AMALAN BAIK SI KAFIR SIA-SIA & BANDINGAN DENGAN TANAMAN DILANDA RIBUT & MEREKA KEKAL DALAM NERAKA.
Full video : https://youtu.be/_LJg753R9Ag?si=aBn7qaF-wW1xDT6p
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir bagi ayat 116 sehingga 117, surah Ali-‘Imran iaitu surah yang ketiga, dalam juzu’ yang keempat.
- Dalam siri ini Allah SWT nyatakan amalan baik si kafir sia-sia, tidak bernilai di sisi Allah SWT walaupun amalan baik!
Ia menjadi seperti debu berterbangan yang tidak boleh diambil.
Ini satu kerugian yang amat besar- buat amal ibadat tetapi tidak diterima!
- Allah buat analogi bandingan perbuatan puak kafir infaq sama ada kebaikan atau perbuatan jahat nak sekat orang Islam adalah seperti dengan tanaman dilanda rebut, binasa saja.
- Akhirnya di Akhirat kelak mereka kekal dalam neraka.
Walaupun Allah ceritakan tentang orang kafir; tetapi kita orang Islam juga kena ambil pelajaran & pengajaran dari ayat-ayat ini agar kita aman di dunia, selamat di alam kubur (barzakh) & bahagia di Akhirat.
Perbanyakkan doa-doa yang ma’thur sebagaimana yang diajar oleh Rasulullah SAW sempena akhir Ramadhan ini!
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT sebut bahawa tidak sama semua ahli kitab itu kerana ada di kalangan mereka yang beriman!
Kita kena insof iaitu adil dalam menila orang; iaitu ada yang baik di kalangan ahli kitab itu walaupun sedikit.
Kemudian Allah nyatakan janji buruk (وعيد) kepada orang kafir- serta keadaan & sifat orang mukmin serta balasan kebaikan untuk mereka.
ii- Maka dalam ayat ini pula Allah nyatakan keadaan orang kafir agar kita nampak jelas dengan mata akan perbezaan antara orang kafir dan orang mukmin.
- Sekarang ini usaha-usaha sekular & liberal untuk menyamakan antara orang kafir & orang Islam, sangat bahaya apabila pemimpin umat Islam lunak sangat dengan orang kafir sehingga tiada beza antara mereka, dibimbangi nanti masyarakat & generasi akan datang menyangka tiada beza & sama saja.
- Kita orang Islam perlu hati-hati!
Penjagaan agama & aqidah anak-anak kita perlu dipertingkatkan agar tidak mudah terpedaya, terlalu lunak lalu koyak & goyah pegangan agama mereka.
- Nak jaga aqidah bukan sekadar ikut-ikut. Aqidah ini perlu kepada paksi & sumber yang jelas, diambil daripada Al-Quran, as-Sunnah & huraian ulama’-ulama’ Salafus-Soleh.
- Biar ada had & nampak perbezaan antara kafir & mukmin- dua kumpulan ini tidak sama & perbezaan yang besar!
Ini agar anak-anak kita, generasi yang lebih terdedah akan datang dapat memahaminya. Juga agar mereka faham perbezaan antara ibadat & adat.
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 116- {SESUNGGUHNYA ORANG-ORANG YANG KAFIR, HARTA BENDA MEREKA DAN ANAK-ANAK MEREKA, TIDAK SEKALI-KALI AKAN DAPAT MENYELAMATKAN MEREKA DARI (AZAB) ALLAH SEDIKITPUN, DAN MEREKA ITU IALAH AHLI NERAKA; MEREKA KEKAL DI DALAMNYA.} (ALI-‘IMRAN 3:116)
- Allah nyatakan dengan jelas di sini bahawa harta & anak-anak tidak akan dapat menjadi pembela untuk menyelamatkan orang-orang kafir itu daripada azab neraka juga sama ada di dunia & Akhirat.
Mereka juga tidak menjadi sebab untuk mendapat rahmat Allah!
- Boleh lihat bab hak, tanggungjawab & manfaat antara anak-anak & ibu bapa dalam buku ini:
KEINDAHAN ISLAM : https://dartaibah.com/…/Keindahan-Islam-Cetakan-Baru…
- Setelah mati dan apabila dibangkitkan di Akhirat setiap manusia tidak akan sibuk mencari dan tidak mempedulikan antara satu sama lain.
Pada hari mula-mula keluar dari kubur: ayah tak cari anak, isteri tak cari suami, anak tak cari ibu; semuanya sibuk dengan hal masing-masing.
- Firman Allah SWT: {Kerana tiap-tiap seorang dari mereka pada hari itu, ada perkara-perkara yang cukup untuk menjadikannya sibuk dengan hal dirinya sahaja.} (‘Abasa 80:37)
- Iaitu selepas melalui beberapa proses barulah kita akan dapat bertemu balik dengan keluarga & antara nikmat yang besar adalah kita dapat berkumpul kembali bersama di syurga nanti!
Ya Allah kumpulkanlah kami dan keluarga di dalam syurga nanti sebagai Kamu kumpulkan kami di atas dunia ini!
- Tetapi jangan berdoa saja; kena usaha & ada amal ibadat yang dapat membawa kita semua ke syurga sekeluarga!
Pergi masjid, solat jemaah dengar kuliah bersama- supaya kita faham & anak cucu kita juga faham!
- Jadi jelas Allah letak garisan di sini:
i- Orang kafir : Harta benda & anak-anak dia tidak memberi faedah.
ii- Orang beriman : Anak-anak & ibu bapa yang sama-sama beriman dapat memberi manfaat & syafaat di Akhirat kelak.
Serta harta yang telah disedekahkan fi-sabilillah akan menjadi asset kita di Akhirat kelak.
- Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa ada tujuh golongan manusia yang mendapat naungan Arasy Allah di akhirat kelak.
Ini termasuk mereka yang bersedekah dengan tangan kanannya dan menyembunyikan amalnya itu sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang disedekahkan oleh tangan kanannya. Iaitu sedekah secara rahsia & senyap-senyap.
- Hadis penuh daripada Abu Hurairah RA, Nabi Muhammad menerangkan: “Ada tujuh golongan manusia yang akan mendapat naungan daripada Allah pada hari kiamat apabila tidak ada naungan melainkan naungan Allah. Mereka adalah:
• Pemimpin yang adil.
• Pemuda yang sejak kecil sudah beribadat kepada Allah yang Maha Besar lagi Maha Perkasa.
• Orang yang hatinya terpaut pada masjid.
• Dua individu yang saling mengasihi kerana Allah, kedua-duanya berkumpul kerana Allah dan berpisah pun kerana Allah.
• Lelaki yang dipikat wanita yang mempunyai status dan kecantikan tetapi dia berkata: “Percayalah, saya takut kepada Allah.”
• Orang yang bersedekah dan merahsiakan sedekahnya sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dilakukan oleh tangan kanannya.
• Orang yang ingat kepada Allah dalam keadaan sunyi lalu menitis air matanya.
[HR Bukhari dan Muslim].
Ya Allah jadikan kami orang yang layak termasuk dalam golongan ini. Jika tidak dapat semua, usahakan agar dapat kebanyakannya.
- Allah nyatakan lagi bahawa puak kafir itu akan kekal di dalam neraka tiada akhirnya!
Ini pegangan para ulama’ ahli Sunnah dan Jamaah- orang kafir kekal di dalam neraka & orang beriman kekal di dalam syurga.
Tetapi ahli neraka yang beriman yakni ada iman dalam hatinya akan diazab mengikut tempoh sehingga habis dosanya kemudian akan dikeluarkan dari neraka & masuk syurga juga akhirnya!
Kita berdoa minta dilindungi & dijauhkan dari azab neraka walaupun sedetik- wal-‘iyazu billah.
Doa: اللَّهُمَّ أجِرْنِي مِنَ النَّارِ – Ya Allah lepaskan aku dari neraka.
AYAT 117- {BANDINGAN APA YANG MEREKA BELANJAKAN DALAM KEHIDUPAN DUNIA INI (SEKALIPUN UNTUK AMAL-AMAL YANG BAIK), SAMALAH SEPERTI ANGIN YANG MEMBAWA UDARA YANG AMAT SEJUK, YANG MENIMPA TANAMAN KAUM YANG MENGANIAYA DIRI MEREKA SENDIRI, LALU MEMBINASAKANNYA; DAN (INGATLAH), ALLAH TIDAK MENGANIAYA MEREKA, TETAPI MEREKALAH YANG MENGANIAYA DIRI SENDIRI.} (ALI-‘IMRAN 3:117)
- Segala perbuatan & amalan baik, kebajikan yang dibuat oleh orang kafir atas dunia ini tidak akan bawa apa-apa kebaikan kepada mereka- hanya akan binasa seperti tanaman ditimpa angin ribut.
- Munasabah ayat ini dengan ayat sebelumnya:
i- Allah nyatakan sebelum ini (ayat 116) bahawa harta orang kafir tidak akan beri mereka faedah di Akhirat kelak walaupun dia infaq fi-sabilillah.
ii- Maka agar kita tidak terfikir apa yang akan terjadi kepada kebaikan yang dibuat mereka itu; dalam ayat ini Allah nafikan terus dalam ayat ini bahawa tidak ada faedah lansung, segala amalan baik mereka adalah sia-sia tidak bernilai di sisi Allah SWT!
Apa saja khairat atau kebaikan yang mereka buat- pahala yang diharapkan di sisi Allah tidak akan berlaku!
Allah buat analogi di sini seperti angin kencang yang sejuk, kuat suaranya pula- datang melanyak kebun orang, akan ranap & rosak binasa habis tidak tinggal kesannya!
- Sebagaimana firman Allah SWT juga:
{Sesungguhnya orang-orang kafir yang selalu membelanjakan harta mereka untuk menghalangi (manusia) dari jalan Allah, maka mereka tetap membelanjakannya kemudian (harta yang dibelanjakan) itu menyebabkan penyesalan kepada mereka, tambahan pula mereka dikalahkan.
Dan (ingatlah) orang-orang kafir itu (akhirnya) dihimpunkan dalam neraka jahanam.} (Al-Anfaal 8:36)
- Tidak akan ada satu kebaikan atau faedah yang akan didapati atau diperolehi oleh orang kafir itu; semua akan jadi seperti debu yang berterbangan.
Ini kerana mereka tiada ada akaun untuk menyimpan pahala itu kerana mereka tidak beriman.
- Di akhir ayat Allah kata Dia sekali-kali tidak menganiyai mereka!
Inilah yang dikatakan mereka orang kafir telah menzalimi diri mereka sendiri kerana mereka tidak beriman maka segala perbuatan mereka adalah sia-sia & tiada manfaat faedah, tidak mendapat pengiktirafan dari Allah.
Bukan Allah yang menzalimi & menganiaya mereka.
- Malanglah orang kafir yang tahu tentang Islam & hidup bersama orang Islam tetapi tidak menerima hidayahnya!
Jika mereka menerima Islam, selagi nyawa belum di halkum Allah akan menerimanya!
Insya’ Allah mereka akan menjadi ahli syurga jika sempat mengucap kalimah syahadah walaupun mati tanpa sempat beribadat!
Berapa banyak kes- orang bukan Islam yang telah menerima Islam; mengatakan mereka sebenarnya telah lama berminat kepada Islam tetapi tidak ada orang Islam yang mengajak & membimbing mereka untuk menjadi Islam!
- Sebagai seorang muslim, jika ada orang kafir yang kita kenal, yang dekat & baik dengan kita; kita perlu buka mulut jangan malu untuk perkenalkan Islam & ajak mereka kepada Islam walaupun sekali!
Jika tidak mereka mungkin akan mendakwa kita di Akhirat kelak kerana tidak penah berusaha mengenalkan mereka kepada Islam!
- Berat sekali tanggungjawab mereka yang ada jiran & kawan-kawan Islam- dakwah itu penting!
Biarlah mereka marah & terasa kepada kita atas dunia ini (jika mereka menolaknya) tetapi mereka akan bersyukur & tidak marah kepada kita di Akhirat kelak jika mereka mendapat hidayah.
- Amat rugi jika tidak ambil peluang untuk berdakwah kepada Islam kerana besar ganjarannya; mereka selamat daripada neraka & kita akan mendapat pahala yang amat besar!
- Hadis- sabda Rasulullah SAW:
فَوَاللَّهِ لَأَنْ يُهْدَى بِكَ رَجُلٌ وَاحِدٌ خَيْرٌ لَكَ مِنْ حُمْرِ النَّعَمِ
Maksudnya: “Demi Allah, apabila ada seorang sahaja yang mendapat petunjuk melalui dirimu, maka itu adalah lebih baik bagimu daripada unta merah (jenis unta yang paling baik).” [HR al-Bukhari, No. 2942].
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 116- {Sesungguhnya orang-orang yang kafir, harta benda mereka dan anak-anak mereka, tidak sekali-kali akan dapat menyelamatkan mereka dari (azab) Allah sedikitpun, dan mereka itu ialah ahli neraka; mereka kekal di dalamnya.}-
Orang kafir tidak ada faedah harta benda & anak pinak mereka jika mereka tidak beriman kepada Allah SWT!
Orang kafir dalam negara kita; yang tidak dapat faedah dari dakwah kita, yang hidup berjiran sekeliling dengan orang Islam, berkerja sepejabat, satu perniagaan atau satu sekolah dengan orang Islam; tidak pernah sekalipun kita ajak mereka kepada Islam.
Maka apa kita nak jawab di hadapa Allah Azza wa Jalla kelak jika mereka marah dakwa kita kerana ini!
Lalu mereka dihumban ke dalam neraka, pastilah mereka akan marah kepada kita!
Jangan malu nak buka mulut ajak & berakwah kepada mereka; jika mereka tolak kita ada buktinya di Akhirat kelak!
Ayat ini menyatakan sempurnanya kuasa Allah SWT ke atas kita!
Yakni selagi kita tidak beriman tidak ada faedah segala harta benda, anak pinak & kawan-kawan di atas dunia dulu!
Kamu di dalam neraka- mereka di dalam syurga!
- Ayat 116- {Sesungguhnya orang-orang yang kafir, harta benda mereka dan anak-anak mereka, tidak sekali-kali akan dapat menyelamatkan mereka dari (azab) Allah sedikitpun,}-
Ayat ini sebagai amaran & peringatan yang sentap agar jangan terpedaya dengan nikmat yang kamu ada!
Kerana orang yang terpedaya dengan nikmat harta & kekayaan ini akan:
i- Menyekatnya daripada jalan Allah SWT, daripada mengikut kebenaran!
ii- Akan menjadi angkuh sombong & bangga diri- pandang orang lain lekeh & lemah- hanya dia saja yang pandai tetapi orang lain tidak!
Hat-hati kerana harta benda tidak akan beri kita kebaikan kecuali kita gunakannya pada jalan Allah SWT!
- Ayat 116- {Sesungguhnya orang-orang yang kafir, harta benda mereka dan anak-anak mereka,}-
Kenapa Allah sebut dua perkara dalam ayat ini: {harta benda mereka dan anak-anak mereka,} sedangkan banyak lagi perkara lain yang boleh melalaikan manusia??
Disebut harta benda dan anak-anak kerana dua perkara ini sangat dekat & sangat bermanfaat kepada manusia!
Harta di tangan kita, anak di sisi kita!
i- Dengan harta boleh berinfaq, kita boleh tebus diri kita daripada api neraka dengan sedekah. Sebagaimana hadis Rasulullah SAW jagalah diri daripada azab neraka walaupun dengan bersedekah sebiji tamar!
ii- Kita boleh naik darjat di Akhirat kelak dengan doa anak soleh. Kita dapat manfaat & syafaat dari anak-anak yang soleh serta doa mereka dapat membantu.
Buat apa kita ada anak jika tidak boleh beri faedah bahkan membawa bala kepada kita dunia & Akhirat.
- Ayat 117- {Bandingan apa yang mereka belanjakan dalam kehidupan dunia ini (sekalipun untuk amal-amal yang baik), samalah seperti angin yang membawa udara yang amat sejuk, yang menimpa tanaman kaum yang menganiaya diri mereka sendiri, lalu membinasakannya;}-
Dalam ayat ini Allah bawa bandingan nafkah yang dibuat oleh orang kafir seperti tanamam yang diranapkan oleh angin yang kencang.
Allah sebut bahawa sebab-sebab kebinasaan sesuatu itu adalah dengan sebab atau bersebab.
Binasanya kebun & tanaman dengan dua sebab:
i- Serangan anasir luar seperti angin rebut yang kencang.
ii- Anasir dalaman seperti ulat & penyakit yang datang dari tumbuhan itu sendiri.
Demikian juga binasanya hidup kita dengan dua gelombang yang besar:
i- Sama ada sebab dari luar seperti serangan musuh bersenjata;
ii- Atau serangan dalaman daripada diri sendiri yang tidak ada jati diri, ketahanan & kekuatan.
- Ayat 117- {dan (ingatlah), Allah tidak menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri.}-
Allah katakana bahawa Dia sayang & tidak akan zalim kepada hamba-nya tetapi mereka sendiri yang menzalimi diri mereka.
Ini kerana mereka ambil jakan yang salah & sesat. Sudah ada jalan yang jelas nyata, sudah diberi petunjuk ke jalan yang benar, sudah ada rujukan Al-Quran dan as-Sunnah, sudah ada jalan yang benar, namun jalan sesat, batil, bid’ah & khurafat juga yang dipilih.
Marilah kita kembali kepada Allah SWT supaya kita tidak menzalimi diri sendiri.
Sebagaimana kata ulama’ : Sayyidina Luqman; kezaliman yang paling besar adalah syirik kepada Allah walaupun dia mempunyai hubungan yang baik sesama manusia!
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu Al-Quran.
Wallahu A’lam.