View Categories

Surah Ali-‘Imran : Ayat 133-136

SEGERALAH MENCARI KEAMPUNAN ALLAH, BERINFAQ DAN MENAHAN MARAH & BANYAK BERISTIGHFAR DAN BERTAUBAT.

Full video : https://youtu.be/dsqrFlpt7fM?si=uOzkLgXG-qsTmmfW

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir bagi ayat 133 sehingga 136, surah Ali-‘Imran iaitu surah yang ketiga, dalam juzu’ yang keempat.
  1. Kita juga meneruskan agenda yang besar iaitu memburu Lailatul Qadr bagi Ramadhan tahun ini! Pilihan di tangan kita mahu atau tidak merebut tawaran Allah ini; sesiapa yang masih ada peluang kesihatan dan masa; tingkatkan usaha & giatkan amal ibadat. 
    Semoga amal ibadat kita bertambah & asset kita meningkat dengan bertambahnya bilangan malam Ramadhan 10 akhir ini. Semoga kita termasuk dalam golongan yang diampunkan dosa-dosanya & dibebaskan daripada api neraka!
  1. Dalam siri ini Allah SWT arahkan agar segeralah kita mencari keampunan Allah, yang mana tawaran balasannya adalah syurga yang seluas langit & bumi yang disediakan Allah SWT.
  1. Allah juga nyatakan sifat mereka yang layak mendapat syurga ini, iaitu:
    i- Suka berinfaq fi-sabilillah. 

    ii- Menahan marah 

    iii- Memafkan kesalahan orang lain

    iv- Jika tersalah banyak beristighfar dan terus bertaubat.

    v- Bersegera keluar dari maksiat- tidak berterusan di dalamnya.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT menyatakan larangan dari makan riba. Orang yang makan riba ialah orang yang gilakan dunia & tamakkan harta. 

    ii- Maka dalam ayat ini pula Allah nyatakan sifat yang sebaliknya bagi orang yang tamakkan harta. Iaitu orang yang bertaqwa, yang suka infaq fi-sabilillah- tukar akaun dari akaun dunia kepada akaun Akhirat- serahkan hartanya kepada Allah agar menjadi asset penolong yang akan menemaninya di dalam kubur & juga di Akhirat kelak! 

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 133- {DAN SEGERALAH KAMU KEPADA (MENGERJAKAN AMAL-AMAL YANG BAIK UNTUK MENDAPAT) KEAMPUNAN DARI TUHAN KAMU, DAN (MENDAPAT) SYURGA YANG BIDANGNYA SELUAS SEGALA LANGIT DAN BUMI, YANG DISEDIAKAN BAGI ORANG-ORANG YANG BERTAQWA;} (ALI-‘IMRAN 3:133)

  1. Ayat ini memberi motivasi dan galakan untuk kita bersegera mengerjakan amal-amal yang baik yang boleh mendapat keampunan dari Allah SWT.
    Ayat ini kita baca amat tepat pada masanya hari ini, pada hari 10 terakhir Ramadhan yang kita semua berlumba-lumba untuk melakukan kebajikan!
  1. Kata ulama’ tadabbur : Seorang manusia tidak akan lengkap kebahagiaanya kecuali ada dua perkara ini:
    i- Hilang segala apa yang dia tidak suka seperti susah, sakit, kesempitan hidup & bala bencana.

    ii- Tercapainya cita-cita & segala yang dia idamkan. Seperti nak sihat, nak senang, nak kaya, nak panda, nak anak ramai dan seumpamanya!
  1. Maka dalam ayat ini Allah beri kepada kita dua balasan besar iaitu:
    i- Keampunan Allah, iaitu hilang segala dosa & kemurkaan Allah SWT!

    ii- Di syurga yang luasnya seluas langit & bumi! Inilah cita-cita besar yang kita nak!
    Maka kita kena bersegera mengerjakan amal-amal yang baik untuk melayakkan kita mendapat dua tawaran ini!
  1. Firman Allah SWT juga:
    {Berlumba-lumbalah kamu (mengerjakan amal-amal yang baik) untuk mendapat keampunan dari Tuhan kamu, dan mendapat Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasul-Nya; yang demikian ialah limpah kurnia Allah, diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya; dan Allah sememangnya mempunyai limpah kurnia yang besar.} (Al-Hadiid 57:21)
  1. Allah juga menyatakan syurga itu disediakan kepada orang yang bertaqwa iaitu mereka;
    i- Menjalankan segala perintah Allah

    ii- Meninggalkan segala larangan Allah. 
  1. Ia juga menunjukkan bahawa syurga itu sudah ada tersedi bagi orang bertaqwa.

AYAT 134- {IAITU ORANG-ORANG YANG MENDERMAKAN HARTANYA PADA MASA SENANG DAN SUSAH, DAN ORANG-ORANG YANG MENAHAN KEMARAHANNYA, DAN ORANG-ORANG YANG MEMAAFKAN KESALAHAN ORANG. DAN (INGATLAH), ALLAH MENGASIHI ORANG-ORANG YANG BERBUAT PERKARA-PERKARA YANG BAIK;} (ALI-‘IMRAN 3:134)

  1. Munasabah ayat:
    i- Allah nyatakan dalam ayat sebelum ini tentang syurga yang disediakan untuk orang yang bertaqwa. 
    Maka siapakah & bagaimanakah sifat orang yang bertaqwa ini?
  1. Ciri-ciri orang bertaqwa yang disifatkan dalam ayat ini ialah: 
    i- Sifat pertama, orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah.
    Derma & sedekah pula pada jalan Allah & kebaikan bukan pada jalan maksiat & kerosakan.

    ii- Mereka ini ketika dia senang dia infaq, ketika susah pun dia infaq juga. Bukan tunggu kaya saja baru nak sedekah nak infaq. Ikut kemampuan dan peluang.

    iii- Hadis : 1 dirham mendahului 100k dirham:
    قال رسول الله – صلى الله عليه وآله وسلم -:” سبق درهم مائة ألف” قالوا : يا رسول الله، كيف يسبق درهم مائة ألف؟ قال: “رجل له درهمان فأخذ أحدهما فتصدق به، وآخر له مال – كثير فأخذ من عرضها مائة ألف”- رواه أحمد
    Sabda Rasulullah SAW : Satu dirham telah mendahului seratus ribu dirham. Sahabat meminta penjelasan: “Wahai Rasulullah, bagaimana satu dirham itu boleh mendahului seratus ribu dirham?” Nabi SAW bersabda: “Seorang lelaki hanya ada dua dirham, lalu dia bersedekah dengan salah satu dirhamnya. Dan seorang lagi punya harta yang banyak lalu diambil dari gudang hartanya 100, 000 dirham.” [HR Ahmad]

    Pengajaran :- Yakni yang dilihat ialah kualiti bukan kuantiti semata. Yakni walaupun sedikit, sedekahnya itu telah mengambil sebahagian besar daripada jumlah harta yang dimilikinya!

    iv- Kata ahli motivasi : Bersedekahlah sehingga kamu jadi kaya! Jangan tunggu kaya baru nak sedekah! Kerana mati itu tidak tahu bila datang!

    Inspirasi & motivasi kepada AAM semasa berada di Madinah dengan melihat sifat dermawan & pemurah syeikh-syeikh yang kaya- membantu para pelajar asing yang memerlukan! 
    Lalu berazam untuk infaq juga, menolong & menggalakkan orang untuk infaq- buka pintu seluasnya untuk memudahkan cara orang nak infaq kepada saluran yang telah terbukti benar.
    Alhamdulillah Allah tunaikan hajat kita & kita cuba realisasikannya sedikit demi sedikit. 
    Mereka juga banyak mengeluarkan risalah-risalah (pamphlet) tentang solat jemaah, sedekah dan lain-lain yang diedarkan secara percuma kepada orang ramai.
    Kerana itu antara perkara utama yang dibuat sekembalinya ke Malaysia ialah mencetak pamphlet kecil begini dengan pelbagai tajuk untuk diagihkan kepada masyarakat!
    Pamphlet ini juga boleh didapati secara online dalam blog Abu Anas.
    Semoga Allah terus beri taufiq kepada kita untuk sentiasa berusaha mencari peluang untuk beribadat, bersedekah & berinfaq terutamanya pada 10 malam terakhir Ramadhan ini!
  1. Sifat kedua, ialah orang-orang yang menahan kemarahannya sedangkan dia mampu untuk marah.
    i- Inilah sifat yang amat susah untuk dikawal. Ketika mendidih & mengelegak darah, kita masih boleh sabar, tidak mengeluarkan perkataan buruk apatah lagi perbuatan kasar.

    ii- Siapakah orang yang sabar sebenarnya?
    Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA : Sabda Rasulullah SAW:
    أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: «لَيْسَ الشَّدِيدُ بِالصُّرَعَةِ، إِنَّمَا الشَّدِيدُ الَّذِي يَمْلِكُ نَفْسَهُ عِنْدَ الغَضَبِ»
    Maksudnya: Orang kuat itu bukanlah orang yang kuat bergusti, akan tetapi orang kuat adalah orang yang dapat menahan dirinya ketika marah. [HR Bukhari (6114) & Muslim]

    Yakni bukan lepas perasaan marah & meletup dulu baru kata dia sabar. 
    Tak keluar dari mulutnya perkataan buruk dan tak baik.

    iii- Orang yang dapat menahan marah ini menunjukkan satu sikap yang kuat dalam jiwanya! Kerana itu Allah SWT menjanjikan balasan syurga yang seluas langit & bumi untuknya!
  1. Sifat yang ketiga : ialah orang-orang yang memaafkan kesalahan orang.
    i- Maaf & tak ambil tindakan ke atas kesalahan orang itu. Memaafkan dengan ikhlas dan melupakan kesalahan itu tanpa mengungkit dan menyebut-nyebutnya selalu!

    ii- Tetapi ingat selagi dia tidak melanggar hak Allah! 
    Apabila dia langar hak Allah kita mesti tegas! Di depan kita dia buat dosa, maksiat & mungkar, wajib kita tegur & marah terutamanya orang di bawah jagaan kita seperti anak isteri & rakyat!! 

    iii- Kerana itulah antara hikmat doa yang diajar oleh Rasulullah SAW ini yang terbaik: اللهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ- تُحِبُّ الْعَفْوَ – فَاعْفُ عَنَّا
    Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Pengampun dan amat suka akan pengampunan, maka ampunilah kami.”

    Ini kerana makna (عَفُوٌّ) ialah maaf dengan lupa, padamkan, hilangkan & hapuskan kesalahan itu! Bukan setakat ampun atau maaf saja.

    iv- Kisah seorang ulama’ Salaf : Suatu hari ketika nak marah kepada hambanya dia angkat tangan nak pukul, lalu si hamba itu membaca ayat Al-Quran ini:
    {Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang.}.
    Mendengarnya dia terus memaafkan hambanya itu lalu dia juga mahu menjadi orang pemurah lalu terus memerdekaan hambanya!
  1. Allah tutup ayat ini dengan firman-Nya: { Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik- (ٱلْمُحْسِنِينَ)}.
    Ini kerana orang yang mempunyai sifat-sifat yang disebut dalam ayat ini adalah mereka yang termasuk dalam golongan muhsinin, iaitu orang suka buat perkara baik! 
    Ya Allah jadikan kami daripada golongan orang yang muhsin!

AYAT 135- {DAN JUGA ORANG-ORANG YANG APABILA MELAKUKAN PERBUATAN KEJI, ATAU MENGANIAYA DIRI SENDIRI, MEREKA SEGERA INGAT KEPADA ALLAH LALU MEMOHON AMPUN AKAN DOSA MEREKA – DAN SEMEMANGNYA TIDAK ADA YANG MENGAMPUNKAN DOSA-DOSA MELAINKAN ALLAH -, DAN MEREKA JUGA TIDAK MENERUSKAN PERBUATAN KEJI YANG MEREKA TELAH LAKUKAN ITU, SEDANG MEREKA MENGETAHUI (AKAN SALAHNYA DAN AKIBATNYA).} (ALI-‘IMRAN 3:135)

  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat sebelumnya Allah sebut tiga sifat orang yang bertaqwa; sedekah, pemaaf & tahan marah. Tiga sifat ini adalah hubungan dengan sesama manusia (حبل من الناس).

    ii- Maka dalam ayat ini adalah sifat tentang hubungan manusia dengan Tuhan (حبل من الله).
  1. Maka Allah nyatakan sifat orang yang bertaqwa itu ada dua kategori: 
    i- Orang yang melakukan ketaatan seperti sedekah, pemaaf & tahan marah.

    ii- Kategori kedua ialah ayat kita ini, iaitu orang yang berdosa tetapi apabila sedar & insaf dia terus beristighfar & bertaubat.
  1. Sifat berikutnya ialah:
    i- Apabila berbuat keji {فَـٰحِشَةً}- dosa & keburukan maksiat- apabila dia ingat kepada Allah & sedar akan dosanya lalu mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka, terus bertaubat! Jangan putus harap kepada Allah! 

    ii- Dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah.
  1. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq RA beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
    مَا مِنْ عَبْدٍ يُذْنِبُ ذَنْبًا فَيُحْسِنُ الطُّهُورَ ثُمَّ يَقُومُ فَيُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ ثُمَّ يَسْتَغْفِرُ اللَّهَ إِلاَّ غَفَرَ اللَّهُ لَهُ ‏ثُمَّ قَرَأَ هَذِهِ الآيَةَ ‏‏ وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّهَ ‏ إِلَى آخِرِ الآيَةِ
    Maksudnya: Tidak ada seorang hamba yang melakukan satu dosa, lalu dia memperelokkan dalam bersuci dan dia kemudiannya bangun lalu mengerjakan solat dua rakaat dan memohon keampunan kepada Allah melainkan Allah akan mengampunkan dosanya. Kemudian Baginda SAW membaca ayat ini: {وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّهَ} Maksudnya: Dan mereka yang apabila melakukan satu dosa atau menzalimi diri mereka kemudian mereka mengingati Allah. [Surah Ali-‘Imran: 135]. [HR Abu Dawud (1521)].
  1. Sifat yang kelima ialah:
    i- Mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu setelah mereka mengetahui akan salahnya dan akibatnya.

    ii- Yakni selepas bertaubat tak buat lagi- bertaubat bersungguh-sungguh dengan taubat nasuha- bukan taubat ulu golok- sudah taubat ada niat nak buat pula! 
    Jika berkait dengan hak manusia kena pulangkan balik & minta maaf dari tuannya!
  1. Maka mereka yang bersifat demikian Allah nyatakan balasannya dalam ayat berikut ini.

AYAT 136- {ORANG-ORANG YANG DEMIKIAN SIFATNYA, BALASANNYA IALAH KEAMPUNAN DARI TUHAN MEREKA, DAN SYURGA-SYURGA YANG MENGALIR DI BAWAHNYA BEBERAPA SUNGAI, MEREKA KEKAL DI DALAMNYA; DAN YANG DEMIKIAN ITULAH SEBAIK-BAIK BALASAN (BAGI) ORANG-ORANG YANG BERAMAL.} (ALI-‘IMRAN 3:136)

  1. Munasabahnya; apabila Allah sebut 5 sifat dalam ayat sebelumnya- maka dalam ayat ini Allah bawa pula alasannya.
    Iaitu balasan bagi mereka bersifat demikian ialah:
    i- Balasannya ialah keampunan dari Tuhan mereka,

    ii- Dan Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai,

    iii- Mereka kekal di dalamnya;
  1. Yang demikian itulah sebaik-baik balasan bagi orang-orang yang beramal.
    Ya Allah jadikan kami, pasangan dan anak-anak kami serta semua orang yang kami sayangi termasuk dalam golongan ini! 

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 133- {Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu,}-

    Kata ulama’ ayat in membawa maksudnya wajib bagi setiap orang beriman untuk bersegera:
    i- Mengerjakan amal-amal yang baik

    ii- Juga bersegera untuk mendapat keampunan dari Tuhan.
    Kata ulama’ tasauf : Inilah kaedah kosongkan dan bersihkan dulu sebelum isi dengan benda baik! التحلية قبل التخلية 
    Maksudnya kita bersihkan & kosongkan dulu rekod kita dengan bertaubat kepada Allah kemudian kita isikannya dengan amal-amal yang baik untuk mendapatkan balasan syurga! 
    Jadi bila kita dapat keampunan kita jauh daripada neraka, bil akita dapat rahmat kita dapat balasan syurga.
  1. Ayat 134- {Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah,}-

    Orang yang suka bersedekah, sentiasa infaq ini ialah orang yang besar jiwanya kerana susah untuk melakukannya.
    Maka Allah beri galakan untuk kita bersedekah sama ada ketika senang atau ketika susah! Orang yang susah boleh sedekah adalah sesuatu yang luar biasa & amat mulia,
    Kata ulama’ : Allah bawa sifat orang mutaqqin dalam ayat ini untuk lawan sifat pengambil riba yang cintakan dunia!
    Dalam ayat sebelum ini kita bincangkan tentang sedekah secara sembunyi & secara zahir. Iaitu jika sedekah sunat elok sembunyikan tetapi yang wajib elok zahirkan untuk beri galakan orang lain buat juga seperti zakat.
  1. Ayat 134- {dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang.}-

    Sifat yang besar dan mulia juga adalah menahan marah! Menahan marah ini bukan saja tak marah: Dia mampu untuk marah tetapi dia tak marah & dia boleh maafkan.
    Tapi kita hanya tak marah & boleh maafkan kesalahan sesama manusia saja; tetapi jika berkait dengan hak Allah wajib kita marah dan larang jika mampu!

    Kata Imam Ghazali RHM : Marah bukan pada tempatnya itu adalah orang yang bodoh! Marah pada tempat yang kita kena marah itu namanya dayyus dan penakut!
  1. Ayat 135- {Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka}-

    Orang yang berdosa sentiasalah banyakkan beristighfar, terus bertaubat kepada Allah serta meninggalkan dan menjauhi segala perbuatan buruk, berazam tak akan buat lagi.
    Begitulah sifat orang muttaqin jika tersalah. Dia cepat sedar dan insaf, lalu terus istighfar & bertaubat kepada Allah!
  1. Ayat 135- {dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah.}-

    Tiada siapa yang boleh ampunkan dosa orang kecuali Allah! 
    Dosa dengan Allah kena minta dengan Allah, dosa sesama manusia boleh kita maafkan dan memang kena minta maaf kepada mereka. 
    Sifat muttaqin juga : Jangan kekal berterusan dalam dosa & maksiat, bila kita tahu kita bersalah terus istighfar dan memohon ampun kepada Allah, meninggalkan terus perbuatan itu.
    Ya Allah semoga kita semua termasuk dalam golongan muttaqin ini yang bersifat dengan semua sifat yang Engkau nyatakan dalam ayat ini serta layak mendapat keampunan Allah lalu layak ke syurga-Mu! Semoga Kita Bertemu LAILATUL QADR.

Petikan catatan ringkas Dr ARAR :

Al-AFUW العفو : Jika seseorang telah sabit melakukan jenayah, ianya akan direkodkan dalam fail peribadinya.
Boleh jadi ianya DITUTUP, tidak dibuka untuk selama-selamanya. 
Boleh jadi ianya DIPADAMKAN dan DIHAPUSKAN sehingga tidak lagi ditemui sama sekali.

Aaisyah Radhiyallahu anha bertanya kepada Rasulullah shallallahu alaihi wa sallam يا رسولَ اللهِ أرأيتَ إن وافقتُ ليلةَ القدرِ ما أدعو؟
“Wahai Rasulullah, apa pendapatmu jika aku bertembung dengan Lailatulqadar, apakah doa yang aku sebutkan?” Rasulullah shallallahu alaihi wa sallam bersabda: “Sebutkanlah اللهمَّ إنك عفوٌ تحبُّ العفوَ فاعفُ عني Ya Allah, engkau adalah AFUWWUN. Engkau sukakan kemaafan. Maka, maafkanlah kami.” [Sunan Ibnu Majah – Shahih]

Allah ta’ala adalah AL-AFUW, iaitu zat memadamkan (menghapuskan) dosa dan melepaskan daripada kesalahan dan kesan buruk dosa.
Ada ulama menyebutkan rahsia pemilihan perkataan العفو dalam doa tersebut.
Beliau berkata yang bermaksud : “Makna AL-AFUW dekat dengan makna Al-GHAFUR. Namun, makna AL-AFUW lebih MENDALAM
Ini kerana Al-GHAFUR menunjukkan kepada makna DITUTUP dosa. Manakala, AL-AFUW menunjukkan kepada makna DIPADAMKAN (DIHAPUSKAN dosa). DIPADAM dan DIHAPUSKAN sesuatu adalah LEBIH MENDALAM MAKNANYA daripada hanya sekadar DITUTUP“. 

Banyakkanlah ucapan ini pada malam 10 terakhir daripada bulan Ramadhan. 
Mudah-mudahan Allah ta’ala memadamkan dan menghapuskan segala dosa kita.
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu Al-Quran.
Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs