HIKMAH DITURUNKAN AL-QURAN SECARA BERPERINGKAT, SEKUMPULAN AHLI KITAB BERIMAN DENGAN AL-QURAN & KUASA MEMBERI HIDAYAH TAUFIQ HANYA BAGI ALLAH.
Full video : https://youtu.be/vBhRwBG9t3A
MUQADDIMAH :
- Dalam siri ini Allah s.w.t menceritakan tentang hikmah turunnya al-Quran secara berperingkat.
- Kemudian tentang pembahagian ahlul-Kitab Taurat & Injil, yang selepas berjumpa dengan petunjuk kebenaran al-Quran, ada yang beriman, ada yang terus menentang walaupun sudah nampak kebenaran.
- Etika adab jika berada dalam kumpulan yang berkelakuan atau bercakap buruk, maka tingalkannya, jangan terlibat.
- Kuasa memberi hidayah taufiq hanya milik Allah s.w.t, manakala hidayah irsyad memberi bimbingan adalah kerja Rasulullah s.a.w yang diteruskan oleh para ulama\’ dan pendakwah; memberi pengajaran, amaran dan menyampaikan ilmu.
AYAT 51- {DAN DEMI SESUNGGUHNYA KAMI TELAH HUBUNGKAN TURUNNYA FIRMAN-FIRMAN KAMI (AL-QURAN) DENGAN BERTURUT-TURUT KEPADA MEREKA, SUPAYA MEREKA BEROLEH PERINGATAN (LALU BERIMAN). (AL-QASAS 28:51)
- Dalam ayat ini Allah s.w.t terangkan hikmah kenapa al-Quran itu diturunkan secara berperingkat. Kandungannya tidak diturunkan sekaligus sebagaimana kitab Taurat sebelumnya yang diturunkan kepada nabi Musa a.s.
- Ia diturunkan mengikut masalah atau persoalan isu semasa yang berlaku di kalangan sahabat Rasulullah, menjawab persoalan serta isu yang timbul.
- Walaupun ia turun ayat demi ayat dan berbeza waktunya, tetapi ia tetap bersambung, tidak ada fakta yang bercanggah dan mencelarukan kerana ia dari sumber yang satu iaitu Allah s.w.t.
- Mengandungi hukum-hukum, kisah-kisah pengajaran, menghubungkan kisah dan penjelasan yang diperlukan, menjawab persoalan semasa secara lansung.
- Ia diturunkan sedikit demi sedikit kepada kafir Makkah dan ahli Kitab yang ada di sekitar Makkah itu supaya mereka beroleh peringatan dan petunjuk, lalu mereka beriman. Juga supaya tidak mudah lupa dan mudah mengingatinya.
- Kata Rifa\’ah al-Qurazi: Ayat al-Quran in diturunkan kepada 10 orang daripada ahli Kitab, dan aku adalah salah seorang yang beriman daripada mereka.
- Walaupun al-Quran itu ada sebab turunnya ayat – sababun-nuzul, (jika hadis di panggil sababul-wurud – sebab Nabi s.a.w mengeluarkan hadis itu) hukumnya umum kepada seluruh umatnya, bukan terhad kepada kisah itu sahaja. Kita belajarnya untuk memahami dengan lebih jelas tentang hukum dan maksudnya,
AYAT 52- {ORANG-ORANG YANG KAMI BERI KITAB SEBELUM TURUNNYA AL-QURAN, MEREKA BERIMAN KEPADANYA}. (AL-QASAS 28:52)
- Mereka para ahli Kitab ini, beriman pula dengan al-Quran sebagaimana mereka beriman dengan kitab sebelumnya.
- Orang yahudi ini ada beberapa kumpulan:
i- yang berpegang dengan Kitab Taurat dan beriman dengan Nabi Musa a.s, ikut sehingga mati.
ii- yang beriman dengan Nabi Musa a.s ikut Kitab Taurat. Kemudian sempat bertemu lalu beriman dengan Rasulullah s.a.w., mereka inilah yang Allah s.w.t sebut dalam surah ini. - Ibnu al-Jauzi pula memberi huraiannya:
i- ahli Kitab Taurat yang beriman. Seperti Abdullah bin Salam dan lain-lain.
ii- ahli kitab Nasrani yang beriman. Seperti Salman al-Farisi dan lain-lain.
Mereka inilah yang beriman dua kali lalu mendapat dua kelebihan dan pahala, sebagaimana firman Allah s.w.t:
{Orang-orang yang Kami berikan Kitab kepada mereka, sedang mereka membacanya dengan sebenar-benar bacaan (tidak mengubah dan memutarkan maksudnya), mereka itulah orang-orang yang beriman kepadanya; dan sesiapa yang mengingkarinya maka mereka itulah orang-orang yang rugi.} [Al-Baqarah: 121].
AYAT 53- {DAN APABILA AL-QURAN ITU DIBACAKAN KEPADA MEREKA; MEREKA, BERKATA: \”KAMI BERIMAN KEPADANYA, SESUNGGUHNYA IA ADALAH PERKARA YANG BETUL BENAR DARI TUHAN KAMI; SESUNGGUHNYA KAMI SEBELUM IA DITURUNKAN, TELAHPUN MEMATUHINYA \”. (AL-QASAS 28:53)
- Mereka ini apabila dibacakan al-Quran kepada mereka, terus mereka beriman dan membenarkannya. Ini kerana dalam Kitab mereka sudah ada menceritakan tentang al-Quranul Karim, mereka hanya menunggu kedatangannya, mereka mengaku bahawa ia adalah sesuatu yang benar dari Tuhan mereka.
- Allah s.w.t ceritakan sifat mereka ini, ahlul Kitab yang baik dan jujur sifatnya, betapa teruja dan gembiranya mereka apabila bertemu dengan al-Quran, dalam firman-Nya ini:
{Dan apabila mereka mendengar Al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah (Muhammad, s.a.w), engkau melihat mata mereka mencucurkan air mata disebabkan apa yang mereka ketahui (melalui Kitab mereka) dari kebenaran (Al-Quran), sambil mereka berkata: \”Wahai Tuhan kami, kami beriman (kepada Nabi Muhammad dan Kitab Suci Al-Quran), oleh itu tetapkanlah kami bersama-sama orang-orang yang menjadi saksi (yang mengakui kebenaran Nabi Muhammad s.a.w).} [Al-Maidah: 83]. - Mereka sudah membaca banyak dalam Kitab mereka tentang tanda-tanda kedatangan Nabi akhir zaman, sehinggakan mereka berhijrah ke Madinah menunggunya dengan harapan dia akan lahir dari keturunan anak-cucu mereka iaitu bangsa yahudi.
- Maka yang hasad dengki tidak dapat menerima hakikat ini, terus menolak dan menentang Rasulullah s.a.w sehingga ke titisan darah terakhir semata-mata kerana hasad sebagaimana kisah ketua yahudi Huyai bin Akhtab kemarin.
- Manakala yang jujur dan terbuka hatinya menerima kebenaran, terus beriman dan mengakui bahawa mereka sebelum inipun telah beriman kepada Allah s.w.t dan mematuhi arahan-Nya berpandukan kitab yang terdahulu.
AYAT 54- {MEREKA ITU AKAN BEROLEH PAHALA DUA KALI DISEBABKAN KESABARAN MEREKA; DAN JUGA KERANA MEREKA MENOLAK KEJAHATAN DENGAN KEBAIKAN, DAN MEREKA MENDERMA DARI APA YANG KAMI KURNIAKAN KEPADA MEREKA}. (AL-QASAS 28:54)
- Maka mereka yang beriman dengan kedua kitab ini akan mendapat pahala dua kali, pertama kerana beriman kepada kitab Taurat atau Injil, kemudian kerana beriman kepada al-Quran dan memeluk Islam.
- Mereka mencapai kejayaaan ini kerana tetap sabar dan teguh beriman walaupun mereka diganggu oleh kaum mereka sendiri dan kaum musyrikin lain.
- Sabda Rasulullah tentang 3 golongan yang diberi pahala dua kali:
\”Tiga orang yang mereka diberi pahala dua kali:
(1) Seorang ahli kitab yang beriman kepada nabinya yang dahulu, dan mendapati Nabi (Muhammad) s.a.w lalu beriman kepada Baginda, mengikutinya, dan mempercayainya, maka dia mendapatkan dua pahala;
(2) hamba sahaya yang menunaikan kewajiban terhadap Allah dan kewajiban terhadap tuannya, ia mendapatkan dua pahala; dan
(3) seseorang yang memiliki hamba perempuan lalu memberinya makan dan baik dalam hal memberi makannya, kemudian mendidiknya dan baik dalam mendidiknya, lalu dia memerdekakannya dan menikahinya, maka dia mendapat dua pahala.\” [HR. al-Bukhari] - Kisah Abu Sufyan yang mengetuai kafilah dagangan Quraisy ke Syam semasa dia masih tidak beriman dan dipangil oleh Raja Heraclius untuk ditanya tentang Rasulullah s.a.w yang telah mengutus surat kepadanya.
Antara isi surat yang dikirim Rasulullah s.a.w kepada Raja Heraclius :
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ، مِنْ مُحَمَّدٍ عَبْدِ اللَّهِ وَرَسُولِهِ إِلَى هِرَقْلَ عَظِيمِ الرُّومِ: سَلاَمٌ عَلَى مَنِ اتَّبَعَ الهُدَى، أَمَّا بَعْدُ، فَإِنِّي أَدْعُوكَ بِدِعَايَةِ الإِسْلاَمِ، أَسْلِمْ تَسْلَمْ، يُؤْتِكَ اللَّهُ أَجْرَكَ مَرَّتَيْنِ، فَإِنْ تَوَلَّيْتَ فَإِنَّ عَلَيْكَ إِثْمَ الأَرِيسِيِّينَ \” وَ {يَا أَهْلَ الكِتَابِ تَعَالَوْا إِلَى كَلِمَةٍ سَوَاءٍ بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمْ أَنْ لاَ نَعْبُدَ إِلَّا اللَّهَ وَلاَ نُشْرِكَ بِهِ شَيْئًا وَلاَ يَتَّخِذَ بَعْضُنَا بَعْضًا أَرْبَابًا مِنْ دُونِ اللَّهِ فَإِنْ تَوَلَّوْا فَقُولُوا اشْهَدُوا بِأَنَّا مُسْلِمُونَ}
\”Bismillahir rahmanir rahiim…
Dari Muhammad, hamba Allah dan utusan-Nya, Kepada Heraclius, raja Romawi.
Salaamun \’ala manit-taba\’al huda, (keselamatan bagi yang mengikuti petunjuk)
Amma ba\’du (Selanjutnya) :
Daku mengajak kamu dengan seruan Islam. Masuklah Islam, nescaya kamu akan selamat.
Allah akan memberikan pahala kepada-Mu dua kali. Jika Kamu berpaling (tidak menerima) maka kamu menanggung semua dosa kaum Arisiyin ( الأَرِيسِيِّين ).
Katakanlah: \”Hai Ahli Kitab, marilah (berpegang) kepada suatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, bahawa tidak kita sembah kecuali Allah dan tidak kita persekutukan Dia dengan sesuatupun dan tidak (pula) sebahagian kita menjadikan sebahagian yang lain sebagai tuhan selain Allah\”.
Jika mereka berpaling maka katakanlah kepada mereka:
\”Saksikanlah, bahwa kami adalah orang-orang yang berserah diri (kepada Allah)\”. (Ali Imran: 64).\” [HR Bukhari, Muslim, Abu Daud, Tirmizi, dan yang lainnya.]
Ketika Heraclius membacanya maka tahulah dia bahawa Muhammad itu benar Nabi. Kerana Baginda menyebut kalimat Arisun.
Tetapi malangnya nasib Heraclius ini, walaupun sudah nampak kebenaran dan hatinya sudah cenderung untuk menerima Islam, kerana mengikut nasihat pengikutnya para ulama\’ jahat yang walaupun tahu yang benar tetapi menolkanya. Lalu mereka mengisytiharkan peperangan ke atas Islam dan Rasulullah s.a.w. - Mereka yang beriman ini, menolak keburukan yang dilakukan sebelum Islam dulu dengan melakukan amal soleh selepas Islam.
- Ada juga ulama\’ kata maksudnya mereka tidak membalas keburukan yang dilakukan kepada mereka. Mereka bersabar bahkan membalasnya dengan kebaikan.
- Apabila ada harta, rezeki dari Allah s.w.t, mereka menginfakkannya fi sabilillah.
- Ada dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w menyenaraikan beberapa amalan yang tidak perlu keluarkan harta atau duit.
Dari Abu Hurairah r.a dia berkata: Rasulullah s.a.w bersabda:- Setiap anggota tubuh manusia dapat melakukan sedekah, setiap hari dimana matahari terbit:
i- lalu engkau berlaku adil terhadap dua orang (yang bertikai) adalah sedekah, (mendamaikan)
ii- engkau menolong seseorang yang berkendaraan lalu engkau bantu dia untuk naik kendaraannya atau
iii- mengangkatkan barangnya adalah sedekah,
iv- ucapan yang baik adalah sedekah,
v- setiap langkah ketika engkau berjalan menuju solat adalah sedekah dan menghilangkan gangguan dari jalan adalah sedekah. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
AYAT 55- {DAN APABILA MEREKA MENDENGAR PERKATAAN YANG SIA-SIA, MEREKA BERPALING DARIPADANYA SAMBIL BERKATA: \”BAGI KAMI AMAL KAMI DAN BAGI KAMU PULA AMAL KAMU; SELAMAT TINGGALAH KAMU; KAMI TIDAK INGIN BERDAMPING DENGAN ORANG-ORANG YANG JAHIL\”. (AL-QASAS 28:55)
- Mereka ini juga apabila mendengar perkataan dan perbuatan yang buruk, sia-sia atau yang tidak ada faedahnya dari orang yang jahil, maka jawaban mereka adalah berpaling darinya. اللَّغْوَ maksudnya ialah semua perkara yang lagha dan buruk itu.
- Mereka tidak bergaul dan tidak mahu berteman dengannya. Mereka berlepas diri dengan melalui saja dengan menjaga kehormatan dirinya. Inilah sikap yang seharusnya yang kita semua buat dan ambil.
AYAT 56- {SESUNGGUHNYA ENGKAU (WAHAI MUHAMMAD) TIDAK BERKUASA MEMBERI HIDAYAH PETUNJUK KEPADA SESIAPA YANG ENGKAU KASIHI (SUPAYA IA MENERIMA ISLAM), TETAPI ALLAH JUALAH YANG BERKUASA MEMBERI HIDAYAH PETUNJUK KEPADA SESIAPA YANG DIKEHENDAKINYA (MENURUT UNDANG-UNDANG PERATURANNYA); DAN DIA LAH JUA YANG LEBIH MENGETAHUI AKAN ORANG-ORANG YANG (ADA PERSEDIAAN UNTUK) MENDAPAT HIDAYAH PETUNJUK (KEPADA MEMELUK ISLAM). (AL-QASAS 28:56)
- Dalam ayat ini Allah s.w.t memberi nasihat dan peringatan kepada Rasulullah s.a.w bahawa Baginda tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dia kasihi supaya ia menerima Islam.
- Hanya Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya menurut undang-undang peraturan-Nya.
- Teguran ini ada cerita yang amat menyedihkan disebaliknnya.
Dari Said bin al-Musayyib dari ayahnya, ia berkata, \”Menjelang wafatnya Abu Tolib, Rasulullah s.a.w datang menemuinya. Ketika itu Baginda melihat telah hadir Abu Jahal dan Abdullah bin Abi Umayyah bin al-Mughirah. Baginda bersabda,
أَيْ عَمِّ، قُلْ: لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ، كَلِمَةً أُحَاجُّ لَكَ بِهَا عِنْدَ اللهِ
\’Wahai pakcik, ucapkanlah laa ilaaha illallaah. Dengan kalimat ini, akan aku bela engkau nanti di sisi Allah.\’
Abu Jahal dan Abdullah bin Abi Umayyah mencelah,
أَتَرْغَبُ عَنْ مِلَّةِ عَبْدِ الْمُطَّلِبِ؟
\’Apakah engkau membenci agamanya Abdul Mutolib?\’
Rasulullah s.a.w terus menawarkan kepada pakciknya. Namun kedua orang itu juga terus menekannya. Akhirnya Abu Tolib mengatakan kepada mereka, \’Di atas agamanya Abdul Mutolib\’. Ia enggan mengucapkan laa ilaha illallaah.
Rasulullah s.a.w mengatakan,
وَاللَّهِ لأَسْتَغْفِرَنَّ لَكَ مَا لَمْ أُنْهَ عَنْكَ
\’Demi Allah, akan aku mohon keampunan untukmu selama aku tidak dilarang.\’
Kemudian Allah menurunkan firman-Nya,
مَا كَانَ لِلنَّبِيِّ وَالَّذِينَ آمَنُوا أَنْ يَسْتَغْفِرُوا لِلْمُشْرِكِينَ
\’Tidak patut bagi seorang nabi dan orang-orang yang beriman untuk memohon keampunan kepada orang-orang musyrik.\’ (QS. At-Taubah: 113).
Allah mengisahkan ayat ini tentang Abu Tolib. Dan untuk Rasulullah s.a.w, Allah Ta\’ala berfirman,
إِنَّكَ لَا تَهْدِي مَنْ أَحْبَبْتَ وَلَكِنَّ اللهَ يَهْدِي مَنْ يَشَاءُ
\’Sesungguhnya engkau (Muhammad) tidak mampu menunjuki orang yang engkau cintai, akan tetapi Allah-lah yang menunjuki siapa yang Dia kehendaki.\’ (QS. Al-Qashash: 56). (Diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam Kitab Tafsir al-Quran, Suratu al-Qashash, 4494 dalam Fath al-Bari). - Sebagaiman yang telah kita pelajari sebelum ini bahawa hidayah itu dua jenis.
- 5 . Allah s.w.t akhiri ayat ini dengan berfirman bahawa Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang ada persediaan untuk mendapat hidayah petunjuk kepada memeluk Islam.
PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :
- Ayat 53- {Sesungguhnya kami sebelum ia diturunkan, telahpun mematuhinya.} Ulama\’ kata boleh kita sebut kebaikan yang kita buat dulu untuk memberitahu maklumat, bukan dengan niat riya\’ atau sombong serta betul-betul ada keperluan atau maslahah.
- Ayat 54- {Mereka itu akan beroleh pahala dua kali disebabkan kesabaran mereka; } ini menunjukkan kelebihan sabar, Allah s.w.t akan beri kelebihan dan ganjaran pahala yang amat besar.
- Ayat 54- {Dan juga kerana mereka menolak kejahatan dengan kebaikan} Menolak benda buruk dengan benda baik. Inilah akhlak orang yang beriman dan bijak.
- Antara sebab kita boleh menolak kejahatan daripada orang hasad ialah dengan padamkan api hasadnya dengan berbuat baik kepadanya.
- Ayat 54- {Mereka menderma dari apa yang..} – menunjukkan kelebihan infaq di jalan Allah dengan jalan yang betul.
- Ayat 55- {Dan apabila mereka mendengar perkataan yang sia-sia, mereka berpaling daripadanya} – bila dengar perkara yang tak baik tinggalkan, yang ada syubhat dan keraguan, boleh merosakkan hati, tinggalkan! Hatta jika kuliah yang ada mengutuk, menghina, mengata orang; jangan ikuti.
- Ayat 55- {Kami tidak ingin berdamping dengan orang-orang yang jahil.} Jangan buat kawan dengan orang yang jahil, yang buat kejahatan, kelak kita akan terpalit sama.
- Hikmah Allah s.w.t turunkan wahyu secara berperingkat untuk menjadi tazkirah dan pengajaran nasihat kepada kita. Supaya mudah pemahaman dan penerimaannya.
- Manusia kena sentiasa berdakwah, lebih-lebih lagi kepada orang yang dekat, yang kita sayang, utamakan dakwah kepada keluarga yang terdekat terlebih dahulu.
- Hidayah memberi bimbingan dan ajaran itu kerja para nabi dan rasul, para pendakwah dan ustaz-ustaz, jangan putus-asa dan hendaklah berterusan. Mereka terima atau tidak dakwah itu kerja Allah s.w.t yang akan memberi hidayah Taufiq-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.
Wallahu a\’lam.