View Categories

SURAH AL-QARI\’AH : AYAT 1-11

\"\"

MUQADDIMAH DAN INTISARI SURAH, KEADAAN HARI KIAMAT, ORANG YANG BERAT DAN RINGAN TIMBANGAN AMALAN.

Full video : https://youtu.be/Q1GTJrSwmMg?si=mbI-0dc5N7Ju9ALA

MUQADDIMAH SURAH :

  1. Alhamdulillah, syukur kepada Allah s.w.t kerana pada pagi ini, Khamis 23 Muharram 1445H bersamaan 10hb Julai 2023 kita dapat mulakan pengajian Kuliah tafsir bagi Surah Al-Qari\’ah – سورة القارعة .
  2. Semoga Allah s.w.t kabulkan amalan kita, buka dan cerahkan hati kita untuk menerima panduan & hidayat dari al-Quran ini yang dapat membawa kita syurga-Nya.
  3. Surah Al-Qari\’ah – سورة القارعة adalah surah ke-101 dalam tertib susunan al-Quran, surah yang kedua-puluh empat dalam juz ke 30, iaitu selepas Surah Al-\’Aadiyaat – سورة العاديات .
    Mengandungi 11 ayat yang pendek.
  4. Ulama\’ tafsir ijma\’ mengatakan surah ini Makkiyyah, yakni turun di Makkah sebelum hijrahnya Rasulullah s.a.w ke Madinah.
  5. Allah nyatakan dalam surah ini tentang suasana huru-hara hari Kiamat. Sesiapa yang berta timbangan amalam kebaikannya maka bahagialah dia, manakala mereka yang ringan & sedikit timbangan amalan kebaikannya maka ia adalah orang yang celaka!

NAMA SURAH :

  1. Dinamakan surah ini sebagai:
    i- Surah Al-Qari\’ah – سورة القارعة yang bermakna {Hari Yang Menggemparkan} kerana pada awal surah Allah s.w.t menerangkan bahawa hari yang menggemparkan itu ialah hari Kiamat.

INTISARI KANDUNGANNYA :

  1. Menggambarkan peristiwa-peristiwa yang akan berlaku pada hari Kiamat. Hari manusia menjadi seperti kelkatu {كَٱلْفَرَاشِ} dan gunung-ganang juga berterbangan seperti bulu yang terlepas dari busur panah!
  2. Yakni kegemparan & kedahsyatan pada hari Kiamat menjadikan mereka seperti kelkatu yang berterbangan berkeliaran tidak tentu arah. Ia juga menjadikan gunung-ganang yang sedemikian besar dan kuat berterbangan seperti bulu dibusur!
  3. Kemudian Allah menerangkan setelah berlaku yang demikian, manusia bangkit semula dari kubur mereka akan diberikan tempatnya masing-masing.
    i- Maka sesiapa yang berat timbangan amalnya maka dia adalah orang yang bahagia & dalam keadaan senang-lenang!
    Ya Allah jadikan kami dari golongan ini yang aman dan bahagia di akhirat kelak!

ii- Adapun orang yang ringan & sedikit amalan baiknya, amalan buruknya lebih banyak, maka tempat kembalinya adalah Hawiyah. Apakah jalan yang kamu dapat tahu tentang hawiyah itu? Ia adalah api yang panas membakar.

Na\’uzubillah kita minta perlindungan Allah dari neraka hawiyah ini!

MAQASID/OBJEKTIF SURAH :

  1. Objektifnya yang terpenting ialah Allah mahu menceritakan tentang huru-hara (أهوال) hari Kiamat & tentang keadaan (أحوال) manusia pada masa itu!

ISU PENTING DALAM SURAH :

  1. Allah s.w.t menyebut huru-hara pada hari Kiamat.
  2. Allah nyatakan bahawa balasan adalah mengikut amalan. Juga dinyatakan keadaan orang yang bahagia iaitu mereka yang berat amalan timbangan kebaikannya. Manakala orang yang berat kejahatannya, ringan amal kebaikannya maka celakalah dia!

MUNASABAH SURAH AL-QARI\’AH – سورة القارعة DENGAN SURAH AL-\’AADIYAAT – سورة العاديات SEBELUMNYA :

Hubung-kait surah ini dengan Surah Al-\’Aadiyaat – سورة العاديات :

  1. Allah s.w.t menamatkan surah al-\’Adiyat dengan menyatakan sifat hari Kiamat iaitu apabila manusia dibongkarkan dari kuburnya & apabila Allah dedahkan apa yang ada di dalam dada mereka!

ii- maka dalam ayat ini Allah s.w.t ceritakan tentang hari Kiamat, hari yang penuh huru-hara, keadaannya sangat menakutkan! Hari didedahkan segala rahsia yang tersembunyi, segala perbuatan yang dilindungi selama ini!

  1. Maka wahai manusia yang beriman, supaya kita tenang di dunia & aman di akhirat maka kita bersihkan hati daripada sifat yang buruk & kita hiasinya dengan sifat yang dipuji oleh Allah s.w.t seperti ikhlas, sabar, syukur, tawakkal, tenang, redha dan seumpamanya.

Untuk panduan amalan hati maka boleh baca Kitab ini sebagai panduan:
https://dartaibah.com/?page_id=179…

Ya Allah jadikan kami & semua orang kami sayangi dari golongan {المتقين}, orang yang layak menerima nikmat-Mu pada hari Kiamat nanti.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

AYAT 1- {HARI YANG MENGGEMPARKAN,} (AL-QAARI\’AH 101:1)

  1. Hari yang menggemparkan iaitu hari Kiamat. Ini adalah salah satu daripada nama hari Kiamat yang banyak.
  2. Ia bermula apabila malaikat Israfil meniup sangkakala yang kedua, apabila semua manusia dibangkitkan dari kubur masing-masing.

AYAT 2- {APA DIA HARI YANG MENGGEMPARKAN ITU?} (AL-QAARI\’AH 101:2)

  1. Apakah hari yang menggemparkan lagi huru-hara itu?

AYAT 3- {DAN APA JALANNYA ENGKAU DAPAT MENGETAHUI KEDAHSYATAN HARI YANG MENGGEMPARKAN ITU?} (AL-QAARI\’AH 101:3)

  1. Allah s.w.t ulang lagi pertanyaan ini!
  2. Apakah yang kamu tahu tentang hari yang menggemparkan lagi huru-hara itu?

AYAT 4- { (HARI ITU IALAH: HARI KIAMAT), HARI MANUSIA MENJADI SEPERTI KELKATU YANG TERBANG BERKELIARAN,} (AL-QAARI\’AH 101:4)

  1. Pada hari itu manusia menjadi seperti kelkatu yang berterbangan keluar dari sarangnya, berkeliaran tanpa arah tujuan!

AYAT 5- {DAN GUNUNG-GANANG MENJADI SEPERTI BULU YANG DIBUSAR BERTERBANGAN.} (AL-QAARI\’AH 101:5)

  1. Gunung-ganang yang besar & kuat itu juga akan tercabut dari paksinya lalu berterbangan menjadi seperti bulu yang tercabut daripada busur panah.

AYAT 6- {SETELAH BERLAKU DEMIKIAN, MAKA (MANUSIA AKAN DIBERIKAN TEMPATNYA MENURUT AMAL MASING-MASING); ADAPUN ORANG YANG BERAT TIMBANGAN AMAL BAIKNYA,} (AL-QAARI\’AH 101:6)

  1. Pada hari itu setiap manusia akan diberi buku amalannya & akan ditimbang!
  2. Maka manusia yang berat timbangan amal kebaikannya dia akan mendapat balasan ini:

AYAT 7- {MAKA IA BERADA DALAM KEHIDUPAN YANG SENANG LENANG.} (AL-QAARI\’AH 101:7)

  1. Mereka akan berada hidup senang lenang dengan mendapat nikmat syurga yang amat nikmat! Dia redha & Allah redha kepada mereka!
  2. Firman Allah s.w.t:
    {Dan timbangan amal pada hari itu adalah benar; maka sesiapa yang berat timbangan amalnya (yang baik), maka mereka itulah orang-orang yang berjaya.} (Al-A\’raaf 7:8)
  3. Hadis Rasulullah s.a.w:
    i- Daripada Abu Hurairah r.a. berkata Rasulullah S.A.W telah bersabda:

مَنْ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ يَنْعَمُ وَلَا يَبْأَسُ، وَلَا تَبْلَى ثِيَابُهُ، وَلَا يَفْنَى شَبَابُهُ

Ertinya: \”Barangsiapa yang masuk ia akan syurga maka dia akan mendapat nikmat dengan tidak akan putus dan pakaiannya tidak akan binasa dan tidak hilang mudanya.\” (Hadis riwayat Muslim)

ii- Hadis riwayat Abu Said al-Khudri & Abu Hurairah r.a, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
Apabila masuk dalam syurga semuanya akan terdengar suara yang menyeru:

\”Wahai ahli syurga, sesungguhnya kamu akan tetap sihat dan tidak pernah sakit lagi, kamu akan tetap hidup dan tidak akan mati lagi, kamu akan tetap muda dan tidak akan tua renta lagi, kamu akan terus berbahagia, dan tidak akan pernah merasa sedih dan menderita lagi.\” [HR Muslim].
Ya Allah jadikan kami dari golongan yang bahagia ini!

AYAT 8- {SEBALIKNYA ORANG YANG RINGAN TIMBANGAN AMAL BAIKNYA,} (AL-QAARI\’AH 101:8)

  1. Manakala orang yang ringan & sedikit amalan baiknya (masih beriman) atau tiada kebajikan lansung seperti orang kafir!
  2. Ulama\’ mengatakan: Amal kebajikan orang kafir tidak ada nilai di akhirat kerana Allah s.w.t telah balas selalu kepadanya semasa di atas dunia ini! Mereka kaya, mereka sihat, bijak berpengaruh dan lain-lain. Maka tidak ada manfaat lagi kebaikannya di akhirat kelak!
  3. Manakala orang yang ada iman dalam hatinya tetapi banyak maksiat & dosa, maka dia akan dimasukkan ke dalam neraka dulu untuk menerima hukuman atas dosanya, kemudian akan keluar darinya!

AYAT 9- {MAKA TEMPAT KEMBALINYA IALAH \”HAAWIYAH.\”} (AL-QAARI\’AH 101:9)

  1. Maka tempat akhirnya, tempat kembalinya { فَأُمُّهُۥ} adalah Hawiyah!
  2. Yakni kepalanya menjunam ke dalam neraka- dicampak kepala dulu!
  3. Kata Ibnu Juzai rhm., makna { فَأُمُّهُۥ} ini ada tiga pandangan ulama\’:
    i- adalah neraka Jahannam- dinamakan sedemikian kerana malaikat mencampak ahlinya dengan kepala dulu. Ummu dengan makna tempat kembali iaitu neraka.

ii- ummu dengan makna ibu! Yakni ibunya jatuh & rugi kerana anaknya telah binasa & kena azab!

iii- kepalanya menjunam ke dalam neraka kerana ia dicampak dengan terbalik, kaki atas kepala ke bawah. Yakni dengan penuh kehinaan & kebencian.

AYAT 10- {DAN APA JALANNYA ENGKAU DAPAT MENGETAHUI, APA DIA \”HAAWIYAH\” ITU?} (AL-QAARI\’AH 101:10)

  1. Apakah yang kamu tahu tentang Hawiyah ini? Allah tanya kita untuk membesarkan isu neraka ini!

AYAT 11- {(HAAWIYAH ITU IALAH): API YANG PANAS MEMBAKAR.} (AL-QAARI\’AH 101:11)

  1. Ia adalah api yang panas membakar!
  2. Sebesar manakah panasnya air neraka ini?
  3. Hadis dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
    \”Api dunia yang kamu semua panaskan ini hanya 1/70 bahagian daripada kepanasan api nereka.\”
    Mereka bertanya: \”Wahai Rasulllah, meskipun semua dikumpulkan?\” Rasulullah S.A.W bersabda: \”Ia lebih panas 69 kali.\” [HR Muslim].
  4. Hadis dalam & luasnya neraka:
    Dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
    \”Sesungguhnya ada seorang hamba yang berbicara dengan suatu perkataan yang tidak dipikirkan bahayanya terlebih dahulu, sehingga membuatnya dilempar ke neraka dengan jarak yang lebih jauh dari pada jarak antara timur dan barat.\” (HR. Muslim no. 2988)
  5. Kerana itu Rasulullah s.a.w berpesan dengan sabdanya:
    \”Barang siapa beriman pada Allah S.W.T dan hari akhirat hendaklah berkata baik atau diam!\” [HR Bukhari dan Muslim].

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 1- {Hari yang menggemparkan,} & Ayat 2- {Apa dia hari yang menggemparkan itu?}- Allah s.w.t mulakan surah ini dengan ucapan pembukaan yang menakutkan {ٱلْقَارِعَةُ} iaitu satu huru-hara.

Nama-nama hari Kiamat ini berat sebutannya, gerun maknanya dan amat dahsyat kenyataanya!
Antaranya: ٱلطَّآمَّةُ ,ٱلۡحَآقَّةُ

Ini kerana Allah s.w.t mahu kita buka telinga, celik mata, dengar apa yang Allah s.w.t mahu beritahu kepada kita!

Apabila Allah s.w.t bertanya tentang sesuatu- ini menunjukkan kita jahil tentang perkara itu, jika lah s.w.t tidak memberitahu jawapannya kita tidak akan tahu! Allah s.w.t mahu kita beri ilmu & maklumat tambahan yang baru!

Kaedah uslub pertanyaan dalam al-Quran:
i- jika Allah s.w.t tanya sesuatu dengan uslub {وَمَآ أَدْرَىٰكَ} Wama adraka- maka akan dibawa jawapannya terus selepas itu. Seperti dalam ayat kita ini dan lain-lain ayat.

ii- manakala jika Allah guna uslub ini {وَمَا يُدْرِيكَ} Wa ma yudrika
Firman Allah s.w.t:
{Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui? Boleh jadi hari kiamat itu sudah hampir (masa datangnya).} (Asy-Syuura 42:17)

Allah tidak akan terus jawabnya, jadi kita kena baca ayat-ayat yang berkaitan yang berdekatan untuk mencari maknanya! Itulah uslub bahasa al-Quran!

  1. Ayat 4- { (Hari itu ialah: hari kiamat), hari manusia menjadi seperti kelkatu yang terbang berkeliaran,} & Ayat 5- {Dan gunung-ganang menjadi seperti bulu yang dibusar berterbangan.}- Allah sebut keadaan manusia & gunung-ganang pada hari Kiamat itu.

Apakah hikmahnya Allah s.w.t kembarkan antara keadaan manusia & gunung yang besar itu?

JAWAPAN :

Allah s.w.t mahu gambarkan betapa huru-haranya hari Kiamat itu! Jika bukit yang begitu besar juga tercabut dari paksinya dan berterbangan seperti bulu, apatah lagi kita manusia yang kecil & lemah ini!

Maka celakalah manusia yang tahu Kiamat akan berlaku tetapi dia tetap tidak mebuat persiapan untuk Kiamat & mati. Apa bekalan amalan yang kita buat untuk kembali bertemu dengan Allah s.w.t?

PEPATAH ARAB :
Syaitan asli takut kepada ayat Kursi:
Syaitan manusia takut akan kehilangan kerusi!

Jika atas dunia ini kita tidak jaga mulut, tidak jaga akhlak & perangai kita akan dihumban ke dalam neraka Hawiyah! Wal-iayazubillah.

  1. Ayat 6- {Setelah berlaku demikian, maka (manusia akan diberikan tempatnya menurut amal masing-masing); adapun orang yang berat timbangan amal baiknya,}- ayat ini menjadi dalil bahawa pada hari Kiamat nanti timbangan (الميزان) itu banyak dan berbilang-bilang!

Telah menjadi perbincangan di kalangan ulama\’ tafsir apakah alat timbangan itu (الميزان) banyak atau hanya satu yang utama saja?


JAWAPAN :

a- Kata ulama\’; zahir ayat al-Quran menunjukkan kepada bahawa timbangan itu banyak! Antaranya firman Allah s.w.t:
i- {Dan (ingatlah) Kami akan mengadakan neraca timbangan yang adil untuk (menimbang amal makhluk-makhluk pada) hari kiamat; maka tidak ada diri sesiapa akan teraniaya sedikitpun; dan jika (amalnya) itu seberat biji sawi (sekalipun), nescaya Kami akan mendatangkannya (untuk ditimbang dan dihitung); dan cukuplah Kami sebagai Penghitung.} (Al-Anbiyaa\’ 21:47)

ii- ayat kita ini – {مَن ثَقُلَتْ مَوَٰزِينُهُۥ}- mizan disebut dengan lafaz jamak- mawazin.

b- Ada juga ulama\’ yang mengatakan mizan itu hanya satu. Penimbangnya satu tetapi banyak dhn dikira amalan yang ditimbang. Wallahu a\’lam!

Imam Ibnu Hajar rhm. berkata dalam Fathul-Bari:
Pandangan yang kuatnya bahawa Mizan itu hanya SATU! Bagaimana ianya jangan difikir & jangan dibandingkan keadaan hari Kiamat dengan hari dunia!

Kita tidak perlu fikir banyak tentang ini, tugas kita hanya fikirkan untuk beratkan amalan kebaikan kita! Pilih sendiri apakah amalan yang kita nak timbang, baik atau buruk!

  1. Ayat 8- {Sebaliknya orang yang ringan timbangan amal baiknya,}- manakala orang yang ringan amalan baiknya akan dicampak ke dalam neraka!

Timbul persoalan:
Untuk orang mukmin yang ada iman dalam hatinya tetapi derhaka kepada Allah s.w.t maka amalan buruknya lebih banyak daripada amalan baik, bagaiman keadaannya?

JAWAPAN :

Kata ulama\’ tafsir: Mereka akan dicampakkan ke dalam neraka tetapi tidak menunjukkan mereka akan kekal selamanya di dalam neraka. Mereka akan dicampak ke dalam neraka, diazab, dibalas sebanyak dosa mereka kemudian dikeluarkan semula.

Atau ayat ini ditujukan kepada orang kafir yang lansung tiada timbangan amalan baiknya kerana kebaikan mereka telah dibalas atas dunia lagi!

  1. Ayat 9- {Maka tempat kembalinya ialah \”Haawiyah.\”}- maka tempat kembali mereka adalah neraka & mereka akan dicampak ke dalam neraka dengan kepala jatuh dulu!

Ada ulama\’ kata hawiyah ini adalah sifat atau cara campakan bukan nama neraka!

Pandangan ulama\’ tentang perkataan {فَأُمُّهُۥ} ini ada 3:
i- ummu dengan makna ubun-ubun mereka, kepala mereka yang dicampakkan ke dalam neraka.

ii- kebiasaan orang Arab jika nak marah atau cela seseorang, dia akan cela ibu dulu- ini kerana ibu yang akan dukacita & sedih dulu jika anaknya ditimpa kebinasaan!

iii- mereka akan dicampak ke dalam neraka- jika kafir kekal selamanya, jika orang yang ada iman setakat tempoh hukuman mereka!

Ya Allah kami telah tamat tafsir & tadabbur surah al-Qari\’ah yang menunjukkan kepada huru-hara hari Kiamat ini, maka berilah kepada kami keimanan yang mantap atas dunia ini, berilah kami hidayah untuk beramal dengan amalan baik, yang dapat memberatkan timbangan kami serta lindungilah kami dari golongan yang dicampakkan ke dalam neraka!

Powered by BetterDocs