindih ombak; di sebelah atasnya pula awan tebal (demikianlah keadaannya) gelap-gelita berlapis-lapis – apabila orang itu mengeluarkan tangannya, ia tidak dapat melihatnya sama sekali. Dan (ingatlah) sesiapa yang tidak dijadikan Allah menurut undang-undang peraturanNya mendapat cahaya (hidayah petunjuk) maka ia tidak akan beroleh sebarang cahaya (yang akan memandunya ke jalan yang benar).}
(An-Nuur 24:40)

  1. Ayat ini adalah bandingan kedua untuk orang kafir yang hanya pak turut, ikut-ikut, taqlid buta kepada generasi sebelum mereka.
  2. Betapa mereka berada dalam kegelapan dan kesesatan hidup di atas dunia, syirik dan kufur di atas dunia ini.
  3. Mereka seumpama berada dalam 3 lapis kegelapan yang bertindan;
    i- dalam gelap-gelita di lautan yang dalam,
    ii- diliputi pula oleh ombak bertindih ombak;
    iii- di sebelah atasnya pula awan tebal (demikianlah keadaannya).
  4. Inilah gelap-gelita yang berlapis-lapis – apabila seseorang itu mengeluarkan tangannya, ia tidak dapat melihatnya sama sekali.
  5. Maksud bandingan 3 lapis kegelapan ini adalah kehidupan dunia orang kafir:
    i- kegelapan dl iktikad. Kepercayaan yang sesat.
    ii- perkataan mereka yang gelap.
    iii- amalan yang mereka lakukan juga gelap dan sesat.
  6. Berlawanan dengan keadaan orang mukmin yang jitu iktikadnya kepada Allah s.w.t, serta melafazkannya dan lidah dan beramal dengan apa yang diperintahkan oleh Allah s.w.t dan Rasul-Nya.
  7. Yakni iman dengan hati, lafaz dengan lidah dan mengamalkannya dengan anggota.
  8. Allah s.w.t tutup ayat ini mengatakan sesiapa yang tidak mendapat hidayah Allah s.w.t maka tiada siapa yang dapat menolongnya, ia tidak akan beroleh sebarang cahaya petunjuk yang akan membawanya ke jalan yang benar.

🎀 Penutup/Beberapa Faedah Ringkas:

  1. Petunjuk hidayah yang menerangi hati manusia itu adalah milik Allah s.w.t. jika di bawah kuasa manusia pasti akan diberikan terlebih dahulu kepada orang dekat yang disayanginya.
  2. Bandingan pertama akan segala penyesalan dan kerugian orang kafir di akhirat kelak, yang mana segala amalan yang mereka sangka baik hanyalah sia-sia.
  3. Bandingan kedua akan keadaan orang kafir di atas dunia ini yang sesat dan tiada cahaya keimanan, seolah berada dalam 3 lapisan gelap yang bertindan.
  4. Allah s.w.t mengisbatkan (menetapkan) bahawa setiap orang itu akan dihitung dan dihisab di akhirat kelak. Maka orang yang bijak ialah orang yang sentiasa hisab (muhasabah-audit) dirinya sendiri semasa di atas dunia ini lagi.
  5. Kata-kata Khalifah Umar al-Khattab r.a yang masyhur ialah: \”Hisablah dirimu sebelum kamu dihisab.\”
  6. Sama-samalah kita jaga diri kita agar selamat dari segala kegelapan ini:
    i- kegelapan iktikad apabila syirik dan kufur.
    ii- kegelapan dosa dan maksiat walaupun beriman.
  7. Ini semua agar segala amalan kita tidak menjadi sia-sia- atau seolah hanya debu yang tidak mempunyai nilai di sisi Allah s.w.t. الله المستعان

Wallahu a\’lam.

Powered by BetterDocs