ORANG BAHAGIA MUKA BERCAHAYA, ORANG CELAKA MUKA HITAM & ALLAH TIDAK MENZALIMI HAMBA-NYA.
Full video : https://youtu.be/PuiX7oOzBO8?si=GNCl3mJolwREUdtk
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir bagi ayat 106 sehingga 109, surah Ali-‘Imran iaitu surah yang ketiga, dalam juzu’ yang keempat.
- Dalam siri ini Allah SWT ceritakan kepada kita dua golongan yang besar yang akan ditunjukkan di Akhirat kelak iaitu:
i- Tentang orang bahagia muka bercahaya, bersinar kebahagiaan.
Semoga kita termasuk dalam golongan yang bahagia ini ya Allah!
ii- Manakala orang celaka, muka mereka hitam gelap tiada keceriaan.
Wal’yazubillah kita minta perlindungan dari Allah dari kumpulan ini!
- Kemudian di akhir ayat : Allah nyatakan bahawa orang yang menerima Islam dengan jelas, akan menerima Al-Quran & Sunnah dengan sepenuh hatinya itulah mereka yang berjaya.
Manakala mereka yang sentiasa berkelahi, jumpa Al-Quran tidak mahu ikut, ada Taurat & Injil diselewengkan; itulah manusia yang celaka!
- Allah nyatakan bahawa Dia sekali- kali tidak menzalimi hamba-Nya; tetapi yang zalimnya manusia itu sendiri!
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Salam ayat yang lepas Allah SWT menyatakan tentang azab siksaan yang dahsyat akan ditimpakan ke atas orang yang berpecah belah dalam agama.
{وَأُو۟لَـٰٓئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌۭ}.
Mereka ini berpecah setelah menerima ilmu & maklumat, kenyataan yang jelas tentang kebenaran & hujjah, keterangan di hadapan mata mereka!
ii- Maka dalam ayat ini pula Allah nyatakan tentang azab orang celaka itu di Akhirat kelak, bagaimana keadaannya!
Pada hari itu ada wajah yang cerah bersinar & ada wajah yang muram kegelapan!
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 106- { (INGATLAH AKAN) HARI (KIAMAT YANG PADANYA) ADA MUKA (ORANG-ORANG) MENJADI PUTIH BERSERI, DAN ADA MUKA (ORANG-ORANG) MENJADI HITAM LEGAM. ADAPUN ORANG-ORANG YANG TELAH HITAM LEGAM MUKANYA, (MEREKA AKAN DITANYA SECARA MENEMPELAK): “PATUTKAH KAMU KUFUR INGKAR SESUDAH KAMU BERIMAN? OLEH ITU RASALAH AZAB SEKSA NERAKA DISEBABKAN KEKUFURAN KAMU ITU”.} (ALI-‘IMRAN 3:106)
- Allah nyatakan pada hari Kiamat kelak manusia akan terbahagi kepada dua golongan:
i- Mereka yang baik iaitu yang beriman, akan bahagia dan cerah muka mereka, berseri bersinar-sinar ceria.
(أهل السعادة)
Mereka ini adalah orang yang berpegang dengan tali Allah iaitu agama Islam, Al-Quran & Sunnah. Mereka bersatu & saling tolong menolong antara satu sama lain!
ii- Manakala mereka yang celaka pula iaitu orang kafir- muka mereka akan hitam legam tiada keceriaan, penuh kesiksaan & kesuraman. (أهل الشقاوة)
Mereka itulah orang yang berkelahi, berbalah setelah datang kepada mereka keterangan yang jelas dari Allah SWT!
- Mereka yang celaka & muka hitam itu akan dicela, diherdik dijerkah oleh malaikat serta ditempelak ditanya: “Patutkah kamu kufur ingkar sesudah kamu beriman?
Sedangkan kamu sudah tahu kebenaran yang ada dalam Taurat, Injil & Al-Quran juga! Sedangkan kamu sudah buat perjanjian dengan Allah!
- Maka akibat perbuatan kamu itu, rasalah azab seksa neraka yang disediakan ini disebabkan kekufuran kamu itu. Maka rasailah siksaan yang tidak berkesudahan.
- Yakni Allah cela ahli kitab yang ada kitab tetapi tidak ikut kitab- sama seperti kita hari ini yang ada Al-Quran tetapi tidak ikut ajarannya!
- Allah sebut tentang kedua golongan ini bersama dulu, kemudian diceritakan tentang orang yang tidak baik dulu kemudian kembali kepada penjelasan tentang orang yang baik pula.
Inilah uslub Al-Quran, ia undur & pusing kembali mengikut susunan ayat & cerita yang sebelumnya supaya ada kesinambungan. Dalam uslub balaghah ia dipanggil (اللف والنشر- al-Laffu wan-Nasyr).
- Ya Allah jadikan kami & semua orang-orang yang kami sayangi daripada golongan ini.
Inilah Sunnah Nabi SAW; apabila jumpa ayat nikmat, terus berdoa mohon Allah kurniakan rahmat & nikmat itu.
Apabila jumpa ayat azab, minta jauhkan dari azab.
- Jika pada bulan Ramadhan ini pun kita tidak boleh nak jadi orang baik maka bila lagi kita nak jadi org baik- Yang perbanyakkan ibadat, solat, baca Quran dan lain-lain.
Jika pada bulan ramadhan ini kita tidak kembali kepada Allah; bila lagi kita nak kembali?
Orang berlumba banyakkan solat & banyakkan baca Quran tetapi kita masih lalai dan cuai… maka bila lagi kita nak sedar?
AYAT 107- {ADAPUN ORANG-ORANG YANG TELAH PUTIH BERSERI MUKANYA, MAKA MEREKA BERADA DALAM LIMPAH RAHMAT ALLAH (SYURGA), MEREKA KEKAL DI DALAMNYA.} (ALI-‘IMRAN 3:107)
- Mereka ini orang-orang yang putih mukanya dengan keadaan berseri-seri disebabkan ketaatan pada Allah.
Allah sediakan pada mereka ini nikmat syurga yang tidak boleh bayangkan keindahannya, mereka akan kekal di dalamnya.
- Sebagaimana hadis- Sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis qudsi: Allah SWT berfirman: “Aku telah menyediakan bagi hamba-hamba-Ku yang soleh kenikmatan yang belum pernah mata melihatnya, belum pernah telinga mendengarnya, dan belum pernah pula terdetik dalam kalbu manusia’.” (HR al-Bukhari)
- Semua kita bertemu Allah seorang diri, lama di dalam kubur Allah tentukan. Tiada peneman di kubur, hanya amalan soleh.
Kubur menjadi taman syurga atau tempat permulaan azab neraka.
Semoga kubur kita menjadi luas, permulaan jalan ke syurga.
- Berkebetulan hampir sama dengan ayat yang dibaca oleh Imam kita pada waktu subuh tadi; antaranya setiap kita akan datang bertemu Allah seorang diri; sebagaimana kita keluar dari perut ibu kita seorang diri, tiada siapa yang ada untuk teman!
Apakah kubur kita sama ada akan menjadi taman syurga atau lubang neraka- wal’iyazu billah!
- Ya Allah jadikan kami, kedua ibu bapa kami & semua orang kami sayangi dari golongan yang mendapat rahmat-Mu ini!
Orang yang dicerahkan wajahnya, mendapat kasih sayang-Mu, limpah rahmat-Mu, dikurniakan syurga-Mu dan kekal di dalamnya selamanya!
- Inilah uslub atau gaya Rasulullah SAW;
i- Apabila tiba bacaan pada tempat nikmat, Baginda SAW akan meminta nikmat & rahmat itu.
ii- Apabila tiba pada bacaan azab, Baginda SAW akan memohon perlidungan Allah daripada azab tersebut. Maka kita pun amalkan juga, teruslah berdoa & minta perlindungan kepada Allah.
- Kata-kata sentap dari Syeikh Ibnul Jauzi rhm: Siapa yang tidak berjaya khatam Al-Quran pada bulan Ramadhan ini; maka di luar Ramadhan pastilah akan lebih susah baginya untuk khatam kerana Ramadhan adalah musim kebaikan & kebajikan! Kecuali orang yang diberi Allah petunjuk & hidayah!
AYAT 108- {ITULAH AYAT-AYAT KETERANGAN ALLAH, KAMI BACAKAN DIA KEPADAMU (WAHAI MUHAMMAD) DENGAN BENAR. DAN (INGATLAH), ALLAH TIDAK BERKEHENDAK MELAKUKAN KEZALIMAN KEPADA SEKALIAN MAKHLUKNYA.} (ALI-‘IMRAN 3:108)
- Inilah tanda-tanda keterangannya- dalam ayat yang lepas Allah SWT sebut tentang pahala & nikmat bagi orang mukmin dan azab bagi orang yang kafir.
- Al-Quran yang Kami baca kepada kamu wahai Muhammad SAW. Al-Quran yang bertepatan dengan hakikat & yang benar semuanya.
Apa yang Allah sebut adalah benar & Al-Quran ini adil dalam semua hukum-hakamnya!
Siapa yang kata Allah tidak adil maka dia adalah orang yang celaka!
- Ingatlah bahawa Allah SWT tidak akan menzalimi hamba-Nya.
Sebagaimana dalam sebuagh hadis:
.عَنْ أَبِيْ ذَرِّ الْغِفَارِيّ رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللّٰهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِيْمَا يَرْوِيْهِ عَنْ رَبِّهِ عَزَّوَجَلَّ أَنَّهُ قَالَ: يَا عِبَادِي: إِنِّي حَرَّمْتُ الظُّلْمَ عَلَى نَفْسِي وَجَعَلْتُهُ بَيْنَكُمْ مُحَرَّماً فَلاَ تَظَالَمُوا
Daripada Abu Zar Al-Ghifari RA daripada Rasulullah SAW berdasarkan apa yang diriwayatkan oleh Baginda daripada Allah SWT bahawasanya Allah SWT berfirman: “Wahai hamba-hambaKu! Sesungguhnya aku mengharamkan ke atas diriKu kezaliman dan Aku jadikannya di kalangan kamu sebagai suatu perkara yang diharamkan, maka janganlah kamu saling zalim-menzalimi.” [HR Muslim].
- Inilah ujian Allah ke atas manusia- diberi ujuan sama ada dengan kuasa, pangkat kedudukan dan harta.
Sama ada dia menjalankan tugasnya atau tidak menjalankan tanggungjawabnya, sama ada dia kenang budi orang yang pernah menolongnya atau lupa daratan bongkak sombong!
- Makna Allah tidak zalim:
i- Siapa buat baik akan dibalas pahalanya berganda ikut rahmat Allah.
ii- Tetapi orang yang buat jahat akan diberi satu seumpamanya sahaja- tidak lebih!
AYAT 109- {DAN BAGI ALLAH JUALAH HAK MILIK SEGALA YANG ADA DI LANGIT DAN YANG ADA DI BUMI, DAN KEPADA ALLAH JUALAH DIKEMBALIKAN SEGALA URUSAN.} (ALI-‘IMRAN 3:109)
- Di akhir ayat ini Allah SWT perkenalkan siapakah diri-Nya, iaitu yang memiliki segala yang ada di langit & di bumi.
Jadi kenapa Allah nak buat zalim?
Kenapa Allah nak menyusahkan hamba-Nya????
- Kata ulama’ tafsir: Munasabah ayat ini dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat sebelumnya Allah katakan Dia tidak akan sekali-kali berbuat zalim kepada hamba-Nya.
ii- Dalam ayat ini Allah nyatakan kenapa dia tidak perlu nak zalim kepada mereka- kerana semua makhluk itu lemah, semua kuasa milik Allah, segala apa yang ada di langit & di bumi milik-Nya.
- Allah tidak zalim kecuali sekadar membalas sebagai balasan atas perbuatan derhaka mereka!
Allah juga nak peringatkan kepada manusia agar jangan zalim sesama mereka juga.
- Punca kezaliman ini antaranya ialah:
i- Kerana takut hilang kuasa & kedudukan.
ii- Kerana hasad dengki!
- Banyaklah punca kezaliman atas dunia ini. Zalim pula sama ada:
i- Zalim ke atas diri sendiri dengan syirik & derhaka kepada Allah.
ii- Atau berlaku zalim sesama manusia!
- Kemudian Allah ingatkan bahawa kamu semua akan kembali kepada Allah!
Allah yang berkuasa menentukan apa saja yang akan berlaku ke atas hamba-Nya! Dia yang akan memutuskan hukum mereka di dunia & Akhirat!
- Antara perkara yang akan Allah putuskan : Semua manusia akan kembalikan kepada Allah pada hari Kiamat.
Semua kita akan berjalan seorang diri di Akhirat kelak!
- Allah akan balas semua perbuatan hamba-Nya, jika baik akan dapat kebaikan balasan syurga manakala yang celaka akan dimasukkan ke dalam neraka selama-lamanya- wal’iyazu billah.
- Kita minta Allah SWT melindungi diri kita, keluarga kita daripada syirik, daripada zalim & segala perkara yang dimurkai Allah Azza wa Jalla.
- Antara kuliah yang sesuai untuk didengar bagi menjadi garis panduan apalah yang Allah murka:
i- Syarah kepada Kitab Dosa besar : https://www.youtube.com/playlist…
ii- Syarah kepada Kitab RS dalam bab larangan : https://www.youtube.com/playlist…
Semua ini halal dan waqaf dari AAM untuk semua.
Mudah-mudahan ia dapat menjadi garis panduan agar kita tahu- jangan keliru!
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 106- {(Ingatlah akan) hari (kiamat yang padanya) ada muka (orang-orang) menjadi putih berseri, dan ada muka (orang-orang) menjadi hitam legam.}-
Allah SWT gambarkan pada hari Kiamat kelak ada yang muka cerah & ada yang muka gelap.
Kenapa Allah gambarkan pada hari Kiamat kelak dengan kecerahan & kegelapan?
Kata ulama’ tadabbur : Supaya apabila kita mendengarnya kita berasa sangat gerun & takut.
Serta agar orang yang mahu cerahkan wajahnya; apakah langkah dan jalan yang perlu diambil- iaitu beriman kepada Allah dan melakukan ketaatan.
Maka dalam ayat ini Allah menyatakan di Akhirat kelak hanya ada dua kumpulan manusia:
i- Sama ada dia orang beriman yang bahagia.
ii- Atau orang kafir yang celaka.
Tidak ada kumpulan ketiga seperti yang didakwa oleh puak muktazilah!
Munafiq atas dunia ini akan terus masuk dalam kumpulan kafir- sepesis muka hitam terus- tidak boleh berlakon laggi!
- Ayat 107- {Adapun orang-orang yang telah putih berseri mukanya, maka mereka berada dalam limpah rahmat Allah (Syurga),}-
Allah kata orang yang bahagia ialah orang yang duduk dalam rahmat Allah.
Yakni Allah sandarkan kepada rahmat-Nya {فَفِى رَحْمَةِ ٱللَّهِ}.
Manakala tentang orang yang hitam muka atau apabila sebut tentang azab; Allah tidak sandarkan kepada dirinya- tetapi Allah terus kata {Oleh itu rasalah azab seksa neraka}- {فَذُوقُوا۟ ٱلْعَذَابَ}.
Tetapi dalam bab rahmat, untuk orang yang baik Allah kata kamu akan masuk dalam rahmat Allah & syurga Allah- yakni Allah sandarkan kepada diri-Nya.
Apabila Allah sebut tentang azab- Allah akan sandarkan kepada orang yang membuatnya tetapi apabila sebut tentang apahal Allah sebut bahawa ia adalah dengan rahmat-Nya.
Ulama’ tafsir kata : Ini menunjukkan rahmat Allah lebih besar, lenih utama & lebih luas daripada azab Allah!
- Ayat 106- {Oleh itu rasalah azab seksa neraka disebabkan kekufuran kamu itu”.}-
Apabila Allah sebut azab ini dengan sebab kekufuran kamu : Untuk jelas menunjukan bahawa orang kafir akan di azab dalam neraka.
Allah sebut begini supaya orang tidak salah faham bahawa azab ini hanya untuk orang yang murtad.
Maka ayat ini jelas menunjukkan bahawa semua jenis kafir- tidak kira kafir asli, kafir jadian, kafir sembunyi, kafir murtad- semuanya akan dihumbankan di dalam neraka!
- Ayat 107- maka mereka berada dalam limpah rahmat Allah (Syurga), mereka kekal di dalamnya.}-
Orang yang baik akan dimasukkan ke dalam rahmat (syurga) Allah.
Maksudnya ke dalam rahmat Allah {فَفِى رَحْمَةِ ٱللَّهِ} dalam ayat ini ialah syurga Allah! Fi (فِى)- menunjukkan tempat- dalam (ظرف) bukan sifat (صفة) .
Ia tidak sama dengan maksud rahmat Allah dalam ayat ini: {وَرَبُّكَ ٱلْغَفُورُ ذُو ٱلرَّحْمَةِ ۖ} – {Dan Tuhanmu Maha Pengampun, lagi melimpah-limpah rahmatnya.} [al-Kahfi- 58].
Ini menunjukkan sifat ar-Rahmah atau kasih sayang Allah- bukan tempat seperti syurga. Allah SWT sifat-Nya kasih sayang.
Betullah kita masuk ke dalam syurga pun dengan rahmat Allah Azza wa Jalla!
- Ayat 108- {Itulah ayat-ayat keterangan Allah, kami bacakan dia kepadamu (wahai Muhammad) dengan benar.}-
Ayat ini menyatakan sesiapa yang mewakili orang lain, maka hukumnya adalah sama dengan orang yang diwakilinya dari sudut pelaksanaan.
Dalam ayat ini Allah nyatakan bahawa Dia baca { تِلْكَ ءَايَـٰتُ ٱللَّهِ نَتْلُوهَا عَلَيْكَ}- sedangkan yang baca kepada kita adalah Rasulullah SAW.
Maka ia menunjukkan bahawa segala hukum yang dibawa oleh Rasulullah SAW adalah dari Allah SWT!
Kerana itu Al-Quran dikatakan Kalam Allah bukan makhluk sepertimana dakwaan sebahagian kumpulan ajaran sesat!
Allah SWT berkata-kata apabila Dia nak dengan apa yang Dia nak– itulah kuasa Allah SWT!
- Ayat 109- {Dan kepada Allah jualah dikembalikan segala urusan.}-
Segala urusan kembali kepada Allah, di dunia atau di Akhirat.
Ayat ini menyatakan bahawa tidak boleh kita buat perundangan sendiri dengan otak kita tanpa bergantung kepada wahyu Al-Quran & Sunnah Nabi SAW!
Maka bermakna orang itu telah membuat satu Syari’at yang tidak kembali kepada Allah!
Semua urusan kita kena kembalikan kepada Allah, jangan berani-berani, jangan keras kepala jangan tak dengar kata!
Koleksi 6 Pamplet Risalah Ramadhan, Puasa & Hari Raya.
Boleh diambil di: https://abuanasmadani.com/risalah-risalah-bulan-ramadan…/
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu Al-Quran.
Wallahu A’lam.