ALLAH TAHU SEMUA YANG SEMBUNYI DAN NYATA, SEMUA RAHSIA AKAN TERDEDAH & PENYESALAN TIDAK BERGUNA.
Full video : https://youtu.be/vbzUyrqY4S0?si=gliW0TGGsYapQ70K
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir bagi ayat 29 dan 30, surah Ali-‘Imran iaitu surah yang ketiga, dalam juzu’ yang ketiga.
- Ayat ini ialah sambungan daripada kisah larangan Allah Azza wa Jalla daripada berwala’kan kepada orang kafir!
Kita orang Islam tidak boleh wala’kan orang kafir, kena utamakan kesatuan Islam & ummah! Jangan jadi munafiq dalam negara atau masyarakat Islam.
- Dalam ayat ini Allah menyatakan bahawa Allah tahu semua yang kamu sembunyi dan nyata, jika kamu sayangkan orang kafir dan bencikan orang Islam, Allah tahu semuanya tidak ada beza!
- Kemudian Allah nyatakan semua rahsia akan terdedah dan orang kafir akan menyesal dengan penyesalan tidak berguna.
- Munasabah ayat:
i- Dalam ayat 128 yang sebelumnya Allah SWT melarang orang mukmin daripada menyintai orang kafir zahir & batin, serta dari melantik orang kafir sebagai ketua selagi ada orang Islam yang kita boleh berkerjasama & pilih sebagai ketua!
Allah juga nyatakan pengecualian kepada orang mukmin yang dalam ketakutan dan ditindas, sehingga mereka selamat atau berhijrah.
ii- Maka ayat ini datang dengan satu janji (وعيد) amaran keras dari Allah SWT supaya jangan kamu sembunyikan kecintaan kepada orang kafir tetapi secara zahir seolah suka kepada orang Islam!
Lalu Allah bagi amaran keras jika kamu bermuka-muka dengan orang mukmin atau sayang sungguh; Allah tahu semuanya! Bila Allah tahu maka Dia akan balas apa yang kamu lakukan!
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 29-{KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD): “JIKA KAMU SEMBUNYIKAN APA YANG ADA DALAM DADA KAMU ATAU KAMU MELAHIRKANNYA, NESCAYA ALLAH MENGETAHUINYA; DAN IA MENGETAHUI SEGALA YANG ADA DI LANGIT DAN YANG ADA DI BUMI. DAN ALLAH MAHA KUASA ATAS TIAP-TIAP SESUATU.} (ALI-‘IMRAN 3:29)
- Allah perintahkan kepada Rasulullah SAW untuk memberi peringatan dan amaran kepada umatnya bahawa;
i- Allah SWT tahu semua apa yang kamu sembunyikan atau zahirkan.
Apa yang ada dalam hati kamu, apa yang terkandung dalam dada kamu, yang baik atau buruk, sama ada kamu benci kepada kepada orang mukmin, sayang kepada orang kafir ke, atau apa yang kamu benar-benar zahirkannya, Allah SWT tahu & Allah akan balas!
ii- Tiada apa yang tersembunyi dari ilmu pengetahuan Allah SWT!
Kita zahirkan keikhlasan kita dalam beribadat Allah tahu, jika kita sembunyikan pun Allah tahu!
Ini adalah ilmu khas kepada apa yang ada dalam hati manusia.
- Kemudian datang pula ilmu am tentang pengetahuan Allah yang menyeluruh:
i- Allah tahu semua yang ada di langit dan semua yang terkandung dalam bumi, atas bumi. Tiada yang tersembunyi daripada pengetahuan Allah SWT!
ii- Allah SWT juga berkuasa atas setiap sesuatu. Kuasa Allah ini adalah kuasa yang mutlak {كن فيكن}, apa yang dia mahu akan berlaku, apa yang tidak khendaki tidak akan berlaku!
- Amat sempurnanya ilmu & kuasa Allah SWT : Tiada benda yang boleh melemahkannya, apabila dia nak jatuhkan segera azab kepada sesiapa- tiada siapa yang boleh halang & tangguh!
Begitu juga jika Allah nak tangguhkan azab tiada siapa yang boleh mempercepatkannya!
AYAT 30-{(INGATLAH) HARI (KIAMAT YANG PADANYA) TIAP-TIAP SEORANG AKAN MENDAPATI APA SAHAJA KEBAIKAN YANG TELAH DIKERJAKANNYA, SEDIA (DIBENTANGKAN KEPADANYA DALAM SURAT-SURAT AMALNYA); DAN DEMIKIAN JUGA APA SAHAJA KEJAHATAN YANG TELAH DIKERJAKANNYA. (KETIKA ITU TIAP-TIAP ORANG YANG BERSALAH) INGIN KALAU ADA JARAK YANG JAUH DI ANTARANYA DENGAN AMALNYA YANG JAHAT ITU. DAN ALLAH PERINTAHKAN SUPAYA KAMU BERINGAT-INGAT TERHADAP KEKUASAAN DIRINYA (MENYEKSA KAMU). DAN (INGATLAH JUGA), ALLAH AMAT BELAS KASIHAN KEPADA HAMBA-HAMBANYA.} (ALI-‘IMRAN 3:30)
- Munasabah ayat ini dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat 29 Allah menyatakan tentang ilmu-Nya & kuasa-Nya.
Serta Allah SWT tahu segala yang sudah berlaku, pernah, sedang berlaku dan yang akan berlaku juga! Maka apabila Allah tahu & Dia berkuasa dengan itu Dia akan ambil tindakan ke atas kita.
ii- Maka sesiapa yang berbuat baik, syukur & segala puji kepada Allah yang telah memberinya taufiq dan hidayah untuk membuat kebaikan yang akan mendapat pulangan yang besar di dunia & lebih-lebih di Akhirat.
Dan sesiapa yang berbuat jahat maka dia juga akan menerima balasannya.
- Maka datanglah ayat ini bahawa setiap jiwa & diri akan lihat apa yang dia bua tatas dunia ini, baik atau jahat, banyak atau sedikit. Sempurna & lengkap repot laporannya!
Suratan amalan yang kita nak baca di Akhirat nantilah kitlah penulisnya!
- Kita hidup atas dunia ini alhamdulillah Allah pilih kita sebagai orang yang beriman, yang jaga solat, jadi orang baik sehingga kita dihormati, dipuji & dihormati orang!
Tetapi janganlah kita pula belot & mengkhianati kepercayaan orang sehingga berlaku penipuan atas dunia & akan dibalas Allah di Akhirat kelak!
- Mungkin atas dunia ini kita boleh lepas & selamat, tidak ditangkap polis tidak disaman SPRN, tetapi di Akhirat kelak kita ada mahkamah Rabbul Jalil, tidak ada peguam yang boleh membela kita semua anggota kita akan menjadi saksi ke atas kita!
Jelas Allah sebut dalam ayat ini semua yang kita buat akan dibawa dan dibentang oleh para malaikat di hadapan Allah Azza wa Jalla, tapi kenapa kita masih berani sedangkankan setiap minggu kita baca surah Al-Kahfi:
{Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya); dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorangpun.} (Al-Kahfi 18:49)
- Yakni di Akhirat esok kita akan dapati apa yang kita buat akan ada di depan mata, kebaikan atau keburukan semua akan dibentang & dihisab!
Kita orang yang beriman insaf dan sedarlah dengan peringatan Allah SWT ini agar kita tidak menanggung kesusahan di Akhirat.
Kesusahan di dunia hanya sementara & berwaktu, bila mati kita tinggalkannya.
- Maka kita minta agar Allah SWT tidak biarkan kita terumbang-ambing atas dunia ini! اللهم إني أعوذ بك من الخذلان.
Juga minta perlindungan Allah agar tidak kembali menjadi buruk selepas menjadi baik sebagaimana doa Rasulullah SAW ini:
“اللهم إني أعوذ بك من الحور بعد الكور”
“Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung dengan Mu daripada berundur semula ke belakang (tidak melakukan amal soleh) setelah bergerak maju ke hadapan (melaksanakan amal soleh).”
Al-Haur (الحور) bermaksud berundur ke belakang dan kembali semula kepada keadaan asal.
Al-Kaur (الكور) bermaksud maju ke hadapan dan terus bergerak dalam perjalanan.
Inilah yang kita takuti dan banyakkan berdoa kepada Allah agar tetapkan hati kita agama & ketaatan kepada Allah!
- Semua orang yang sudah terjebak dalam dosa & maksiat di dunia dulu, mereka akan berangan-angan bercita-cita di Akhirat kelak untuk kembali ke dunia untuk bertaubat insaf menjauhkan dirinya dari segala dosanya, mahu berbuat kebajikan sebanyaknya!
Tetapi malangnya inilah penyesalan yang tidak berguna, nasi sudah menjadi basi!
- Sabda Rasulullah SAW:
“Aku sangat mengenali beberapa golongan manusia dari kalangan umatku yang datang pada Hari Kiamat dengan kebaikan yang banyak seumpama Bukit Tihamah Baidha’. Namun, Allah menjadikan amalan tersebut seperti debu-debu yang berterbangan (sia-sia).”
Lalu Thauban RA berkata : Wahai Rasulullah, beritahulah kepada kami ciri-ciri golongan tersebut? Terangkanlah kepada kami supaya kami tidak menjadi seperti mereka. Sesungguhnya kami tidak mengetahuinya. Baginda SAW pun bersabda : “Sesungguhnya mereka adalah dari kalangan saudara-saudara kamu, dari golongan yang sama kulit dengan kamu dan mereka melakukan pada waktu malam sepertimana yang kamu lakukan. Namun demikian, apabila mereka bersunyian-sunyian dengan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah, mereka sanggup melanggarnya.” [HR Ibnu Majah].
- Betapa pada zaman kita hari ini segalanya dihujung jari, maksiat & kebaikan dapat di access dengan mudah; di mana saja, pada bila-bila masa saja!
Cabaran & godaan begitu besar & amat bahaya!
Allah yang akan beri hidayah kepada kita, Allah yang dapat menyelamatkan kita daripada segala perkara yang tidak baik di dunia ini!
- Allah ulang sekali lagi dalam ayat ini bahawa Allah sendiri yang beri amaran peringatakan kepada kamu supaya kamu tidak lalai tidak lupa bahawa Allah akan ambil semua tindakan atas amalan kamu yang baik atau buruk!
Sebelum ini sudah diberi amaran dalam ayat-ayat sebelumnya.
- Penyesalan di Akhirat tidak berguna, nak menyesal menyesal sekarang di atas dunia ini!
Jika sudah tersilap buat dosa & maksiat, jika sudah terlajak perahu; terjebak dengan perkara doa & mungkar- marilah kita sedar insaf, kembalilah kepada Allah SWT!
- Kerana itu Allah tutup ayat ini supaya kita tidak tertekan & rasa tenang.
Allah tutup ayat ini dengan menyatakan bahawa Allah Amat belas kasihan kepada hamba-hamba-Nya, sangat rahmat & kasihan belas terhadap mereka yang kembali kepada-Nya!
Sebelum ini Allah bagi amaran akan ambil tindakan keras jika kamu buat dosa. Kemudian datang ayat ini sebagai penenang.
- Maka marilah kita kembali kepada Allah SWT agar hidup kembali tenang & bahagia!
Menyesal di dunia masih ada ruang untuk bertaubat, menyesal di Akhirat tiada guna lagi; kita terpaksa hadapi segala hukuman & azab yang Allah sediakan!
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 29-{Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika kamu sembunyikan apa yang ada dalam dada kamu atau kamu melahirkannya, nescaya Allah mengetahuinya;}-
Jika kamu sembunyikan atau zahirkan, Allah tahu semuanya!
Ada dua isu dalam ayat ini:
i- Pertama Allah kata Dia tahu apa yang ada dalam dada (فِى صُدُورِكُمْ) kamu bukan apa yang ada dalam hati kamu (فِى قلوبكُمْ).
Ulama’ kata : Ini kerana hati itu berada dalam dada dan secara spontan biasanya kita akan tunjukkan kepada dada kita apabila nak menunjukkan niat kita.
Maka Allah jadikan dada itu sebagai bekas untuk niat dan Allah gunakan ta’bir (susunan ayat) begini agar kita sentiasa berfikir tentang ayat-ayat Allah!
ii- Dalam ayat ini Allah mulakan dengan yang tersembunyi:
{Jika sembunyikan apa yang ada dalam dada kamu atau kamu melahirkannya {إِن تُخْفُوا۟ مَا فِى صُدُورِكُمْ أَوْ تُبْدُوهُ} nescaya Allah mengetahuinya}.
Tetapi dalam ayat lain Allah mulakan yang zahhir dahulu: {Dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hati kamu atau kamu memyembunyikannya, {وَإِن تُبْدُوا۟ مَا فِىٓ أَنفُسِكُمْ أَوْ تُخْفُوهُ} nescaya Allah akan menghitung dan menyatakannya kepada kamu.} (Al-Baqarah 2:284)
Jawapan:
i- Kerana dalam ayat ini Allah nyatakan ilmunya: Allah tahu semuanya kamu nyatakan atau sembunyikan Allah tahu juga {يَعْلَمْهُ ٱللَّهُ}. Ilmu Allah amat mendalan maka dimulakan dengan yang tersembunyi dulu, yakni hatta yang kamu tidak zahirkan pun Allah tahu!
ii- Manakala dalam ayat Al-Baqarah itu kerana Allah nak nyatakan apa yang kamu zahirkan atau sembunyikan kamu akan dihitung hisab, diambil tindakan & diberi pembalasan keduanya {يُحَاسِبْكُم بِهِ ٱللَّهُ }.
ini kerana hisab ini akan dimulakan dengan zahir, manakala soal hati tiada siapa boleh ambil tindakan & tahu kecuali Allah!
Setiap ayat itu bergantung kepada isu perbincangannya maka kerana itu susunan ayatnya begitu indah & teratur! Alangkah indahnya Al-Quran & ilmu tadabbur semoga hati kita semakin mencintainya!
- Ayat 29-{Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika kamu sembunyikan apa yang ada dalam dada kamu atau kamu melahirkannya, nescaya Allah mengetahuinya;}-
Ayat ini memberi isyarat & bimbingan agar kita sentiasa bersihkan hati kita.
Sentiasalah berdoa dengan doa yang diajar oleh Rasulullah SAW:
اللَّهُمَّ طَهِّرْ قَلْبِي مِنَ النِّفَاقِ ، وَعَمَلِي مِنَ الرِّيَاءِ ، وَلِسَانِي مِنَ الْكَذِبِ ، وَعَيْنِي مِنَ الْخِيَانَةِ، فَإِنَّكَ تَعْلَمُ خَائِنَةَ الأَعْيُنِ وَمَا تُخْفِي الصُّدُورُ
“Wahai Allah bersihkanlah hatiku dari nifaq, (bersihkanlah) amalku dari riya, (bersihkanlah) lisanku dari dusta, (bersihkanlah) mataku dari pengkhianatan. Sesungguhnya Engkau mengetahui pandangan mata yang khianat dan apa yang disembunyikan didalam dada.”
i- Kita juga kena usahakan bersihkan hati kita, bagaimana kena belajar & kaji, boleh baca buku Penawar Bagi Hati ini & dengar kuliahnya: https://dartaibah.com/?page_id=179…
ii- Kita kena ingat sentiasa bahawa Allah bersifat dengan ilmu, mengetahui segala apa yang kita buat. Jika sifat ini terpasak dalam hati, kita tak akan berani tipu & kelentong orang.
iii- Kita akan rasa malu kepada Allah SWT jika dalam hati kita ini penuh dengan riya’ maksiat & dosa.
iv- Apabila kita sudah tahu siapa itu Allah, maka kita kena berfikir bagaimana nak mendekatkan diri kita kepada Allah SWT!
Apabila kita kenal Allah maka kita wajib:
i- Kena jauhkan diri kita daripada maksiat.
Kata ulama’ : Munculkan diri kamu di tempat yang Allah nak tengok kamu serta jauhkan diri kamu dari tempat yang Allah tak suka lihat kamu!
Jangan duduk dalam grup yang galakkan maksiat & suka mengumpat mengata orang, jangan pergi ke tempat orang buat maksiat dan seumpamanya.
ii- Kita kena gemar, suka untuk melakukan kebaikan & kebajikan.
Sentiasa hadir & muncul ditempat yang Allah suka tengok kita ada seperti di masjid, ziarah orang sakit, orang mati, majlis-majlis ilmu bahkan berada di rumah juga kerana menjalankan tanggungjawab & tugas terhadap keluarga!
- Ayat 29-{Dan Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.}-
Allah berkuasa atas setiap perkara. Yakni Jika kita buat baik Allah berkuasa untuk beri pahala kebaikan kepada kita; jika kita buat jahat Allah berkuasa menjatuhkan hukuman membalasnya dengan azab siksa. Jadi apalagi yang kita berani!
Jadi kita kena letak dalam kepala kita amaran keras untuk diri kita sendiri jangan melakukan perkara tidak baik yang dimurkai Allah SWT!
Juga letakkan pergantungan hati kita kepada Allah sepenuhnya! Ada masalah kembali kepada Allah jangan cari yang selain-Nya.
- Ayat 30-{(Ingatlah) hari (kiamat yang padanya) tiap-tiap seorang akan mendapati apa sahaja kebaikan yang telah dikerjakannya, sedia (dibentangkan kepadanya dalam surat-surat amalnya);}–
Sekali lagi ayat ini menjadi amaran & peringatan kepada hari yang amat besar, hari yang dahayat hari yang terserlah segala amalan kita di dunia.
Surat amalan yang kita nak baca nanti kitalah penulisnya!
Ingatlah pada hari itu penyesalan tiada guna lagi, hari yang kita akan dapat lari lagi, maka tinggalkan syahwat, tinggalkan kehendak nafsu supaya kita dapat rahmat & kasih sayang Allah Azza wa Jalla.
- Ayat 30- {Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan diriNya (menyeksa kamu).}-
Dalam ayat ini Allah ulang sekali lagi bahawa amaran ini Allah sendiri yang beri, Dia tidak wakilkannya kepada malaikat atau Nabi- tetapi Allah sendiri yang beri amaran & Dia sendiri yang akan balas.
Allah tutup ayat ini dengan:
{Dan (ingatlah juga), Allah Amat belas kasihan kepada hamba-hambaNya.}-
Yakni jika kita tersasul tersilap melakukan dosa & maksiat; kembalilah kepada Allah kerana pintu taubat masih terbuka.
Allah maha Pengampun & amat belas kasihan terhadap hamba-Nya! {وَٱللَّهُ رَءُوفٌۢ بِٱلْعِبَادِ}.
Dosa kita dengan Allah; kita segera istighfar & bertaubat.
Manakala dosa dengan manusia kita minta maaf & minta halal, hantar balik hak mereka jika ada! Insaf & menyesal sesungguhnya hati, jangan ulangi & tinggalkannya!
Mudah-mudahan Allah selamatkan kita di dunia & amankan kita di Akhirat.
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu Al-Quran.
Wallahu A’lam.