View Categories

Surah Ali-‘Imran : Ayat 118-120

JANGAN LETAK KEPERCAYAAN KEPADA SI KAFIR, MENDEDAHKAN RAHSIA KEPADANYA & SIKAP MEREKA BENCI KEPADA ISLAM.

Full video : https://youtu.be/xF_T2lRHGmw?si=33HsnPKaC5eIgUFt

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir bagi ayat 118 sehingga 120, surah Ali-‘Imran iaitu surah yang ketiga, dalam juzu’ yang keempat.
  1. Alhmdulillah separuh Ramadhan telah berlalu dan kita masih diberi nyawa & peluang oleh Allah untuk meningkatkan iman, menambahkan ibadat & ketaqwaan pada bulan ini.

    Kata ahli motivasi agama : نصف رمضان ذَهَبَ، ونصف والباقي ذَهَبٌ
    Separuh Ramadhan telah berlalu; Separuh lagi bakinya lebih bernilai daripada emas.
  1. Dalam siri ini Allah SWT beri peringatan & amaran kepada orang yang beriman agar jangan letak kepercayaan kepada si kafir. 
    Dia baik, dia berintegriti, sekadar berbaik atau berkawan saja tidak mengapa, tetapi jangan sekali-kali jadikan mereka teman rapat, pembantu setia dan seumpamanya. 
  1. Juga jangan sekali-kali mendedahkan apa-apa saja rahsia & strategi kepada orang kafir; kerana rahsia itulah yang akan digunakan untuk menghentam orang Islam balik. 
    Ketika lemah mereka akan ikut kita, tapi bila dah berkuasa mereka akan mula tunjuk taring!
  1. Allah juga akan dedahkan sikap sebenar mereka yang benci kepada Islam walaupun mereka cuba berpura baik di depan, hanya manis di depan tetapi masam di belakang. 
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT menyatakan tentang keadaan orang mukmin & orang kafir.

    ii- Maka dalam ayat 118 ini pula Allah beri amaran keras, peringatan besar kepada orang mukmin ketika bercampur dengan orang kafir; jangan letak kepercayaan yang besar kepada mereka. Sekadar berkawan secara luaran tidak mengapa- jangan masuk cinta ke dalam hati! 

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 118- {WAHAI ORANG-ORANG YANG BERIMAN! JANGANLAH KAMU MENGAMBIL ORANG-ORANG YANG BUKAN DARI KALANGAN KAMU MENJADI “ORANG DALAM” (YANG DIPERCAYAI). MEREKA TIDAK AKAN BERHENTI-HENTI BERUSAHA MENDATANGKAN BENCANA KEPADA KAMU. MEREKA SUKAKAN APA YANG MENYUSAHKAN KAMU. {TELAHPUN NYATA (TANDA) KEBENCIAN MEREKA PADA PERTUTURAN MULUTNYA, DAN APA YANG DISEMBUNYIKAN OLEH HATI MEREKA LEBIH BESAR LAGI. SESUNGGUHNYA TELAH KAMI JELASKAN KEPADA KAMU KETERANGAN-KETERANGAN ITU JIKA KAMU (MAHU) MEMAHAMINYA.} (ALI-‘IMRAN 3:118)

  1. Allah SWT berpesan memberi peringatan kepada orang yang beriman agar jangan sekali-kali mengambil orang kafir atau munafiq sebagai {بِطَانَةًۭ} teman rapat, pembantu peribadi setia, orang kepercayaan dan seumpamanya.
  1. Jangan ceritakan kepada mereka rahsia-rahsia, jangan letakkan mereka pada jawatan & tugas yang strategi dalam pemerintahan & kekuasaan. 
    Jika dedahkan rahsia kepada mereka seolah kita dedahkan rahsia kita kepada musuh. Kerana mereka akan ambil kesempatan itu untuk khianat kepada Islam.
  1. Hadis- عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَا اسْتُخْلِفَ خَلِيفَةٌ إِلَّا لَهُ بِطَانَتَانِ بِطَانَةٌ تَأْمُرُهُ بِالْخَيْرِ وَتَحُضُّهُ عَلَيْهِ وَبِطَانَةٌ تَأْمُرُهُ بِالشَّرِّ وَتَحُضُّهُ عَلَيْهِ وَالْمَعْصُومُ مَنْ عَصَمَ اللَّهُ [صحيح البخاري]
    Riwayat : “Daripada Abu Sa’id al-Khudri RA, daripada Nabi ﷺ bersabda: “Tidak ada yang dipilih menjadi pemimpin kecuali dia mempunyai dua penasihat. Penasihat yang mengajaknya melakukan kebaikan dan memberi semangat ke arah kebaikan dan penasihat yang menyuruhnya melakukan kejahatan dan mendorongnya ke arah kejahatan (kezaliman, salah guna kuasa dan lain-lain). Namun, yang terpelihara (dari dosa dan kesalahan) hanyalah yang dipelihara oleh Allah SWT.” [HR Bukhari].
  1. Sifat mereka orang kafir ini ialah:
    i- Mereka suka apa yang menyusahkan orang Islam. Mereka tidak akan pernah berhenti buat rencana khianat kepada orang Islam.

    ii- Dengan sepenuh hati mereka suka jika orang Islam ditimpa kesusahan, musibah dan kesulitan sama ada dalam agama, kehidupan dan semuanya!
  1. Orang kafir selalu menampakkan kebencian dan sikap permusuhan kepada orang Islam sama ada melalui perkataan atau perbuatan mereka. 
    Tetapi apa yang terserlah & ditunjukkan ini hanya sedikit.
  1. Tetapi ingat! apa yang sebenar tersembunyi di dalam hati mereka, berupa kemarahan, kebencian dan perasaan hasad kepada Islam dan umatnya sebenarnya jauh lebih besar dari pada kebencian yang mereka tunjukkan.
    Yakni orang-orang kafir secara zahir tidak sengaja melahirkan kebencian mereka pada orang Islam; tetapi kebencian yang tersembunyi di dalam hati mereka lebih besar.
  1. Setiap bekas akan keluarkan apa yang terkandung di dalamnya, iaitu isinya yang sebenar. كل إناء بما فيه ينضح
    Begitulah orang kafir, senyap-senyap akhirnya akan terkeluar, terdedah tembelang yang ada dalam hatinya.
    Kita orang beriman tak akan keluar dari hati kita kecuali apa yang kita yakin terhadap Allah, terhadap Rasulullah SAW.
  1. Pada akhir ayat Allah nyatakan bahawa di dalam Al-Quran itu telah dijelaskan sejelas-jelasnya kepada kamu keterangan-keterangan yang nyata, tanda-tanda kebenaran Islam, perbezaan yang salah dan benar adalah ketara, yang boleh difahami jika kamu mahu memahaminya.Tetapi manusia yang degil adalah yang menolak & tidak berfikir.
  1. Ingatlah agama Islam tidak pernah lemah, yang lemah adalah kita umatnya yang tidak mantap iman!

AYAT 119- {AWASLAH! KAMU INI ADALAH ORANG-ORANG (YANG MELANGGAR LARANGAN), KAMU SAHAJALAH YANG SUKA (DAN PERCAYAKAN MEREKA, SEDANG MEREKA TIDAK SUKA KEPADA KAMU. KAMU JUGA BERIMAN KEPADA SEGALA KITAB ALLAH (SEDANG MEREKA TIDAK BERIMAN KEPADA AL-QURAN). DAN APABILA MEREKA BERTEMU DENGAN KAMU MEREKA BERKATA: “KAMI BERIMAN”, TETAPI APABILA MEREKA BERKUMPUL SESAMA SENDIRI, MEREKA MENGGIGIT HUJUNG JARI KERANA GERAM MARAH (KEPADA KAMU), KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD): “MATILAH KAMU DENGAN KEMARAHAN KAMU ITU”. SESUNGGUHNYA ALLAH SENTIASA MENGETAHUI AKAN SEGALA (ISI HATI) YANG ADA DI DALAM DADA.} (ALI-‘IMRAN 3:119)

  1. Allah SWT larang kepada orang Islam daripada melanggar perintah Allah iaitu dengan berbaik dengan kafir. 
    Terhegeh-hegeh nak berbaik dengan orang kafir, sayang kepada mereka, menjadikan mereka kepercayaan; sedangkan mereka sekali-kali tidak suka kepada kamu wahai orang Islam.
  1. Bahkan mereka amat membenci kepada kamu jauh di sudut hati mereka! 
    Tetapi kerana ada kepentingan, nampak seolah mereka sayang & menyokong kamu. 
    Mereka hanya berpura untuk mendapat kepercayaan kamu!
  1. Kamu beriman kepada Allah & semua Kitab yang diturunkan; sedangkan mereka tidak beriman. 
    Ketika dihadapan kamu mereka bermuka-muka, bahkan mengaku beriman. 
    Tetapi di belakang kamu, apabila berkumpul sesama mereka, mereka amat benci, marah yang meluap-luap terhadap orang Islam sehingga menggigit jari kerana terlalu geram!
    Mereka dengki akan orang mukmin yang saling berkasih-sayang sesama Islam.
  1. Lalu Allah suruh Rasulullah SAW katakan kepada mereka: Matilah kamu dengan kebencian kamu terhadap orang Islam! 
    Biarlah kemarahan itu membinasakan mereka sendiri!
  1. Allah tegaskan di akhir ayat bahawa sesungguhnya Allah amat mengetahui setiap apa yang ada dalam dada kamu, apa yang tersembunyi dalam hati kamu! 
    Maka yang baik di balas baik, yang jahat di balas buruk, yang beriman dapat syurga & yang kafir masuk neraka! 
    Allah tahu segalanya, yang zahir dan tersembunyi.

AYAT 120- {KALAU KAMU BEROLEH KEBAIKAN (KEMAKMURAN DAN KEMENANGAN, MAKA YANG DEMIKIAN) MENYAKITKAN HATI MEREKA; DAN JIKA KAMU DITIMPA BENCANA, MEREKA BERGEMBIRA DENGANNYA. DAN KALAU KAMU SABAR DAN BERTAQWA, (MAKA) TIPU DAYA MEREKA TIDAK AKAN MEMBAHAYAKAN KAMU SEDIKITPUN. SESUNGGUHNYA ALLAH MELIPUTI PENGETAHUANNYA AKAN APA YANG MEREKA LAKUKAN.} (ALI-‘IMRAN 3:120)

  1. Allah nyatakan sikap sebenar kaum kafir ini:
    i- Apabila orang Islam mendapat kebaikan, kemakmuran dan kemenangan, mereka akan susah hati, dukacita, nak marah dan seumpamanya.
    Mereka sangat kecewa, sehingga frust ‘menungging nyor’.

    ii- Tetapi apabila orang beriman ditimpa ujian, kesusahan & bencana; merekalah yang terpaling gembira!
  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat lepas Allah nyatakan sifat orang kafir yang amat benci & tidak suka kepada orang mukmin. 
    Sama ada kafir tulen atau munafiq yang bersembunyi.

    ii- Dalam ayat ini Allah nyatakan sifat mereka yang jahat; Susah hati jika orang mukmin dapat kebaikan & gembira sekali jika mereka ditimpa kesusahan.
  1. Allah SWT mengajar orang beriman dua perkara:
    i- Pertama (الصبر)- iaitu supaya kita orang beriman bersabar. 
    Dengan kesabaran kita akan dapat salah satu dari dua perkara; sama ada kita menang & dapat kekuasaan. 
    Jika kita tidak menang kita akan dapat pahala perjuangan atau mati syahid!
    Seperti yang kita saksikan di Palestin dan lain-lain.

    ii- Kedua (التقوى)- nak dapatkan pertolongan Allah; kita kena bertaqwa. 
    Jaga iman, jaga agama, jaga akhlak. 
    Jaga ibadat seperti solat, zakat, puasa dan lain-lain.
  1. Dalilnya firman Allah SWT:
    {Yusuf berkata: “Tahukah kamu (betapa buruknya) apa yang kamu telah lakukan kepada Yusuf dan adiknya, semasa kamu masih jahil (tentang buruknya perbuatan yang demikian)?”(Yusuf 12:89) 

    Mereka bertanya (dengan hairan): “Engkau ini Yusufkah? ” Ia menjawab: “Akulah Yusuf dan ini adikku (Bunyamin). Sesungguhnya Allah telah mengurniakan nikmatNya kepada kami. Sebenarnya sesiapa yang bertaqwa dan bersabar, maka sesungguhnya Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang berbuat kebaikan.} (Yusuf 12:90)
    Inilah dua sifat yang perlua ada bagi setiap pejuang Islam: Sabar & Taqwa.
  1. Sekali Allah SWT tegaskan di akhir ayat ini bahawa: {Sesungguhnya Allah meliputi pengetahuan-Nya akan apa yang mereka lakukan.}
    Sesungguhnya Allah mengetahui semua yang kita kerjakan sama ada orang yang berima atau yang kafir. 
    Maka kita orang beriman jangan main-main dengan ilmu Allah! 
    Jika kita yakin dengan ilmu Allah; maka kita tidak akan buat maksiat, tidak akan pecah amanah, tidak akan bocor rahsia & batalkan perjanjian. 

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 118- {Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan dari kalangan kamu menjadi “orang dalam” (yang dipercayai).}-

    Wahai orang beriman jangan kamu ambil orang kafir sebagai teman rapat {بِطَانَةًۭ}.
    Ulama’ kata dalam ayat ini tiga faedah:
    i- Seruan kepada orang yang beriman. Jika kita orang beriman kita akan buka telinga celik mata menerima perintah Allah SWT! 

    ii- Orang yang ikut arahan inilah orang yang betul-betul beriman. Jika ikut dan taat maka itu tanda iman kita yang mantap!

    iii- Sesiapa yang tidak ikut bermakna imannya tidak lengkap & tidak mantap- lalu tidak sempurna kedudukannya! Wal-‘yazubillah.
    Ayat ini Allah mahu didik & mengingatkan kita orang agar peka hakikat, memahami & terima realiti keadaan bahawa orang kafir itu benci kepada orang Islam. 
    Dalam bab lain mereka mungkin baik tetapi dalam bab agama mereka tetap tolak. 
    Jangan samapi kita dipemainkan mereka!
    Sejarah ini bukan hanya pada zaman Rasulullah SAW dengan kafir & munafiq di Madinah saja, tetapi ia akan berterusan sehingga ke hari Kiamat.
    Sebagaimana kata ulama’ tadabbur: Di mana saja ada umat Islam- pasti akan muncul watak seperti Abu Jahal pada setiap masa! 
    Watak itu wujud walaupun tuannya sudah tiada.
  1. Ayat 118- {Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan dari kalangan kamu menjadi “orang dalam” (yang dipercayai).}-

    Jangan kamu ambil orang kafir sebagai teman rapat & orang kepercayaan.
    Kita nak berkawan rapat, nak pilih orang kepercayaan kita kena berhati-hati & pilih yang jelas dan mantap keimanan pada Allah. 
    Jika orang yang beriman, jujur & berintegriti bolehlah kita berikan kepercayaan & amanah kepada mereka!
    Jangan mudah-mudah beri kepercayaan & kesetiaan kepada orang kafir terutamanya! Jangan buat teman rapat, jangan dedah rahsia & strategi Islam kepada mereka.
    Allah SWT sayang kepada orang mukmin lalu Dia buka tembelang, dedahkan rahsia yang ada dalam hati orang kafir ini!
  1. Ayat 120- {Kalau kamu beroleh kebaikan (kemakmuran dan kemenangan, maka yang demikian) menyakitkan hati mereka; dan jika kamu ditimpa bencana, mereka bergembira dengannya.}-

    Mereka orang kafir suka sangat jika orang Islam ini ditimpa kesusahan sama ada dalam isu dunia atau agama!
    Janganlah kita mudah beri kepercayaan kepada orang kafir jika kita tidak mahu menyesal di dunia & Akhirat kelak!
    Mereka bersedia menyerang orang Islam dalam pelbagai cara sama ada dengan ketenteraan (agak susah sekarang) atau dengan senjata ekonomi.
    Jika kita umat Islam bersatu dalam melawan mereka seperti boikot dan seumpamanya mereka juga boleh goyah & koyak.
    Tetapi untuk memboikot barangan pastikan ia betul dari kafir yang terlibat dengan kejahatan agar tiada unsur kezaliman & penganiayaan.
  1. Ayat 119- {Awaslah! Kamu ini adalah orang-orang (yang melanggar larangan), kamu sahajalah yang suka (dan percayakan mereka, sedang mereka tidak suka kepada kamu.}-

    Allah menyatakan sikap sebenar mereka orang kafir kerana nak ajar orang beriman agar berhati-hati dengan mereka.
    Waktu mereka ada keperluan & kepentingan kepada kita, mereka berlunak sehingga lembut gigi daripada lidah!
    Tetapi apabila mereka sudah mendapat kekuasaan & kedudukan; jangan harap kita orang Islam akan mendapat pembelaan & persahabatan setia dari mereka! 
    Janganlah terlalu cuba mengambil hati dan menunjukkan kasih sayang, sokongan kepada orang kafir kerana mereka sebenarnya lansung tidak suka atau sayang kepada kamu bahkan membenci kamu!
    Mungkin secara luaran seolah mereka suka & menyokong kamu, tetapi itu hanya kerana mahu mempergunakan orang Islam untuk tujuan agenda-agenda jahat mereka!
    Jika musuh yang mengkhianati kita tidak pelik kerana kita tahu dia memang musuh!
    Tetapi jika orang yang dekat & baik dengan kita berbuat begitu- kawan yang lari perjuangan, maka ia adalah satu pengkhianatan yang amat menyakitkan.

    Kata ahli syair : Tikaman orang yang dekat dengan kita lebih dahsyat daripada tikaman musuh!
  1. Ayat 120- {Kalau kamu beroleh kebaikan (kemakmuran dan kemenangan, maka yang demikian) menyakitkan hati mereka; dan jika kamu ditimpa bencana, mereka bergembira dengannya.}-

    Jika kamu dapat benda baik mereka benci- jika kamu dapat benada buruk mereka suka! 
    Begitulah sifat orang kafir, orang munafiq & juga sifat sebahagian orang Islam yang dengki & hasad sesamanya!
    Bahkan sifat hasad dengki sesama Islam adalah sesuatu yang amat buruk sekali! 
    Kerana itulah Allah tutup ayat ini dengan {Sesungguhnya Allah meliputi pengetahuanNya akan apa yang mereka lakukan.} Sesungguhnya Allah tahu kesemua perbuatan kita – maka beringat & berhati-hatilah dengan amalan kita jika tidak mahu menyesal di Akhirat kelak.
    Ini kerana : Suratan amalan yang kita nak baca di hadapan Allah kelak; kita sendirilah penulisnya!
    Tuan-puan nak baca apa? Nak baca yang baik yang baik, maka buatlah yang baik, jika tidak sebaliknya! 

    Firman Allah SWT:
    {Dan tiap-tiap seorang manusia Kami kalongkan bahagian nasibnya di lehernya, dan pada hari kiamat kelak Kami akan keluarkan kepadanya kitab (suratan amalnya) yang akan didapatinya terbuka (untuk di tatapnya).} (Al-Israa’ 17:13)

    Marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT:
    Ya Allah hapuskan dan ampunkan segala dosa & kesalahan kami yang telah lepas. 
    Janganlah Engkau dedahkan segala rahsia kami pada hari terdedah segala rahsia.
    Jangan Engkau malu & aibkan kami di hadapan keluarga & orang yang kami sayangi.
    Jadikanlah kami orang yang mendapat kemaafan & pengampunan-Mu, yang melayakkan kami ke syurga-Mu!

    Jangan lupa kata-kata ahli motivasi agama ini : نصف رمضان ذَهَبَ, و نصف والباقي ذَهَبٌ
    Separuh Ramadhan telah berlalu; Separuh lagi bakinya lebih bernilai daripada emas.
    Maka jangan lalai jangan bermain-main lagi merebut peluang bulan taqwa & keampunan ini dengan perbanyakkan amal kebajikan.

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu Al-Quran.
Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs