5 DOA ULUL ALBAB, MOHON KEAMPUNAN ALLAH & JANJI ALLAH SYURGA BUAT MEREKA.
Full video : https://youtu.be/arr82ViACLo?si=2nz23u2-YhR_-cFJ
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir bagi ayat 193 sehingga 195, Surah Ali-‘Imran iaitu surah yang ketiga, dalam juzu’ yang keempat.
- Kita masih lagi membincangkan tentang sifat ulul-albab, iaitu mereka yang sentiasa berzikir kepada Allah & banyak berfikir tentang makhluk penciptaan-Nya.
Dalam siri ini Allah SWT nyatakan 5 doa ulul-albab, bermula dari ayat 190 (yang menjadi bacaan selepas bangun tidur sebagaimana ajaran Nabi SAW)- sehingga ayat 194.
- Mereka memohon keampunan Allah Azza wa Jalla, bertawasul dengan nama-nama-Nya yang indah & sifat-sifat-Nya yang tinggi!
- Pada akhir ayat 195, dinyatakan Allah telah perkenankan doa mereka, lalu Allah janjikan syurga buat mereka.
Ya Allah jadikanlah kami semua dari kalangan ulul-albab ini yang bersifat mulia sentiasa berzikir & berfikir lalu mendapat keredhaan & jaminan syurga dari-Mu!
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 193- {WAHAI TUHAN KAMI! SESUNGGUHNYA KAMI TELAH MENDENGAR SEORANG PENYERU (RASUL) YANG MENYERU KEPADA IMAN, KATANYA: ` BERIMANLAH KAMU KEPADA TUHAN KAMU ‘, MAKA KAMI PUN BERIMAN. WAHAI TUHAN KAMI, AMPUNKANLAH DOSA-DOSA KAMI, DAN HAPUSKANLAH DARIPADA KAMI KESALAHAN-KESALAHAN KAMI, DAN MATIKANLAH KAMI BERSAMA ORANG-ORANG YANG BERBAKTI;} (ALI-‘IMRAN 3:193)
- Kita undur kepada ayat sebelumnya, iaitu doa atau Rabbana yang pertama (ayat 191) tentang sifat ulul-albab yang sentiasa berzikir kepada Allah dalam setiap keadaan bangun duduk berdiri hatta berbaring; kemudian mereka berkata: {“Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.}
- Kemudian doa kedua, ayat 192: {Wahai Tuhan kami! Sebenarnya sesiapa yang Engkau masukkan ke dalam neraka maka sesungguhnya Engkau telah menghinakannya, dan orang-orang yang zalim tidak akan beroleh seorang penolong pun;}.
Ya Allah jauhkan kami daripada api neraka!
- Doa ketiga adalah ayat 193 ini, di mana para ulul-albab apabila mendengar seruan Allah SWT mereka terus beriman & akur, patuh menerima: {Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah mendengar seorang Penyeru (Rasul) yang menyeru kepada iman, katanya: ` Berimanlah kamu kepada Tuhan kamu ‘, maka kami pun beriman.}
- Doa yang keempat : Mereka juga sentiasa berdoa memohon keampunan kepada Allah SWT: {Wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa-dosa kami, dan hapuskanlah daripada kami kesalahan-kesalahan kami, dan matikanlah kami bersama orang-orang yang berbakti;}
- Yakni mereka bertawasul dengan iman dan amal soleh mereka, berdoa agar Allah SWT:
i- Ampunkan dosa-dosa & agar Allah tutup dan tidak tunjukkan dosa kesalahan mereka di Akhirat kelak.
ii- Juga minta Allah hapuskan dosa mereka- bukan setakat maaf & tutup tetapi delete hapuskannya juga terus! Hilang & tiada daripada rekod pendakwaan atau suratan amalan kita sendiri!
iii- Serta matikan mereka bersama orang soleh, orang-orang yang berbakti { ٱلْأَبْرَارِ}, mati dalam Islam, atas iman dan keredhaan Allah Azza wa Jalla.
Ya Allah matikanlah kami dalam husnul-khatimah bersama al-abrar, para anbiya’, siddiqin & solihin!
- Itulah orang yang cerdik & bijak, yang meggunakan kesempatan yang ada untuk beriman, beristighfar, untuk minta ampun dan untuk istiqomah beriman kepada Allah sehingga mati!
- Kata ulama’ : Diulang Rabbana {رَبَّنَآ} ini sehingga 5 kali; supaya nampak kita berhajat kepada Allah, merayu & merintih serta untuk menzahirkan kita berada di bawah kawalan & penguasaan Allah Azza wa Jalla.
- Jika kita tak minta dari Allah; maka itu adalah manusia yang sombong, manusia yang angkuh & manusia yang tak reti bahasa!
AYAT 194- {WAHAI TUHAN KAMI! BERIKANLAH KEPADA KAMI PAHALA YANG TELAH ENGKAU JANJIKAN KEPADA KAMI MELALUI RASUL-RASULMU, DAN JANGANLAH ENGKAU HINAKAN KAMI PADA HARI KIAMAT; SESUNGGUHNYA ENGKAU TIDAK MEMUNGKIRI JANJI”.} (ALI-‘IMRAN 3:194)
- Doa ulul-albab yang keempat: Kami meminta agar Allah berikan kepada kami apa yang telah Allah janjikan melalui Rasul-rasul-Nya!
- Doa kelima: Berdoa dan memohon agar Allah tidak hinakan kami pada hari kiamat; jangan Allah dedahkan rahsia kami yang buruk di hadapan manusia yang ramai di Akhirat kelak!
Sebagaimana doa Nabi Ibrahim AS : { وَلَا تُخْزِنِي يَوْمَ يُبْعَثُونَ}- {Dan janganlah engkau hinakan daku pada hari makhluk-makhluk dibangkitkan hidup semula.} (Asy-Syu’araa’ 26:87)
- Berikanlah kepada apa yang telah Engkau janikan itu ya Allah! Sesungguhnya Allah tidak memungkiri janji.
- Allah sesekali tidak akan mungkiri janji-Nya; tetapi kita meminta & berdoa menunjukkan kita amat berhajat & memerlukan kepada janji Allah itu.
Dalam ayat ini Allah ajar kepada kita untuk berdoa meminta walaupun kita tahu & yakin bahawa janji Allah itu benar!
- Sebagaimana kita dalam keadaan kemarau sekarang ini- yang Sunnahnya kita buat solat sunat istisqa’ iaitu solat hajat minta hujan & mengadakan perhimpunan manusia!
Inilah yang diajar oleh Rasulullah SAW- memohon minta terus kepada Allah Azza wa Jalla.
- Semoga Allah SWT ampunkan dosa kita, hapuskan segala kesalahan kita, tidak menghina kita di Akhirat kelak, tidak dedahkan segala rahsia keburukan kita di khalayak ramai, redha kepada kita & masukkan kita ke dalam syurga-Nya!
AYAT 195- {MAKA TUHAN MEREKA PERKENANKAN DOA MEREKA (DENGAN FIRMANNYA): “SESUNGGUHNYA AKU TIDAK AKAN SIA-SIAKAN AMAL ORANG-ORANG YANG BERAMAL DARI KALANGAN KAMU, SAMA ADA LELAKI ATAU PEREMPUAN, (KERANA) SETENGAH KAMU (ADALAH KETURUNAN) DARI SETENGAHNYA YANG LAIN; MAKA ORANG-ORANG YANG BERHIJRAH (KERANA MENYELAMATKAN AGAMANYA), DAN YANG DIUSIR KE LUAR DARI TEMPAT TINGGALNYA, DAN JUGA YANG DISAKITI (DENGAN BERBAGAI-BAGAI GANGGUAN) KERANA MENJALANKAN AGAMAKU, DAN YANG BERPERANG (UNTUK MEMPERTAHANKAN ISLAM), DAN YANG TERBUNUH (GUGUR SYAHID DALAM PERANG SABIL) – SESUNGGUHNYA AKU AKAN HAPUSKAN KESALAHAN-KESALAHAN MEREKA, DAN SESUNGGUHNYA AKU AKAN MASUKKAN MEREKA KE DALAM SYURGA YANG MENGALIR DI BAWAHNYA BEBERAPA SUNGAI, SEBAGAI PAHALA DARI SISI ALLAH. DAN DI SISI ALLAH JUALAH PAHALA YANG SEBAIK-BAIKNYA (BAGI MEREKA YANG BERAMAL SOLEH)”.} (ALI-‘IMRAN 3:195)
- Munasabah ayat ini dengan yang sebelumnya;
i- Allah SWT telah ceritakan tentang ulul-albab yang kerjanya sentiasa berzikir kepada Allah serta juga bertafakkur tentang kejadian lagint & bumi, silih berganti malam & siang.
Kemudian Allah sebut sifat mereka yang sentiasa memuji Allah SWT- menjadikan semua ini tidak sia-sia!
Allah juga nyatakan setelah puji Allah mereka berdoa- antara yang awalnya minta diselamatkan daripada azab neraka!
Inilah doa Rabbana yang pertama sehingga kepada ayat” {“sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji”.}
ii- Maka dalam ayat ini Allah nyatakan bahawa Dia telah menerima & memperkenankan doa mereka itu! Allahu Akbar!
- Allah perkenankan doa mereka dengan menyatakan bahawa Dia tidak akan sia-siakan amal orang-orang yang beramal dari kalangan kamu, sama ada lelaki atau perempuan- semua amal akan diterima & dihisab mengkut amalan individu masing-masing!
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah SWT ini juga:
{Sesungguhnya orang-orang lelaki yang Islam serta orang-orang perempuan yang Islam, dan orang-orang lelaki yang beriman serta orang-orang perempuan yang beriman, dan orang-orang lelaki yang taat serta orang-orang perempuan yang taat, dan orang-orang lelaki yang benar serta orang-orang perempuan yang benar, dan orang-orang lelaki yang sabar serta orang-orang perempuan yang sabar, dan orang-orang lelaki yang merendah diri (kepada Allah) serta orang-orang perempuan yang merendah diri (kepada Allah), dan orang-orang lelaki yang bersedekah serta orang-orang perempuan yang bersedekah, dan orang-orang lelaki yang berpuasa serta orang-orang perempuan yang berpuasa, dan orang-orang lelaki yang memelihara kehormatannya serta orang-orang perempuan yang memelihara kehormatannya, dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar.} (Al-Ahzaab 33:35)
Allah sebut khas dengan bezakan antara sifat lelaki & perempuan dalam ayat ini!
- Kemudian Allah sebut dalam ayat ini beberapa sifat orang yang akan diberi kelebihan kerana mereka diberi ujian & sabar kerana Allah SWT:
i- Orang yang berhijrah tinggalkan kampung halaman mereka kerana menyelamatkan agamanya,
ii- Dan yang diusir ke luar dari tempat tinggalnya,
iii- Dan juga yang disakiti dengan berbagai-bagai gangguan kerana menjalankan agamaKu.
Seperti hari ini; orang yang ingin mengamalkan Sunnah Nabi SAW- diboikot dan dianggap pelik, manakala yang ikut amalan pelik bukan dari Nabi SAW dianggap baik!
iv- Dan yang berperang untuk mempertahankan Islam,
v- Dan yang terbunuh gugur Syahid dalam perang Sabil.
- Bagi mereka yang ditimpa ujian ini Allah SWT berjanji untuk membalas:
i- Hapuskan dosa & kesalahan mereka.
ii- Allah akan masukkan mereka ke dalam syurga yang begitu indah sebagai balasan amalan mereka.
- Hadis Qudsi, tentang janji Allah mengenai syurga: dari Rasulullah SAW bahawa Allah SWT telah berfirman: “Aku menyediakan syurga kepada hamba-Ku yang beriman. Ia suatu pemandangan yang tidak pernah terpandang oleh pandangan mata, tidak pernah terdengar oleh telinga serta tidak pernah terdetik dalam hati manusia betapa indahnya syurga Allah.” [HR Bukhari].
- Sabab nuzul ayat:
Diriwayatkan bahawa Ummul Mukminin- Ummu Salamah RA pernah berkata:
“Wahai Rasulullah, kami belum pernah mendengar Allah menyebut tentang kaum wanita dalam masalah hijrah.” Maka Allah SWT menurunkan firman-Nya: {Maka Tuhan mereka memperkenankan permohonannya (dengan berfirman), “Sesungguhnya Aku tidak menyia-nyiakan amal orang-orang yang beramal di antara kalian, baik laki-laki ataupun perempuan.”} (Ali Imran: 195), sehingga akhir ayat. [HR at-Tirmizi].
Yakni ayat ini memberi penjelasan bahawa kaum wanita juga mendapat pahala yang sama dengan kaum lelaki.
- Dalam ayat ini Allah menegaskan bahawa kaum lelaki & kaum perempuan berasal dari sumber yang sama & masing-masing akan mendapat pahala & balasan baik yang telah dijanjikan oleh Allah bagi hamba-Nya yang beramal soleh!
PENUTUP & FAEDAH :
- Dalam ayat-ayat ini Allah SWT ulang lafaz atau perkataan : {Wahai Tuhan kami- رَبَّنَآ} sebanyak 5 kali.
Untuk menyatakan rayuan memohon rahmat Allah!
Ini kerana apabila berulang seruan kita ini menunjukkan permohonan dan hajat kita yang sangat tinggi kepada Allah SWT!.
Kata ulama’ tadabbur juga : Mengulang banyak kali juga adalah antara sebab dikabulkan sesuatu doa itu!
Kita juga bertawasul kepada Allah SWT dengan sifat-Nya yang Maha tinggi & dengan nama-nama-Nya.
Kita sebut sifat Penciptaan, sifat Pemilik & Pentadbir (tauhid Rububiyyah) yang dekat kepada kita serta menunjukkan pengiktirafan kita kepada keagungan Allah SWT!
- Ayat 193- {Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah mendengar seorang Penyeru (Rasul) yang menyeru kepada iman,}-
Kita telah dengar seruan untuk beriman dari Allah yang dibaca oleh Rasulullah SAW yang telah berdakwah dengan bermati-matian!
Menunjukkan betapa Nabi kita, Rasulullah SAW telah berdakwah dengan jelas dan zahir serta penuh hikmah!
Maka para pendakwah juga perlu jelas dan sampaikan dakwah Nabi SAW. dengan penuh hikmah.
Maka apabila kita dengar Allah SWT panggil; kita terus beriman!
Kami telah beriman, menerima dakwah & seruan Rasulullah SAW- maka layakkan kami untuk mendapat rahmat-Mu!
- Ayat 193- {Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah mendengar seorang Penyeru (Rasul) yang menyeru kepada iman, maka kami pun beriman. Wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa-dosa kami, dan hapuskanlah daripada kami kesalahan-kesalahan kami, dan matikanlah kami bersama orang-orang yang berbakti;}-
Para ulul-albab ini bertawasul dengan amal soleh mereka sendiri!
Kata ulama’ : Inilah cara atau adab berdoa yang baik:
i- Mulakan dengan puji Allah SWT & selawat ke atas Rasulullah SAW.
ii- Jika ada amal soleh atau kebaikan kita- maka sebutlah ia- itu dibenarkan!
iii- Barulan kita minta, pohon & doalah apa yang dihajati!
Sebut kebaikan kita kepada Allah yakni tawasul dengan amal soleh itu dibenarkan! Tetapi ungkit kebaikan kita kepada orang itu tidak dibenarkan!
- Ayat 194- {Wahai Tuhan kami! Berikanlah kepada kami pahala yang telah Engkau janjikan kepada kami melalui Rasul-rasulMu, dan janganlah Engkau hinakan kami pada hari kiamat; sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji”.}-
Allah sebut doa ulul-albab yang minta Allah anugerahkan apa yang Allah telah janjikan!
Persoalan: Apakah rahsia ulul-albab minta atau tuntut janji dengan Allah sedangkan sudah diketahui bahawa Allah SWT itu sesekali tidak akan mungkiri janji-Nya?????
Jawapannya ada beberapa point:
i- Bukan maksudnya doa ini kita tuntut janji dari Allah! Tetapi kita nak menzahirkan rendah diri & penghinaan diri, al-ubudiyyah serta menunjukkan betapa berhajatnya kita kepada Allah Azza wa Jalla!
ii- Janji Allah SWT tidak kena kepada individu tetapi janji umum kepada sifat tertentu.
Contoh; janji Allah kepada orang yang bertaqwa- pahala; kepada orang yang jahat-bala!
Maka kita berdoa kepada Allah- kita nak pahala yang Allah janjikan kepada orang mukmin atau bertaqwa itu!
Atau sesiapa yang bersifat seperti yang Allah sebutkan maka ia umum; sesiapa saja yang bersifat seperti yang disebut itu maka dia layak mendapat anugerah Allah SWT itu!
Jika Allah kata seorang-seorang tetapi nama kita tiada- malanglah.
iii- Allah SWT katakan bahawa Dia telah berjanji untuk beri pertolongan kepada orang mukmin untuk mengalahkan musuhnya.
Maka mereka yang dijanjikan itu minta Allah segerakan janji itu!
Contoh: Sebagaimana doa Rasulullah SAW semasa malam perang Badar.
Rasulullah minta Allah tunaikan apa yang dijanjikan-Nya untuk beri kemenangan kepada Islam, kepada tentera muslimin, sehinggalah malaikat datang bawa berita kemenagan kepada Baginda SAW.
- Ayat 195- {Maka Tuhan mereka perkenankan doa mereka (dengan firmanNya): “Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang-orang yang beramal dari kalangan kamu, sama ada lelaki atau perempuan,}-
Allah sebut di sini bahawa Dia tidak akan sia-siakan pahala semua hamba-Nya yang beriman samada lelaki atau perempuan!
Maka ayat ini adalah penenang kepada kaum wanita!
Semua amalan yang kamu buat sama sahaja dengan lelaki pahalanya; kamu solat, kamu puasa, sedekah, kamu keluarkan zakat dan lain-lain amal ibdat & kebajikan; kamu akan dapat pahala sama seperti kaum lelaki dapat!
Sudah dihuraikan dalam Surah Al-Ahzab di atas.
Allah kata Dia ampunkan & hapuskan dosa, akan berikan pahala yang besar dari sisinya & rezeki anugerah yang amat indah iaitu syurga yang tidak pernah dilihat oleh mata, didengar oleh telinga & tidak tergambar oleh fikiran manusia.
Ya Allah jadikan kami, ibu bapa kami, kaum keluarga kami, guru & pelajar kami serta semua orang yang kami sayangi dari ahli syurga, matikanlah kami dalam husnul khatimah & mati bersama al-abrar dan masuk syurga bersama al-abrar.
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.