View Categories

SURAH AL-QASAS : AYAT 36-42

\"\"

NABI MUSA BERHUJJAH DENGAN FIR\’AUN, FIR\’AUN TETAP ANGKUH MENGARAHKAN HAMAN BUAT BINAAN & KEBINASAAN FIR\’AUN DAN KAUMNYA.

Full video : https://youtu.be/dXPpQ9vrWkI

MUQADDIMAH :

  1. Kita perhatikan kisah nabi Musa a.s ini ada kisah dan episodnya yang tertentu dan berlainan dalam setiap surah untuk kita ambil iktibar dan pengajarannya.
  2. Kisah para nabi dan rasul ini sentiasa diulang-ulang dalam al-Quran; tujuan dan hikmahnya supaya kita dapat memahami situasi dan keadaan yang berlaku kepada mereka untuk kita mengambil ibrah pengajaran dalam kehidupan kita sepanjang zaman.
  3. Ini kerana Allah s.w.t hantarkan al-Quran sebagai pemandu, pembimbing dan hidayah petunjuk kepada orang-orang yang bertaqwa berjalan menuju kepada Allah s.w.t.
  4. Jika al-Quran ini tidak diambil sebagai panduan hanya sekadar dibaca sebagai amalan untuk mendapat pahala maka tidak sampai maksudnya. Ini kerana al-Quran ini ada 3 peringkat atau langkah beramal dengannya:
    i- baca untuk dapat pahala.
    ii- tadabbbur memahami isi kandungannya.
    ii- beramal dengan mengikut segala perinta Allah s.w.t dan meninggalkan segala larangan-Nya.
  5. Dalam siri yang lepas, selesainya episod nabi Musa a.s bermunajat dan mendapat wahyu dari Allah s.w.t yang melantiknya sebagai nabi dan rasul di Bukit Tursina. Dia lalu kembali kepada keluarganya dan meneruskan perjalanan ke Mesir.
  6. Musa a.s diutuskan untuk berdepan dan berdakwah kepada Firaun dan kaumnya di Mesir. Dia dibantu oleh saudaranya Harun yang dilantik sebagai nabi dan rasul juga. Allah s.w.t juga memberinya beberapa mukjizat dan ayat-ayat dalil.
  7. Dalam siri ini Allah s.w.t. berfirman menceritakan tentang kedatangan Musa a.s. dan saudaranya Harun a.s. kepada Fir\’aun dan pembesar-pembesar kerajaannya
  8. Ini adalah episod nabi Musa a.s berhujjah dengan Firaun yang tetap angkuh dan mendustakan segalanya.
  9. Dalam siri ini juga diceritakan pengakhiran bagi Firaun dan kaumnya yang zalim.

AYAT 36- {SETELAH NABI MUSA DATANG KEPADA FIRAUN DAN KAUMNYA DENGAN MEMBAWA AYAT-AYAT KETERANGAN KAMI YANG TERANG NYATA, MEREKA BERKATA: \”APA YANG ENGKAU BAWA INI HANYALAH SIHIR YANG DIBUAT-BUAT, DAN KAMI TIDAK PERNAH MENDENGAR TENTANG PERKARA INI DALAM KALANGAN DATUK NENEK KAMI YANG TELAH LALU\”.} (AL-QASAS 28:36)

  1. Nabi Musa a.s menggunakan pendekatan berhujjah membawa dalil dan bukti yang nyata untuk memberi kesedaran kepada Firaun.
  2. Dia juga membawa mukjizat segera yang sentiasa ada bersamanya iaitu tongkat ditangannya sendiri. Manakala ayat atau tanda lain datang secara berperingkat.
  3. Itulah maksud {Dengan membawa ayat-ayat keterangan Kami yang terang nyata} iaitu sesuatu yang mencarik adat, yang pelik tidak akan berlaku kecuali dengan kuasa Allah s.w.t .
  4. Tetapi bagi setiap ayat/dalil yang datang ini mereka akan menafikannya dengan mengatakan ia adalah satu sihir yang dibuat-buat, ini kerana dunia mereka pada masa itu fokus dan berkisar kepada ilmu sihir yang menjadi trend.
  5. Serta mereka juga kata tidak pernah mendengarnya dari datuk nenek mereka yang lalu. Ini bukan cara beragama atau dalil untuk menyandarkan hujjah kepada perbuatan tok nenek dahulu.
    Sebagaimana Firman Allah s.w.t dalam surah Toha.

AYAT 37- {DAN (BAGI MENJAWABNYA) NABI MUSA BERKATA: \”TUHANKU LEBIH MENGETAHUI SIAPAKAH YANG MEMBAWA HIDAYAH PETUNJUK DARI SISINYA DAN SIAPA YANG AKAN BEROLEH KESUDAHAN YANG BAIK DI DUNIA INI. SESUNGGUHNYA ORANG-ORANG YANG ZALIM TIDAK AKAN BERJAYA\”.} (AL-QASAS 28:37)

  1. Nabi Musa a.s membalas hujjah dan tuduhan jahat Firaun itu dengan berkata bahawa Tuhannya lebih tahu siapa yang membawa hidayah petunjuk dan pengakhiran kesudahan yang baik bagi mereka. Manakala orang-orang yang zalim sesekali tidak akan berjaya!
  2. Ini kerana Allah s.w.t mahu memperdengarkan kepada kita hujjah kedua-dua pihak, kata-kata Firaun dan kata-kata Musa a.s. inlah yang kita kena belajar, hujjah dibalas dengan hujjah yg berfakta, bukan merepek atau membalas dengan cacian dan cercaan.
  3. Kita juga mesti menggunakan hujjah berdasarkan al-Quran dan sunnah, bukan hanya sandarkan kepada adat kebiasaan orang-orang dahulu.

AYAT 38- {DAN FIRAUN PULA BERKATA: \”WAHAI ORANG-ORANGKU, AKU TIDAK MENGETAHUI ADA BAGI KAMU SEBARANG TUHAN YANG LAIN DARIPADAKU; OLEH ITU, WAHAI HAMAN, BAKARKANLAH UNTUKKU BATU-BATA, SERTA BINALAH UNTUKKU BANGUNAN YANG TINGGI, SUPAYA AKU NAIK MELIHAT TUHAN MUSA (YANG DIKATAKANNYA ITU); DAN SESUNGGUHNYA AKU PERCAYA ADALAH MUSA DARI ORANG-ORANG YANG BERDUSTA\”. (AL-QASAS 28:38)

  1. Apabila dibalas hujjahnya oleh Musa a.s dengan jelas dan mantap, Firaun berasa termalu dan kesipuan. Untuk menutup kelemahannya dia terus menampakkan sifat angkuh dan takabburnya.
  2. Dia mengaku sekali lagi sebagai tuhan kepada kaumnya, untuk mengingat dan mengancam mereka agar jangan terpengaruh dengan hujjah Musa a.s.
    {Dengan berkata: \”Akulah tuhan kamu, yang tertinggi\”.} (An-Naazi\’aat 79:24).
  3. Untuk mengambil pengajaran dan iktibar dari al-Quran kita kena kaitkan dengan kehidupan dan suasana kita sekarang. Kisah dalam al-Quran bukan untuk orang mati sahaja. Ilmu al-Quran untuk kita tadabbur ambil ibrah pengajaran dan mengamalkan hukum-hakamnya.
  4. Lalu Firaun dengan penuh sombong berpaling kepada Haman (menteri pembantu utamanya) membuat persiapan untuk membina satu bangunan tinggi untuk dia naik melihat Tuhan Musa yang dikatakannya itu.
  5. Tetapi dalam masa yang sama dia sudah tetapkan pendiriannya: {Sesungguhnya aku percaya adalah Musa dari orang-orang yang berdusta\”.}.
  6. Ini adalah episod berhujjah, dalam surah yang lain diceritakan Musa a.s menunjukkan mukjizatnya secara fizikal iaitu tongkat menjadi ular dan tangannya yang bersinar.

AYAT 39- { DAN BERLAKU SOMBONG TAKBURLAH FIRAUN DAN TENTERANYA DI NEGERI ITU DENGAN TIADA ALASAN YANG BENAR, DAN MEREKA MENYANGKA BAHAWA MEREKA TIDAK AKAN DIKEMBALIKAN KEPADA KAMI.} (AL-QASAS 28:39)

  1. Firaun dan pengikutnya adalah seorang yang sombong, angkuh, zalim dan banyak menimbulkan kerosakan di bumi (Mesir).
  2. Ini kerana mereka tidak percaya dan yakin dengan kiamat dan hari kebangkitan. Sekiranya mereka mengetahui, bahawa mereka akan kembali kepada Allah s.w.t., tentu mereka tidak akan bersikap menentang seperti itu.

AYAT 40- {DENGAN SEBAB ITU KAMI MENGEPUNGNYA BERSAMA-SAMA TENTERANYA SERTA KAMI HUMBANKAN MEREKA KE DALAM LAUT; MAKA PERHATIKANLAH BAGAIMANA BURUKNYA KESUDAHAN ORANG-ORANG YANG ZALIM.} (AL-QASAS 28:40)

  1. Dengan sebab pendustaan mereka itu, Allah s.w.t balas bagi mereka akibat di dunia lagi, Firaun dan tenteranya dibinasakan, tenggelam dalam Laut Qalzum atau Laut Merah sekarang ini.
  2. Inilah akibat bagi orang-orang yang zalim. Azabnya adalah mengikut kesombongan yang mereka buat, Firaun yang bangga dengan sungai Nil, Allah binasakan dalam air!!
    Kaum-kaum lain yang kufur juga pelbagai cara azab siksaan yang diturunkan, yang penting semuanya dibinasakan!

AYAT 41- {DAN KAMI JADIKAN MEREKA KETUA-KETUA (DALAM KESESATAN) YANG MENGAJAK KE NERAKA (DENGAN KEKUFURANNYA), DAN PADA HARI KIAMAT PULA MEREKA TIDAK MENDAPAT SEBARANG PERTOLONGAN.} (AL-QASAS 28:41)

  1. Satu hadis Rasulullah s.a.w yang mengatakan sesiapa yang menghidupkan sesuatu amalan yang baik dalam masyarakat, maka ditiru dan diamalkan oleh orang, maka dia akan mendapat pahala yang berterusan. Begitu juga sebaliknya sesiapa yang buat amalan buruk dan diikut, dia akan dapat dosanya sehingga ke neraka. [HR Muslim].
  2. Dalam ayat ini Allah s.w.t katakan kepada Firaun- dia adalah sebagai ketua yang mengajak orang kepada kesesatan maka mereka akan bersama di dalam neraka akibat kekufuran itu.
  3. Begitu juga semua manusia yang mengajak ke arah keburukan dan berdusta atas nama Nabi s.a.w akibatnya balasan azab yang buruk.
  4. Allah s.w.t juga sabitkan bahawa pada hari kiamat pula mereka tidak akan mendapat sebarang pertolongan.

AYAT 42- {DAN KAMI IRINGI MEREKA DENGAN LAKNAT DI DUNIA INI, DAN PADA HARI KIAMAT PULA ADALAH MEREKA DARI ORANG-ORANG YANG TERSINGKIR (DARI RAHMAT KAMI) DENGAN SEHINA-HINANYA.} (AL-QASAS 28:42)

  1. Mereka akan dilaknat di dunia ini sebagai tambahan terhadap azab dan penghinaan mereka.
  2. Di akhirat pula mereka mendapat azab yang sehina-hinanya dan jauh dari rahmat Allah s.w.t.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 36 { mereka berkata: \”Apa yang engkau bawa ini hanyalah sihir yang dibuat-buat.} Walaupun dihina dan difitnah di khayalak ramai di dalam istana Firaun, Nabi Musa a.s tidak gentar dan goyah! inilah kekuatan jiwa yang ditunjuk oleh nabi Musa a.s dia tidak putus asa dan undur walaupun dicela dan difitnah oleh Firaun dengan pebagai tuduhan! Ini sebagai pengajaran kepada para pendakwah agar sabar, jangan mudah putus asa dan terus berdakwah selama mana kita tahu kita berada di atas jalan yang benar. Begitu juga contoh yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. dalam menghadapi tentangan dan halangan. Para pendakwah jangan mudah koyak!
  2. Allah s.w.t berfirman ayat 36- {Sesungguhnya orang-orang yang zalim tidak akan berjaya\”.} Ayat ini memberi amaran agar jangan zalim dan kena berlaku adil, samada zalim kepada diri sendiri seperti syirik atau berbuat zalim kepada orang lain.
  3. Ayat 39- {Dan berlaku sombong takburlah Firaun dan tenteranya} juga sebagai peringatan agar jangan sombong, bila orang tunjukkan kebenaran, dengar dan lihat dulu sebelum menolaknya. Ulama\’ kata sesiapa yang sombong tidak mahu menerima kebenaran maka bererti dia ada sifat seperti Firaun, sombong dan takabbur. Maka kitapun jika benar-benar nak belajar, mesti buka minda dan hati untuk mendengar kebenaran, jangan mudah melenting terasa, tidak beradab dalam majlis ilmu dan seumpamanya.
  4. Ayat 40- {Bagaimana buruknya kesudahan orang-orang yang zalim.} Kita kena perhatikan dan ambil pengajaran dari apa yang Allah timpakan ke atas mereka yang zalim ini serta kaitkannya dengan kehidupan dan zaman kita hari ini, kita kena belajar dari sejarah dan pengalaman untuk selamat dan mendapat kebenaran.
  5. Ayat 36- {Dengan membawa ayat-ayat keterangan Kami yang terang nyata} ayat ini menjadi dalil bahawa menegakkan hujjah itu adalah satu kerja pendakwah, tetapi orang yang menolak dakwah tanpa hujjah yang ilmiah adalah orang yang menolak kebenaran hanya berhujjah dengan alasan seperti- {kami tidak pernah mendengar tentang perkara ini dalam kalangan datuk nenek kami yang telah lalu\”.} Inilah alasan yang dipegang oleh mereka yang tidak mahu berubah, menolak dari menerima kebenaran sehingga ke hari ini, sama seperti zaman Firaun lagi.
  6. Orang zalim yang mendoakan kebinasaan kepada orang yang dizalimi, tidak akan diterima doanya oleh Allah s.w.t itu. Seperti mana Firaun yang berdoa untuk mengalahkan Musa a.s., begitu juga seperti dalam peperangan Badar, Abu Jahal telah berdoa kepada Allah agar membinasakan Nabi Muhammad s.a.w.
  7. Ayat 38- {Firaun mengarahkan pembantunya Haman untuk membina bangunan yang tinggi,} Arahan Firaun ini untuk Haman tetapi bukan bererti dia sendiri yang membinanya, tetapi dia sebagai pegawai atau pengurus yang akan menguruskan kerja itu. Ulama\’ feqah berkata: Jika seorang dewasa menyuruh seorang kanak-kanak yang belum baligh untuk membunuh orang, maka hukum balas-bunuh akan dikenakan kepada orang yang menyuruh perbuatan itu.
  8. Ayat 39- { mereka menyangka bahawa mereka tidak akan dikembalikan kepada Kami.} yakni mereka tidak sangka mereka akan bangkit semula ini sebagai dalil bahawa mereka tahu adanya Tuhan tetapi mereka tetap ingkar akan kebangkitan semula. Lalu mereka tidak beriman kepada Allah s.w.t maka tetapi kufur.
  9. Ayat 40- {Kami humbankan mereka ke dalam laut} kenapa Allah s.w.t binasakan Firaun dalam laut? Ini dikatakan kerana Firaun ini sombong dan suka sangat berbangga dengan air dan sungai-sungai yang ada di bawah jajahannya. Maka ia dibinasakan dengan apa yang dikagumi dan dipujanya.
    Firman Allah s.w.t: {Dan Firaun pula menyeru (dengan mengisytiharkan) kepada kaumnya, katanya: \”Wahai kaumku! Bukankah kerajaan negeri Mesir ini – akulah yang menguasainya, dan sungai-sungai ini mengalir di bawah (istana) ku? Tidakkah kamu melihatnya?} (Az-Zukhruf 43:51),
    Maka kita berhati-hatilah kerana kata ulama\’, bala itu boleh datang akibat mulut/percakapan kita yang selalu mengucapkan sesuatu yang buruk, maka seolah kita berdoa/memintanya terjadi.
  10. Ayat 40- {Maka perhatikanlah bagaimana buruknya kesudahan orang-orang yang zalim.} ayat ini memberi jaminan bahawa orang yang zalim selama mana tempohnya. pasti akan berakhir jua dan orang yang baik akan dimenangkan insya\’ Allah .
    Wallahu a\’lam.

Powered by BetterDocs