View Categories

Surah Ali-‘Imran : Ayat 196-198

JANGAN TERPEDAYA DENGAN KEHEBATAN KAFIR, NIKMAT DUNIA HANYA SEDIKIT & GOLONGAN ABRAR KE SYURGA.

Full video : https://youtu.be/gyEKmZiMS6o?si=6qfK0b3izTJB9OFm

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir bagi ayat 196 sehingga 198, surah Ali-‘Imran iaitu surah yang ketiga, dalam juzu’ yang keempat.  
  1. Dalam siri ini Allah SWT mengingatkan hamba-hamba-Nya agar jangan terpedaya dengan kehebatan kafir, tengok dia hebat. 
    Kaya & maju rasa nak jadi kafir juga! 
    Ambil atau belajar kemajuan teknologi mereka tidak mengapa tetapi jangan sampai kagum dan memuja mereka!
  1. Allah juga ingatkan manusia bahawa nikmat dunia hanya sedikit, jangan terpedaya dengannya!  
  1. Bagi orang beriman & yang bertaqwa- itulah golongan abrar, mereka yang aman di dunia & selamat di Akhirat & ke syurga tempat akhir mereka.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT menyatakan tentang Dia sediakan balasan pahala yang baik kepada orang yang beriman. 
    Adakalanya orang mukmin ketika di dunia ini sangat faqir dan susah sekali.
    Contoh pada zaman Rasulullah SAW mereka yang faqir ialah para sahabat ahli Suffah (yang duduk dekat masjid Nabi SAW, bersedia menunggu panggilan jihad). seperti Abu Hurairah RA dan lain-lain. Tetapi walaupun faqir mereka tidak meminta sedekah. 
    Manakala orang kafir pula kebanyakannya para jutawan. Hidup senang lenang, kaya raya!
    Tetapi kita boleh ambil atau belajar teknologi kemajuan mereka kerana kata hukama’: Hikmah benda yang baik atas dunia ini adalah barang hak orang mukmin yang tercicir! 
    Tamadun Islam suatu ketika dahulu sebenarnya jauh lebih canggih & ke depan berbanding dengan orang kafir & barat! 
    Apa boleh buat ia telah tercicir & dikutip oleh orang kafir- maka sekarang ini kita nak ambilnya balik insya’ Allah!

    ii- Maka dalam ayat ini pula Allah bawa untuk menenangkan hati para sahabat, Allah suruh mereka sabar atas kesusahan yang dihadapi kerana nikmat dunia hanya sedikit sahaja berbanding dengan Akhirat. 
    Dunia ini hanya sementara, nikmatnya juga sedikit & sementara juga; maka jangan sesekali kamu terpedaya! 

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 196- {JANGAN SEKALI-KALI ENGKAU (WAHAI MUHAMMAD) TERPEDAYA OLEH USAHA GERAKAN ORANG-ORANG YANG KAFIR DI DALAM NEGERI (YANG MEMBAWA KEUNTUNGAN-KEUNTUNGAN KEPADA MEREKA).} (ALI-‘IMRAN 3:196)

  1. Allah SWT memperingatkan Rasulullah SAW dan kita semua agar jangan sesekali terpedaya dengan kemajuan, kekayaan & kehebatan teknologi orang kafir di negara-negara maju!
  1. Kita boleh tengok & ambil manfaat kemajuan mereka – mana yang baik & tidak bercanggah dengan Syari’ah Islam kita boleh ambil. 
    Tetapi nak ambil budaya & cara hidup mereka apatah lagi agama kepercayaan mereka; jangan sesekali!
  1. Wahai umat Muhammad! Kamu jangan terlalu mengagumi mereka orang kafir sehingga terpedaya, terperangkap dengan penampilan zahir mereka. 
    Yang berjalan sana sini dengan bawa perniagaan berjuta-juta, dengan kedudukan pangkat & kekuasaan yang tinggi dan seumpamanya!
  1. Firman Allah SWT juga:
    {Tidak ada yang membantah mengenai ayat-ayat Allah melainkan orang-orang yang kafir. Oleh itu janganlah engkau (wahai Muhammad) diperdayakan oleh kebebasan mereka bergerak dengan berulang alik dari sebuah bandar ke bandar yang lain.} (Ghaafir 40:4)
  1. Yakni di dalam al-Quran Allah SWT telah beri beberapa amaran agar kita jangan terpedaya dengan kedudukan zahir mereka atas dunia ini!
  1. Jika kita lihat senarai manusia yang terkaya atas dunia ini ialah mereka yang kafir & tidak beriman kepada Allah SWT! 
    Kita jangan terperangkap dengan kedudukan mereka. 
    Biarlah mereka kaya & senang atas dunia yang sementara ini!

AYAT 197- {(SEMUANYA) ITU HANYALAH KESENANGAN YANG SEDIKIT, (AKHIRNYA AKAN LENYAP), KEMUDIAN TEMPAT KEMBALI MEREKA NERAKA JAHANNAM: DAN ITULAH SEBURUK-BURUK TEMPAT KETETAPAN.} (ALI-‘IMRAN 3:197)

  1. Bila Allah pesan & beri peringatan kepada kita- Allah akan beri pula sebabnya!
    Ini kerana kehidupan dunia ini hanyalah kecil & sedikit sekali, tidak bernilai berbanding dengan nikmat Akhirat yang kekal abadi!
  1. Hadis- Dari Sahl bin Sa’id as-Sa’idi RA, Rasulullah SAW bersabda: لَوْ كَانَت الدُّنْيَا تَعْدِلُ عِنْدَ الله جَنَاحَ بَعُوضَةٍ ، مَا سَقَى كَافِراً مِنْهَا شَرْبَةَ مَاءٍ
    “Seandainya dunia ini di sisi Allah senilai harganya dengan sayap nyamuk, nescaya Allah tidak akan memberi minum barang seteguk sekalipun kepada orang kafir.” [HR Tirmidzi #2320]
  1. Maka kerana dunia ini tiada nilai maka puak kafirlah yang mengguasai teknologi, ekonomi kekayaan, pentadbiran, kekuasaan atas dunia ini! 
    Kita umta Islam hanya menjadi pengguna setia!
    Tetapi ingat ini semua bukan menjadi penghalang untuk kita berusaha berikhtiar untuk senang, kaya & maju! 
  1. Ini kerana dunia ini hanya sementara, apa yang dimiliki oleh mereka itu adalah kelazatan yang akan hilang & tempohnya juga terhad!
    Mereka akan mati dengan tibanya ajal mereka! Sukatannya amat sedikit berbanding dengan nikmat syurga Allah!
  1. Kemudian tempat kembali mereka orang kafir itu setelah kematian mereka & hilang nikmat atas dunia ini itu adalah neraka Jahannam, dan ia adalah seburuk-buruk tempat kembali yang penuh azab siksa! Wal-‘iyazu billah.
  1. Beberapa firman Allah lagi yang menunjukkan bahawa nikmat yang didapati oleh para kafir itu hanya sementara:
    i- {Kami akan berikan mereka menikmati kesenangan bagi sementara (di dunia), kemudian Kami akan memaksa mereka (dengan menyeretnya) ke dalam azab yang amat berat.} (Luqman 31:24)

    ii- {Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya orang-orang yang mengada-adakan sesuatu yang dusta terhadap Allah, tidak akan berjaya”.
    (Apa yang mereka beroleh hanya) kesenangan di dunia, kemudian kepada Kamilah tempat kembalinya mereka. Kemudian Kami akan rasakan mereka azab yang berat disebabkan perbuatan kufur yang mereka lakukan.} (Yunus 10: 69-70)

    iii- {(Jika sudah diketahui yang demikian) maka adakah orang yang Kami janjikan kepadanya janji yang baik (balasan Syurga) lalu ia mendapatnya, sama seperti orang yang kami kurniakan menikmati kesenangan hidup di dunia kemudian ia pada hari kiamat termasuk dalam golongan yang dibawa (untuk menerima azab neraka)?} (Al-Qasas 28:61)
  1. Kita boleh ambillah ayat-ayat ini sebagai panduan bahawa berikut yang dinikmati oleh orang kafir atas dunia ini hanyalah nikmat yang berwaktu & sementara!

AYAT 198- {TETAPI ORANG-ORANG YANG BERTAQWA KEPADA TUHAN MEREKA, MEREKA BEROLEH SYURGA-SYURGA YANG MENGALIR DI BAWAHNYA BEBERAPA SUNGAI, MEREKA KEKAL DI DALAMNYA, SEBAGAI TEMPAT SAMBUTAN TETAMU (YANG MERIAH DENGAN NIKMAT PEMBERIAN) DARI ALLAH. DAN (INGATLAH) APA JUA YANG ADA DI SISI ALLAH ADALAH LEBIH BAGI ORANG-ORANG YANG BERBAKTI (YANG TAAT, YANG BANYAK BERBUAT KEBAJIKAN).} (ALI-‘IMRAN 3:198)

  1. Munasabah ayat ini dengan yang sebelumnya:
    i- Sebelum ini Allah nyatakan janji keras & amaran kepada puak kafir. Seperti selepas itu akan disebut yang sebaliknya iaitu keadaan orang yang beriman.

    ii- Maka dalam ayat yang mulia ini Allah SWT bawa beberapa sifat orang yang beriman pula.
  1. Siapakah orang yang beriman & bertaqwa ini:
    i- Orang yang ikut perintah Allah SWT.

    ii- Menjauhkan diri daripada larangan Allah SWT.  
  1. Balasan dari Allah bagi mereka ini ialah nikmat di negeri Akhirat iaitu:
    i- Syurga yang mengalir dibawahnya sungai-sungai!

    ii- Nikmat ini pula akan kekal berterusan, tidak akan terputus atau habis!
  1. Allah juga menyatakan orang bertaqwa akan menjadi tetamu yang mendapat sambutan yang begitu hebat dari sisi Allah {نُزُلًۭا مِّنْ عِندِ ٱللَّهِ}, yang Allah sediakan- maka pastilah ia juga indah & menawan!
  1. Semua ini adalah nikmat yang kekal abadi, syurga yang Allah sediakan bagi orang-orang yang berbakti {لِّلْأَبْرَارِ}- yang banyak buat amal soleh & kebajikan.
    Inilah satu kemuliaan & kebaikan bagi orang yang berbuat kebaikan!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 196- {Jangan sekali-kali engkau (wahai Muhammad) terpedaya oleh usaha gerakan orang-orang yang kafir di dalam negeri (yang membawa keuntungan-keuntungan kepada mereka).}

    Allah kata janganlah kamu terpedaya dengan apa yang ada pada puak kafir itu.
    Ini kerana apa yang Allah beri kepada mereka daripada kesenangan atau habuan dunia bukan tanda Allah redha & suka kepada mereka! 
    Yang menjadi tanda ukuran akan keredhaan Allah SWT ialah apabila seseorang itu taat mengikut Syari’ah Allah. 
    Dapat berkuasa atas dunia ini bukan bermakna dapat pertolongan Allah, senang atau kaya atas dunia ini bukan bermakna dapat anugerah dari Allah!
    Bagi orang yang menolong agama Allah itu Allah akan tolongnya.
    Allah beri peluang kepada orang kafir untuk menguasai sementara nikmat dunia yang ada ini supaya mereka akan dibalas dengan balasan yang berat di sisi Allah Azza wa Jalla.
    Maka jangan mudah tertipu, jangan mudah koyak dengan kedudukan puak kafir, mereka hanya senang di dunia secara zahirnya tetapi sengsara di akhirat.
  1. Ayat 197- {(Semuanya) itu hanyalah kesenangan yang sedikit, (akhirnya akan lenyap), kemudian tempat kembali mereka neraka Jahannam: dan itulah seburuk-buruk tempat ketetapan.}-

    Adakalanya Allah beri nikmat itu sebagai istidraj.
    Istidraj ialah diberikan kemewahan yang menyebabkan seseorang itu makin jauh dari Allah, makin sombong, makin angkuh kerana dia ingatkan dia kaya & senang kerana disayangi Allah, dia menang kerana Allah tolong. Inilah bahayanya istidraj.

    Sebagaimana firman Allah set ini:
    {Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan.} (Al-Anbiyaa’ 21:35)
    Allah beri kepada orang itu kedudukan sebagai ujian. 
    Jika dia syukur, alhamdulillah. Jika tidak akan makin sombong bongkak, makin bertambah dosa & keburukannya- na’uzubillah!
  1. Ayat 196- {Jangan sekali-kali engkau (wahai Muhammad) terpedaya oleh usaha gerakan orang-orang yang kafir di dalam negeri (yang membawa keuntungan-keuntungan kepada mereka).}-

    Jangan kamu terpedaya dengan zahir kesenangan orang kafir atas dunia ini.

    Ayat ini membawa persoalan: 
    Bagaimanakah Rasulullah SAW boleh terpedaya dengan orang kafir, sehingga Baginda dilarang begitu? 
    Apakah Nabi mudah terpedaya macam-macam kita juga? 
    Mudah terperangkap dengan mainan iblis juga?

    Jawapan: 
    Seorang ketua yang mempunyai kedudukan seperti ketua kaum, apabila mahu ditegur pengikutnya atau orang bawahnya, akan direpot atau disampaikan kepadanya sebagai ketua mereka walaupun bukan dia yang buat tetapi pengikutnya. 
    Nabi SAW tidak terpedaya, ayat ini walaupun khitab (percakapannya) seolah dituju kepada Nbbs SAW seorang tetapi ia sebenarnya ditujukan kepada Nabi & umatnya SAW.
    Berhati-hatilah kamu semua agar tidak terpedaya, terpesong, tertipu dengan nikmat dunia yang sementara.
  1. Ayat 196- {Jangan sekali-kali engkau (wahai Muhammad) terpedaya oleh usaha gerakan orang-orang yang kafir di dalam negeri (yang membawa keuntungan-keuntungan kepada mereka)-

    Jangan kamu terpedaya dengan nikmat dunia yang sementara ini.
    Ulama’ tadabbur semasa kata maknanya: Kita jangan mudah terperangkap dengan talbis/mainan iblis terhadap akal orang-orang mukmin. Iblis ini termasuk syaitan jin atau manusia!
    Antara perangkap mereka yang amat sukar untuk kita nak lepaskan diri, syaitan, puak kafir/munafik guna melalui alat-alat hiburan (istilah sekarang healing) yang lagha dan melekakan. Yang penting nak melalaikan kita daripada mengingati Allah Azza wa Jalla. 
    Sekarang ini orang berlindung disebalik nama kebudayaan atau budaya, boleh berjoget menari dan sebagainya. 
    Semua itu permainan iblis yang mengasyikkan.
    Pada hari raya kononnya adalah budaya untuk bersukaria; menyanyi berjoget- sedangkan ini bukan budaya orang Islam!
    Tak perlulah guna lagu agama seperti nasyid, selawat dan lain-lain sebagai background untuk buat video-video yang tidak sopan & tidak sesuai bagi orang yang beriman. 
    Walaupun menutup aurat, tidak bercampur dengan mahram; tetapi lelaki & wanita, tua muda apatah lagi Muslimah dengan gerakan yang tidak melambangkan akhlak orang Islam yang soleh & bertaqwa!
    Jika alasan nak buat hanya untuk suka-suka sesama keluarga- kenapa perlu upload & sebarkan kepada tatapan umum!  

    Bagi muslimat; menutup aurat dengan sempurna, berpurdah lagi- bukan lessen untuk anda bergedik, berlenggang-lengok apatah lagi menari terkinja-kija di hadapan umum menjadi tontonan orang! 
    Firman Allah SWT:
    {Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.} (An-Nuur 24:31)

    Menghentak kaki supaya berbunyi gelang pun sudah dikira sebagai satu tabarruj apatah lagi menggoyangkan badan dihadapan umum.
    Hadis- sabda Rasulullah SAW:
    “Dua kelompok ahli neraka yang belum saya lihat yakni ada umatku yang akan datang ini,: Satu kaum bersama mereka cemeti-cemeti seperti ekor unta, mereka memukul manusia dengannya (yakni orang zalim). Dan wanita-wanita yang berpakaian tapi telanjang, berjalan melenggok, tidak taat kepada Allah, rambut kepala mereka bagaikan bonggol unta yang tinggi. Wanita-wanita ini tidak masuk syurga dan tidak pula mencium bau syurga, padahal baunya syurga dapat dihidu sejauh perjalanan sekian sekian”. (HR Imam Muslim)

    Inilah tablis iblis- wanita yang tutup tetapi tak malu atau dedah & bertabaruj yang boleh menjuruskan kepada maksiat, pergaulan bebas & hilang malu- sudah menjadi satu normalisasi dalam masyarakat kita.
    Inilah yang cukup bahaya kepada kita- sesuatu yang merosakakn kita sehingga kita terlupa kepada apa yang Allah SWT pesan kepada kita.
    Berselindung disebalik budaya, lagu nasyid dan sebagainya.

    Kata Allahyarham TG Hj Abdur Rahaman : Bukan budaya itu tetapi tipu-daya syaitan! 
    Jangan tertipu dengan perkara yang menyesatkan dan merugikan ia sesuatu yang santai tetapi akan memunah & merosakkan.
    Begitu juga ustazah yang mengajar al-Quran, pilih sama jantina, lelaki dengan lelaki, perempuan sama perempuan, kerana ia perlu kepada perhatian yang lebih lagi, maka elakkan fitnah untuk selamat dunia & Akhirat.
  1. Ayat 197- {(Semuanya) itu hanyalah kesenangan yang sedikit, (akhirnya akan lenyap), kemudian tempat kembali mereka neraka Jahannam: dan itulah seburuk-buruk tempat ketetapan.}-

    Semua itu hanya sementara & neraka Jahannamlah tempat kembali mereka!
    Ayat ini adalah isyarat kepada:
    i- Nikmat-nikmat atas dunia hanya sementara! Kesenangan orang kafir itu hanya bertempoh & tidak akan kekal sesekali! 

    ii- Kita akan lupa semua nikmat yang kita lalui atas dunia ini! 
    Hadis- Daripada Anas bin Malik, SAW bersabda: “‏ يُؤْتَى بِأَنْعَمِ أَهْلِ الدُّنْيَا مِنْ أَهْلِ النَّارِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَيُصْبَغُ فِي النَّارِ صَبْغَةً.
    Seseorang yang paling senang hidupnya di dunia daripada ahli neraka dibawa pada hari Kiamat lalu dicelup ke dalam neraka.
    ثُمَّ يُقَالُ يَا ابْنَ آدَمَ هَلْ رَأَيْتَ خَيْرًا قَطُّ هَلْ مَرَّ بِكَ نَعِيمٌ قَطُّ
    Kemudian dikatakan kepadanya: Wahai anak Adam. Adakah engkau pernah melihat sebarang kesenangan? Adakah kenikmatan pernah muncul dalam hidup engkau?
    فَيَقُولُ لاَ وَاللَّهِ يَا رَبِّ ‏.‏
    Orang itu menjawab: Tidak, demi Allah, wahai tuhanku.
    وَيُؤْتَى بِأَشَدِّ النَّاسِ بُؤْسًا فِي الدُّنْيَا مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ فَيُصْبَغُ صَبْغَةً فِي الْجَنَّةِ
    Dibawakan pula seseorang yang paling susah hidupnya di dunia daripada ahli syurga, lalu dicelup ke dalam syurga.
    فَيُقَالُ لَهُ يَا ابْنَ آدَمَ هَلْ رَأَيْتَ بُؤْسًا قَطُّ هَلْ مَرَّ بِكَ شِدَّةٌ قَطُّ
    Lalu ditanya kepada beliau: Wahai anak Adam. Adakah engkau pernah melihat sebarang kesusahan? Adakah kesusahan pernah muncul dalam hidup engkau?
    فَيَقُولُ لاَ وَاللَّهِ يَا رَبِّ مَا مَرَّ بِي بُؤُسٌ قَطُّ وَلاَ رَأَيْتُ شِدَّةً قَطُّ ‏”‏ ‏.
    Dia menjawab: Tidak, demi Allah, wahai tuhan ku. Tidak pernah kesusahan muncul dalam hidup ku dan tidak pernah aku melihat sebarang kesusahan. [Sahih Muslim, Kitab Sifat al-Qiyamah wa al-Jannah wa an-Nar, no: 2807].

    Di akhir ayat Allah SWT sebut orang-orang yang berbuat baik akan dapat keredhaan Allah. Kenapa dinamakan al-abrar {الْأَبْرَارِ}?
    Jawapan:
    Kata ulama’: Dinamakan abrar kerana mereka berbuat baik kepada ibu bapa dan juga kepada anak-anak (البر). Orang baik-baik yang taat kepada Allah SWT & berbuat baik juga kepada sesama manusia seperti ibu bapa, anak-anak dan semua.
    Sebagaimana ayah ada hak ke atas anak, anak juga ada hak ke atas ayah, masing-masing ada hak & tanggungjawab yang tersendiri. 
    Kerana itu dinamakan orang yang baik-baik, orang yang taat kepada Allah! 
    Hak kita ke atas Allah pula kita kena taat akur kepada-Nya. 
    Manakala hak kita ke atas Allah ialah, Allah tidak akan mengazab orang yang melakukan ibadat & ketataan kepada-Nya.
    Ya Allah jadikan kami dari kalangan al-abrar yang akan akan mendapat rahmat & anugerah nikmat-Mu di Akhirat kelak!

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs