HIKMAH DILEWATKAN HUKUMAN KE ATAS KAFIR, UJIAN MEMISAHKAN IMAN DAN KUFUR & BAKHIL SIFAT KEJI.
Full video : https://youtu.be/GsQAITfQ0bE?si=-MM3In64IpCQ8bDP
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir bagi ayat 177 sehingga 180, surah Ali-‘Imran iaitu surah yang ketiga, dalam juzu’ yang keempat.
- Dalam ayat-ayat ini Allah SWT nyatakan hikmah dilewatkan hukuman ke atas kafir, penderhaka & orang yang zalim.
Sedangkan boleh saja Allah jatuhkan hukum terus ke atasnya!
Diceritakan dalam kitab tafsir : Nabi Musa AS telah berdoa selama 40 tahun sebelum Allah kabulkan & jatuhkan hukuman ke atas Firaun.
- Apabila Allah SWT letakkan ujian, maka itulah yang memisahkan iman dan kufur, mukmin & munafiq, orang yang ikhlas & yang berpura, orang baik & jahat!
Kesan ujian itu akan terserlah sifat sebenar manusia.
- Kemudian Allah nyatakan satu sifat buruk yang ada pada manusia iaitu bakhil sifat keji. Bakhil tak mahu sedekah, infaq dan untuk fi-sabilillah.
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 177- {SESUNGGUHNYA ORANG-ORANG YANG MEMBELI (MEMILIH) KUFUR DENGAN MENINGGALKAN IMAN TIDAK SEKALI-KALI MEREKA AKAN DAPAT MENDATANGKAN MUDARAT KEPADA ALLAH SEDIKITPUN, DAN MEREKA PULA BEROLEH AZAB SEKSA YANG TIDAK TERPERI SAKITNYA.} (ALI-‘IMRAN 3:177)
- Ayat ini menjelaskan kepada kita bahawa antara iman & kufur- ada manusia yang memilih untuk menjadi kafir!
Perbuatan derhaka mereka itu tidak akan sekali-kali memberi kemudharatan & kesan apa-apa kepada Allah!
- Tetapi kesan itu adalah ke atas dirinya sendiri; keburukan & kerugian yang akan menimpanya!
Rugi di dunia dan di Akhirat kelak pula akan mendapat azab neraka yang tidak terperi sakitnya!
Bala akan naik ke atas kepalanya sendiri!
- Bukan seperti kita sesama manusia yang perlukan penyokong, rakyat atau pendokong untuk meneruskan agenda atau kekuasaan.
Sedangkan Allah SWT adalah Pencipta kita yang buat semua hukum & arahan itu semata-mata untuk beri pahala kepada kita!
AYAT 178- {DAN JANGAN SEKALI-KALI ORANG-ORANG KAFIR MENYANGKA BAHAWA KAMI MEMBIARKAN (MEREKA HIDUP LAMA) ITU BAIK BAGI DIRI MEREKA; KERANA SESUNGGUHNYA KAMI BIARKAN MEREKA HANYALAH SUPAYA MEREKA BERTAMBAH DOSA (DI DUNIA), DAN MEREKA PULA BEROLEH AZAB SEKSA YANG MENGHINA (DI AKHIRAT KELAK).} (ALI-‘IMRAN 3:178)
- Wahai Nabi SAW dan orang beriman;
Jangan kamu sangka Allah biarkan orang kafir itu panjang umur adalah satu kebaikan bagi mereka atau kerana Allah sayang kepada mereka!
- Tidaklah Allah panjangkan umur mereka orang kafir kecuali supaya bertambah kekufuran & dosa mereka.
Maka akan bertambah dosa bermakna akan bertambah balasan azab mereka di Akhirat kelak!
Maka lebih baik cepat matilah bagi mereka!
- Manakala bagi orang beriman pula:
Lagi panjang umur lagi baik kerana bertambah amal soleh, ibadat kebajikannya maka akan bertambah pahala kebaikannya dan balasan nikmatnya.
- Hadis- Sabda Rasulullah SAW:
طُوبَى لِمَنْ طَالَ عُمْرُهُ، وَحَسُنَ عَمَلُهُ
“Beruntunglah bagi mereka yang dipanjangkan usianya dan (semakin) baik amalannya.“ [HR Imam Ahmad & at-Tirmizi].
- Allah biarkan mereka orang hidup senang, kaya-raya atas dunia ini kerana sebagaimana yang kita telah sebut dalam siri yang lepas; dunia ini adalah syurga bagi orang kafir & penjara bagi orang mukmin!
Mereka bebas lakukan apa saja mungkin hanya terikat dengan undang-undang ciptaan manusia juga atas dunia ini!
- Allah tunda dan tangguhkan ajal serta balasan atas mereka atas dunia ini untuk menambakan keburukan & dosa mereka!
Lalu bagi mereka azab yang hina & dahsyat di Akhirat kelak!
AYAT 179- {ALLAH TIDAK SEKALI-KALI AKAN MEMBIARKAN ORANG-ORANG YANG BERIMAN DALAM KEADAAN YANG KAMU ADA SEORANG (BERCAMPUR ADUK MUKMIN DAN MUNAFIK, BAHKAN IA TETAP MENGUJI KAMU) SEHINGGA IA MEMISAHKAN YANG BURUK (MUNAFIK) DARIPADA YANG BAIK (BERIMAN). DAN ALLAH TIDAK SEKALI-KALI AKAN MEMPERLIHATKAN KEPADA KAMU PERKARA-PERKARA YANG GHAIB AKAN TETAPI ALLAH MEMILIH DARI RASULNYA SESIAPA YANG DIKEHENDAKINYA (UNTUK MEMPERLIHATKAN KEPADANYA PERKARA-PERKARA YANG GHAIB). OLEH ITU BERIMANLAH KAMU KEPADA ALLAH DAN RASUL-RASULNYA; DAN KAMU BERIMAN DAN BERTAQWA, MAKA KAMU AKAN BEROLEH PAHALA YANG BESAR.} (ALI-‘IMRAN 3:179)
- Allah akan pisahkan antara orang yang mukmin & orang munafiq, antara orang yang istiqomah dalam perjuangan & mereka yang lari darinya!
Allah tidak akan biarkan kamu bercampur-aduk dalam keadaan itu!
- Allah akan bawa ujian untuk menzahirkan tapisan ini maka akan terserlah sifat sebenar siapa yang yang munafiq & kufur kepada Allah!
Manusia tidak akan tahu perkara ghaib ini serta apa yang ada dalam hati manusia lain!
- Munasabah ayat ini dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah sebut tentang akibat atau hukuman golongan munafiqin di Akhirat kelak.
Kemudian dalam ayat ini Allah nyatakan pula akibat & hukuman mereka atas dunia ini iaitu Allah akan dedahkan rahsia mereka, buka tembelang mereka di hadapan Rasulullah SAW & para sahabat sehingga mereka dikenali.
ii- Dalam ayat yang lepas Allah SWT telah menceritakan tentang peristiwa Ghazwah Uhud di mana terdapat orang mukmin yang gugur syahid, cedera parah & kuka-luka.
Ini untuk membezakan antara orang mukmin yang benar-benar ikhlas beriman dengan orang munafiq yang lari dari awal lagi daripada medan peperangan, hasut orang pula agar jangan ikut Nabi SAW!
Tetapi Allah kata yang ikut Nabi SAW pergi berperang itulah orang yang beriman!
Orang beriman diuji sekali lagi antara yang ikut arahan nabi dengan yang tak ikut arahan lalu mereka gugur syahid!
Kemudian datang ayat ini Allah nyatakan hikmah Allah bagi semua ujian itu untuk menzahirkan kedudukan yang baik & tidak!
- Allah tidak akan biarkan orang mukmin & orang munafiq berada dalam satu level.
Allah akan bezakan mereka dengan cara ujian!
Kerana itu dalam perang Uhud hampir 300 orang munafiq yang lari balik di tengah jalan!
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah SWT ini juga bagaimana Allah pisahkan orang maknanya & munafiq, antara yang baik & buruk:
{Sesungguhnya orang-orang kafir yang selalu membelanjakan harta mereka untuk menghalangi (manusia) dari jalan Allah, maka mereka tetap membelanjakannya kemudian (harta yang dibelanjakan) itu menyebabkan penyesalan kepada mereka, tambahan pula mereka dikalahkan. Dan (ingatlah) orang-orang kafir itu (akhirnya) dihimpunkan dalam neraka jahanam.
Kerana Allah hendak membezakan yang jahat (golongan yang ingkar) dari yang baik (golongan yang beriman), dan menjadikan (golongan) yang jahat itu setengahnya bersatu dengan setengahnya yang lain, lalu ditimbunkannya kesemuanya, serta dimasukkannya ke dalam neraka Jahanam. Mereka itulah orang-orang yang rugi.} (Al-Anfaal 8: 36-37)
- Allah tidak berikan kepada kita ilmu ghaib tetapi ada tanda-tanda untuk mengenal golongan munafiq ini sebagaimana hadis Rasulullah SAW: آيَةُ الْمُنَافِقُ ثَلَاثٌ: إِذَا حَدَّثَ كَذَبَ، وَإِذَا وَعَدَ أَخْلَفَ، وَإِذَا اؤْتُمِنَ خَانَ
“Tanda-tanda orang munafik ada tiga, iaitu apabila dia berbicara dia dusta, apabila dia berjanji tidak ditepati dan apabila diberi amanah dia khianati.” [HR al-Bukhari dan Muslim].
- Allah SWT telah memberitahu Nabi SAW rahsia nama beberapa orang munafiq di Madinah;
i- Ini adalah berikutan larangan untuk solat jenazah bagi orang-orang munafik, (selepas kematian Abdullah bin Ubai, ketua munafik masa itu) manakala anak Abdullah bin Ubai, namanya Abdullah bin Abdullah – adalah seorang sahabat yang asli, bukan munafik.
ii- Rasulullah SAW memilih seorang sahabat iaitu Huzaifah bin al-Yaman RAuntuk menjadi penyimpan rahsia, memegang amanah nama orang-orang munafik di Madinah.
Hanya beliau seorang sahaja yang mengetahuinya dan Huzaifah tidak memberitahui sesiapa tentang rahsia tersebut hatta setelah Baginda SAW wafat.
iii- Khalifah Umar RA yang mengetahui rahsia ini pernah bertanya kepada Huzaifah tentang dirinya sendiri, adakah dia tergolong dalam senarai orang munafik? Huzaifah RA terkejut, kerana seorang Amirul mukminin yang hebat bertanyakan soalan seperti itu. Pada mulanya beliau enggan memberitahu, tetapi Umar RA tetap ingin tahu, akhirnya Huzaifah RA memberitahu beliau, dan beliau bersumpah tidak akan memberitahu sesiapa selepas ini jika ada orang yang bertanyakan seperti Umar RA lagi.
iv- Umar RA juga akan tanya apabila ada satu- satu kematian, sama ada Huzaifah RA pergi atau tidak untuk solat jenazah. Umar RA tidak akan pergi solat jenazah jika baginda tahu Huzaifah RA tidak pergi.
v- Huzaifah RA juga memberitahu betapa ramai para sahabat yang besar begitu takut jika diri mereka termasuk dalam golongan munafiq- Allahu Akbar- betapa berbezanya dengan kita manusia hari ini!
- Firman Allah SWT juga tentang isu ini:
{(Kalau ditanya bilakah azab itu? Maka) katakanlah: “Aku tidak mengetahui sama ada (azab) yang dijanjikan kepada kamu itu sudah dekat, atau Tuhanku menentukan bagi kedatangannya satu tempoh yang lanjut.
“Tuhanlah sahaja yang mengetahui segala yang ghaib, maka Ia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahuiNya itu kepada sesiapapun, –
“Melainkan kepada mana-mana Rasul yang di redhai-Nya (untuk mengetahui sebahagian dari perkara ghaib yang berkaitan dengan tugasnya; apabila Tuhan hendak melakukan yang demikian) maka Ia mengadakan di hadapan dan di belakang Rasul itu malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawasnya (sehingga perkara ghaib itu selamat sampai kepada yang berkenaan).} (Al-Jinn 72: 25-27)
- Yakni Allah tidak berikan semua ilmu ghaib-Nya kepada manusia tetapi Allah memilih dari kalangan rasul-rasul-Nya untuk diberi beberapa ilmu & mukjizat yang dikehendaki-Nya.
Yakni para rasul itu bukan mengetahui semua perkara ghaib kecuali apa yang Allah wahyukan kepada mereka!
- Maka berimanlah kamu dengan Allah & semua rasul-Nya, iaitu realisasikan iman sebagaimana yang dibawa oleh Rasulullah SAW dengan ikut, taat & patuh segala perintah Allah SWT & jauhkan larangan-Nya.
- Jika kamu beriman & bertaqwa kepada Allah dengan menjauhkan larangan Allah & patuh taat akan perintah-Nya; maka kamu akan mendapat pahala yang besar.
AYAT 180- {DAN JANGAN SEKALI-KALI ORANG-ORANG YANG BAKHIL DENGAN HARTA BENDA YANG TELAH DIKURNIAKAN ALLAH KEPADA MEREKA DARI KEMURAHANNYA – MENYANGKA BAHAWA KEADAAN BAKHILNYA ITU BAIK BAGI MEREKA. BAHKAN IA ADALAH BURUK BAGI MEREKA. MEREKA AKAN DIKALONGKAN (DISEKSA) DENGAN APA YANG MEREKA BAKHILKAN ITU PADA HARI KIAMAT KELAK. DAN BAGI ALLAH JUALAH HAK MILIK SEGALA WARISAN (ISI) LANGIT DAN BUMI. DAN (INGATLAH), ALLAH MAHA MENGETAHUI DENGAN MENDALAM AKAN SEGALA YANG KAMU KERJAKAN.} (ALI-‘IMRAN 3:180)
- Dalam ayat ini Allah melarang orang beriman agar jangan sesekali bersifat bakhil dan mennyangka bahawa ia adalah stau kebaikan bagi mereka!
- Munasabah ayat ini dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT galakkan orang mukmin untuk keluar berjihad, serahkan nyawa mereka fi-sabilillah.
ii- Maka dalam ayat ini pula adalah galakan untuk mengeluarkan harta fi-sabilillah serta jangan bersifat bakhil sayangkan harta! Amaran tegas bahawa harta yang tidak ditunaikan haknya seperti bayar zakat akan menjadi bahan bakaran mereka sendiri!
- Allah beri ancaman jangan kamu sangka wahai orang yang bakhil rezeki yang banyak yang Allah berikan kepada kamu tetapi kamu tidak tunaikan haknya seperti keluarkan zakat, beri nafkah kepada orang di bawah tanggungannya seperti anak isteri, ibu bapa dan seumpamanya itu lebih baik bagi kamu!
- Bagi mereka yang bakhil, tidak tunaikan hak Allah & hak faqir miskin, itu adalah satu keburukan. Allah akan jadikan harta-harta itu di Akhirat kelak sebagai satu kalung siksaan yang akan membakar mereka!
- Hadis dari Abu Hurairah RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Barang siapa yang dikurniakan oleh Allah SWT kekayaan tetapi tidak mengeluarkan zakatnya, maka pada hari kiamat nanti, ia akan didatangi seekor ular yang besar yang sangat berbisa dan amat menakutkan dengan dua bintik di atas kedua matanya lalu membelit dan mematuk lehernya sambil berteriak “Aku adalah kekayaanmu, aku adalah kekayaanmu yang kamu kumpulkan dahulu“ Kemudian Baginda SAW membaca ayat al-Quran: {Dan jangan sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan Allah kepada mereka dari kemurahan-Nya – menyangka bahawa keadaan bakhilnya itu baik bagi mereka.
Bahkan ia adalah buruk bagi mereka. Mereka akan dikalungkan (diseksa) dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada hari kiamat kelak. Dan bagi Allah jualah hak milik segala warisan (isi) langit dan bumi. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan segala yang kamu kerjakan. (mukjizat) yang nyata dan dengan (korban) yang katakan, maka membunuh mereka, jika kamu orang-orang yang benar (dalam apa yang kamu dakwakan itu)?} [surah Ali-’Imran ayat 180].” [HR Bukhari & Muslim].
- Firman Allah SWT juga:
{Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya banyak di antara pendita-pendita dan ahli-ahli agama (Yahudi dan Nasrani) memakan harta orang ramai dengan cara yang salah, dan mereka menghalangi (manusia) dari jalan Allah (agama Islam). Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
(Iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu dalam neraka jahanam, lalu diselar dengannya dahi mereka, dan rusuk mereka, serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): “Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah (azab dari) apa yang kamu simpan itu.} (At-Taubah 9:35)
- Allah akhiri ayat ini dengan menegaskan bahawa:
i- Allah-lah Pemilik langit dan bumi ini serta segala isi kandungannya. Manusia sudah bertukar dari zaman Nabi Adam, Nuh sehingga kini, tetapi Allah SWT kekal abadi selamanya!
ii- Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan segala yang kamu kerjakan maka tak perlulah kamu nak sembunyikan dari-Nya apa yang telah diketahui Allah Azza wa Jalla!
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 177- {Sesungguhnya orang-orang yang membeli (memilih) kufur dengan meninggalkan iman, tidak sekali-kali mereka akan dapat mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun,}-
Orang yang beli kufur dengan iman- yakni pilih kufur daripada iman tidak akan beri apa-apa mudharat kepada Allah.
Dalam ayat ini adalah kali yang kedua Allah sebut bahawa manusia yang kufur tidak akan memberi kesan & mudharat kepada Allah SWT!
Kali pertama dalam ayat 176- {Dan janganlah engkau berdukacita (wahai Muhammad), disebabkan orang-orang yang segera menceburkan diri dalam kekufuran; kerana sesungguhnya mereka tidak sekali-kali akan dapat mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun.}
Kemudian datang ayat ini pula- {tidak sekali-kali mereka akan dapat mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun}.
Ulama’ lughah kata Allah SWT ulang dua kali ayat ini untuk menguatkan kenyataan bahawa manusia tidak dapat buat apa-apa kepada Allah SWT!
Allah SWT tidak akan mendapat apa-apa kerugian & mudharat jika manusia tidak beriman.
Bahkan mudharat & kerugian itu adalah balik ke atas manusia itu sendiri!
Kerana itu dalam ayat galakan Allah sebut hak kita- kamu nafkahkan harta kamu- maka apabila kita bakhil ia akan memberi mudharat kepada diri sendiri bukan kepada Allah SWT!
- Ayat 178- {Dan jangan sekali-kali orang-orang kafir menyangka bahawa Kami membiarkan (mereka hidup lama) itu baik bagi diri mereka;}-
Jangan kamu sangka wahai puak kafir bahawa Allah tangguhkan hukuman atau ajal itu satu kebaikan bagi kamu, bukan tanda Allah sayang!
Kata ulama’ : Ini menunjukkan bahawa kekayaan & kesenangan yakni nikmat dunia yang kamu dapat itu bukan tanda Allah redha!
Bahkan ia mungkin boleh menjadi bala ke atasnya!
Allah beri tangguh bukan kerana sayang tetapi nak beri tempoh untuk mereka menambahkan asset kejahatan mereka!
Iman & kafir itu sesuatu yang boleh bertukar & ia tidak kekal sebegitu saja!
Maka beringatlah!
- Ayat 178- {Dan jangan sekali-kali orang-orang kafir menyangka bahawa Kami membiarkan (mereka hidup lama) itu baik bagi diri mereka;}-
Kamu jangan sangka panjang umur itu bukan menunjukkan kepada kebaikan & tanda Allah sayang.
Ayat ini memberi peringatan agar kita muhasabah tentang umur kita- kita habiskan umur kita ini dengan buat apa- apakah dengan kebajikan & kebaikan, buat amal ibadat kepada Allah?
Atau habiskannya dengan perkara yang lagha & sia-sia.
Menambah saham keburukan maka celakalah hidupnya.
Hadis seperti di atas tadi, orang yang bertuah ialah orang yang panjang umur & baik amalannya!
Maka syukurlah bapa-bapa, ibu-ibu yang panjang umurnya & Allah berikan rezeki yang luas, yang kita dapat jadikannya sebagai bekalan untuk Akhirat.
Syukur alhamdulillah Allah pilih untuk panjangkan umur kita dan buka pintu hati kita untuk buat amal-ibadat & kebajikan.
Inilah peluang untuk kita habiskan usia kita untuk berbekal ke Akhirat pula- cukuplah mengejar dunia yang telah kita lakukannya sepanjang awal usia muda kita dulu!
Syukur atas nikmat iman & Islam, nikmat untuk istiqomah beribadat kepada Allah, istiqomah dengan Sunnah Nabi SAW ini, alhamdulillah.
- Ayat 179- {Allah tidak sekali-kali akan membiarkan orang-orang yang beriman dalam keadaan yang kamu ada seorang (bercampur aduk mukmin dan munafik, bahkan Ia tetap menguji kamu) sehingga Ia memisahkan yang buruk (munafik) daripada yang baik (beriman).}-
Allah tidak akan letak atau biarkan orang mukmin & orang munafiq berada dalam satu level!
Bahkan Allah akan mengujinya untuk membezakan.
Kita boleh mengenal-pasti dan membezakan seseorang itu baik atau tidak, sabar atau tidak, setia atau tidak adalah apabila ketika susah ditimpa ujian.
Ketika itu akan terserlah sifat & perangai yang sebenar.
Ketika senang & gembira semuanya adalah sama antara orang mukmin & munafiq, yang ikhlas atau tidak, tidak boleh dikesan, tetapi bila ditimpa ujian akan terzahir siapa kita siapa mereka!
Ayat ini juga isyarat kepada kita agar jangan mudah terpedaya, mudah terkesima dengan watak-watak zahir manusia- selagi tidak lalui ujian kita tidak akan mengenali batin seseorang.
- Ayat 180- {Dan jangan sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan Allah kepada mereka dari kemurahanNya – menyangka bahawa keadaan bakhilnya itu baik bagi mereka.}-
Orang bakhil jangan sangka mereka itu bahagia, beruntung, kaya dan dapat manfaat besar kerana dapat kumpul dan selamatkan harta yang banyak, kumpul sana, kumpul sini.
Bakhil itu ada dua kategori:
i- Bakhil dalam menunaikan kewajipan- sebagaimana orang bakhil tidak keluarkan zakat.
Ini adalah satu dosa yang besar- mengundang kemurkaan Allah, akan dihumban ke dalam neraka & dibelit oleh ular sebagaimana dalam hadis di atas tadi.
ii- Bakhil dalam menunaikan perkara yang sunat- tak sedekah, tak infaq & tak tolong orang- maka walaupun tidak berdosa; mereka akan kerugian asset dari akaun dunia & Akhirat.
Kempen AAM pagi petang siang malam: #hartakumilikku.
Yakni biarlah harta kita atas dunia ini menjadi milik kita juga di Akhirat kelak, Ingatlah kain kafan tidak ada poket- maka dari sekarang lagi kita pindahkannya dari akaun dunia ke Akhirat!
Biarlah harta kita menunggu kita di dalam kubur, menjadi bayangan peneduh kita di Akhirat kelak!
Dapatkan BUKU BARU: Kitab Hakikat Syaitan Edisi Jawi di: https://dartaibah.com/…/Kitab-Hakikat-Syaitan-Edisi…
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.