PERTUKARAN MALAM DAN SIANG; TANDA KEAGUNGAN ALLAH, TUJUAN ALLAH JADIKAN MALAM DAN SIANG & CELAAN KE ATAS GOLONGAN KAFIR DI AKHIRAT.
Full video : https://youtu.be/IMPD07oduI0
MUQADDIMAH :
- Dalam siri ini kita akan bincangkan tentang pertukaran malam dan siang yang silih berganti sebagai tanda-tanda kekuasan Allah s.w.t.
- Kita sebagai seorang mukmin tidak boleh melalui semua perubahan dan kejadian alam ini tanpa melihat lalu berfikir kepada bukti-bukti dan dalil keagungan dan kekuasan Allah s.w.t.
- Juga celaan dan azab penghinaan ke atas orang kafir di akhirat kelak.
AYAT 71- {KATAKANLAH: \”BAGAIMANA FIKIRAN KAMU JIKA ALLAH MENJADIKAN MALAM KEPADA KAMU TETAP SELAMA-LAMANYA HINGGA KE HARI KIAMAT; TUHAN YANG MANAKAH YANG LAIN DARI ALLAH, YANG DAPAT MEMBAWAKAN CAHAYA YANG MENERANGI KEPADA KAMU? MAKA MENGAPA KAMU TIDAK MAHU MENDENGAR (SECARA MEMAHAMI DAN MENERIMA KEBENARAN)?\”} (AL-QASAS 28:71)
- Dalam ayat ini Allah s.w.t suruh Nabi kita s.a.w bertanya dan berhujjah dengan orang kafir Quraisy pada masa itu, juga supaya Rasulullah s.a.w mengingatkan manusia seluruhnya sehingga ke akhir zaman (umat Nabi Muhammad).
- Iaitu ingatkan mereka tentang:
i- kuasa Allah s.w.t. yang amat besar dan tinggi.
ii- serta besar dan banyaknya nikmat Allah s.w.t kepada kita, ini agar kita tidak terfikir untuk bergantung dengan makhluk-makhluk yang lain. Yang tidak ada kuasa sedikitpun! - Soalan: Apa pendapat kamu jika Allah s.w.t jadikan dunia ini malam berterusan tanpa siang sehingga ke hari Kiamat? Tuhan yang manakah selain daripada Allah s.w.t yang akan dapat membawa cahaya/siang yang cerah dan terang? Jawapannya pastilah tidak ada yang berkuasa sebagaimana kuasa Allah s.w.t.
- Maka kenapa kamu tidak mahu mendengar dengan kefahaman untuk akur dan menerimanya? Jangan dengar setakat dengar yang akan menjadikan kita setaraf dengan haiwan yang tidak berakal.
- Ini untuk kita berkifir dan menerima kekuasaan Allah s.w.t lalu bertauhid kepada-Nya.
- Tadabbur mukjizat al-Quran: pada akhir ayat malam berterusan ini Allah s.w.t sebut tidak kamu mendengar? ini kerana pendengaran lebih kuat pada malam hari, maka dengarlah nasihat-nasihat Allah dan ayat-ayat-Nya yang menghasilkan pemahaman lalu kamu berhenti berbuat syirik.
AYAT 72- {KATAKANLAH LAGI: BAGAIMANA FIKIRAN KAMU JIKA ALLAH MENJADIKAN SIANG KEPADA KAMU TETAP SELAMA-LAMANYA HINGGA KE HARI KIAMAT; TUHAN YANG MANAKAH YANG LAIN DARI ALLAH, YANG DAPAT MEMBAWAKAN MALAM KEPADA KAMU UNTUK KAMU BEREHAT PADANYA? MAKA MENGAPA KAMU TIDAK MAHU MELIHAT (DALIL-DALIL DAN BUKTI KEESAAN DAN KEKUASAAN ALLAH)?\”} (AL-QASAS 28:72)
- Sekali lagi Rasulullah s.a.w disuruh katakan kepada kaum yang didakwahnya (أمة الدعوة) yakni seluruh manusia dan jin yang ada selepas kebangkitan Baginda s.a.w. Manakala umat yang menerima dakwah Nabi s.a.w adalah umat yang istimewa dan terpilih (أمة الإجابة ).
- Soalan: Apa pendapat kamu jika Allah s.w.t jadikan dunia ini siang pula berterusan tanpa malam sehingga ke hari Kiamat? Tuhan yang manakah selain daripada Allah s.w.t yang akan dapat membawa malam yang gelap kepada kamu agar kamu dapat berehat padanya? Jawapannya pastilah tidak ada!!!
- Maka kenapa kamu tidak mahu melihat dengan kefahaman untuk akur dan menerimanya? Jangan dengar setakat lihat yang akan menjadikan kita setaraf dengan haiwan yang tidak berakal.
