View Categories

Surah Ali-‘Imran : Ayat 172-176

MUJAHIDIN YANG SETIA, TIDAK GENTAR DENGAN UGUTAN & GANGGUAN SYAITAN TIDAK BERKESAN.

Full video : https://youtu.be/0r9Roq1vLF8?si=T6-rFX4p4e3hunCb

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir bagi ayat 172 sehingga 176, surah Ali-‘Imran iaitu surah yang ketiga, dalam juzu’ yang keempat.
  1. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan keadaan para Mujahidin yang setia berkhidmat, lawan tetap lawan!
  1. Mereka ikhlas dalam perjuangan mereka kerana Allah, tidak gentar dengan ugutan & apabila dimomokkan dengan kekuatan musuh, mereka hanya berkata: (حَسْبُنَا ٱللَّهُ وَنِعْمَ ٱلْوَكِيلُ)-
    “Cukuplah Allah untuk (menolong) kami, dan Ia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadaNya segala urusan kami)”.
  1. Begitu juga gangguan syaitan tidak berkesan ke atas mereka, bahkan bertambah mantap iman & semangat jihad mereka.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT mencela kedudukan puak munafiqin yang lari balik dari peperangan Uhud. 
    Mereka tidak ditimpa musibah kerana mereka tiada dalam peperangan.  
    Juga pujian Allah terhadap mujahidin yang berperang pada jalan Allah serta mereka mati syahid setelah diberi keampunan setelah kesilapan teknikal yang berlaku.

    ii- Maka dalam ayat ini pula Allah nyatakan ada pengikut setia Rasulullah SAW yang tidak lari. Apabila Nabi SAW panggil saja terus mereka pergi kepada Baginda.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 172- {IAITU ORANG-ORANG YANG MENJUNJUNG PERINTAH ALLAH DAN RASULNYA (SUPAYA KELUAR MENENTANG MUSUH YANG MENCEROBOH), SESUDAH MEREKA MENDAPAT LUKA (TERCEDERA DI MEDAN PERANG UHUD). UNTUK ORANG-ORANG YANG TELAH BERBUAT BAIK DI ANTARA MEREKA DAN YANG BERTAQWA, ADA BALASAN YANG AMAT BESAR.} (ALI-‘IMRAN 3:172)

  1. Orang-orang yang menjawab perintah Allah dan rasul-Nya ketika mereka diajak untuk pergi ke medan perang di jalan Allah dan berperang melawan orang-orang musyrik dalam perang Hamra’ al-Asad yang terjadi selepas perang Uhud.
  1. Mereka ada yang cedera, mengalami luka-luka dalam perang Uhud, tetapi hal itu tidak menghalang mereka untuk menjawab seruan jihad dari Allah dan Rasul-Nya.
  1. Maka Allah nyatakan bagi orang-orang yang berbuat baik dalam amal perbuatan mereka dan bertakwa kepada Allah dengan menjalankan perintah-perintah-Nya dan menjauhi larangan-larangan-Nya itu ada ganjaran yang sangat besar dari Allah, iaitu Syurga.
  1. Sabab nuzul ayat ini:
    i- Hadis Diriwayatkan dari Ibnu Abbas bahawa ketika kaum musyrikin pulang dari perang Uhud, mereka singgah di Rauha’ dan berkata sesama mereka: “Mengapa kamu mahu balik? Sedangkan kamu tidak bunuh Muhammad, dan merampas tawanan Madinah? Alangkah buruknya perbuatan itu, pulanglah kamu kembali!” Hal itu terdengar oleh Rasulullah SAW., Baginda juga curiga jika tentera Abu Sufyan kembali menyerang mereka! Lalu Baginda pun menyiapkan pasukan yang menyambut baik seruannya. Kemudian mereka mengejar kaum musyrikin hingga sampai ke Hamra’ al Asad atau Bi’ru Abi ‘Utbah. Maka turunlah ayat tersebut di atas (Ali ‘Imraan: 172) sebagai pujian atas sambutan para sahabat. [HR At-Tabarani & an-Nasaei].

    ii- Diriwayatkan dari UM Aisyah RA apabila ditanya oleh Urwah tentang ayat 172 ini, ia berkata kepada ‘Urwah: Wahai anak saudaraku, ketika itu dua orang bapamu termasuk dari mereka, iaitu az-Zubair dan Abu Bakar rhm. Ketika Rasulullah mendapatkan kekalahan di perang Uhud, kemudian orang-orang musyrik meninggalkan Uhud kerana takut kaum muslimin akan kembali.” Rasulullah bertanya: “Siapa yang mengejar hendak mereka?” Maka 70 orang bersukarela untuk mengejar mereka. Rasulullah bersabda: “Di antara mereka terdapat Abu Bakar dan az-Zubair.” [Sahih Bukhari 7/432 no. 4077, kitab peperangan-peperangan Rasulullah, bab {الالذين استجابوا لله والرسول…}).

AYAT 173- {MEREKA JUGA IALAH YANG DIBERITAHU OLEH ORANG-ORANG (PEMBAWA BERITA) KEPADA MEREKA: “BAHAWA KAUM (KAFIR MUSYRIK) TELAH MENGUMPULKAN TENTERA UNTUK MEMERANGI KAMU, OLEH ITU HENDAKLAH KAMU GERUN KEPADANYA”. MAKA BERITA ITU MAKIN MENAMBAHKAN IMAN MEREKA LALU BERKATA: “CUKUPLAH ALLAH UNTUK (MENOLONG) KAMI, DAN IA SEBAIK-BAIK PENGURUS (YANG TERSERAH KEPADANYA SEGALA URUSAN KAMI)”.} (ALI-‘IMRAN 3:173)

  1. Cerita ini pula tentang peperangan Badar as-Sughra (Badar kali kedua). 
    Badar ialah nama sebuah tempat- jaraknya dengan Madinah hari ini ialah lebih kurang 150km. 
  1. Perang pertama dalam Islam yang berlaku ialah di sini iaitu Ghazwah Badar al-Kubra (yang besar). 
    Sebagaimana dalam ayat yang lepas di mana Rasulullah SAW dan tentera muslimin telah mendapat kemenangan yang besar, 70 pemuka Quraisy terbunuh & 70 ditawan.
  1. Dalam hadis ada dinyatakan bahawa Abu Sufyan pernah berkata kepada Nabi SAW sekembalinya dari peperangan Uhud: 
    “Kita akan bertemu sekali lagi tahun depan & hidupmu akan berakhir di di Badar, tempat kawan-kawanku dulu terbunuh (pada perang Badar yang lalu).” 
    Rasulullah SAW bukan seorang yang penakut & Baginda menjawabnya: Insya’ Allah! 
  1. Maka setahun telah berlalu selepas janji itu, maka pada bulan Sya’ban tahun ke-4 H bersamaan dengan Januari 626M, Rasulullah SAW pun keluar dari Madinah untuk memenuhi janjinya itu bersama dengan 1500 tentera dan 10 ekor kuda perang dengan Ali bin Abi Talib RA sebagai pembawa bendera perangnya. 
    Mereka pun tiba di Badar & menunggu kedatangan tentera Quraisy.
  1. Abu Sufyan juga keluar membawa 2000 orang tentera musyrikin Makkah & 50 ekor kuda. 
    Tetapi dia keluar dengan berat hati & takut akan kesan peperangan dengan tentera Islam. Hatinya penuh ketakutan & kegerunan!
  1. Lalu apabila tiba di Marr az-Zahran (sekarang dipanggil Jamum atau Jumum- dalam 20km lebih dari Makkah) Abu Sufyan cari alasan untuk tidak meneruskan perjalanan, batalkan perjanjian untuk berperang dan berpatah balik ke Makkah! 
  1. Rasulullah SAW & para sahabat tidak tahu hal ini bahkan apabila datang seseorang kepada mereka sambil berkata:
    “Sesungguhnya manusia telah mengumpulkan pasukan untuk menyerangmu, mereka bertekad untuk menghancurkan kamu”, sebagai suatu ancaman untuk menakuti dan menggentarkan mereka tentera Islam. 
  1. Akan tetapi khabar itu tidaklah menambah ketakutan bagi mereka kecuali menambah iman kepada Allah dan bertawakal kepada-Nya dan mereka menjawab: (حَسْبُنَا ٱللَّهُ وَنِعْمَ ٱلْوَكِيلُ)- 
    “Cukuplah Allah untuk (menolong) kami, dan Ia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadaNya segala urusan kami)”.
  1. Hadis: Kelebihan ucapan (حَسْبُنَا ٱللَّهُ وَنِعْمَ ٱلْوَكِيلُ)-
    “Cukuplah Allah untuk (menolong) kami, dan Ia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadaNya segala urusan kami)”:
    i- Dari Abdullah bin Abbas RA: Hasbunallah wa ni’mal wakil (حَسْبُنَا ٱللَّهُ وَنِعْمَ ٱلْوَكِيلُ) adalah ucapan Ibrahim AS ketika di lemparkan ke api. Juga diucapkan oleh Nabi SAW ketika orang-orang kafir berkata; “Sesungguhnya manusia telah mengumpulkan pasukan untuk menyerang kamu, kerana itu takutlah kepada mereka”, maka perkataan itu menambah keimanan mereka dan mereka menjawab: (حَسْبُنَا ٱللَّهُ وَنِعْمَ ٱلْوَكِيلُ)- “Cukuplah Allah menjadi Penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik Pelindung.” [HR Bukhari].

    Yakni lagi kuat amcaman & gertakan. Makin bertambah keimanan, kekuatan & semangat juang!

    ii- Dari Abu Said al-khudri RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
    “Bagaimana kamu hidup senang bernikmat-nikmat sementara malaikat peniup sangkakala telah meletakkan mulutnya di terompet, dan telah menundukkan dahinya, menunggu diperintah untuk meniup?”Para sahabat bertanya, “Bagaimana ucapan kita wahai Rasulullah?” Baginda SAW bersabda: “Katakanlah: (حَسْبُنَا ٱللَّهُ وَنِعْمَ ٱلْوَكِيلُ)-“Cukuplah Allah untuk (menolong) kami, dan Ia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadaNya segala urusan kami)”. (توكلنا على الله) kami bertawakkal kepada Allah Tuhan kami.” (HR. Ahmad dalam Musnad No.10616, at-Tirmizi No.3166).
  1. Ini menunjukkan kekuatan & kemantapan iman Rasulullah SAW & para sahabatnya! Makin kuat tekanan & ancaman; makin bertambah keimanan & pergantungan mereka kepada Allah SWT!

AYAT 174- {SETELAH (PERGI MENGEJAR MUSUH), MEREKA KEMBALI DENGAN MENDAPAT NIKMAT DAN LIMPAH KURNIA DARI ALLAH, MEREKA TIDAK DISENTUH OLEH SESUATU BENCANA PUN, SERTA MEREKA PULA MENURUT KEREDAAN ALLAH. DAN INGATLAH), ALLAH MEMPUNYAI LIMPAH KURNIA YANG AMAT BESAR.} (ALI-‘IMRAN 3:174)

  1. Apabila selesai peperangan Uhud, kemudian Rasulullah & sahabat mengejar tentera Quraisy sehingga ke Hamra’ al-Asad (8hb Syawwal)- dapati Quraisy telah tiada, maka Rasulullah SAW & para sahabat pun kembali ke Madinah dengan selamat.
  1. Dengan nikmat Allah mereka kembali ke Madinah dengan aman tanpa disentuh apa-apa bencana, boleh meneruskan kehidupan normal semula, berniaga & keluar membuat perancangan! 
    Para pedagang juga telah ke Madinah kembali seperti tidak ada apa-apa yang berlaku, alhamdulillah.
  1. Maka takutlah kepada Allah dan ikutlah arahan Rasulullah SAW, jangan ulangi lagi kesilapan yang berlaku di Uhud dulu. 
    Kamu telah membayarnya dengan harga yang tinggi- kehilangan 70 orang sahabat di medan Uhud. 
  1. Jangan langgar perintah Allah & rasul-Nya, dengan itu kamu akan mendapat keredhaan Allah & dan ingatlah Allah mempunyai limpah kurnia yang amat besar, memberi kepada kamu keamanan & ketenangan.

AYAT 175- {SESUNGGUHNYA (PEMBAWA BERITA) YANG DEMIKIAN ITU IALAH SYAITAN YANG (BERTUJUAN) MENAKUT-NAKUTKAN (KAMU TERHADAP) PENGIKUT-PENGIKUTNYA (KAUM KAFIR MUSYRIK). OLEH ITU, JANGANLAH KAMU TAKUT KEPADA MEREKA, TETAPI TAKUTLAH KEPADAKU (JANGAN CUAIKAN PERINTAHKU), JIKA BETUL KAMU ORANG-ORANG YANG BERIMAN.} (ALI-‘IMRAN 3:175)

  1. Allah nyatakan bahawa pembawa berita begitu yang membawa diayah & berita buruk itu adalah syaitan yang mahu menakut-nakutkan orang Islam kepada kafir musyrik! 
    Maka jangan takut kepada mereka tetapi tkutlah kepada Allah SWT! 
  1. Munasabah ayat:
    i- Sesiapa yang ikut arahan Rasulullah SAW semuanya Allah akan beri selamat.

    ii- Maka Allah SWT ingatkan di sini jangan kamu mudah terpedaya & terpengaruh dengan bisikan & dakyah syaitan (samada syaitan jin atau manusia) yang bertujuan menakut-nakutkan kamu terhadap pengikut-pengikutnya iaitu kaum kafir musyrik.
  1. Dalam perjuangan Islam ini kita jangan mudah koyak & jangan mudah lari; jika tidak kita akan menjadi orang yang rugi! 

AYAT 176- {DAN JANGANLAH ENGKAU BERDUKACITA (WAHAI MUHAMMAD), DISEBABKAN ORANG-ORANG YANG SEGERA MENCEBURKAN DIRI DALAM KEKUFURAN; KERANA SESUNGGUHNYA MEREKA TIDAK SEKALI-KALI AKAN DAPAT MENDATANGKAN MUDARAT KEPADA ALLAH SEDIKITPUN. ALLAH MENETAPKAN TIDAK MEMBERI KEPADA MEREKA (BALASAN BAIK SYURGA) PADA HARI AKHIRAT KELAK, DAN MEREKA PULA BEROLEH AZAB SEKSA YANG AMAT BESAR.} (ALI-‘IMRAN 3:176)

  1. Allah menasihati Rasulullah SAW agar jangan dukacita & takut kepada orang kafir kerana mereka sesekali tidak akan dapat memberi apa-apa mudharat tanpa izin Allah.
  1. Munasabah ayat:
    i- Allah SWT puji orang yang cepat mengikut ajakan & arahan Rasulullah SAW. Juga pesanan Allah SWT agar jangan takut & ikut arahan syaitan!

    ii- Maka dalam ayat ini Allah SWT cela mereka yang cepat sangat mengikut ajakan & godaan syaitan tanpa memikirkan akibatnya iaitu puak munafiq yang menjadi duri dalam daging, gunting dalam lipatan & api dalam sekam!
  1. Maka Allah SWT mengarahkan Rasulullah SAW agar jangan dukacita dengan perbuatan puak munafiq ini yang cepat sangat menjadi pengikut syaitan! 
    Malangnya umat Islam hari ini ada juga mudah terpengaruh & mengikut budaya & gaya orang kafir!
  1. Jika mereka dapat apa saja kemenanngan, habuan, kesenangan atas dunia ini, jangan kamu bimbang kerana mereka tidak ada apa-apa kebaikan di Akhirat kelak! 
    Mereka tidak ada bahagian di kelak!
  1. Dunia ini adalah syurga bagi orang kafir kerana mereka tidak akan dapat syurga di Akhirat. 
    Bagi orang mukmin pula dunia ini seumpama penjara- kerana jika susah pun tetapi sabar & tabah- akan dapat pahala juga kerana kita mahukan syurga yang kekal abadi di Akhirat kelak! Insya’ Allah! 
    Tetapi ramai juga orang Islam yang mendapat dua-dua kebaikan di dunia & Akhirat.
    Inilah yang kita perlu doa & pinta selalu dari Allah SWT! 

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 172- {Iaitu orang-orang yang menjunjung perintah Allah dan RasulNya (supaya keluar menentang musuh yang menceroboh),..}-

    Iaitu orang-orang yang cepat menyahut seruan & perintah Allah & Rasulullah SAW!
    Kata ulama’ : Ayat ini menunjukkan tidak sempurna iman orang yang hanya mahu menjunjung perintah Allah saja tanpa menurut perintah & arahan Rasulullah SAW! 
    Sebagaimana pegangan geng anti hadis yang hanya mahu ikut perintah Allah & mengenepikan hadis-hadis Rasulullah SAW! 
    Mereka ini telah menlanggar kedua-dua perintah Allah & Rasulullah SAW ini. 
    Ini kerana Allah telah perintahkan untuk ikut & turut perintah Rasulullah SAW tetapi mereka ingkarinya!
  1. Ayat 172- {Iaitu orang-orang yang menjunjung perintah Allah dan RasulNya (supaya keluar menentang musuh yang menceroboh), sesudah mereka mendapat luka (tercedera di medan perang Uhud).}-

    Para sahabat ini masih dalam keadaan luka-parah, masih sakit & cedera akibat dari peperangan Uhud ketika Rasulullah SAW ajak mereka untuk mengejar tentera Quraisy.
    Lalu Allah puji mereka & gambarkan betapa mereka ini segera bangun menyahut seruan & ajakan itu tanpa berdolak-alih dan buat alasan! 
    Musibah yang menimpa itulah yang menjadi batu ujian. Kayu ukur untuk mengenali para pejuang yang sebenar! 
    Jika para sahabat Nabi SAW ini bukan orang hebat, bukan dari kalangan manusia yang terpilih; pasti tidak akan ada orang yang akan ikut Rasulullah SAW pada hari itu!
    Kita sebagai para mujahid & pendakwah jangan mudah lemah, jangan mudah koyak! 
    Perkara yang simple dan boleh diatasi jangan kita jadikan alasan untuk menyekat tugas & janji kita dengan orang!
  1. Ayat 173- { Maka berita itu makin menambahkan iman mereka lalu berkata: “Cukuplah Allah untuk (menolong) kami, dan Ia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadaNya segala urusan kami)”.}-

    Kata-kata ini adalah satu kata-kata yang amat mantap – sebagaimana contoh yang ditunjukkan oleh para sahabat Rasulullah SAW- makin kuat tekanan & ancaman, makin mantap iman & kuat semangat mereka! 
    Kerana itulah kata ulama’ : Iman kita ini boleh meningkat & berkurang! 
    Apabila kita kuat beribadat, iman kita akan bertambah manakala jika kurang ibadat kita maka pastilah iman juga akan malap & lemah! 
    Kerana itu ibadat mesti kuat agar iman kita sentiasa bertambah!
  1. Ayat 174- {Setelah (pergi mengejar musuh), mereka kembali dengan mendapat nikmat dan limpah kurnia dari Allah, mereka tidak disentuh oleh sesuatu bencana pun,}-

    Allah kata baliklah kamu dengan limpah kurnia dari Allah SWT dalam keadaan aman & selamat dari sebarang bencana!
    Kata ulama’ tadabbur : Kemenangan itu samada secara fizikal atau moral terletak kepada tawakkal kepada Allah!
    Maka Abu Sufyan tidak berjaya untuk gertak apatah lagi untuk mengalahkan para sahabat Rasulullah SAW ini! 
    Lagi kuat diayah & provokasi dibuat lagi kuat semangan juang mereka! 
    Sebagaimana mereka yang balik menghadapi jem dengan niat untuk menyambung silaturrahim & ukhuwwah, dengan ibu bapa & keluarga, kita berdoa insya’ Allah akan mendapat pahala di sisi Allah SWT!
  1. Ayat 174- {Setelah (pergi mengejar musuh), mereka kembali dengan mendapat nikmat dan limpah kurnia dari Allah, mereka tidak disentuh oleh sesuatu bencana pun,}-

    Baliklah dengan nikmat & anugerah Allah SWT! 
    Ayat ini menjadi dalil bahawa perkara yang baik apabila kita sudah niat nak buatnya tetapi tidak berjaya menyiap atau menyudahkannya- tetap akan dapat pahala.
    Sebagaimana Rasulullah SAW & para sahabat keluar dua kali untuk mengejar Abu Sufyan selepas Ghazwah Uhud, maka mereka tetap mendapat pahala jihad fi-sabilillah walaupun tiada pertempuran.

    Kata pendakwah : Pejuang Islam ini samada kita menang dengan pertolongan Allah atau gugur syahid! 
    Jika kalah atau tak syahid sekalipun; kita tetap akan mendapat pahala di sisi Allah SWT!
    Di akhir ayat Allah kata orang kafir tidak akan dapat balasan baik syurga pada hari akhirat kelak, bahkan mereka peroleh azab seksa yang amat besar.
    Tetapi orang mukmin ini kadang-kadang akan dapat kedua-duanya- di dunia pun senang & di Akhirat juga menjadi ahli syurga!
    Tetapi jika tak dapat dunia sekalipun kita tetap akan dapat di Akhirat insya’ Allah, biarlah kita susah di dunia, hina d dunia tetapi kita akan mendapat kejayaan di Akhirat!  

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs