SEMUA AKAN MATI, MENERIMA BALASAN SEMPURNA DI AKHIRAT & UJIAN KE ATAS HARTA DAN DIRI.
Full video : https://youtu.be/fqYaFE-gAK8?si=-cR3H3AZBorAFVxm
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir bagi ayat 185 sehingga 186, surah Ali-‘Imran iaitu surah yang ketiga, dalam juzu’ yang keempat.
- Dalam siri ini Allah SWT nyatakan semua yang bernyawa akan mati.
Semuanya; Lelaki perempuan, miskin kaya, tua muda- hatta mati itu sendiri akan mati juga!
Maka jangan kita terpedaya dengan kehidupan dunia yang fana ini- dunia bukan tempat tinggal kekal abadi tetapi tempat meninggal.
- Juga semua manusia akan menerima balasan yang penuh & sempurna di akhirat kelak. Jika di atas dunia ini tu hanya sedikit.
- Dunia ini adalah medan ujian ke atas harta dan diri. Siapa sabar & redha dia akan menang manakala siapa yang degil keras kepala dia akan celaka!
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT menyatakan tentang orang yang terpedaya dengan perangkap yang dibuat oleh yahudi yang Allah telah gambarkan sifat buruk mereka.
Dalam ayat lepas disebut 4 sifat buruk mereka: mendustakan rasul, mengata buruk terhadap Allah SWT, batal perjanjian & khianat amanah.
ii- Maka dalam ayat ini pula Allah nyatakan peringatan kepada mereka kamu jangan sombong kamu semua akan mati.
Ayat ini juga memberi ketenangan kepada Rasulullah SAW semua orang Islam yang mengalami kesusahan & ujian, atau ditindas oleh orang kafir; bahawa kita semua bukan menongkat langit.
Lama atau sekejap dunia ini pasti berakhir, kita akan mati dan di Akhiratlah tempat kita menerima balasan yang sepenuhnya!
Maka sabarlah atas dunia ini jika susah & diuji!
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 185- {TIAP-TIAP YANG BERNYAWA AKAN MERASAI MATI, DAN BAHAWASANYA PADA HARI KIAMAT SAHAJALAH AKAN DISEMPURNAKAN BALASAN KAMU. KETIKA ITU SESIAPA YANG DIJAUHKAN DARI NERAKA DAN DIMASUKKAN KE SYURGA MAKA SESUNGGUHNYA IA TELAH BERJAYA. DAN (INGATLAH BAHAWA) KEHIDUPAN DI DUNIA INI (MELIPUTI SEGALA KEMEWAHANNYA DAN PANGKAT KEBESARANNYA) TIDAK LAIN HANYALAH KESENANGAN BAGI ORANG-ORANG YANG TERPEDAYA.} (ALI-‘IMRAN 3:185)
- Setiap yang bernyawa akan menemui mati! Manusia, haiwan, pokok tumbuhan & segalanya yang bernyawa akan mati tiada yang kekal atau tidak mati!
- Selepas mati kita akan berpindah ke alam kubur atau alam barzakh yang menjadi alam transit dari dunia ke Akhirat sementara menunggu Kiamat berlaku.
- Allah SWT juga sebut dalam firman-Nya yang lain:
i- {Dan Kami tidak menjadikan seseorang manusia sebelummu dapat hidup kekal (di dunia ini). Maka kalau engkau meninggal dunia (wahai Muhammad), adakah mereka akan hidup selama-lamanya?
Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan.} (Al-Anbiyaa’ 21: 34-35)
Jika diberi nikmat & kesenangan kamu syukur maka beruntunglah, tetapi jika kufur nikmat akan celakah seperti Qarun!
- Allah nyatakan bahawa semua balasan amalan manusia yang baik atau buruk, yang penuh & sempurna akan diberikan pada hari Kiamat kelak!
Atas dunia ini kamu relax-relaxlah!
- Sebagaimana dalam ayat yang lepas dinyatakan Allah tangguhkan balasan atau ajal orang kafir untuk memberi masa kepada mereka untuk menambah keburukan & dosa mereka.
Manakala orang beriman pula untuk diberi peluang menambah amal kebajikan dan pahala kebaikan!
- Maka sesiapa yang dijauhkan daripada dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya.
Ya Allah jadikanlah kami, keluarga kami & semua orang yang kami sayangi termasuk dalam golongan yang berjaya ini!
- Di akhir ayat Allah bagi peringatan, ayat sentap; kehidupan di dunia ini meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya!!!!
Dunia ini hanyalah satu bayangan yang akan hilang!
Tiada siapa yang akan dapat menangkap bayangnya sendiri!
Demikianlah bandingan orang yang mengejar dunia tidak akan pernah kenyang!
- Hadis- Dari Anas bin Malik RA. Rasulullah SAW bersabda:
“Andai kata anak Adam itu memiliki emas satu lembah, nescaya dia ingin memiliki satu lembah lagi. Tidak ada yang dapat mengisi penuh mulut (hawa nafsu)nya melainkan tanah (maut). Dan Allah menerima taubat siapa yang taubat kepada-Nya.” [Sahih Muslim].
- Firman Allah SWT juga:
{Dan apa jua (harta benda dan lain-lainnya) yang diberikan kepada kamu, maka adalah ia merupakan kesenangan hidup di dunia dan perhiasannya; dalam pada itu, apa jua yang ada di sisi Allah (yang disediakan untuk orang-orang yang beriman dan taat) adalah ia lebih baik dan lebih kekal; maka mengapa kamu tidak mahu memahaminya?} (Al-Qasas 28:60)
- Hadis- Sabda Rasulullah SAW:
“Tempat letak tongkat di dalam syurga lebih elok daripada dunia dan segala isinya. Kemudian Rasulullah SAW membaca ayat 185 ini.” [HR at-Tirmizi- Hasan].
Timbul persoalan : Kenapa perlu bertongkat dalam syurga? Sakit ke?
Ulama’ tafsir mengatakan : Tongkat itu hanyalah untuk bergaya saja!
AYAT 186- {DEMI SESUNGGUHNYA, KAMU AKAN DIUJI PADA HARTA BENDA DAN DIRI KAMU. DAN DEMI SESUNGGUHNYA, KAMU AKAN MENDENGAR DARI ORANG-ORANG YANG TELAH DIBERIKAN KITAB DAHULU DARIPADA KAMU DAN ORANG-ORANG YANG MUSYRIK: BANYAK (TUDUHAN-TUDUHAN DAN CACIAN) YANG MENYAKITKAN HATI. DALAM PADA ITU, JIKA KAMU BERSABAR DAN BERTAQWA MAKA SESUNGGUHNYA YANG DEMIKIAN ITU ADALAH DARI PERKARA-PERKARA YANG DIKEHENDAKI DIAMBIL BERAT (MELAKUKANNYA).} (ALI-‘IMRAN 3:186)
- Munasabah ayat dengan ayat yang lepas:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT telah beri ketenangan kepada Rasulullah SAW dengan mengatakan setiap yang bernyawa akan mati.
ii- Allah tambah lagi ayat penenang kepada Nabi SAW dengan ayat ini.
Bahawa kamu telah disakiti dalam Ghazwah Uhud; 70 orang mati syahid dan ramai yang cedera.
Manakala orang kafir akan terus menyakiti Rasulullah SAW sama ada secara fizikal, tubuh, barang & hartabenda atau sebaran dakyah & tuduhan jahat.
Yakni orang kafir sepanjang zaman tidak akan diam, tidak akan berhenti membuat perancangan untuk menentang & menghalang Islam.
Sebelum ada kuasa mereka dapat baik berlunak tetapi bila ada kuasa mereka akan cuba ganyang & pijak kita.
Maka Allah SWT tenangkan hati Nabi SAW dengan memberinya peringatan untuk membuat persediaan & perancangan untuk menolak, menepis serangan jahat mereka ini dengan apa jua cara!
- Allah SWT akan uji kamu dengan harta {فِىٓ أَمْوَٰلِكُمْ}- contoh harta yang tunggu masa nak petik & tuai- sekali datang bah atau angin ribut- habis semuanya musnah!
Perniagaan yang sedang maju tiba-tiba jatuh kerugian.
- Allah juga akan uji dengan tubuh badan kamu {وَأَنفُسِكُمْ}; sebagaimana ujian untuk keluar berjihad- di mana matilah kebiasaanya.
Atau jatuh sakit tiba-tiba atau keluarga kita yang ditimpa sakit.
Ada juga yang diuji dengan anak yang sakit atau tidak sempurna, terpaksa jaganya hingga ke mati.
Hanya Allah-lah yang boleh curahkan kesabaran & perasaan redha ke dalam hati kita untuk menghadapi semua ujian ini!
- Firman Allah SWT juga:
{Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar:} (Al-Baqarah 2:155)
- Allah uji manusia dengan pelbagai cara!
Kita sekarang banyak dengan ramalan kemarau, el-nino dan macam-macam bala.
Sebuah negara yang hebat sekali cabar Allah- Allah hantar bala dalam bentuk yang tidak diduga.
Kita berhati-hatilah jangan cabar hukum Allah!
- Semua kafir itu sama ada ahli kitab yang ada kitab atau tidak ada kitab mereka akan sentiasa mencaci Tuhan dan membuat pelbagai tuduhan yang dahsyat & buruk.
Seperti mereka kata Allah itu ada dua, tiga, beranak dan sebagainya.
Mereka kata Tuhan itu faqir perlukan sedekah mereka dan lain-lain tuduhan jahat!
- Maka jika kepada Tuhan pun mereka tergamak buat tuduhan sebegitu buruk; jika setakat kita muslim mana setara mana!
Jadi kita sentiasa bersedia untuk menghadapi cabaran bahawa kita akan disakiti dengan lidah orang kafir, kita akan disakiti dengan momokan dan tuduhan jahat bahawa Islam ini ganas, Islam terrorist!
Di Malaysia ini tuduhan baru ialah Khawarij!
- Mereka tidak sedarkan mereka telah membuat satu tuduhan yang amat berat! Berhati-hatilah kita!
- Apabila kita mengambil senjata yang kuat iaitu sabar, apabila diuji kita sabar dan bila dipuji kita syukur.
Maka orang kafir kata apa kepada kita, orang kafir nak perangi kita jangan lari & sabar.
- Ada ulama’ kata : Ayat ini dimansukhkan dengan ayat perang, kena lawan dan berjihad.
Kita kata setiap isu ada tempat- ada waktu kita kena sabar & ada waktu kita lawan.
Kita tak boleh rempuh tak tentu-hala!
- Ayat ini ditafsir dengan firman Allah ini juga:
{Kalau kamu beroleh kebaikan (kemakmuran dan kemenangan, maka yang demikian) menyakitkan hati mereka; dan jika kamu ditimpa bencana, mereka bergembira dengannya. Dan kalau kamu sabar dan bertaqwa, (maka) tipu daya mereka tidak akan membahayakan kamu sedikitpun. Sesungguhnya Allah meliputi pengetahuanNya akan apa yang mereka lakukan.} (A-li’Imraan 3:120)
- Hadis- dari Usamah bin Zaid RA yang menceritakan bagaimana puak munafiqin menghina Nabi SAW di Madinah. Nabi kita SAW tetap sabar atas karenah yang dibuat oleh mereka yang diketuai oleh Abdullah bin Ubai bin Salul dan kuncu-kuncunya. [HR Bukhari].
- Kita kena sabar atas semua perkara, semua ujian yang diberi Allah SWT, jangan kita mudah koyak.
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 185- {Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati,}-
Ayat ini dengan jelas mengatakan bahawa SEMUA yang bernyawa akan mati!
Tiada pengecualian- hatta mati itu sendiri akhirnya akan disembelih & mati!
Dari sudut bahasa kita kena lihat juga; jika tidak kita kan menjadi orang yang tak reti basa!
Perkataan {Kull-كُلُّ} menunjukkan kepada umum- semua!
i- Perbahasan tentang kalimah kull ini telah banyak- Ada orang yang cuba buat hujjah untuk menafsirkan hadis Nabi SAW ini:
وَكُلَّ بِدْعَةٍ ضَلالَةٌ ، وَكُلَّ ضَلالَةٍ فِي النَّارِ
“Setiap yang rekaan baharu dalam agama itu bida’ah dan setiap yang bida’ah itu masuk ke neraka.” [HR Muslim].
Mereka mengatakan tidak- ada bid’ah baik ada bid’ah tidak baik! Bukan semua bid’ah itu tidak baik!
ii- Mereka guna hujjah dengan bawa ayat ini: {segala-galanya – كُلَّ شَىْءٍۭ}
{تُدَمِّرُ كُلَّ شَىْءٍۭ بِأَمْرِ رَبِّهَا فَأَصْبَحُوا۟}- {Yang menghancur leburkan segala-galanya dengan izin Tuhannya.}- [Al-Ahqaf: 25].
Yakni walaupun Allah kata Dia telah menghancurkan segala-galanya tetapi langit dan bumi masih ada tidak hancur, bukit apa semuanya.
Yakin mereka kata kull- tidak menunjukkan semua!
Jawapan:
i- Kita kena belajar ilmu (علم سياق الأيات)- jenis konteks atau isu perbincangan ayat itu.
Allah maksudkan dalam ayat itu ialah Dia telah hancurkan mereka Firaun dan kaumnya semuanya.
Juga Allah binasakan semua kaum yang derhaka & kufur seperti kaum Ad, Thamud, kaum Nuh dan juga kaum Lut!
Bukan semua langit bumi yang nak dihancurkan; kenapa kaitkan dengan alam- konteks ayat itu adalah tentang binasanya kaum yang derhaka- kenapa nak suruh binasa juga langit bumi & seluruh alam ini???
ii- Ayat ini dibawa semata-mata kerana nak tolak hadis ini: وَكُلَّ بِدْعَةٍ ضَلالَةٌ ، وَكُلَّ ضَلالَةٍ فِي النَّارِ
“Setiap yang baharu (rekaan dalam ibadat) itu bida’ah dan setiap yang bida’ah itu masuk ke neraka.” [HR Muslim].
Mereka kata ada bid’ah (benda baru) yang baik yang perlu kita buat sedangkan apa yang Rasulullah SAW maksudkan adalah semua ibadat yang baru & rekaan selepasnya adalah sesat.
SEMUA IBADAT bukan bid’ah yang salah naik kereta tetapi kena naik unta- itu bukan perkara ibadat!
Bila nak guna bahasa belajarlah berbahasa- perkataan semua yang khas mahu dikaitkan kepada semua yang umum adalah tidak kena!!!
Faedah kedua,
Ayat ini juga nak menghilangkan dukacita & menenangkan hati Nabi SAW kerana baru saja lalui Ghazwah Uhud yang gawat:
i- Semua yang bernyawa akan mati.
Apabila kita mati segala dukacita, stress, penyakit & kesusahan akan hilang bersama mati.
Yang ada ialah nikmat dalam kubur yang akan datang jika kita orang baik.
ii- Selepas kita mati kita akan melalui stau proses pembalasan yang adil!
Jika kita pernah dianiayai dan tidak terbalas semasa di dunia, tunggulah- jika kita buat tidak baikpun- tunggulah juga balasannya!
Atas dunia ini kita kena ingat jika tidak kena pembalasan atau terlepas hukum di Akhirat kelak akan menanti hukuman yang sempurna!
- Ayat 185- {Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati,}-
Apabila kita tahu kita akan mati maka;
Ayat ini akan memberi motivasi untuk kita bersegera buat kebaikan & amal ibadat, tidak menanggguhkannya kerana kita tidak tahu bila kita akan mati!
Jangan lengah untuk bertaubat & jangan tangguh ibadat!
Ayat ini juga untuk kita menjadi zuhud atas dunia ini!
Jika kita kumpul harta sebanyak mana atas dunia ini- mati lepas ni- semua itu akan ditinggalkan kepada orang lain; kita tidak tahu apa yang kan dibuatnya dengan harta kita itu!
Kita pula sedang bergelumang dengan perhitungan, berhadapan dengan malaikat yang sama ada akan disiksa atau dapat nikmat- bergantung kepada amalan kita.
- Ayat 185- {Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.}-
Allah bagi maklumat awal-awal lagi bahawa dunia ini adalah mata-benda yang mempesonakan yang memperdayakan- (material).
Kerana itu Rasulullah SAW bersabda: “Dunia itu hijau lagi manis.” [HR Muslim].
Yakni apabila kita lihatnya kita akan terliur dan tergoda dengannya- boleh menitik air liur teringinkannya!
Allah nak zahirkan kerosakan kepada orang yang cintakan dunia dengan beberapa perkara:
i- Jika cita-cita besar nak sesuatu itu kita dapat. Maka kita kena fikir apakah kita dapat manfaatkannya?
Dapat gunakannya dengan baik?
Yakni ada & tengok harta banyak tetapi tak boleh nak gunakannya; sama ada sakit atau seumpamanya!
Analisa dunia hari ini- orang kaya zaman internet ini adalah pemuda-pemudi yang baru berumur dalam awal 30-an!
Sudah jadi jutawan dan tunjukkan harta kekayaan!
Mereka ini biasanya tidak ada akal panjang lalu buat perkara yang tidak senonoh & tidak sepatutnya!
ii- Manusia ini apabila hatinya bergantung dunia, maka makin loba & tamak gilakan dunia hatinya!
iii- Makin kuat kita gilakan dunia; makin jauh daripada persiapan untuk Akhirat!
Makin kuat kejar dunia- makin jauh tinggalkan Akhirat- na’uzubillah!
Kena inga jika kita nak selamat; Dunia hanya di tangan jangan biarkan ianya masuk ke dalam hati- manakala Akhirat biar di tangan & masuk juga dalam hati!
Kata hikmah : Kapal atau bahtera duduk di atas air selamat, tetapi jika air di dalam kapal maka akan tenggelamlah!
Sama seperti manusia, jika dunia ditangan selamat- tetapi jika dunia sudah masuk ke dalam hati- binasalah!
Kita minta pelrindungan dari Allah SWT daripada segala perkara yang tidak baik!
- Ayat 186- {Demi sesungguhnya, kamu akan diuji pada harta benda dan diri kamu.}-
Maka kita manusia kena sedar & peka bahawa dunia ini adalah medan tempat ujian!
Ujian pula sama ada dengan kesenangan atau kesusahan!
Jika senang jangan takabbur jika susah kena sabar jangan sampai hilang pertimbangan!
Maka dalam ayat ini Allah nak beri kesedaran kepada kita bahawa ujian akan datang, ujian pula banyak sekali sama ada melalui keluarga, harta benda atau apa saja!
- Ayat 186- {Dan demi sesungguhnya, kamu akan mendengar dari orang-orang yang telah diberikan Kitab dahulu daripada kamu dan orang-orang yang musyrik: banyak (tuduhan-tuduhan dan cacian) yang menyakitkan hati.}-
Kamu orang beriman akan dengar pelbagai karenah & perangai buruk orang kafir terhadap kamu!
Allah SWT beritahu awal-awal lagi kepada Rasulullah SAW tentang ayat & maklumat ini agar kita semua agar bersedia.
Hikmahnya:
i- Bila Allah nak uji, bila Allah bawa ujian kepada orang kafir ini untuk membezakan antara orang yang betul-betul insaf & orang yang lagha!
ii- Bila kita tahu kita akan hadapi ujian buruk maka kita akan buat persiapan untuk menghadapinya! Lawan tetap lawan- jangan tak lawan.
Kita juga kena ingat ujian ini:
i- Untuk orang mukmin- nak angkat darjat.
ii- Untuk orang derhaka supaya sedar,
iii- Untuk orang kafir nak bagi peluang agar dia insaf dan kemabli ke jalan yang diredhai Allah SWT!
Maka Allah kata sesiapa yang ketika menghadapi ujian ini lalu dia sabar, bertaqwa, kuat keazamannya, membuat persiapan & strategi bagi menghadapi ujian itulah orang yang berjaya!
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.