KEDUDUKAN PEJUANG MATI SYAHID, PARA MUJAHADIN & HIDUP PENUH NIKMAT DI SISI ALLAH SWT.
Full video : https://youtu.be/wOcvBEfDu80?si=Rz0PCmPSfn5Wq2Qi
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir bagi ayat 169 sehingga 171, surah Ali-‘Imran iaitu surah yang ketiga, dalam juzu’ yang keempat.
- Dalam siri ini Allah SWT nyatakan kedudukan pejuang yang mati syahid fi-sabilillah. Serta kedudukan para mujahidin yang berjuang fi-sabilillah walaupun mereka tidak mati.
- Allah juga nyatakan bahawa para syuhada’ hidup penuh nikmat di sisi Allah SWT. di alam barzakh.
Ayat ini adalah galakan untuk berjihad, jika mati akan dapat kelebihan yang besar.
- Jangan terpengaruh dengan dakyah munafiq yang meratap menangis, menyesali kematian ramai para syuhada’ Uhud yang dikatanya satu kerugian.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat (168) yang lepas Allah SWT menyatakan tentang perangai & karenah munafiqin yang menyekat orang dari keluar berjihad, mereka kata kalau tak pergi berperang pasti tak mati!
Lalu Allah tolak dia’yah mereka itu dengan mengatakan bahawa semua yang berlaku adalah dengan qadha’ & qadar Allah SWT!
ii- Maka dalam ayat ini pula Allah nyatakan kedudukan sebenar para syuhada’ di sisi Allah untuk menyekat orang mukmin daripada terpengaruh dengan dakyah jahat mereka itu.
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 169- {DAN JANGAN SEKALI-KALI ENGKAU MENYANGKA ORANG-ORANG YANG TERBUNUH (YANG GUGUR SYAHID) PADA JALAN ALLAH ITU MATI, (MEREKA TIDAK MATI) BAHKAN MEREKA ADALAH HIDUP (SECARA ISTIMEWA) DI SISI TUHAN MEREKA DENGAN MENDAPAT REZEKI;} (ALI-‘IMRAN 3:169)
- Ayat ini menceritakan kepada kita tentang kedudukan para syuhada’ yang mati dalam perjuangan fi-sabilillah.
Mereka tidak sama dengan orang yang mati biasa!
Dalam konteks ini mereka yang mati 70 orang dalam Ghazwah Uhud.
- Antara keistimewaan para syuhada’ yang mati dalam peperangan:
i- Jenazah mereka tidak perlu dimandikan, dikafan & tidak disolat.
Mereka akan dikebumikan dengan darah dan luka mereka itu!
Hadis daripada Abu Hurairah RA bahawasanya Rasulullah SAW sabda:
وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لاَ يُكْلَمُ أَحَدٌ فِي سَبِيلِ اللَّهِ، وَاللَّهُ أَعْلَمُ بِمَنْ يُكْلَمُ فِي سَبِيلِهِ إِلَّا جَاءَ يَوْمَ القِيَامَةِ، وَاللَّوْنُ لَوْنُ الدَّمِ، وَالرِّيحُ رِيحُ المِسْكِ
Maksudnya: “Demi Zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, tiada seorang pun yang tercedera ketika berjihad di jalan Allah – dan Allah lebih tahu siapa yang tercedera di jalan-Nya – melainkan dia akan datang pada hari kiamat dan warnanya (luka) warna darah sedangkan baunya ialah bau kasturi.” [HR al-Bukhari (2803)].
ii- Mereka mati atas dunia tetapi hidup dengan istimewanya di sisi Allah SWT dalam penuh kemuliaan, mendapat nikmat anugerah keistimewaan yang besar dari Allah SWT!
Hadis dari Masruq rhm. yang bertanya kepada sahabat, Abdullah bin Mas’ud RA tentang ayat ini:
قَالَ: سَأَلْنَا عَبْدَ اللهِ عَنْ هَذِهِ الْآيَةِ: {وَلَا تَحْسَبَنَّ الَّذِينَ قُتِلُوا فِي سَبِيلِ اللهِ أَمْوَاتًا بَلْ أَحْيَاءٌ عِنْدَ رَبِّهِمْ يُرْزَقُونَ} [آل عمران: 169] قَالَ: أَمَا إِنَّا قَدْ سَأَلْنَا عَنْ ذَلِكَ، فَقَالَ: أَرْوَاحُهُمْ فِي جَوْفِ طَيْرٍ خُضْرٍ، لَهَا قَنَادِيلُ مُعَلَّقَةٌ بِالْعَرْشِ، تَسْرَحُ مِنَ الْجَنَّةِ حَيْثُ شَاءَتْ، ثُمَّ تَأْوِي إِلَى تِلْكَ الْقَنَادِيلِ، فَاطَّلَعَ إِلَيْهِمْ رَبُّهُمُ اطِّلَاعَةً، فَقَالَ: هَلْ تَشْتَهُونَ شَيْئًا؟ قَالُوا: أَيَّ شَيْءٍ نَشْتَهِي وَنَحْنُ نَسْرَحُ مِنَ الْجَنَّةِ حَيْثُ شِئْنَا، فَفَعَلَ ذَلِكَ بِهِمْ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ، فَلَمَّا رَأَوْا أَنَّهُمْ لَنْ يُتْرَكُوا مِنْ أَنْ يُسْأَلُوا، قَالُوا: يَا رَبِّ، نُرِيدُ أَنْ تَرُدَّ أَرْوَاحَنَا فِي أَجْسَادِنَا حَتَّى نُقْتَلَ فِي سَبِيلِكَ مَرَّةً أُخْرَى، فَلَمَّا رَأَى أَنْ لَيْسَ لَهُمْ حَاجَةٌ تُرِكُوا
Maksudnya: “Kami bertanya kepada Abdullah tentang ayat ini: وَلَا تَحْسَبَنَّ الَّذِينَ قُتِلُوا فِي سَبِيلِ اللهِ أَمْوَاتًا بَلْ أَحْيَاءٌ عِنْدَ رَبِّهِمْ يُرْزَقُونَ
Maksudnya: “Dan jangan sekali-kali kamu menyangka bahawa orang-orang yang terbunuh (gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki”. [Ali Imran:169]
Dia menjawab: Adapun kami telah bertanya tentang hal ini (kepada Nabi SAW), lalu Baginda SAW menjawab: “Sesungguhnya roh-roh para syuhada’ itu ada di dalam rongga burung hijau. Baginya ada pelita-pelita yang tergantung di ‘Arasy. Mereka bebas keluar dari syurga sebagaimana yang mereka mahu, kemudian mereka (roh-roh orang yang syahid) menuju ke arah pelita-pelita itu. Kemudian Tuhan melihat kepada mereka dengan jelas, lalu Dia bertanya: “Apakah kamu inginkan sesuatu?” Mereka menjawab: “Apalagi yang kami inginkan sedangkan kami bebas keluar dari syurga dengan semahu-mahu kami?” Tuhan mereka mengizinkan hal itu berlaku kepada mereka sebanyak tiga kali. Tatkala mereka melihat bahawasanya mereka tidak ditinggalkan daripada meminta sesuatu. Mereka berkata, “Wahai Tuhan kami! Kami ingin Engkau pulangkan semula roh-roh kami ke dalam jasad-jasad kami sehingga kami dibunuh di jalan-Mu sekali lagi. Maka tatkala Dia melihat bahawasanya mereka tidak mempunyai keinginan lagi, maka mereka ditinggalkan”. [HR Muslim (1887)]
AYAT 170- { (DAN JUGA) MEREKA BERSUKACITA DENGAN KURNIAAN ALLAH (BALASAN MATI SYAHID) YANG TELAH DILIMPAHKAN KEPADA MEREKA, DAN MEREKA BERGEMBIRA DENGAN BERITA BAIK MENGENAI (SAUDARA-SAUDARANYA) ORANG-ORANG (ISLAM YANG SEDANG BERJUANG), YANG MASIH TINGGAL DI BELAKANG, YANG BELUM (MATI DAN BELUM) SAMPAI KEPADA MEREKA, (IAITU) BAHAWA TIDAK ADA KEBIMBANGAN (DARI BERLAKUNYA KEJADIAN YANG TIDAK BAIK) TERHADAP MEREKA, DAN MEREKA PULA TIDAK AKAN BERDUKACITA.} (ALI-‘IMRAN 3:170)
- Para syuhada’ ini yang telah terbunuh fi-sabilillah mereka hidup di sisi Allah dengan penuh nikmat di sisinya.
Setelah melihat nikmat dari Allah SWT mereka tidak sesal & sedih dengan apa yang telah berlaku & tidak takut dan dukacita dengan apa yang berlaku pula di kemudian hari!
Bahkan mereka amat bergembira menikmati balasan pahala yang Allah limpahkan ke atas mereka!
- Mereka juga menerima berita baik tentang sahabat-sahabat mereka yang sedang berjuang di bumi- lalu mereka bergembira dengan khabar itu kerana jika sahabat mereka itu juga terbunuh, mereka akan sertai mereka dalam nikmat anugerah & rahmat Allah yang besar itu!
- Mereka juga tidak bimbang akan nasib anak-isteri dan kaum keluarga yang ditinggalkan atas dunia kerana mereka tahu Allah akan jaga & beri ganjaran pahala atas kesabaran mereka.
Serta akan dapat syafaat dengan syahidnya mereka juga!
- Maka orang yang masih hidup jangan layan, abaikan, jangan terpengaruh dan terpedaya dengan dakyah, provokosi dan sangkaan buruk para munafiqin!
Ini kerana mereka sebenarnya tidak beriman, hanya mengaku beriman!
AYAT 171- {MEREKA BERGEMBIRA DENGAN BALASAN NIKMAT DARI ALLAH DAN LIMPAH KURNIANYA; DAN (INGATLAH), BAHAWA ALLAH TIDAK MENGHILANGKAN PAHALA ORANG-ORANG YANG BERIMAN.} (ALI-‘IMRAN 3:171)
- Allah nyatakan lagi betapa para syuhada’ itu bergembira dengan balasan nikmat dari Allah dan limpah kurnia-Nya yang besar.
- Serta bergembiralah dengan khabar bahawa pahala orang yang beriman tidak akan hilang! Akan sampai kepada kita dengan limpah kurnia Allah SWT!
- Sama ada kita mati syahid atau tidak, pahala perbuatan baik kita semasa hidup di dunia akan sampai kepada kita dengan limpah kurnia Allah SWT!
- Beberapa hadis tentang kelebihan mati syahid:
i- Daripada al-Miqdam RA berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لِلشَّهِيدِ عِنْدَ اللَّهِ سِتُّ خِصَالٍ: يُغْفَرُ لَهُ فِي أَوَّلِ دَفْعَةٍ، وَيَرَى مَقْعَدَهُ مِنَ الجَنَّةِ، وَيُجَارُ مِنْ عَذَابِ القَبْرِ، وَيَأْمَنُ مِنَ الفَزَعِ الأَكْبَرِ، وَيُوضَعُ عَلَى رَأْسِهِ تَاجُ الوَقَارِ، اليَاقُوتَةُ مِنْهَا خَيْرٌ مِنَ الدُّنْيَا وَمَا فِيهَا، وَيُزَوَّجُ اثْنَتَيْنِ وَسَبْعِينَ زَوْجَةً مِنَ الحُورِ العِينِ، وَيُشَفَّعُ فِي سَبْعِينَ مِنْ أَقَارِبِهِ
Maksudnya: “Orang yang mati syahid di sisi Allah SWT mempunyai enam keutamaan:- Diampunkan dosanya ketika darahnya tertumpah untuk pertama kalinya (pertempuran),
- Diperlihatkan tempatnya di dalam Syurga,
- Diselamatkan daripada azab kubur,
- Diberi ketenangan daripada ketakutan ketika dibangkitkan dari kubur,
- Diletakkan di atas kepalanya makhkota daripada permata yang mana permata itu lebih baik daripada dunia dan isinya,
- Dikahwinkan dengan 72 isteri daripada bidadari
- Dan diberi hak untuk memberi syafaat kepada 70 orang daripada ahli keluarganya”. [HR at-Tirmizi (1663)- sahih]
- ii- Rasulullah SAW bersabda: يُغْفَرُ لِلشَّهِيدِ كُلُّ ذَنْبٍ إلَّا الدَّيْنَ
Maksudnya: Diampunkan semua dosa bagi orang yang terkorban mati syahid kecuali jika ia mempunyai hutang (kepada manusia). [HR Muslim: (1886)]
Hutang wajib dibayar kerana dia adalah hak manusia lain, tidak akan gugur kewajipannya walaupun mati syahid!
Antara kepincangan yang berlaku dalam masyarakat hari ini; hutang dengan orang masih banyak & tidak bayar tetapi dia dengan senang hati pergi ke Makkah.
Kata cerdik-pandai : Sesungguhnya bumi tidak akan mensucikan seseorang!
Duduklah di Makkah atau Madinah 100 tahun pun; tetapi jika tidak berubah, tidak betaubat, hutang orang tidak bayar, tetap tidak mahu tutup aurat dan sebagainya tetap tidak terampun dosa dengan sendiri!
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 169- {Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati,}-
Kata ulama’ tadabbur: Ayat ini mensabitkan bahawa nikmat (juga azab) di dalam kubur atau di alam barzakh itu wujud.
Di manakah alam barzakh?
Iaitu alam bagi orang yang sudah mati menunggu Kiamat.
Ia tidak kekal- seolah satu alam transit sebelum kita ke alam Akhirat selepas Kiamat nanti!
Allah nafikan mati di sini kematian bukan bermakna tidak mati- sudah mati nyawanya sudah keluar daripada jasad mereka; tetapi bukan mati seperti orang biasa, satu kematian yang amat istimewa di sisi Allah SWT, mati syahid dalam peperangan yang mendapat pahala & keistimewaan, kelebihan & pengampunan besar dari Allah SWT!
Mereka tidak perlu kepada syafaat orang lain seperti solat jenazah yang ada doa di dalamnya!
Kerana itu untuk solat jenazah kita kena ikhlas- kerana ia adalah syafaat- untuk kita tolong si mati dengan doa orang ramai!
- Ayat 169- (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki;}-
Yakni mereka hidup di sisi Allah {عِندَ رَبِّهِمْ}- bukan hidup atas dunia seperti manusia lain.
Ini adalah kelebihan orang mati syahid, mereka hidup di sisi Allah dengan menikmati rezeki-Nya, kehidupan yang lebih sempurna, lebih istimewa daripada kehidupan dunia.
Walaupun jasad mereka hancur luka koyak rabak, daging mereka hancur, tulang mereka patah-retak; tetapi mereka mendapat kebahagiaan hakiki di sisi Allah SWT di alam barzakh.
Inilah kehidupan alam ghaib yang kita tidak tahu tentangnya kecuali apa yang diceritakan Allah SWT & Rasul-Nya.
Maka jangan kita berlebih-lebih pula dalam menakwilnya!
- Ayat 170- {(Dan juga) mereka bersukacita dengan kurniaan Allah (balasan mati Syahid) yang telah dilimpahkan kepada mereka,}-
Mereka bergembira {فَرِحِينَ} dengan apa yang Allah anugerahkan kepada mereka.
Ini menunjukkan orang yang mati syahid itu ada perasaan, gembira, sukacita dan menikmati kehidupan mereka.
Apabila Allah bertanya kepada mereka apa lagi yang mereka mahu?
Mereka menjawab tidak mahu apa-apa lagi, sudah cukup kesemuanya yang Allah beri.
Apabila Allah tanya lagi sebanyak tiga kali mereka jawab mahu kembali hidup ke dunia untuk berjaung fi-sabilillah & mati syahid sekali lagi!
Allahu Akbar! Mereka bergembira dengan nikmat yang Allah anugerahkan kepada mereka.
Kata ulama’ : Masuk dalam syurga itu dengan limpah kurnia Allah, bukan semata-mata kerana amalan seseorang.
Jika Allah nak, Allah boleh hisab mereka; tetapi Allah masukkan mereka ke dalam syurga lebih awal lagi, mereka bergantungan di Arasy sebagaimana dalam hadis yang panjang di atas tadi!
- Ayat 171- {Mereka bergembira dengan balasan nikmat dari Allah dan limpah kurniaNya;}-
Kata ulama’: Semua nikmat kita sandarkan & kembalikan kepada Pemberinya.
Yang beri nikmat kepada kita ini adalah Allah!
Kita tidak ada apa-apa, kita hidup atas dunia ini hanya bergantung harap semata-mata kepada rezeki & nikmat Allah SWT.
Kita masuk syurga juga dengan nikmat kurnia anugerah Allah SWT!
Kerana itu apabila besar nikmat; Allah sandarkan kepada diri-Nya; {يَسْتَبْشِرُونَ بِنِعْمَةٍۢ مِّنَ ٱللَّهِ} .
Kita dapat nikmat dan masuk syurga semuanya kerana & dengan nikmat daripada Allah SWT!
Jika Tuhan tak bagi nikmat kita tidak akan dapat.
Kerana itu Rasulullah SAW bersabda bahawa antara tanda kita bersyukur nikmat ialah apabila kita makan; kita kata alhamdulillah, apabila kita minum; kita kata alhamdulillah.
Apa saja nikmat yang kita terima kita kata dengan mulut dan syukur kan dengan anggota.
Zahirkannya dengan perbuatan iaitu apabila kita kenyang jangan pula tidur sehingga tak solat subuh!
Kita gunakan kesan nikmat itu untuk kebaikan seperti buat amal ibadat, bantu orang susah, buat kebaikan, tolong menolong dan sebagainya.
Kerana itu Allah beri kepada kita nikmat daripada kurniaan Allah SWT, apabila besar nikmat kita sandarkan terus kepada Allah SWT bukan kepada yang lain.
Maka jangan sombong, bukan kita manusia yang memberi nikmat kepada orang lain- kita hanya penggunanya juga!
Allah SWT Pemberi segala nikmat ini yang sebenarnya!
- Ayat 171- {Mereka bergembira dengan balasan nikmat dari Allah dan limpah kurniaNya; dan (ingatlah), bahawa Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang beriman.}-
Allah SWT tidak akan menghilangkan pahala orang mukmin, ianya tersimpan di sisi Allah swt.
Kerana itu dalam beribadat kita kena ikhlas dalam segala perkataan & perbuatan kita!
Kata Imam al-Fudhail bin Iyad rhm, syarat qabul ibadat itu ada dua:
i- Ikhlas kerana Allah SWT
ii- Bertepatan dengan ajaran Sunnah Nabi SAW.
Itu yang kita bimbangkan hari zaman selfie & viral.
Buat ibadat, solat & berdoa pun tunjukkan kepada seluruh dunia!
Sekarang ini trend berdoa secara live untuk orang yang menitipkannya.
Sedangkan antara doa yang mustajab adalah doa seseorang kepada saudaranya dengan rahsia, tanpa pengetahuan orang tersebut.
Kita bimbang takut sia-sia pahala kita kerana kita gopoh untuk mendapatkan pujian manusia; sehingga kita terlupa yang beri pahala & pujian sebenar adalah dari Allah SWT.
Marilah kita ikhlaskan amalan kita semata-mata kerana Allah.
Allah SWT tidak akan hampakan & sia-siakan pahala kepada amalan yang kita buat sekiranya kita ikhlas, tidak riya’ & tidak mengungkitnya!
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.