View Categories

Surah Ali-‘Imran : Ayat 104-105

WUJUDKAN PENYERU KEBAIKAN, AMAR MA’RUF NAHI MUNKAR & LARANGAN BERPECAH BELAH.

Full video : https://youtu.be/TP_io6tv0Uc?si=Uba3hHZ4E-H_fjM3

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir bagi ayat 104 sehingga 105, surah Aali Imran iaitu surah yang ketiga, dalam juzu’ yang keempat. 
  1. Dalam ayat ini Allah SWT minta kita untuk wujudkan penyeru ke arah kebaikan, iaitu sekumpulan manusia yang mengajak kepada kebaikan; amar ma’ruf dan melarang daripada benda buruk iaitu nahi munkar.
  1. Allah juga bawa larangan agar jangan berpecah belah. Antara perkara yang sangat buruk ialah perpecahan di kalangan sesama umat Islam.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT mencela & mengeji puak ahli kitab atas dua perkara: 
    Kerana mereka kafir terhadap Allah SWT sedangkan di tangan mereka ada kitab yang jelas bawa keterangan, menyatakan kebenaran.
    Menyekat orang lain daripada Islam, juga mahu memesongkan orang yang sudah menerima Islam agar murtad lari berpaling meninggalkan Islam!

    ii- Kemudian Allah SWT menyeru orang yang beriman agar bertaqwa kepada Allah SWT. Maka pastilah orang yang beriman akan mencari bagaimanakah jalan untuk bertaqwa? 

    iii- Maka dalam ayat ini pula Allah nyatakan cara bertaqwa juga ialah dengan bergerak & bertugas menyampaikan dakwah tentang Islam kepada orang ramai serta menyuruh berbuat segala perkara yang baik, dan melarang orang daripada segala yang salah, buruk dan keji.
  1. Hari ini sudah 10 Ramadhan, bermakna satu pertiga Ramadhan sudah berlalu, jika kita sudah memanfaatkannya dengan baik alhamdulillah. 
    Ambillah peluang supaya berjaya khatam Al-Quran di bulan yang mulia dan jika mampu setiap 10 hari sekali. 
    Jika belum pecutlah sedaya upaya mungkin!
  1. Kata Syeikh Ibnu Jauzi RHM : Siapa yang tidak berjaya khatam Al-Quran pada bulan Ramadhan ini; maka di luar Ramadhan pastilah akan lebih susah baginya untuk khatam kerana Ramadhan adalah musim kebaikan & kebajikan! 
    Kecuali orang yang diberi Allah petunjuk & hidayah!

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 104- {DAN HENDAKLAH ADA DI ANTARA KAMU SATU PUAK YANG MENYERU (BERDAKWAH) KEPADA KEBAJIKAN (MENGEMBANGKAN ISLAM), DAN MENYURUH BERBUAT SEGALA PERKARA YANG BAIK, SERTA MELARANG DARIPADA SEGALA YANG SALAH (BURUK DAN KEJI). DAN MEREKA YANG BERSIFAT DEMIKIAN IALAH ORANG-ORANG YANG BERJAYA.} (AALI IMRAN 3:104)

  1. Hendaklah ada di kalangan kamu, dalam masyarakat Islam; satu kumpulan, satu golongan – mereka yang menyeru kepada kebajikan iaitu mengembangkan Islam.  
    Mesti wujudkan squad daei, kumpulan petugas yang menegakkan agama dalam masyarakat Islam.
  1. Kalimah {ٱلْخَيْرِ} kebajikan yang disebut dalam ayat ini ialah Islam. 
    Yakni kita ajak kepada Islam, kepada aA-Quran & Sunnah Rasulullah SAW akan ajak kepada kumpulan-kumpulan yang menyimpang daripada Al-Quran Sunnah.
  1. Mengikut hadis Nabi SAW juga makna {ٱلْخَيْرِ} ialah menurut ajaran Al-Quran & Sunnah. 
    Tiga perkara ini iaitu Islam, Al-Quran & Sunnah adalah tiga serangkai yang tidak dapat dipisahkan!  
    Jika ditanya Islam mana? Islam yang ada dalam Al-Quran, Islam yang ada dalam Sunnah! Inilah Islam yang ori, yang tulen.
  1. Kerja kumpulan ini ialah menjalankan tugas:
    i- Menyuruh berbuat segala perkara yang baik, { وَيَأْمُرُونَ بِٱلْمَعْرُوفِ}.

    ii- Serta melarang daripada segala yang salah, buruk dan keji iaitu munkar. {وَيَنْهَوْنَ َنِ ٱلْمُنكَرِ ۚ}.
  1. Dakwah kita ini kena ada dua-dua bukan ajak kebaikan saja tetapi tidak larang benda yang menyalahi Syari’ah. 
    Tidak lengkap, tidak mantap, tidak sempurna dakwah seseorang itu jika tidak jalankan keduanya! 
    Jika tidak akan jadi seperti burung yang terbang dengan sebelah sayap saja, pincang & tidak seimbang! 
    Begitulah biasanya orang tak marah ajak kepada kebaikan tetapi orang akan celik mata jika kita larang perbuatan mereka!
  1. Hadis- sabda Rasulullah SAW: 
    i- مَا مِنْ قَوْمٍ يُعْمَلُ فِيْهِمْ بِالْـمَعَاصِيْ يَقْدِرُوْنَ عَلَـى أَنْ يُغَيِّرُوْا ثُمَّ لَا يُغَيِّرُوْا إِلَّا يُوْشِكُ أَنْ يَعُمَّهُمُ اللهُ مِنْهُ بِعِقَابٍ.
    Maksudnya: “Tidaklah suatu kaum yang dikerjakan di tengah-tengah mereka pelbagai kemaksiatan yang mampu mereka mencegahnya, namun tidak mereka cegah, melainkan Allah pasti akan menurunkan hukuman kepada mereka semua.” [HR at-Tirmizi & Ahmad].

    ii- والَّذي نَفسي بيدِهِ لتأمُرُنَّ بالمعروفِ ولتَنهوُنَّ عنِ المنكرِ أو ليوشِكَنَّ اللَّهُ أن يبعثَ عليكُم عقابًا منهُ ثُمَّ تَدْعُونَهُ فَلا يُسْتَجابُ لَكُمْ الراوي: حذيفة بن اليمان • الألباني، صحيح الترمذي (٢١٦٩) • حسن.
    Maksudnya: “Demi jiwaku ditanganya, Hendaklah kamu ber-amar makruf (menyuruh berbuat baik) dan nahi mungkar (melarang berbuat jahat). Kalau tidak, maka Allah akan turunkan bala ke atas kamu kemudian kamu berdoa dan tidak dikabulkan (doa mereka).” (HR At-Tirmizi dari Huzaifah RA).

    iii- Riwayat dari Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
    “Barang siapa di antara kamu menjumpai kemungkaran maka hendaklah ia mencegah dengan tangan (kekuasaan)nya, apabila tidak mampu hendaklah dengan lisannya, dan jika masih belum mampu hendaklah ia mencegah dengan hatinya. Dan (dengan hatinya) itu adalah selemah-lemahnya iman”. [HR Muslim].
    Tangan di sini bermakna kuasa, jika kita ada kuasa dan mampu- wajib halangnya!

    iv- Dalam riwayat lain : Rasulullah SAW kata orang yang tidak ingkar kemungkaran walaupun dengan hatinya- itulah orang yang tiada iman dalam hatinya walaupun sebesar biji sawi! [HR Muslim].
  1. Kita hari ini ini sangat lemah iman, tidak mampu untuk menjalankan tugas amar makruf dan nahi mungkar ini. Atau untuk memboikot kedai orang bukan Islam yang menghina & mempermainkan Islam. 
  1. Kita ada kuasa beli di tangan kita- maka kita boikotlah seperti kedai-kedai yang menjual barang yang haram seperti arak, yang jelas menghina Islam atau atau ada kaitan dengan yahudi & zionis! 
    Sama juga dengan Kerajaan atau penguasa yang ada kuasa hendaklah berusaha untuk hapuskan amalan mungkar! 
  1. Allah katakan lagi sesiapa yang nak berjaya, nak menang, nak mustajab doa, nak aman di dunia & selamat di Akhirat hendaklah dia menyeru manusia ke arah kebajikan, ke arah Islam, ke arah Al-Quran & Sunnah. 

AYAT 105- {DAN JANGANLAH KAMU MENJADI SEPERTI ORANG-ORANG (YAHUDI DAN NASRANI) YANG TELAH BERCERI-BERAI DAN BERSELISIHAN (DALAM AGAMA MEREKA) SESUDAH DATANG KEPADA MEREKA KETERANGAN-KETERANGAN YANG JELAS NYATA (YANG DIBAWA OLEH NABI-NABI ALLAH), DAN MEREKA YANG BERSIFAT DEMIKIAN, AKAN BEROLEH AZAB SEKSA YANG BESAR.} (AALI IMRAN 3:105)

  1. Allah juga berpesan agar kita umat Islam jangan jadi orang yang berpecah belah samada seperti golongan yahudi dan nasrani yang telah bercerai-berai, menjadi puak yang berbantah-bantah setelah datang kepada mereka kebenaran & keterangan yang jelas nyata! 
    Walaupun telah ada bukti yang jelas yang nyata mereka tetap tidak mahu terima.
  1. Munasabah ayat:
    i- Apabila Allah seru kepada benda baik; untuk berdakwah dengan mengajak ke arah kebaikan & cegah kemungkaran- Amar Makruf Nahi Mungkar.

    ii- Kemudian datang larangan agar jangan berpecah! 
    Ini kerana apabila kita nak berdakwah nak mengajak ke arah kebaikan & cegah kemungkaran pasti ada tentangan & perpecahan! Maka jangan sesekali berbalah sesama kita jika tidak- dakwah tidak akan sampai kepada sasarannya!
  1. Kita umat Islam wajib bersatu hati & berkerjasama dalam melawan mereka yang menentang Islam dan memijak kesucian Islam! Dalam bab boikot inipun umat Islam kita hari ini masih berpecah belah juga, tidak satu hati & tidak tegas!
  1. Allah larang kita daripada berpecah seperti yahudi & nasrani atau mereka yang bersifat seperti mereka (yakni selain ahli kitab) yang bercerai berai juga! 
    Bagi mereka ini azab yang cukup besar di dunia & di Akhirat.
  1. Maksud azab di dunia & Akhirat:
    i- Atas dunia, mereka akan menjadi berpecah-belah dan bercerai-berai sesama Islam- lalu mereka akan mudah ditindas dan diseleweng mengikut kepentingan kafir! 
    Mereka akan dihina dijajah oleh bukan Islam, negara, harta & minda.

    ii- Di Akhirat pula- jika puak kafir akan kekal di dalam neraka. Orang Islam yang berdosa pula walaupun tidak kekal- akan masuk juga di dalam neraka untuk diazab bagi dosa & keingkaran yang dilakukannya! wal-‘iyazubillah!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 104- {Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam),}-

    Yakni kita dakwah kepada agama, kepada Islam & kebajikan.
    Bukan ajak & dakwah kepada diri individu atau kumpulan tertentu- supaya fanatik kepada kita atau taksub kepada pemimpin sehingga tidak boleh ditegur & tidak nampak apa kesalahannya!

    Kata ulama’ : Guru itu dihormati bukan disucikan!
    Ayat ini menunjukkan bahawa kita kena berdakwah kepada Islam di mana saja di seluruh pelusuk dunia ini! Inilah fardhu kifayah! 
    Setakat mana yang kita yakin kita akan iklan untuk diberi dana & bantuan.

    Syarat nak jadi pendakwah kena ada:
    a. Ilmu:
    i- Ilmu dari Al-Quran & ilmu Sunnah Nabi SAW. – Termasuk semua ilmu tauhid feqah dan seumpamanya.

    ii- Ilmu sirah Nabi SAW & para khulafa’.

    iii- Ilmu dakwah itu sendiri.

    b. Kena belajar bahasa & adat orang yang hendak didakwah itu!

    c.- Kena tahu suasana & keadaan semasa di tempat itu. 
  1. Ayat 105- {Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah berceri-berai dan berselisihan}-

    Ini adalah larangan daripada berpecah yang boleh melemahkan Islam!
    Bukan dalam perkara-perkara cabang seperti berlainan pandangan dalam mazhab- kerana itu jangan taksub- jika tidak akan timbul masalah.
    Seperti orang yang ke Makkah kemudian tidak mahu solat jemaah dengan Imam Masjidil-Haram dengan alasan berlainan mazhab!
    Apabila berpecah- ia akan berbeza! 

    Inilah tertib susunan dalam ayat ini- {تَفَرَّقُوا۟ وَٱخْتَلَفُوا۟}. 
    Benar sekali apabila kita berpecah maka bibit-bibit perbezaan akan muncul dan menimbulkan perbalahan! 
    Dalilnya sebelum kita berpecah tidak timbul pun isu dan tidak berbeza pandangan.
    Dakwah Islam ini adalah satu dakwah yang perlu kepada kesatuan, manhaj (Kitab & Sunnah) serta perlu kepada istiqomah! 
    Kita kena faham keperluan ini agar kita tidak berbalah!  
  1. Ayat 105- {Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah berceri-berai dan berselisihan}-

    Janganlah kamu berpecah seperti yahudi & nasrani.
    Allah gambarkan perpecahan ini adalah sesuatu yang buruk. 
    Yahudi & nasrani berpecah apabila datang keterangan yang jelas kepada mereka, para pendakwah berpecah dalam perkara ingkar muingkar!
    Maka Allah SWT gambarkan perpecahan ini datang dari cara pendekatan yang dibawa atau dari sumber yang kita pegang! 
    Apabila kita berpegang dengan sumber daripada Al-Quran & Sunnah- pasti ada pertembungan dengan mereka yang ambil dalil & sumber daripada mimpi-mimpi, jampi serapah dan sebagainya.
    Kata ulama’ apabila adanya amar ma’ruf & nahi mungkar maka pastilah adanya perpecahan kerana ada orang yang suka & tidak suka.
  1. Ayat 105- {yang telah berceri-berai dan berselisihan (dalam agama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang dibawa oleh Nabi-nabi Allah),}-

    Mereka yahudi & nasrani berpecah setelah datang keterangan yang jelas kepada mereka!
    Maka kita yang tahu & dapat menerima kebenaran ini janganlah berpecah & berkelahi!
    Kita kena ikut yang benar, yang berpaksi kepada Al-Quran & Sunnah serta tafsir ulama’ salaf barulah kita akan mantap!
    Yang tak tahannya, dia tahu tetapi tak nak buat! Cakap lebih daripada tindakan, akan menyokong dari belakang kononnya! 
    Dalam dakwah & perjuangan- kena duduk seiring bersama dalam saf perjuangan; bukan hanya berada di belakang! 
    Orang yang duduk belakang ini tak berapa boleh dipercayai sangat biasanya!
  1. Ayat 105- {Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah berceri-berai dan berselisihan}-

    Perpecahan dalam agama ini adalah sesuatu yang amat buruk! 
    Terutamanya dalam bab yang kecil dan halus-halus tidak fokus kepada bab asas!
    Contoh kita dalam bulan Ramadhan ini masih lagi berkelahi dalam bab bilangan rakaat tarawih- sepatutnya kita gembleng tenaga untuk kerah orang pergi ke masjid, baca Al-Quran & solat selesai terawih bersama imam!
    Perpecahan dalam bab politik tak usah ceritalah! 
    Mereka tidak akan ada pendirian lagi apabila mengejar jawatan & berebut kerusi! 
    Sepatutnya tenaga & masa yang ada kita gunakan untuk berdakwah ke arah kebajikan, menyeru kepada kebaikan & mencegah kemungkaran!
    Kesatuan umat Islam ini amat penting supaya kita gah di mata orang kafir & kuat sesama kita! 

    Kata pendakwah’ : Orang mukmin ini akan lemah jika dia berseorangan tetapi akan kuat jika mereka bersatu ramai-ramai! 
    Dalam dunia hari ini betapa ramai bilangan orang Islam tetapi kita masih lemah kerana semuanya berpecah & tidak kesatuan yang jitu!
    Alhamdulillah tamatlah perbincangan kita hari ini mudah-mudahan huraianya tepat dengan berdasarkan realiti semasa yang berlaku dan dapat dijadikan muhasabah, jangan mudah koyak jika di sebut bab politik dan seumpamanya.

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu Al-Quran. 
Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs