View Categories

Surah Ali-‘Imran : Ayat 137-141

IBRAH KEBINASAAN UMAT KAFIR, AL-QURAN SUMBER PENJELASAN & SABAR DALAM PERJUANGAN.

Full video : https://youtu.be/dU2p-tbEY5Y?si=t91feDJk1eHN3gMp

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir bagi ayat 137 sehingga 141, surah Ali-‘Imran iaitu surah yang ketiga, dalam juzu’ yang keempat.
    Ayat kita hari ini ini masih lagi kesinambungan kisah perang Uhud. 
    Dalam Uhud 70 lebih juga tentera Islam telah syahid dan luka-luka. 
    Termasuk syahidnya sahabat yang besar seperti bapa saudara Nabi SAW, singa Allah Sayyidina Hamzah bin Abdul Muttalib, Mus’ab bin Umair, Abdullah bin Jahsy, Hanzalah dan lain-lain RAnhum ajma’in.
  1. Maka datang ayat ini menenangkan hati jika kamu orang Islam tewas & gugur, ingat dan ambillah ibrah daripada kebinasaan umat kafir, mereka juga telah kalah & binasa.
  1. Allah nyatakan bahawa Al-Quran adalah sumber penjelasan yang muktamad dalam agama ini, dikembarkan bersama dengan Sunnah Rasulullah SAW.
  1. Allah juga mengingatkan orang beriman agar sabar dalam perjuangan. Jika kamu susah, kamu sakit & diuji- ingatlah dalam Badar 70 orang Quraisy gugur & begitulah Sunnah kehidupan ada pasang surut & turun naiknya, menang kalah, sihat segar dan seumpamanya.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT menyatakan tentang peperangan Uhud dan apa ujian yang Allah beri ke atas orang mukmin dengan ramai yang mati, luka, sakit serta lain-lain ujian yang menimpa mereka.

    ii- Maka dalam ayat ini pula Allah datangkan untuk memberi takziah & menenangkan hati orang mukmin. 
    Betapa umat terdahulu juga telah ditimpa ujian begini : Peperangan itu silih berganti pasti akan ada menang & kalah. 
    Telah menjadi kebiasaan atas dunia ini : Kita tidak akan sentiasa menang juga tidak akan sentiasa kalah! 
    Maka kamu sabarlah, Uhud kamu diuji dengan kematian syahid yang ramai tetapi di Badar kamu telah diberi kemenangan besar!
  1. Dua isu dari siri yang lepas:
    i- Dalam ayat yang lepas dinyatakan bahawa Allah sediakan syurga itu ialah seluas langit & bumi. 
    Maka timbul persoalan berapakah pula lebar & panjangnya? 
    Luas adalah panjang kali lebar, maka ulama’ kata panjangnya adalah sama dengan lebarnya- yakni seolah satu persegi tepat!
    Nombor atau keluasan yang tepat; hanya Allah yang tahu- ini adalah satu persoalan yang tidak terjawab, wallahu a’lam.
    Boleh lihat Tafsir Ibnu Kathir r.h.m dan lain-lain tafsir yang membincangkan masalah ini.

    ii- Allah sebut antara sifat orang bertaqwa ialah memaafkan kesalahan orang lain serta dapat menahan kemarahan. 
    Tetapi ada orang yang sombong walaupun telah diminta maaf dengan ikhlas berkali-kali dengan sombong menjawab: Tidak akan maafkan kamu, tunggulah perbicaraan di Akhirat kelak! 
    Orang minta maaf asyik suruh tunggu nanti di depan Tuhan! 
    Apakah dia ingat senang perbicaraan di hadapan Allah di Akhirat kelak? 
    Kita mengharapakan Allah ampun & maafkan kita tetapi kita sendiri sombong tidak mahu memaafkan sesama manusia. 
    Ini seolah kita memilih untuk menempuh jalan sukar bagi mendapat kemaafan Allah. 
    Apatah lagi jika ia di antara pasangan suami isteri yang begitu rapat & istimewa hubungannya.

    Hadis Nabi SAW:
    عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رضي الله عنه، عن رَسُولَ اللَّهِ صلّى الله عليه وسلّم قَالَ: مَا نَقَصَتْ صَدَقَةٌ مِنْ مَالٍ، وَمَا زادَ اللهُ عَبْداً بعَفْوٍ إِلاَّ عِزّاً، وَمَا تَوَاضَعَ أحَدٌ للهِ إِلاَّ رَفَعَهُ اللهُ. رواه مسلم وغيره
    Dari Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Tidaklah sedekah itu mengurangi harta, dan tidaklah Allah menambah bagi seorang hamba dengan pemberian maafnya (kepada saudaranya,) kecuali kemuliaan (di dunia dan akhirat), serta tidaklah seseorang merendahkan diri kerana Allah kecuali Dia akan meninggikan (derajat)nya (di dunia dan akhirat).” [HR Muslim].

    Maka nasihat kita sempena tadabbur ayat ini, pada bulan Ramadhan yang mulia ini: Buanglah sifat ego, runtuhkan kesombongan, maafkan kesalahan orang lain, bermaaf-maafan sesama kita, mudah-mudahan Allah maaf & ampunkan kesalahan kita di Akhirat kelak. 

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 137- {SESUNGGUHNYA TELAH BERLAKU SEBELUM KAMU (CONTOH KEJADIAN-KEJADIAN BERDASARKAN) PERATURAN-PERATURAN ALLAH YANG TETAP; OLEH ITU MENGEMBARALAH KAMU DI MUKA BUMI, KEMUDIAN PERHATIKANLAH BAGAIMANA AKIBAT ORANG-ORANG YANG MENDUSTAKAN (RASUL-RASUL).} (ALI-‘IMRAN 3:137)

  1. Allah suruh lihat apa yang telah berlaku kepada contoh & kejadian yang telah berlaku sebelum ini! 
    Maka Allah kata berjalanlah kamu, mengembara atas muka bumi ini dengan kaki & hati. 
    Biar ada kesan & ibrahnya dalam jiwa.
  1. Kamu tengok, kamu berfikirlah kepada kesan yang telah menimpa umat-umat terdahulu yang telah dibinasakan akibat mereka menderhaka kepada Allah & mendustakan para rasul.
  1. Kata-kata hikmah :
    Berjalan mengembara kepada Allah dengan hati; mengembara kepada manusia dengan kaki. 
    Barulah ada kesan dalam jiwa.

AYAT 138- {(AL-QURAN) INI IALAH PENERANGAN KEPADA SELURUH UMAT MANUSIA, DAN PETUNJUK SERTA PENGAJARAN BAGI ORANG-ORANG YANG (HENDAK) BERTAQWA.} (ALI-‘IMRAN 3:138)

  1. Al-Quran yang mulia ini dan ayat-ayat yang besar telah menjelaskan kepada kita yang haq & yang batil. 
  1. Mendedahkan kepada kita hakikat sebenar yang membezakan antara ahli ibadat yang bahagia & ahli derhaka yang celaka.
  1. Sifat Al-Quran juga sebagai petunjuk, pembimbing yang memandu dan mendorong manusia kepada jalan yang benar & memberi amaran akan jalan yang salah. 
    Ia juga membimbing orang-orang yang bertaqwa cara mendapat keredhaan Allah untuk menjadi lebih bertaqwa.
  1. Ia juga menyatakan sifat yang baik & yang buruk- keduanya ada! 
    Ia juga memberi peringatan, amaran agar jangan terjebak dengan perkara yang mungkar dapat mengundang kemurkaan Allah SWT!

AYAT 139- {DAN JANGANLAH KAMU MERASA LEMAH (DALAM PERJUANGAN MEMPERTAHAN DAN MENEGAKKAN ISLAM), DAN JANGANLAH KAMU BERDUKACITA (TERHADAP APA YANG AKAN MENIMPA KAMU), PADAHAL KAMULAH ORANG-ORANG YANG TERTINGGI (MENGATASI MUSUH DENGAN MENCAPAI KEMENANGAN) JIKA KAMU ORANG-ORANG YANG (SUNGGUH-SUNGGUH) BERIMAN.} (ALI-‘IMRAN 3:139)

  1. Janganlah kamu lemah dalam perjuangan mempertahankan Islam. 
    Apabila kamu ditimpa ujian, jangan lemah jangan dukacita, jalan terus dalam perjuangan mempertahan & menegakkan Islam. 
    Jika dalam Uhud kamu tewas, ingatlah dalam Badar kamu telah menang.
  1. Allah juga mengingatkan orang Islam bahawa mereka adalah orang yang tertinggi, yang terpilih untuk mengatasi musuh dan mengalahkan orang kafir dengan kemenangan!
  1. Tetapi kemenangan & pertolongan dari Allah ini ianya bersyarat. 
    Iaitu jika kamu beriman, bertaqwa, bersabar ikut arahan, kamu akan jadi orang yang tinggi & menang! 
    Yakni faktor kemenangan sudah ada dengan kita iaitu sabar dan taqwa tetapi kita tidak gunanya atau salah letaknya maka kita akan tewas!
  1. Munasabah ayat ini dengan ayat sebelumnya:
    i- Orang atau umat terdahulu telah melalui bermacam peristiwa. 
    Kesusahan & ujian telah ditimpakan ke atas mereka. 
    Kemudian Allah nyatakan Al-Quran telah ceritakan tentang kisah mereka kepada kamu!

    ii- Kemudian datang ayat ini, Allah tenangkan hati orang mukmin; kamu jangan sedih & dukacita- kamu juga boleh mendapat kemenangan. 
    Tetapi kerana beberapa sebab kesilapan teknikal Allah uji kamu! 
    Dalam peperangan; serangan & pertahanan ini (attack & defense) kena ada dua-dua. 
    Ada waktu kita serang, ada waktu kita bertahan menerima serangan orang.  
  1. Kerana itu Allah kata jangan rasa lemah & goyah untuk meneruskan perjuangan & keluar berjihad! 
    Kekalahanan atau kemenangan bersilih ganti bukan bukan semestinya akan kalah selama-lamanya. Ia hanya sebagai ujian bagi kamu.
  1. Yang penting kamu yang tertinggi  {وَأَنتُمُ ٱلْأَعْلَوْنَ} dan kamu ada sebab untuk menang iaitu dengan sabar dan taqwa. 
    Jangan goyah dan terus lemah kerana kalah sekali-sekala.
  1. Ayat ini ditafsirkan juga dengan firman Allah ini:
    i- {(Apabila kamu telah mengetahui bahawa orang-orang kafir itu dihampakan amalnya dan diseksa oleh Allah) maka janganlah kamu (wahai orang-orang yang beriman) merasa lemah dan mengajak (musuh yang menceroboh) untuk berdamai, padahal kamulah orang-orang yang tertinggi keadaannya, lagi pula Allah bersama-sama kamu (untuk membela kamu mencapai kemenangan), dan Ia tidak sekali-kali akan mengurangi (pahala) amal-amal kamu.} (Muhammad 47:35) 

    ii- {Dan janganlah kamu lemah (hilang semangat) dalam memburu musuh (yang menceroboh) itu; kerana kalau kamu menderita sakit (luka atau mati) maka sesungguhnya mereka pun menderita sakitnya seperti penderitaan kamu; sedang kamu mengharapkan dari Allah apa yang mereka tidak harapkan (iaitu balasan yang baik pada hari akhirat kelak). Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.} (An-Nisaa’ 4:104)

AYAT 140- {JIKA KAMU (DALAM PEPERANGAN UHUD) MENDAPAT LUKA (TERCEDERA), MAKA SESUNGGUHNYA KAUM (MUSYRIK YANG MENCEROBOHI KAMU) ITU TELAH (TERCEDERA JUGA DAN) MENDAAPAT LUKA YANG SAMA (DALAM PEPERANGAN BADAR). DAN DEMIKIAN ITULAH KEADAAN HARI-HARI (DUNIA INI DENGAN PERISTIWA-PERISTIWA KEMENANGAN ATAU KEKALAHAN), KAMI GILIRKAN DIA ANTARA SESAMA MANUSIA, (SUPAYA MENJADI PENGAJARAN) DAN SUPAYA NYATA APA YANG DIKETAHUI ALLAH TENTANG ORANG-ORANG YANG TETAP BERIMAN (DAN YANG SEBALIKNYA), DAN JUGA SUPAYA ALLAH MENJADIKAN SEBAHAGIAN DI ANTARA KAMU ORANG-ORANG YANG MATI SYAHID. DAN (INGATLAH), ALLAH TIDAK SUKA KEPADA ORANG-ORANG YANG ZALIM.} (ALI-‘IMRAN 3:140)

  1. Allah beri peringatan juga jika kamu berasa sedih & dukacita kerana kamu telah kalah, terluka & cedera dalam Ghazwah Uhud- ingatlah tentera musyrik sebelum ini juga telah mendapat kecederaan & luka begini juga semasa dalam Ghazwah Badar!
  1. Golongan Islam menang di Badar, orang musyrikin menang di Uhud secara umumnya walaupun mereka menang sepenuhnya kerana mereka tak dapat tawan Madinah.
    Jumlah yang terkorban juga hampir sama itu dalam lingkungan 70 orang.  
    Ini kerana Allah mahu orang Islam ambil ibrah & pengajaran, supaya jangan sedap hati, jangan rasa selesa, kena sentiasa bersedia.
  1. Kerana itu apabila panglima Quraisy ketika itu, Abu Sufyan melihat mayat-mayat orang Islam bergelimpangan; dia naik ke atas bukit dan berseru dengan suara yang keras: 
    “Apakah di kalangan kaum kamu ada Ibnu Abi Kabsyah?” Yang dimaksudkan ialah Nabi SAW. Baginda SAW meminta para sahabat tidak menjawab sehingga seruan diutarakan sebanyak tiga kali. Kemudian kedengaran Abu Sufyan bertanya lagi: “Apakah di kalangan kamu Ibnu Quhafah?” Yang dimaksudkan ialah Saidina Abu Bakar RA. Rasulullah SAW juga meminta para sahabat tidak menjawab. Kemudian Abu Sufyan bertanya lagi: “Apakah di kalangan kamu ada Ibnu al-Khatab?” Yang dimaksudkan ialah Saidina Umar RA. Rasulullah saw juga meminta para sahabat supaya tidak menjawab seruan itu. Lalu Abu Sufyan berkata: “Sungguh mereka telah mati terbunuh. Maka seandainya mereka masih hidup, niscaya mereka menjawab.” Saidina Umar RA bangkit dan menjawab: “Dustalah kamu wahai seteru Allah! Mudah-mudahan Allah mengekalkan atas kamu barang yang menghinakan kamu!” Abu Sufyan menyambut: “Menanglah (agama) Hubal! Mulialah (agama) Hubal!” Hubal-nama berhala mereka. Mendengarkan yang demikian, Rasulullah SAW meminta Saidina Umar RA menjawab: “Allah yang Maha Mulia dan Maha Tinggi! Tidak ada selain-Nya.” Abu Sufyan menyahut: “Bagi kami ada Uzza (berhala juga) dan bagi kamu tidak ada Uzza.” Nabi SAW bersabda kepada Saidina Umar RA: “Katakanlah oleh kamu: Allah penolong kami, dan tidak ada penolong bagi kamu!” Abu Sufyan berkata: “Hari ini dengan hari (perang) Badar, dan perang itu berganti-ganti.” Bermaksud peperangan Uhud adalah balasan dari peperangan Badar. Saidina Umar RA menyahut dengan keras: “Tidak sama! Kematian kami dalam syurga dan kematian kamu dalam neraka.” [HR Bukhari].
  1. Dialog dalam hadis ini menunjukkan jika musuh mengejek buat provokasi dalam bab pribadi boleh diam saja, orang hina kita, buat fitnah kepada kita biarlah, hanya Allah yang akan membalasnya!
    Tetapi jika agama dihina, disentuh tentang Aqidah, orang Islam tidak boleh diam wajib kita bangkit menjawab & melawan!
  1. Ingatlah kita mesti bertegas- tiada toleransi dalam bab agama, jangan kerana nak jaga hati member yang bukan Islam- kita sanggup luka & guriskan hati sesama orang beriman! 
  1. Allah berfirman lagi bahawa demikian hari-hari atas dunia ini dengan kemenangan atau kekalahan yang akan bersilih-ganti dan digilirkan dia antara sesama manusia.
    Dalam peperangan Badar orang Islam telah menang dengan dapat membunuh 70 orang kafir Quraisy manakala 70 lagi telah menjadi tawanan perang.
    Sebaliknya dalam peperangan Uhud orang Islam tidak berjaya menapai kemenangan besar bahkan 70 tentera Islam telah mati syahid!
  1. Ini supaya menjadi pengajaran kepada orang beriman dan kerana Allah nak zahirkan tentang siapakah yang tetap beriman dan yang sebaliknya.
    Allah sudah tahu cuma Dia nak zahirkan kepada umum!
  1. Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati Syahid.
    Orang yang mati syahid dalam pertempuran fi-sabilillah itu adalah satu kemuliaan dan anugerah kepada mereka! 
  1. Terdapat banyak hadis Rasulullah SAW yang menunjukkan akan pahala yang besar & tinggi kelebihan mati syahid ini:
    i- Firman Allah SWT:
    {Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki;} [Ali-‘Imran: 139].

    ii- Para sahabat telah bertanya kepada Rasulullah SAW tentang perihal keadaan orang yang mati syahid:
    قَالَ: أَمَا إِنَّا قَدْ سَأَلْنَا عَنْ ذَلِكَ، فَقَالَ: أَرْوَاحُهُمْ فِي جَوْفِ طَيْرٍ خُضْرٍ، لَهَا قَنَادِيلُ مُعَلَّقَةٌ بِالْعَرْشِ، تَسْرَحُ مِنَ الْجَنَّةِ حَيْثُ شَاءَتْ، ثُمَّ تَأْوِي إِلَى تِلْكَ الْقَنَادِيلِ، فَاطَّلَعَ إِلَيْهِمْ رَبُّهُمُ اطِّلَاعَةً، فَقَالَ: هَلْ تَشْتَهُونَ شَيْئًا؟ قَالُوا: أَيَّ شَيْءٍ نَشْتَهِي وَنَحْنُ نَسْرَحُ مِنَ الْجَنَّةِ حَيْثُ شِئْنَا، فَفَعَلَ ذَلِكَ بِهِمْ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ، فَلَمَّا رَأَوْا أَنَّهُمْ لَنْ يُتْرَكُوا مِنْ أَنْ يُسْأَلُوا، قَالُوا: يَا رَبِّ، نُرِيدُ أَنْ تَرُدَّ أَرْوَاحَنَا فِي أَجْسَادِنَا حَتَّى نُقْتَلَ فِي سَبِيلِكَ مَرَّةً أُخْرَى، فَلَمَّا رَأَى أَنْ لَيْسَ لَهُمْ حَاجَةٌ تُرِكُوا
    Adapun kami telah bertanya tentang hal ini (kepada Nabi SAW ), lalu Baginda SAW menjawab: “Sesungguhnya roh-roh para syuhada’ itu ada di dalam rongga burung hijau. Baginya ada pelita-pelita yang tergantung di ‘Arash. Mereka bebas keluar dari syurga sebagaimana yang mereka mahu, kemudian mereka (roh-roh oranng yang syahid) menuju ke arah pelita-pelita itu. Kemudian Rabb melihat kepada mereka dengan jelas, lalu Dia bertanya: “Apakah kalian inginkan sesuatu?”. Mereka menjawab: “Apalagi yang kami inginkan sedangkan kami bebas keluar dari syurga dengan semahu-mahu kami?”. Rabb mereka mengizinkan hal itu berlaku kepada mereka sebanyak tiga kali. Tatkala mereka melihat bahawasanya mereka tidak ditinggalkan daripada meminta sesuatu. Mereka berkata, “Wahai Rabb kami! kami ingin Engkau pulangkan semula roh-roh kami ke dalam jasad-jasad kami sehingga kami dibunuh di jalan-Mu sekali lagi. Maka tatkala Dia melihat bahawasanya mereka tidak mempunyai keinginan lagi, maka mereka ditinggalkan”. [HR Muslim (1887)]
  1. Di akhir ayat Allah nyatakan bahawa Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim. Ulama’ kata ia bermaksud orang yang syirik & orang kafir juga munafiq.
    Ini kerana orang yang melakukan syirik ialah yang paling zalim ke atas dirinya sendiri, iaitu zalim dari sudut aqidah.
  1. Dalam peperangan Uhud orang munafiq telah disekat lebih awal lagi daripada menyertai peperangan dalam saringan yang dibuat oleh Rasulullah SAW tengah jalan lagi balik kerana Allah benci terhadapnya.
  1. Oleh kerana orang Islam juga adakalanya terjebak dengan maksiat & dosa maka Allah timpakan ujian ke atas mereka untuk membersihkan mereka daripada dosa-dosa.

AYAT 141- {DAN JUGA SUPAYA ALLAH MEMBERSIHKAN ORANG-ORANG YANG BERIMAN (DARI DOSA-DOSA MEREKA) DAN MEMBINASAKAN ORANG-ORANG YANG KAFIR.} (ALI-‘IMRAN 3:141)

  1. Semua ujian & kesusahan ini kerana Allah nak bersihkan orang mukmin dari dosa-dosa mereka semasa di aats dunia lagi!
  1. Juga kerana Allah nak binasakan orang-orang kafir. 
    Mereka ini menang pun susah; kalah pun susah! 
    Jika menang pun hanya sementara, apabila mati akan ditimpa azab neraka pula!
  1. Orang kafir tetap kafir, kecuali mereka menjadi muslim, mereka adalah saudara kita setelah kembali kepada Islam.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 137- {Sesungguhnya telah berlaku sebelum kamu (contoh kejadian-kejadian berdasarkan) peraturan-peraturan Allah yang tetap; oleh itu mengembaralah kamu di muka bumi }-

    Allah galakkan kita untuk mengembara atas bumi, melihat kepada kesan sejarah umat terdahulu bagi mengutip ibrah, pengajaran dan iktibar!
    Kata ulama’ tadabbur : Al-Quran ini mengikat kita sekarang dengan umat yang terdahulu yang telah tiada juga dengan generasi yang akan datang.
    Untuk masa depan yang cemerlang hendaklah kita ambil ibrah pengajaran daripada kesilapan yang telah dilakukan oleh umat terdahulu yang telah binasa!
    Ayat ini menggalakkan kita untuk ambil iktibar dari orang yang terdahulu. 
    Perhatikan apa yang telah terjadi kepada orang yang beriman & apa akibat pengakhiran orang kafir menderhaka.
    Kata ulama’ : Orang yang cerdik ialah orang yang sentiasa ambil pengajaran dari umat terdahulu & buat perancangan untuk masa depan.

    Hadis: Sabda Nabi ﷺ:
    لاَ تَزُولُ قَدَمَا ابْنِ آدَمَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ عِنْدِ رَبِّهِ حَتَّى يُسْأَلَ عَنْ خَمْسٍ عَنْ عُمْرِهِ فِيمَا أَفْنَاهُ وَعَنْ شَبَابِهِ فِيمَا أَبْلاَهُ وَمَالِهِ مِنْ أَيْنَ اكْتَسَبَهُ وَفِيمَ أَنْفَقَهُ وَمَاذَا عَمِلَ فِيمَا عَلِمَ.
    Maksudnya : Tidak akan berganjak kaki anak Adam di sisi Tuhannya pada hari Kiamat, hingga dia ditanya tentang lima perkara: tentang umurnya untuk apa dia habiskan; tentang masa mudanya untuk apa dia gunakan; tentang hartanya dari mana dia dapatkan; dan kemana dia belanjakan; dan apa sahaja yang telah dia lakukan dari ilmu yang dimilikinya. (HR at-Tirmizi)

    Marilah kita habiskan masa kita dengan beribadat, habiskan harta kita dengan infaq.
  1. Ayat 137- {oleh itu mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana akibat orang-orang yang mendustakan (Rasul-rasul).}-

    Kita nak berjalan bermusafir atas dunia ini mesti kena ada matlamat & tujuan yang benar, yang dapat memberi faedah dunia & Akhirat.
    Mengembara ini berjalan dengan kaki & hadirkan hati, baru dapat pengajaran dan faedah. 
    Jika kita mengembara dengan tujuan yang baik, untuk ambil ibrah & iktibar insya’ Allah ada faedahnya.
    Jika kita pergi saja tak ada faedah maka hanya merugikan masa & wang.

    Sebagaimana hadis dari Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
    لاَ تُشَدُّ الرِّحَالُ إِلَّا إِلَى ثَلاَثَةِ مَسَاجِدَ: المَسْجِدِ الحَرَامِ، وَمَسْجِدِ الرَّسُولِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَمَسْجِدِ الأَقْصَى
    Maksudnya: “Janganlah kamu bersusah payah mengembara (atau bermusafir bagi tujuan ibadah) melainkan pada tiga buah masjid iaitu masjid al-Haram, masjid Rasulullah SAW dan juga masjid al-Aqsa.” [HR al-Bukhari (1189)].
  1. Ayat 138- {(Al-Quran) ini ialah penerangan kepada seluruh umat manusia, dan petunjuk serta pengajaran bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.}-

    Al-Quran ini menjadi penjelasan kepada manusia.
    Jika nak ilmu tentang orang terdahulu & orang yang terkemudian semua ada di dalamnya!
    Kerana itu Allah sifatkan Al-Quran sebagai petunjuk & pengajaran!
    Kita orang yang beriman jangan lari daripada Al-Quran. 
    Semakin banyak kita faham Al-Quran, insya’ Allah semakin tinggi taqwa kita kepada Allah SWT. 
    Makin kuat kita baca & tadabbur Al-Quran, semakin tinggi darjat kita, kuat kefahaman & amalan kita berdasarkan ajaran Al-Quran.
    Bukan hanya sebagai bacaan bertaranum sahaja, dan buat majlis yang tidak sesuai atas nama Al-Quran, bercampur gaul lelaki & perempuan dan sebagainya!
    Jangan sampai Al-Quran menjadi hujjah ke atas kita atau melaknat kita apabila kita baca Al-Quran tetapi tidak beramal dengan ajarannya!
  1. Ayat 139- {dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman.}-

    Dalam ayat ini Allah pesan : Wahai orang beriman, jangan kamu sedih, dukacita & koyak jika kalah sekali-sekala; kerana kamu yang tinggi {وَأَنتُمُ ٱلْأَعْلَوْنَ}.

    Kata ulama’ tadabbur ini menunjukkan : Jika iman kita kuat & mantap; kita tidak akan goyah, tiada stress & dukacita tiada sedih; lawan tetap lawan. Jika kalah hari ini kita terus buat strategi & persediaan untuk lawan lagi pada masa depan!
    Rugilah perjuangan yang tidak berasaskan kepada keimanan kepada Allah SWT, perjuangan bukan kerana agama- kerana kita tidak akan dapat pahala!

    Kata ulama’ lagi : Allah nyatakan dalam ayat ini bahawa umat Islam itu tinggi sebenarnya & kalah-menang itu silih berganti antara manusia.
    Maka di sini Allah SWT ganti ujian ini dengan beberapa perkara ini:
    i- Kerana Allah nak tengok siapa yang benar & siapa yang salah antara orang Islam & orang munafiq.

    ii- Kerana Allah nak beri kemuliaan kepada orang yang diuji itu. Bila mati syahid maka dia mendapat kemuliaan.

    iii- Kerana Allah nak pilih orang yang benar & mantap imannya; kerana mereka ini tidak akan lari daripada perjuangan!

    iv- Allah nak hina orang kafir kerana mereka tidak beriman kepada Allah!
  1. Ayat 140- {Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim.}-

    Allah SWT tidak suka kepada orang yang zalim & Allah bencikan kezaliman.
    Allah ajar & tanamkan dalam jiwa orang mukmin untuk bencikan kezaliman! 
    Apabila kita bencikan kezaliman; orang mukmin sanggup hilang harta, hilang nyawa semata-mata untuk menegakkan keadilan & kebenaran atas muka bumi ini!
    Kadang-kadang apabila Allah tak uji kita tak tau!
    Ada orang berjuang berpuluh-puluh tahun; nakkan keadilan, ketelusan, kedamaian dan seumpamanya! 
    Tetapi malangnya apabila dia dapat kuasa dia lupa akan segala perjuangannya dulu! 
    Kita katakana itulah ujian Allah kepadanya.
    Selagi belum teruji dengan harta & dunia ini kita tak tau setara mana kekuatan kita! 
    Apabila jika Allah uji; hanya Allah jualah yang dapat membantu & menyelamatkan kita.
    Apabila Allah nak beri kepada kita kebaikan; diberinya kita peluang & apabila dapat peluang ini kita ambil dan jangan lepaskannya!

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu Al-Quran. 
Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs