JANJI ALLAH MENGHANTAR MALAIKAT UNTUK MENENANGKAN TENTERA BADAR, KAFIR AKAN TEWAS & SEMUA KUASA HAK ALLAH, NABI SAW TIDAK ADA KUASA.
Full video : https://youtu.be/EMDwGCWy8Os?si=B_jofEZPDXim2okB
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir bagi ayat 126 sehingga 129, surah Ali-‘Imran iaitu surah yang ketiga, dalam juzu’ yang ketiga.
- Dalam siri ini Allah SWT nyatakan janji untuk menghantar malaikat untuk menenangkan tentera Badar, sebagai khabar gembira & penenang hati tentera Islam. Ia adalah sambungan daripada ayat yang lepas bahawa Allah telah hantar 3000 tentera malaikat.
- Para sahabat walaupun bilangan mereka sedikit akan yakin & bersemangat dengan khabar yang disampaikan oleh Rasulullah SAW. Secara asasnya mereka akan menang & kafir akan tewas.
- Di akhir ayat Allah sebut bahawa semua kuasa hak Allah, Nabi SAW tidak ada kuasa. Baginda hanyalah utusan Allah, dan menjalankan tugas yang diperintahkan Allah ke atas Baginda.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT menyatakan akan hantar pertolongan kepada tentera Islam dengan tentera malaikat yang turun dari langit seramai 3000 orang.
ii- Maka dalam ayat ini pula Allah nyatakan sebab kenapa Allah beritahu janji ini iaitu sebagai khabar gembira & penenang hati Rasulullah SAW & para sahabat Baginda.
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 126- {DAN ALLAH TIDAK MENJADIKAN BANTUAN TENTERA MALAIKAT ITU MELAINKAN KERANA MEMBERI KHABAR GEMBIRA KEPADA KAMU, DAN SUPAYA KAMU TENTERAM DENGAN BANTUAN ITU. DAN (INGATLAH BAHAWA) PERTOLONGAN YANG MEMBAWA KEMENANGAN ITU HANYA DARI ALLAH YANG MAHA KUASA, LAGI MAHA BIJAKSANA.} (ALI-‘IMRAN 3:126)
- Janji bantuan untuk hantar tentera malaikat ini adalah kerana Allah mahu:
i- Memberi khabar gembira kepada tentera Islam.
ii- Membawa ketenangan dalam hati mereka. Lalu pada malam itu para sahabat dapat tidur lena dan mengumpulkan kekuatan tanpa rasa gentar & takut walaupun bilangan tentera musuh lebih ramai.
Tidur ketika cemas & takut; keamanan dari Allah SWT. Tidur ketika kuliah; ulikan syaitan!
- Ingatlah juga kamu menang bukan kerana kamu kuat & hebat serta bijak merancang strategi; tetapi ia adalah kerana bantuan dan pertolongan Allah- maka jangan angkuh & sombong.
- Yakni kamu tidak akan sekali-kali mencapai kemenangan untuk mengalahkan musuh kamu kecuali dengan pertolongan dari Allah Yang Maha kuasa, lagi Maha Bijaksana.
- Kerana itu hanya kepada Allah-lah kita bertawakkal & minta pertolongan, bergantung hanya kepada Allah; bukan kepada makhluk lain!
Semua makhluk di bawah peraturan Allah SWT!
- Maka jika menang syukur dan jika kalah kamu kena sabar.
Sebagaimana yang selalu kita sebut, sabar itu ada 3 jenis:
i- Sabar dalam melakukan ketaatan.
ii- Sabar dalam meninggalkan larangan.
iii- Sabar dalam menghadapi ujian.
- Iaitu kamu hendaklah sabar dengan kekalahan dalam Ghazwah Uhud kerana Allah telah menangkan kamu sebelum ini.
Kekalahan ini adalah kerana tidak sabar menurut perintah atau dalam ketaatan!
- Fakta tentang Ghazwah Uhud:
i- Nabi SAW letak 50 orang tentera pemanah atas Jabal (bukit) Ainain- bukan atas Bukit Uhud yang besar itu!
ii- Nama Jabal Ainain itu sekaranga adalah Jabal Rumah (Bukit Pemanah). Ia sebuah bukit kecil bertentangan dengan Uhud.
- Allah SWT perintahkan untuk berperang kemudian turun ayat ini:
{Dan sekiranya Allah menghendaki, tentulah Ia membinasakan mereka (dengan tidak payah kamu memeranginya); tetapi Ia (perintahkan kamu berbuat demikian) kerana hendak menguji kesabaran kamu menentang golongan yang kufur ingkar (yang mencerobohi kamu). Dan orang-orang yang telah berjuang serta gugur syahid pada jalan Allah (mempertahankan agamanya), maka Allah tidak sekali kali akan mensia-siakan amal-amal mereka.} (Muhammad 47:4)
AYAT 127- {(KEMENANGAN BADAR ITU) KERANA ALLAH HENDAK MEMBINASAKAN SATU GOLONGAN DARI ORANG-ORANG KAFIR ATAU MENGHINA MEREKA (DENGAN KEKALAHAN), SUPAYA MEREKA KEMBALI DENGAN HAMPA KECEWA.} (ALI-‘IMRAN 3:127)
- Ghazwah Badar berakhir dengan kemenangan besar bagi Rasulullah SAW & tentera Islam.
- Allah kalahkan orang kafir kerana nak binasakan & hinakan mereka atas dunia ini lagi!
Mereka yang selamat dari terbunuh & ditawan.
Ada yang selamat kembali ke Makkah dengan penuh malu & kehinaan!
Kemenangan besar berpihak kepada orang Islam.
- Seramai 14 orang tentera Islam syahid terdiri daripada 6 dari kalangan Muhajirin dan 8 orang Ansar.
Kira-kira 70 orang musyrik telah terbunuh termasuk ketua mereka yang paling tegar dalam kesyirikan, iaitu Abu Jahal.
Turut terbunuh sebahagian besar pemuka atau pemimpin mereka.
Yang ditawan pula seramai 70 orang.
- Setelah selesai peperangan Badar, Rasulullah SAW mengumpulkan mayat-mayat orang kafir dan meminta digali satu lubang/telaga besar dan dipanggil sebagai qalib.
- Kemudian setelah lubang itu dikambus, Rasulullah SAW berucap kepada mayat tersebut dengan menyatakan:
يَا أَبَا جَهْلِ بْنَ هِشَامٍ! يَا أُمَيَّةَ بْنَ خَلَفٍ! يَا عُتْبَةَ بْنَ رَبِيعَةَ! يَا شَيْبَةَ بْنَ رَبِيعَةَ! أَلَيْسَ قَدْ وَجَدْتُمْ مَا وَعَدَ رَبُّكُمْ حَقًّا؟ فَإِنِّي قَدْ وَجَدْتُ مَا وَعَدَنِي رَبِّي حَقًّا
Maksudnya: “Wahai Abu Jahal bin Hisyam, wahai Umayyah bin Khalaf, wahai Utbah bin Rabi’ah, wahai Syaibah bin Rabi’ah, bukankah kamu telah menemui kebenaran janji Rabb kamu? Sesungguhnya aku telah menemui kebenaran janji Rabbku yang dijanjikan padaku.”
Sayyidina Umar RA yang mendengar ucapan Nabi SAW lalu berkata: يَا رَسُولَ اللَّهِ كَيْفَ يَسْمَعُوا وَأَنَّى يُجِيبُوا وَقَدْ جَيَّفُوا
Maksudnya: “Wahai Rasulullah, bagaimana mereka dapat mendengar dan bagaimana mereka dapat menjawab. Lihatlah mereka telah menjadi bangkai.”
Nabi SAW bersabda: وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ مَا أَنْتُمْ بِأَسْمَعَ لِمَا أَقُولُ مِنْهُمْ وَلَكِنَّهُمْ لَا يَقْدِرُونَ أَنْ يُجِيبُوا
”Demi Zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, kamu tidak lebih mendengar ucapanku melebihi mereka. Hanya sahaja mereka tidak dapat menjawab.” [HR Muslim (5121)].
AYAT 128- {ENGKAU TIDAK BERHAK SEDIKITPUN (WAHAI MUHAMMAD) DALAM URUSAN (ORANG-ORANG YANG INGKAR) ITU, (KERANA URUSAN MEREKA TERTENTU BAGI ALLAH), SAMA ADA DIA MENERIMA TAUBAT MEREKA ATAUPUN IA MENYEKSA MEREKA; KERANA SESUNGGUHNYA MEREKA ITU ORANG-ORANG YANG ZALIM.} (ALI-‘IMRAN 3:128)
- Sabab nuzul ayat ini:
i- Dari Anas RA :
Bahwa pada Perang Uhud, Rasulullah mengalami luka yang agak parah, gigi Nabi SAW. patah, wajah beliau terluka hingga darah mengalir di wajah Baginda. Lalu Baginda SAW bersabda, “Bagaimana satu kaum akan beruntung jika mereka melakukan hal ini terhadap nabi mereka yang mengajak mereka kepada Tuhan mereka?” Lalu Allah menurunkan ayat ini. [HR Ahmad dan Muslim].
ii- Dari Ibnu Umar RA, dia berkata :
“Saya mendengar Rasulullah berdoa, ‘Ya Allah laknatlah si Fulan. Ya Allah laknatlah al-Harith bin Hisyam. Ya Allah laknatlah Suhail bin ‘Amr. Ya Allah laknatlah Shafwan bin Umayyah.’ Maka turunlah ayat ini. Lalu mereka semua diampuni. [HR Ahmad dan al-Bukhari ].
- Walaupun dikelilingi pahlawan Islam namun Rasulullah SAW tidak terlepas dari menjadi sasaran musuh:
i- Dalam satu kejadian baginda parah apabila seketul batu yang agak besar melayang tepat mengenai baginda. Batu itu dikatakan dibaling oleh pihak musuh iaitu Utbah bin Abu Waqqas.
ii- Baginda juga dikatakan diserang oleh seorang tentera berkuda dari pihak musuh, iaitu Abdullah bin Qamiah. Abdullah melibas pedangnya pada bahu baginda, namun tidak berhasil untuk mengoyak baju besi apatah lagi mencederakan baginda. Namun akibat tetakan itu dikatakan baginda rasa sakit pada bahu itu lebih sebulan lamanya. Abdullah cuba menetak baginda sekali lagi sambil berkata: “Rasakanlah kau wahai Muhammad, akulah anaknya Qamiah (Qamiah yang bermakna orang yang hina)!” Sambil membersihkan darah di wajahnya, baginda Rasulullah pun menjawab: “Semoga Allah SWT menghina kamu!”
iii- Ketika itu datanglah para sahabat yang lain membantu baginda. Namun dalam keadaan luka dan kesakitan itu, baginda terjatuh dalam sebuah lubang. Lubang itu dikatakan digali oleh seorang musuh, iaitu Abu Amir Ar Rahib. Abu Amir al-Fasiq sengaja berbuat demikian bagi memerangkap dan mencederakan tentera Muslim terutama baginda sendiri.
iii- Pihak musuh berusaha pelbagai cara bagi menembusi benteng para sahabat yang mengelilingi dan melindungi baginda. Namun, semua usaha itu gagal kerana kukuhnya ‘benteng manusia’ para sahabat.
AYAT 129- {DAN BAGI ALLAH JUALAH SEGALA YANG ADA DI LANGIT DAN YANG ADA DI BUMI. IA MENGAMPUNKAN SESIAPA YANG DIKEHENDAKINYA, DAN DIA MENYEKSA SESIAPA YANG DIKEHENDAKINYA. DAN (INGATLAH), ALLAH MAHA PENGAMPUN, LAGI MAHA MENGASIHANI.} (ALI-‘IMRAN 3:129)
- Allah tegaskan bahawa Rasulullah SAW tidak mempunyai kuasa mutlak untuk menguruskan dunia ini tanpa kuasa atau pertolongan dari Allah.
Bukan sebagaimana yang disangka oleh sebahagian pengikut ajaran sesat yang mengatkan Rasulullah SAW-lah tempat mereka berlindung.
- Allah nafikannya dengan berfirman dalam ayat ini: {Bagi Allah jualah segala yang ada di langit & di bumi!}
- Kemudian Allah tegaskan bahawa: {Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.} iaitu:
i- Semuanya terserah kepada Allah sama ada untuk mengampunkan orang kafir yang jahat itu atau menyiksa mereka.
Jika nak kira dosa yang dibuat oleh si Wahsyi yang membunuh Sayyidina Hamzah RA bapa saudara Rasulullah SAW adalah begitu besar & kejam, kira pastilah di dalam neraka tempatnya. Begitu juga Khalid al-walid RA yang sebelum Islam begitu kuat penentangannya.
ii- Allah nak azab siapa itu juga dibawah kuasa dan keadilan Allah SWT!
- Kuasa Allah menguruskan segala yang di langit & bumi dan kuasa-Nya juga Dia nak azab siapa dia nak terima taubat siapa.
Tugas kita adalah berdoa memohon keampunan & taubat kepada Allah SWT!
Kita berdoa penuh ketakutan- jangan sekali-kali kita tunjuk gedebe nak lawan Allah!
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 126- {Dan Allah tidak menjadikan bantuan tentera malaikat itu melainkan kerana memberi khabar gembira kepada kamu, dan supaya kamu tenteram dengan bantuan itu.}-
Allah nyatakan bahawa Dia beri kepada para sahabat khabar gembira secara direct kepada mereka.
Ini menunjukkan kemuliaan & kelebihan tentera Ghazwah Badar.
Sebagaimana firman Allah SWT secara lansung juga kepada Rasulullah SAW:
{Bukankah Kami telah melapangkan bagimu: dadamu (wahai Muhammad serta mengisinya dengan iman dan hidayah petunjuk)? Dan Kami telah meringankan daripadamu: bebanmu (menyiarkan Islam) -Yang memberati tanggunganmu, (dengan memberikan berbagai kemudahan dalam melaksanakannya)?} (Ash-Syar-h 94: 1-3)
Ayat ini juga nyatakan sebab-sebab yang kita mesti bertawakkal kepada Allah dan kira berharap segala perkara itu dari Allah SWT!
Sebab itu bila Allah nyatakan bahawa Aku turunkan malaikat; kerana Allah nak suruh orang mukmin lapang dada, tenang hati- kerana Allah nak beri pertolongan!
Maka jangan kita rasa kita bijak, kita pandai, tetapi kita kena letak; Allah yang bantu baru kita menang!
- Ayat 126- {Dan (ingatlah bahawa) pertolongan yang membawa kemenangan itu hanya dari Allah Yang Maha kuasa, lagi Maha Bijaksana.}-
Tidak ada mana-mana pertolongan kecuali pertolongan dari Allah yang Yang Maha kuasa, lagi Maha Bijaksana.
Tanpa pertolongan Allah manusia tidak akan mencapai kemenangan walaupun mempunyai kekuatan seperti tentera yang ramai, senjata canggih & lengkap, strategi yang paling licik dan sebagainya.
Realiti apa yang berlaku di Palestin hari ini. Senjata yang paling canggih, paling ampuh atas dunia ini kepunyaan yahudi zionis, strategi paling hebat juga dari mereka, tetapi yahudi tetapi tidak dapat hapuskan rakyat Palestin yang senjatanya hanya batu, lastik dan seumpamanya!
Rakyat Palestin hanya bertahan & belum menang juga satu ujian dari Allah, kita kena sabar & terima, ada sebab-sebabnya kenapa kemenangan mutlak belum tiba.
Sukarnya hidup tanpa pertolongan Allah SWT!
Hadis : Rasulullah SAW beri nasihat kepada Abdur Rahman bin Samurah RA:
لا تسأل الإمارة؛ فإنك إن أُعطيتها عن غير مسألة أُعنت عليها، وإن أُعطيتها عن مسألة وُكلت إليها
Maksudnya: Jangan kamu meminta- minta menjadi ketua. Jika kamu diberi jawatan tanpa meminta-minta, kamu akan ditolong. Jika kamu diberi jawatan kerana kamu meminta-minta, kamu akan dibiarkan menguruskannya sendiri. [HR Bukhari dan Muslim]
Kerana kita nak sangat, lalu Allah beri. Bukan sebab kita bijak atau hebat, tetapi kadang-kadang Allah letakkan seseorang itu di atas supaya terselah & nampak kelemahannya yang sebenar.
Mungkin orang dok bangga seseorang itu hebat- sekali pegang jawatan terserlah kelentong je lebih!
Kerana itu kita ini kena minta pertolongan dari Allah- sekali Allah buka kelemahan kita semua orang akan dapat lihat- kawan atau lawan!
Tidak sama dengan usaha kita isi borang minta kerja dan lain-lain.
- Ayat 123- {Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang).}-
Allah kata Dia tolong kamu ketika kamu dalam keadaan lemah!
Kata ulama’ tadabbur : Ayat ini sangat penting, iaitu: Bila kita rasa lemah, bila kita rasa tiada kekuatan maka pada ketika itulah kita banyak bergantung kepada Allah SWT.
Banyak berdoa & merintih mengadu kepada Allah SWT.
Tetapi apabila manusia itu rasa dia kuat, dia akan lupa untuk meminta pertolongan Allah. Kita akan rasa sombong angkuh & takabbur.
Firman Allah SWT:
{Ingatlah! Sesungguhnya jenis manusia tetap melampaui batas (yang sepatutnya atau yang sewajibnya), Dengan sebab ia melihat dirinya sudah cukup apa yang dihajatinya.} (Al-‘Alaq 96: 6-7)
Sememangnya kita manusia ini lemah dan wajib bergantung kepada Allah SWT, maka jangan rasa diri kita kuat; lalu angkuh & sombong!
- Ayat 127- {(Kemenangan Badar itu) kerana Allah hendak membinasakan satu golongan dari orang-orang kafir atau menghina mereka (dengan kekalahan),}-
Allah nyatakan bahawa tujuan Allah beri kemenangan kepada Rasulullah SAW ialah kerana mahu binasakan orang kafir dan beri mereka kehinaan!
Segala tindakan dan ketetapan Allah buat itu ada hikmah & sebabnya.
Tidak ada perbuatan Allah yang sia-sia atau secara kebetulan.
Hikmahnya supaya supaya orang mukmin tahu bahawa Allah tidak guna kuasa kun fa-yakun.
Allah nak beri pahala kepada orang beriman; kita kena berusaha & berjuang, jangan mudah koyak & goyah- adakala kita menang adakala kita kalah.
Jika kita berjuang kerana Allah, Allah akan bantu, jika kita menang kita kena bersyukur & jika kalah kita kena sabar dan akan dapat pahala!
- Ayat 128- {Engkau tidak berhak sedikitpun (wahai Muhammad) dalam urusan (orang-orang yang ingkar) itu, (kerana urusan mereka tertentu bagi Allah),}-
Allah tegaskan bahawa bukan kerja kamu wahai Muhammad SAW untuk binasakan orang itu orang ini.
Ayat ini menjadi dalil bahawa Rasulullah SAW duduk di bawah arahan Allah SWT.
Apa yang Allah suruh Baginda buat dan apa yang Allah larang Baginda tak buatnya!
Allah nyatakan kepada Nabi SAW beberapa tanda yang akan berlaku pada akhir zaman & tanda Kiamat sebagai mukjizat & semuanya di bawah kuasa Allah Azza wa Jalla.
Rasulullah SAW juga masih di bawah arahan Allah iaitu mukallaf!
Tetapi yang karutnya ada manusia yang angkat darjat beberapa manusia lain dengan menobatkan mereka sebagai wali yang tidak perlu solat & tidak perlu melakukan ibadat-ibadat lain seperti kita!
Boleh mereka percaya sedangkan Rasulullah SAW solat kepada Allah sehingga bengkak-bengkak kakinya!
Wali apa begitu; solat pun tidak, mandi pun tidak- itu adalah wolo!
Manakala puak pelampau dalam memuja pula menobatkan Rasulullah SAW sebagai pemengang kuasa amanah dunia kerana itulah kita perlu berdoa & minta tolong kepada Rasulullah SAW walaupun Baginda sudah wafat!
Maka hati-hatilah dengan perangkap maut yang dibawa oleh sebahagian puak pelampau dalam ahli ibadat ini!
Sekarang ini viral pula wali solat tarawih 1000 rakaat!
Memang Allah boleh beri jika nak beri- tetapi kita nak percayapun biar logik dan boleh diterima akal yang waras.
Kita percaya kepada karamah para auliya’ tetapi bukan cerita yang melampau dan tak logik.
Tetapi jangan pertikaikan kisah yang Imam Syafei baca Al-Quran & khatamnya sebanyak dua kali sehari dalam bulan Ramadhan!
Setiap benda yang kita nak cakap atau nak percaya kena ada fakta, ada dalil dari Al-Quran & Sunnah serta bukti yang kukuh!
Allah sendiri yang beritahu bahawa Nabi SAW tidak ada kuasa, kecuali kuasa dari Allah SWT!
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu Al-Quran.
Wallahu A’lam.