View Categories

Surah Al-Qasas : Ayat 60-67

\"\"

💎 Menolak Hujjah ke-3 Quraisy; Agama Tidak Menolak Dunia, Mencela Pegangan Kafir Dengan 3 Soalan & Seruan Bertaubat.💎

♥ Live Pagi Isnin 06 Safar 1443H = 13/09/2021 Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani – Tafsir Surah Al-Qasas (13) Ayat [60-67]♥
Full video: https://fb.watch/7_iS0TtUDR/

🎀 Muqaddimah:

  1. Dalam siri yang lepas kita telah bincang tentang jawapan Allah s.w.t kepada hujjah kaum musyrikin Quraisy yang mengatakan jika mereka beriman akan menyusah dan menyempitkan hidup mereka.
  2. Mereka juga mengatakan jika beriman mereka akan diancam dan akan dihalau keluar dari Makkah. Lalu Allah s.w.t menjawab kesemua hujjah ini dengan jaminan tentang keamanan Tanah Haram dalam ayat 57.
  3. Allah s.w.t juga mengingatkan tentang kebinasaan kaum terdahulu yang hidup mewah, kaya raya dan gagah perkasa dalam ayat 58.
  4. Siri ini adalah menjawab hujjah mereka yang ketiga dalam ayat ke-60. Iaitu bahawa Agama atau keimanan kepada Allah s.w.t tidak menolak manfaat dan kebaikan yang ada di atas dunia. Yakni menjawab hujjah mereka tentang nikmat dan rezeki dunia berbanding dengan nikmat akhirat yang kekal abadi.
  5. Allah s.w.t juga mencela pegangan kaum kafir dengan 3 soalan.

🌺*Ayat 60- {Dan apa jua (harta benda dan lain-lainnya) yang diberikan kepada kamu, maka adalah ia merupakan kesenangan hidup di dunia dan perhiasannya; dalam pada itu, apa jua yang ada di sisi Allah (yang disediakan untuk orang-orang yang beriman dan taat) adalah ia lebih baik dan lebih kekal; maka mengapa kamu tidak mahu memahaminya?}
(Al-Qasas 28:60)

  1. Ini adalah jawapan untuk hujjah dan fahaman karut mereka bahawa kesenangan hidup, rezeki dan ekonomi akan tersekat jika beriman. Kerana itu mereka tidak mahu ikut Nabi.
  2. Sedangkan apa saja yang Allah s.w.t. anugerahkan kepada manusia itu seperti kekayaan harta benda, jawatan, anak-pinak dan sebagainya, maka semua itu adalah perhiasan dan nikmat hidup duniawi semata-mata.
  3. Semua perhiasan dan nikmat itu tidak kekal dan akan hilang atau musnah. Berbanding dengan nikmat Syurga yang kekal abadi di akhirat kelak, yang lebih cantik dan banyak, yang Allah s.w.t sediakan untuk hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh.
    Kata AAM: Kita dengan dunia ini hanya ada dua pilihan samada:
    i- kita meninggal dunia yakni mati.
    ii- atau dunia tinggalkan kita, hilang segalanya dalam sekelip mata akibat bala atau ujian yang menimpa. Dari mana kamu ambil harta itu? Ke mana kamu akan bawanya?
  4. Maka jangan rasa kita akan hidup lama atau kekal atas dunia ini. Banyak sekali kematian tiba-tiba yang dapat kita lihat pada musim wabak Covid ini. Ulama\’ kata kematian itu lebih dekat dengan kita daripada tali kasut.
  5. Maka dunia ini bukan tempat tinggal yang kekal tetapi tempat meninggal, untuk kita tinggalkan nama dan amalan baik yang dapat menambahkan pahala selepas kita mati.
  6. Dari Al-Mustaurid bin Syaddad r.a, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: \”Demi Allah, tiadalah kehidupan di dunia ini dibandingkan dengan kehidupan di akhirat melainkan sebagaimana seseorang dari kalian mencelupkan jari telunjuknya ke laut, maka hendaknya dia perhatikan apakah yang dia peroleh darinya?\” [HR Muslim 2858].
  7. Jadi mengapa kamu tidak berfikir mengambil pengajaran darinya, membuat analisa dengan otak kamu, tidakkah kamu ada akal? Yakni membuat bandingan antara nikmat dunia yang sementara dengan nikmat akhirat yang kekal abadi.

🌺*Ayat 61- {(Jika sudah diketahui yang demikian) maka adakah orang yang Kami janjikan kepadanya janji yang baik (balasan Syurga) lalu ia mendapatnya, sama seperti orang yang kami kurniakan menikmati kesenangan hidup di dunia kemudian ia pada hari kiamat termasuk dalam golongan yang dibawa (untuk menerima azab neraka)?}
(Al-Qasas 28:61)

  1. Maka jika kamu sudah sedar dan faham akan hakikat ini, maka adakah kamu masih merasakan sama antara:
    i-orang yang dijanjikan balasan syurga yang kekal serta mendapatnya.
    ii- orang yang diberi Allah nikmat kesenangan di atas dunia ini tetapi akan mendapat azab di akhirat kelak?
  2. Semua orang kata takut untuk mati kerana merasakan tidak cukup persiapan untuk dibawa ke akhirat, tetapi adakah selari alasan mulut itu dengan perbuatannya? Apakah persiapan yang telah kita lakukan?

🌺*Ayat 62- {Dan pada hari (kiamat itu) Allah menyeru mereka lalu bertanya:\” Mana dia sekutu-sekutuKu, yang kamu anggap mereka (menjadi tuhan dan dapat memberikan pertolongan)?\”}
(Al-Qasas 28:62)

  1. Ayat ini menggambarkan suasana hari Kiamat, celaan dari Allah s.w.t kepada mereka yang melakukan syirik kepada-Nya semasa di dunia ini.
  2. Soalan pertama ialah: {Mana dia sekutu-sekutu-Ku, yang kamu anggap mereka (menjadi tuhan dan dapat memberikan pertolongan)?}
  3. Kerana itulah sebagaimana yang kita pelajari dulu, segala sembahan itu samada berhala batu kayu dan sebagainya turut dimasukkan ke dalam neraka bersama mereka untuk meningkatkan celaan, penghinaan dan azab kepada mereka parapenyembahnya.

🌺*Ayat 63- {Mereka yang berhak menerima hukuman (azab neraka) berkata: \”Wahai Tuhan kami, inilah mereka yang kami menyebabkan kesesatannya, kami menyebabkan mereka sesat (dengan pilihan mereka sendiri) sebagaimana kami telah sesat (dengan pilihan kami sendiri); (dengan ini) kami mengakui kepadaMu bahawa kami berlepas diri (dari kekufuran mereka). Bukanlah Kami yang mereka puja dan taati, (bahkan mereka hanya memuja dan mentaati hawa nafsu mereka sendiri)\”.}
(Al-Qasas 28:63)

  1. Lalu puak-puak yang berhak kena azab dari kalangan pemimpin dan pendakyah ke arah kesesatan menjawab: Memang mereka yang ajak dan ajarnya tetapi mereka sesat dengan sebab pilihan mereka sendiri sebagaimana kami telah sesat dengan pilihan kami sendiri.
  2. Masing-masing tidak mengaku dan berlepas diri daripada kesalahan orang lain yakni pengikut-pengikut.
  3. Mengatakan pengikut itu bukan menyembah mereka bahkan mengikut hawa-nafsu mereka sendiri.
  4. Begitulah gambaran di akhirat kelak, masing-masing saling tuduh-menunduh, salah-menyalahkan dan berlepas diri daripada segala dakwaan.

🌺*Ayat 64- {Dan dikatakan (kepada mereka): Panggilah makhluk-makhluk dan benda-benda yang kamu jadikan sekutu Allah (untuk menolong kamu)\”. lalu mereka memanggilnya, tetapi makhluk-makhluk dan benda-benda itu tidak menyahut panggilan mereka; dan mereka tetap melihat azab (dengan merasa sesal) serta bercita-cita kalaulah mereka di dunia dahulu menurut petunjuk.}
(Al-Qasas 28:64)

  1. Soalan kedua:- Lalu Allah s.w.t menyuruh mereka puak kafir itu untuk memanggil makhluk-makhluk yang mereka sembah dulu jika ianya dapat menolong mereka.
  2. Lalu mereka pun memanggilnya tetapi malangnya tiada satu pun yang menyahut apatah lagi untuk menolong membantu mereka. Tiada apa-apa faedahnya.
  3. Mereka tetap akan menghadapi azab tidak dapat berlepas diri lagi, lalu mereka melihatnya sambil berangan jikalah mereka di dunia dulu mengikut petunjuk dan beriman. Tetapi itulah penyesalan yang tiada guna lagi.
  4. Ini lah dua bentuk azab dalam neraka kelak – azab fizikal juga azab secara mental- dengan soalan celaan dan penghinaan.
  5. Maka kita yang masih ada peluang bertaubat ini koreksilah diri kita, apakah segala amalan yang kita buat ini mencukupi dan bertepatan dengan ajaran Syariah dan Sunnah Nabi s.a.w?

🌺*Ayat 65- {Dan pada hari (kiamat itu) Allah menyeru mereka lalu bertanya: \”Apa jawab kamu kepada Rasul-rasul yang diutus kepada kamu dahulu?}
(Al-Qasas 28:65)

  1. Soalan ketiga tentang tauhid dan beriman kepada para rasul yang diutuskan kepada setiap umat itu.
  2. Lalu Allah s.w.t menyeru sekali lagi dan bertanya kepada mereka: Apakah jawapan kamu terhadap seruan dakwah yang dibawa oleh rasul yang diutus kepada kamu?
  3. Muhasabah lagi diri kita yang mendakwa sebagai ahli Sunnah apakah amalan dan usaha kita untuk membuktikan dakwaan ini?
  4. Kita mendakwa cintakan Rasulullah s.a.w, tetapi apakah respon kita terhadap sunnah dan ajaran Baginda s.a.w?
  5. Ya Allah curahkan ke dalam hati kami cintakan Kitab-Mu dan cintakan kepada Sunnah nabi-Mu s.a.w untuk kami mengamalkannya.

🌺*Ayat 66- {Maka gelaplah kepada mereka, pada hari itu, segala khabar berita dan peristiwa (yang telah lalu), serta menjadilah mereka tidak dapat hendak bertanya-tanyaan sesama sendiri.}
(Al-Qasas 28:66)

  1. Maka pada hari itu gelap kelam, sempit dada mereka, tiada jawapan dan hujjah untuk dibalas.
  2. Mereka hanya diam tercengang-cengang tidak tahu hendak kata apa, hendak bertanya sesama sendiri pun tidak dapat lagi dek kerana terlalu dahsyatnya keadaan dan suasana hari itu.

🌺*Ayat 67- { (Demikianlah akibat orang-orang derhaka), adapun orang yang bertaubat dan beriman serta beramal soleh, maka semoga akan menjadilah ia dari orang-orang yang berjaya.}
(Al-Qasas 28:67)

  1. Demikianlah keadaan orang yang kafir kelu bisu tiada hujjah untuk menjawab.
  2. Manakala keadaan orang bertaubat dan beriman dan beramal yang soleh kepada Allah s.w.t semasa di dunianya, kelak di hari kiamat pasti dia akan menjadi orang yang beruntung mendapat balasan nikmat yang dijanjikan Allah s.w.t.
  3. Itulah tiga soalan kecaman yang ditanya kepada orang kafir pada hari Kiamat kelak:
    i. Mana Tuhan yang mereka sembah dului?
    ii. Apa manfaat sembahan mereka boleh berikan?
    iii. Apakah jawapan mereka terhadap keimanan kepada para rasul?
  4. Allah s.w.t tutup ayat ini dengan galakan bertaubat dan kembali kepada Allah.

🎀 Penutup/Beberapa Faedah Ringkas:

  1. Ayat 60- {Dan apa jua (harta benda dan lain-lainnya) yang diberikan kepada kamu, maka adalah ia merupakan kesenangan hidup di dunia dan perhiasannya;} galakan untuk zuhud kepada dunia ini dan menggalakkan kepada cintakan akhirat. Cinta kepada akhirat insya\’ Allah kita akan selamat. Zuhud ertinya jangan letak cintakan dunia dalam hati, bukan tinggalkan dunia terus.
  2. Ayat 60- {maka mengapa kamu tidak mahu memahaminya?} – pahala yang ada di sisi Allah s.w.t itu yang kekal, tidakkah kamu fikir dan tadabbur tentangnya. Ulama\’ kata bagi orang yang ada akal yang waras mesti dapat menilai untuk menimbang, memilih yang lebih baik antara akhirat yang kekal dan dunia yang sementara.
  3. Ayat 65- {\”Apa jawab kamu kepada Rasul-rasul..} – Kata ulama\’ penuntut ilmu mesti belajar ilmunya dengan dalil-dalilnya. Kena tahu dalil dan sumber daripada mana dia ambil ilmu dan amalannya. Ini menunjukkan wajib beriman dan menurut sunnah yang dibawa dan diajar oleh Rasulullah, biar boleh jawab amalan kita daripada Baginda s.a.w. Setiap amalan wajib ada dalil dan sandaran, agama itu berpaksi kepada dalil, bukan kepada akal dan ikutan semata-mata. Penuntut ilmu, para ustaz, tuan-tuan guru amanahlah dalam menyampaikan ilmu yang sahih dari sumber yang jelas kepada masyarakat!
  4. Ayat 60- {Apa jua yang ada di sisi Allah (yang disediakan untuk orang-orang yang beriman dan taat) adalah ia lebih baik dan lebih kekal} خَيْرٌ وَأَبْقَى
    a) Apa maksudnya lebih baik/khair itu: خَيْرٌ Ulama\’ kata ada dua sebab:
    i- manfaat dan nikmat syurga yang disediakan, sangat agung sangat besar.
    ii- tiada sebarang gangguan, semuanya memberi manfaat tiada yang memberi mudharat lansung. Seperti pantang-pantang dan bersyarat atas dunia ini.
    b) Apa maksudnya kekal pula? أَبْقَى
    i- nikmat akhirat itu kekal abadi.
    ii- nikmat dunia ini hanya sementara sahaja, setakat kita ada atas dunia.
    Dihujung ayat Allah tanya tidakkah kamu berfikir, kenapa nak pilih yang sementara bukan yang kekal? Kenapa mak pilih yang ada mudharat, bukan yang manfaat semuanya?
  5. Dua kali Allah s.w.t menyeru memangil manusia dan bertanya tentang dua syahadah (persaksian) ini:
    i – Ayat 62- {Dan pada hari (kiamat itu) Allah menyeru mereka lalu bertanya:\”
    ini adalah soalan tentang tauhid kepada Allah s.w.t.
    ii- Ayat 65- {Dan pada hari (kiamat itu) Allah menyeru mereka..}
    soalan ini pula adalah tentang keimanan kepada rasul pula.
    Rasulullah s.a.w bersabda tentang azab kubur:
    فبي تُفتنونَ ، وعنِّي تُسألونَ
    \”Kamu akan ditanya tentang aku di Akhirat kelak serta kamu akan diuji dengan keimanan terhadapku.\” [HR Ahmad – Sanadnya Sahih]
  6. Ayat 66- { mereka tidak dapat hendak bertanya-tanyaan sesama sendiri.} – pada hari akhirat yang penuh huru-hara tiada siapa yang dapat menolong satu sama lain, bahkan masing-masing melarikan diri.
    Firman Allah s.w.t: {Pada hari seseorang itu lari dari saudaranya, Dan ibunya serta bapanya, Dan isterinya serta anak-anaknya;} [Abasa: 34-36].
  7. Ayat 67- {Adapun orang yang bertaubat dan beriman serta beramal soleh,} dalam ayat ini Allah s.w.t bawa kelebihan tiga sifat manusia yang berjaya dan bahagia.
    i- beriman, ii- bertaubat iii- beramal soleh.
  8. Ayat 67- {….serta beramal soleh,} bukan setakat beriman dan bertaubat tetapi kekalkan dan jaganya dengan membuat amalan soleh.
    a) Syarat amalan itu diterima pula:
    i- wajib ikhlas kepada Allah s.w.t. الإخلاص
    ii- ikut apa yang diajar oleh Nabi s.a.w. متابعة الرسول
    Ikut apa yang Nabi ajar dan tinggalkan apa yang tidak diajar oleh Rasulullah s.a.w, bukan ikut apa yang diajar dan diamalkan oleh orang lain.
    Insya\’ Allah kita akan selamat dunia dan akhirat.

Wallahu a\’lam.

Powered by BetterDocs