- Tadabbur mukjizat al-Quran: pada akhir ayat siang berterusan ini Allah s.w.t sebut (melihat) ini kerana penglihatan lebih kuat di siang hari, maka perhatikanlah apa yang boleh diambil sebagai pelajaran, lalu kamu memilih jalan yang lurus.
AYAT 73- {DAN DI ANTARA RAHMAT PEMBERIANNYA, IA MENJADIKAN UNTUK KAMU MALAM DAN SIANG (SILIH BERGANTI SUPAYA KAMU BEREHAT PADANYA DAN SUPAYA KAMU BERUSAHA MENCARI REZEKI DARI LIMPAH KURNIANYA, DAN JUGA SUPAYA KAMU BERSYUKUR.} (AL-QASAS 28:73)
- Maka di antara rahmat nikmat yang Allah s.w.t anugerahkan kepada hamba-Nya dijadikan malam dan siang silih berganti, ini supaya:
i- malam untuk manusia berehat padanya dan
ii- siang pula supaya manusia berusaha mencari rezeki dari limpah kurnia-Nya. - Ulama\’ kata inilah fitrah sebenar kehidupan manusia, malam berehat di rumah, siang keluar mencari rezeki.
- Allah s.w.t juga jadikan semua ini supaya sekelian makhluk bersyukur. Juga untuk membuktikan kekuasan Allah s.w.t yang tidak dapat dilakukan oleh yang lain.
- Tanda bersyukur bagi orang yang beriman ialah dengan melakukan ketaatan dan ibadat kepada Allah.
Contoh jelas ialah kisah Rasulullah s.a.w dalam hadisnya di mana Baginda solat sehingga bengkak kakinya, untuk menzahirkan kesyukurannya kepada Allah s.w.t.
Dua rakaat dhuha adalah tanda syukur kepada Allah s.w.t atas nikmat segala anggota kita.
Bersedeqah adalah tanda syukur atas nikmat harta anugerah Allah s.w.t.
AYAT 74- {DAN (INGATLAH) PADA HARI (KIAMAT), ALLAH AKAN MENYERU MEREKA LALU BERTANYA: \”MANA DIA SEKUTU-SEKUTUKU YANG KAMU SIFATKAN MEREKA (MENJADI TUHAN DAN DAPAT MEMBERIKAN PERTOLONGAN)?\”} (AL-QASAS 28:74)
- Dalam ayat ini sekali lagi Allah s.w.t tegur kaum kafir dan musyrikin, mengingatkan mereka akan pembalasan pada hari Kiamat nanti.
- Allah s.w.t akan bertanya dengan menyeru mereka: {\”Mana dia sekutu-sekutu-Ku yang kamu sifatkan mereka (menjadi tuhan dan dapat memberikan pertolongan)?\”}
- Pastilah mereka tidak dapat menjawabnya, apatah lagi memanggil sembahan mereka untuk meminta tolong. Bahkan semua itu Allah s.w.t telah campakkan ke dalam neraka bersama mereka, untuk menambahkan azab dan kehinaan kepada para penyembahnya.
AYAT 75- {DAN (PADA HARI ITU) KAMI KELUARKAN DARI TIAP-TIAP UMAT SEORANG SAKSI, LALU KAMI KATAKAN (KEPADA GOLONGAN YANG KAFIR): \”BAWALAH KETERANGAN DAN BUKTI KEBENARAN KAMU\”. MAKA (PADA SAAT ITU) KETAHUILAH MEREKA BAHAWA KEBENARAN (HAK KETUHANAN) ITU TERTENTU BAGI ALLAH, DAN (DENGAN ITU), HILANG LENYAPLAH DARI MEREKA APA YANG MEREKA ADA-ADAKAN SECARA DUSTA DAHULU.} (AL-QASAS 28:75)
- Pada hari Kiamat itu Allah s.w.t akan keluarkan dari tiap-tiap umat seorang saksi. Ulama\’ kata saksi itu ialah para nabi dan rasul yang telah diutuskan kepada mereka dan juga semua yang telah menyampai dan menyaksikan perbuatan mereka pada sepanjang zaman.
- Kita (umat nabi Muhammad s.a.w) juga akan menjadi saksi kepada kaum-kaum terdahulu yang telah mendustakan nabi-nabi mereka.
- Allah s.w.t. juga meminta mereka untuk bawa bukti yang menunjukkan benar perbuatan syirik mereka, bahawa Allah mempunyai sekutu-sekutu. Tetapi pasti tiada bukti, bahkan yang terbukti adalah kesesatan mereka.
- Adakah Dia atau para rasul-Nya memerintahkan demikian? Tentulah tidak sekali kerana hak ketuhanan itu hanya tertentu bagi Allah.
- Dengan itu hilang lenyaplah dari mereka apa yang mereka ada-adakan secara dusta dahulu. Makhluk yang mereka harapkan dapat memberi manfaat dan pertolongan dulu juga telah hilang lenyap. Semua sekutu itu tidak dapat memberikan suatu manfaat pun kepada mereka. Maha Suci Allah dari apa yang mereka ada-adakan itu.
PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :
- Ayat {Katakanlah: \”Bagaimana fikiran kamu jika Allah ..} dari ayat 71,72 & 73 – memberi peringatan kepada kita seorang hamba itu sepatutnya berfikir tentang nikmat Allah s.w.t, lihat kepada nikmat, fikir dan bersyukur ke atasnya. Ini menunjukkan kepentingan bersyukur!
- Ayat 72 {Maka mengapa kamu tidak mahu melihat (dalil-dalil dan bukti keesaan dan kekuasaan Allah)?\”} ayat ini mengajar kepada kita untuk sentiasa menilik memerhatikan ayat-ayat Allah s.w.t supaya kita dapat berfikir dan mensyukuri nikmat-Nya.
- Ayat 73- {Dan di antara rahmat pemberianNya, Ia menjadikan untuk kamu malam dan siang} – ayat ini menunjukkan cara mencari dalil ketuhanan dan kekuasaan Allah s.w.t yang berulang dua kali sehari. Pertukaran malam siang dan musim dunia ini adalah dalil dan bukti yang menunjukkan kepada keesaan Allah s.w.t. jika kamu masih tidak dapat melihatnya, amat malang sekali.
- Ayat 71- {Tuhan yang manakah yang lain dari Allah, yang dapat membawakan cahaya yang menerangi kepada kamu? – tiada siapa makhluk yang dapat mengubah ketetapan Allah s.w.t atas dunia ini. Apa yang mereka mampu cuma menyesesuaikan keadaan seperti mencipta lampu di kawasan yang tertentu, di dalam rumah di tepi jalan dan lain-lain kebolehan yang terhad. Bukan menerangi alam seluruhnya.
- Ayat 71- {..yang dapat membawakan cahaya yang menerangi kepada kamu?} – itu antara nikmat Allah s.w.t ialah adanya siang yang cerah. Maka sepatutnya mata kita juga celik dan cerah untuk melihat nikmat dan kekuasan Allah s.w.t.
- Ayat 72- {membawakan malam kepada kamu untuk kamu berehat padanya} – malam itu ada kelebihannya yang khas. Pakar perubatan dan kesihatan telah membuat kajian tentang kelebihan tidur pada waktu malam bagi badan dan otak manusia berbanding dengan tidur siang. Inilah yang normal dan asasnya, jika orang yang bekerja shift malam kena pandailah sesuaikan jadual dan waktu rehatnya agar tidak memberi mudarat kepada kesihatannya.
- Firman Allah s.w.t {Maka mengapa kamu tidak mahu mendengar} dan {Maka mengapa kamu tidak mahu melihat }- Allah s.w.t beri kita cara berfikir yang sesuai ikut keadaan. Siang untuk tengok, malam untuk dengar, kena pandai guna kelebihan yang diberi, ikut keperluan dan kesesuaian. Mata kita biarlah menjadi mata lebah cari yang baik, jangan jadi mata lalat
- Ayat 73- { supaya kamu berusaha mencari rezeki }- yakni pada waktu siang diajar untuk kita keluar berusaha mencari rezeki. Walaupun boleh aje kita kelaur bekerja pada waktu malam dan berehat untuk siang, tetapi ia seolah sudah terbalik dengan fitrah kejadian alam. Allah sudah buat malam sunyi dan gelap, maka yang layaknya untuk malam adalah kembali ke rumah masing-masing dan berehat. Manakala siang pula Allah bagi cahaya dan kecerahan untuk kita keluar rumah bekerja dan mencari rezeki.
- Ayat 73- {supaya kamu berusaha mencari rezeki }- semua benda itu Allah s.w.t jadikan ada sebab. Kamu nak rezeki, keluarlah bekerja, bukan tunggu ia datang sendiri, rezeki tidak akan turun dari langit atau bergolek keluar dari bumi, rezeki kena usaha dan cari.
- Ayat 73- { rezeki dari limpah kurniaNya, dan juga supaya kamu bersyukur.}- rezeki yang kita dapat itu dari Allah s.w.t. Jangan lupa bahawa yang memberi rezeki dan nikmat yang hakiki adalah Allah s.w.t. Inti utama yang Allah s.w.t nak sampaikan dalam ayat ini- carilah rezeki, semoga kamu akan menjadi orang yang bersyukur!
Wallahu a\’lam.